Anda di halaman 1dari 11

PUNCA-PUNCA DAN KESAN-KESAN RASUAH

Rasuah merupakan satu tindakan pemerasan yang dilakukan oleh seseorang dengan tujuan untuk mendapatkan pertolongan dan faedah dirinya sendiri. Ini kerana apabila melalui prosedur-prosedur biasa, dia tidak akan memperoleh apa-apa yang dikehendakinya itu. Secara amnya rasuah bermakna kuasa yang telah diberikan kepadanya disalahgunakan dan bertindak untuk kebaikan diri sendiri dan bersikap pilih kasih dalam tindakannya. Perkataan rasuah berasal daripada perkataan Arab alrisywah. Di dalam al-Quran, rasuah digolongkan dalam kata umum batil, iaitu meliputi juga perkataan jenayah lain seperti merompak, menipu dan memeras ugut. Di negara ini, dari segi undang-undang semua perkataan memberi dan menerima suapan adalah sebahagian daripada perbuatan dan kesalahan jenayah rasuah. Biasanya, rasuah dijadikan sebagai salah satu jalan pintas seseorang untuk mengecapi kehidupan mewah atau dengan erti kata lain mahu menjadi kaya dalam masa singkat. Kebiasaannya orang yang melakukan budaya ini tidak memikirkan kesan buruk yang akan terjadi, sebaliknya mereka hanya memikirkan keuntungan kepada diri mereka. Terdapat pelbagai punca yang boleh dikenal pasti mengakibatkan gejala rasuah ini semakin berleluasa. Antaranya ialah, akibat arus modenisasi. Pembangunan sosial ekonomi yang tidak diseimbangkan dengan pembangunan kerohanian akan memudahkan terjadinya rasuah. Projek pembangunan bercambah seperti cendawan tumbuh. Pengaliran wang juga akan meningkat. Golongan yang terlibat juga mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan sebanyak-banyaknya. Perlumbaan moden memperlihatkan para kontraktor berlumba-lumba mendapatkan tender. Mereka juga akan berusaha untuk memenangi hati pegawai pengurusan atau pembuat keputusan. Rasuah diberikan sebagai jalan pintas untuk mendapatkan tender, mempercepatkan bayaran, melepaskan hukuman atau tindakan jika gagal atau lambat menyiapkan projek dan sebagainya. Selain itu, gejala rasuah turut berpunca dari kelemahan kepimpinan dan pengurusan organisasi. Kepimpinan yang lemah menyebabkan kurangnya penyeliaan, tiada pemantauan, lembap menjalankan tugas dan terbuka kepada penyelewengan khususnya rasuah. Oleh itu tidak hairanlah andai gejala rasuah semakin kerap berlaku. Selain itu, faktor sosial dan budaya turut menyumbang berlakunya gejala rasuah. Masyarakat majmuk di Malaysia mengamalkan tradisi memberi hadiah dalam bentuk wang dan benda, sempena menyambut hari-hari kebesaran hari perayaan, majlis hari jadi, hari perkahwinan dan sebagainya. Hari yang baik ini memberi kesempatan kepada perasuah dan penerima rasuah melakukan rasuah sama ada diminta, disogok atau diumpan tanpa disedari.

Gejala rasuah sememangnya akan meninggalkan pelbagai implikasi terhadap pelbagai pihak. Oleh kerana itu, perbincangan mengenai rasuah adalah penting kerana kegiatan rasuah akan melumpuhkan fungsi perjalanan sesuatu organisasi. Dengan adanya kegiatan rasuah, tiada sesiapa akan dapat mengagak tindakan seseorang atau hasil daripada sesuatu rancangan untuk masa depan. Kemajuan sesebuah negara bergantung kepada cerdik pandai dan profesional yang ada. Kegiatan rasuah akan hanya menghakis kepercayaan orang awam terhadap cerdik pandai negara kita. Disamping itu, gejala rasuah turut akan memburukkan lagi taraf kemiskinan rakyat kerana sumber-sumber yang telah ditetapkan bagi membantu rakyat miskin diselewengkan. Justeru bagi mengelak berlakunya keadaan sedemikian adalah menjadi tanggungjawab semua pihak dalam membanteras isu ini hingga ke akar umbi.

Selain itu, rasuah turut akan mewujudkan pemerintahan yang lemah kerana setiap kali rasuah berlaku, maka pemerintah kehilangan hasil atau tergelincir daripada tindakan-tindakan yang sepatutnya. Umpamanya jika cuai terhadap sesuatu yang telah ditentukan, maka pemberian rasuah telah menggantikan wang cukai yang sepatutnya dikutip dan manfaatnya hanya dinikmati oleh segelintir pemberi rasuah. Kesan yang paling besar daripada gejala rasuah ini ialah akan menyebabkan pentadbiran sesebuah negara menjadi kucar-kacir. Akibatnya, ia menimbulkan masalah lain seperti kemerosotan ekonomi, pengabaian kepentingan masyarakat dan sebagainya. Budaya rasuah juga boleh menghancurkan pentadbiran dan pemerintahan sesebuah negara. seperti yang berlaku di Filipina yang mencatatkan sejarah kejatuhan kerajaan presiden Marcos dari tampuk kepimpinan disebabkan amalan rasuah yang tidak terbendung.

Laporan rasuah oleh Transparency International pada 2005 melaporkan bahawa Malaysia telah jatuh 16 tangga dalam tempoh 10 tahun ini dari tempat ke-23 pada tahun 1995 ke tempat 39 pada tahun 2004. Menyedari akan hal ini, maka tidak hairanlah pihak kerajaan bertungkus-lumus dalam usaha membasmi peningkatan kadar gejala rasuah di negara ini. Antara lengkah bagi mengatasi gejala rasuah ini ialah, mewujudkan badan pencegahan rasuah. Pada tahun 2008, Kerajaan dan Parlimen telah bersetuju supaya sebuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditubuhkan bagi meningkatkan keberkesanan dan kecekapan dalam usaha pencegahan rasuah serta untuk memperbaiki persepsi kebebasan dan ketelusan dalam pelaksanaan fungsi-fungsi Suruhanjaya. SPRM akan turut disokong oleh mekanisme memeriksa dan mengimbangi dalam memastikan Suruhanjaya bertindak selaras dengan kehendak perundangan, negara dan aspirasi masyarakat. Suruhanjaya ini mula beroperasi secara rasmi pada 1 Januari 2009 bagi menggantikan Badan Pencegah Rasuah (BPR) Malaysia.

Natijah akhirnya, rasuah merupakan suatu jenayah atau kesalahan mengikut Akta Pencegahan Rasuah 1997. Rasuah dianggap jenayah kerana perbuatan ini melanggar etika sesuatu bidang pekerjaan malah secara tidak langsung si pelakunya mengambil atau mencuri hak orang lain. Justeru seharusnya langkah kerajaan dalam membendung gejala rasuah ini wajar disokong oleh semua pihak memandangkan rasuah mampu meninggalkan implikasi terhadap semua pihak. Sesungguhnya, tanpa rasuah segala urusan pembangunan dapat berjalan dengan lancar. Keadilan dan kesaksamaan dalam masyarakat juga akan dapat dipertahankan dan semua rakyat tanpa mengira kedudukan dan bangsa akan hidup dengan aman.

ISU RASUAH : KITA BOLEH TEWAS DENGAN TIGA "TA"

Mereka lebih pandai simpan wang rasuah. Ada yang membeli jam yang berharga RM250,000 hingga RM500,000. Ada yang membeli lukisan berharga berjuta ringgit kerana ia ada nilai di masa depan.

DATUK Akhbar Satar bukan nama asing dalam dunia pencegahan rasuah. Beliau merupakan bekas Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (dulunya Badan Pencegah Rasuah) Perlis dan Negeri Sembilan. Akhbar juga pernah menjadi Pengarah Latihan di agensi tersebut, justeru bercakap mengenai rasuah dan kaedah membanteras jenayah itu dengan beliau sememangnya sarat dengan maklumat. Mengendalikan Akhbar & Associates di Plaza Damas Sri Hartamas Kuala Lumpur memberi ruang lebih luas kepada Akhbar untuk meninjau kaedah lebih canggih untuk menentukan tentang benar atau salah sesuatu maklumat yang diperoleh daripada seseorang. Salah satu kepakarannya adalah poligraf yang menurut Akhbar berupaya menawarkan sehingga 98 peratus ketepatan maklumat - tentunya sesuatu yang amat berguna kepada agensi penguatkuasaan seperti SPRM. Sebagai salah seorang orang kuat yang pernah turun padang menyelesaikan kes-kes rasuah, Akhbar turut meluahkan keprihatinannya terhadap kes-kes rasuah yang terlepas selepas dibicara di mahkamah. Kepada war tawan Mingguan Malaysia, NORAINI ABD. RAZAK dan HAFIZAHRIL HAMID, anak kelahiran Kelantan itu berbicara lanjut. MINGGUAN: Datuk sudah lama dalam bidang poligraf forensik, setakat mana masyarakat menerimanya sebagai keperluan? AKHBAR: Kalau kita lihat masyarakat di Amerika Syarikat (AS) percaya satu-satu perkara mesti berlandaskan saintifik. Jika mereka nak masuk Agensi Perisikan Antarabangsa (FBI), CIA atau pasukan polis, ujian poligraf akan dijalankan ke atas mereka. Ini kerana mereka percaya sesuatu perlu dilakukan secara terbaik. Ujian ini telah dilaksanakan di sana sejak 90 tahun lalu. Kita jangan terkejut Singapura adalah antara negara yang paling banyak menggunakan ujian ini berbanding jumlah penduduk. Ini berlaku kerana mereka mahu melindungi semua perkara penting dan rahsia daripada pengetahuan negara lain apatah lagi yang dianggap musuh. Ujian ini dilakukan untuk memastikan mereka yang memegang rahsia boleh dipercayai. Secara umumnya manusia akan tewas terhadap tiga ta iaitu wanita, harta dan takhta. Semua ini boleh dicari dan diberi. Manusia juga mempunyai social bond yang mana kita tidak tahu bila masa ia boleh bertukar. Sebagai contoh, saya adalah seorang yang menentang rasuah, bercakap tentang integriti dan sebagainya. Tetapi esok lusa kita tidak tahu bila kita tiba-tiba bertukar dan mengambil rasuah. Contohnya, sebelum ini saya tidak ambil rasuah tetapi tiba-tiba ada orang tawar RM20 juta, mungkin terfikir juga saya nak ambil. Saya

lihat pula budaya di situ ramai yang ambil rasuah, jadi saya terfikir jika saya tak ambil orang lain yang terima. Saya hanya ambil 20 peratus saja, tapi bos 20 peratus. Sistem di sini adalah sistem yang korup jadi kenapa saya perlu risau. Ini adalah proses rasionalisation di mana kita menjadikan perkara yang salah sebagai betul mengikut pertimbangan dan keadaan sekeliling. Satu lagi contoh ada kes di Melaka seorang lelaki berumur 70 dan di Kelantan berumur sekitar 80-an yang ditangkap kerana merogol cucunya. Ini yang dikatakan sebagai social bond. Jika kita lihat sejarah mereka dari umur muda hingga 80 tidak ada masalah. Tapi tiba-tiba hari itu ia berlaku hanya dalam tempoh split second. Itu yang berlaku kepada manusia. Perkara itu berlaku mungkin mereka ini tiba-tiba bernafsu melihat kain cucunya terselak. Pelbagai faktor mempengaruhi tetapi kealpaan ini hanya berlaku dalam tempoh sekelip mata dan akhirnya memusnahkan masa depan dan diri sendiri. Namun apa yang saya mahu tekankan adalah dalam soal ini kita tidak tahu apa akan berlaku kepada kita dan sesuatu yang buruk boleh berlaku dalam sekelip mata. Bagaimana dengan soal ketahanan diri untuk mengelak terlibat dalam rasuah? AKHBAR: Kita perlu lihat bagaimana bentuk ketahanan diri yang ada pada diri kita. Ada juga orang yang pandai agama tetapi kemudian terlibat dalam perkara yang merosakkan diri. Bagi saya sebagai ahli kriminologi, kenapa seseorang itu terlibat dalam perlakuan jahat adalah atas dua faktor. Pertama faktor genetik dan kedua persekitaran. Tetapi dalam soal menipu ia berbeza kerana seni menipu adalah sesuatu yang dipelajari. Kadang-kadang kita tidak sedar ada anak-anak yang belajar menipu daripada ibu bapa atau ahli keluarga sendiri. Tapi jika kita ajar anak-anak kita jangan mengambil barang orang sejak kecil maka ia akan mengingatkan mereka barang yang mereka ambil itu adalah barang curi hinggalah dewasa. Namun dalam melakukan jenayah seperti rasuah kita perlu faham bahawa ia adalah satu perlakuan yang dipelajari dan bukan soal diwarisi. Kenapa jenayah rasuah dan kolar putih semakin menjadi-jadi? AKHBAR: Siasatan kes rasuah adalah satu proses yang rumit. Ini kerana kes rasuah kebiasaannya win win situation. Jarang orang yang dapat kontrak melalui rasuah akan melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana kedua-dua pihak mendapat keuntungan. Untuk membuktikan kes rasuah juga rumit. Pesalah rasuah semakin pandai mencari jalan yang lebih licik untuk melakukan rasuah. Mereka lebih pandai simpan wang rasuah. Ada yang membeli jam yang berharga RM250,000 hingga RM500,000. Ada yang membeli lukisan berharga berjuta ringgit kerana ia ada nilai di masa depan. Ada yang membeli karpet yang bernilai ratusan ribu dan ada yang menyimpan di luar negara. Terdapat juga yang mengunakan money changer dengan menghantar wang pengubahan haram ke luar negara. Teknik ini adalah untuk mengelak dari diketahui oleh pihak penguat kuasa atau Bank Negara. Pelaku rasuah akan memikir cara terkini untuk menyimpan wang rasuah supaya tidak dapat di kesan. Oleh itu pegawai SPRM perlu memikir two steps ahead. Di AS ada pihak tertentu yang mahukan jenayah kolar putih atau elit termasuklah rasuah tidak dikategorikan sebagai jenayah. Bagi mereka perkara ini adalah satu masalah sosial. Ini adalah satu bentuk tindakan yang berbahaya kepada negara. Mereka yang terlibat atau melakukan kegiatan rasuah, selalunya akan terlepas daripada hukuman kerana mereka mempunyai wang untuk menggunakan peguam yang terbaik dan terkenal. Selalunya peguam-peguam ini mempunyai peratusan kemenangan yang amat tinggi. Secara psikologi, peguam yang terkenal selalunya dikaitkan battle already won, berdasarkan kepada pandangan ahli kriminologi dalam Behavior of Law, yang mengatakan bahawa law varies according to rank. Bagaimana Datuk melihat kempen dan kesedaran yang dilakukan untuk menyedarkan bahaya rasuah, adakah mencukupi? AKHBAR: Saya rasa masih belum mencukupi. Kita perlu faham dalam mengajar kanak-kanak dahulu dan sekarang adalah berbeza. Kalau 20 tahun lepas saya main wayang kulit untuk memberi kesedaran bahaya rasuah, kini pasti teknik seperti ini tidak lagi sesuai. Kini dengan teknologi yang semakin canggih kita kena lebih kehadapan dalam memberi kesedaran kepada masyarakat. Masalahnya sekarang kita hanya tertumpu kepada kempen ad hoc. Pada awalnya kempen di sana sini tentang rasuah tapi bila kempen tamat tidak ada lagi perancangan untuk meneruskan kesinambungan kempen. Pada saya masyarakat sekarang terutama kanak-kanak perlu dididik dengan cara psikologi, tidak boleh lagi terlalu

didesak dan dimarahi. Jika seseorang itu penjenayah tegar sekali pun kita boleh cari di mana kelemahannya jika kita pandai dan sabar. Apa sebenarnya cabaran dalam menjalankan soal siasat dalam kes rasuah? AKHBAR: Bagi saya apa yang penting pegawai yang menjalankan soal siasat, kita kena faham dan tahu apa yang kita lakukan. Psikologi juga sangat penting dalam melakukan soal siasat kerana ia akan memudahkan lagi kerja siasatan. Dalam soal ini SPRM memerlukan pegawai terlatih, pegawai yang mahir dalam ilmu psikologi dan pegawai yang berpengetahuan. Dalam sesuatu kes sebelum mengadakan soalsiasat perlu ditubuhkan satu pasukan soal siasat. Pegawai yang terlibat mesti sangat terlatih dan menjalankan soal siasat secara lebih profesional. Mereka ini juga perlu hadir kursus-kursus soal siasat di luar negara. Selain itu teknik poligraf perlu digunakan untuk mendapatkan maklumat secara profesional. Bilik interogasi yang moden serta dilengkapi peralatan seperti CCTV dan one way mirror. Semua ini dapat mengelak saksi membuat sebarang tohmahan. Pegawai penyiasat juga boleh dipantau supaya tidak menyalahguna kuasa atau menggunakan kekerasan. Berkesan dan tepatkah poligraf? AKHBAR: Saya telah nyatakan tadi alat ini paling banyak digunakan di Singapura (terbanyak di dunia berdasarkan kepadatan penduduk). Kedua adalah AS dan ketiga Israel. Pasukan Polis di Arab Saudi pun pakai alat poligraf. Agensi Pencegahan Rasuah Singapura (CPIB) pun guna poligraf dan berjaya selesaikan banyak kes secara cepat dan profesional. Ujian poligraf adalah alat terbaik untuk mengesan pembohongan dan ia 98 peratus tepat. Alat ini dapat percepatkan penyelesaian kes serta dapat membebaskan orang yang tidak bersalah. Kebiasaannya tanpa poligraf, jika seseorang ditahan atau disyaki, mereka akan buka fail siasatan. Siasatan selalunya mengambil masa mungkin enam bulan dan mungkin enam tahun. Masa depan mereka ini akan gelap. Mereka tak dapat naik pangkat, tak dapat terima anugerah dan dilabel sebagai jahat. Tapi dengan ujian poligraf ia dapat menyelamatkan orang yang tak terlibat dengan cepat dan adil. Bagaimana dengan peranan perisikan? AKHBAR: Bagi pegawai perisik, mereka perlu menjadi seorang yang kreatif, tabah dan penyabar. Mereka ini perlu dilatih untuk mendapatkan maklumat atau sumber-sumber di jabatan yang strategik. Dengan maklumat kelas A yang diperoleh dari perisikan, barulah ia digunakan untuk melakukan siasatan terbuka supaya tidak berlaku kesilapan atau tersasar sasaran. Seorang pegawai perisikan tidak boleh didedah dan tidak menjalankan siasatan terbuka. Pegawai perisik hanya jalankan tugas risik sahaja dan siasatan dijalankan oleh bahagian siasatan. Namun paling penting pegawai penyiasat perlu berilmu dan sentiasa menambahkan ilmu. Mereka juga perlu celik teknologi maklumat serta pandai mencari maklumat dalam Internet. Mereka ini juga perlu menguasai bahasa Inggeris kerana banyak buku penyiasatan dan soal siasat adalah dalam bahasa Inggeris. Mereka ini juga perlu dihantar menghadiri kursus-kursus di peringkat antarabangsa sebagai pendedahan dan pengalaman. Di Malaysia poligraf memang digunakan antaranya oleh SPRM, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia. Mungkin SPRM boleh melantik lebih ramai pemeriksa poligraf bertauliah supaya proses temu dapat dijalankan dengan profesional setanding FBI dan CPIB. Bagaimana dengan kredibiliti menang dan kalah dalam kes-kes rasuah? AKHBAR: Peranan Pegawai Penyiasat (IO) perlu khusus dalam merancang dan menjalankan siasatan secara terperinci serta mendapatkan maklumat dan bukti seberapa banyak yang boleh agar loophole yang ada boleh ditampung sebelum ia dibolosi. Bagi peranan Pegawai Pendakwa juga penting. Mereka mesti ada pengalaman dan bekerjasama dengan IO dalam menangani sesuatu kes. Hakim juga patut memberi hukuman setimpal dengan pelaku dan pesalah rasuah. Nampak gayanya kini sudah semakin banyak perubahan. Pegawai SPRM juga mesti menjadi white than whiter, mempunyai tahap integriti yang tinggi dan menjaga diri supaya tidak mendekati perkara-perkara yang boleh dipertikai masyarakat. Untuk mendapatkan penghormatan masyarakat, kita kena sentiasa bertindak secara profesional dan jujur. Namun yang paling penting sikap dan keprihatinan masyarakat perlu bagi meningkatkan kesedaran tentang bahaya rasuah.

SPRM perlu kerjasama orang ramai kerana ia tak boleh hapuskan rasuah bersendirian. Pastinya SPRM memerlukan sokongan kerajaan, yang nampaknya semakin baik dan berkesan. Paling penting masyarakat kena lapor jika mereka melihat berlakunya kegiatan rasuah. Masyarakat perlu terus dididik supaya membenci rasuah. Jangan bagi rasuah, jika tidak beri tiada rasuah. Orang Islam menolak arak dan memakan babi kerana dari kecil kita diingatkan bahawa kedua-duanya haram. Tetapi anak-anak kecil jarang sekali diingatkan bahawa zina dan rasuah juga haram. Jadi dalam apa hal juga segala-galanya mesti bermula dari kecil. MINGGUAN MALAYSIA, 17 APRIL 2011

Isu Bas: Hamidzun Cuba Alih Isu Pecah Amanah Ketika Jadi Peguam Panel PKNS
BY NAZLI IBRAHIM OCTOBER 24, 2012POSTED IN: BERITA, FOKUS RAKYAT, INTEGRITI, KEBAJIKAN RAKYAT, KETELUSAN, PENCAPAIAN & PRINSIP TADBIRURUS, TAYANGAN, TERKINI

1,188 views

SHAH ALAM, 24 OKT: Dakwaan terbaru Ketua Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin terhadap Menteri Besar Selangor merupakan cubaan untuk mengalihkan tumpuan terhadap kes pecah amanah yang membabitkan diri beliau sendiri. Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin berkata kes tersebut berlaku ketika Hamidzun menjadi peguam panel Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada suatu ketika dahulu. Faekah berkata fitnah terbaru beliau bahawa Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggunakan wang rakyat untuk membiayai kos sewa beli bas yang digunakan pemimpin parti untuk berkempen ke seluruh negara tidak benar sama sekali. Abdul Khalid juga dari awal lagi dalam majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Selangor pada bulan Ogos, mengumumkan bahawa kos bas dua tingat yang digunakan pemimpin Pakatan Rakyat untuk berkempen di seluruh negara itu ditanggungnya sendiri dan tidak melibatkan dana Kerajaan Negeri. Ini membuktikan bahawa sejak dari awal lagi Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak menyembunyikan perkara ini malah mengambil sikap terbuka dan telus. Jika Hamidzun meragui perkara ini, beliau sepatutnya memberikan bukti kukuh bukannya membuat tuduhan sewenang-wenangnya, menurut Faekah di dalam satu kenyataan media.

Menurut Faekah lagi, Abdul Khalid juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya Hamidzun berterusan menjaja fitnah di media tanpa memberikan sebarang bukti. Dakwaan Hamidzun telah dilaporkan di dalam sebuah akhbar dan beberapa laman web berita. Malah, pihak media juga sepatutnya berasa bimbang dan berfikir banyak kali sebelum menyiarkan dakw aan Hamidzun jika dakwaan itu tidak disertakan dengan bukti-bukti. Tan Sri Abdul Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini pernah dilemparkan pelbagai tuduhan tetapi selepas disiasat pihak berkuasa, ternyata ia tidak benar. Malah, seorang individu pernah diarah membuat kenyataan mohon maaf di media kerana membuat fitnah. Kejadian ini diharap boleh menjadi pengajaran kepada Hamidzun, menurutnya lagi. Faekah turut menganggap penubuhan GAPS semata-mata untuk menimbulkan persepsi negatif rakyat Selangor terhadap Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Abdul Khalid. Ianya dibuktikan apabila GAPS hanya mendiamkan diri berhubung isu kolam udang dan pemilikan tanah di Tanjung Karang oleh Menteri Pertanian, Datuk Seri Noh Omar dan isu sumbangan RM 40 juta kepada Umno Sabah yang merupakan antara isu hangat di media hari ini.

DATUK SALLEH BERANI MATI TAMPIL JAWAB ISU PECAH AMANAH NFC!!

"Saya tidak boleh membuat andaian apa akan berlaku dalam kes (National Feedlot Corporation) ini, sebab ia adalah merupakan budi bicara Peguam Negara mengikut Perlembagaan negara kita. Hanya beliau sahaja yang berhak buat keputusan,"

Itu kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika diminta mengulas kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Syed Ismail Syed Azizan Sabtu bahawa polis mencadangkan supaya Penguam Negara mendakwa Pengerusi Ekskutif NFC , Datuk Dr Mohamed Salleh Ismail,yang juga suami Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, atas tuduhan pecah amanah (CBT). Beliau berkata cadangan itu terkandung dalam kertas siasatan yang sedang disiapkan polis, setelah dikembalikan pihak Peguam Negara Selasa lepas bagi menyiasat beberapa perkara lain. "Kertas siasatan ini akan dikembalikan ke pejabat AG (Peguam Negara) dalam masa terdekat," kata Syed Ismail.

Bercakap dalam sidang akhbar selepas satu majlis di Sekinchan semasa lawatan seharinya ke Selangor Ahad,Najib menjelaskan tanggungjawab polis menjalankan siasatan dan mendapatkan bukti secukupnya untuk Peguam Negara supaya jika kes itu dibawa ke mahkamah, pendakwaan kes itu dapat diterima mahkamah.

"Kita tidak boleh anggap bahawa semua siasatan akan berkesudahan dengan pendakwaan. Pendakwaan itu mesti mengambil kira peruntukan tertentu dalam perlembagaan.

Sementara itu NFC telah mengeluarkan satu kenyataan petang Ahad menyuarakan rasa terkejut dengan cadangan polis supaya Dr Mohamed Salleh didakwa atas tuduhan pecah amanah, Ia berpendapat kenyataan itu diberikan terlalu awal sedangkan siasatan masih dijalankan. "NFCorp terkejut dan bingung bahawa Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Syed Ismail Syed Azizan mengeluarkan kenyataan itu terlalu awal sedangkan beliau sendiri mengakui siasatan masih berjalan dan dengan itu masih belum siap," menurut syarikat itu dalam kenyataan yang disediakan oleh firma perunding perhubungan awamnya. Menurut kenyataan itu, syarikat sedang meneliti dakwaan polis itu atas nasihat peguamnya Shafee Abdullah.

Dalam kenyataan itu, NFC mempersoalkan sikap tidak berhati-hati dan motif di sebalik kenyataan itu, menyatakan ia dilihat seolah-olah satu cubaan secara tidak adil untuk mendahului keputusan yang bakal dibuat Peguam Negara berhubung perkara itu. Isu NFC mula mendapat perhatian ramai selepas Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada Oktober lepas menyatakan NFC gagal memenuhi matlamat penubuhannya.

Ia langsung menjadi panas apabila pembangkang mendakwa wujud penyelewengan terhadap peruntukan kerajaan berjumlah RM250 juta yang disalurkan kepada NFC. NFC ialah projek "Lembah Daging" di Gemas, Negeri Sembilan yang bertujuan meningkatkan pengeluaran daging tempatan dan mengurangkan pergantungan negara terhadap daging import. AGENDA DAILY
Labels: PKR, Pusat Feedlot Kebangsaan (NFC), Rafidah Aziz, Shahrizat Abdul Jalil, Zuraida