Anda di halaman 1dari 9

1.

PENULISAN AKADEMIK (INDIVIDU)

Kanak-kanak dan Gangguan Emosi Setiap manusia yang lahir ke dunia pasti akan melalui fasa-fasa kehidupan dan menempuhi tempoh perkembangan secara berperingkat iaitu daripada bayi yang fitrahnya suci, kanak-kanak, remaja dan seterusnya hingga meningkat dewasa. Seiring dengan itu, setiap manusia dianugerahkan oleh Allah SWT akal fikiran dan emosi yang pelbagai. Justeru, setiap manusia itu harus bijak dalam menggunakan akal fikiran dan emosi ini dalam kehidupan seharian agar tidak tersasar dari landasan kehidupan sebenar.

Walaubagaimanapun, golongan kanak-kanak adalah golongan yang paling sukar untuk mengawal emosi. Perkara ini jika tidak dibendung akan membawa kepada perkara yang lebih serius iaitu gangguan emosi. Menurut Goleman, terdapat lapan jenis emosi yang asas yang ada pada setiap manusia iaitu marah, sedih, takut, gembira, kasih, terkejut, jijik dan malu. Berdasarkan lapan emosi ini, empat daripadanya adalah emosi yang utama iaitu takut, marah, sedih dan gembira. Bermula daripada emosi-emosi ini maka ia bercambah kepada emosi yang lebih kompleks iaitu emosi dan perasaan hubungan. Pembentukan dan gabungan kesemua emosi inilah pada akhirnya akan menghasilkan pembawaan dimana keadaan psikologi yang memperlihatkan perangai seseorang. Maka kecerdasan emosi setiap kanak-kanak itu sebenarnya sedikit sebanyak ditentukan oleh pembawaan dan hasil pengaruh cara dia berinteraksi dengan ibu bapa sejak bayi lagi. Kesemua ini ada kaitannya dengan perbezaan emosi seseorang individu itu dan mengukuhkan lagi faktor-faktor terjadinya gangguan emosi. Peringkat pertengahan kanak-kanak iaitu untuk yang berumur 6 hingga 13 tahun merupakan peringkat yang paling penting dalam perkembangan seseorang individu. Kadar pertumbuhan fizikal turut berlaku pada fasa ini dimana ia berkembang secara konsisten dan merupakan persediaan sebelum seseorang kanak-kanak itu meningkat remaja. Begitu juga dengan perkembangan motor kanak pada ketika ini dimana kanak-kanak sudah mula menguasai beberapa kemahiran seperti berlari, melompat, memanjat dan sebagainya. Pada peringkat inilah, seseorang guru atau sesiapa sahaja orang dewasa yang berada dalam ruang lingkup kehidupan kanak-kanak ini harus memahami fitrah ini. Perkembangan emosi kanak-kanak yang juga berlaku pada fasa pertengahan perkembangan kanak-kanak ini adalah elemen yang penting untuk dibincangkan. Menurut Lenfrancois (2001) dalam Rahil Mahyuddin (2006) menyatakan bahawa emosi adalah perasaan atau komponen efek dalam tingkah laku manusia. Maka emosi boleh dibahagikan

kepada dua kategori iaitu emosi yang positif dan emosi yang negatif. Contoh emosi positif adalah seperti rasa gembira, seronok dan bersemangat, namun emosi yang negatif adalh perasaan berlawanan dengannya iaitu seperti marah, sedih, takut, rasa bersalah dan sebagainya. Justeru perasaan-perasaan inilah yang sering membelenggu kanak-kanak kerana golongan ini dikatakan akan mengalamai kedua-dua kategori perasaan ini serentak. Sehubungan dengan itu, tidak hairanlah setiap kanak-kanak mempunyai tingkah laku yang tersendiri dan pastinya akan menzahirkan perasaan mereka untuk orang yang lebih dewasa memahaminya. Dalam keadaan inilah maka terbitnya pelbagai situasi sehingga ada kanakkanak yang dikatakan mengalami gangguan emosi. Berdasarkan takrifan ahli Pedriatrik, Dr. Widodo Judarwanto dalam penulisannya menyatakan bahawa gangguan emosi adalah keadaan emosi yang dialami seseorang yang menimbulkan gangguan pada dirinya. Dalam huraiannya beliau juga menyebut bahawa ia merupakan suatu keadaan kecenderungan untuk sedih ataupun keadaan emosi yang tidak bahagia dan perasaan yang menyebabkan berlakunya konflik seperti perasaan marah. Gangguan emosi juga boleh disebut sebagai kecelaruan emosi oleh Azizi Yahaya (2006) yang merujuk kepada kecelaruan mood yang turut mengaitkannya dengan perasaan kesedihan atau kegembiraan pada tahap melampau atau ekstrim yang berlaku dalam jangka masa berpanjangan sehingga menganggu kehidupan individu serta orang sekeliling individu tersebut. Namun terdapat perbandingan dan perbezaan antara gangguan emosi dan tingkah laku sebagaimana yang digariskan oleh Aini Mohabbati (2006) melalui kajiannya dalam mengenalpasti murid-murid yang bermasalah gangguan emosi dan tingkah laku di sekolah rendah. Berdasarkan definisi gangguan emosi ini, maka ia memberi gambaran awal kepada guru-guru bagi mengenalpasti murid-murid yang menghadapi situasi ini. Namun, gambaran ini perlu diperjelas dengan meneliti pelbagai jenis dan simptom yang dialami oleh golongan ini. Jenis-Jenis Gangguan Emosi Dalam Kalangan Kanak-Kanak Berdasarkan informasi yang didapati dari laman portal National Dissemination Center for Children with Disabilities (NICHCY) di Washington D.C, gangguan emosi atau emotional disturbance terbahagi kepada beberapa jenis iaitu anxiety disorders, bipolar disorders,

conduct disorders, eating disorders, obsessive-compulsive disorder dan psychotic disorders. Anxiety disorders atau gangguan kebimbangan dikatakan sering dialami oleh kanak-kanak berbanding orang dewasa, iaitu keadaan kebimbangan yang berlebihan, berterusan dan seolah-olah tidak terkawal. Gangguan ini banyak menjejaskan kehidupan seharian dan ia salah satu amaran bahawa seseorang itu sedang mengalami anxiety disorders atau gangguan kebimbangan ini.

Bipolar disorders atau kemurungan merupakan keadaan penyakit yang agak serius kerana ia melibatkan mood swings yang mengakibatkan perasaan yang tiba-tiba memuncak, contohnya perasaan sedih yang keterlaluan pada suatu ketika, kemudian reda dengan perasaan biasa namun kembali lagi mengalami kesedihan yang mendadak pada tempoh yang tidak dapat dijangka. Walaubagaimanapun, keadaan ini dapat dikurangkan melalui pengambilan ubat-ubatan dan rawatan psikososial. Conduct disorder pula adalah merujuk kepada suatu kumpulan yang bermasalah tingkah laku dan emosi yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Mereka mempunyai kesulitan untuk mengikut apa-apa jenis peraturan dan tingkah lakunya yang bercanggah dengan norma masyarakat. Antara sikap atau perbuatan yang dikategorikan sebagai conduct disorder ini adalah seperti keganasan terhadap orang lain atau haiwan, merosakkan barang, menipu atau mencuri dan memutarbelitkan sesuatu perkara. Perkara ini agak serius kerana ia melibatkan sekumpulan murid atau manusia yang bersepakat untuk melakukan perkara yang tidak sepatutnya ini. Gangguan makan atau eating disorders juga merupakan salah satu jenis gangguan emosi. Gangguan ini dikategorikan sebagai jenis gangguan yang ekstrim merangkumi keadaan seseorang yang makan terlalu banyak atau terlalu sedikit. Gangguan ini sedikit sebanyak ada perkaitannya dengan perasaan bimbang dengan kesan pemakanan terhadap berat badan. Anorexia nervosa dan bulimia nervosa adalah antara penyakit yang berkait rapat dengan situasi ini dimana pesakit akan mengalami pengurangan berat badan secara mendadak impak daripada memuntahkan kembali makanan yang telah dimakan secara sengaja. Kedua-dua penyakit ini sememangnya mengancam nyawa dan membantutkan tumbesaran kanak-kanak tersebut. Obsessive-compulsive disorder (OCD) adalah suatu jenis yang lebih kurang sama dengan gangguan kebimbangan namun dikategorikan sebagai tingkah laku yang menyebabkan berlakunyan pandangan yang berulang-ulang dan tidak diingini (obsesif). Ini termasuklah melakukan sesuatu seperti mambasuh tangan, mengira, membasuh atau memeriksa secara berulang-ulang kali yang dilakukan secara kerap tanpa kawalan. Perkara ini jika dapat dilakukan akan membawa ketenangan yang sementara kepada pelakunya dan ia bukan jalan keluar kepada masalah yang telah dihadapinya. Justeru keadaan ini memerlukan rawatan yang tersendiri dan memerlukan pakar untuk membantunya. Akhir sekali ialah psychotic disorders atau gangguan psikotik dimana terma ini merujuk kepada gangguan mental yang teruk. Pada masa yang sama, pesakit akan mengalami khayalan atau halusinasi yang membawa kepada persepsi yang salah seperti mendengar atau melihat sesuatu yang tidak wujud di suatu keadaan yang lain. Skizofrenia

adalah satu daripada contoh gangguan psikotik ini dan ia berbeza mengikut individu yang mengalaminya berdasarkan tahap keseriusan yang tersendiri. Simptom-simptom Gangguan Emosi Dalam Kalangan Kanak-Kanak Terdapat pelbagai simptom yang dapat dikenalpasti melalui pemerhatian dua jenis tingkah laku seperti yang digariskan oleh Hallahan & Kauffman, 1988; Eggen & Kauchak, 1997 dalam Aini Mohabbati (2006) iaitu externalizing behavior dan internalizing behavior. Externalizing behavior ialah perlakuan yang dapat dilihat secara langsung atau tidak langsung terhadap orang lain, contohnya tingkah laku agresif, membangkang, tidak patuh, berbohong, mencuri dan kurangnya pengurusan diri. Manakala internalizing behavior pula merupakan suatu gangguan dalaman seperti berasa cemas, kemurungan,tidak bersosial, gangguan makan dan kecenderungan untuk membunuh diri. Dalam kajian lain, gangguan emosi dalam kalangan kanak-kanak ini dapat dikesan melalui persoalan perasaan takut dan cemas pada perkara tertentu. Achmanto Mendatu (2007) dalam Noriati A.Rashid (2010) menjelaskan perasaan takut kepada beberapa pecahan iaitu takut pada tempat tinggi, takut pada tempat terbuka, takut pada cahaya dan kilat, takut akan air, takut makan, takut kepada orang asing, takut kegelapan, takut kotor dan lain-lain. Untuk kategori cemas pula, ia merangkumi gangguan panic, fobia sosial dan gangguan kecemasan umum yang lain. Malah, fobia juga dikatakan mempunyai hubungan langsung dengan bentuk gangguan dimana dirinya akan memasuki situasi yang menakutkan dan kemudian akan digambarkan dengan kecemasan. Contohnya fobia sosial, iaitu golongan ini mengalami perasaan takut luar biasa terhadap pandangan orang lain serta takut dihina atau disindir. Maka keadaan ini membuatkan pengasingan diri dengan orang lain yang seterusnya membuktikan bahawa gangguan fobia telah terjadi pada dirinya. Dari aspek pendidikan, murid yang mengalami gangguan emosi ini menterjemahkan masalah yang mereka sedang hadapi pada pencapaian akademik mereka. Hallahan & Kauffman, 1988 menjelaskan bahawa tahap kepintaran kanak-kanak ini adalah dibawah paras normal, iaitu sekitar 90 dan beberapa di atas bright normal. Melalui interaksi dalam bilik darjah, didapati murid yang mengalami gangguan emosi ini lebih cenderung memaparkan tingkah laku yang negatif. Hal ini termasuklah cara mereka melepaskan perasaan dalam kelas dengan tingkah laku liar atau ganas serta tidak bersabar atau mengamuk tanpa sebab yang munasabah. Adapun yang paling sering ditunjukkan oleh murid-murid ini menurut Aini Mohabbati dalam kajiannya adalah seperti memukul, mengejek, berteriak, menolak untuk mengikut permintaan, menangis, merosakkan barang, vendalisme, dan memeras ugut dimana jika ia kerap berlaku, maka ia dikira sebagai gangguan.

Kesan Gangguan Emosi Terhadap Murid-Murid Masalah gangguan emosi yang tidak terbendung dan tidak dirawat dari awal lagi akan membawa mudarat kepada murid-murid yang menanggungnya. Malah kesannya boleh membawa kepada kesan jangka masa panjang dan memudaratkan kehidupan seseorang pada fasa lain perkembangan iaitu dari kanak-kanak akan dibawa sehingga remaja dan seterusnya ke peringkat dewasa. Antara kesan gangguan emosi ini adalah perasaan rendah diri yang ekstrim, keresahan, pengasingan diri dari orang lain. Perasaaan rendah diri yang ekstrim dialami oleh kanak-kanak yang kurang keyakinan diri akibat kelemahan-kelemahan yang ada dalam dirinya. Contohnya, kanakkanak yang bersifat terlalu sensitif, takut yang tidak menentu, segan, malu dengan kadar melampau dan perasaan bimbang yang tidak munasabah. Kesemua perasaan ini dikategorikan dalam kecelaruan kebimbangan kanak-kanak (Aziz Yahaya,2006) impak daripada gangguan emosi yang ditanggung dalam tempoh yang agak lama. Separation anxiety disorder atau kanak-kanak yang bimbang berpisah dengan keluarga akan mengalami keadaan keresahan yang disulami dengan pelbagai emosi. Puncanya adalah disebabkan oleh kehilangan orang yang disayangi melalui kematian dan sebagainya yang membuatkan murid trauma dengan keadaan itu. Antaranya adalah perasaan sedih, sukar memberi tumpuan, takut kepada kehilangan sesuatu. Keresahan atau kebimbangan dalam kalangan kanak-kanak ini membuatkan mereka lebih cenderung untuk takut diculik dan sering mengaitkan sesuatu perkara yang ditakuti dengan perpisahan. Kanak-kanak yang mengalami gangguan emosi juga dikatakan akan memberi kesan kepada hubungannya dengan orang lain. Mereka tidak mahu rapat langsung dengan orang selain daripada yang telah rapat dengannya. Contohnya, murid yang telah rapat dengan kakak atau abangnya tidak mungkin akan menerima orang lain seperti rakan-rakan atau guru sebagai orang yang rapat dengannya. Hal ini merupakan penghindaran interaksi dengan orang lain daripada sebarang kritikan. Menurut Aziz Yahaya lagi, kanak-kanak ini berasa dirinya diperhatikan dan takut ditertawakan jika dia membuat kesilapan. Namun begitu perasaan ini tidak dihadapi sewaktu kanak-kanak ini bersendirian.

Peranan Guru Dalam Menangani Gangguan Emosi Dalam Kalangan Murid Golongan yang pastinya berhadapan dengan kanak-kanak yang sedang mengalami perkembangan pertengahan lingkungan umur 6 hingga 13 tahun ini adalah tidak lain dan tidak bukan adalah golongan pendidik. Ini adalah kerana guru merupakan golongan yang terhampir selepas ibu dan bapa mereka dimana banyak masa diperuntukkan kanak-kanak ini adalah di sekolah. Sebagai guru yang bertanggungjawab dan prihatin, setiap perubahan yang berlaku dalam kalangan murid seharusnya disedari dan dipandang sebagai suatu perkara yang serius. Walaupun kesibukan dan ditambah lagi dengan bilangan murid yang ramai menjadi antara salah satu faktor guru tidak menyedari hal sebegini, ia bukanlah alasan untuk guru berdiam diri tanpa melakukan apa-apa tindakan. Sekurang-kurangnya dengan memahami pengertian dan tanda-tanda gangguan emosi ini, guru dapat membuka langkah dan membantu murid sekadar yang termampu sama ada secara berkelompok mahupun tertumpu kepada seseorang individu yang bermasalah. Sebagai bakal guru, pastinya cabaran yang paling utama adalah sewaktu berhadapan dengan pelbagai karenah dan keadaan murid yang mengalami masalah ini. Perkara yang paling utama sebelum melaksanakan apa jua tindakan adalah dengan mengenalpasti dengan teliti terlebih dahulu serta mengkaji tanda-tanda yang wujud dalam diri seseorang murid itu. Menerusi pengalaman Lazimnya, program pendidikan adalah jalan penyelesaian yang terbaik bagi membantu murid-murid yang mengalami gangguan emosi ini agar lebih berfikiran positif dan bersikap terbuka dalam menghadapi sebarang perkara yang menggugat perasaan mereka. Disinilah letaknya peranan dan tanggungjawab guru-guru di sekolah yang setiap hari berhadapan dengan murid-murid ini selain hanya membekalkan mereka dengan ilmu dan pelajaran semata-mata. Pendekatan emosional perlu dilakukan selaras dengan kehendak seseorang manusia itu sendiri iaitu dengan membina hubungan positif dengan murid agar mereka berasa selamat dan dilindungi. Cara mengaplikasikan pendekatan emosi ini boleh berlangsung apabila dalam keadaan emosi murid yang tidak stabil dan memuncak. Contohnya, apabila seseorang murid menunjukkan reaksi perasaan marah, guru harus bertindak sebagai pihak yang membantu meredakan keadaan tersebut. Menurut catatan Dr. Widodo Judarwanto seorang pakar pediatrik, beliau menyarankan supaya orang dewasa atau guru membiarkan murid tersebut ketika dia sedang marah dan mula bercakap dengannya sewaktu emosinya kembali stabil. Dalam perbualan selepas keadaan marah itu berlangsung, guru perlu mendekati murid tersebut dengan menunjukkan rasa simpati dan berkata bahawa perasaan marah itu adalah normal. Pendekatan harus diambil dengan

mengkaji punca kemarahan itu dan mendengar dengan tekun setiap perkara yang diutarakan. Pada peringkat ini, guru perlu memilih langkah yang bijak serta berhati-hati sewaktu bertanya tentang perasaannya ketika itu. Dalam hal ini, apa yang paling penting adalah kesabaran guru itu sendiri dalam menghadapi karenah murid yang sukar dijangka dan diramal. Sesungguhnya, tahap kesabaran yang amat tinggi diperlukan bagi seorang guru dalam menghadapi situasi ini secara tenang dan profesional. Pendekatan yang boleh digunakan oleh seorang guru sebenarnya agak berbeza dengan pendekatan yang dibuat oleh ibu bapa di rumah. Jika di rumah, mereka dididik memahami dan mengurus emosi sendiri, maka di sekolah, kanak-kanak ini harus belajar memahami emosi orang lain dan mampu menguruskannya. Maka di sekolah adalah medan kecerdasan interpersonal diperkembang dan dimantapkan. Bantuan guru dalam hal ini amat diperlukan oleh murid bagi memberi peluang mereka memperoleh kesempatan untuk memiliki pengalaman ini. Menurut Sohaimi Abdul Aziz (1998), di sekolah murid akan belajar serba sedikit tentang cara untuk memotivasikan diri, memahami emosi orang lain dan mengendalikan sesuatu hubunhan. Sekolah juga menjadi tempat bagi literasi emosi berkembang dan membiak. Maka peranan sekolah telah berubah dan bukan semata-mata memberi penekanan terhadap peningkatan intelek atau daya kognitif, malah kecerdasan emosi. Walaubagaimanapun, penyuburan intelek ini harus berjalan secara harmoni dan seiring dengan perkembangan emosi tanpa memisahkannya sama sekali. Di luar negara, iaitu di Neuva Learning Centre yang terletak di San Francisco, Amerika Syarikat merupakan salah sebuah sekolah yang mempunyai kurikulum tambahan mengenai kecerdasan emosi, iaitu subjek Sains Kendiri. Pengarah pusat ini, Karen Stove McCowan telah mengasaskan kurikulum ini dan tujuannya adalah untuk memberi ruang dan peluang kepada murid bahawa mereka mempunyai pilihan bagaimana untuk memberikan reaksi kepada emosi dan mendapatkan cara bersesuaian untuk memberi reaksi kepada emosi itu. Oleh itu, murid-murid akan lebih terbimbing dan tahu bagaimana untuk menyalurkan perasaan atau emosi mereka dengan cara yang betul dan terkawal. Menurut M.A Mastropieri, T.E. Scruggs (2010) dalam penulisannya mencadangkan beberapa langkah yang boleh diambil oleh guru dalam mengendalikan masalah ini terutamanya sewaktu dalam sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam bilik darjah. Antaranya adalah dengan membuat persediaan yang rapi sebelum sesi PdP dijalankan. Persiapan ini termasuklah dengan menyediakan beberapa aktiviti yang bersesuaian dengan melibatkan murid-murid bermasalah gangguan emosi ini bagi meningkatkan keyakinan diri mereka. Contohnya adalah seperti memberi mereka tugas sebagai pembantu guru iaitu

seperti mengedarkan lembaran kerja kepada rakan-rakan. Pada masa yang sama, guru dapat memberikan peluang untuk mereka diterima dalam kalangan rakan-rakan. Namun begitu, tidak semua murid yang bermasalah ini sanggup bekerjasama, maka guru harus bijak memujuk dan memberi galakan kepadanya. Cadangan kedua adalah dengan mewujudkan hubungan yang baik dan mesra dengan murid-murid ini disamping menetapkan peraturan-peraturan yang boleh dipatuhi oleh mereka. Ganjaran dan peneguhan positif pastinya boleh digunakan sebagai galakan. Dalam pada itu, sikap toleransi dan tidak menghukum guru perlu diamalkan agar murid berasa lebih difahami dan disayangi oleh guru. Adapun guru boleh mempelbagaikan strategi pengajaran dengan menggalakkan murid untuk bersuara dan menyatakan pendapat. Dalam amalan pengajaran dan pembelajaran, sesi soal jawab dapat membantu murid memperkembang interaksi sosial dengan guru dan seterusnya berpeluang untuk berinteraksi dengan lebih baik dengan rakan-rakan sekelas. Perlaksanaan cadangan ini adalah bergantung kepada kebijaksanaan seorang guru itu dalam memahami dan mengawal situasi dalam bilik darjah agar lebih wujudnya kemesraan dan hubungan yang harmoni antara guru dan murid. Maka murid-murid yang dikenalpasti mengalami gangguan emosi ini serba sedikit dapat memperbaiki keadaan diri agar terlihat lebih positif. Dalam portal Kids Mental Health Informational telah mencadangkan terapi bermain sebagai jalan alternative bagi mengurangkan gangguan emosi dalam kalangan murid. Rasional terapi ini adalah apabila dapat memberi peluang kepada kanak-kanak dalam mengekspresi perasaan mereka tanpa disedari dan secara perlahan-lahan boleh meningkatkan kepercayaan mereka terhadap kauselor atau guru yang menjalankan terapi ini. Perkara utama yang perlu diingat dalam menghadapi kanak-kanak ini perlu adanya penghormatan terhadap hak mereka untuk bermain secara tenang tanpa sebarang gangguan. Sekurang-kurangnya dengan menjalani terapi ini, murid akan berasa lebih relaks dan mampu untuk berfikir secara rasional dan tidak terburu-buru dan membuat sesuatu keputusan atau tindakan.

Penutup Kesimpulannya, gangguan emosi dalam kalangan kanak-kanak ini sewajarnya diambil perhatian yang serius oleh golongan sekeliling yang mana golongan-golongan seperti orang dewasa terutamanya ibu bapa berperanan penting dalam mengesan perubahan-perubahan yang berlaku keatasa kanak-kanak ini. Oleh sebab itu, ibu bapa antara pihak yang tidak harus lepas tangan dalam memastikan keperluan kanak-kanak ini dipenuhi selain menjadi lebih cakna tentang keadaan mereka. Walaubagaimanapun, peranan guru juga tidak kurang pentingnya kerana golongan pendidik ini adalah golongan dewasa kedua terpenting dalam kehidupan seseorang kanak-kanak. Selain faktor kepercayaan, kanak-kanak ini lebih suka sekiranya guru-guru prihatin dengan masalah yang dialami oleh mereka dan mencuba untuk menghulurkan bantuan seadanya. Bukan wang ringgit yang menjadi ukuran, namun kasih sayang dan perhatian dari guru adalah perkara yang utama yang menjadi dambaan mereka. Natijahnya, sewajarnya semua pihak berperanan dalam membantu menyelamatkan kanak-kanak ini dari terus hanyut dibawa arus perasaan dan akhirnya memusnahkan masa depannya sendiri.