Anda di halaman 1dari 15

Persidangan Kebangsaan Pengajaran Dan Pembelajaran Bahasa Arab 2012 (PKEBAR12) disunting oleh: Mohd Shukari Hamzah, Khazri

i Osman, Moktar Hussain, Suhaila Zailani @ Hj. Ahmad, Salamiah Ab. Ghani, Hakim Zainal & Zainuddin Ismail Unit Bahasa Arab, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi ISBN 978-9675478-49-9 http://www.ukm.my/uba/sebar2012/prosiding.htm

ISU PEMBELAJARAN BAHASA ARAB Profesor Madya Dr. Rosni bin Samah (BA. Al-Azhar, MA Kaherah, PhD Kaherah) rosni@usim.edu.my Mantan Dekan Fakulti Pengajian Bahasa Utama USIM PENDAHULUAN Sejarah awal kedatangan Islam ke Alam Melayu, iaitu pada awal kurun pertama Hijrah atau ketujuh Masihi (Ahmad Jelani Halimi, 1996) melalui pedagang Arab. Mereka tiba ke Alam Melayu dalam pelayaran ke Cina. Dalam pelajaran itu, mereka singgah untuk mengambil bekal dan menunggu angin musim untuk terus belayar (Badruddin Haiyi al-Sini, 1950). Islam mula disampaikan kepada masyarakat yang berurusan terus dengan pedagang. Kemudian beransur-ansur tersebar kepada masyarakat umum. Pada peringkat permulaan ini, bahasa Arab mengiringgi pengajaran Islam. Bahasa Arab seterusnya berkembang mengikut perubahan semasa. Bagi memenuhi keperluan semasa, bahasa Arab mengalami beberapa perubahan sehingga ke hari ini. Ia bermula dengan sistem pondok. Kemudian beralih kepada sistem madrasah dan akhirnya menjadi sistem persekolahan dan masuk ke dalam arus perdana universiti. Begitu juga bermula dengan mempelajari untuk memahami ilmu Islam dan berakhir dengan melahirkan ulama dan tokoh-tokoh bahasa Arab yang mashur.

SOROTAN AWAL PERKEMBANGAN PENGAJARAN BAHASA ARAB DI MALAYSIA Pengajaran bahasa Arab secara tidak langsung mengiringi pengajian Islam. Pelajar perlu mengetahui bahasa Arab sebelum memahami ilmi-ilmu Isalm dan juga kitab-kitabnya. Islam mula berkembang di alam Melayu sekitar kurun ke-14 dan seterusnya pengajaran Islam mula bertapak di istana-istana (Ismail Hamid, 1991). Pengajaran Islam secara rasmi jelas dapat dilihat dalam masyarakat Melayu khususnya semasa kemunculan pusat-pusat pengajian Islam
286

yang berbentuk pondok pada abad ke-18 M (Abdullah Jusuh,1989). Kemunculan pusat-pusat ini sejak awal menekankan pelajar-pelajarnya untuk mendalami bahasa Arab sebagai prasyarat bagi mempelajari ilmu-ilmu Islam. Kebanyakan buku rujukan berbahasa Arab dan mendorong kepada penguasaan bahasa tersebut dengan lebih baik. Hasil daripada pengajaran bahasa Arab di pusat-pusat pengajian Islam berbentuk pondok, lahirlah ramai tokoh sarjana yang mampu memahami kitab-kitab Islam yang tinggi dan menyambung pengajian mereka di negara-negara Arab khususnya di Mekah dan Madinah. Begitu juga lahirlah tokoh-tokoh tuan guru yang hebat dan mampu mengasaskan institusi pengajian Islam mereka sendiri. Perkembangan ini menyemarakkan kemunculan pusat-pusat pengajian Islam yang berbentuk pondok dengan pesat. Boleh dikatakan hampir kesemua negeri-negeri di Semenanjung Malaysia mempunyai struktur pengajian berbentuk pondok. Antara negeri-negeri yang terbanyak memiliki pusat pengajian tersebut ialah Kelantan, Terangganu, Kedah dan Perak Utara. Pusat-pusat pengajian pondok ini banyak memberi sumbangan dalam perkembangan pengajaran bahasa Arab. Dalam sistem pondok ini bahasa Arab terbatas kepada ilmu bahasa yang boleh membantu pelajar memahami kita-kitab turath seperti nahu, sarf dan balaghah.

PERKEMBANGAN DALAM SISTEM MADRASAH Pada awal kurun ke-20, muncul pula pusat-pusat pengajian Islam yang bercorak madrasah atau persekolahan yang memberi sumbangan dan menyemarakkan perkembangan pengajaran bahasa Arab. Sistem persekolahan ini berkembang seiring dengan sistem pendidikan pondok. Perbezaannya boleh dilihat dari aspek sukatan dan masa belajar serta umur pelajarnya sahaja. Dalam sistem madrasah ini, subjek bahasa Arab ditambah kepada subjek-subjek kemahiran bahasa dan sastera. Sistem persekolahan ini berkembang pesat dengan peralihan sistem-sistem pondok ke sistem sekolah bagi menyahut cabaran dan keperluan semasa. Tokoh pengasasnya ramai yang terpengaruh dengan gagasan reformasi yang dibawa oleh tokoh-tokoh di negara Arab seperti Syeikh Muhammad Abduh. Antara tokoh yang mengasaskan sistem madrasah ini ialah Tuan Haji Salleh Masri yang mengasas Madrasah Al-Masriyyah, Seberang Prai (Abdullah Jusuf, 1989). Syed Syeikh Al-Hadi pengasas Madrasah Al Iqbal pada tahun 1907 di Singapora (Talib Samad, 1992) dan Haji Wan Sulaiman Wan Sidek pengasas Madrasah Hamidiah, Alor Star sekitar tahun 30an. Perkembangan pusat-pusat pengajian yang berbentuk sekolah ini

287

mendapat sambutan yang baik oleh masyarakat setempat, khususnya kepada mereka yang tidak berpeluang belajar di sekolah-sekolah di bawah kuasa penjajah. Pertumbuhan sekolah atau madrasah ini mengorak langkah dengan pesat selepas kemerdekaan. Hal ini berikutan dengan sukatan yang ditawarkan boleh memenuhi tuntutan semasa. Menjelang akhir abad ke-20 boleh dikatakan hampir kesemua pusat pengajian pondok menerima perubahan kepada sistem madrasah. Hanya segelintir kecil sahaja yang masih mengamalkan tradisi pondok. Selepas merdeka, sekolah-sekolah agama diwajibkan mendaftar di bawah Majlis Agama negeri masing-masing. Badan tersebut turut memberi sumbangan dan juga sokongan yang perlu bagi mempertingkatkan mutu pengajaran. Sekolahsekolah tersebut menerima pakai sukatan yang ditetapkan oleh Majlis Agama masing-masing, di samping mengguna pakai sukatan yang ditawarkan di sekolah-sekolah menengah kebangsaan supaya pelajarnya dapat menduduki peperiksaan SRP dan SPM. Pengajian bahasa Arab di sekolah-sekolah tersebut begitu menyerlah dengan kepelbagaian mata pelajaran yang diajar berbanding dengan mata pelajaran yang ada di pusat-pusat pengajian pondok. Turut diajar dalam sistem persekolahan ini mata pelajaran kemahiran berbahasa dan kesusasteraan Arab. Di samping itu juga, buku-buku teks yang digunakan ditulis dalam bahasa Arab yang berbentuk moden dan diimport terus daripada negara Arab. Perkembangan sistem persekolahan ini bertambah baik dengan pengiktirafan Universiti al-Azhar terhadap sukatan pelajarannya dan juga Sijil Thanawi yang dikeluarkannya. Antara sekolah-sekolah yang terawal menerima pengiktirafan Universiti alAzhar ialah Maahad Muhammadi, Kelantan pada tahun 1960, Madrasah Ahmadiyyah, Kelantan pada tahun 1964, Madrasah Sultan Abu Bakar, Pahang pada tahun 1964 dan Maktab Mahmud, Alor Star pada tahun yang sama (Abdul Razak Wan Ahmad, t.t). Bagi pemegang sijil sekolah-sekolah yang mendapat pengiktirafan tersebut, mereka boleh melanjutkan pelajaran di universiti tersebut dalam pelbagai fakulti pengajian Islam dan bahasa Arab. Dengan adanya pelajar-pelajar yang menyambung pelajaran di Mesir menunjukkan bahawa sekolah-sekolah tersebut berjaya memainkan peranannya yang besar dalam pendidikan Islam di Malaysia. Perkembangan pengajaran bahasa Arab di sekolah-sekolah tersebut menjadi mantap dengan kembalinya mahasiswa dan mahasiswi dari universiti-universiti di negara Arab seperti Mesir dan Saudi. Mereka membawa pendekatan pendidikan yang agak berbeza dengan guru-guru mereka yang hanya menerima pengajian dalam sistem pondok. Dari sudut
288

pencapaian bahasa pula, mereka berkemampuan dalam menguasai bahasa pertuturan semasa. Dengan pencapaian yang mereka miliki, penguasaan bahasa Arab dalam kalangan pelajarpelajar sekolah dapat ditingkatkan dan mereka mampu menimbulkan minat kalangan pelajar untuk terus mempelajari bahasa Arab. Dari sudut sukatan pula, hampir kesemua sekolah Arab pada waktu itu menggunapakai sukatan pendidikan sekolah menengah Universiti al-Azhar, termasuklah buku-buku teksnya dibawa masuk dari Mesir. Hasilnya setiap negeri mempunyai Sijil Empat Thanawi sendiri yang diiktiraf oleh Universiti al-Azhar. Bagi memantapkan lagi pembelajaran bahasa Arab di sekolah-sekolah tersebut, Kementerian Pelajaran Malaysia mengadakan rundingan dengan pihak Univesiti al-Azhar bagi mewujudkan satu sijil sahaja yang diiktiraf oleh pihak universiti tersebut. Segala sukatan dan urusan pembelajaran ditetapkan oleh pihak kementerian termasuklah peperiksaan. Akhirnya pihak Universiti al-Azhar bersetuju dengan cadangan tersebut. Satu sijil sahaja di peringkat thanawi yang diiktiraf oleh pihak Universiti al-Azhar telah diwujudkan. Sijil tersebut dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran dan segala urusan pembelajaran dan peperiksaan dikawal selia oleh pihak kementerian. Sijil tersebut diberi nama Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). Sijil tersebut juga diterima oleh Kementerian Pengajian Tinggi bagi memasuki pusat pengajian tinggi dalam negara. Dengan adanya perhatian dari pihak kementerian ini pengajaran pendidikan Islam bertambah maju. Peluang pengajian dan pekerjaan kepada pelajar-pelajar aliran agama terbuka luas.

PERKEMBANGAN DALAM INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI Selain daripada peringkat sekolah, pendidikan Islam menyaksikan perkembangan yang menggalakkan dengan adanya institusi-institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang menawarkan kursus-kursus bahasa Arab sama ada untuk mendapatkan ijazah atau kursuskursus wajib atau kursus elektif. Sebelum kemunculan universiti-universiti yang menawarkan kursus tersebut, terdapat beberapa institusi pengajian yang menawarkan kursus-kursus tersebut dengan kerja sama universiti di negara Arab. Pelajar-pelajar yang menamatkan pengajian di peringkat ini dapat menyambung pengajian mereka di universiti-universiti di negara Arab di peringkat Ijazah Sarjana Muda dan juga lanjutan. Antara institusi yang mula mengorak langkah dalam bidang ini ialah Kolej Islam Malaya yang mendapat kerjasama dari Universiti al-Azhar, Mesir. Graduannya dapat
289

menyambung pengajian mereka di Universiti al-Azhar di peringkat ijazah lanjutan. Proses pembelajaran di kolej ini berorentasikan bahasa Arab sebagai bahasa pengantarnya (Abdul Talib Ahmad & Firdaus Ahmad Azzam, 2003). Usaha tersebut diikuti pula dengan pusat pengajian Islam Nilam Puri yang turut mendapat kerja sama daripada University al-Azhar. Graduannya boleh menyambung pelajaran mereka di Universiti al-Azhar mengikut tahun semasa mereka dan juga di tahun akhir peringkat ijazah pertama dan juga di peringkat ijazah lanjutan (Abdul Razak Wan Ahmad, t. t). Di peringkat universiti pula, langkah segera diambil oleh Universiti Kebangsaan Malaysia dengan menubuhkan Fakulti Pengajian Islam. Begitu juga Universiti Malaya yang menubuhkan Akademik Pengajian Islam. Diikuti pula oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang menubuhkan Fakulti Ilmu Wahyu dan Kemanusiaan. Seterusnya Kolej Universiti Islam Malaysia atau dengan nama barunya Universiti Sains Islam Malaysia dengan menubuhkan beberapa fakulti pengajian Islam berteraskan bahasa Arab seperti Fakulti Quran dan Sunnah dan Fakulti Syariah dan Undang-Undang. Pada akhir 2005 sebuah fakulti bahasa ditubuhkan dengan menawarkan program bahasa Arab dan Komunikasi.

HARAPAN PENGAJARAN BAHASA ARAB Dewasa ini Kementerian Pengajian Tinggi telah menggariskan beberapa kemahiran asas yang perlu dikuasai oleh graduan supaya dapat bersaing dalam pasaran kerjaya. Kemahiran tersebut dinamakan Kemahiran Insaniah yang diterapkan ke dalam subjek dan juga aktiviti kokurikulum. Kemahiran tersebut ialah komunikasi, pemikiran kritis dan kreatif, kepimpinan, kerja berpasukan, pembelajaran sepanjang hayat, etika, keusahawanan dan kemasyarakatan. Tujuan di sebalik perkara di atas ialah bagi menyediakan graduan yang dapat memenuhi keperluan semasa di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Secara amnya, graduan hendaklah memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi, mempunyai kemahiran yang baik dalam berkomunikasi, kemasyarakatan, kepimpinan, kerja berpasukan, berfikiran kritis dan kreatif, semangat pembelajaran sepanjang hayat, beretika dan mahir dalam merebut peluang pekerjaan dan keusahawanan. Bagi pengajaran bahasa Arab di peringkat sekolah pula, keperluan semasa perlu dilihat bagi membina hala tuju pendidikan yang dapat menyesuaikan dengan keperluan di universiti. Hasrat universiti akan tercapai dengan adanya calon yang memasuki memenuhi keperluan universiti. Berdasarkan keperluan di peringkat universiti, boleh disimpulkan
290

keperluan tersebut hendaklah dibina di peringkat sekolah lagi. Bagi mencapai hasrat di atas, pengajaran bahasa Arab diperingkat sekolah hendaklah melihat semula hala tuju dalam usaha memperkasakan pendidikan yang boleh memenuhi keperluan semasa. Pemerkasaan tersebut boleh dibuat dalam proses pembelajaran yang terdiri daripada kurikulum, P&P, pelajar, guru, pentadbiran dan prasarana. Hasil gabungan perkara-perkara di atas, sekolah dapat melahirkan pelajar yang mampu bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Kurikulum perlu dilihat supaya dapat membekalkan pelajar dengan ilmu pengetahuan tinggi dan keperluan semasa. P&P perlu mengikut keperluan semasa bagi menjamin objektif pendidikan tercapai. Pelajar perlu mempunyai motivasi, strategi dan daya saing yang tinggi. Guru perlu berkompetensi tinggi. Pengurusan perlu kepada kreatif dan inovasi. Kemudahan prasarana yang kondusif perlu bagi menjamin kelancaran proses P&P. Di samping itu aktiviti kokurikulum perlu bagi membina shahsiah dan jati diri pelajar terutama dalam meningkatkan kemahiran berbahasa Arab. Hasil dari pada gabungan keperluan di atas, proses pendidikan dapat berjalan dengan lancar dan melahirkan pelajar yang memenuhi kemahiran yang dibincangkan dan dapat berinteraksi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa khususnya berkomunikasi dalam bahasa Arab dengan baik.

ISU DALAM PENGAJARAN BAHASA ARAB Bagi mencapai harapan yang digariskan, terdapat beberapa cabaran yang perlu dihadapi. Antaranya melihat semula permasalahan yang menjadi batu penghalang dan berusaha mengatasinya. Terdapat beberapa isu yang ditimbulkan berhubung dengan pendekatan pengajaran dan kurang keupayaan pelajar serta mereka tidak mampu bersaing di peringkat antarabangsa khususnya seperti gagal di universiti di negara-negara Arab. Antara isu yang timbul ialah: 1 - Pengajaran Berpusat Kepada Guru Pengajaran di sekolah-sekolah agama pada hari ini banyak terpengaruh dengan pendekatan pengajaran di sekolah-sekolah bersistem pondok. Pendekatan tersebut berpusat kepada guru yang melaksanakan semua tugas pengajaran dari awal kelas sehinggalah tamat. Guru merupakan penggerak utama dalam proses tersebut. Tanpa guru, proses pengajaran tidak berjaya. Pelajar hanya bersifat pasif dan menunggu serta mendengar apa yang disampaikan oleh guru. Mereka tidak menyumbang bersama dalam proses tersebut.

291

Pengaruh tersebut berlaku dengan sebab guru yang mengajar di sekolah mewarisi pendekatan yang telah digunakan oleh guru-guru mereka terdahulu. Warisan tersebut berlaku dari satu jenerasi ke jenerasi yang lain. Kesan daripada warisan tersebut pendekatan pengajaran tidak banyak berubah walaupun guru-guru jenerasi sekarang telahpun mengikuti kursus perguruan. Begitu juga guru-guru tersebut terpengaruh dengan pendekatan pengajaran semasa mereka belajar di sekolah terdahulu dan mengikuti kursus di universiti. Ini kerana kebanyakan sekolah agama berorientasikan pendidikan yang berpusat kepada guru sahaja. Begitu juga mereka terpengaruh dengan pendekatan pengajaran semasa mereka belajar di universiti. Kebiasaan pengajaran di universiti berpusatkan kepada pensyarah khususnya dalam bidang pengajian Islam dan bahasa Arab. Kebanyakan sekolah-sekolah Arab masih berorientasikan proses pengajaran yang berpusatkan kepada guru semata-mata. Pelajar hanya mendengar dan mencatatkan apa yang perlu untuk mereka. Pandangan dan sumbangan mereka dalam proses tersebut tidak diberi penekanan. Terdapat juga pelajar yang tidak pernah membaca langsung petikan di dalam kelas. Begitu juga mereka tidak pernah bertanyakan soalan atau ditanya. Terdapat juga pelajar yang tidak pernah mengeluarkan pendapatnya atau memberi kesimpulan terhadap apa yang dipelajarinya (Rosni bin Samah, 2007). Hasil daripada proses pengajaran seperti ini pelajar menjadi lembab dan tidak aktif khususnya untuk menyuarakan pendapat dan pandangan. Ini jelas dapat dilihat ketika diajukan persoalan kepada mereka. Kesan daripada proses ini juga, pelajar tidak mempunyai keyakinan diri dalam memahami pelajaran yang dipelajarinya secara kendiri. Mereka hanya bergantung kepada guru sahaja. Kesan yang buruk kepada mereka ialah kurangnya kemahiran berkomunikasi dan keterampilan diri. Guru-guru pula ada yang berpendapat bahawa proses pengajaran sehala ini perlu kerana pengetahuan pelajar terlalu terbatas. Mereka tidak mampu untuk berbincang dan mengeluarkan isi perbincangan pada teks. Begitu juga mereka tidak dapat memahami teks dengan membaca secara sendirian. Mereka ini perlukan kepada terjemahan semata-mata yang perlu diberikan oleh guru. Sebenarnya proses pengajaran yang berpusatkan kepada pelajar boleh dilaksanakan dengan bimbingan daripada guru. Pelajar hendaklah diberi peluang untuk berinteraksi dan mengemukakan pandangan. Begitu juga mereka hendaklah diajukan beberapa persoalan yang berkaitan dengan subjek mereka. Guru hanya berperanan sebagai fasilitator sahaja di dalam kelas.
292

2 - Pengajaran Berteraskan Kepada Terjemahan Teks Terjemahan merupakan pendekatan lama yang digunakan dalam pengajaran bahasa Latin dan Greek. Antara objektif pendekatan ini ialah untuk memudahkan pelajar memahami. Begitu juga ia bertujuan bagi membekalkan pelajar dengan isi-isi penting yang banyak dan melatih mereka untuk membuat kesimpulan daripada teks yang dibaca (Al-Naqah, 1985). Pengajaran di sekolah-sekolah agama lebih tertumpu kepada sudut terjemahan. Hal ini kerana subjek yang diajar itu berbahasa Arab. Langkah yang mudah kepada guru-guru untuk memahamkan pelajarnya ialah dengan menterjemahkan teks Arab ke dalam bahasa Melayu. Terjemahan ini banyak membantu pelajar untuk memahami subjek yang dipelajarinya. Proses terjemahan ini mengambil masa yang banyak dalam proses pengajaran. Boleh dikatakan kesemua sekolah Arab berpegang kepada terjemahan bagi memudahkan proses pengajaran dan pelajar dapat memahami subjek yang dipelajari dengan mudah. Proses terjemahan ini berlaku dengan sebab pengajian lebih berpusat kepada guru. Terjemahan ini tidak membantu pelajar untuk menguasai ilmu yang mereka belajar dengan sendiri dan juga tidak membantu untuk aktif dan berinteraksi di dalam kelas. Ia lebih menyumbang kepada bersikap pasif. Terjemahan ini boleh diatasi dengan memberi tugas kepada pelajar bagi mencari isi penting atau membentangkan kefahaman mereka. Begitu juga penggunaan kamus yang efektif boleh membantu pelajar untuk cuba memahami sendiri subjek yang dipelajari. Bagi guru-guru yang menggunakan proses terjemahan ini pula, mereka berpendapat bahawa pelajar tidak mempunyai kebolehan sendiri untuk membaca dan memahami. Hasil daripada tanggapan mereka inilah proses terjemahan berlarutan sehingga ke hari ini. Sewajarnya pelajar hendaklah diberi tugas dan peluang untuk berinteraksi dalam kelas bagi menyuntik keyakinan ke dalam jiwa mereka. Bagi menggantikan terjemahan ini, satu pendekatan perlu diperkenalkan. Pendekatan tersebut hendaklah boleh memberi kesan yang baik dalam penguasaan ilmu. Antara pendekatan yang boleh diaplikasi ialah pengajaran hendaklah berpusat kepada pelajar. Pelajar hendaklah didedahkan dengan strategi kendiri supaya mereka dapat menjalankan aktiviti pembelajaran dengan sendiri. Guru hendaklah memberi peluang kepada pelajar untuk membaca, mencari makna, membuat kefahaman, kesimpulan dan pembentangan. Peranan guru hanyalah membincangkan isi penting yang dibentangkan oleh pelajar. Proses pembelajaran berlaku dengan perbincangan di antara pelajar yang dipengerusikan oleh guru. Dengan banyak berusaha sendiri pelajar akan dapat menguasai ilmu dengan cepat dan baik.
293

3 - Kurang Latihan dan Soalan Latihan dan soalan merupakan unsur utama dalam menjayakan proses pembelajaran. Ia merupakan tunggak untuk mengetahui keberkesanan pembelajaran. Setiap period pembelajaran hendaklah diadakan latihan dan soalan bagi menguji pencapaian pelajar. Latihan dan soalan juga merupakan dorongan untuk pelajar terus belajar dan menanam semangat untuk terus berjaya. Ia dapat merangsang dan mengaktifkan pelajar. Begitu juga ia dapat membentuk sikap positif di kalangan pelajar (Abdul Alim Ibrahim, 1994). Dalam proses pembelajaran di sekolah-sekolah di atas, latihan dan juga latihan mengejut secara tiba-tiba bagi menguji kesediaan pelajar dalam mempelajari subjek mereka kurang dijalankan. Soalan dalam kelas juga kurang dikemukakan kepada pelajar. Ini mendorong pelajar kurangnya persiapan bagi subjek tersebut. Latihan dan latihan secara mengejut perlu bagi memberi peluang kepada pelajar supaya sentiasa peka dengan subjek yang dipelajarinya. Begitu juga mengemukakan soalan secara rambang dalam kelas adalah perlu bagi menilai kepekaan pelajar terhadap subjek yang dipelajari. Guru hendaklah sentiasa memberi latihan kepada pelajar terhadap subjek yang dipelajarinya dan membetulkan latihan tersebut bagi memberi pendedahan kepada pelajar terhadap kesalahan yang biasa dilakukan. Daripada kesalahan ini pelajar akan dapat mempertingkatkan penguasaan ilmu mereka. Ujian mengejut juga perlu bagi menyuntik kesedaran dan kepekaan terhadap subjek yang dipelajari. Pelajar akan sentiasa berada dalam keadaan bersedia bagi menghadapi ujian tersebut. Persoalan juga hendaklah selalu dikemukakan oleh guru kepada pelajar di dalam kelas secara rambang bagi menimbulkan minat dan perihatin mereka. Bagi menjayakan aktiviti pembelajaran guru disarankan supaya memperbanyakkan latihan kepada pelajar dan memperbaiki kelemahan mereka melalui latihan tersebut. Begitu juga mereka hendaklah memperbanyakkan soalan yang dikemukakan kepada pelajar di dalam kelas. Soalan ini akan dapat memberi perhatian dan juga kesedaran kepada pelajar untuk terus belajar. Begitu juga ia dapat menambahkan pengetahuan dan usaha pelajar untuk terus belajar.

4 - Kurang Penggunaan Alat Bantu Mengajar dan Bahan Bacaan Tambahan Bagi menarik minat dan menambah pengetahuan dan penguasaan pelajar, alat bantu mengajar hendaklah digunakan dan juga bahan bacaan luar hendaklah dipelbagaikan. Alat bantu mengajar yang selalu digunakan oleh guru-guru di sekolah-sekolah tersebut ialah papan putih
294

atau hitam sahaja bagi menjelas dan menghuraikan subjek yang diajar. Penggunaan makmal bahasa untuk meningkatkan penguasaan bahasa kurang digunakan. Begitu juga alat-alat ICT bantu mengajar yang lain. Pada hari ini ICT menjadi satu keperluan kepada semua lapisan masyarakat untuk mendapat dan menyalurkan maklumat. Begitu juga ia menjadi satu keperluan dalam bidang kehidupan moden hari ini seperti perniagaan, perdagangan, perindustrian, hiburan, perubatan dan pentadbiran. Begitu juga keperluannya dalam bidang pendidikan tidak dinafikan ( Zainuddin Abu Bakar & dll, 2007) . Di samping alat-alat bantu mengajar, bahan bacaan sampingan hendaklah dipelbagaikan. Bahan-bahan tersebut boleh didapati melalui pelbagai sumber. Internet merupakan sumber utama bagi mendapat pelbagai bahan bacaan. Guru hendaklah menggalakkan pelajar mencari dan membaca bahan sampingan supaya dapat membantu penguasaan bahasa mereka. Begitu juga terdapat pelbagai majalah yang membincangkan isuisu Islam semasa.

5 - Kurang Aktiviti Bagi membantu pelajar untuk menguasai bahasa pelbagai aktiviti bahasa perlu diadakan. Aktiviti ini dapat membantu pelajar untuk membina identiti diri dan jati diri. Ilmu yang dipelajari hendaklah diperbahaskan bagi membina kemahiran komunikasi. Begitu juga penggunaan bahasa boleh dicapai melalui aktiviti bahasa. Aktiviti ini boleh dijalankan melalui aktiviti pembelajaran dalam kelas dengan mengadakan kumpulan. Begitu juga ia boleh dijalankan melalui kuiz. Aktiviti juga boleh diadakan di luar kelas seperti perkhemahan dan sebagainya. Begitu juga lakonan atau pementasan mempunyai faedah yang besar dalam menyumbang kemahiran komunikasi dan kemasyarakatan. Aktiviti perdebatan juga banyak membantu pelajar dalam membina pemikiran kritis dan kreatif. Guru hendaklah banyak memainkan peranan dalam menjayakan aktiviti seperti ini. Pelajar akan dapat menjayakannya melalui galakan guru. Setiap aktiviti hendaklah disertai oleh pelajar yang berbeza bagi memberi peluang kepada mereka. Turut menjadi kegemaran mereka aktiviti lawatan sambil belajar.

6 - Sikap Pasif Pelajar Beberapa kekurang yang disebutkan di atas sebenarnya membentuk keperibadian atau sikap pelajar yang pasif. Kurangnya aktiviti pembelajaran akan mendorong pelajar bersikap pasif.
295

Sikap ini tidak banyak membantu pelajar untuk menguasai ilmu pengetahuan. Mereka boleh berjaya dalam peperiksaan dengan menghafal isi-isi penting. Sebaliknya mereka tidak mampu untuk berdepan dengan dunia luar. Sikap ini dapat dilihat melalui tindakan pelajar dalam kelas. Mereka hanya duduk mendengar pelajaran yang diajar oleh guru. Mereka tidak banyak mengemukakan soalan, berinteraksi dengan guru dan sesama mereka, tidak membuat persediaan untuk belajar dan tidak banyak bercakap dalam kelas khususnya membaca teks. Sikap seperti ini membuatkan mereka tidak mahir menggunakan bahasa. Mereka akan cuba mengelak sekiranya guru banyak bertanya. Sikap seperti ini juga tidak membantu mereka dalam penguasaan Kemahiran Insaniah bahkan memburukkan lagi keadaan. Kemahiran komunikasi pelajar turut lemah, khususnya berkomunikasi dengan menggunakan bahasa Arab. Mereka lebih selesa berdiam diri dan menunggu pelajaran yang diberikan oleh guru sahaja. Bagi mengatasi sikap seperti ini, proses pengajaran dan pembelajaran hendaklah diubah dan dibentuk bagi membolahkan pelajar bersikap aktif. Ia boleh dibentuk melalui proses pembelajaran yang berpusatkan kepada pelajar. Kebanyakan aktiviti dalam proses pembelajaran hendaklah dilakukan oleh mereka. Guru hanya berperanan sebagai fasilitator sahaja. Di samping itu juga, guru hendaklah banyak mengemukakan soalan kepada mereka dan banyak memberi latihan berkala dan secara tiba-tiba. Pembentangan dan persembahan daripada mereka hendaklah diberi keutamaan. Begitu juga aktiviti-aktiviti luar hendaklah diperbanyakkan bagi membina kemahiran mereka. Dengan adanya perubahan pengajaran ini, sikap pelajar akan dapat dibentuk dan Kemahiran Insaniah mereka akan dapat dibina dan ditingkatkan (Rosni bin Samah, 2007).

7 - Kurang Komunikasi Bahasa Arab Persekitaran yang tidak membantu dalam pembelajaran bahasa ialah tidak menggunakan bahasa Arab dalam berkomunikasi. Persekiran berkomunikasi bahasa Arab hendaklah diwujudkan bagi membantu penguasaan bahasa yang baik. Persekitaran ini boleh dibentuk melalui penyampaian subjek di dalam kelas, perjumpaan pelajar dengan guru dan interaksi sesama pelajar dan guru. Pelajar yang mempelajari bahasa akan dapat menggunakan bahasa tersebut semasa berkomunikasi. Persekitaran ini akan dapat membantu pelajar bagi memahirkan penggunaan bahasa dalam situasi yang berbeza. Penggunaan bahasa Arab dalam proses pengajaran adalah penting bagi memahirkan pelajar dengan bahasa. Pelajar yang selalu mendengar perkataan dan ayat yang sentiasa
296

digunakan oleh guru akan dapat menguasainya dengan lebih baik. Guru hendaklah menggunakan bahasa Arab dalam kelas dan di luar kelas. Dengan penggunaan ini pelajar juga akan turut menggunakannya. Dengan adanya penggunaan daripada kedua belah pihak, suasana berkomunikasi dalam bahasa Arab akan dapat dihidupkan.

CADANGAN GURU Bagi mengatasi masalah yang dihadapi di sekolah tersebut, penulis meminta pandangan daripada guru yang terlibat dalam proses pembelajaran untuk dijadikan panduan dan rujukan dalam penyelesaian masalah. Pandangan mereka turut diambil kira bagi menyatakan pendekatan pengajaran yang boleh digunakan, kaedah yang paling banyak boleh digunakan, kaedah yang terbaik yang pernah digunakan dan aktiviti P&P yang boleh digunakan seperti di bawah (Rosni bin Samah, 2007): 1) Penggunaan papan putih secara aktif. 2) Memberikan nota kepada pelajar. 3) Memberi penerangan kepada pelajar tentang sasuatu tajuk dengan jelas. 4) Memberikan kerja berkumpulan dan pelajar diminta berbincang dan membuat pembentangan. 5) Menggunakan ABM seperti LCD dan OHP. 6) Memberikan terjemahan supaya pelajar mudah memahami. 7) Memberi tugasan menghafal isi-isi penting kepada pelajar. 8) Memperbanyakkan aktiviti kokurikulum.

Cadangan guru bagi memberikan kerja berkumpulan dan pelajar diminta berbincang serta membuat pembentangan mendapat pandangan tertinggi daripada guru-guru. Cadangan guru bagi aktiviti pengajaran yang paling banyak boleh digunakan seperti di bawah (Rosni bin Samah, 2007): 1) Perbanyakkan soal jawab di antara guru dan pelajar. 2) Guru memberikan penerangan secara mendalam. 3) Perbincangan antara pelajar dengan pelajar dan pelajar dengan guru. 4) Para pelajar membuat pembentangan di hadapan kelas. 5) Kerja berkumpulan untuk menjawab soalan. 6) Latih tubi soalan-soalan format peperiksaan.

297

7) Menggunakan ABM seperti LCD dan OHP untuk menarik perhatian pelajar agar tidak bosan dan mengantuk di dalam kelas.

CADANGAN PELAJAR Pandangan dan cadangan pelajar turut diambil kira bagi menjayakan aktiviti pembelajaran yang berkesan. Antaranya ialah aktiviti berkumpulan dalam kelas yang dijalankan dan aktiviti luar yang disertai. Cadangan pelajar bagi aktiviti pengajaran yang berkesan bagi mereka ialah (Rosni bin Samah, 2007): 1) Komunikasi menggunakan bahasa Arab 2) Perbincangan antara sesama pelajar dan pelajar dengan guru 3) Membuat latih tubi soalan-soalan format peperiksaan 4) Pembentangan di hadapan kelas 5) Guru memberi penerangan secara mendalam 6) Menghafal perkataan, istilah bahasa Arab dengan maknanya dan isi-isi penting. 7) Membuat nota sendiri 8) Menggunakan bahan interaktif seperti CD dan VCD

PENUTUP Bagi mengembalikan kegemilangan pangajaran bahasa Arab di sekolah agama khususnya, hala tuju perlu dilihat semula supaya pelajar yang dilahirkan dapat memenuhi tuntutan semasa dan dapat bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Perubahan dan penambahbaikan boleh dibuat dalam beberapa sudut-sudut seperti sukatan, P&P, pelajar, guru, pentadbiran dan prasarana. Komen dan saranan yang diperolehi daripada guru-guru bagi memperbaiki proses P&P adalah seperti di bawah (Rosni bin Samah, 2007): 1) Proses P&P harus dipelbagaikan supaya lebih menarik minat pelajar. 2) ABM interaktif seperti CD dan VCD harus diadakan seperti subjek-subjek lain. 3) Subjek pengajian Islam dan bahasa Arab perlukan penilitian yang mendalam dan juga penyusunan semula agar bersesuaian dari semasa ke semasa. 4) Tenaga pengajar harus diberikan kursus tentang cara-cara mempelbagaikan P&P. 5) Sukatan pelajaran terlalu banyak dan membebankan pelajar. 6) Jam mengajar bagi subjek ini perlu ditambahkan dalam seminggu.

298

7) Para pelajar perlu diberi dorongan untuk pembentangan dan berkomunikasi dalam bahasa Arab.

Saranan tertinggi yang diberikan ialah ABM interaktif seperti CD dan VCD harus diadakan seperti subjek-subjek lain. Komen dan saranan turut juga diperolehi daripada pelajar seperti di bawah (Rosni bin Samah, 2007): 1) Cara guru mengajar subjek ini perlu diperbaiki. 2) Penggunaan bahan interaktif harus diambil kira. 3) Aktiviti yang menarik minat pelajar perlu dipelbagaikan. 4) Bahan rujukan perlu diperbanyakkan di pasaran. 5) Penerangan lebih mendalam beserta contoh sangat perlu. 6) Pelajar perlu lebih banyak membuat latihan untuk menambah kemahiran.

Hasil daripada kajian menunjukkan bahawa aktiviti pengajaran perlu diperbaharui dan dipelbagaikan bagi menarik minat pelajar. Ia perlu kepada pemurnian bagi menjamin pencapaian pelajar yang lebih baik lagi. Beberapa isu bekaitan dengan aktiviti tersebut turut ditimbulkan seperti proses pengajaran banyak berpusat kepada guru, kurang bahan rujukan, alat bantu mengajar tidak mencukupi, guru banyak menterjemah, aktiviti kurang dijalankan dan latihan perlu diperbanyakkan. Bagi meningkatkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran, penyelesaian kepada masalah yang ditimbulkan di atas perlu dicari. Pihak terlibat perlu memberi pendekatan yang sewajarnya bagi mengatasi isu-isu tersebut supaya pengajaran bahasa Arab dapat diperkasakan untuk melahir generasi yang dapat berinteraksi dalam arus perdana pendidikan dan pasaran kerja.

RUJUKAN Al Naqah, Mahmud Kamil, 1985, Talim al Lughah al Arabiyyah Linnatiqina Biha, Universiti Ummul Qura. Saudi. Abdul Alim Ibrahim, 1994, Al-Muwajih al-Fanni Limudarrisi al-Lughah al-Arabiyyah, Darul Maarif, Kaherah. Abdul Razah Wan Ahmad, t.t, Al Lughah al Arabiyyah fi Malayzia Badal Istiqlal 19571978, Tesis Master, Fakulti Sastera, Universiti Iskandariyyah, Mesir. Abdul Talib Ahmad & Firdaus Ahmad Azzam, 2003, Kolej Islam Kelang, KIK, Kelang.

299

Abdullah Jusuh,1989, Pengenalan Tamadun Islam Di Malaysia, DBP, Kuala Lumpur. Ahmad Jelani Halimi. 1996, Kemasukan Islam Ke Kedah, Dalam Dokumentasi Konvensyen Sejarah Kedah Darul Aman Kedua: Islam Di Kedah Darul Aman, Majlis Kebudayaan Negeri Kedah. Alor Star. Badruddin Haiyi al Sini, 1950, Al Alaqah Bainal Arab Wassin, Maktabah al Nahdhah al Masriyyah, Kaherah. Ismail Hamid. 1991, Masyarakat Dan Budaya Melayu, DBP, Kuala Lumpur. Rosni bin Samah. 2007. Pendekatan Pengajaran Bahasa Arab di Sekolah-Sekolah Agama, Prosiding Seminar Penyelidikan Dalam Pengajian Islam Ke 4 2007, Fakulti Pengajian Islam, UKM Bangi. Talib Samad, 1992, Syed Syeikh Al Hadi: Sasterawan Progresif Melayu, DBP, Kuala Lumpur. Zainuddin Abu Bakar, Muhamad Rashid Rajudin, Mohd Ali Ibrahim, Nurhusna Abdul Wahid dan Zainuddin Hassan,2007, Kemahiran ICT Di Kalangan Guru Pelatih IPTA Malaysia, Shah Alam, Arah Publications.

300