Anda di halaman 1dari 4

Kepentingan Menderma Organ

Dalam dunia yang penuh dengan kesibukan ini, kebanyakan orang sibuk dengan kehidupan seharian mereka dan hanya mementingkan hal-hal mereka sendiri. Terdapat juga sesetengah orang yang mengambil berat dan bersimpati terhadap orang lain tetapi tidak mengambil tindakan yang praktikal untuk menunjukkan keikhlasan mereka. Hal ini dapat dibuktikan apabila statistik jumlah penderma organ dari tahun 1997 hingga September 2012 yang menunjukkan bahawa hanya 0.7% daripada 28.3 juta penduduk Malaysia yang mendaftar sebagai pengikrar penderma organ. Maksudnya, hanya 0.7% daripada keseluruhan penduduk Malaysia yang mengambil tindakan tetapi bukan hanya bercakap kosong untuk membantu orang lain. Selain kesibukan, masyarakat juga beranggapan bahawa menderma organ selepas meninggal dunia merupakan salah satu penderitaan kepada si mati. Oleh itu, kepentingan menderma organ haruslah didedahkan kepada pelajar mahupun masyarakat supaya mereka lebih memahami tentang sebab-sebab menderma organ dan tidak akan memberi alasan yang banyak untuk tidak menderma organ. Antara kepentingan menderma organ adalah untuk membantu pesakit organ yang sedang menunggu pendermaan organ daripada orang lain untuk meneruskan kehidupannya. Hal ini demikian kerana kebanyakan pesakit organ terutamanya pesakit buah pinggang sedang menunggu pendermaan ginjal daripada penderma yang baik hati untuk menyelamatkan nyawa mereka. Jika mereka tidak dapat membuat pembedahan pemindahan ginjal dalam masa yang singkat, nyawa mereka mungkin akan terancam dan menyebabkan kematian berlaku. Hal ini seterusnya akan meningkatkan peratus kematian disebabkan penyakit di Malaysia. Menurut statistik dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2009, 60% daripada kematian di Malaysia adalah disebabkan oleh penyakit dan kanser. Kesimpulannya, dengan menderma organ, kita dapat menyelamatkan pesakit-pesakit organ

terutamanya pesakit buah pinggang kerana mereka merupakan antara jumlah pesakit yang paling tinggi di Malaysia, iaitu seramai 15,581 orang di Malaysia. Selain itu, kepentingan yang seterusnya adalah dapat mengurangkan risiko kematian awal di Malaysia. Hal ini demikian kerana apabila pesakit-pesakit organ yang sedang menunggu pendermaan organ dapat melakukan pembedahan pemindahan organ dalam masa yang singkat, keselamatan mereka akan terjamin. Jika pembedahan tersebut berjaya, mereka akan dapat kembali sihat seperti dahulu dan menjalani kehidupan yang normal. Nyawa mereka pula tidak akan diancam bahaya sekiranya organ penderma tersebut diterima oleh sistem badan penerima organ tersebut. Sebaliknya, jika pesakit-pesakit organ yang muda tidak mendapat pendermaan organ yang sesuai dalam masa yang panjang, keselamatan mereka mungkin akan terancam. Hal ini seterusnya akan menyebabkan kematian awal, iaitu meninggal dunia pada umur yang muda. Oleh hal yang demikian, masyarakat digalakkan untuk menderma organ supaya pesakit-pesakit organ dapat diselamatkan dan risiko kematian awal di Malaysia dapat dikurangkan. Seterusnya, dengan menderma organ juga, kita dapat memberikan harapan dan peluang baharu kepada pesakit-pesakit organ untuk meneruskan kehidupannya. Hal ini demikian kerana pesakit-pesakit organ ini hanya boleh menunggu pendermaan organ daripada masyarakat yang prihatin untuk menyelamatkan nyawa mereka. Jika mereka tidak mendapat organ yang sesuai untuk melakukan pembedahan pemindahan organ, nyawa mereka akan terancam dan mereka mungkin meninggal dunia dengan begitu sahaja. Sebaliknya, jika terdapat masyarakat yang menderma organ kepada pesakit-pesakit ini walaupun belum melakukan pembedahan, pesakit-pesakit ini akan merasakan diri mereka mempunyai harapan baharu untuk kembali sihat dan menjalani kehidupan yang biasa seperti dahulu. Sekiranya pembedahan pemindahan organ ini berjaya, harapan dan peluang baharu dapat diberikan kepada pesakit-pesakit organ untuk meneruskan kehidupan mereka. Jelasnya,

pendermaan organ dapat memberikan harapan baharu kepada pesakit-pesakit organ untuk meneruskan kehidupan mereka dan menjalani kehidupan yang normal seperti orang lain. Tidak kurang juga, kewujudan bank organ dapat direalisasikan di negara kita dengan adanya sumbangan organ daripada orang ramai. Dengan adanya bank organ ini, pesakitpesakit organ ini tidak perlu menunggu begitu lama untuk menjalani pembedahan pemindahan organ. Bank organ yang menyimpan organ-organ penderma ini turut dapat menyelamatkan seseorang pesakit organ dalam masa yang singkat selepas dia dikesan menghidapi penyakit organ. Oleh itu, setiap pesakit organ berpeluang kembali sihat dengan wujudnya bank organ ini. Sebaliknya, jika bank organ tidak dapat diwujudkan, pesakitpesakit organ perlu menunggu dengan lebih lama sehingga ada orang yang menderma organ kepada mereka untuk membuat pembedahan pemindahan organ. Dengan ini, mereka akan mengalami penderitaan semasa menunggu pendermaan organ ini kerana mereka terpaksa berlawan dengan penyakit. Oleh hal yang demikian, masyarakat digalakkan untuk menderma organ supaya bank organ dapat diwujudkan di negara kita untuk membantu pesakit-pesakit organ. Sebagai kesimpulan, semua lapisan masyarakat tidak mengira kaum dan agama haruslah menderma organ supaya dapat menyelamatkan pesakit-pesakit organ di Malaysia mahupun di seluruh dunia. Untuk menggalakkan masyarakat mendaftarkan diri sebagai pengikrar penderma organ, Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ telah menjalankan pelbagai aktiviti termasuk roadshow. Selain itu, pihak kerajaan juga haruslah mengadakan kempen kesedaran untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan organ bagi menyelamatkan nyawa dan memberi kehidupan baharu kepada pesakit-pesakit organ tersebut. Pihak sekolah pula boleh mendedahkan kepentingan menderma organ kepada pelajar-pelajar sekolah supaya mereka akan lebih memahami tentang kebaikannya dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya apabila mereka dewasa

nanti. Dengan ini, kepentingan-kepentingan menderma organ seperti menyelamatkan nyawa pesakit organ dan mewujudkan bank organ akan dapat dicapai sekiranya langkah-langkah ini dapat dilaksanakan.

( 787 patah perkataan )