Anda di halaman 1dari 32

Pelbagai cadangan dan tindakan diambil oleh pelbagai pihak untuk menangani gejala pembuangan bayi dan penderaan

kanak-kanak tetapi masalah ini masih berleluasa. Bincangkan langkah-langkah yang perlu dilakukan oleh masyarakat untuk menangani gejala buruk ini daripada terus berlaku. Dalam meniti kehidupan pada marcapada ini,gejala pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak amat berleluasa di negara kita, Malaysia. Namun,gejala-gejala tersebut bukan lagi isu yang hangat lagi kerana telah menjadi kebiasaan bagi rakyat negara ini. Hampir setiap hari media massa memaparkan berita yang berkaitan dengan gejala pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak,tidak ketinggalan juga di corong-corong radio tempatan yang juga sering menyampaikan masalah-masalah tersebut. Namun, golongan yang tidak bertanggungjawab tersebut masih tidak mempunyai kesedaran serta perasaan malu apabila berita-berita sedemikian disebarkan sehingga setiap lapisan masyarakat menyaksikan perbuatan kejam yang telah mereka lakukan ke atas golongan yang tidak berdosa ini. Walaupun mereka telah ditangkap dan dipenjarakan sehingga terdapat kes yang membawa mereka untuk dijatuhkan hukuman sampai mati. Hal ini jelas menunjukkan hanya manusia yang tidak mempunyai nilai moral yang boleh bertindak kejam seperti binatang yang tidak mempunyai akal fikiran seperti manusia.Bak kata pepatah janganlah sudah terhantuk baru tergadah. Pelbagai pihak telah bersinergi untuk menangani masalah tersebut daripada berlaku, namun tetap menghampakan kerana tidak begitu efektif. Hal ini terbukti apabila gejala pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak semakin meningkat dari hari ke hari sehingga tahap yang kritikal. Bagi membendung masalah-masalah seperti ini daripada terus menular dalam kalangan golongan yang tidak bertanggungjawab ini, masyarakat sendiri haruslah memainkan peranan mereka untuk membantu mengatasi gejala-gejala tersebut. Masyarakat haruslah membuang sikap bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing dengan mementingkan diri sendiri sehingga mengabaikan keadaan di sekeliling mereka. Oleh sebab itu, masyarakat haruslah menanamkan sikap jaga tepi kain orang untuk mengetahui apa yang telah berlaku di sekeliling mereka terutamanya dalam usaha membendung gejalagejala sosial tersebut daripada berlaku dalam kalangan remaja ataupun muda-mudi pada zaman moden ini. Sementelahan pula, masyarakat haruslah mempunyai semangat kejiranan yang tinggi. Hal ini amat penting bagi mereka untuk saling mengambil berat serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim.Tambahan pula, perpaduan antara masyarakat dapat dikukuhkan lagi. Hal ini secara tidak langsung dapat membantu membanteras gejala sosial daripada berlaku kerana adanya semangat bersatu-padu dalam kalangan masyarakat. Selain itu,masyarakat juga haruslah memainkan peranan mereka dalam mendidik anak-anak mereka sejak dari kecil lagi. Bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini amat penting bagi mendidik anak-anak mereka dari kecil supaya dapat membezakan antara kebaikkan dan keburukkan dalam melakukan sesuatu tindakan. Hal ini penting bagi ibu bapa untuk memainkan peranan mereka. Bagi sesiapa yang bergelar ibu dan bapa kapada anak-anak mereka, wajarlah mereka bersikap tegas terhadap anak-anak supaya mereka mempunyai tahap disiplin yang tinggi serta rasa hormat dan taat kepada orang tua tersemai dalam diri mereka. Ibu bapa haruslah memastikan anak-anak mereka tidak terlibat dalam pergaulan sosial yang melampau seperti pergaulan bebas daripada berlaku. Justeru, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam mengawal segala aktiviti harian anak-anak mereka dengan lebih ketat. Di samping itu, ibu bapa sendiri haruslah menjadi teladan yang baik kepada anak-anak mereka. Hal ini demikian kerana remaja mudah terpengaruh dengan faktor persekitarannya. Bak kata pepatah bagaimana acuan begitulah kuihnya. Oleh sebab

hal yang demikian, ibu bapa haruslah mempunyai pendidikan keagamaan yang kukuh supaya dapat disemaikan dalam diri anak-anak mereka. Pendidikan keagamaan merupakan satu langkah yang terbaik dalam mencegah segala perbuatan negatif yang menyumbang kepada gejala pembuangan bayi aakibat pergaulan seks bebas dalam kalangan golongan yang tidak bermoral ini. Dalam usaha membanteras kes penderaan kanak-kanak daripada berlaku,peranan masyarakat haruslah diutamakan. Masyarakat haruslah sentiasa peka dengan keadaan di sekelilingnya. Jika mendapati terdapat salah seorang jiran yang melakukan penderaan terhadap anak-anak, mereka haruslah segera melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis secepat yang mungkin tanpa mempedulikan ancaman daripada jiran mereka. Selain itu, pengawalan keselamatan di sekeliling kediaman penduduk haruslah diperketatkan. Hal ini amatlah penting bagi memastikan tidak ada seorang pun yang berani membuang bayi secara sesuka hati serta dapat memastikan kanak-kanak mendapatkan perlindungan daripada didera serta disakiti oleh mana-mana pihak yang tidak bermoral itu. Dalam usaha ini, penduduk setempat sendiri haruslah melakukan rondaan secara bergilir-gilir untuk memastikan tiada sebarang kejadian yang tidak diingini serta mencurigakan daripada berlaku. Akhir sekali, masyarakat haruslah menanamkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian serta amalkan gaya hidup sihat. Masyarakat juga haruslah mempunyai kesedaran yang tinggi tentang natijahnya jika terlibat dengan gejala-gejala negatif seperti gejala pembuangan bayi akibat perhubungan yang terlanjur dan tidak ingin mempunyai anak haram serta dipandang hina oleh orang lain sehingga menemui jalan buntu iaitu membuang bayi yang tidak berdosa tersebut di merata-rata tempat. Sebaliknya masyarakat haruslah melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah yang telah dianjurkan oleh pihak kerajaan mahupun swasta seperti Kempen Membanteras Gejala Pembuangan Bayi. Hal ini dapat mendedahkan natijah yang akan diperoleh seandainya terjerumus dengan perbuatan negatif tersebut. Dengan adanya kesedaran yang tinggi, masyarakat secara automatik akan menjauhkan diri daripada terlibat dengan sebarang gejala sosial. Hal ini akan menurunkan kadar gejala pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak. Sebagai intihanya, masyarakat haruslah bersinergi dengan pelbagai pihak dalam usaha menangani gejala pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak daripada berlaku serta mencari resolusi hingga ke akar umbi supaya gejala buruk ini dapat dibanteras dan dihalang daripada terus membelenggu setiap lapisan masyarakat di negara ini. Bak kata pepatah sikap bagai aur dengan tebing haruslah diamalkan antara satu sama lain. Hal ini penting bagi menjadikan negara kita bebas daripada gejala buruk supaya pembangunan negara tidak terjejas disebabkan oleh segelintir masyarakat yang tidak bermoral ini. Tambahan pula, matlamat negara untuk mencapai Wawasan 2020 akan direalisasikan serta imej negara dipandang tinggi di mata dunia.

Faedah-faedah yang diperoleh melalui amalan berjimat cermat Sempena Hari Pengguna 2010, Perdana Menteri kita telah menyeru rakyat agar berjimat cermat dalam segala aspek kehidupan demi menjamin kebahagiaan dan kesejahteraan hidup. Beliau juga menasihati rakyat agar ingat sebelum kena, jimat sebelum habis agar tidak menyesal kemudian hari. Rakyat juga digesa agar tidak menjadi hamba kepada hawa nafsu ketika membeli-belah kerana ikut hati mati, ikut rasa binasa. Pada hemat saya, pandangan Perdana Menteri ini sewajarnya direnungi kerana banyak faedahnya jika amalan berjimat cermat dijadikan agenda utama dalam kamus hidup kita. Melalui amalan berjimat cermat, perbelanjaan harian dapat dikurangkan. Hal ini demikian kerana kita membandingkan harga barang-barang yang hendak kita beli dan membeli barangan buatan tempatan yang lebih murah harganya. Barang yang berkualiti dan mahal juga eloklah dibeli kerana alah membeli, menang memakai. Kasut sekolah Bata, misalnya, bukan sahaja tahan lama bahkan berbaloi. Pemakaian kasut ini memberikan keselesaan dan kepuasan. Dengan cara ini, bukan sahaja perbelanjaan harian dapat dijimatkan bahkan kebahagiaan terjamin. Amalan berjimat cermat juga dapat menambah simpanan kita. Apabila kita menjimatkan perbelanjaan, wang yang dihematkan dan ditabungkan di institusi kewangan akan meningkat, bak kata pepatah sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit. Wang simpanan ini amat berguna ketika menghadapi waktu kecemasan seperti hendak menjalani pembedahan. Menurut Dato Michael Chong, kita tidak perlu mengemis dan menjadi mangsa ceti haram kerana lintah darat ini memang menangguk di air keruh dan menjadi duri dalam daging dalam kehidupan kita. Tegasnya, bukan sekadar wang tabung kita bertambah malah kesenangan hidup terpelihara. Seterusnya, amalan berhemat dalam pengurusan kewangan akan mendidik seseorang individu untuk berdikari. Kita tidak perlu bersandar pada ibu bapa ataupun pada kerajaan untuk mendapatkan bantuan kewangan ataupun biasiswa demi mengongkosi pengajian kita di menara gading nanti. Dewasa ini, banyak pelajar cemerlang yang menggantungkan harapan pada biasiswa tajaan JPA dan pada pinjaman PTPTN. Apabila gagal beroleh bantuan kewangan, mereka pun seolah-olah langit runtuh, bumi cair ataupun kaca terhempas ke batu. Jadi, kita patut berjimat cermat untuk berdikari agar hidup kita lebih damai dan sejahtera. Intihanya, cermat masa banyak, jimat masa sedikit. Kita hendaklah menghayati pesanan agama kita, yakni ingat akan kesakitan ketika sihat; ingat akan ketuaan usia ketika muda; ingat akan kematian ketika hidup; dan ingat akan kepapaan ketika kaya seandainya kita hendak bahagia sepanjang hayat. Sehubungan ini, ibu bapa berperanan sebagai cermin perbandingan yang positif kepada si anak, dan bukannya seperti ketam menyuruh anaknya berjalan betul. Dengan terpupuknya nilai positif ini dalam lubuk kalbu generasi muda, mereka akan senantiasa mampu memberi dan tidak akan meminta.

Faedah-faedah Mempelajari Seni Pertahanan Diri Marcapada ini, dunia kita yang kian mengalami perubahan dari pelbagai segi telah menyingkirkan sesetengah amalan atau budaya masyarakat dahulu. Keadaan yang menyedihkan ini mungkin kurang mendapat perhatian daripada masyarakat, malahan tidak dikesan oleh mereka. Dalam perkara ini, seni pertahanan diri telah semakin dilupakan oleh masyarakat terutamanya generasi muda. Hal ini boleh disamakan dengan peribahasa ibarat melukut di tepian gantang. Pada hakikatnya, hal ini tidak sepatutnya berlaku. Perkara ini disebabkan oleh seni pertahanan diri boleh mendatangkan pelbagai manfaat kepada kita. Jenis-jenis seni pertahanan diri termasuklah silat gayung, Wushu, silambam dan sebagainya. Persoalannya, apakah faedah-faedah yang boleh didapati dengan mempelajari seni pertahanan diri? Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Dengan mempelajari seni pertahanan diri, kita dapat menyihatkan tubuh badan kita dan seterusnya mengelakkan diri kita daripada penyakit.Perkara ini berlaku apabila melakukan pergerakan tertentu ketika berlatih, kita akan mendapat kebaikan yang sama seperti bersenam. Mengikut kajian saintifik, dipercayai bahawa apabila badan kita mengeluarkan peluh, toksik-toksik dari badan turut akan dikeluarkan mengikut air peluh. Sekiranya toksik-toksik dari badan telah dikeluarkan, maka kita akan berasa lebih sihat dan bertenaga untuk menjalankan aktiviti seharian. Tambahan pula, badan kita akan menjadi lebih cergas disebabkan oleh otot-otot badan kita yang semakin kuat melalui latihan seni pertahanan diri. Secara tidak langsung, otak kita juga akan menjadi cerdas kerana badan cergas, otak cerdas. Seterusnya, kita mampu mempertahankan diri apabila keselamatan diri kita tergugat khususnya kepada golongan wanita. Sejak kebelakangan ini, pelbagai kes jenayah yang menyebabkan kehilangan harta mahupun nyawa semakin menjadi-jadi seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Kes-kes tersebut telah menjadi perkara yang izhar dan menimbulkan kebimbangan pelbagai pihak terutamanya masyarakat. Oleh yang demikian, kita wajar melakukan sesuatu demi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penjenayah yang seterusnya kerana pepatah ada mengatakan malang itu tidak berbau. Dengan mempelajari seni pertahanan diri, kita dapat menggunakan teknik yang dipelajari semasa kecemasan untuk menyerang penjenayah. Bukan itu sahaja, kita juga dapat menghulurkan bantuan kepada orang lain dengan ilmu seni pertahanan diri yang dipelajari. Dalam pada itu, rakyat Malaysia yang berdisiplin akan dilahirkan jika masyarakat sanggup mempelajari seni pertahanan diri. Hal ini terjadi kerana kita akan diterapkan nilainilai murni apabila mempelajari seni tersebut. Sebagai tamsilan, nilai menepati masa, nilai baik hati, nilai bekerjasama dan lain-lain. Dengan kata lain, kita akan menjadi lebih gagah dan berkeyakinan diri untuk melakukan perkara yang betul seperti menegakkan keadilan apabila diri kita dilengkapi ilmu seni tersebut. Lagipun, kita boleh mendisiplinkan diri dengan mempelajari seni ini. Perkara ini berlaku kerana kita mesti menepati masa berlatih yang ditentukan setiap kali. Walaupun pada mulanya kita tidak senang hati dengan peraturan ini, tetapi lama-kelamaan amalan yang terpuji tersebut akan tertanam dalam diri kita secara tidak langsung, bak kata pepatah, alah bisa, tegal biasa. Pada masa yang sama, kita turut berpeluang mengharumkan nama sekolah dengan menyertai pertandingan seni pertahanan diri yang dianjurkan. Tambahan pula, peluangpeluang tersebut telah memberi ruang kepada para pelajar untuk memajukan diri dan mencipta nama dalam bidang kokurikulum. Sebenarnya, terdapat pelbagai jenis seni

pertahanan diri yang ditawarkan oleh pihak sekolah. Antara jenis seni pertahanan diri yang popular termasuklah Taekwando, Karate, silat, Tang Soo Doo dan sebagainya. Justeru, pelajar boleh bebas melibatkan diri dalam jenis seni pertahanan diri yang diminati untuk mengasah potensi diri yang tersembunyi dan menunjukkan bakat yang ada. Sementara itu, seni pertahanan diri merupakan salah satu wadah yang baik untuk kita bersosial. Dengan kata lain, kita boleh menambah kenalan yang baru dengan mempelajari seni pertahanan diri. Ghalibnya, kita mudah mendapat kenalan baru yang terdiri daripada ahli-ahli lain yang mengikut latihan seni pertahanan diri bersama kita. Kita juga boleh saling berkongsi ilmu pengetahuan dan pengalaman yang berkaitan dengan seni pertahanan diri bersama kawan kerana perbuatan ini akan mendatangkan manfaat kepada kedua-dua pihak. Sekiranya kita mempunyai kawan, kita tidak akan mudah berasa kesunyian. Oleh itu, kita tidak sepatutnya bersikap seperti kera sumbang kerana sikap tersebut tidak memanfaatkan kita untuk mendapat kenalan baru. Intihannya, kita boleh memperoleh pelbagai kebaikan dengan mempelajari seni pertahanan diri. Jadi, kita tidak seharusnya beranggapan bahawa seni tersebut tidak lagi sesuai dengan arus pembangunan masa kini dan mengabaikannya. Hal ini turut disebabkan oleh seni pertahanan diri merupakan warisan budaya yang tidak ternilai harganya dan patut dikekalkan oleh masyarakat. Dengan itu, kita perlulah bertanggungjawab memastikan adat lama tersebut tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Pelbagai pihak harus memberi kerjasama dalam usaha ini terutamanya pihak kerajaan, media massa, masyarakat dan lainlain. Sekiranya pelbagai pihak dapat menyumbangkan kerjasama, sudah pasti keindahan seni pertahanan diri dapat dipelihara kerana bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.

Ciri-Ciri Remaja Sebagai Tonggak Negara Masa Hadapan Belia pada hari ini merupakan pemimpin negara pada masa hadapan. Namun begitu, remaja yang merupakan tunjang negara masih terbelenggu oleh pelbagai kemelut sosial. Ternyata mentaliti remaja di negara kita belum lagi mengalami anjakan paradigma selaras dengan arus pembangunan negara kita. Menurut kata mutiara sarjana, jika ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, lihatlah remajanya pada hari ini. Jelaslah di sini, kita dapat lihat bahawa remaja yang berkualiti dapat memperkasakan kegemilangan nusa dan bangsa. Persoalannya, apakah ciri-ciri yang perlu saya miliki sebagai remaja yang menjadi tonggak negara pada masa hadapan? Ciri signifikan yang perlu saya miliki ialah keiltizaman yang tinggi. Saya perlu belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan dalam aspek akademik. Kecemerlangan akademik merupakan salah satu elemen yang maslahat untuk melahirkan remaja yang berkualiti demi kepentingan negara. Intelek merupakan faktor perdana untuk menjana kecemerlangan tamadun bangsa. Sehubungan dengan itu, saya perlu proaktif menimba ilmu bukan sahaja di dalam kelas tetapi menuntut segala pengetahuan terutamanya ilmu Sains dan Matematik. Arus permodenan telah memungkinkan segalanya untuk remaja menimba ilmu melalui pelbagai wahana seperti membaca buku, melayari lebuh raya maklumat di dunia maya dan sebagainya. Ketekunan dan inisiatif merupakan prasyarat untuk mencapai kecemerlangan akademik dan menjauhi gelaran katak di bawah tempurung. Tegasnya, tanpa remaja yang bijak pandai maka pembangunan negara akan terbantut. Di samping itu, saya perlu beretika dan bersahsiah mulia. Kepatuhan yang teguh kepada ajaran agama perlu ada dalam diri saya supaya dapat menjadi benteng kepada diri saya. Remaja sewajarnya berpegang teguh kepada pegangan agama masing-masing, tidak kira bangsa mahupun agama. Hal ini demikian kerana, ciri ini sangat penting bagi kita menjaga hubungan dengan Maha Pencipta agar kita sentiasa diberkati. Pada waktu yang sama, ajaran agama yang sempurna dapat melatih diri saya untuk sentiasa ingat akan suruhan dan larangan agama tidak kira tempat dan waktu. Bukan itu sahaja, ketaatan kepada ajaran agama juga dapat membentuk sahsiah yang terpuji dalam diri saya. Sebagai contoh, ajaran agama dapat melatih diri saya untuk berfikiran rasional supaya dapat membezakan baik buruk sesuatu perkara. Melalui cara ini, saya tidak akan terpengaruh dalam kebejatan sosial yang boleh mencemarkan nama baik negara. Secara tidak langsung, disiplin dalam diri saya juga terpelihara. Selain itu, ciri kreatif dan inovatif juga perlu saya titik beratkan untuk memacu pembangunan negara yang gemilang. Demi mencapai hasrat ini, semangat inkuiri yang tinggi juga perlu saya miliki. Hal ini demikian kerana, hanya mereka yang berani berkreatif dan mempelopori bidang yang baharu dapat mengecapi kejayaan yang terbilang. Tamsilnya, dalam industri teknologi maklumat dan dan komunikasi (ICT), umat yang gigih dan berani mencuba sesuatu yang baharu akan menikmati buah kejayaan yang manis. Rentetan itu, remaja harus dilatih supaya berimaginasi dan berkhayal tetapi disusuli dengan aplikasi yang teratur. Umpamanya, seorang pelajar berumur 16 tahun di Nepal telah berjaya mencipta sebuah alat yang dapat menghasilkan kuasa elektrik daripada rambut. Kisah kejayaannya mendapat perhatian seluruh dunia sehingga dia ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pelajarannya di Amerika Syarikat. Walaubagaimanapun, remaja haruslah berfikir secara rasional dan mengelakkan perkara-perkara yang mampu memudaratkan diri dan orang lain. Justeru, pembangunan negara akan tercapai jika negara kita mempunyai barisan pelapis negara yang kreatif dan inovatif. Dalam pada itu, saya haruslah mengekalkan jati diri sebagai rakyat Malaysia. Dewasa ini, isu remaja mudah terpengaruh dengan gejala sosial semakin hangat diperkatakan.

Keadaan ini bertambah keruh apabila remaja mudah dipengaruhi dengan budaya kuning dan semakin melupakan budaya timur. Sebagai contoh, cara berpakaian dan pertuturan harian golongan muda hari ini bersifat kebaratan. Namun begitu, jika remaja berjati diri, sudah tentu mereka sentiasa sanggup mempertahankan budaya timur yang sememangnya kaya dengan pelbagai amalan yang luhur. Misalnya, masyarakat timur amat menekankan amalan menghormati orang yang lebih tua, cara berpakaian secara bersopan serta pertuturan yang disenangi oleh semua lapisan masyarakat. Walakin begitu, bagi remaja yang melanjutkan pelajaran ke luar negara, mereka harus bijak menyesuaikan diri. Persis kata peribahasa, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Namun demikian, remaja harus mengekalkan unsur ketimuran agar tidak dilupai. Program Latihan Khidmat Negara ialah antara program yang dapat menjamin jati diri dan menanam sikap cinta akan negaradalam kalangan remaja. Seterusnya, sifat keterbukaan harus saya miliki juga dalam usaha menjadi tonggak negara pada masa hadapan. Melalui sifat ini, saya dapat menerima teguran dan pandangan orang lain dengan tenang dan tidak akan menimbulkan sebarang prasangka yang buruk terhadap mereka. Dalam nada yang serupa, remaja seumpama ini dapat memberi kesan positif kepada negara iaitu menjamin kestabilan politik, ekonomi, dan sosial negara. Mereka akan menjadi pendukung untuk mencapai perpaduan negara atau integrasi nasional demi mewujudkan kesejahteraan sosial. Hal ini demikian kerana, selaras dengan misi dan visi negara iaitu semua rakyat perlu bersatu padu di bawah satu bumbung atau lebih dikenali sebagai satu bangsa, satu bahasa dan satu negara. Maka, sifat keterbukaan remaja sudah pasti dapat memudahkan kami menjadi pemimpin yang mampu membangunkan negara kami dengan penuh komited dan dipayungi perpaduan antara rakyat. Lain daripada itu, saya juga perlu memiliki kesihatan fizikal dan mental. Remaja yang ingin membangunkan negara perlu memiliki kekuatan fizikal dan mental untuk menempuhi segala kekangan. Pada alaf yang baharu penuh dengan kompetitif, remaja perlu mempunyai kecergasan fizikal dan bersemangat waja diri tanpa mengenal istilah putus asa supaya dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan remaja di negara maju yang lain. Dalam usaha mencapai kesihatan fizikal dan mental, remaja patut mengamalkan pemakanan seimbang, menjaga kebersihan diri dan persekitaran, bersenam, bersukan, beriadah dan tidak terlibat dalam pelbagai angkara sosial seperti minum arak, merokok, kegiatan maksiat dan lain-lain kerana terlajak perahu dapat diundur, terlajak laku buruk padahnya. Remaja harus sedar bahawa kesihatan merupakan aset utama yang tidak ternilai. Tanpa kesihatan, segalagalanya tidak lagi membawa makna. Hal ini sangat bertepatan dengan slogan rakyat sihat, negara maju. Sebagai intiha, aspek-aspek di atas sangat perlu kita miliki dan praktikkannya kerana perkara ini sudah menjadi tanggungjawab dan obligasi masing-masing untuk menjana pembangunan negara persis mutiara kata pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Remaja sebagai tunjang yang bakal menerajui tampuk kepemimpinan negara haruslah merdeka daripada belenggu gejala sosial. Ghalibnya, hanya remaja yang berkualiti akan memangkinkan kecemerlangan negara. Jika remaja sekarang tidak diasuh, dibimbing dan dididik dengan kamil, tidak mustahil segala aspirasi negara hanya sekadar imaginasi sematamata dan tidak dapat menjadi realiti. Oleh itu, remaja perlu terjaga daripada lena dan keasyikan serta melengkapkan diri dengan ciri-ciri yang mulia supaya dapat menempatkan diri sebagai modal insan yang berketerampilan terpuji. Semoga negara kita dapat berdiri dengan gah di pentas antarabangsa bergandingan dengan negara maju yang lain dan terkenal di seantero dunia. NazirahYaakob 5 Sains Alamanda, 2013.

SMK Merbau, Miri Guru Subjek: Pn. Noor Sukarni Alice Dicatat oleh keligit97lense No comments: Karangan Bahagian A : Ciri-ciri Remaja Berwawasan Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Itulah slogan kata yang sangat sesuai untuk menggambarkan betapa pentingnya golongan remaja dalam pembangunan bangsa dan negara. Bahkan sering meniti dari bibir ke bibir di segenap empat penjuru negara ini akan isu yang berkait rapat dengan golongan remaja. Umum mengetahui bahawa golongan remaja merupakan aset terpenting sebagai wahana pembangunan negara kerana remajalah bakal menerajui tampuk kepimpinan negara pada masa hadapan. Oleh itu, remaja seharusnya memiliki wawasan diri yang teguh sesuai dengan peranan mereka sebagai tonggak utama negara. Namun persoalannya, apakah ciri-ciri remaja yang berwawasan? Pada realitinya, remaja yang berwawasan semestinya cinta akan ilmu pengetahuan. Remaja yang berwawasan akan senantiasa berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran diri kerana mereka sedar bahawa ilmu itu pelita hidup. Lazimnya, remaja yang berwawasan akan mengaplikasikan ilmu yang dimiliki dalam menghadapi cabaran dan onak duri dalam kehidupan. Sementelahan lagi, mereka akan memantau dan menilai perkembangan diri serta berusaha untuk membaiki kelemahan diri agar lebih maju ke hadapan. Tegasnya, remaja yang berwawasan sedar akan kepentingan ilmu pengetahuan dan tidak akan bersikap evasif dalam berkongsi ilmu untuk kebaikan bersama. Menyelusuri wasitah nirmala seterusnya, remaja yang berwawasan seyogianya akan patuh kepada ajaran agama. Menurut Albert Einstein, agama tanpa ilmu itu lumpuh, ilmu tanpa agama itu buta. Oleh itu, remaja yang berwawasan semestinya mempunyai ilmu pengetahuan tanpa mengabaikan ajaran agama. Hal ini bertepatan dengan aforisme sambil menyelam, minum air. Remaja yang berwawasan akan mengaplikasikan nilai-nilai murni dalam kehidupan mereka dan tidak akan melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh agama. Bukan itu sahaja, remaja yang berwawasan sentiasa berpegang teguh kepada ajaran agama kerana mereka mengetahui bahawa agama mampu menjadi benteng daripada terlibat dalam gejala sosial. Dalam erti kata lain, remaja yang berwawasan akan dapat membezakan perkara yang baik dan perkara yang buruk, halal dan haram dengan adanya asas agama yang kukuh. Sudah terang lagi bersuluh, remaja yang berwawasan sangat sinonim dengan sikap mereka yang berdisiplin. Remaja yang berwawasan akan menghargai masa kerana masa itu emas. Mereka bijak menguruskan masa dan merancang jadual supaya rutin harian seimbang. Sementelahan lagi, remaja yang berwawasan mempunyai tahap disiplin yang tinggi akan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan seperti peraturan sekolah. Hal ini bersesuaian dengan peribahasa di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Mereka juga akan memberikan komitmen yang sepenuhnya dalam melaksanakan tugas yang diberikan sekali gus menyerlahkan sifat kepimpinan dalam diri mereka. Hal ini jelas menunjukkan bahawa disiplin merupakan asas pembentukan keperibadian remaja yang berwawasan. Konklusinya, remaja yang berwawasan akan bersikap positif dalam apa-apa jua keadaan dan berfikiran jauh untuk mencapai kejayaan. Mereka tidak akan bersikap terburuburu dalam melakukan sesuatu pekara sebaliknya mereka akan memikirkan pro dan kontra sebelum bertindak atau membuat keputusan. Walau bagaimanapun, semua pihak haruslah

seikat bagai sirih serumpun bagai serai dalam memainkan peranan masing-masing untuk memastikan negara dapat melahirkan lebih ramai remaja yang berwawasan. Sesungguhnya, kerjasama yang utuh sangat penting untuk pembangunan negara dan merealisasikan wawasan 2020 yang kian menjengah kerana satu jari telunjuk sahaja tidak mampu untuk menumbangkan sebatang pokok. Oleh : Ramlah Ak Baro, 5 Sains Alamanda 2013 SMK Merbau, Miri Guru Subjek: Pn. Noor Sukarni Alice Karangan Bahagian A : Ciri-ciri Remaja Berwawasan Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang Negara izhar menggambarkan bahawa golongan belia merupakan golongan yang penting dalam memacu pentadbiran negara pada masa hadapan. Remaja ditakrifkan sebagai seorang individu yang telah mencapai tahap dewasa dan mempunyai fikiran yang matang. Oleh itu, individu yang berfikiran matang akan dapat menentukan wawasan diri mereka. Namun begitu, saban hari kita sering kali mendengar dan melihat melalui media massa seperti televisyen, akhbar, dan pelbagai media elektronik lain mengenai kebobrokan akhlak golongan ini. Hal ini memberi satu tanggapan seolah-olah remaja di negara kita tidak mempunyai wawasan diri yang tinggi walhal merekalah yang bakal menerajui tampuk pimpinan negara kelak. Persoalannya, apakah ciriciri remaja yang berwawasan yang seharusnya dipraktikkan oleh remaja hari ini? Seseorang remaja yang berwawasan akan cinta akan ilmu pengetahuan. Hal ini demikian kerana, mereka akan menggunapakaikan segala ilmu pengetahuan yang diperoleh dari sekolah dan rumah sebagai medium untuk lebih memajukan diri mereka. Bukan itu sahaja, remaja yang berwawasan juga mempunyai kesedaran mengenai kepentingan ilmu pengetahuan dalam mencorakkan hala tuju negara pada masa akan datang kerana ilmu itu pelita hidup. Dengan mencintai ilmu pengetahuan, golongan remaja akan mengelakkan diri daripada terjebak dalam kancah sosial seperti merempit, merokok dan pengambilan dadah. Oleh itu, guru-guru dan ibu bapa berperanan penting dalam memberikan pendidikan sama ada secara formal atau tidak formal dalam membentuk remaja yang berwawasan. Konklusinya, sikap cinta akan pendidikan dan ilmu pengetahuan akan mencerminkan keperibadian remaja yang berwawasan. Selain itu, patuh kepada ajaran agama juga merupakan ciri remaja yang berwawasan. Hal ini demikian kerana ajaran agama menekankan aspek rohani dan sahsiah dalam menjalani kehidupan seharian. Dengan adanya asas agama yang kukuh, remaja dapat meningkatkan keyakinan diri di samping mereka tidak mudah untuk terlibat dalam pelbagai penyakit sosial yang kian menular umpama barah dalam kalangan remaja masa kini. Hal ini dapat kita buktikan dengan membandingkan remaja yang tiada pendidikan agama yang sempurna lebih mudah terpengaruh dengan pelbagai wabak sosial dan mereka tidak mempunyai hala tuju yang jelas berbanding dengan remaja yang sempurna didikan agamanya. Oleh sebab itu, aspek agama tidak seharusnya dipandang ringan dalam meniti arus kemodenan ini. Tuntasnya, remaja yang berwawasan haruslah mempunyai pegangan agama yang teguh sebagai benteng dalam kehidupan dan pendidikan agama haruslah diparaktikkan kepada anak-anak melalui ibu bapa sejak dari kecil lagi bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Di samping itu, remaja yang berwawasan akan berdisiplin dalam apa-apa perkara yang dilakukan oleh mereka. Hal ini demikian kerana remaja yang berdisiplin akan lebih mudah mencapai wawasan diri mereka berbanding dengan golongan remaja yang tidak berdisiplin dan senantiasa mengharapkan bantuan daripada orang lain. Selain itu, remaja yang

berwawasan mempunyai kesedaran bahawa aspek kedisiplinan merupakan elemen fundamental dalam mencapai kejayaan yang hebat pada masa hadapan. Sebagai contoh, Albert Einstein tidak berputus asa dan tidak bergantung kepada orang lain dalam menjalankan beratus-ratus eksperimen pada suatu masa dahulu. Dengan hasil usaha peluh dan keringatnya, masyarakat pascakemerdekaan kini dapat hidup dengan pelbagai teknologi yang canggih. Ghalibnya, remaja yang berwawasan akan menekankan aspek disiplin dalam kehidupan seharian mereka dan menghargai masa kerana mereka sedar masa itu emas. Sesungguhnya, hanya orang yang malas tidak mempunyai disiplin akan menempuh kegagalan dalam kehidupan. Bukan itu sahaja, remaja yang berwawasan seyogianya akan menghormati ibu bapa dan guru mereka. Hal ini demikian kerana mereka sedar bahawa mereka tidak mungkin akan berjaya tanpa kehadiran kedua-dua golongan ini dalam kehidupan mereka. Remaja yang berwawasan akan menghormati ibu bapa kerana syurga di bawah telapak kaki ibu manakala guru pula merupakan insan yang sering diberi perumpamaan ibarat lilin yang membakar diri dalam memberikan kita ilmu serta dorongan dalam usaha kita mencapai kejayaan. Istilah biadap atau kurang ajar tidak seharusnya wujud dalam diri remaja era modenisasi ini kerana remaja merupakan golongan yang berpendidikan dan seharusnya memiliki akal fikiran yang matang. Oleh yang demikian, untuk menjadi remaja yang berwawasan, bukan aspek luaran sahaja yang dititikberatkan sebaliknya nilai murni seperti menghormati ibu bapa dan guru juga perlu disemai dan dibajai dalam diri setiap remaja. Tuntas bicara, daripada kesemua huraian di atas jelas menunjukkan bahawa remaja yang berwawasan perlulah seimbang dalam semua aspek kehidupan. Oleh itu, remaja zaman sekarang diseru agar menerapkan semua aspek ini dalam kehidupan agar sentiasa beroleh kejayaan dan mencapai wawasan diri. Remaja seharusnya menggunakan setiap peluang yang ada untuk menjadi remaja yang berwawasan kerana di pundak merekalah bakal terpikul segala amanah dan tanggungjawab untuk memajukan bangsa dan negara agar setanding dengan negara maju yang lain persis mutiara kata berdiri sama tinggi, duduk sama rendah. Dalam konteks ini semua pihak haruslah bekerjasama bak kata pepatah seikat bagai sirih, serumpun bagai serai dalam usaha melahirkan lebih ramai remaja yang berwawasan agar Wawasan Perdana 2057 mampu direalisasikan dengan jayanya. Oleh : Aaronn Avit Ajeng, 5 Sains Alamanda 2013 SMK Merbau Miri Guru Subjek: Pn Noor Sukarni Alice Isu : Bencana Alam Mutakhir ini, kita seringkali digemparkan dengan berita bencana alam yang berlaku tidak kira dalam negara mahupun di luar negara. Bencana alam yang menimpa kian berlaku sejak kebelakangan ini dan tidak dinafikan bahawa hal ini sememangnya sudah menjadi lumrah dunia. Antara bencana alam yang sering melanda ialah tanah runtuh, gempa bumi, tsunami, ribut taufan dan sebagainya. Musibah yang berlaku ini telah memberikan impak negatif kepada semua pihak terutamanya ialah ribuan nyawa telah terkorban akibat bencana alam yang berlaku. Justeru, punca kejadian ini harus dikenal pasti dan diselidik secara terperici agar langkah yang efektif dapat diambil untuk menangani permasalahan ini yang hanya meninggalkan seribu satu kesan negatif bukan sahaja terhadap manusia malah negara. Punca yang ketara menyebabkan berlakunya bencana alam ialah kemusnahan alam yang dilakukan terutamanya oleh manusia itu sendiri dalam menjalani aktiviti harian mereka. Tingkah laku mereka yang tidak bermoral juga turut menyumbang ke arah kemusnahan alam

berlaku. Kemusnahan hutan, udara, laut dan sebagainya semakin berleluasa lebih-lebih lagi pada era moden dewasa ini. Kemusnahan yang sebegitu sudah pasti akan mendorong untuk berlakunya musibah yang tertentu kerana bumi tetap memerlukan masa untuk mengimbangi perubahan yang drastik walaupun mempunyai keluasan yang besar. Oleh itu, bencana alam berlaku kerana dunia mengalami kemusnahan alam yang begitu pantas sehinggakan dunia itu sendiri tidak mampu mengawalnya. Tegasnya, kerakusan manusia mengeksploitasi alam telah mengundang padah kepada manusia sendiri dalam bentuk bencana alam. Bukan itu sahaja, bencana alam turut berlaku kerana kegagalan manusia untuk membuat perancangan. Kita semua sudah sedia maklum bahawa manusia sudah boleh meramal musim hujan, kejadian ribut taufan, dan juga memahami kejadian tsunami. Namun begitu, mengapakah angka kematian semakin meningkat? Jawapannya mudah sahaja kerana manusia gagal membuat perancangan seperti memberitahu masyarakat lebih awal, membuat latihan untuk menghadapi bencana mahupun tidak mempunyai piawaian pembinaan bangunan yang baik. Sesungguhnya, kegagalan manusia untuk merancang atau bekerjasama memberikan satu persepsi bahawa kita memandang rendah akan keupayaan bencana alam ini atau menganggap nyawa manusia itu tidak bernilai lalu membiarkan sahaja bencana alam berlaku begitu sahaja. Umum mengetahui, setiap bencana alam yang melanda pasti akan meninggalkan impaknya. Tidak dinafikan, bencana alam seperti banjir besar, gempa bumi, tanah runtuh dan sebagainya akan menyebabkan berlakunya kerosakan infrastruktur dan harta benda awam seperti bangunan, kereta, rumah, jalan raya dan sebagainya. Hal ini akan membawa kerugian yang amat besar kepada semua penduduk terutamanya kepada kerajaan yang terlibat dengan bencana alam ini. Kerajaan terpaksa memberi bantuan kepada rakyat dari segi kewangan mahupun dalam bentuk makanan, perumahan dan sebagainya. Sebagai contoh, gempa bumi yang berlaku di China telah mengakibatkan banyak kemusnahan rumah dan bangunan pejabat serta infrastruktur elektrik dan komunikasi. Gempa bumi sekuat 7.8 magnitud itu berlaku pada waktu petang sekaligus mengakibatkan 80 peratus bangunan di daerah Beichuan Qiang musnah. Ratusan orang tertimbus di Shifang selepas beberapa buah sekolah, kilang dan asrama musnah. Selain itu, bekalan elektrik dan air juga terputus akibat gempa bumi yang berlaku. Hospital menjadi sesak dan para pesakit terpaksa dipindahkan ke luar hospital dan duduk untuk menunggu bantuan daripada pihak hospital. Di samping itu, bencana alam yang berlaku tanpa disedari telah meragut banyak nyawa yang tidak berdosa terutamanya kepada kanak-kanak , warga tua dan wanita. Bencana alam juga telah menyebabkan ramai yang cedera parah dan kanak-kanak hilang tempat bergantung dan menjadi anak yatim piatu. Kanak-kanak terpaksa hidup berseorangan tanpa keluarga untuk memberi sokongan moral dan kata-kata semangat antara satu sama lain. Hal ini demikian akan menyebabkan mangsa-mangsa bencana alam ini hidup dalam keadaan ketakutan dan tidak tenteram. Bencana alam adalah sesuatu yang menggerunkan dan boleh mengorbankan orang ramai tidak mengira usia dan pangkat, mahupun bangsa.Tsunami merupakan salah satu contoh ketara yang memperlihatkan ramai nyawa terkorban disaat bencana ini berlaku. Bencana ini berlaku pada 26 Disember 2004, melibatkan beberapa negara di Asia termasuklah Malaysia. Namun begitu, angka korban yang tertinggi adalah di Indonesia. Dalam pada itu, langkah yang drastik dan pragmatik perlulah diambil untuk mengurangkan risiko kejadian bencana alam. Rentetan itu, pihak kerajaan perlulah menubuhkan sistem amaran awal yang berkesan dan berteknologi tinggi supaya mereka dapat

meramalkan jenis bencana alam, kawasan-kawasan yang berisiko tinggi untuk ditimpa bencana alam serta waktu bencana alam untuk berlaku. Dengan ini, pihak kerajaan dapat membuat persiapan awal dalam menghadapi bencana alam seperti menyediakan tempat tinggal sementara bagi rakyat, bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Waimanya, pihak kerajaan hendaklah menghebah-hebahkan maklumat mengenai bencana alam yang akan ditimpa kepada masyarakat melalui media massa sama ada elektronik atau bercetak. Misalnya, wadah media massa yang popular dalam kalangan rakyat seperti televisyen dan radio dapat menyampaikan mesej dengan segera tentang bencana alam yang akan melanda negara kita dalam sekelip mata. Hal ini demikian kerana, masyarakat akan lebih berwaspada dan bersedia untuk menghadapi bencana alam serta-merta. Pada waktu yang sama, pihak sekolah juga seharusnya mendidik para pelajar tentang cara-cara menghadapi bencana alam sejak di bangku sekolah lagi kerana melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Kementerian Pelajaran perlu mewujudkan satu sukatan pelajaran baru yang bertemakan Bencana Alam dalam Pendidikan Moral mahupun Pendidikan Sivik Dan Kewarganegaraan. Melalui kaedah ini, pendedahan awal tentang cara-cara menghadapi bencana alam dapat diberikan kepada pelajar. Selanjutnya, kegiatan unit beruniform di sekolah juga dapat membina individu yang berfizikal lasak dan memiliki ketahanan yang kuat. Pelajar-pelajar juga diberi ilmu pertolongan cemas dan diajar bahasa isyarat yang boleh diaplikasikan semasa sesuatu bencana alam berlaku. Dengan diikuti kegiatan kokurikulum di sekolah, para pelajar dapat menggambarkan situasi sebenar bencana alam dan mampu membuat pertimbangan akal yang wajar. Sebagai penggulung bicara, punca-punca berlakunya bencana alam harus diselidik hingga ke akar umbi bagi menyelesaikan permasalahan ini yang hanya memberikan implikasi negatif kepada semua pihak. Oleh itu, langkah mengatasi masalah ini harus dilaksanakan dengan segera bagi mengurangkan angka nyawa yang terkorban akibat bencana alam pada masa akan datang sekali gus dapat menyediakan diri sebelum berlakunya bencana alam. Kita perlu sedar dan cuba membantu untuk memulihkan semula keadaan alam kerana itulah jawapan kepada penyelesaian bencana alam ini. Peribahasa hendak buat seribu daya, tak hendak seribu dalih menjadi renungan kepada kita semua dalam menangani kemelut ini. (Kumpulan 2 : 4 Sains Alamanda 2012) SMK Merbau, Miri Guru Subjek: Pn. Noor Sukarni Alice

FRIDAY, MARCH 1, 2013 Pengenalan Kepada Morfologi Tatabahasa ada dua - morfologi dan sintaksis. Urutan bahasa dari kecil ke besar adalah : morfem kata o frasa o klausa o ayat

morfem dan kata adalah ayat frasa, klausa, ayat adalah sintaksis Morfologi - bidang ilmu bahasa yang mengkaji struktur, bentuk dan penggolongan kata.

Morfem Morfem - unit terkecil yang mempunyai makna dan menjadi unsur terbentuk kata. contoh - perkataan mendengar terdiri dari 2 morfem iaitu [men] dan [dengar] Jenis morfem o morfem bebas o morfem terikat morfem terikat satuan morfem terikat terbahagi morfem terikat kompleks

Morfem bebas - morfem yang dapat berdiri sendiri sebagai kata penuh, tidak bergabung dengan morfem lain seperti pulang, lupa, belantara, bebas, minum, suasana, kereta dll. Morfem terikat - morfem yang tidak dapat berdiri sendiri sebagai kata dasar. perlukan imbuhan. semua imbuhan adalah morfem terikat. contoh berkesan [ber] dan [kesan] Morfem terikat satuan - morfem terikat yang kuat dalam bentuknya, tidak boleh dipisahkan bahagiannya seperti berlari, menari awalan, akhiran atau tertawa, bertapa, menyala dll. Morfem terikat terbahagi - berdiri dari awalan dan akhiran serentak seperti kehadiran, penderitaan dll. Morfem terikat kompleks - gabungan dua morfem terikat atau lebih. contohnya memperkuat, memperoleh, mengatakan, dikatakan, membaiki, mempersoalkan, dipersoalkan, dipersenjatai, dll Konsep kata - kata akar dan kata dasar Kata akar - inti sesuatu kata. belum diberikan imbuhan lagi. Kata dasar - kata akar yang menjadi dasar sesuatu perkataan yang dapat diberikan imbuhan seperti lari jadi berlari. Konsep alomorf - kelainan atau anggota sesuatu morfem. contohnya awalan meN- ialah morfem. alomorfnya ialah me-, mem-, men-, dll Konsep morfofonem - melibatkan gabungan antara morfem dengan fonem. morfofonem ialah ciri bunyi yang timbul apabila imbuhan dicantumkan dengan kata dasar. Jenis morfem bagi perkataan berikut : o jelapang - terikat o rujuk - bebas o cengkerang - bebas o kelmarin - bebas o renang - bebas o selidik - bebas o rangkak - bebas o tinggal - bebas jenis morfem terikat bagi perkataan berikut o raung - bebas o bertujuan - terikat satuan o gemersik - terikat satuan o mempersoalkan - terikat terbahagi o tertarik - terikat satuan o menyucikan - terikat terbahagi

Kata

rangkak - bebas memperkecil - terikat kompleks jumlah morfem o terlantar - 2 o pemerkasaan - 4 o bermaharajalela - 4

o o

Pada zaman serba canggih ini, kemudahan internet merupakan satu kemudahan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) yang amat diperlukan oleh masyarakat zaman sekarang. Internet amat berguna dalam melakukan tugas-tugas harian terutamanya bagi mereka yang ingin menyelesaikan urusan-urusan penting mereka dalam kaedah yang cepat dan mudah serta menjimatkan kos. Pengguna Internet di Malaysia telah meningkat sekali ganda daripada tahun lalu ibarat cendawan tumbuh selepas hujan dengan kebanyakan pengguna berusia dalam lingkungan 15 hingga 25 tahun. Berdasarkan kajian yang dibuat, rakyat Malaysia membelanjakan sebanyak RM552 setahun dengan bayaran internet sebanyak RM46 sebulan. Kini,penggunaan internet tidak hanya terhad di tempat kerja sahaja malah institusi pendidikan seperti sekolah dan universiti turut menggunakan internet sbagai salah satu kaedah pembelajaran bagi para pelajarnya. Penggunaan membolehkan bidang pendidikan bergerak seiring dengan kemajuan teknologi dunia dan peredaran zaman sekali gus melonjakkan status pendidikan di Malaysia ke arah yang lebih tinggi setaraf dengan pendidikan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom secara holistik. Persoalannya, apakah kepentingan-kepentingan Internet kepada bidang pendidikan terutamanya di Malaysia? Kata-kata hikmat ada menyatakan bahawa ilmu itu luas dan tiada sempadan. Barubaru ini, berita di televisyen telah menyiarkan lawatan Timbalan Perdana Menteri yang juga merupakan Menteri Pelajaran iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin ke sebuah sekolah berprestasi tinggi di Alabama, Amerika Syarikat. Semasa lawatan beliau ke sekolah tersebut, beliau telah meninjau sebuah kelas yang menggunakan aplikasi internet sebagai sumber pembelajarannya. Para pelajar di dalam kelas tersebut hanya perlu mendengar penerangan daripada guru dan mampu mencari maklumat dalam pelbagai laman web yang dipaparkan dengan hanya satu klik sahaja. Hal ini menunjukkan bahawa internet mampu menyediakan kepelbagaian maklumat termasuk maklumat yang tidak disediakan dalam buku kepada para pelajar. Dengan ini, para pelajar mampu menyediakan bahan berlainan untuk aktiviti pembelajaran di dalam kelas seperti pembentangan dalam masa yang singkat.

Pada masa dahulu, buku teks dianggap sebagai sumber pembelajaran yang penting di dalam kelas.Kini,mentaliti pelajar zaman sekarang amat berbeza jika dibandingkan dengan pelajar zaman dahulu. Pelajar zaman sekarang menganggap buku teks menyusahkan mereka kerana mereka terpaksa menjinjing beg sekolah yang sarat dengan buku teks sepanjang sesi persekolahan. Keadaan ini menyebabkan terdapat segelintir pelajar lebih rela meninggalkan buku-buku teks mereka di rumah sekali gus menyebabkan mereka melanggar peraturan sekolah yang telah ditetapkan. Seperti yang kita tahu,tidak semua pelajar gemar membaca melalui buku kerana masa mereka banyak dihabiskan di hadapan komputer. Di samping itu, terdapat pelajar yang menggunakan aplikasi internet seperti e-book sebagai sumber bacaan

kerana aplikasi ini menyediakan perkhidmatan yang percuma dan cepat kepada pembaca jika dibandingkan dengan pembaca terpaksa ke kedai buku untuk membeli buku rujukan selain harga buku juga dijual mengikut jenis buku tersebut. Selain itu, penggunaan internet memboleh perkongsian maklumat antara pelajar. Projek Jaringan Pendidikan(JP) di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran dan MIMOS merupakan salah satu aktiviti dalam program Komputer Dalam Pendidikan oleh Kementerian Pelajaran.Projek ini mampu meningkatkan mutu pendidikan di Malaysia kepada taraf yang lebih tinggi. Di samping itu, penggunaan aplikasi seperti e-mel membolehkan segala maklumat yang ingin dikongsi oleh para pelajar dan guru dapat dikirim dengan lebih cepat dan mudah. Menurut kenyataan salah seorang pengkaji penggunaan internet, Dr.Jane Lasarenko, kebaikan utama penggunaan e-mel adalah dapat menanam semangat belajar yang tinggi dalam kalangan pelajar dalam setiap pembelajaran mereka. Bukan itu sahaja,para pelajar tidak akan ada alasan lagi untuk tidak menghantar kerja rumah mereka pada hari yang ditetapkan kerana aplikasi e-mel ini memudahkan urusan pembelajaran antara murid dan guru menjadi senang malah hubungan murid dan guru dapat dieratkan. Internet juga membolehkan para pelajar dan guru untuk mengetahui dan mengambil bahagian dalam setiap aktiviti yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Misalnya pembangunan laman web sekolah mampu dijadikan sebagai alternatif untuk menyalurkan segala maklumat mengenai sekolah kepada semua pihak. Selain itu,laman web sekolah juga membolehkan ibu bapa untuk mendapatkan segala maklumat berkaitan dengan anak-anak seperti rekod disiplin, akademik dan juga kokurikulum. Ibu bapa hanya perlu melanggan laman web sekolah ataupun menggunakan e-mel untuk berhubung terus dengan guru. Secara tidak langsung, hubungan antara ibu bapa dengan pihak sekolah dapat ditingkatkan.Ibu bapa tidak akan ada alasan lagi untuk tidak berkunjung ke sekolah dengan alasan sibuk untuk mendapatkan perkembangan anak-anak mereka di sekolah. Oleh yang demikian, masalah disiplin pelajar yang memerlukan kerjasama pihak sekolah dan ibu bapa dengan mudahnya dapat ditangani. Guru-guru boleh menggunakan internet sebagai bahan bantu mengajar di dalam kelas.Internet mempunyai pelbagai komponen pengajaran seperti grafik,animasi atau audio visual.Dengan adanya kepelbagaian komponen pengajaran ini,sesi pengajaran dan pembelajaran akan menjadi seronok dan mampu meningkatkan minat belajar yang tinggi dalam diri para pelajar.Guru-guru juga mampu mengakses pelbagai jenis bentuk latihan dan soalan untuk para pelajar mereka terutamanya bagi para pelajar yang bakal memduduki peperiksaan awam yang patut didedahkan dengan pelbagai bentuk soalan peperiksaan bagi menyiapkan diri mereka untuk peperiksaan yang bakal dihadapi. Maka,guru-guru tidak perlu berjumpa dengan pihak pentadbiran sekolah ataupun pihak penjual buku bagi mendapatkan buku yang diperlukan oleh guru dan para pelajar. Kesimpulannya, peranan semua pihak amat penting dalam memastikan bidang pendidikan di Malaysia tidak ketinggalan dalam arus pemodenan agar negara kita mampu membangun dengan kemahiran dan ilmu yang dimiliki oleh rakyat kita sendiri. Oleh yang demikian,impian kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju pada tahun 2020 akan tercapai sekali gus mampu melahirkan generasi yang berilmu pengetahuan tinggi selaras dengan matlamat Falsafah Pendidikan Negara iaitu masyarakat Malaysia yang terlatih dalam pelbagai kemahiran bagi melahirkan tenaga manusia yang produktif, berinisiatif dan berinovatif untuk mentadbirkan alam bagi meningkatkan daya pengeluaran ke arah pembangunan negara.

Disediakan oleh: Sabrina Sambai Ak Indang 5 Sains Alamanda 2013 Faedah-faedah yang diperoleh melalui amalan berjimat cermat. (Karangan Bahagian A) Sempena Hari Pengguna 2010, Perdana Menteri kita telah menyeru rakyat agar berjimat cermat dalam segala aspek kehidupan demi menjamin kebahagiaan dan kesejahteraan hidup. Beliau juga menasihati rakyat agar ingat sebelum kena, jimat sebelum habis agar tidak menyesal kemudian hari. Rakyat juga digesa agar tidak menjadi hamba kepada hawa nafsu ketika membeli-belah kerana ikut hati mati, ikut rasa binasa. Pada hemat saya, pandangan Perdana Menteri ini sewajarnya direnungi kerana banyak faedahnya jika amalan berjimat cermat dijadikan agenda utama dalam kamus hidup kita. Melalui amalan berjimat cermat, perbelanjaan harian dapat dikurangkan. Hal ini demikian kerana kita membandingkan harga barang-barang yang hendak kita beli dan membeli barangan buatan tempatan yang lebih murah harganya. Barang yang berkualiti dan mahal juga eloklah dibeli kerana alah membeli, menang memakai. Kasut sekolah Bata, misalnya, bukan sahaja tahan lama bahkan berbaloi. Pemakaian kasut ini memberikan keselesaan dan kepuasan. Dengan cara ini, bukan sahaja perbelanjaan harian dapat dijimatkan bahkan kebahagiaan terjamin. Amalan berjimat cermat juga dapat menambah simpanan kita. Apabila kita menjimatkan perbelanjaan, wang yang dihematkan dan ditabungkan di institusi kewangan akan meningkat, bak kata pepatah sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit. Wang simpanan ini amat berguna ketika menghadapi waktu kecemasan seperti hendak menjalani pembedahan. Menurut Dato Michael Chong, kita tidak perlu mengemis dan menjadi mangsa ceti haram kerana lintah darat ini memang menangguk di air keruh dan menjadi duri dalam daging dalam kehidupan kita. Tegasnya, bukan sekadar wang tabung kita bertambah malah kesenangan hidup terpelihara. Seterusnya, amalan berhemat dalam pengurusan kewangan akan mendidik seseorang individu untuk berdikari. Kita tidak perlu bersandar pada ibu bapa ataupun pada kerajaan untuk mendapatkan bantuan kewangan ataupun biasiswa demi mengongkosi pengajian kita di menara gading nanti. Dewasa ini, banyak pelajar cemerlang yang menggantungkan harapan pada biasiswa tajaan JPA dan pada pinjaman PTPTN. Apabila gagal beroleh bantuan kewangan, mereka pun seolah-olah langit runtuh, bumi cair ataupun kaca terhempas ke batu. Jadi, kita patut berjimat cermat untuk berdikari agar hidup kita lebih damai dan sejahtera. Intihanya, cermat masa banyak, jimat masa sedikit. Kita hendaklah menghayati pesanan agama kita, yakni ingat akan kesakitan ketika sihat; ingat akan ketuaan usia ketika muda; ingat akan kematian ketika hidup; dan ingat akan kepapaan ketika kaya seandainya kita hendak bahagia sepanjang hayat. Sehubungan ini, ibu bapa berperanan sebagai cermin perbandingan yang positif kepada si anak, dan bukannya seperti ketam menyuruh anaknya berjalan betul. Dengan terpupuknya nilai positif ini dalam lubuk kalbu generasi muda, mereka akan senantiasa mampu memberi dan tidak akan meminta.

Faedah-faedah Mempelajari Seni Pertahanan Diri Marcapada ini, dunia kita yang kian mengalami perubahan dari pelbagai segi telah menyingkirkan sesetengah amalan atau budaya masyarakat dahulu. Keadaan yang menyedihkan ini mungkin kurang mendapat perhatian daripada masyarakat, malahan tidak dikesan oleh mereka. Dalam perkara ini, seni pertahanan diri telah semakin dilupakan oleh masyarakat terutamanya generasi muda. Hal ini boleh disamakan dengan peribahasa ibarat melukut di tepian gantang. Pada hakikatnya, hal ini tidak sepatutnya berlaku. Perkara ini disebabkan oleh seni pertahanan diri boleh mendatangkan pelbagai manfaat kepada kita. Jenis-jenis seni pertahanan diri termasuklah silat gayung, Wushu, silambam dan sebagainya. Persoalannya, apakah faedah-faedah yang boleh didapati dengan mempelajari seni pertahanan diri? Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Dengan mempelajari seni pertahanan diri, kita dapat menyihatkan tubuh badan kita dan seterusnya mengelakkan diri kita daripada penyakit.Perkara ini berlaku apabila melakukan pergerakan tertentu ketika berlatih, kita akan mendapat kebaikan yang sama seperti bersenam. Mengikut kajian saintifik, dipercayai bahawa apabila badan kita mengeluarkan peluh, toksik-toksik dari badan turut akan dikeluarkan mengikut air peluh. Sekiranya toksik-toksik dari badan telah dikeluarkan, maka kita akan berasa lebih sihat dan bertenaga untuk menjalankan aktiviti seharian. Tambahan pula, badan kita akan menjadi lebih cergas disebabkan oleh otot-otot badan kita yang semakin kuat melalui latihan seni pertahanan diri. Secara tidak langsung, otak kita juga akan menjadi cerdas kerana badan cergas, otak cerdas. Seterusnya, kita mampu mempertahankan diri apabila keselamatan diri kita tergugat khususnya kepada golongan wanita. Sejak kebelakangan ini, pelbagai kes jenayah yang menyebabkan kehilangan harta mahupun nyawa semakin menjadi-jadi seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Kes-kes tersebut telah menjadi perkara yang izhar dan menimbulkan kebimbangan pelbagai pihak terutamanya masyarakat. Oleh yang demikian, kita wajar melakukan sesuatu demi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penjenayah yang seterusnya kerana pepatah ada mengatakan malang itu tidak berbau. Dengan mempelajari seni pertahanan diri, kita dapat menggunakan teknik yang dipelajari semasa kecemasan untuk menyerang penjenayah. Bukan itu sahaja, kita juga dapat menghulurkan bantuan kepada orang lain dengan ilmu seni pertahanan diri yang dipelajari. Dalam pada itu, rakyat Malaysia yang berdisiplin akan dilahirkan jika masyarakat sanggup mempelajari seni pertahanan diri. Hal ini terjadi kerana kita akan diterapkan nilainilai murni apabila mempelajari seni tersebut. Sebagai tamsilan, nilai menepati masa, nilai baik hati, nilai bekerjasama dan lain-lain. Dengan kata lain, kita akan menjadi lebih gagah dan berkeyakinan diri untuk melakukan perkara yang betul seperti menegakkan keadilan apabila diri kita dilengkapi ilmu seni tersebut. Lagipun, kita boleh mendisiplinkan diri dengan mempelajari seni ini. Perkara ini berlaku kerana kita mesti menepati masa berlatih yang ditentukan setiap kali. Walaupun pada mulanya kita tidak senang hati dengan peraturan ini, tetapi lama-kelamaan amalan yang terpuji tersebut akan tertanam dalam diri kita secara tidak langsung, bak kata pepatah, alah bisa, tegal biasa. Pada masa yang sama, kita turut berpeluang mengharumkan nama sekolah dengan menyertai pertandingan seni pertahanan diri yang dianjurkan. Tambahan pula, peluangpeluang tersebut telah memberi ruang kepada para pelajar untuk memajukan diri dan mencipta nama dalam bidang kokurikulum. Sebenarnya, terdapat pelbagai jenis seni

pertahanan diri yang ditawarkan oleh pihak sekolah. Antara jenis seni pertahanan diri yang popular termasuklah Taekwando, Karate, silat, Tang Soo Doo dan sebagainya. Justeru, pelajar boleh bebas melibatkan diri dalam jenis seni pertahanan diri yang diminati untuk mengasah potensi diri yang tersembunyi dan menunjukkan bakat yang ada. Sementara itu, seni pertahanan diri merupakan salah satu wadah yang baik untuk kita bersosial. Dengan kata lain, kita boleh menambah kenalan yang baru dengan mempelajari seni pertahanan diri. Ghalibnya, kita mudah mendapat kenalan baru yang terdiri daripada ahli-ahli lain yang mengikut latihan seni pertahanan diri bersama kita. Kita juga boleh saling berkongsi ilmu pengetahuan dan pengalaman yang berkaitan dengan seni pertahanan diri bersama kawan kerana perbuatan ini akan mendatangkan manfaat kepada kedua-dua pihak. Sekiranya kita mempunyai kawan, kita tidak akan mudah berasa kesunyian. Oleh itu, kita tidak sepatutnya bersikap seperti kera sumbang kerana sikap tersebut tidak memanfaatkan kita untuk mendapat kenalan baru. Intihannya, kita boleh memperoleh pelbagai kebaikan dengan mempelajari seni pertahanan diri. Jadi, kita tidak seharusnya beranggapan bahawa seni tersebut tidak lagi sesuai dengan arus pembangunan masa kini dan mengabaikannya.Hal ini turut disebabkan oleh seni pertahanan diri merupakan warisan budaya yang tidak ternilai harganya dan patut dikekalkan oleh masyarakat. Dengan itu, kita perlulah bertanggungjawab memastikan adat lama tersebut tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Pelbagai pihak harus memberi kerjasama dalam usaha ini terutamanya pihak kerajaan, media massa, masyarakat dan lainlain. Sekiranya pelbagai pihak dapat menyumbangkan kerjasama, sudah pasti keindahan seni pertahanan diri dapat dipelihara kerana bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. (Chee Fei San, 5 Sains Alamanda, 2013) 5 Sains Alamanda Guru Subjek: Pn Noor Sukarni Alive

Ciri-Ciri Remaja Sebagai Tonggak Negara Masa Hadapan Belia pada hari ini merupakan pemimpin negara pada masa hadapan. Namun begitu, remaja yang merupakan tunjang negara masih terbelenggu oleh pelbagai kemelut sosial. Ternyata mentaliti remaja di negara kita belum lagi mengalami anjakan paradigma selaras dengan arus pembangunan negara kita. Menurut kata mutiara sarjana, jika ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, lihatlah remajanya pada hari ini. Jelaslah di sini, kita dapat lihat bahawa remaja yang berkualiti dapat memperkasakan kegemilangan nusa dan bangsa. Persoalannya, apakah ciri-ciri yang perlu saya miliki sebagai remaja yang menjadi tonggak negara pada masa hadapan? Ciri signifikan yang perlu saya miliki ialah keiltizaman yang tinggi. Saya perlu belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan dalam aspek akademik. Kecemerlangan akademik merupakan salah satu elemen yang maslahat untuk melahirkan remaja yang berkualiti demi kepentingan negara. Intelek merupakan faktor perdana untuk menjana kecemerlangan tamadun bangsa. Sehubungan dengan itu, saya perlu proaktif menimba ilmu bukan sahaja di dalam kelas tetapi menuntut segala pengetahuan terutamanya ilmu Sains dan Matematik. Arus permodenan telah memungkinkan segalanya untuk remaja menimba ilmu melalui pelbagai wahana seperti membaca buku, melayari lebuh raya maklumat di dunia maya dan sebagainya. Ketekunan dan inisiatif merupakan prasyarat untuk mencapai

kecemerlangan akademik dan menjauhi gelaran katak di bawah tempurung. Tegasnya, tanpa remaja yang bijak pandai maka pembangunan negara akan terbantut. Di samping itu, saya perlu beretika dan bersahsiah mulia. Kepatuhan yang teguh kepada ajaran agama perlu ada dalam diri saya supaya dapat menjadi benteng kepada diri saya. Remaja sewajarnya berpegang teguh kepada pegangan agama masing-masing, tidak kira bangsa mahupun agama. Hal ini demikian kerana, ciri ini sangat penting bagi kita menjaga hubungan dengan Maha Pencipta agar kita sentiasa diberkati. Pada waktu yang sama, ajaran agama yang sempurna dapat melatih diri saya untuk sentiasa ingat akan suruhan dan larangan agama tidak kira tempat dan waktu. Bukan itu sahaja, ketaatan kepada ajaran agama juga dapat membentuk sahsiah yang terpuji dalam diri saya. Sebagai contoh, ajaran agama dapat melatih diri saya untuk berfikiran rasional supaya dapat membezakan baik buruk sesuatu perkara. Melalui cara ini, saya tidak akan terpengaruh dalam kebejatan sosial yang boleh mencemarkan nama baik negara. Secara tidak langsung, disiplin dalam diri saya juga terpelihara. Selain itu, ciri kreatif dan inovatif juga perlu saya titik beratkan untuk memacu pembangunan negara yang gemilang. Demi mencapai hasrat ini, semangat inkuiri yang tinggi juga perlu saya miliki. Hal ini demikian kerana, hanya mereka yang berani berkreatif dan mempelopori bidang yang baharu dapat mengecapi kejayaan yang terbilang. Tamsilnya, dalam industri teknologi maklumat dan dan komunikasi (ICT), umat yang gigih dan berani mencuba sesuatu yang baharu akan menikmati buah kejayaan yang manis. Rentetan itu, remaja harus dilatih supaya berimaginasi dan berkhayal tetapi disusuli dengan aplikasi yang teratur. Umpamanya, seorang pelajar berumur 16 tahun di Nepal telah berjaya mencipta sebuah alat yang dapat menghasilkan kuasa elektrik daripada rambut. Kisah kejayaannya mendapat perhatian seluruh dunia sehingga dia ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pelajarannya di Amerika Syarikat. Walaubagaimanapun, remaja haruslah berfikir secara rasional dan mengelakkan perkara-perkara yang mampu memudaratkan diri dan orang lain. Justeru, pembangunan negara akan tercapai jika negara kita mempunyai barisan pelapis negara yang kreatif dan inovatif. Dalam pada itu, saya haruslah mengekalkan jati diri sebagai rakyat Malaysia. Dewasa ini, isu remaja mudah terpengaruh dengan gejala sosial semakin hangat diperkatakan. Keadaan ini bertambah keruh apabila remaja mudah dipengaruhi dengan budaya kuning dan semakin melupakan budaya timur. Sebagai contoh, cara berpakaian dan pertuturan harian golongan muda hari ini bersifat kebaratan. Namun begitu, jika remaja berjati diri, sudah tentu mereka sentiasa sanggup mempertahankan budaya timur yang sememangnya kaya dengan pelbagai amalan yang luhur. Misalnya, masyarakat timur amat menekankan amalan menghormati orang yang lebih tua, cara berpakaian secara bersopan serta pertuturan yang disenangi oleh semua lapisan masyarakat. Walakin begitu, bagi remaja yang melanjutkan pelajaran ke luar negara, mereka harus bijak menyesuaikan diri. Persis kata peribahasa, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Namun demikian, remaja harus mengekalkan unsur ketimuran agar tidak dilupai. Program Latihan Khidmat Negara ialah antara program yang dapat menjamin jati diri dan menanam sikap cinta akan negaradalam kalangan remaja. Seterusnya, sifat keterbukaan harus saya miliki juga dalam usaha menjadi tonggak negara pada masa hadapan. Melalui sifat ini, saya dapat menerima teguran dan pandangan orang lain dengan tenang dan tidak akan menimbulkan sebarang prasangka yang buruk terhadap mereka. Dalam nada yang serupa, remaja seumpama ini dapat memberi kesan positif kepada negara iaitu menjamin kestabilan politik, ekonomi, dan sosial negara. Mereka akan menjadi pendukung untuk mencapai perpaduan negara atau integrasi nasional demi mewujudkan kesejahteraan sosial. Hal ini demikian kerana, selaras dengan misi dan visi negara iaitu semua rakyat perlu bersatu padu di bawah satu bumbung atau lebih dikenali sebagai satu bangsa, satu bahasa dan satu negara. Maka, sifat keterbukaan remaja sudah pasti

dapat memudahkan kami menjadi pemimpin yang mampu membangunkan negara kami dengan penuh komited dan dipayungi perpaduan antara rakyat. Lain daripada itu, saya juga perlu memiliki kesihatan fizikal dan mental. Remaja yang ingin membangunkan negara perlu memiliki kekuatan fizikal dan mental untuk menempuhi segala kekangan. Pada alaf yang baharu penuh dengan kompetitif, remaja perlu mempunyai kecergasan fizikal dan bersemangat waja diri tanpa mengenal istilah putus asa supaya dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan remaja di negara maju yang lain. Dalam usaha mencapai kesihatan fizikal dan mental, remaja patut mengamalkan pemakanan seimbang, menjaga kebersihan diri dan persekitaran, bersenam, bersukan, beriadah dan tidak terlibat dalam pelbagai angkara sosial seperti minum arak, merokok, kegiatan maksiat dan lain-lain kerana terlajak perahu dapat diundur, terlajak laku buruk padahnya. Remaja harus sedar bahawa kesihatan merupakan aset utama yang tidak ternilai. Tanpa kesihatan, segalagalanya tidak lagi membawa makna. Hal ini sangat bertepatan dengan slogan rakyat sihat, negara maju. Sebagai intiha, aspek-aspek di atas sangat perlu kita miliki dan praktikkannya kerana perkara ini sudah menjadi tanggungjawab dan obligasi masing-masing untuk menjana pembangunan negara persisi mutiara kata pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Remaja sebagai tunjang yang bakal menerajui tampuk kepemimpinan negara haruslah merdeka daripada belenggu gejala sosial. Ghalibnya, hanya remaja yang berkualiti akan memangkinkan kecemerlangan negara. Jika remaja sekarang tidak diasuh, dibimbing dan dididik dengan kamil, tidak mustahil segala aspirasi negara hanya sekadar imaginasi sematamata dan tidak dapat menjadi realiti. Oleh itu, remaja perlu terjaga daripada lena dan keasyikan serta melengkapkan diri dengan ciri-ciri yang mulia supaya dapat menempatkan diri sebagai modal insan yang berketerampilan terpuji. Semoga negara kita dapat berdiri dengan gah di pentas antarabangsa bergandingan dengan negara maju yang lain dan terkenal di seantero dunia. NazirahYaakob 5 Sains Alamanda, 2013. SMK Merbau, Miri Guru Subjek: Pn. Noor Sukarni Alice

Karangan Bahagian A : Ciri-ciri Remaja Berwawasan Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Itulah slogan kata yang sangat sesuai untuk menggambarkan betapa pentingnya golongan remaja dalam pembangunan bangsa dan negara. Bahkan sering meniti dari bibir ke bibir di segenap empat penjuru negara ini akan isu yang berkait rapat dengan golongan remaja. Umum mengetahui bahawa golongan remaja merupakan aset terpenting sebagai wahana pembangunan negara kerana remajalah bakal menerajui tampuk kepimpinan negara pada masa hadapan. Oleh itu, remaja seharusnya memiliki wawasan diri yang teguh sesuai dengan peranan mereka sebagai tonggak utama negara. Namun persoalannya, apakah ciri-ciri remaja yang berwawasan? Pada realitinya, remaja yang berwawasan semestinya cinta akan ilmu pengetahuan. Remaja yang berwawasan akan senantiasa berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran diri kerana mereka sedar bahawa ilmu itu pelita hidup. Lazimnya, remaja yang berwawasan akan mengaplikasikan ilmu yang dimiliki dalam menghadapi cabaran dan onak duri dalam kehidupan. Sementelahan lagi, mereka akan memantau dan menilai

perkembangan diri serta berusaha untuk membaiki kelemahan diri agar lebih maju ke hadapan. Tegasnya, remaja yang berwawasan sedar akan kepentingan ilmu pengetahuan dan tidak akan bersikap evasif dalam berkongsi ilmu untuk kebaikan bersama. Menyelusuri wasitah nirmala seterusnya, remaja yang berwawasan seyogianya akan patuh kepada ajaran agama. Menurut Albert Einstein, agama tanpa ilmu itu lumpuh, ilmu tanpa agama itu buta. Oleh itu, remaja yang berwawasan semestinya mempunyai ilmu pengetahuan tanpa mengabaikan ajaran agama. Hal ini bertepatan dengan aforisme sambil menyelam, minum air. Remaja yang berwawasan akan mengaplikasikan nilai-nilai murni dalam kehidupan mereka dan tidak akan melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh agama. Bukan itu sahaja, remaja yang berwawasan sentiasa berpegang teguh kepada ajaran agama kerana mereka mengetahui bahawa agama mampu menjadi benteng daripada terlibat dalam gejala sosial. Dalam erti kata lain, remaja yang berwawasan akan dapat membezakan perkara yang baik dan perkara yang buruk, halal dan haram dengan adanya asas agama yang kukuh. Sudah terang lagi bersuluh, remaja yang berwawasan sangat sinonim dengan sikap mereka yang berdisiplin. Remaja yang berwawasan akan menghargai masa kerana masa itu emas. Mereka bijak menguruskan masa dan merancang jadual supaya rutin harian seimbang. Sementelahan lagi, remaja yang berwawasan mempunyai tahap disiplin yang tinggi akan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan seperti peraturan sekolah. Hal ini bersesuaian dengan peribahasa di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Mereka juga akan memberikan komitmen yang sepenuhnya dalam melaksanakan tugas yang diberikan sekali gus menyerlahkan sifat kepimpinan dalam diri mereka. Hal ini jelas menunjukkan bahawa disiplin merupakan asas pembentukan keperibadian remaja yang berwawasan. Konklusinya, remaja yang berwawasan akan bersikap positif dalam apa-apa jua keadaan dan berfikiran jauh untuk mencapai kejayaan. Mereka tidak akan bersikap terburuburu dalam melakukan sesuatu pekara sebaliknya mereka akan memikirkan pro dan kontra sebelum bertindak atau membuat keputusan. Walau bagaimanapun, semua pihak haruslah seikat bagai sirih serumpun bagai serai dalam memainkan peranan masing-masing untuk memastikan negara dapat melahirkan lebih ramai remaja yang berwawasan. Sesungguhnya, kerjasama yang utuh sangat penting untuk pembangunan negara dan merealisasikan wawasan 2020 yang kian menjengah kerana satu jari telunjuk sahaja tidak mampu untuk menumbangkan sebatang pokok. Oleh : Ramlah Ak Baro, 5 Sains Alamanda 2013 SMK Merbau, Miri Guru Subjek: Pn. Noor Sukarni Alice

Karangan Bahagian A : Ciri-ciri Remaja Berwawasan Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang Negara izhar menggambarkan bahawa golongan belia merupakan golongan yang penting dalam memacu pentadbiran negara pada masa hadapan. Remaja ditakrifkan sebagai seorang individu yang telah mencapai tahap dewasa dan mempunyai fikiran yang matang. Oleh itu, individu yang berfikiran matang akan dapat menentukan wawasan diri mereka. Namun begitu, saban hari kita sering kali mendengar dan melihat melalui media massa seperti televisyen, akhbar, dan pelbagai media elektronik lain mengenai kebobrokan akhlak golongan ini. Hal ini memberi satu tanggapan

seolah-olah remaja di negara kita tidak mempunyai wawasan diri yang tinggi walhal merekalah yang bakal menerajui tampuk pimpinan negara kelak. Persoalannya, apakah ciriciri remaja yang berwawasan yang seharusnya dipraktikkan oleh remaja hari ini? Seseorang remaja yang berwawasan akan cinta akan ilmu pengetahuan. Hal ini demikian kerana, mereka akan menggunapakaikan segala ilmu pengetahuan yang diperoleh dari sekolah dan rumah sebagai medium untuk lebih memajukan diri mereka. Bukan itu sahaja, remaja yang berwawasan juga mempunyai kesedaran mengenai kepentingan ilmu pengetahuan dalam mencorakkan hala tuju negara pada masa akan datang kerana ilmu itu pelita hidup. Dengan mencintai ilmu pengetahuan, golongan remaja akan mengelakkan diri daripada terjebak dalam kancah sosial seperti merempit, merokok dan pengambilan dadah. Oleh itu, guru-guru dan ibu bapa berperanan penting dalam memberikan pendidikan sama ada secara formal atau tidak formal dalam membentuk remaja yang berwawasan. Konklusinya, sikap cinta akan pendidikan dan ilmu pengetahuan akan mencerminkan keperibadian remaja yang berwawasan. Selain itu, patuh kepada ajaran agama juga merupakan ciri remaja yang berwawasan. Hal ini demikian kerana ajaran agama menekankan aspek rohani dan sahsiah dalam menjalani kehidupan seharian. Dengan adanya asas agama yang kukuh, remaja dapat meningkatkan keyakinan diri di samping mereka tidak mudah untuk terlibat dalam pelbagai penyakit sosial yang kian menular umpama barah dalam kalangan remaja masa kini. Hal ini dapat kita buktikan dengan membandingkan remaja yang tiada pendidikan agama yang sempurna lebih mudah terpengaruh dengan pelbagai wabak sosial dan mereka tidak mempunyai hala tuju yang jelas berbanding dengan remaja yang sempurna didikan agamanya. Oleh sebab itu, aspek agama tidak seharusnya dipandang ringan dalam meniti arus kemodenan ini. Tuntasnya, remaja yang berwawasan haruslah mempunyai pegangan agama yang teguh sebagai benteng dalam kehidupan dan pendidikan agama haruslah diparaktikkan kepada anak-anak melalui ibu bapa sejak dari kecil lagi bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Di samping itu, remaja yang berwawasan akan berdisiplin dalam apa-apa perkara yang dilakukan oleh mereka. Hal ini demikian kerana remaja yang berdisiplin akan lebih mudah mencapai wawasan diri mereka berbanding dengan golongan remaja yang tidak berdisiplin dan senantiasa mengharapkan bantuan daripada orang lain. Selain itu, remaja yang berwawasan mempunyai kesedaran bahawa aspek kedisiplinan merupakan elemen fundamental dalam mencapai kejayaan yang hebat pada masa hadapan. Sebagai contoh, Albert Einstein tidak berputus asa dan tidak bergantung kepada orang lain dalam menjalankan beratus-ratus eksperimen pada suatu masa dahulu. Dengan hasil usaha peluh dan keringatnya, masyarakat pascakemerdekaan kini dapat hidup dengan pelbagai teknologi yang canggih. Ghalibnya, remaja yang berwawasan akan menekankan aspek disiplin dalam kehidupan seharian mereka dan menghargai masa kerana mereka sedar masa itu emas. Sesungguhnya, hanya orang yang malas tidak mempunyai disiplin akan menempuh kegagalan dalam kehidupan. Bukan itu sahaja, remaja yang berwawasan seyogianya akan menghormati ibu bapa dan guru mereka. Hal ini demikian kerana mereka sedar bahawa mereka tidak mungkin akan berjaya tanpa kehadiran kedua-dua golongan ini dalam kehidupan mereka. Remaja yang berwawasan akan menghormati ibu bapa kerana syurga di bawah telapak kaki ibu manakala guru pula merupakan insan yang sering diberi perumpamaan ibarat lilin yang membakar diri dalam memberikan kita ilmu serta dorongan dalam usaha kita mencapai kejayaan. Istilah biadap atau kurang ajar tidak seharusnya wujud dalam diri remaja era modenisasi ini kerana remaja merupakan golongan yang berpendidikan dan seharusnya memiliki akal fikiran yang matang. Oleh yang demikian, untuk menjadi remaja yang berwawasan, bukan aspek

luaran sahaja yang dititikberatkan sebaliknya nilai murni seperti menghormati ibu bapa dan guru juga perlu disemai dan dibajai dalam diri setiap remaja. Tuntas bicara, daripada kesemua huraian di atas jelas menunjukkan bahawa remaja yang berwawasan perlulah seimbang dalam semua aspek kehidupan. Oleh itu, remaja zaman sekarang diseru agar menerapkan semua aspek ini dalam kehidupan agar sentiasa beroleh kejayaan dan mencapai wawasan diri. Remaja seharusnya menggunakan setiap peluang yang ada untuk menjadi remaja yang berwawasan kerana di pundak merekalah bakal terpikul segala amanah dan tanggungjawab untuk memajukan bangsa dan negara agar setanding dengan negara maju yang lain persis mutiara kata berdiri sama tinggi, duduk sama rendah. Dalam konteks ini semua pihak haruslah bekerjasama bak kata pepatah seikat bagai sirih, serumpun bagai serai dalam usaha melahirkan lebih ramai remaja yang berwawasan agar Wawasan Perdana 2057 mampu direalisasikan dengan jayanya. Oleh : Aaronn Avit Ajeng, 5 Sains Alamanda 2013 SMK Merbau Miri Guru Subjek: Pn Noor Sukarni Alice Sempena Hari Pengguna 2010, Perdana Menteri kita telah menyeru rakyat agar berjimat cermat dalam segala aspek kehidupan demi menjamin kebahagiaan dan kesejahteraan hidup. Beliau juga menasihati rakyat agar ingat sebelum kena, jimat sebelum habis agar tidak menyesal kemudian hari. Rakyat juga digesa agar tidak menjadi hamba kepada hawa nafsu ketika membeli-belah kerana ikut hati mati, ikut rasa binasa. Pada hemat saya, pandangan Perdana Menteri ini sewajarnya direnungi kerana banyak faedahnya jika amalan berjimat cermat dijadikan agenda utama dalam kamus hidup kita. Melalui amalan berjimat cermat, perbelanjaan harian dapat dikurangkan. Hal ini demikian kerana kita membandingkan harga barang-barang yang hendak kita beli dan membeli barangan buatan tempatan yang lebih murah harganya. Barang yang berkualiti dan mahal juga eloklah dibeli kerana alah membeli, menang memakai. Kasut sekolah Bata, misalnya, bukan sahaja tahan lama bahkan berbaloi. Pemakaian kasut ini memberikan keselesaan dan kepuasan. Dengan cara ini, bukan sahaja perbelanjaan harian dapat dijimatkan bahkan kebahagiaan terjamin. Amalan berjimat cermat juga dapat menambah simpanan kita. Apabila kita menjimatkan perbelanjaan, wang yang dihematkan dan ditabungkan di institusi kewangan akan meningkat, bak kata pepatah sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit. Wang simpanan ini amat berguna ketika menghadapi waktu kecemasan seperti hendak menjalani pembedahan. Menurut Dato Michael Chong, kita tidak perlu mengemis dan menjadi mangsa ceti haram kerana lintah darat ini memang menangguk di air keruh dan menjadi duri dalam daging dalam kehidupan kita. Tegasnya, bukan sekadar wang tabung kita bertambah malah kesenangan hidup terpelihara. Seterusnya, amalan berhemat dalam pengurusan kewangan akan mendidik seseorang individu untuk berdikari. Kita tidak perlu bersandar pada ibu bapa ataupun pada kerajaan untuk mendapatkan bantuan kewangan ataupun biasiswa demi mengongkosi pengajian kita di menara gading nanti. Dewasa ini, banyak pelajar cemerlang yang menggantungkan harapan pada biasiswa tajaan JPA dan pada pinjaman PTPTN. Apabila gagal beroleh bantuan kewangan, mereka pun seolah-olah langit runtuh, bumi cair ataupun kaca terhempas ke batu. Jadi, kita patut berjimat cermat untuk berdikari agar hidup kita lebih damai dan sejahtera.

Intihanya, cermat masa banyak, jimat masa sedikit. Kita hendaklah menghayati pesanan agama kita, yakni ingat akan kesakitan ketika sihat; ingat akan ketuaan usia ketika muda; ingat akan kematian ketika hidup; dan ingat akan kepapaan ketika kaya seandainya kita hendak bahagia sepanjang hayat. Sehubungan ini, ibu bapa berperanan sebagai cermin perbandingan yang positif kepada si anak, dan bukannya seperti ketam menyuruh anaknya berjalan betul. Dengan terpupuknya nilai positif ini dalam lubuk kalbu generasi muda, mereka akan senantiasa mampu memberi dan tidak akan meminta. Cerpen Ibu dan Ceper (Tingkatan 4) Sinopsis Kisah ibu tua yang disamakan dengan kisah sebuah sungai iaitu Sungai Ceper. Sungai Ceper ialah sungai yang jernih dan mempunyai sumber ikan dan udang, panjang dan berliku-liku, samalah seperti ibu yang sentiasa aktif melakukan aktiviti bersawah. Pada waktu malam, Sungai Ceper masih cergas tetapi ibu tidak. Pada sebelah malam, ibu berehat dan esoknya kembali cergas. Pada suatu hari, Sungai Ceper melimpah kerana hujan turun di hulu. Airnya likat dan melimpah menyebabkan sawah padi musnah. Pada tahun itu, semua penduduk kampung makan ubi gadung kerana padi musnah. Selepas Ceper melimpahkan air, tiba pula musim kemarau. Sungai Ceper menjadi cetek, ikan mati, air sungai busuk dan sawah kering sehingga menyebabkan ibu menggunakan telaga sebagai sumber. Keadaan ini ialah keadaan 40 tahun yang lalu, iaitu semasa aku masih anak teruna dan ibu masih muda. Kini, ibu dan ayah tiada lagi. Aku pula sudah bercucu. Sungai Ceper masih wujud tetapi sudah mula berubah sejak ibu terjatuh, lalu lumpuh kerana terpijak tunggul lama iaitu sepuluh tahun sebelum ibu meninggal. Pada masa itulah, keluarga aku menderita dan aku berkahwin dengan gadis di kampung itu. Bapa pula sudah tidak gila burung lagi sebaliknya dia hanya menjaga cucu dan menjaga ibu. Ceper kini berbau busuk kerana menjadi tempat pembuangan sampah. Airnya mengalir lesu bersama-sama sampah sarap yang tidak sepatutnya dibuang ke dalam sungai itu. Aku dan isteri telah tua dan kini duduk di rumah menjaga cucu. Pada masa ini, Ceper telah mati dan tidak berfungsi lagi walaupun masih wujud, tidak seperti ibu yang telah tiada di dunia ini.

Tema Kegigihan seorang ibu dalam mengharungi kehidupan Ibu gigih mencari rezeki dan banyak bergantung kepada Sungai Ceper yang berfungsi sebagai sumber air kepada tanaman.

Persoalan 1. Persoalan kepentingan air dalam kehidupan. Air Sungai Ceper yang deras dan jernih digunakan oleh ibu untuk mengairi sawahnya. 2. Persoalan kurangnya kesedaran masyarakat terhadap penjagaan alam sekitar. Sungai Ceper tercemar teruk apabila manusia membuang segala macam sampah sedangkan sungai ini semakin cetek dan tidak berdaya membawa sampah yang ada di dalamnya

3. Persoalan kasih sayang yang terjalin antara manusia dan alam. Kasih sayang aku kepada ibu dan sungai yang menjadi sumber air dan rezeki di kampungnya.

Plot Binaan Plot

(i) Permulaan Aku menerangkan perasaan sayang dan cinta akan Sungai Ceper dan ibu yang banyak berjasa kepadanya.Aku terkenang akan sungai ini yang jernih ,tenteram, deras dan menjadi lubuk ikan. Ibu juga seperti Ceper yang aktif bersawah dan bekerja. Namun, ibu berehat pada waktu malam manakala Ceper sama sahaja pada siang atau malam.

(ii) Perkembangan Kemarahan ibu kepada Sungai Ceper yang melimpah akibat hujan lebat sehingga memusnahkan tanaman . Ibu juga memarahi sikap suaminya yang sambalewa terhadap tanggungjawab keluarga dan asyik dengan ketitir. Kemarahan ibu semakin memuncak apabila Sungai Ceper semakin cetek akibat kemarau. Hal ini menyebabkan sawah-sawahnya kering , sumber makanan dan minuman terjejas sehingga memaksa ibu menggunakan telaga sebagai sumber air. Setelah 40 tahun berlalu,Sungai Ceper semakin tercemar akibat pengabaian masyarakat. Ibu dan ayah sudah meninggal dunia dan aku telah pun berkeluarga dan mempunyai cucu.

(iii) Klimaks Ibu meninggal dunia dan Sungai Ceper semakin sakit. Sungai ini semakin cetek, alirannya lambat dan banyak sampah daripada pelbagai bahan buangan berada di perutnya. Airnya busuk kerana bangkai binatang , kain-kain buru , plastik, dan sisa-sisa makanan dibuang ke dalamnya. Bapa juga telah meninggal dunia.

(iv) Peleraian Sungai Ceper masih mengalir tetapi amat lambat. Keadaannya semakin parah. Aku dan isteri telah tua dan anak-anak pula menggantikan kami. Ceper dikatakan sudah mati kerana airnya sudah tidak bergerak dan timbunan sampah tindih-menindih. Ibu benar-benar telah mati tetapi Ceper walaupun masih wujud tetapi sudah tidak berfungsi lagi.

Teknik Penceritaan 1. Pemerian Ceper pun serupa. .Ia memancutkan airnya begitu deras bagaikan anak panah yang baru saja lepas dari busurnya.Dan pancutan itu menebuk tebing hingga mencipta lubuk yang dalamdalam, menyusur dasar bersama-sama ikan yang bercahaya matanya, bersama anak-anak dan bapa-bapa udang, bersama lumut yang lembut kehijau-hijauan dan bercahaya seperti manikmanik dipanah cahaya lampu.

2. Dialog Orang tak sedar diri. Tak tahu tanggungjawab. Air bah habis bunuh padi kita, awak masih cengkuih ketitir. Suami apa macam ini! 3. Imbas Kembali Aku masih ingat waktu itu ibu pun mengamuk juga.Dia marah sangat kepada Ceper sampai menyumpah-nyumpah kerana habis padi buntingnya mati lemas.

Watak dan Perwatakan Watak Utama Ibu 1. Cekap bekerja. Ibu boleh melakukan sesuatu kerja dengan cepat bermula selepas Subuh sehingga hampir Maghrib, malah ibu melakukan hampir semua jenis kerja. 2. Rajin . Ibu rajin membuat pelbagai kerja menggunakan tulang empat keratnya, tanpa bantuan suaminya yang menjadi kaki burung. 3. Bermasyarakat. Walaupun ibu sibuk bekerja, dia tidak lupa untuk menghadiri kenduri-kendara di kampungnya dan menziarahi orang yang meninggal dunia. 4. Kuat semangat. Walaupun Sungai Ceper telah memusnahkan padinya akibat banjir namun ibu tidak berputus asa untuk mengusahakan sawahnya semula.

Watak Sampingan Aku 1. Anak tunggal dalam keluarga. 2. Mewarisi pekerjaan keluarga sebagai pesawah. 3. Sudah berumah tangga . 4. Penyayang. Aku merupakan seorang anak yang penyayang kerana masih mengingati pengorbanan ibunya walaupun telah 40 tahun berlalu. 5. Bertanggungjawab. Aku bertanggungjawab menjaga ibunya yang lumpuh dan ayahnya yang tua.

Latar Latar Tempat Sungai Ceper 1. Panjang, berliku-liku, jernih, pasir-pasir berbiji halus dan kelikirnya berkilat. 2. Sumber air bagi kehidupan di sekelilingnya. 3. Tercemar kerana menjadi tempat pembuangan sampah sarap.

Latar Masa 1. Masa kini - Aku telah tua, ada anak yang telah besar dan telah bercucu. 2. 10 tahun yang lalu setelah ibu jatuh, lumpuh dan meninggal dunia-ibu sudah tidak dapat bergerak lagi dan kerja-kerja di sawah diteruskan oleh aku dan isteri. 3. 40 tahun yang lalu - Ketika ibu masih muda dan aku masih teruna. 4. Siang - sewaktu ibu turun mengerjakan sawah padinya. 5. Malam - gambaran tentang Sungai Ceper yang tetap cergas.

Latar Tempat 1. Di sebuah desa - tempat tinggal ibu, aku dan ayah. 2. Kawasan sawah padi - tempat ibu dan orang kampung bekerja. 3. Sebatang sungai - tempat anak-anak kampung merangau ikan. 4. Telaga - tempat ibu mengambil air ketika kemarau. 5. Rimba belantara - tempat bapa berdenak ketitir. 6. Sungai Ceper - tempat penduduk kampung termasuk ibu mendapat sumber air.

Latar Masyarakat 1. Masyarakat petani Mereka mengusahakan tanaman padi secara tradisional. Keluarga aku mewakili sebahagian daripada anggota masyarakat yang mengusahakan tanaman padi secara tradisional seperti menajak dan menyisir selut. 2. Masyarakat yang menghadapi kepayahan hidup. Penduduk di desa aku mengalami kesempitan hidup apabila Sungai Ceper melimpah kerana banjir dan airnya kering sehingga tidak dapat mengairi sawah ketika musim kemarau. 3. Masyarakat yang tidak bertanggungjawab. Bapa sanggup menghabiskan masa mendenak burung ketitir di rimba sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarganya.

Gaya Bahasa 1. Kata ganda - kehijauan-hijauan 2. Simpulan bahasa - naik angin 3. Simile - Ibu tidak lagi cergas waktu malam kerana ibu tidur tergolek bagaikan batang pisang 4. Personifikasi - .kudengar ngauman Ceper 5. Hiperbola - Ceper yang memukul dan membedal tebing hingga runtuh tanah-tanah, hingga terbongkeh perdu-perdu buluh yang mengapuk tebing

Nilai 1. Nilai bertanggungjawab. Sikap bertanggungjawab sebagai seorang ibu dan isteri yang ditunjukkan oleh ibu yang mengusahakan sawah padi bagi menampung kehidupan keluarganya.

2. Nilai kegigihan. Walaupun terpaksa menggunakan tulang empat kerat, ibu tetap gigih bekerja menyara keluarga. 3. Nilai kesabaran. Ibu terpaksa bersabar melayani kerenah suaminya yang kurang memberikan perhatian terhadap kebajikan keluarga.

Pengajaran 1. Kita hendaklah bertanggungjawab menyara kehidupan keluarga agar mereka tidak hidup dalam kesusahan. 2. Kita hendaklah menjaga kerukunan rumah tangga agar tidak berlaku perselisihan faham antara suami dengan isteri. 3. Kita mestilah menyayangi ibu bapa yang telah tua agar kebajikan mereka terpelihara. 4. Kita janganlah mencemarkan alam sekitar kerana perbuatan itu akan membawa keburukan kepada masyarakat.

Cerpen Memori Seorang Tua (Zahari Affandi) Sinopsis Pak Itam digambarkan seorang sebagai pejuang yang cekal. Dia telah beberapa kali keluar masuk penjara kerana penentangannya terhadap Inggeris. Beliau berhasrat untuk mengadakan majlis sambutan hari jadinya yang ke-85. Beliau turut bercadang untuk menjemput wartawan, mahasiswa universiti serta para penduduk Langat ke majlis berkenan bagi berkongsi kisah perjuangannya. Ketika Pak Itam membaca majalah Mastika lama, beliau tersentuh akan paparan Siti Nurhidayah yang menuntut fasakh ketika beliau ditahan di penjara Singapura. Itulah kali terakhir beliau menatap wajah dua orang anaknya, Izwan dan Nuryani Iman.

Tuk Mat merupakan orang yang banyak membantu Pak Itam menguruskan segala persiapan untuk majlis itu dan turut dibantu beberapa orang pemuda kampung seperti Isa, Latif dan Jali. Pada hari yng ditetapkan, Pak Itam lengkap berbaju Melayu menyambut tetamu. Orang kampung memenuhi tempat berlangsungnya majlis tersebut, namun Pak Itam kecewa kerana tetamu dari jauh masih belum sampai. Tambah mengecewakan Pak Itam kerana wartawan akhbar dan televisyen tidak muncul.Pak Itam merasakan segala pengorbanannya selama ini telah dilupakan. Apabila tiba waktu Zuhur, Pak Itam masuk untuk menunaikan solat. Kaih yang cemas cuba memberitahu perkara yang berlaku kepada Pak Itam. Apabila Tuk Mat mendekati Pak Itam yang terbaring di sejadah, beliau dilihat sudah meninggal dunia. Tetamu yang hadir membacakan surah Yasin untuk jenazah. Pada ketika itu, datang seorang perempuan tua mendekati jenazah membawa sejambak ros. Tatkala orang ramai tercengang memikirkan identiti perempuan tersebut, Tuk Mat menyapu air matanya dan menganggap hajat Pak Itam untuk bertemu isterinya, Siti Nurhidayah telah tercapai. Tema Semangat patriotik, iaitu tentang keinginan seorang tokoh yang ingin berkongsi memori lampaunya dengan masyarakat.

Pak Itam ingin berkongsi perjuangan yang telah dilaluinya dengan anak cucunya dalam usaha beliau membebaskan negara ini daripada penjajahan.

Persoalan 1. Persoalan kesediaan menghadapi cabaran. Pak Itam terpaksa menempuh halangan dalam perjuangannya, iaitu terpaksa keluar masuk penjara kerana perjuangannya bertentangan dengan dasar pemerintahan pada masa itu. 2. Persoalan rasa tanggungjawab terhadap nasib yang akan dialami oleh anak bangsa. Atas dasar tanggungjawab, Pak Itam berjuang untuk bangsa Melayu kerana dia ingin melihat bangsanya mendapat pendidikan yang tinggi serta tidak menjadi hamba di negara sendiri. 3. Persoalan jati diri yang teguh. Pak Itam mempunyai jati diri dan pendirian yang teguh dari usia muda sehingga usianya mencecah 85 tahun.

Plot Binaan Plot (i) Permulaan Mengisahkan kehidupan zaman muda Pak Itam yang sering keluar masuk penjara kerana menentang penjajah. Perjuangan untuk memartabatkan orang Melayu amat menebal dalam jiwa Pak Itam.

(ii) Perkembangan Pak Itam melahirkan hasrat beliau untuk mengadakan majlis sambutan hari jadinya yang ke85 tahun. Sambutan yang julung kali diadakan ini turut bertujuan untuk berkongsi pengalamannya sebagai seorang pejuang. Pak Itam juga turut menyatakan harapannya untuk melihat anak bangsanya hidup dengan sempurna dan bebas daripada sebarang bentuk penjajahan. Tetamu yang hadir pada sambutan majlis hari jadinya agak kurang dan ini menjadikan Pak Itam berasa sedih dan beranggapan bahawa pengorbanannya selama ini kian dilupakan.

(iii) Klimaks Pak Itam menghembuskan nafas terakhirnya di atas sejadah. Orang ramai yang hadir membaca surah Yasin untuknya.

(iv) Peleraian Kehadiran seorang wanita yang sudah berumur pada hari kematiannya membawa sejambak ros merah menjadikan penduduk kampung tertanya-tanya. Hanya Tuk Mat mengerti dan berfikir dalam hatinya, hajat Pak Itam kesampaian juga.

Teknik Penceritaan

1. Pemerian Pak Itam toleh kiri kanan. Pokok pisang, pokok lengkuas, serai, betik dan rumput-rampai sekitar rumahnya mengangguk perlahan ditiup angin pagi. Nyaman benar hidup di perkampungan, tetapi 2. Dialog Dah kaujemput budak-budak suratkhabar? tanya Pak Itam. Sudah! jawab Tuk Mat. 3. Imbas Kembali Tiba-tiba hatinya dipintali kesayuan. Di mana Siti Nurhidayah? Di mana Izwan dimana Nuryani Iman? Sudah berpuluh tahun berpisah. 4. Monolog dalaman Pak Itam sudah berfikir-fikir, budak-budak surat khabar sudah tentu akan mengerumuninya, menghulur berbelas, mungkin berpuluh kaset perakam suara mahu menemuramahnya.

Watak dan Perwatakan Watak Utama Pak Itam 1. Berasal dari Kuala Semantan, Pahang. 2. Berumur 85 tahun. 3. Mempunyai isteri iaitu, Siti Nurhidayah dan dua orang anak, iaitu Izwan dan Nuryani Iman yang terpisah sejak isterinya meminta fasakh ketika dia di penjara. 4. Mempunyai seorang anak angkat bernama Sidah. 5. Suka membaca. -, Pak Itam suka membaca akhbar dan majalah di kerusi malas di kaki lima rumahnya. 6. Seorang nasionalis tulen. - Pak Itam berjuang bukan untuk kepentingan diri sendiri tetapi untuk bangsanya. 7. Seorang yang taat akan perintah agama.- Pak Itam sentiasa beribadat dan menggunakan waktu malam untuk mendekatkan diri kepada tuhan. 8. Baik hati - Pak Itam bersedia melayan tetamu yang datang untuk bertemu dengannya di rumah.

Watak Sampingan Tuk Mat 1. Bekas anggota polis. 2. Jiran Pak Itam. 3. Bertubuh sasa, kulit dan batang lengannya masih pejal dan kemas. 4. Rajin. - beliau banyak membantu Pak Itam dalam usaha mengadakan sambutan hari lahirnya. 5. Boleh diharapkan dan berdisiplin -, hal ini diakui oleh Pak Itam apabila membandingkan sifat anak-anak muda seperti Isa dan Latif dengan watak Tuk Mat.

Siti Nurhidayah 1. Bekas isteri Pak Itam yang menuntut fasakh ketika Pak Itam berada di dalam penjara. 2. Sempat hadir pada hari kematian Pak Itam. 3. Mempunyai dua orang anak, iaitu Izwan dan Nuryani Iman. Latar Latar Masa 1. Sehari sebelum hari lahir Pak Itam yang ke-85 tahun- Tuk Mat dan penduduk kampung sibuk menguruskan persiapan untuk majlis kenduri sempena hari jadi Pak Itam. 2. Sebelum Zuhur - Pak Itam masih menanti. Dia amat kecewa. Tuk Mat menyuruhnya berehat. 3. Selepas Zuhur - Kiah menjerit memberitahu Tuk Mat bahawa Pak Itam sakit. Pak Itam meninggal dunia dan bacaan Yasin diadakan.

Latar Tempat 1. Kediaman Pak Itam dan halaman rumahnya- tempat majlis kenduri sempena hari jadi Pak Itam dan pameran diadakan . 2. Di kaki lima rumah Pak Itam - tempat Pak Itam duduk sambil membaca akhbar dan majalah seharian di atas kerusi malas. 3. Kampung Pak Itam di Hulu Langat- perkampungan yang nyaman tetapi mula tercemar apabila dua buah kilang dari Korea dan Jepun mula beroperasi. 4. Penjara di Singapura - Siti Nurhidayah, isteri Pak Itam datang bersama dua orang anaknya membawa surat kadi meminta fasakh ketika Pak Itam meringkuk di situ. Latar Masyarakat 1. Masyarakat pejuang yang mencintai bangsa dan negara. Pak Itam sanggup keluar masuk penjara kerana menentang Inggeris demi sayang akan bangsa dan negara. 2. Masyarakat penulis dan wartawan. Pak Itam mewakili golongan masyarakat yang menentang penjajah menggunakan mata pena. 3. Masyarakat kampung yang masih mengamalkan amalan gotong royong serta bekerjasama. Tuk Mat dan beberapa orang pemuda kampung yang membantu Pak Itam mengadakan majlis sambutan hari jadi Pak Itam secara besar-besaran. Gaya Bahasa 1. Simile - kian mengecil seperti sebiji debu 2. Peribahasa - seperti enau di belukar 3. Metafora -tangisan ketakwaan 4. Penggunaan Bahasa Inggeris - vision, Happy Birthday To You 5. Personifikasi - Pungguk di belakang rumah terus merintih, merindu bulan Nilai 1. Nilai pengorbanan. Pak Itam sanggup menolak jawatan sebagai majistret demi cinta akan bangsa dan negara.

2. Nilai cinta akan negara. Pak Itam berjuang untuk membebaskan anak bangsanya daripada dibelenggu kemiskinan dan mahu melihat anak bangsanya mendapat pendidikan tinggi. 3. Nilai bekerjasama. Semua penduduk kampung tidak kira muda atau tua berganding bahu menjayakan persiapan majlis sambutan hari jadi Pak Itam.

Pengajaran 1. Kita hendaklah cinta akan bangsa dan negara agar tidak dijajah oleh bangsa lain. 2. Kita wajarlah saling membantu dalam setiap usaha agar pekerjaan menjadi mudah. 3. Kita hendaklah sentiasa mentaati perintah tuhan dengan meningkatkan amal ibadah agar mendapat kesenangan di kemudian hari. 4. Kita haruslah mengenang jasa tokoh yang banyak berkorban untuk bangsa dan negara walaupun masa berubah.

Anda mungkin juga menyukai