Sejak kecil lagi, ibu bapa tidak pernah berhenti mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak dan tindakan ibu bapa ini bagai menatang minyak yang penuh. Pengorbanan ibu bapa terhadap anak-anak telah membolehkan anakanak dididik dengan sempurna sekali. Malangnya, apabila anak-anak kian membesar, mereka telah mula menjauhi ibu bapa mereka dengan alasan ibu bapa mereka tidak memahami mereka ataupun ibu bapa mereka dianggap sudah ketinggalan zaman. Persoalannya, apakah peranan kita sebagai seorang anak untuk membalas jasa ibu bapa kita? Sebagai seorang anak dan pelajar yang besikap positif, kita mesti memajukan diri dalam pelajaran demi mengharumkan nama keluarga. Bagi merealisasikan wawasan ini, kita seharusnya belajar dengan bersungguh-sungguh. Keputusan yang cemerlang merupakan bukti yang terbaik menunjukkan penghargaan kita terhadap keluarga kita. Antara amalan yang boleh dipraktikkan termasuklah belajar dengan penuh disiplin dan mengulangkaji menggunakan semua rujukan yang ada. Selain itu, seorang pelajar yang cemerlang dalam pelajaran juga seharusnya aktif dalam kokurikulum. Aktiviti sedemikian pasti mampu memupuk dan mencungkil bakat yang terpendam dalam setiap pelajar. Jelasnya menunjukkan bahawa kita mesti memajukan diri supaya mencapai keputusan peperiksaan yang cemerlang dan dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi. Peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan mesti dijadikan pegangan setiap pelajar untuk mencapai kejayaan. Saban hari, kebanyakan ibu bapa era globalisasi ini pada lazimnya akan sibuk bekerja di luar rumah demi menunaikan tuntutan kerjaya serta menyara kos perbelanjaan seharian keluarga mereka. Apabila pulang ke rumah, ibu bapa yang sudahpun penat kehabisan tenaga ini pula perlu menyelesaikan pelbagai kerja di rumah yang telahun menjadi tanggungjawab mereka. Bagi membalas jasa ibu bapa, perbuatan yang dapat menyenangkan hati dan mengurangkan beban ibu bapa harus dilakukan oleh setiap anak-anak. Anak-anak sekurang-kurangnya harus membantu ibu bapa untuk memastikan kebersihan persekitaran rumah mereka. Inisiatif untuk melakukan kerja rumah pasti dapat mengukir senyuman pada muka ibu bapa kita. Jelasnya menunjukkan bahawa setiap anak-anak mesti mengikis sikap mementingkan diri-sendiri bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing dan mula membantu meringankan beban ibu bapa mereka. Selanjutnya, selaku seorang pelajar dan anak yang bertanggungjawab, kita patut menzahirkan sahsiah diri yang cemerlang. Perlakuan kita seharusnya berlandaskan ajaran agama dan didikan agama yang betul. Oleh itu, untuk menjadi anak-anak sedemikian, pegangan agama yang kukuh dan sempurna adalah amat penting. Contohnya, kita harus tekun meneliti kitab-kitab suci yang menjadi asas kepada sahsiah diri yang cemerlang. Kemudiannya, nilai-nilai murni yang terpuji seperti kerajinan dan kesyukuran harus disemai dalam tingkah laku seharian kita. Anak-anak ini juga semestinya mendengar nasihat ibu bapa dengan penuh perhatian dan sikap masuk telinga kiri, keluar telinga kanan tidak akan dipraktikkan. Hasilnya, anak-anak yang berakhlak mulia ini pasti dapat menjadi testimoni yang baik dan imej keluarga mereka pasti terjaga. Selain menunjukan akhlak yang cemerlang, juga menjadi tanggungjawab anak-anak untuk menjaga maruah diri supaya imej keluarga tidak dicemari. Segala nasihat daripada ibu bapa harus dipatuhi. Ajaran agama pula mesti sentiasa diikuti dan dijadikan pedoman dan panduan hidup kita.
Gejala sosial yang bakal merosakkan akhlak mulia tradisional Timur dan perbuatan yang menconteng arang di muka keluarga pula mesti dijauhi sama sekali. Bagi mencapai hasrat ini, individu lain yang berjaya dalam kehidupan boleh dijadikan sebagai contoh untuk diambil ikhtibar dan pengajaran sama ada daripada kejayaan mereka ataupun kegagalan mereka. Jadi, kita perlulah bertindak secara rasional dan tidak bertindak secara terburu-buru dalam setiap tindakan ketika menggunakan ilmu yang dipelajari supaya dapat menjaga maruah diri. Bak kata pepatah, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati pula meninggalkan nama; jagalah nama baik keluarga kita. Kesimpulannya, seorang anak yang bertanggungjawab akan menghargai jasa ibu bapa. Jasa ibu bapa membesarkan kita dengan penuh kasih sayang sejak kasih sayang pula perlulah dibalas, khususnya apabila kemampuan ibu bapa kita mula berkurangan. Harapannya, kita dapat meluangkan lebih masa untuk memahami dan menemani ibu bapa.