Anda di halaman 1dari 18

PENGENALAN KEPADA KOMUNIKASI

ANTARA PERSEORANGAN
Kandungan
Topik 1Mengapa Manusia Perlu Berkomunikasi?
Topik 2Definisi Komunikasi dan Komunikasi Antara Perseorangan
Topik 3Perkembangan Model Komunikasi Antara Perseorangan
Topik 4Prinsip-prinsip Asas Komunikasi Antara Perseorangan
Topik 5Konsep Yang Salah Mengenai Komunikasi
Topik 6Komunikasi dalam Hubungan Antara Perseorangan
Topik 7Meningkatkan Kemahiran Komunikai Antara Perseorangan
_______________________________________________________________________

Objektif
Pelajar-pelajar seharus mencapai objektif-objektif berikut selepas mempelajari unit ini:
 Menerangkan kepentingan komunikasi antara perseorangan dalam kehidupan.
 Membezakan definisi-definisi komunikasi, komunikasi kemanusiaan, dan
komunikasi antara perseorangan.
 Menghuraikan komponen-komponen penting dalam proses komunikasi.
 Menerangkan perbezaan di antara komunikasi dalam perspektif linear, interaksi
dan transaksi.
 Membincangkan prinsip-prinsip komunikasi antara perseorangan.
 Menerangkan ciri-ciri komunikator yang berkesan.

Pengenalan
Cuba bayangkan situasi ini. Anda pergi berburu dihutan dengan rakan-rakan. Kemudian
anda tersesat dan tinggal seorang di dalam hutan untuk beberapa tahun kerana tidak
dapat mencari jalan keluar. Sebagai pemburu, memang anda tidak mempunyai masalah
untuk survival anda. Tetapi bagaimana agaknya kehidupan anda bersendirian beberapa
tahun di dalam hutan tanpa seorang insan untuk berkomunikasi? Dan bila anda telah
menemui jalan keluar dari hutan itu dan menemui semula keluarga anda, bagaimana
pula agaknya perlakuan komunikasi dan perasaan anda ketika itu?

Cuba bayangkan yang ini pula. Anda tidak dibenarkan bercakap dengan sesiapapun pada
pada minggu ini. Agaknya, berapa lama anda boleh berbuat demikian? Satu jam, satu
hari atau satu minggu? Apakah agaknya perasaan anda semasa tidak dapat
berkomunikasi dengan sesiapa dalam jangkamasa tersebut?

Dua pertiga daripada kehidupan manusia sebenarnya diisi dengan aktiviti komunikasi.
Kehidupan tanpa komunikasi ialah suatu “kematian”. Ia adalah salah satu elemen utama
dalam kehidupan manusia. Sejak dilahirkan kita telah pun berkomunikasi. Seorang bayi
menangis untuk mengkomunikasikan perasaan lapar atau kesakitan yang sedang
dialaminya dan ia ketawa untuk menyatakan kegembiraannya secara bukan verbal.
Apabila kita dewasa, kita melengkapkan interaksi kita dengan orang lain dengan
komunikasi verbal.

Manusia sememangnya tidak boleh tidak berkomunikasi. Kita perlu berkomunikasi untuk
berkongsi perasaan, membantu dan mendapatkan bantuan, mengajar dan belajar serta
menjalin dan mengekalkan hubungan. Pendek kata, kita perlu berkomunikasi untuk
mengekalkan status kehidupan kita sebagai seorang manusia.

1
Nabi Muhamad S.A.W juga pernah menekankan betapa pentingnya kita berkomunikasi.
Baginda bersabda dalam hadith yang memberi bermaksud bahawa hukumnya adalah
haram bagi seseorang muslim yang berniat tidak mahu berkomunikasi dengan sesiapa
pada hari tersebut.

Aktiviti
Buat pertembungan mata dengan sesiapa sahaja yang duduk di sebelah anda
tanpa berkata apa-apa selama 10 saat. Kemudian tanyalah kepadanya mengenai
persepsinya terhadap diri anda mengenai perlakuan tersebut. Adakah perlakuan
anda itu merupakan sejenis komunikasi?

Topik 1: Mengapa Manusia Perlu Berkomunikasi


Ada banyak sebab mengapa manusia perlu berkomunikasi. Keperluan-keperluan ini boleh
dikategorikan sebagai:

• Keperluan kesihatan fizikal dan mental


• Keperluan identiti
• Keperluan sosial
• Keperluan untuk mencapai matlamat

Keperluan Kesihatan Fizikal dan Mental


Kajian telah membuktikan bahawa orang yang tidak dapat berkomunikasi dengan orang
lain akan didatangi berbagai masalah kesihatan fizikal dan mental. Kajian-kajian yang
dijalankan telah menunjukkan bahawa komunikasi merupakan suatu keperluan asas
dalam kehidupan manusia. Berikut adalah masalah-masalah yang boleh dialami oleh
seseorang jika mereka memilih untuk mengelak daripada berkomunikasi dengan orang
lain (Adler, Rosenfeld & Towne, 1999):

• Orang yang kurang berkomunikasi menghadapi risiko koronari atau serangan


sakit jantung yang lebih tinggi berbanding dengan orang yang sering
berkomunikasi.
• Orang yang terpinggir daripada orang ramai empat kali lebih mudah
dihinggap selsema berbanding dengan orang yang aktif dalam masyarakat.
• Orang yang tidak suka berkomunikasi adalah dua atau tiga kali lebih pendek
usianya berbanding dengan orang yang terlibat dalam hubungan sosial seperti
perkahwinan, persahabatan, keagamaan dan sebagainya.
• Lelaki dan perempuan yang bercerai mudah diserang penyakit jantung, barah,
dan tekanan darah tinggi, tibi, dan juga membunuh diri berbanding dengan
mereka yang hidup kekal sebagai suami isteri.
• Orang yang kehilangan seseorang yang rapat hubungan dengannya kerana
kematian juga menghadapi risiko kematian awal jika dia memilih untuk tidak
berkomunikasi dengan orang lain.
• Dari segi mental, seseorang boleh mengalami halusinasi (khayalan sedang
berinteraksi dengan seseorang) jika dia terpencil seorang diri atau dinafikan
keperluannya untuk berkomunikasi. Misalnya, tentera udara Amerika yang
dikurung di dalam penjara semasa perang Vietnam telah mengalami berbagai
masalah mental semasa dipenjarakan dan juga setelah dibebaskan.

Keperluan Identiti
Kita perlu berkomunikasi dengan orang lain untuk mengetahui siapa diri kita sebenarnya.
Kita tidak mungkin tahu sama ada kita seorang yang pandai atau bodoh, cantik atau
hodoh, mahir atau tidak dalam suatu bidang kecuali ada orang lain yang menilai dan
menyatakannya pada diri kita.

2
Lazimnya, kita mahu menjalin hubungan dengan orang yang mengesahkan identiti kita.
Kita lebih suka dengan orang yang menyokong diri kita daripada orang yang merendah-
rendahkan kita. Dengan itu, komunikasi memainkan peranan penting dalam menentukan
konsep kendiri seseorang.

Keperluan Sosial
Adalah mustahil seseorang itu boleh hidup tanpa melibatkan dirinya dengan aktiviti
sosial. Kita mewujudkan hubungan dengan orang lain untuk memenuhi keperluan sosial
melalui komunikasi. Seseorang memerlukan kasih sayang, keseronokan, perasaan
dipunyai, riadah, kawalan dan sebagainya melalui interaksinya dengan orang lain.
Sebagaimana yang dinyatakan dalam Hiraki Keperluan Maslow.

Keperluan Untuk Mencapai Matlamat


Untuk mencapai suatu matlamat, kita perlu berkomunikasi dengan orang lain. Kemahiran
berkomunikasi membolehkan kita memujuk atau mempengaruhi orang lain untuk
mencapai apa yang kita inginkan. Komunikasi antara perseorangan adalah kaedah
komunikasi yang lebih berkesan untuk mempengaruhi dan mengubah perlakuan orang
daripada komunikasi massa. Komunikasi massa hanya mampu untuk menyalurkan
maklumat tetapi tidak berkeupayaan untuk mempengaruhi seseorang untuk mengubah
kepercayaan atau perlakuannya.

Oleh itu, komunikasi antara perseorangan boleh membantu kita dalam banyak perkara
dalam kehidupan seharian. Misalnya, seorang pelajar yang baru bergraduat memerlukan
kebolehannya untuk berkomunikasi dengan berkesan semasa temuduga mendapatkan
pekerjaan. Mengikut kajian yang telah banyak dijalankan terbukti bahawa kemahiran
berkomunikasi adalah faktor penting untuk seseorang mendapatkan pekerjaan,
peningkatan gaji dan juga kenaikan pangkat.

Topik 2: Definisi Komunikasi dan Komunikasi Antara


Perseorangan
Sebenarnya komunikasi antara perseorangan telah didefinisikan oleh ramai pengkaji
dengan berbagai definisi. Bagi memahaminya, terlebih dahulu kita perlu mengetahui
peringkat-peringkat komunikasi kemanusiaan.

Komunikasi kemanusiaan mempunyai beberapa peringkat seperti dalam Jadual


1.1 yang berikut:

Jadual 1.1 Peringkat dan Sifat Komunikasi

Peringkat Sifat-sifat Komunikasi


Komunikasi
 Melibatkan seorang komunikator yang berkomunikasi
Komunikasi dengan dirinya sendiri iaitu monolog (bicara hati).
intrapersonal  Membantu dalam penganalisaan, penilaian tentang diri
(komunikasi sendiri dan juga dalam membuat keputusan.
dalaman)
 Komunikasi yang melibatkan dua orang komunikator yang
Komunikasi antara berinteraksi secara dua hala, serentak dan mereka saling
perseorangan mempengaruhi.
(interpersonal)  Penting dalam menjalin dan mengekalkan hubungan,
memujuk dan mempengaruhi orang lain.
 Komunikasi dua hala yang melibatkan kumpulan terdiri
Komunikasi daripada tiga hingga 12 orang ahli.
kumpulan kecil  Penting untuk berkongsi maklumat, mendapatkan idea,

3
menyelesaikan masalah dan bantu membantu. Misalnya,
dalam mesyuarat atau sesi kaunseling kelompok.
 Komunikasi yang melibatkan seorang komunikator
Komunikasi publik berkomunikasi dengan audiens yang ramai. Biasanya
bersifat sehala.
 Berguna untuk memberitahu, memujuk, mempengaruhi dan
menghibur.
 Komunikasi sehala yang melibatkan seorang komunikator
Komunikasi massa dengan audiens yang sangat ramai.
 Penggunaan saluran-saluran tertentu bagi menyebarkan
mesej seperti media cetak, elektronik, dan sebagainya.
 Berguna untuk memberitahu, memujuk, mempengaruhi dan
menghibur.

Dari jadual di atas jelaslah bahawa komunikasi kemanusiaan melibatkan interaksi diri
seseorang sama ada dengan dirinya sendiri atau pun dengan diri orang lain.

Definisi Komunikasi

Sebenarnya definisi komunikasi adalah sangat luas dan bersifat sangat subjektif. Terlalu
banyak definisi komunikasi yang diperkenalkan oleh pakar-pakar komunikasi dan masing-
masing mendefinisikannya berdasarkan kepada berbagai konteks dan tahap komunikasi.
Secara umumnya ia didefinisikan sebagai:

 Perkongsian makna
 Proses atau perlakuan komunikasi
 Proses memberikan tindakan terhadap sebarang maklumat.
 Mesej sebenar atau mesej yang dihantar atau diterima

Walau bagaimanapun, fokus kursus ini ialah mengenai komunikasi kemanusiaan yang
melibatkan proses memberikan makna dalam kehidupan dan berkongsi dengan orang
lain akan makna tersebut.

Definisi Komunikasi Antara Perseorangan

Menurut Beebe, Beebe & Redmond (1999), komunikasi antara perseorangan ialah
komunikasi kemanusiaan yang berlaku apabila seseorang berinteraksi secara serentak
dengan orang lain dan saling mempengaruhi di antara satu sama lain dengan tujuan
untuk mengendalikan hubungan Ringkasnya, mereka membuat penjelasan bahawa:

• Dalam komunikasi antara perseorangan, berinteraksi secara serentak


bermaksud kedua-dua orang komunikator bertindak ke atas maklumat yang
sama pada masa yang sama. Kedua-duanya menyampai dan menerima mesej
pada masa yang sama. Misalnya, ketika seorang ibu memarahi anaknya,
mesej yang diterima oleh anaknya disampaikan kembali kepada ibunya
melalui komunikasi bukan verbal seperti bermasam muka atau berdiam diri.
• Saling mempengaruhi bermaksud kedua-dua komunikator menerima kesan
daripada interaksi itu. Misalnya, ibu yang marah pada anaknya tadi mungkin
berasa semakin geram apabila melihat sianak menunjukkan perasaan tidak
puas hati melalui perlakuan bukan verbal seperti bermasam muka.

Adler, Rosenfeld dan Towne (1999), mendefinisikan komunikasi antara perseorangan


sebagai suatu proses transaksi yang berterusan, melibatkan komunikator-komunikator
daripada persekitaran yang sama ataupun berbeza dan mewujudkan hubungan melalui
pertukaran mesej yang kebanyakannya dipengaruhi oleh gangguan atau halangan
luaran, fisiologi dan psikologi.

4
Menurut mereka, komunikasi boleh didefinisikan dengan dua cara iaitu secara kuantitatif
dan kualitatif.

Definisi secara kuantitatif

• Definisi ini jelas tertumpu kepada bilangan komunikator yang terlibat. Ia


merupakan interaksi di antara dua komunikator yang biasanya berlaku secara
bersemuka.
• Kadangkala disebut juga sebagai komunikasi diad.
• Ia bersifat impersonal iaitu lebih formal. Contoh-contoh komunikasi diad ialah
interaksi di antara jurujual dan pembeli, polis trafik yang menyaman pemandu
cuai dan sebagainya. Mereka yang terlibat di dalam komunikasi diad tidak
mempunyai hubungan peribadi atau personal di antara satu sama lain.
• Komunikasi diad adalah tidak sama seperti komunikasi yang melibatkan ramai
komunikator. Tidak seperti komunikasi publik, komunikasi diad bersifat lengkap
dan tidak boleh dibahagikan. Misalnya, jika salah seorang komunikator menarik
diri daripada interaksi dengan pasangannya maka interaksi itu akan putus atau
hubungan itu akan berakhir.

Definisi secara kualitatif

• Definisi ini menyatakan komunikasi antara perseorangan berlaku apabila


komunikator-komunikator yang berinteraksi menganggap diri mereka sebagai
individu-individu yang unik di antara satu sama lain tanpa mengira konteks di
mana interaksi itu berlaku dan bilangan komunikator yang terlibat.
• Tidak seperti komunikasi-komunikasi kumpulan kecil, publik atau massa yang
bersifat formal atau impersonal, komunikasi antara perseorangan adalah bersifat
peribadi atau personal.
________________________________________________________________________

5
Topik 3 Perkembangan Model Komunikasi Antara
Perseorangan
Bagaimakah model komunikasi antara perseorangan terbentuk? Dalam kursus-kursus
komunikasi yang telah dipelajari sebelum ini, anda mungkin sudah mengetahui bahawa
komunikasi mempunyai perspektif yang berbeza. Ramai pakar komunikasi seperti Berlo,
Laswell, Shannon dan Weaver telah memperkenalkan gambaran atau model-model
komunikasi mereka.

Model yang termudah dan terulung mempamerkan komunikasi sebagai suatu tindakan
iaitu pemindahan mesej. Laswell (1942), merumuskan model komunikasinya seperti
berikut:

Siapa?
Berkata apa?
Dalam saluran apa?
Kepada siapa?
Dengan kesan apa?

Model Laswell menggambarkan komunikasi itu sebagai suatu proses input/output linear
iaitu bersifat komunikasi sehala.

Shannon dan Weaver (1949), telah membentuk sebuah model komunikasi (lihat Rajah
1.1) dalam rajah yang agak teknikal menggunakan komponen utama yang sama seperti
model Laswell seperti berikut:

• Sumber maklumat - termasuklah idea atau emosi.


• Sumber atau transmitter - iaitu tempat wujud atau asalnya idea atau emosi.
• Enkod - menterjemahkan idea atau emosi kepada kod.
• Dekod – interpretasi kod oleh sipenerima. Sipenerima akan mendekod dan cuba
memahami apa yang telah diterimanya iaitu mesej yang mengandungi makna
kepada sipenerima.
• Saluran ialah laluan mesej sama ada melalui bunyi, visual, bau atau sentuhan.
• Halangan atau noise yang mungkin menjejaskan makna sebenar mesej yang
disampaikan.

Rajah 1.1 Model Komunikasi Linear (Sehala)

6
6

Model Komunikasi Linear

Audiens Mesej Pengucap

(Dekod) (Enkod)

Pada tahun 1940’an dan awal 1950’an kefahaman kita tentang komunikasi kemanusiaan
digambarkan sebagai suatu interaksi atau pertukaran mesej yang melibatkan perkara-
perkara berikut:
• Maklumbalas iaitu respons kepada mesej.
• Konteks iaitu persekitaran fizikal dan psikologikal proses komunikasi yang sedang
berkangsung.

Contoh yang sesuai untuk menggambarkan definisi ini ialah interaksi di antara dua
komunikator melalui internet seperti chatting. Pendekatan ini masih menggambarkan
bahawa komunikasi masih terbatas kepada suatu proses linear.

Dalam tahun 1960’an model yang kini digunakan menggambarkan komunikasi


kemanusiaan sebagai suatu transaksi (lihat Rajah 1.2) iaitu pembentukan mesej yang
dihurai seperti berikut:
• Kedua-dua komunikator sentiasa menghantar dan menerima mesej.
• Mereka saling mendefinisikan simbol-simbol yang digunakan bukan sekadar
memindahkan mesej daripada seorang komunikator kepada komunikator yang
lain.
• Penerimaan dan penghantaran mesej berlaku melalui episod-episod dan
melibatkan mesej seorang komunikator yang mempengaruhi seorang
komunikator lain.

Model komunikasi ini sudah pasti akan berubah dengan kemajuan teknologi komunikasi
yang semakin hari semakin kompleks dan canggih.

Rajah 1.2 Model Komunikasi Transaksi

7
7
Model Komunikasi Transaksi (Dua Hala)

Rangka Maklumbalas
Individu
rujukan (enkod)
Individu
(dekod)

Gangguan
Gangguan
Gangguan

Individu Individu
(Dekod) (Enkod)

Rangka
Konteks Mesej rujukan

8
Topik 4 Prinsip-Prinsip Asas dalam Komunikasi Antara
Perseorangan
Dalam memahami komunikasi antara perseoranganan, adalah penting memahami
prinsip-prinsip komunikasi antara perseorangan yang berikut:

• Kita tidak dapat mengelak daripada berkomunikasi.

Semua orang tidak boleh tidak berkomunikasi. Maksudnya di sini ialah apa jua
yang kita lakukan sama ada bercakap atau tidak, berdiam diri atau bergerak,
semua ini adalah perlakuan komunikasi. Kita menghantar mesej secara verbal dan
bukan verbal. Berdiam diri mungkin bermakna kita penat atau marah atau terlalu
sedih. Apabila seorang lelaki bersiul kepada sesorang perempuan dia mungkin
membawa seribu satu makna yang mudah atau sukar difahami. Kita juga
menghantar mesej secara sengaja dan bukan sengaja yang dianggap sebagai
perlakuan komunikasi.

• Komunikasi antara perseorangan tidak boleh ditarik balik

Komunikasi adalah peristiwa. Jika ia telah dilaksanakan maka adalah mustahil bagi
kita untuk membatalkan apa yang telah dilakukan. Oleh itu kita harus berhati-hati
apabila berkomunikasi dengan orang lain semasa berkonflik terutamanya
penggunaan kata-kata yang boleh melukai perasaan orang lain. Walaupun kita
boleh meminta maaf, adalah mustahil untuk kita menarik balik kata-kata yang
telah diluahkan kepadanya.

• Komunikasi antara perseorangan adalah sangat rumit

Menurut Beebe, Beebe, Redmond (1999), terdapat sekurang-kurangnya enam


“orang” yang terlibat dalam perbualan di antara dua orang komunikator iaitu:

o Who you think you are (Persepsi kita tentang diri kita)
o Who you think the other person is (Persepsi kita tentang diri orang itu)
o Who you think the other person thinks you are (Persepsi kita terhadap
persepsi orang itu terhadap diri kita)
o Who the other person thinks he or she is (Persepsi orang itu mengenai
dirinya)
o Who the other person thinks you are (Persepsi orang itu terhadap diri kita)
o Who the other person thinks you think he or she is (Persepsi orang itu
tentang persepsi kita terhadap dirinya)

Dalam komunikasi antara perseorangan terdapat banyak simbol dan mesej yang boleh
diinterpretasikan dengan berbagai maksud dan situasi. Akibatnya, salah faham mungkin
boleh terbit dan mencetuskan konflik.

• Komunikasi antara perseorangan bersifat kontekstual

Terdapat lima konteks dalam komunikasi antara perseorangan iaitu:


o Konteks psikologi yang melibatkan keinginan, keperluan, nilai, personaliti,
konsep kendiri dan nilai kendiri pada kedua-dua komunikator.
o Konteks hubungan yang melibatkan tahap kepercayaan, kuasa, kawalan,
tahap pendedahan kendiri dan pengalaman mengenai diri masing-masing
dalam hubungan mereka.
o Konteks situasi yang melibatkan persekitaran fizikal di mana kedua-dua
komunikator sedang berkomunikasi.

9
o Konteks budaya yang melibatkan unsur-unsur budaya yang
mempengaruhi interaksi kedua-dua komunikator.

• Komunikasi antara perseorangan tidak boleh diulang semula

Oleh kerana komunikasi merupakan peristiwa, maka adalah mustahil bagi kita
mengulang semula peristiwa yang sama. Misalnya, jika senyuman anda boleh
mengambil hati seseorang hari ini mungkin tidak ia tidak dapat dilakukan semula
dengan orang yang sama pada esok hari. Kelakuan kita adalah bersifat
sementara. Ia sentiasa berubah sebagaimana komunikasi yang sentiasa berubah
setiap kali ia dinyatakan atau dilakukan.

Topik 5 Konsep Yang Salah Mengenai Komunikasi


Ramai orang mempunyai konsep yang salah mengenai komunikasi. Oleh kerana
komunikasi bersifat rumit maka kita perlu memahami kesilapan-kesilapan ini untuk
mengelak daripada timbulnya masalah yang lebih besar semasa berkomunikasi dengan
orang lain.

• Kata-kata tidak semestinya membawa makna yang sebenar.

Kadangkala kata-kata yang kita luahkan tidak memberikan makna yang sama
dengan orang yang mendengarnya. Sipenerima mungkin mendekodkan mesej
dengan erti yang berbeza dengan apa yang kita maksudkan. Misalnya, jika kita
berkata “kamu kaki bangku” kepada seorang kanak-kanak mungkin dia
mempunyai sangkaan bahawa kakinya adalah serupa dengan kaki bangku yang
betul.

• Lebih banyak berkomunikasi tidak selalunya lebih baik.

Tidak berkomunikasi sama sekali boleh menjejaskan kesihatan kita tetapi terlalu
banyak berkomunikasi juga adalah tidak berfaedah terutamanya dalam
komunikasi yang dipenuhi dengan kemarahan dan emosi. Kadangkala berdiam diri
(komunikasi bukan verbal) adalah lebih baik. Misalnya, seorang suami harus
banyak mendiamkan diri daripada banyak bercakap apabila isterinya sedang
berleter. Tindakannya itu boleh menyelamatkan suasana yang tegang. Seperti
sabda Nabi Muhamad S.A.W. yang bermaksud, berdiam diri itu adalah satu
kebijaksanaan tetapi tidak ramai orang mengetahuinya.

• Komunikasi tidak boleh menyelesaikan semua masalah

Kadangkala komunikasi yang jelas dan ikhlas juga boleh menyebabkan konflik.
Misalnya, jika seorang isteri yang gemuk bertanya pendapat suaminya mengenai
dirinya dan si suami pula memberikan jawapan yang benar dan ikhlas maka
konflik sudah pastinya akan tercetus.

• Komunikasi tidak selalunya boleh mempengaruhi orang lain.

Perubahan seseorang dari segi perlakuan atau tindakan tidak semestinya boleh
dilakukan melalui komunikasi semata-mata. Banyak faktor-faktor lain seperti
faktor emosi, kesihatan, budaya dan lain-lain perlu dipertimbangkan oleh
seseorang untuk membuat keputusan setelah dipujuk ataupun diugut.

• Komunikasi bukanlah suatu kebolehan semulajadi.

10
Ramai orang menyangka bahawa kemahiran berkomunikasi merupakan
kebolehan semulajadi atau keturunan. Komunikasi seperti kemahiran sukan atau
memasak memerlukan masa dan latihan yang secukupnya untuk dikuasai. Ia
bukan milik peribadi suatu keturunan atau bangsa.

11
Topik 6 Komunikasi dalam Hubungan Antara
Perseorangan
Salah satu fungsi komunikasi ialah untuk menjalin dan mengekalkan hubungan. Oleh itu,
dalam mengkaji komunikasi antara perseorangan, kita pastinya perlu juga memahami
konsep hubungan di antara komunikator-komunikator yang terlibat.

Hubungan antara perseorangan ialah hubungan yang dijalin oleh dua orang komunikator
melalui proses komunikasi. Menurut Beebe, Beebe dan Redmond (1999), hubungan
antara perseorangan mempunyai beberapa ciri tertentu.

• Hubungan antara perseorangan merupakan sistem dan juga proses terdiri


daripada elemen-elemen yang saling berkait. Perubahan satu elemen akan
mengubah jenis komunikasi dalam suatu hubungan. Hubungan sentiasa berubah.
Ia bermula daripada hubungan yang formal (impersonal) kepada hubungan yang
lebih intim dan tahap hubungan itu boleh dikenali melalui jenis maklumat atau
mesej yang digunakan oleh kedua-dua orang komunikator dalam hubungan
mereka. Maklumat atau mesej mengenai diri komunikator boleh dikenali daripada:
o Maklumat budaya iaitu maklumat umum mengenai bahasa dan nilai-nilai
utama yang dikongsi bersama oleh orang-orang dalam masyarakat.
Walaupun kita tidak mengenali diri seseorang dalam masyarakat kita, kita
menjangkakan dia mempunyai perlakuan yang sama dengan diri kita.
Komunikasi di peringkat ini adalah bersifat impersonal.
o Maklumat sosiologi yang berasaskan kepada pengetahuan kita terhadap
keahlian seseorang di dalam suatu kumpulan atau masyarakat. Komunikasi
di peringkat ini juga merupakan komunikasi impersonal.
o Maklumat psikologi ialah maklumat tertentu mengenai keunikan
seseorang apabila kita berinteraksi dengannya. Ini merupakan komunikasi
yang lebih intim.
o Komunikator-komunikator yang mempunyai hubungan juga membentuk
keunikan hubungan mereka yang tersendiri dari segi peraturan dalam
hubungan yang mengizinkan mereka kadangkala berkomunikasi secara
impersonal dan kadangkala intim tanpa mengira jenis hubungan yang
telah terjalin.

• Hubungan antara perseorangan mengutamakan kandungan mesej dan emosi.


o Segala komunikasi bukan verbal seperti nada suara, pergerakan badan,
pertembungan mata, sentuhan, bau-bauan, pakaian dan sebagainya boleh
memberikan mesej kedua dan gambaran mengenai dimensi emosi dalam
hubungan dua orang komunikator. Misalnya, seorang guru yang menyuruh
seorang murid supaya membaca buku dengan nada suara yang garang
memberikan mesej bahawa dia mengutamakan kuasa dan kawalan.
Sementara seorang ibu dengan nada suara yang lembut menyuruh
anaknya tidur meluahkan mesej bahawa siibu mementingkan sifat keadilan
atau kesamarataan di antara dirinya dengan anaknya. Ini kadangkala
disebut sebagai meta-komunikasi iaitu komunikasi mengenai komunikasi
(mesej di dalam mesej).

• Hubungan antara perseorangan boleh bersifat saling melengkapi, simetrikal atau


selari.
o Dalam hubungan yang saling melengkapi, salah seorang daripada kedua-
dua orang yang terlibat selalunya mempunyai kuasa yang lebih daripada
seorang lagi. Dalam kebanyakan urusan, hanya orang yang lebih dominan
boleh membuat keputusan. Misalnya, dalam hubungan suami isteri yang
isterinya tidak bekerja. Sisuami sebagai orang yang mencari nafkah
menyara keluarga mungkin mempunyai kuasa yang lebih daripada

12
isterinya. Siisteri yang tidak bekerja melengkapi hubungan mereka dengan
menjadi suri rumah dan menjaga anak-anak mereka.
o Dalam hubungan yang simetrikal kedua pasangan mempunyai kuasa yang
sama. Siisteri mungkin tidak perlu mendapatkan persetujuan daripada
suaminya untuk membuat sebarang keputusan. Pada zaman moden ini
terdapat pasangan isteri yang mengamalkan jenis hubungan ini
terutamanya di barat. Terdapat dua jenis hubungan simetrikal iaitu:
 Hubungan simetrikal bersaing (competitive symmetrical
relationship) yang melibatkan individu-individu dalam hubungan
itu cuba menjadi lebih dominan di antara satu sama lain.
 Hubungan simetrikal submisif (submissive symmetrical
relationship) kedua-dua mereka tidak mahu menjadi dominan tetapi
cenderung untuk menyerahkan kuasa kepada pasangan masing-
masing.
o Dalam hubungan yang selari, gaya hubungan pasangan melibatkan
pertukaran kuasa yang berubah-ubah mengikut situasi atau interaksi.
Misalnya, suami isteri mungkin mempunyai kuasa membuat keputusan
mengikut kemahiran atau kebolehan di antara mereka dalam bidang-
bidang mereka. Misalnya, sisuami membenarkan isterinya memilih jenis
perabot rumah kerana siisteri berkebolehan menghias rumah dengan baik.
• ·Hubungan antara perseorangan adalah terikat kepada peraturan-peraturan.
o Peraturan bermaksud sesuatu perlakuan yang harus dilakukan atau
dilarang dalam konteks tertentu.
o Peraturan mungkin bersifat eksplisit atau implisit. Peraturan eksplisit
adalah peraturan yang bertulis atau bersifat verbal. Misalnya, dalam
peperiksaaan kita dilarang bercakap kerana terdapat peraturan bertulis
mengenainya. Peraturan implisit merupakan peraturan yang tidak bertulis
tetapi difahami oleh setiap orang yang terlibat dalam hubungan tersebut.
Misalnya, kita perlu mengangkat tangan untuk menjawab soalan yang
ditanya oleh pensyarah kepada semua pelajar dalam kelas.
o Peraturan adalah dibentuk oleh individu-individu yang terlibat dalam
interaksi dan budaya mereka.
• Hubungan antara perseorangan terbentuk secara berperingkat-peringkat.
o Hampir semua hubungan antara perseorangan bermula secara
berperingkat-peringkat seperti berikut:
 Peringkat awal dalam hubungan mengandungi dua peringkat iaitu:
• Permulaan (initiation)
• Penerokaan (exploration)
 Apabila hubungan semakin intim peringkat seterusnya melibatkan
peringkat:
• Menggiatkan hubungan (intensifying)
• Mengintegrasikan hubungan (integrating)
• Pengikatan pengikatan (bonding)
 Hubungan juga boleh merosot dan seterusnya terputus melalui
beberapa peringkat berikut:
• Membuat perbandingan (differentiating)
• Membataskan (circumscribing)
• Merencatkan (stagnating)
• Pengelakan (avoiding)
•Pemutusan (terminating)
Hubungan antara perseorangan akan dibincangkan dalam unit-unit akan datang
dalam modul ini.

• Hubungan antara perseorangan terdiri daripada dua jenis orientasi:

13
o Fokus kepada diri sendiri.
 Dalam orientasi ini, sekurang-kurangnya seorang daripada
mereka yang terlibat dalam hubungan lebih tertumpu kepada
dirinya sendiri daripada diri pasangannya.
o Fokus kepada diri orang lain.
 Dalam orientasi ini, salah seorang atau kedua-dua orang yang
terlibat dalam hubungan lebih tertumpu kepada keperluan,
matlamat dan keinginan diri pasangannya.

14
Topik 7 Meningkatkan Kemahiran Komunikasi Antara
Perseorangan
Kemahiran berkomunikasi antara perseorangan bukanlah suatu kemahiran yang boleh
didapati tanpa sebarang kefahaman, latihan dan pengalaman. Ini disebabkan komunikasi
antara perseorangan melibatkan dua orang manusia yang mempunyai berbagai-bagai
perlakuan yang dipengaruhi oleh faktor psikologi, sosiologi, dan juga budaya. Manusia
juga mempunyai banyak pengalaman dalam hidup yang menyebabkan mereka
mempunyai perlakuan komunikasi yang berbeza. Oleh itu, kefahaman, latihan dan
pengalaman kita dalam kehidupan masyarakat dan budaya berbeza adalah sangat
penting.

Bagaimanakah caranya untuk seseorang menjadi mahir dalam komunikasi secara antara
perseorangan? Seorang komunikator yang berkesan harus sedar bahawa:
• Tidak ada satu cara komunikasi yang ideal dalam komunikasi antara
perseorangan. Kita memerlukan berbagai gaya komunikasi untuk menjadi
seorang komunikator yang berkesan. Dengan mempelbagaikan gaya
komunikasi kita dalam situasi yang berbeza adalah lebih sesuai dan berkesan
daripada hanya menggunakan satu gaya sahaja. Kita boleh menggunakan
gaya-gaya yang tegas, terbuka, lucu, pendiam dan sebagainya bergantung
kepada keadaan. Misalnya, gaya kita berkomunikasi dengan seorang
perempuan tidak seharusnya sama seperti gaya kita berkomunikasi dengan
seorang lelaki.
• Kemahiran berkomunikasi adalah bergantung kepada situasi. Disebabkan
manusia mempunyai pengalaman berbeza, emosi yang boleh berubah-ubah
dan budaya yang unik maka kepelbagaian gaya komunikasi adalah perlu
untuk berkomunikasi secara berkesan dengan mereka. Misalnya, kita boleh
berlawak jenaka dengan rakan kita kerana dia baru menerima gaji tetapi kita
menghadkan gaya tersebut apabila mengetahui bapanya baru sahaja
meninggal dunia.
• Kemahiran berkomunikasi adalah berbeza dalam hubungan yang berbeza.
Dalam banyak kajian yang dijalankan, ternyata bahawa berbagai gaya
komunikasi digunakan oleh orang dalam hubungan yang berbeza. Misalnya,
orang-orang yang mempunyai perasaan cemburu didapati mempamerkan
berbagai gaya komunikasi kepada pasangan mereka seperti marah,
mengurangkan perbualan dan sebagainya. Satu gaya komunikasi sahaja tidak
mungkin sesuai dalam hubungan-hubungan yang berbeza.

Ciri-ciri Komunikator Yang Mahir


Menurut Adler dan Towne (1999), seseorang komunikator yang mahir mempunyai ciri-ciri
tertentu seperti berikut:
• Mempunyai berbagai perlakuan komunikasi dan tahu bila suatu perlakuan itu patut
atau tidak patut digunakan dalam sebarang interaksi dengan orang lain. Misalnya,
jika kita diejek oleh seorang rakan kita, maka kita boleh memberikan respons dengan
berbagai cara tetapi ia haruslah bijaksana dengan mengambilkira berbagai akibat
jangka pendek dan jangka panjang dalam hubungan kita dengannya.
• Kebolehan memilih perlakuan komunikasi yang paling sesuai semasa berinteraksi.
Mempunyai banyak perlakuan komunikasi tidak semestinya menjamin komunikasi
yang berkesan jika pemilihan perlakuan atau gaya komunikasi yang dibuat tidak
sesuai dengan konteks atau situasi. Pemilihan perlakuan atau gaya komunikasi harus
mengambil kira konteks interaksi, matlamat interaksi dan juga segala maklumat
tentang diri orang yang terlibat dalam interaksi tersebut. Misalnya, kita boleh
bergurau dengan seorang rakan lama tetapi tidak mungkin dengan seseorang yang
baru sahaja dikenali.
• Kemahiran semasa mengaplikasikan perlakuan komunikasi. Kemahiran berkomunikasi
boleh disamakan dengan kemahiran bermain alat muzik. Sebagaimana pemuzik,
seseorang hanya mempunyai kemahiran berkomunikasi setelah dia memiliki

15
pengetahuan, latihan dan pengalaman yang lama untuk menjadi seorang
komunikator yang berkesan. Ada tiga peringkat yang harus dilalui oleh seseorang
untuk menjadi seorang komunikator yang berkesan Pertama dia harus banyak belajar
daripada pembacaan dan pergaulan dengan orang-orang yang telah berjaya menjadi
komunikator yang baik. Kedua dia perlu berlatih, memikirkan idea-idea yang bernas
dan membuat perancangan yang boleh membuahkan hasil untuk sebarang interaksi
dengan individu lain. Akhir sekali, dia boleh mengaplikasikan kemahirannya itu dalam
sebarang interaksi tanpa perlu memikirkan tentang strategi atau taktik. Perlakuan
komunikasinya pada peringkat ini adalah bersifat automatik.
• Kebolehan kognitif yang luas. Ini bermaksud seorang komunikator yang berkesan itu
harus mempunyai kemahiran melihat suatu isu dalam berbagai perspektif. Dia harus
dapat memahami mengapa seseorang mempunyai perlakuan-perlakuan tertentu dan
dapat membayangkan keadaan dirinya jika di berada dalam situasi atau perspektif
yang sama dengan orang itu. Ini disebut sebagai empati iaitu kebolehan merasai
apa yang dirasai oleh orang lain dalam suatu situasi. Misalnya, dia boleh merasakan
bagaimana perasaan seseorang yang menghidap penyakit AIDS.
• Pemantauan diri iaitu proses memberi perhatian kepada diri sendiri untuk
menentukan jenis perlakuan komunikasi yang sesuai digunakan dalam sebarang
interaksi. Misalnya kita menyoal atau berkata pada diri kita dengan tujuan untuk
melihat sama ada perlakuan kita itu sesuai atau tidak semasa interaksi:
“Aku hanya menipu diriku sahaja”
“Perlukah aku meneruskan perbualan ini?”
“Adakah aku akan melukakan perasaannya?”
• Hubungan antara perseorangan yang berkesan memerlukan komitmen atau sifat
keprihatinan terhadap orang lain. Seorang komunikator yang berkesan sanggup
meluangkan masa dan tenaga untuk menjaga hubungan yang baik dengan orang
lain. Dia juga mengambil berat dengan mesej ikhlas dan benar yang disampaikan
kepada sipenerima.

Aktiviti
Adakah anda seorang yang mahir berkomunikasi? Cuba dapatkan jawapan ini
daripada orang yang mempunyai hubungan intim dengan anda dan juga pendapat
daripada orang yang anda baru kenali. Analisa kedua-dua pendapat tersebut dan
kenalpasti persamaan atau perbezaan mengenai pendapat mereka. Anda
seharusnya bersifat terbuka untuk menerima komen daripada mereka.

Rumusan
Dalam unit ini anda telah mempelajari bahawa:
• Komunikasi antara perseorangan merupakan satu elemen penting dalam kehidupan
dan menjadi keperluan yang harus dipenuhi oleh manusia. Orang yang tidak atau
kurang berkomunikasi boleh mendapat berbagai masalah kesihatan mental dan juga
fizikal
• Komunikasi antara perseorangan melibatkan dua orang komunikator yang
berinteraksi secara serentak dan mereka saling mempengaruhi antara satu sama lain
semasa berinteraksi biasanya secara bersemuka
• Komunikasi antara perseorangan boleh didefinisikan secara kuantitatif dan juga
secara kualitatif.

16
• Perkembangan model komunikasi antara perseorangan bermula daripada model
perspektif linear, kemudian diikuti oleh perspektif interaktif dan akhir sekali
perspektif transaksi.
• Komunikasi antara perseorangan mempunyai lima prinsip komunikasi yang penting.
• Ramai orang masih mempunyai konsep yang salah tentang komunikasi.
• Komunikasi antara perseorangan mempunyai fungsi yang penting dalam sebarang
hubungan.
• Untuk menjadi seorang komunikator yang berkesan, kita perlu banyak belajar melalui
pembacaan dan menceduk ilmu daripada komunikator-komunikator yang sangat
berjaya dan cekap , selalu berlatih dan juga melalui pengalaman kita yang lepas.

Rujukan
Beebe, S. A., Beebe, S. J., and Redmond, M. V. (1999). Interpersonal
communication: Relating to others. Boston: Allyn and Bacon.
Adler, R.B., Rosenfeld, L.B. & Towne N. (1999). Interplay: The process of
interpersonal communication. Fort Woth: Harcourt Brace.
Adler, R.B. & Towne N. (1999). Looking out, looking in (9th ed). Fort Woth: Harcourt
Brace.

Soalan-soalan Ulangkaji

1. Berikan sebab-sebab mengapa berkomunikasi adalah penting dalam kehidupan


manusia?
2. Terangkan perbezaan-perbezaan di antara komunikasi perspektif linear, interaksi
dan transaksi? Berikan contoh-contoh yang sesuai bagi setiap perspektif.
3. Apakah yang dimaksudkan sebagai “Komunikasi ialah peristiwa. Ia tidak boleh
ditarik balik”?
4. Huraikan dengan contoh-contoh yang sesuai perbezaan di antara hubungan yang
bersifat saling melengkapi, simetrikal dan selari.
5. Terangkan ciri-ciri seorang komunikator yang berkesan.

Soalan Benar / Salah


Pernyataan Benar Salah

Komunikasi boleh ditarik balik


Lebih banyak berkomunikasi adalah lebih baik
Komunikasi boleh menyelesaikan semua masalah
Model komunikasi oleh Laswell adalah bersifat perspektif transaksi
Dua orang yang terlibat dalam hubungan simetrikal mempunyai kuasa
yang tidak sama
Prinsip komunikasi yang menyatakan kita tidak boleh tidak
berkomunikasi lebih mencerminkan komunikasi dalam perspektif linear
Hanya mesej yang dikomunikasikan dengan sengaja boleh dianggap
sebagai komunikasi.
Orang yang tidak berkomunikasi langsung, boleh mendapat berbagai
masalah kesihatan seperti barah, sakit jantung dan juga gangguan mental.
Chatting dalam internet adalah satu contoh komunikasi perspektif transaksi
Komunikasi bukan verbal adalah penting dalam memahami mesej intrinsik
Komunikasi dalam komunikasi juga disebut sebagai meta-komunikasi
Komunikasi antara perseorangan adalah kurang berkesan untuk
mempengaruhi seseorang berbanding dengan komunikasi massa.

17
________________________________________________________________________

18