Anda di halaman 1dari 2

ULASAN JURNAL Tajuk : Menjana keterlibatan pelajar Pendidikan Khas Cacat Pendengaran dalam program Inklusif di Lima Buah

Sekolah Menengah Teknik Seluruh Negara. Penulis Rumusan : Azizi Abd. Rahman dan Haslina Hashim :

Bagi mencapai tahap negara maju pada tahun 2020, kementerian pelajaran juga menyahut cabaran tersebut dengan mendedahkan para pelajar sekolah menengah dengan kemahiran. Pelajar Pendidikan Khas juga diberi peluang untuk melibatkan diri dan satu kajian dibentuk untuk menjalankan program inklusif bagi pelajar bermasalah pendengaran. Tujuan kajian yang dijalankan oleh penulis adalah untuk melihat kemampuan Sekolah-Sekolah Menengah Teknik di seluruh negara memainkan peranan utama dalam melaksanakan program Inklusif pelajar-pelajar Pendidikan Khas Masalah Pendengaran untuk melahirkan sumber tenaga manusia separa mahir. Selain itu, kajian ini juga bertujuan dalam membantu pelajar-pelajar pendidikan khas bermasalah pendengaran supaya bersedia dalam menghadapi cabaran-cabaran dunia tanpa sempadan masa kini terutamanya dalam sektor pekerjaan akan datang. Antara Sekolah Menengah Teknik yang terpilih dalam menjalankan program inklusif ini ialah Sekolah Menengah Teknik Batu Pahat, Johor, Sekolah Menengah Teknik Kerian, Perak, Sekolah Menengah Teknik Langkawi, Kedah, Sekolah Menengah Teknik Keningau, Sabah dan Sekolah Menengah Teknik Tanah Merah, Kelantan. Mata Pelajaran Vokasional yang ditawarkan di dalam program Inklusif ini ialah Kemahiran Katering,Kimpalan dan Fibrikasi Logam, Juruelektrik Domestik dan Industri, Binaan Bangunan, Logam dan Jahitan. Tujuan pemilihan mata pelajaran Vokasional ini ialah untuk memberikan kemahiran asas kepada para pelajar bermasalah pendengaran dan sekaligus meluaskan peluang kerjaya mereka di masa akan datang. Penempatan pelajar masalah pendengaran di sekolah-sekolah ini adalah berdasarkan kelayakan melalui keputusan Peperiksaan Menengah Rendah mereka dengan sekurangkurangnya memperolehi keputusan lulus 1D.

Penulis menyatakan kajian penempatan program inklusif ini mengambil kira aspek saiz kelas, prasarana bengkel, penerimaan pelajar normal, pelajar khas dan guru normal terhadap program bagi memperhalusi kajian ini supaya ia dapat dijayakan dengan berkesan. Hasil kajian menunjukkan majoriti bersetuju dengan saiz kelas pelajar normal melebihi bilangan pelajar khas yang kurang daripada 10 orang. Hal ini membolehkan pelajar normal dapat membantu pelajar bermasalah pendengaran dengan nilai learning by doing. Dari segi prasarana bengkel juga mendapat maklumbalas yang baik namun, tahap keselamatan bengkel perlu dipertingkatkan lagi dengan menambah sistem lampu kecemasan dan ruang tempat bekerja juga perlu diperluaskan untuk kemudahan pelajar bermasalah pendengaran. Selain itu,

penerimaan pelajar normal, pelajar khas dan guru normal terhadap program turut mendapat sokongan yang penuh namun terdapat permasalahan seperti lokasi sekolah yang jauh daripada rumah dan pelajar khas bermasalah pendengaran membentuk kumpulan sendiri yang menyebabkan pelajar normal dan pelajar masalah pendengaran kurang bersosial. Saya juga bersetuju dengan program inklusif ini kerana dapat meningkatkan keyakinan golongan pelajar bermasalah pendengaran untuk bergaul dengan pelajar normal disamping pelajar normal juga dapat mengenal budaya golongan masalah pendengaran. Penulis menyatakan di akhir penulisannya bahawa program inklusif yang dijalankan di Sekolah Menengah Teknik sangat bersesuaian dengan kehendak negara dalam usaha untuk melahirkan tenaga separa mahir dari kalangan orang kurang upaya. Jabatan Pendidikan Khas dan Jabatan Pendidikan Teknik seharusnya menjalankan kolaborasi yang lebih akrab dalam menjalankan program ini supaya dapat menghalusi pemilihan pelajar khas di dalam program ini seperti menjalankan ujian saringan supaya dapat menghasilkan pelajar yang bermutu serta mampu melangkah jauh di institut pengajian tinggi mahupun di alam pekerjaan. Imbuhan dan kursus juga perlu diberikan kepada guru kelas program ini supaya dapat membantu perjalanan program dengan lancar yang sekaligus dapat meningkatkan mutu pembelajaran di dalam kelas. Di samping itu, penulis juga berharap agar kajiannya dapat membantu pihak Kementerian Pelajaran dalam usaha pihak kerajaan ke arah pendemokrasian pendidikan terhadap pelajar bermasalah pendengaran ini.