Anda di halaman 1dari 6

Pengenalan Gerakan 4 Mei ialah peristiwa demonstrasi, permogokan dan rusuhan yang dijalankan pada tahun 1919 oleh

kira-kira 5000 pelajar di Peking dari 13 institusi pengajian tinggi dan diketuai oleh pelajar-pelajar serta pensyarah-pensyarah Universiti Peking (Peita). Universiti Peking merupakan pusat revolusi intelektual kerana canselornya Tsai Yuan Pei menggalakkan perkembangan idea-idea baru di kalangan pelajar-pelajar. Gerakan ini merangkumi jangkasama 1917-1921 yang dikenali sebagai Zaman Revolusi Intelektual kerana ianya telah meninggalkan kesan yang mendalam dari segi politik, sosial, intelektualisme dan kebudayaan. Di antara tokoh-tokoh penting dalam Gerakan 4 Mei ialah Tsai Yuan Pei, Chen Tu Hsiu, Hu Shih, Monlin, Kuo Mojo dan Lu Shun. Sebab-sebab 1. Keadaan politik yang tidak mantap Setelah berjaya menggulingkan Dinasti Manchu melalui Revolusi 1911, pemimpin-pemimpin China gagal membentuk sebuah kerajaan yang efektif. Perselisihan sering berlaku di antara pemimpin-pemimpin menyebabkan rancangan-rancangan pembaharuan tidak dapat dilaksanakan. Sebagai contoh, perselisihan di antara Yuan Shih Kai dan Dr. Sun Yat Sen serta Kuomintang dan kemudiannya selepas kematian Yuan Shih Kai pada tahun 1916 berlaku pula perselisihan di antara Presiden Li Yuan Hung dan Perdana Menteri Tuan Chi Jui. Selepas kematian Yuan Shih Kai juga berlaku zaman Hulubalang (Warlordism) yang menyebabkan negeri China semakin menuju kepada kehancuran. Pergolakan politik yang tidak berkesudahan ini menyebabkan golongan bangsawan, sarjana dan intelak hilang kepercayaan terhadap kerajaan. 2. Peranan saudagar dan pekerja Semasa Perang Dunia Pertama 1914-1918, muncul perusahaan penting di negeri China seperti perusahaan besi dan keluli yang sangat diperlukan oleh Pihak Berikat. Perkembangan perusahaan ini menyebabkan munculnya saudagarsaudagar besar dan bertambahnya tenaga buruh terutamanya di bandar-bandar perusahaan seperti Shanghai, Canton, Tientsin dan lain-lain. Golongan saudagar dan pekerja merasa kurang senang terhadap politik dalam negeri kerana ianya mengancam kepentingan ekonomi mereka. Golongan ini menentang perbuatan rasuah dan penyelewengan yang dilakukan oleh pegawai-pegawai kerana ianya akan menjejaskan faedah-faedah yang seharusnya diterima oleh mereka. Akibatnya, golongan saudagar dan pekerja melibatkan diri dalam Gerakan 4 Mei dengan tujuan mewujudkan kemantapan politik bagi menjaga kepentingan ekonomi dan kedudukan mereka. 3. Perkembangan intelektualisme Antara tahun 1903-1919, semakin ramai pelajar China dari luar negeri pulang ke negeri China. Antaranya ialah Chen Tu Hsiu dan Tsai Yuan Pei dari Perancis,

Kuo Mojo dan Lu Shun dari Jepun dan Hu Shih serta Mon Lin dari Amerika. Dengan menggunakan Universiti Kebangsaan Peking (Peita), Tsai Yuan Pei yang menjadi Canselor, Chen Tu Hsiu dan Hu Shih yang menjadi pensyarah, telah menyebarkan idea-idea Barat kepada pelajar-pelajar. Mereka menyebarkan pelajar-pelajar bahawa negeri China jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan kemajuan negara-negara Barat. Mereka menekankan kepada penggunaan politik, ekonomi dan pendidikan moden secara Barat untuk membentuk sebuah negara China yang moden dari segi politik, ekonomi dan sosial. 4. Faktor luar negeri Peristiwa yang berlaku di negeri-negeri lain turut memberi inspirasi kepada golongan nasionalis terutamanya pelajar-pelajar China. Antaranya peristiwa penting yang memberi kesan mendalam ialah Revolusi Bolshevik yang berlaku di Rusia pada tahun 1917. Revolusi Bolshevik merupakan kejayaan perjuangan rakyat Rusia menggulingkan Kerajaan Czar yang korup. Mereka telah berjaya membentuk sebuah kerajaan yang moden dan disegani. Selain itu, revolusi sosial yang berlaku di beberapa buah negara Eropah seperti Finland, Jerman, Austria dan Hungary serta rusuhan beras di Jepun pada tahun 1918 juga telah membangkitkan kesedaran rakyat China untuk menentang kerajaan. Peristiwaperistiwa tersebut merupakan perjuangan rakyat menentang kerajaan hasil dari rasa tidak puas hati. 5. Masalah Shantung Semasa berlakunya Perang Dunia Pertama 1914-1918, Jepun telah mengalahkan Jerman di Shantung dan merampas konsesi Jerman di Shantung. Pada 18 Januari 1915, Jepun telah mengemukakan tuntutan yang dikenali sebagai 21 permintaan untuk dilaksanakan oleh China. Penerimaan tuntutan-tuntutan tersebut akan menjadikan negeri China sebagai protektorat Jepun. Di antara tuntutan itu ialah: a. Negeri China hendaklah berjanji tidak akan menyerahkan atau memajakkan kepada kuasa-kuasa lain mana-mana bahagian, pelabuhan, teluk, pulau atau pantai di sepanjang negerinya. b. Negeri China mesti mengambil penasihat-penasihat Jepun dalam bidang kewangan, ketenteraan dan pasukan polis. c. China mesti bersetuju terhadap tuntutan yang dicapai di antara Jepun dan Jerman di Shantung. d. China hendaklah melanjutkan tempoh pajakan Port Arthur dan khidmat keretapi Manchuria Selatan dari 25 tahun kepada 99 tahun. e. China hendaklah mengakui pendudukan Jepun di Shantung. f. China dan Jepun akan menjalankan usahasama dalam perusahaan besi. China tidak dibenarkan menjual besi tanpa izin Jepun atau mendirikan perusahaan besi yang lain yang akan menjejaskan usahasama itu. g. China mesti membeli 50% senjata dari Jepun.

Golongan pelajar menganggap tuntutan tersebut sebagai satu penghinaan yang boleh menjatuhkan maruah China. Mereka mendesak supaya Kerajaan China menolak sama sekali 21 tuntutan tersebut. Kemarahan golongan pelajar China bertambah kerana Persidangan Damai Versailles Januari 1919 yang dihadiri oleh pihak berikat mengiktiraf 21 tuntutan tersebut. Persidangan Versailles Januari 1919 telah memutuskan bahawa bekas hak-hak Jerman di Shantung diserahkan kepada Jepun. Keputusan Persidangan Versailles telah mengakibatkan satu demonstrasi pelajar-pelajar di Peking pada 4 Mei 1919. Mereka menuntut pengembalian hak-hak China di Shantung dan mendesak Kerajaan China supaya tidak menandatangani Perjanjian Versailles. Golongan pelajar juga mendesak Kerajaan China menghukum tiga ahli politik pro Jepun iaitu Chang Tsung Hsing, Lu Tsung Yu dan Tsao Ju Lin yang dipercayai bertanggungjawab bagi penerimaan tuntutan berkenaan oleh China. Kebangkitan Pada 4 Mei 1919, kira-kira 5000 pelajar di Peking telah mengadakan tunjuk perasaan membantah keputusan Persidangan Damai Versailles mengenai Shantung. Mereka terdiri dari pelajar-pelajar dan pensyarah-pensyarah Universiti Kebangsaan Peking. Mereka berkumpul di bangunan kedutaan iaitu Tien an Men dan membawa sepanduksepanduk seperti Negeri China kepunyaan orang China, Kembalikan Hak China di Shantung, Jangan Terima 21 Tuntutan, Hukum Semua Pengkhianat dan sebagainya. Tunjuk perasaan menjadi ganas apabila mereka membakar rumah pemimpin-pemimpin China yang pro Jepun seperti Chang Tsung Hsing, Lu Tsung Yu dan Tsao Ju Lin dan mendesak mereka meletakkan jawatan. Golongan pelajar juga telah mendesak wakil China dalam Persidangan Versailles iaitu C.T. Wong dan Wellington Khoo supaya jangan menandatangani Perjanjian Versailles yang dijadualkan pada 28 Jun 1919. Perjuangan golongan pelajar mendapat simpati dari beberapa golongan masyarakat China yang lain. Akhirnya, pekedai-pekedai, pekerjapekerja kilang dan saudagar-saudagar mengambil bahagian. Golongan pekedai dan saudagar memulaukan barang-barang buatan Jepun sementara pekerja-pekerja pelabuhan memulaukan kapal-kapal Jepun. Sokongan juga datangnya dari tokohtokoh politik seperti Sun Yat Sen pemimpin Kuomintang yang berkuasa di Canton dan Warlord. Kerajaan mengambil tindakan menangkap 10 pemimpin pelajar dan 1150 orang pelajar dan dipenjarakan di Penjara Peking serta di Universiti Peking. Di antara pemimpin pelajar yang ditangkap ialah Hsu Te Heng, Chang Kuo Tao dan Yi Ken Ni. Kerajaan juga menutup maktab-maktab dan universiti-universiti di 200 bandar di negeri China. Tindakan pelajar, pekedai, saudagar, pekerja kilang dan pekerja pelabuhan menyebabkan ekonomi China merosot dan ini menjejaskan Kerajaan Peking. Untuk meredakan ketegangan politik, kerajaan membebaskan pelajar-pelajar yang ditangkap pada 7 Mei 1919. Kawat juga telah dihantar kepada perwakilan China yang

menghadiri Persidangan Versailles untuk menyampaikan arahan Presiden Hau Shih Chang supaya menolak syarat-syarat Perjanjian Versailles. Perwakilan China telah diugut akan menerima hukuman jika menandatangani perjanjian itu. Pelajar-pelajar China di Perancis turut mengambil bahagian dengan mengawasi gerak-geri perwakilan China. Kesan-kesan 1. Pencapaian matlamat Gerakan 4 Mei telah mencapai matlamat perjuangannya. Wakil China dalam Persidangan Damai Versailles iaitu C.T. Wong dan Wellington Khoo tidak menandatangani Perjanjian Versailles yang dijadualkan pada 28 Jun 1919 akibat dari desakan pelajar. Tiga orang ahli politik China yang dianggap pro Jepun dan bertanggungjawab bagi penerimaan 21 Tuntutan Jepun oleh China iaitu Chang Tsung Hsing, Lu Tsung Yu dan Tsao Ju Lin telah meletakkan jawatan. Dalam Persidangan Washington pada 21 November 1921, negeri Jepun telah bersetuju untuk menarik diri dari Shantung. 2. Membangkitkan semangat kebangsaan Gerakan 4 Mei telah melahirkan semangat kebangsaan di kalangan orang-orang China. Ianya merupakan saru revolusi mental di kalangan orang-orang China yang digerakkan oleh golongan intelek. Pelajar muncul sebagai golongan penting pembela kepentingan nasional China. Dalam hubungan mengembangkan semangat nasionalisme, golongan pelajar dan intelek dari Universiti Kebangsaan Peking memainkan peranan penting. Demonstrasi oleh pelajar-pelajar mengakibatkan demonstrasi dan permogokan di seluruh China. Golongan pelajar juga telah menganjurkan pemulauan barang-barang buatan Jepun. Pemulauan ini mendapat sokongan ramai dan menjejaskan perdagangan Jepun dengan China. Perasaan anti Jepun juga bertambah di kalangan orang-orang China akibat dari Gerakan 4 Mei. Buat pertama kalinya pekerja-pekerja China mengadakan demonstrasi-demonstrasi secara besar-besaran di Peking, Tientsin, Shanghai, Hankow dan bandar-bandar lain. 3. Perkembangan fahaman Komunis Gerakan 4 Mei telah membuka jalan kepada perkembangan fahaman Komunis di negeri China. Ideologi-ideologi Barat telah menarik minat intelek-intelek China yang merupakan pengasas Gerakan 4 Mei. Dalam tahun 1918, Li Ta Chao telah menubuhkan Society for the Study of Marxism di Universiti Peking yang merupakan pusat Gerakan 4 Mei. Kebanyakan ahlinya terdiri dari pelajar-pelajar Universiti Peking seperti Chang Kuo Tao dan Mao Tse Tung yang kemudiannya memainkan peranan penting dalam gerakan Komunis di negeri China. Chen Tu Hsiu seorang pemimpin terkemuka Gerakan 4 Mei telah menganut fahaman Marx-Lenin dalam tahun 1920. Beliau telah menubuhkan Socialist Youth Corps di Shanghai pada tahun 1920. Pada tahun tesebut juga, Li Ta Chao telah

menubuhkan Socialist Youth Corps di Peking. Pada tahun 1920 juga, pertubuhan-pertubuhan Marxism telah disatukan dan pada tahun 1921, Chen Tu Hsiu dan Li Ta Chao telah menubuhkan Parti Komunis China dengan bantuan Comintern. 4. Memperbaiki kedudukan Kuomintang Gerakan 4 Mei telah melemahkan kedudukan hulubalang-hulubalang yang menguasai Kerajaan China di Peking. Golongan pelajar yang mendapat sokongan orang ramai telah menyalahkan mereka di atas kegagalan negeri China menjaga kepentingannya dalam Perjanjian Versailles 1919. Akibat desakan orang ramai, Kabinet China yang dipimpin oleh Tuan Chi Jui terpaksa dibubarkan. Gerakan 4 Mei telah memperbaiki kedudukan Kuomintang yang bertujuan untuk menyatukan negeri China. Akibat dari tindakan Sun Yat Sen menyokong Gerakan 4 Mei menyebabkan Kuomintang mendapat sokongan ramai terutamanya di kalangan pelajar. Sokongan ini memberi inspirasi kepada Sun Yat Sen untuk menegakkan kuasa Kuomintang di negeri China. Sokongan ini juga membolehkan Sun Yat Sen menyusun semula dan memperkuatkan Kuomintang sehingga Kuomintang di bawah Chiang Kai Shek berjaya menubuhkan kerajaan baru di Nanking pada tahun 1928. 5. Kemunculan gerakan kebudayaan baru Gerakan 4 Mei telah mengakibatkan kemunculan Gerakan Kebudayaan Baru. Golongan intelek sama ada dari professor, guru, pelajar atau penulis berpendapat bahawa perjuangan mereka adalah untuk membentuk satu masyarakat baru, menilai kembali tradisi China dan memperkenalkan idea-idea Barat. Universiti Peking memainkan peranan penting menerbitkan majalah-majalah dan akhbarakhbar yang bertujuan menyumbangkan usaha-usaha membina sebuah masyarakat China yang baru. Di antara majalah dan akhbar tersebut ialah New Youth (Pemuda Baru), New Tide (Aliran Baru) dan Weekly Critic (Pembidas Mingguan). Para intelek seperti Chen Tu Hsiu, Lu Shun, Hu Shih dan Lin Pan Nung telah mengkritik masyarakat tradisional China yang berasaskan ajaran Confucius. Mereka telah menyokong pembentukan negeri China yang moden yang berasaskan sains dan idea-idea Barat. Satu lagi perubahan ialah mengkaji semula ajaran Confucius yang menjadi pegangan hidup orang-orang China. Intelek-intelek China telah terpengaruh dengan pemikiran saintifik Bertrand Russel, John Dewey dan Thomas Huxley yang menganggap fahaman Confucius sudah tidak sesuai lagi dan perlu dihapuskan. Gerakan 4 Mei telah mendapat perhatian dari negara-negara asing terutama di kalangan penulis. Untuk meninjau lebih lanjut mengenainya ramai penulis Barat dan Asia telah melakukan lawatan ke negeri China. Di antara mereka ialah Bertrand Russel antara Oktober 1920 hingga Julai 1921, Paul Monroe seorang penulis dari Amerika pada tahun 1921, Hans Driesh seorang ahli falsafah Jerman pada tahun 1922 dan pujangga terkenal Rabindranath Tagore pada tahun 1923.

Kesimpulan Gerakan 4 Mei merupakan satu gerakan kebangsaan yang telah mempengaruhi perkembangan politik dan sosial negeri China. Negeri China telah mengalami perubahan politik dan sosial yang mendadak selepas gerakan ini dan ianya juga telah merintis jalan kepada kemunculan Parti Komunis China sebagai sebuah kuasa yang berpengaruh dewasa itu sehingga akhirnya PKC berjaya menubuhkan sebuah Kerajaan Republik Komunis pada tahun 1949.