Kuatnya pengaruh media massa terhadap masyarakat dalam membina persepsi bagi sesuatu isu adalah sesuatu yang amat mengkagumkan. Dalam isu politik misalnya, sesebuah laporan yang disampaikan akan dijustifikasikan oleh para audiens dengan menjadikan latar kecenderungan terhadap sesebuah parti atau fahaman sebagai mempengaruhi asas penilaian. Itu bagi mereka yang mempunyai pemberatan terhadap sebelah pihak. Bagi mereka yang kononnya mengatakan dirinya bebas daripada sebarang sentimen parti politik, penilaian lazimnya didasari dengan mencari kesalahan atau kelebihan bagi kedua belah pihak. Golongan sebegini akan cuba lari daripada bersikap bias lalu meletakkan mereka pada kondisi di tengah-tengah. Justeru bagaimana pula bagi mereka yang tidak berupaya memahami perjalanan politik semasa khususnya bagi golongan yang kurang terdedah dengan mainan politik arus perdana. Golongan inilah yang sebenarnya menjadi majoriti dalam menentukan kelangsungan hidup sesebuah parti yang memerintah (kabinet). Kerana golongan ini lebih banyak jumlahnya berbanding dua golongan yang disebutkan di atas. Golongan ini lazimnya menerima apa sahaja berita yang disajikan oleh media-media tersebut. Maka di sinilah media-media khususnya media arus perdana atau mainstream perlu memainkan peranannya sebagai media yang benar-benar bebas daripada sentimen parti politik. Tetapi kita harus ingat. Media arus perdana dan media alernatif mempunyai perbezaan yang amat besar terutamanya dalam konteks motif kewujudan media tersebut. Misalnya, surat khabar Harakah wujud bagi menyampaikan ideologi parti Pas, Suara Keadilan untuk Parti Keadilan Rakyat, dan beberapa media alternatif yang lain. Lain halnya dengan media arus perdana seperti Utusan, Berita Harian, Kosmo, Sinar Harian, Harian Metro, TV3, RTM, dan sebagainya. Media ini bukan milik mana-mana parti politik. Media ini ‘milik masyarakat’. Justeru tidak ada sebab media-media ini melaporkan berita berat sebelah apabila melaporkan tentang sesuatu isu politik terutamanya isu yang melibatkan perbezaan dasar atau idea sesebuah parti politik itu. Persoalannya, adakah proses ini berlaku? Jawapannya sudah tentulah tidak. Media arus perdana pada hari ini seolah-olah sudah menjadi seperti media UMNO-BN. Seharusnya nama-nama media tersebut turut ditukar menjadi Utusan UMNO, Berita Harian BN, Kosmo UMNO, dan pelbagai lagi. Inilah realiti yang berlaku. Media masyarakat sudah menjadi media Parti yang memegang pentadbiran pusat atas nama milik kerajaan. Kononnya bagi menyampaikan hasrat dan usaha kerajaan terhadap rakyat. Bagi mereka yang berfikiran bahawa parti yang memerintah kerajaan pusat itu sebagai kerajaan, ianya mungkin betul. Namun, lemah sangatlah pemikiran mereka itu kerana tidak mampu membezakan antara pemerintah (diberi amanah) dengan kerajaan. Pemerintah ialah pentadbir, sedangkan kerajaan itu adalah rangkuman komuniti (pemerintah, rakyat dan segala yang ada dalam sesebuah masyarakat itu). Dalam hal ini, yang diberi peluang mentadbir kerajaan pusat ialah parti berikat BN. BN sebagai pentadbir tanpa ada golongan yang ditadbir bukanlah kerajaan namanya. Maka, antara parti politik, pentadbir, dan yang ditadbir adalah perkara yang berbeza. Saya ulangi secara tegas bahawa apa yang berlaku sekarang ialah, media arus perdana yang dikatakan sebagai media milik kerajaan ini sebenarnya sudah menjadi milik parti yakni parti berikat BN. Dalam erti kata lain, media mainstream ini sudah menjalankan peranannya sebagai media alternatif sama seperti Harakah, Suara Keadilan, Siasah, dan sebagainya yang 1 menyampaikan hasrat parti. Lebih memalukan apabila parti tersebut menggunakan media-media yang sudah berada dekat pada hati masyarakat ini sebagai alat untuk berkempen khususnya apabila menjelang pilihan raya sama ada PRK mahupun PRU. Berbeza dengan parti-parti pembangkang, mereka tidak dibenar langsung menggunakan media arus perdana ini sebagai saluran untuk menjelaskan matlamat perjuangan mereka apalagi untuk berkempen. Justeru, mereka menggunakan akhbar dan media sendiri untuk tujuan itu. Sebenarnya, untuk membebaskan media-media mainstream ini daripada cengkaman BN bukanlah perkara yang mudah. Sebabnya, survival media itu untuk terus berada di pasaran sangat bergantung kepada sejauhmana media-media itu mengampu kerajaan. Banyak ampu banyaklah untung. Kita tentu masih ingat bagaimana TV3 dengan program Sure Heboh kemudian ditukar sebagai Jom Heboh telah difatwakan haram di beberapa buah negeri. Namun, program ini masih terus berjalan dan dilihat semakin agresif untuk merosakan akhlak masyarakat demi mengaut keuntungan dan laba dunia. Alasannya, untuk menggalakkan pelancongan dan mewujudkan peluaang perniagaan melalui pengabaian terhadap hukum Allah s.w.t. Dalam penganjuran Jom Heboh di Lumut, Perak pada awal tahun ini, Mufti Perak, Dato’ Seri Harussani Zakaria yang pernah menfatwakan program tersebut sebagai haram mengakui bahawa beliau sendiri tidak tahu menahu tentang penganjuran program tersebut (sila rujuk Majalah Milenia Edisi Julai 2009 di halaman 14-19). Pembaca boleh bayangkan betapa berjayanya ampu mereka terhadap kerajaan pusat sehinggakan mereka berani membelakangkan mufti. Bagaimana mereka boleh berani sebegitu rupa jika tidak dilindungi oleh pihak yang berkuasa? Dan bagaimana mereka dilindung jika mereka tidak mengampu melalui laporan-laporan berita yang memburuk-burukkan Pakatan Rakyat sebaliknya menonjolkan kebaikan BN? Kita lihat juga iklan-iklan serta drama-drama yang merosakkan masyarakat, tidak ada sesiapa yang mampu menyekat mereka. Mereka terlalu bebas menyiarkan apa yang mereka mahu termasuklah filem-filem yang memburuk-burukkan Islam dengan melambangkan Islam sebagai pengganas dan agama yang teruk. Yang menghalang mereka hanyalah akta-akta sekular lagi jumud yakni asalkan media-media tersebut tidak membawa perpecahan dan kerugian pada negara. Kalau untung, on je!. Hebat sungguh!. Kemudian kita lihat pula bagaimana mereka melaporkan berita berkaitan politik. Tidak ada yang baik pada parti pembangkang untuk diceritakan kepada masyarakat. Semuanya memburuk-burukkan pembangkang. Yang baik hanyalah BN yang dijenamakan sebagai ‘kerajaan’ itu. Jika akhbar Suara Keadilan atau akhbar- akhbar alternatif lain melaporkan kelemahan-kelemahan dalam pentadbiran kerajaan pusat, itu lain halnya kerana wujudnya akhbar sebegitu dengan peranan yang berbeza. Akhbar sebegitu tidak dibaca oleh umum, sebaliknya oleh para penyokong parti yang berkenaan. Sedangkan media mainstream ini dibaca oleh masyarakat umum. Masyarakat umum yang hanya membaca media mainstream ini tanpa membaca media alternatif jarang sekali bebas pemikirannya lalu wujudlah penyakit fanatik membuta tuli terhadap BN. Dalam isu DAP Kedah keluar Pakatan Rakyat baru-baru ini, kita lihat bagaimana dangkalnya laporan tersebut disiarkan oleh media mainstream ini. Memenuhi kebanyakan laporan ialah temu ramah terhadap wakil DAP yang membuat keputusan keluar Pakatan ekoran tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan negeri merobohkan pusat penyembelihan khinzir. Sedikit sekali hujah dari kerajaan Pas yang memegang tampuk kerajaan negeri bagi menjelaskan isu sebenar. Walhal yang Islamnya ialah Pas itu. Yang mempertahankan pusat penyembelihan khinzir pula tentulah bukan Islam. Tetapi yang difokuskan oleh media mainstream ini ialah 2 mereka yang ‘memperjuangkan khinzir’. Tidakkah laporan sebegini hanya memburukkan Islam. Kononnya Islam itu tiada toleransi langsung hinggakan untuk membina pusat penyembelihan khinzir pun tidak boleh. Walhal ketika Pakatan Rakyat mula memerintah Selangor, media-media mainstream ini juga yang menghebohkan kononnya Pakatan Rakyat cakap tak serupa bikin apabila membina pusat penternakan khinzir dalam skala besar bagi memusatkan kandang- kandang khinzir dalam satu lokasi yang mudah diselia. Apabila diselidik, rupa-rupanya rancangan tersebut telah bermula sejak zaman Toyo lagi (MB terdahulu). Pakatan Rakyat hanya sebagai pemegang beban daripada rancangan kerajaan BN terdahulu. Itu pun tidak dilaporkan di media-media mainstream ini. Berat sangatkah untuk sekurang-kurangnya tidak memburuk-burukkan Pas yang sinonim dengan Islam di media-media arus perdana? Persoalan sama ada Pas benar-benar ikut Islam atau tidak bukanlah halnya. Tetapi Pas tetap sinonim dengan Islam. Justeru mengaitkan mereka dengan sesuatu perkara yang tidak elok akan turut mengheret Islam sama. Tambahan pula tindakan Pas itu bukannya tindakan yang berdosa malah wajar kerana ia melibatkan binatang yang haram dimakan di sisi Islam. Tambahan pula, tindakan meroboh itu sebenarnya disusuli dengan usaha memindahkan pusat penyembelihan tersebut. Bukannya meroboh semata-mata. Jika beginilah perangai media arus perdana kita terhadap Islam, bagaimana lagi kita boleh harapkan media-media ini untuk meletakkan Islam pada tempat yang tinggi di mata bukan Islam. Atau sekurang-kurangnya mereka tidak menjadi bangkai yang membusukkan maruah agama Islam. Tidak ada apa yang kita boleh harapkan daripada mereka lagi. Antara penyebab berlakunya keadaan demikian ialah kerana kecintaan melulu terhadap kehidupan dunia. Apabila dunia sahaja yang diingat siang dan malam, maka hilanglah rasa tanggungjawab terhadap kewajipan selepas mati. Orang yang lupa akhirat juga ingatannya hanyalah pada untung. Mana-mana bahagian yang untung itulah yang akan dikejarnya. Mereka ini tahu juga malu pada pihak yang menegakkan agama Islam. Mereka malu jika orang-orang tersebut mengetahui bahawa di hati mereka itu hanyalah ingat untung, bakhil dan busuk hati. Lalu mereka mengatakan bahawa Islam ialah agama yang mementingkan dunia dan akhirat. Kata mereka, dunia dan akhirat ialah 50-50. Kena cari untung. Tak untung macam mana nak bangunkan Islam. Dengan memetik dua tiga potong ayat Al-Qur’an, ‘falsafah’ mereka itu terus diterima pakai. Maka tercari-carilah mereka ini lubuk-lubuk yang mendatangkan keuntungan walaupun dengan cara yang amat keji sekali. Salah satu pihak yang terlibat termasuklah media massa ini. Walaupun tidak semua, tetapi majoritinya ialah ya! Mudah sahaja untuk membuktikannya. Anda hanya perlu ON suis televisyen anda atau pun membeli majalah-majalah. Jika anda tidak merasakan apa-apa atau tidak sedikit berbekas di hati tentang kerosakan yang anda lihat, ini membuktikan bahawa anda telah termasuk dalam kalangan mereka yang berjaya dirosakkan oleh media-media ini. Orang yang mempunyai masalah iman memang tidak merasakan kerosakan itu sebagi satu kerosakan. Bahkan mereka akan melihat itu sebagai jalan untuk mengejar untung, yakni untung dunia. Apabila mengetahui bahawa maksiat itu adalah jalan untuk mengejar untung, maka mana-mana pihak yang menghalangnya perlu dihapuskan dahulu. Bagaimana? Caranya ialah dengan mengampu pihak yang berkuasa. Mereka ini ialah pemimpin yang diamanahkan untuk menjaga Islam dan rakyat, tetapi menjadikan Islam untuk mencari habuan. Bagi mengekalkan kuasa, mereka perlu mempamerkan diri mereka sebagai superhero dalam masyarakat. Sedang yang lainnya (pembangkang) sebagai beban kepada negara. Maka dipergunakanlah media untuk 3 memburuk-burukkan pembangkang. Sebagai balasan, media-media ini dilindungi daripada sebarang sekatan oleh para ahli agama dan masyarakat yang tidak bersetuju dengan mereka. Apa yang perlu dilakukan ialah, semua pihak yang masih mencintai Allah s.w.t dan risalah-Nya perlulah berani untuk menegakkan ajaran Islam menggunakan keupayaan masing- masing. Umat Islam juga diseru supaya saling ingat-mengingati dan menyedarkan antara satu sama lain tentang kerosakan yang sedang berlaku terhadap masyarakat Islam. Apabila kesedaran timbul, maka persatuan akan wujud. Para ulama, mufti, ustaz-ustaz, NGO Islam, dan masyarakat Islam biasa mestilah bersatu menegakkan kebenaran yang dinafikan oleh golongan ini. Allah s.w.t berfirman, “Dan hendaklah ada antara kamu satu golongan yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh orang berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian adalah orang yang berjaya”. (Ali Imran : 104).
Maklumat Penulis:
Nama: Henry B. Rudy
Alamat Rumah: 59, Kg. Kurnia, Bkt. Pekan, 31910, Kampar, Perak D.R E-Mail: mey_abu@yahoo.com No H/P: 013 4660895