Anda di halaman 1dari 27

JENAYAH QISAS BUNUH BAB 1 QISAS DAN HIKMAT

Definasi Qisas Qisas berasal dari kata perbuatan . Dari segi bahasa mempunyai beberapa makna. Ada kalanya bererti mengikut seperti dalam Surah al-Qasas (ayat 11) dan Ibn Musa berkata kepada saudara Musa yang perempuan. Kau ikutlah dia dan dalam Surah al-Kahfi (ayat 64) lalu kedua-duanya kembali mengikuti jejaknya tadi. Selain dari itu boleh diertikan sebagai memotong atau menggunting seperti dalam ayat Qassa al-Shar, menceritakan seperti dalam ayat ia menceritakan khabar kepadanya dan juga boleh membawa makna persamaan. Di antara makna-makna di atas, maka qisas yang bererti mengikut dan menyamai adalah yang paling hampir kepada maksud qisas dari segi istilah syara, di mana orang yang melakukan jenayah bunuh atau mencederakan anggota tubuh badan akan diikuti dengan hukuman yang menyamai dengan jenayah yang dilakukan, iaitu jika seseorang itu melakukan jenayah bunuh akan dijatuhkan hukuman bunuh atau jika seseorang itu umpamanya memotong kaki orang, dia juga akan dihukum potong kakinya dan begitulah seterusnya. Menurut istilah syara pula qisas adalah satu jenis hukuman yang termasuk dalam kategori hudud, iaitu suatu hukuman yang telah ditetapkan syara melalui nas-nas al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w bagi kesalahan-kesalahan yang melibatkan hak-hak anak Adam atau hak individu seperti jenayah bunuh dan mencederakan anggota tubuh badan. Sumber Hukum Qisas Kewajipan melakukan undang-undang qisas tidak boleh dipertikaikan lagi kerana ianya telah ditetapkan syara secara qatI dan muktamad seperti mana wajibnya solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya. Ini berdasarkan kepada ayat-ayat Al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w. Antara firman Allah Taala : Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu qisas dalam kes orang kena bunuh ; seorang merdeka dengan seorang merdeka, seorang hamba dengan seorang hamba, seorang perempuan dengan seorang perempuan. Maka barangsiapa yang mendapat kemaafan dari saudaranya hendaklah mengikuti dengan baik dan hendaklah (yang diberi maaf) memberi (diyat) kepada yang memberi maaf dengan cara yang baik pula. Yang demikian itu suatu keringanan dari tuhanmu dan suatu rahmat. Barangsiapa yang melanggar lagi sesudah itu maka untuknya siksaan yang pedih Firman Allah : Maksudnya : Dan telah Kami wajibkan ke atas mereka (kaum Bani Israel) di dalam (Taurat) bahawa (nyawa) di balas nyawa, mata (dibalas) dengan mata, hidung (dibalas) dengan hidung, telinga (dibalas) dengan telinga, gigi (dibalas) dengan gigi dan luka-luka itu ada (balasan) qisasnya. Barangsiapa yang melepaskan (hak) qisasnya, maka melepaskan hak itu (menjadi) penebus dosa baginya. Barangsiapa yang tidak menghukum menurut yang diturunkan Allah, maka mereka itu orang-orang yang zalim

Firman Allah : Maksudnya : Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan suatu (alas an) yang hak. Dan barangsiapa dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah memberi kekuasaan kepada ahli warisnya. Tetapi janganlah ahli waris itu melampaui batas dalam membunuh. Sesungguhnya ia adalah orang yang mendapat pertolongan. Firman Allah: Maksudnya : Bulan haram dengan bulan haram dan pada sesuatu yang patut dihormati berlaku hukum qisas. Oleh itu barangsiapa yang menyerang kamu, maka seranglah dia, seimbang dengan serangannya terhadapmu. Bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa Allah beserta orang-orang yang bertakwa Firman Allah : Maksudnya : Dan jika kamu membalas, maka balaslah dengan balasan yang sama dengan siksaan yang ditimpakan kepadamu. Akan tetapi jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang-orang yang sabar.

Manakala sumber-sumber daripada Sunnah Rasulullah s.a.w. pula; antaranya ialah : Sabda Nabi s.a.w. : Maksudnya : Barangsiapa yang (waris) baginya dibunuh, maka dia diberi dua pilihan ; sama ada (menuntut) untuk membunuh atau (menuntut) bayaran diyat (gantirugi) Sabda Nabi s.a.w. : Maksudnya : Barangsiapa yang ditimpa pembunuhan, dia diberi pilihan antara tiga perkara, sama ada untuk (menuntut) hukuman qisas atau menuntut diyat atau memaafkan. Sabda Nabi s.a.w. : Maksudnya : Barangsiapa yang membunuh secara sengaja hendaklah diserahkannya kepada wali mangsa yang kena bunuh. Jika mereka mahu, mereka boleh (menuntut) untuk membunuh (penjenayah), dan boleh (menuntut) bayaran diyat Dengan keterangan daripaa nas-nas Al-Quran dan Al-Sunnah yang tersebut di atas, jelaslah bahawa undang-undang jenayah mengenali qisas wajib dilaksanakan untuk memelihara salah satu daripada maslahah atau kepentingan yang paling berharga iaitu nyawa dan tubuh badan. Hikmat Disyariatkan Qisas Tiap-tiap undang-undang atau peraturan yang disyariatkan Allah kepada umat manusia tidak didatangkan dengan sia-sia. Bahkan mempunyai kebaikan dan hikmah yang kebanyakkannya tidak diketahui oleh kebanyakkan orang. Maka begitulah halnya dengan undang-undang qisas yang diwajibkan kepada orang-orang yang beriman untuk melaksanakannya, sama sekali tidak menyusahkan atau memudaratkan ; tetapi mempunyaihikmah atau signifikasinya yang tersendiri.

Antara hikmah syariat qisas ialah : a. Untuk memberi keadilan kepada umat manusia, kerana qisas adalah satu hukuman yang paling adil dan saksama. Ini kerana hukuman qisas menyamai dengan jenayah yang telah dilakukan, umpamanya seorang yang membunuh dengan sengaja akan dikenakan hukuman bunuh. Seorang yang memotong telinga orang akan dibalas dengan dipotong telinganya dan sebagainya . Adalah tidak adil sekiranya seorang anak kehilangan bapanya yang dibunuh orang dengan kejam, tiba-tiba pembunuh berkenaan tidak dijatuhkan hukuman bunuh. Begitu juga adalah tidak adil sekiranya seorang yang hilang penglihatannya kerana perbuatan jahat orang, tiba-tiba penjahat berkenaan tidak dihukum dengan hukuman yang serupa dengan jenayah yang telah dilakukan; adalah tidak adil namanya. b. Dengan melaksanakan hukuman qisas dapat mencegah dan menghalang orang yang bercadang untuk melakukan jenayah daripada meneruskan niat buruknya. Jika mereka mengetahui bahawa hukuman yang akan diterimanya adalah berat, menyamai dengan jenayah yang dilakukan sudah tentu dia akan berfikir dua tiga kali dan akhirnya akan membatalkan niat buruknya itu. c. Undang-undang qisas dapat meredakan kemarahan dan dendam waris-waris mangsa jenayah bunuh. Waris-waris seperti ibubapa atau anak-anak mangsa jenayah bunuh akan merasa lega dan kurang marah jika pembunuh itu dihukum bunuh juga. Sebaliknya jika pembunuh itu hanya dipenjara atau didenda maka waris tadi akan mencari jalan untuk membalas dendam bukan sahaja kepada pemnbunuh ; bahkan boleh menjalar kepada keluarga si penjenayah. Hal seperti ini berlaku di zaman jahiliah di mana jika didapati seorang sahaja anggota qabilahnya dibunuh orang, maka qabilah berkenaan akan membalas dendam dengan membunuh seberapa ramai anggota qabilah yang membunuh itu bagi memuaskan nafsunya. d. Selain daripada itu dengan menjalankan undang-undang qisas bererti menjamin kehidupan yang aman tenteram kepada seluruh umat manusia, sebagaimana firman Allah S.W.T : Maksudnya : Dan di dalam qisas itu ada (jaminan) hidup bagimu wahai orang-orang yang berakal supaya kamu bertakwa Ayat Al-Quran yang tersebut di atas menjelaskan bahawa faedah hukuman qisas bukan hanya dirasai oleh wali atau waris mangsa ; bahkan ianya dapat dirasai oleh seluruh umat manusia, sebab itu digunakan perkataan dan bagi kamu semua. Jadi qisas bukan sebagai satu tindakan balas dendam yang faedahnya hanya dirasai oleh mangsa jenayah. Ayat di atas juga menjelaskan bahawa kehidupan masyarakat dijamin oleh hukumanqisas. Oleh kerana jika qisas tidak dijalankan maka nyawa dan tubuh badan akan dicerobohi tanpa balasan dan pembelaan ; yang kuat akan menindas yang lemah. Hidup dalam keadaan huru-hara dan kucar-kacir kerana tidak ada undang-undang dan peraturan yang mengawal keamanan dan ketenteraman. Supaya hidup dalam keadaan kasih sayang dan aman damai ; maka perlulah dijalankan hukuman qisas kerana ianya merupakan suatu hukuman yang adil dan saksama. Begitu juga ayat di atas menerangkan bahawa matlamat dan keistimewaan syariat qisas hanya dapat difahami dan diakui oleh mereka yang mempunyai akal fikiran yang waras. Lantaran itulah Allah menunjukkan firman-Nya dengan perkataan ertinya Wahai orang-orang yang berakal. Jadinya orang-orang yang tidak berakal atau yang tidak mempunyai akal yang waras dan rasional tidak mahu menerima dan mengakui kebaikan undang-undang qisas . Sebaliknya orang-orang yang seperti ini sanggup melemparkan tuduhan-tuduhan yang liar terhadap syariat qisas seperti dituduhnya sebagai hukuman yang kejam dan tidak berperikemanusiaan. Oleh itu tidaklah menghairankan jika ada golongan manusia termasuk orang-orang Islam sendiri yang menolak perlaksanaan undang-

undangqisas kerana akal mereka sudah ditutupi dan diselubungi dengan idea-idea atau isme-isme lain yang bertentangan dengan ajaran Islam. Hikmat undang-undang qisas juga telah diperjelaskan dalam Al-Quran : Maksudnya : Oleh kerana itu Kami tetapkan (suatu hukuman) bagi Bani Israel bahawa barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh orang lain) atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Dan barang siapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia seluruhnya.

Ayat di atas memberi gambaran tentang kedurjanaan pembunuh secara sengaja walaupun hanya membunuh seorang sahaja, seolah-olah dia membunuh manusia seluruhnya. Memang tepat sekali perbandingan yang dijelaskan Al-Quran itu kerana selagi pembunuh itu masih bebas dan tidak dikenakan hukuman yang setimpal, dia akan terus bermaharajalela mencari mangsa yang lain untuk dibunuhnya. Oleh sebab itu ianya diumpamakan seperti telah membunuh semua manusia kerana dia telah mencerobohi hak seseorang untuk hidup dalam keadaan aman damai. Barang siapa yang memusuhi kehidupan seseorang seolah-olah dia telah mencerobohi hak orang ramai untuk hidup. Seterusnya ayat di atas menjelaskan bahawa sesiapa yang menghidupkan seseorang, dengan cara menjalankan hukuman qisas seolah-olah telah memberi kehidupan kepada semua orang. Ini adalah kerana apabila pembunuh itu telah dikenakan hukuman qisas bunuh, maka secara langsung atau tidak langsung telah dapat menyelamatkan bakal mangsa pembunuhan daripada kekejaman penjenayah. Ayat di atas juga boleh dimaksudkan bahawa dengan melaksanakan hukuman qisaskepada penjenayah bunuh akan menghidupakan waris-waris dan keluarga mangsa, dengan erti kata bahawa semangat dan kekuatan waris-waris dapat dipulihkan setelah mereka kecewa dan patah hati kerana kematian anaknya yang dibunuh oleh penjenayah itu. Qisas Dalam Ugama-ugama Lain Qisas atau hukuman bunuh balas bukan hanya disyariatkan kepada umat Nabi Muhammad s.a.w. sahaja, bahkan ianya juga telah disyariatkan kepada umat nabi-nabi yang terdahulu sebagaimana firman Allah setelah menceritakan pembunuhan Habil oleh saudaranya Qabil kerana cemburu dan hasad dengki. Firman Allah : Maksudnya : Oleh kerana itu Kami tetapkan (suatu hukuman) bagi Bani Israel bahawa barangsiapa membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia seluruhnya

Jelasnya Allah menerangkan bahawa qisas terdapat dalam kitab Taurat seperti firman-Nya : Maksudny : Dan telah kami fardukan ke atas mereka (Bani Israel) di dalam (Kitab Taurat) bahawasanya jiwa (dibalas) dengan jiwa, mata dengan mata, hidung dengan hidung, telinga dengan telinga, gigi dengan gigi dan luka-lukapun ada qisasnya

Begitu juga dalam kitab Old Testiment, (fasal ke 21 menerangkan, sesungguhnya siapa yang memukul orang hingga mati hendaklah ia dibunuh dan jika seorang itu menganiayai seorang lain lalu dibunuhnya, maka lebih baik pembunuh itu dibawa ke hadapan untuk dibunuh balas Qisas juga terdapat dalam syariat Nabi Isa a.s. sebagaimana firman Allah : Maksudnya : Dan kami iringkan jejak mereka (nabi-nabi Bani Israel) dengan Isa Putera Maryam, membenarkan kitab yang sebelumnya, iaitu Taurat. Dan Kami telah memberikan kepadanya Kitab Injil, sedang di dalamnya ada petunjuk dan cahaya, dan membenarkan kitab yang sebelumnya, iaitu Kitab Taurat dan menjadi petunjuk serta pegangan untuk orang-orang yang bertakwa Firman Allah selanjutnya : Maksudnya : Dan hendaklah pengikut-pengikut Injil, memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah di dalamnya (Injil). Barang siapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, mereka itu adalah orang-orang yang fasiq. Bagaimanapun apa yang terkandung dalam Bible Mathew bertentangan dengan apa yang disebutkan dalam Al-Quran. Oleh itu mengiktu setengah golongan dalam agama Kristian mengatakan bahawa seorang pembunuh itu tidak dikenakan hukuman qisas bunuh berdasarkan kitan Injil Mathew maksudnya, Adapun aku katakana kepadamu ; Jangan kamu lawan kejahatan (dengan kejahatan). Bahkan barangsiapa yang menampar pipimu yang kanan maka tukarkan pula ke pipimu yang lain. Manakala sebahagian yang lain pula berpendapat hukuman bunuh terdapat dalam agama Masihi berdasarkan kata-kata Nabi Isa, Aku tidak datang untuk mengurangkan malaikat Jibril tetapi untuk menyempurnakannya. Dengan keterangan-keterangan yang tersebut di atas adalah jelas bahawa qisas bukan hanya diwajibkan di dalam Islam ; bahkan ianya telah diwajibkan di dalam agama-agamaSamawi yang terdahulu seperti ugama Yahudi dan Nasrani. Jadi sepatutnya tidak menjadi pelik dan hairan jika undang-undang qisas khasnya dan undang-undang jenayah umumnya dilaksanakan oleh umat Islam hari ini. Tanggapan-tanggapan Negatif Terhadap Qisas Pandangan-pandangan yang serong terhadap undang-undang jenayah Islam umumnya dan undangundang qisas khususnya: adalah disebabkan sama ada mereka memang tidak memahaminya ataupun sengaja tidak mahu memahami, dengan tujuan untuk menyesatkan orang lain. Lebih-lebih lagi jika golongan yang tidak mahu faham ini terdiri dari kalangan umat Islam sendiri. Di antara tanggapan-tanggapan yang salah adalah seperti di bawah ini : a. Qisas adalah satu hukuman yang kejam dan tidak berperikemanusiaan. Orang-orang yang menganggap qisas sebegitu rupa kerana lebih mengambil berat tentang nasib penjenayah itu daripada memikirkan nasib orang ang menjadi mangsa penjenayah itu sendiri. Sedangkan sepatutnya orang yang tidak mempunyai sifat belas kasihan, seperti penjenayah tidak patut diberi belas kasihan; sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. : Maksudnya : Barang siapa yang tidak ada belas kasihan, janganlah diberi kasihan belas Lagi pula jika ditelitikan bahawa hukuman qisas adalah satu yang paling saksama kerana hukuman yang diterima penjenayah itu serupa dengan jenayah yang dilakukan ; seperti penjenayah

bunuh dikenakan hukuman bunuh balas, seorang yang memotong telinga orang dihukum potong telinganya dan begitulah seterusnya. b. Qisas dianggap kononnya satu undang-undang yang ketinggalan zaman dan tidak sesuai dengan budaya masyarakat di sini. Sebenarnya jika seseorang itu mempercayaiqisas ini undang-undang Allah yang terkandung dalam Al-Quran, maka tidak timbul anggapan seperti itu. Lebih-lebih lagi ianya diriwayatkan kepada Nabi Muhammadn s.a.w. sebagai utusan yang terakhir. Maka sudah tentulah syariat Allah sesuai pada bila-bila masa dan di mana juga. Tambahan pula tidak akan ada lagi syariat selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. . Lagipun anggapan seperti ini seolah-olah undang-undang jenayah Islam, khususnya qisas hanya sesuai di zaman Nabi Muhammad s.a.w dan di kalangan masyarakat Arab sahaja. Sedangkan pada umumnya umat Islam mempercayai ajaran Islam untuk sepanjang zaman hingga qiamat, yakni sama kedudukannya dengan hukum-hukum mengenai solat, zakat, haji dan perkahwinan Islam yang tidak dianggap ketinggalan zaman atau tidak sesuai dengan budaya bangsa Malaysia. c. Qisas kononnya sebagai hukum suku-suku bangsa atau dengan lain perkataan dianggap sebagai undang-undang Arab Jahiliah. Anggapan seperti ini adalah amat berat kerana ianya menyamakan qisas dengan undang-undang Arab Jahiliah dan sekaligus menafikanqisas sebagai syariat Allah S.W.T. Padahal ianya terang-terang sebagai syariat Allah kerana berdasarkan kepada dalil-dalil dan nas yang jelas di dalam Al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini. Jika sesuatu hukum yang telah ditetapkan di dalam Al-Quran tidak dipercayai., maka sikap yang seperti ini boleh merosakkan aqidah seseorang; apatah lagi jika dikaitkan undang-undang qisas itu dengan amalan Arab Jahiliah. Sedangkan antara qisas dan hukum balas dalam Arab Jahiliah adalah jauh bezanya, sepertimana jauhnya jarak antara langit dan bumi. Sebagai contoh, dalam hukuman balas Arab Jahiliah jika didapati seorang sahaja anggota qabilahnya dibunuh, maka qabilah berkenaan akan membalas dendam dengan membunuh seberapa ramai anggota qabilah pembunuh. Sedangkan dalam undang-udang qisas hanya pembunuhnya sahaja yang dikenakan hukuman bunuh kerana Islam melarang membunuh seseorang tanpa hak, sebagaimana firman Allah: Maksudnya : Dan janganlah kamu membunuh orang yang Allah haramkan (membunuhnya) melainkan dengan (alasan) yang benar. Dan barang siapa dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah memberi kekuasaan kepada ahli warisnya tetapi janganlah melampaui batas dalam membunuh Begitu juga dalam Surah Al-Anam ayat 51, maksudnya : dan janganlah kamu bunuh jiwa yang Allah haramkan (membunuhnya) melainkan dengan suatu (sebab) yang benar. Maksud membunuh dengan sebab yang hak seperti melakukan bunuh kepada penjenayah zina yang sudah berkahwin, kepada orang yang keluar daripada Islam (murtad) dan membunuh secara qisas kepada penjenayah bunuh. d. Qisas kononnya dianggap sebagai tindakan balas dendam. Orang yang mempunyai anggapan sebegini sebenarnya tidak memahami undang-undang qisas, walaupun kedua-dua sistem itu ada persamaan dari segi hukuman balas seperti bunuh dibalas bunuh dan mencederakan anggota badan akan dicederakan balik. Pada hakikatnya antara balas dendam dan qisas jauh bezanya. Dalam amalan balas dendam biasanya orang yang berdendam tidak pedulikan soal persamaan antara apa yang telah dilakukan oleh penjenayah dengan balasan yang akan dikenakan kepadanya, sedangkan dalam melaksanakan hukuman qisas disyaratkan supaya hukuman itu menyamai dengan kesalahan yang dilakukan. Jika hukuman itu tidak boleh menyamai jenayah yang dilakukan perlu

ditukar hukuman qisas itu kepada hukuman lain. Begitu juga dalam melakukan amalan balas dendam seseorang itu tidak hanya membalas kepada penjenayah, bahkan kepada orang lain yang tidak ada kena mengena dengan jenayah berkenaan. Manakala hukuman qisas hanya dikenakan kepada penjenayah itu sendiri dan tidak boleh dilibat orang lain ; walaupun kepada ibu bapa, anak-anak atau warisnya yang terdekat. Selain dari itu dalam amalan balas dendam maka orang yang berdendam itu sendiri yang akan melaksanakan balasan dendam. Jadi kadar balas dendam itu berbeza-beza mengikut kekuatan masingmasing. Jika seseorang yang berdendam itu mempunyai tubuh badan yang kuat maka dia akan bertindak lebih ganas dan kejam. Sebaliknya jika yang berdendam itu tidak kuat, maka tindakan balas dendamnya tidak berapa liar dan ganas. Manakala dalam sistem qisas tidak memberi apa-apa kesan tentang kekuatan atau kelemahan mangsa jenayah berkenaan, kerana qisas tidak dijalankan oleh orang perseorangan, tetapi dijalankan melalui perbicaraan di mahkamah yang dibentuk oleh pihak pemerintahan Islam. Malahan dengan menjalankan hukuman qisas boleh menghapuskan amalan balas dendam. Amalan balas dendam adalah perkara biasa dalam cara hidup `Arab Jahiliah, sehingga kadang kala terbawa-bawa walaupun sesudah memeluk Islam; sebagaimana satu riwayat menyatakan bahawa ada dua suku `Arab Jahiliah bermusuh-musuhan di zaman Jahiliah lagi. Ada di antara mereka yang kena bunuh dan yang kena luka, termasuklah hamba-hamba dan wanita. Qabilah berkenaan tidak mengambil tindakan balas dendam kepada qabilah yang lain sehinggalah mereka masuk Islam. Setelah Islam mereka terus bermusuhan antara satu dengan yang lain sehingga mereka bersumpah bahawa mereka tidak rela, melainkan jika seorang merdeka dari qabilah yang satu itu dibunuh balas disebabkan adanya seorang hamba yang dibunuh oleh qabilah lain. Malahan mereka tidak rela melainkan jika seorang lelaki dari qabilah lain dibunuh balas kerana seorang wanita dari qabilah lain dibunuh orang. Kemudian turunlah ayat 178 Surah Al-Baqarah yang bermaksud, Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu qisas.. Oleh itu dengan turunnya ayat yang mensyariatkan qisas, maka amalan balas dendam dapat dihapuskan jika undang qisas itu dijalankan di dunia hari ini. BAB II JENAYAH BUNUH YANG MEWAJIBKAN HUKUMAN QISAS

Pendahuluan MENURUT syariat Islam pembunuhan pada asalnya terbahagi kepada dua. Pertama, pembunuhan yang diharamkan iaitu pembunuhan yang dilakukan dengan adanya permusuhan seperti membunuh orang yang tidak bersalah; dan keduanya ialah pembunuhan yang hak dan dibenarkan iaitu pembunuhan yang tidak ada tanda-tanda permusuhan seperti menjalankan hukuman bunuh ke atas penjenayah bunuh, murtad dan pesalah zina yang muhsan. Ini sebagaimana yang disebutkan melalui sabda Rasulullah s.a.w. : Maksudnya : Tidak halal (mengambil) darah seorang Muslim melainkan kerana salah satu daripada tiga (sebab); kerana kufur sesudah beriman, zina sesudah ihsan dan membunuh orang tanpa dibunuh balas

Jenis-Jenis Jenayah Bunuh Ulama fiqh mempunyai pandangan yang berbeza-beza mengenai pembahagian jenis jenayah bunuh ini. Ada di antara ulama yang membahagikan kepada dua jenis sahaja, iaitu pembunuhan dengan sengaja dan pembunuhan secara tersalah. Setengah mereka membahagikan kepada tiga jenis iaitu selain dari dua jenis di atas ditambah satu jenis lagi iaitu pembunuhan yang menyerupai dengan secara sengaja Ada pula ulama yang membahagikan kepada empat jenis iaitu selain dari 3 jenis yang disebutkan di atas; ditambah lagi dengan satu jenis pembunuhan yang menyerupai dengan tersalah bunuh. Manakala setengah ulama pula membahagikan jenayah bunuh itu kepada lima jenis iaitu empat jenis yang tersebut di atas dan pembunuhan secara tidak langsung atau bersebab. Perbezaan yang nyata antara pembahagian dua jenis dengan pembahagian yang lain kerana ulama yang membahagikan pembunuhan itu kepada dua jenis sahaja, mereka tidak mengakui pembunuhan yang menyerupai sengaja. Walau bagaimanapun menurut pendapa tyang masyhur pembunuhan itu terbahagi kepada tiga iaitu pembunuhan dengan sengaja, yang menyerupai dengan sengaja dan pembunuhan tersalah atau tidak sengaja. Pada hakikatnya tidak ada perbezaan di antara pembahagian jenis pembunuhan kepada tiga jenis dengan yang empat atau lima jenis pembunuhan, kerana ulama yang membahagikan kepada empat jenis itu memisahkan antara pembunuhan secara tersalah bunuh. Manakala yang membahagikan pembunuhan itu kepada lima pula memisahkan antara pembunuhan secara langsung dengan pembunuhan yang dilakukan dengan ada sebab dan musabab. Tetapi jika merujuk kepada Al-Quaran maka jenayah bunuh itu hanya terbahagi kepada dua jenis sahaja iaitu pembunuhan dengan sengaja dan pembunuhan secara tersalah atau tidak sengaja, sebagaimana firman Allah : Maksudnya : Barangsiapa yang membunuh seorang Mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah Jahanam, kekal ia di dalamnya dan Allah murka kepadanya dan mengutuknya serta menyediakan azab yang besar baginya. Dan juga firman-Nya : Maksudnya : Dan barang siapa membunuh seorang Mukmin kerana tersalah (hendaklah) ia memerdekakan seorang hamba sahaya yang beriman serta membayar diyat yang diserahkan kepada keluarga (si terbunuh itu) kecuali jika mereka bersedekah Oleh kerana jenis pembunuhan yang mewajibkan hukuman qisas ialah pembunuhan secara sengaja, maka perbincangan akan ditumpukan kepada jenayah membunuh secara sengaja. Syarat-syarat yang mewajibkan hukuman qisas Untuk menentukan penjenayah bunuh itu boleh dijatuhkan hukuman qisas perlu ditelitikan syaratsyarat berikut : a. Pembunuhan Secara Sengaja b. Pembunuhan Berpunca Dari Permusuhan c. Pertanggungjawaban Penjenayah d. Persamaan Antara Penjenayah Dengan Mangsanya SYARAT PERTAMA

a) Pembunuhan Secara Sengaja Ulamak memberikan definisi yang berbeza-beza mengenai pembunuhan jenis ini. Antaranya menerangkan bahawa yang dikatakan pembunuhan secara sengaja ialah apabila penjenayah itu sengaja memukul mangsanya dengan senjata dan sebagainya seperti benda yang tajam dari batu atau kayu untuk mengambil nyawa seseorang. Setengahnya pula mentakrifkannya sebagai sengaja menyerang dengan suatu yang pada kebiasaannya boleh membawa maut. Satu lagi takrif menegaskan bahawa tiap-tiap yang disengajakan manusia ada dengan menempeleng atau menumbuk atau memukul dengan senapang, batu, kayu dan sengajanya; semua itu adalah membunuh dengan sengaja jika mangsanya itu mati dalam kejadian itu. Untuk penjelasan lebih lanjut mengenai pembunuhan secara sengaja, di bawah ini diterangkan satu demi satu rukun-rukun bagi pembunuhan secara sengaja. Rukun-rukun bagi pembunuhan secara sengaja Bagi menentukan jenayah itu dilakukan secara sengaja ; maka perlulah menepati ketiga-tiga rukun berikut : 1. Pembunuhan itu dilakukan ke atas manusia yang masih hidup. 2. Kematian itu hasil dari perbuatan pembunuh 3. Adanya niat sengaja membunuh Rukun Pertama Pembunuhan dilakukan ke atas manusia yang masih hidup Mangsa jenayah bunuh itu mestilah manusia yang masih hidup. Oleh itu sekiranya mangsa penjenayah itu bukan manusia seperti hukuman qisas kerana dia tidak dikira sebagai pembunuh secara sengaja; walaupun boleh dianggap sebagai menzalimi binatang. Begitu juga sekiranya seseorang itu memotong sebarang anggota seseorang yang telah mati tidak dianggap sebagai pembunuh, kerana kematian orang itu bukan hasil dari perbuatan orang yang memotong mayat berkenaan. Oleh itu orang yang memotong sebarang anggota seseorang yang telah mati tidak boleh dihukum qisas tetapi diwajibkan hukuman takzir kerana menganiayai mayat. Apa yang dimaksudkan dengan seorang yang sudah mati ialah seseorang yang telah terpisah nyawanya dari jasadnya secara pasti. Jadi sekiranya seorang itu membunuh seorang yang sedang sakit tenat adalah dikira sebagai pembunuh secara sengaja kerana penjenayah itu yang menghabiskan nyawanya dari jasad mangsanya. Adapun kalau umpamanya ada dua orang melakukan jenayah sehingga akhirnya mangsanya itu mati ; katakanlah penjenayah yang pertama memukul kepala seseorang dengan besi yang berat, tetapi orang itu masih ada harapan boleh hidup lagi, tiba-tiba selepas itu penjenayah yang kedua memancing lehernya hingga mati, maka yang bertanggungjawab dalam jenayah ini ialah penjenayah yang kedua. Justeru dialah yang mengambil nyawa dari jasad mangsanya. Manakala dalam kes umpamanya penjenayah pertama menikam perut Umar hingga terburai isi perutnya, kemudian datang seorang lain memancung leher Umar hingga mati, maka ulamak mempunyai pandangan yang berbeza-beza. Ada yang berpendapat bahawa penjenayah yang pertamalah yang membunuh kerana dialah yang menjadikan mangsanya dalam keadaan maut. Manakala sebahagian ulama pula berpendapat bahawa yang membunuh mangsa berkenaan ialah penjenayah yang kedua kerana walaupun pada masa orang yang kedua melakukan jenayahya, nyawa mangsa tidak menentu

lagi, tetapi masih dianggap bernyawa. Mangsa itu tidak boleh dianggap sudah mati selagi nyawanya belum berpisah dari jasadnya. Oleh itu orang yang melakukan jenayah yang paling hampir kepada kematian mangsa itulah dianggap sebagai pembunuhnya. Begitulah halnya dengan orang yang memukul perut seorang yang sedang mengandung sehingga anak yang dalam kandungannya itu mati, maka dia tidak dianggap sebagai membunuh manusia yang hidup, kerana anak yang dalam perut itu tidak dikira sebagai manusia yang sudah bernyawa sepenuhnya. Sungguhpun demikian penjenayah berkenaan boleh dianggap telah melakukan kesalahan membunuh dari jenis yang khusus dan boleh dikenakan hukuman yang khas, sebagaimana ada hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. ada memutuskan satu kes di mana seorang yang menyebabkan kematian seorang bayi dalam kandungan seorang wanita dari Bani Lihyan iaitu dengan membayar diyat bernilai seorang hamba. Rukun Kedua Kematian itu berpunca dari perbuatan pembunuh Perkara kedua yang menentukan pembunuhan itu dilakukan dengan sengaja ialah jika kematian itu dari perbuatan pembunuh dan ianya dilakukan untuk membunuh. Dengan ini bererti jika berlaku kematian seseorang itu bukan disebabkan oleh perbuatan orang seperti seorang itu mati kerana dihempap pokok, ataupun perbuatan itu tidak sampai membawa maut, seperti memukul dengan pensil ; maka orang yang melakukan tindakan seperti itu tidak boleh dianggap sebagai pembunuh secara sengaja. Pembunuhan yang dilakukan oleh penjenayah itu tidak disyaratkan dengan cara-cara yang tertentu. Bahkan memadai sama ada dengan cara memukul, melukakan, memancung leher, membakar, menenggelamkan, meracun dan sebagainya. Begitu juga tidak menjadi syarat sama ada perbuatan yang dilakukan oleh pembunuh itu hanya sekali atau berulang-ulang kali ; asalkan perbuatan penjenayah itu membawa maut. Alat sebagai penentu jenis pembunuhan Oleh kerana kebiasaannya penjenayah menggunakan alat atau senjata untuk membunuh mangsanya, maka di bawah ini dibincang sama ada alat yang digunakan itu penting atau tidak untuk menentukan jenis pembunuhan. Telah menjadi kebiasaan bahawa tiap alat atau senjata mempunyai kekuatan dan kesan penggunaanya yang tertentu. Begitu juga bagi setiap kejadian membunuh biasanya kerana adanya alat dan sebab yang membawa kepada kematian. Akan tetapi oleh kerana sebab dan alat yang menyebabkan kematian itu berbeza-beza dari segi kuat atau tidaknya dan dari segi kesannya kepada tubuh badan, maka ulamak mempunyai pandangan yang berbeza-beza mengenai hukum dan syarat-syarat bagi alat atau senjata yang digunakan. Imam Malik tidak meletakkan apa-apa syarat bagi perbuatan yang dilakukan oleh pembunuh atau bagi alat yang digunakan. Tiap-tiap perbuatannya yang disengajakan oleh seseorang sama ada dengan cara memukul, menumbuk, menempeleng atau dengan menggunakan senjata, kayu, batu dan sebagainya, semuanya itu dikira sebagai membunuh dengan sengaja jika tindakan penjenayah itu menyebabkan mangsanya mati. Jadi Imam Malik menjadikan niat membunuh sebagai asas yang menentukan penjenayah itu membunuh secara sengaja dengan tidak mengambil kira tentang alat yang digunakan. Sebaliknya jika seseorang itu sengaja bergurau atau bermain-main dengan tidak ada niat hendak membunuh, seperti jika dua orang itu mengaku bermain silat ; lalu salah seorang itu dapat menarik kaki hingga jatuh lalu mati, maka kematian seperti ini dianggap sebagai tersalah bunuh dan bukan sebagai membunuh secara sengaja. Ini kerana penjenayah berkenaan melakukannya dengan cara bergurau dan bermain-main dan tidak ada niat untuk membunuh. Tetapi jika seseorang itu

bertindak seperti hendak membunuh atau dengan menunjukkan kemarahannya lalu menyerang mushnya hingga mati, maka orang itu telah membunuh mangsanya secara sengaja. Oleh itu mengikut mazhab Maliki untuk menentukan pembunuhan secara sengaja, tidak memerlukan apa-apa syarat bagi perbuatan pembunuh dan alat atau senjata yang digunakan. Walaupun dengan cara menumbuk, menempeleng atau membaling dengan batu atau memukul dengan tongkat kecil; yang semuanya itu pada kebiasaanya tidak membawa maut. Bagaimanapun ianya boleh dikara sebagai pembunuh dengan sengaja jika penjenayah itu sengaja melakukan pencerobohan dan jika orang yang dicerobohi itu mati dengan sebab perbuatannya itu. Pandangan ini adalah menepati jenis pembunuhan dalam Mazhab Maliki kepada dua jenis sahaja iaitu membunuh secara sengaja dan tersalah bunuh, kerana sesuatu perbuatan itu dilakukan sama ada sengaja atau tersalah. Oleh itu tidak boleh dianggap bahawa pembunuhan dengan menggunakan alat yang pada kebiasannya tidak membawa maut seperti rotan kecil, cemeti, kayu pembaris dan sebagainya sebagai tersalah bunuh, jika penjenayah itu sengaja membunuh dan berniat untuk membunuh mangsanya. Imam Shafie dan Hanbali menyatakan bahawa yang dikatakan pembunuhan secara sengaja, jika penjenayah itu menggunakan alat atau senjata yang pada kebiasaannya boleh mematikan seseorang. Pembunuhan secara sengaja ialah seseorang itu sengaja membunuh dengan menggunakan alat yang pada ghaibnya boleh membawa maut, walaupun dengan benda yang tidak tajam. Sebaliknya jika alat yang digunakan itu pada kebiasaannya tidak boleh mematikan maka pembunuhan itu dianggap sebagai yang menyerupai dengan sengaja. Imam Abu Hanifah pula berpendapat bahawa alat yang digunakan dalam pembunuhan itu selain dari jenis yang pada kebiasaannya boleh membawa maut, hendaklah alat itu tajam yang boleh menceraikan tubuh badan ; sama ada yang diperbuat daripada besi tembaga, kayu dan sebagainya (seperti pedang, parang, lembing, anak panah dan alat-alat yang boleh memotong dan menikam seperti kaca, api dan sebagainya). Oleh itu menurut Imam Abu Hanifah sekiranya senjata yang digunakan itu daripada jenis yang biasanya boleh membunuh dan memang disediakan untuk membunuh seperti pedang atau senjata api, maka pembunuhan seperti itu dianggap sebagai sengaja membunuh. Namun begitu jika senjata itu pada kebiasaannya boleh mematikan tetapi bukan dari jenis yang boleh melakukan atau menikam seperti kayu besar atau batu besar, maka perbuatan bunuh itu sebagai menyerupai dengan sengaja ; walaupun penjenayah itu berniat hendak membunuhnya. Perselisihan pendapat ulamak itu adalah berpunca dari perselisihan mereka dalam menentukan jenis pembunuhan. Umpamanya Imam Malik menetapkan niat membunh sebagai asas bagi menentukan pembunuhan secara sengaja dengan tidak mengambil kira mengenai alat yang digunakan. Ini kerana Imam Malik hanya membahagikan pembunuhan itu kepada dua jenis sahaja ; iaitu secara sengaja dan tersalah bunuh. Manakala Imam Syafie dan Ahmad dalam menentukan pembunuhan itu sebagai sengaja, selain dari adanya niat sengaja membunuh, disyaratkan adanya tanda-tanda yang membuktikan niat itu; iaitu dengan cara menggunakan alat yang pada kebiasaannya boleh mencabut nyawa orang. Begitu juga pendapat Imam Abu Hanafah. Malahan pendapat beliau ditambah dengan satu lagi syarat iaitu alat yang pada kebiasaannya boleh membawa maut itu mesti tajam dan boleh memotong atau menceraikan anggota tubuh badan. Setelah diteliti pendapat ulamak yang tersebut, pendapat Imam Syafie dan Ahmad dalam menentukan pembunuhan itu sebagai sengaja adalah lebih munasabah dan sesuai. Justeru kalau hanya bergantung semata-mata kepada niat adalah sukar untuk menentukannya. Lebih-lebih lagi niat adalah perkara dalam sanubari yang tidak ada siapa yang mengetahuinya. Jadi untuk mengetahui niat penjenayah itu perlu ada bukti luaran iaitu dengan meneliti senjata yang digunakan. Jika alat yang digunakan itu pada kebiasaannya boleh mematikan, bolehlah dianggap sebagai membunuh dengan

sengaja. Sebaliknya jika senjata yang digunakan itu pada ghalibnya tidak boleh membunuh seperti kayu kecil, batang pensil, rotan kecil dan lain-lain ; maka pembunuhan itu tidak dikira sebagai sengaja membunuh. Begitulah juga senjata yang biasanya membawa maut itu tidak semestinya tajam atau yang boleh menceraikan anggota tubuh badan. Rukun Ketiga

Niat sengaja membunuh Ulamak mempunyai pendapat yang berbeza-beza dalam menentukan sama ada qasad atau niat sengaja itu sebagai rukun bagi jenayah bunuh secara sengaja. Walau bagaimanapun kebanyakan ulama berpendapat bahawa pembunuh itu mesti ada niat dengan sengaja hendak membunuh mangsanya. Jika penjenayah itu tidak ada niat untuk membunuh, maka pembunuhan itu tidak dianggap sebagai sengaja membunuh, walaupun penjenayah berkenaan ada niat sengaja untuk mencerobohi mangsanya. Lantaran niat sengaja menceroboh dengan tidak ada niat untuk membunuh tidak cukup untuk membuktikan penceroboh itu melakukan pembunuhan secara sengaja. Dalam kitab-kitab mazhab Hanafi memberi takrif sengaja membunuh sebagai suatu yang sengaja dilakukan dengan memukul mangsanya dengan senjata atau sebagainya; dan seorang pembunuh itu dianggap sengaja apabila dia berniat sengaja untuk membunuh orang. Ulamak mazhan Shafie pula mentakrifkan pembunuhan secara sengaja seperti berikut : Maksudnya : Bahawa pembunuhan secara sengaja ialah sengaja (qasad) untuk menyerang dengan suatu yang pada kebiasaannya alat itu boleh membunuh seseorang Begitu juga dalam kitab matan Abi Syuja menyatakan : Maksudnya : Sengaja membunuh itu apabila seorang itu sengaja memukul seorang dengan menggunakan suatu yang pada ghalibnya boleh membawa maut dan qasad membunuhnya dengan menggunakan alat yang tersebut Manakala mazhab Hanbali mentakrifkan sengaja membunuh sebagai membunuh manusia dengan suatu yang pada sangkaan biasanya boleh membunuhnya. Selain dari itu disyaratkan adanya qasad sengaja dan jika tidak ada qasad sengaja membunuh maka tidak diwajibkan qisas. Niat sengaja membunuh amat penting bagi ketiga-tiga mazhab yang tersebut, kerana niat itulah yang membezakan antara pembunuhan secara sengaja dengan yang menyerupai dengan sengaja dan juga dengan pembunuhan yang tersalah atau tidak sengaja. Oleh yang demikian jika penjenayah itu berniat sengaja membunuh mangsanya, maka pembunuhan itu dianggap sebagai sengaja. Jika penjenayah itu walaupun dengan sengaja melakukan permusuhan tanpa niat hendak membunuh, maka pembunuhan ini dianggap sebagai menyerupai dengan sengaja. Manakala jika penjenayah itu ada niat sengaja melakukan tindakan yang tidak ada niat untuk melakukan permusuhan maka pembunuhan seperti ini dianggap sebagai tersalah bunuh. Imam Malik pula tidak menjadikan niat sengaja membunuh itu sebagai syarat untuk menentukan suatu pembunuhan itu sebagai sengaja. Bahkan memadai dengan adanya niat permusuhan, asalkan pembunuhan bukan hasil dari bergurau, bermain atau mengajar. Kebanyakkan ulamak berpendapat bahawa niat sengaja membunuh menjadi syarat utama bagi jenayah bunuh dengan sengaja. Akan tetapi oleh kerana niat adalah perkara yang tersembunyi di hati sanubari seseorang, maka sudah tentu sukar untuk dikesan. Oleh itu kebanyakkan ulamak berpendapat

bahawa untuk membuktikan niat penjenayah itu perlu kepada suatu perkara yang berkait rapat dengan penjenayah. Pada kebiasaannya untuk menentukan niat seseorang akan diukur dari segi alat atau senjata yang digunakan dalam pembunuhan itu, kerana penjenayah biasanya akan memilih senjata yang sesuai untuk melaksanakan niatnya. Jika berniat hendak membunuh mangsanya dia akan menggunakan senjata yang sesuai untuk tujuan tersebut seperti pedang panjang, senjata api dan sebagainya. Sebaliknya kalau hanya berniat hendak memukul sahaja dia akan gunakan senjata yang ringan seperti kayu kecil, rotan dan sebagainya. Oleh itu penggunaan alat atau senjata yang pada kebiasaannya boleh membawa maut adalah bukti lahir yang menunjukkan niat penjenayah. Walau bagaimanapun dalam menentukan sama ada seseorang pembunuh itu melakukannya dengan sengaja atau tersalah bunuh tidak boleh semata-mata bergantung kepada senjata yang digunakan kerana boleh jadi seseorang itu menyerang lawannya dengan menggunakan senjata, tetapi berniat tidak membunuhnya tetapi berlaku dengan secara tersalah atau tidak sengaja. Oleh yang demikian untuk membuktikan niat seseorang dengan melihat kepada senjata yang digunakan adalah tidak mencukupi, tetapi perlu kepada perbincangan yang lebih mendalam lagi. Jadi adalah lebih baik untuk menentukan niat penjenayah itu diserahkan kepada hakim sehingga beliau berpuashati bahawa penjenayah itu melakukan dengan sengaja, sama ada melalui alat yang digunakan atau dengan meneliti bagaimana permusuhan itu berlaku dan sebagainya. SYARAT KEDUA Pembunuhan Berbunca Dari Permusuhan Syarat kedua bagi membolehkan penjenayah itu dihukum bunuh balas (qisas) jika pembunuhan itu berlaku disebabkan adanya permusuhan antara pembunuh dengan mangsanya. Ini bererti jika seseorang itu membunuh orang kerana mempertahankan dirinya atau menunaikan tanggungjawabnya atau kerana menggunakan haknya, maka pembunuhan seperti itu tidak dianggap sebagai memusuhi mangsanya. Oleh itu pegawai penjara yang ditugaskan utuk melaksanakan hukuman bunuh ataupun seorang yang mempertahankan dirinya dari serangan orang, hingga terpaksa membunuh penyerangnya, tidak boleh dijatuhkan hukuman qisas ke atasnya kerana dia membunuh orang itu bukan kerana permusuhannya, tetapi menunaikan kewajipannya atau untuk mempertahankan dirinya. Jadi ada tiga perkara yang boleh menjadi bukti bahawa sesuatu pembunuhan itu berlaku bukan kerana adanya permusuhan . Pertama : menunaikan kewajipan Kedua : menggunakan hak, dan Ketiga : kerana mempertahankan diri. Pertama : Menunaikan Kewajipan Jika seorang itu tugasnya memang untuk melaksanakan hukuman bunuh kepada penjenayah, maka apabila dua menunaikan tugasnya untuk membunuh penjenayah-penjenayah, maka dia tidak boleh dihukum qisas kerana dia tidak ada apa-apa permusuhan dengan orang yang dibunuhnya. Mengikut peraturan biasa bahawa seseorang hakim akan menjatuhkan hukuman bunuh hanya setelah berpuashati dengan keterangan yang jelas terhadap penjenayah supaya penjenayah itu benarbenar berhak menerima hukuman mati. Andainya seorang hakim telah memutuskan hukuman mati kepada orang-orang yang sepatutnya tidak menerima hukuman mati, tetapi petugas penjara telah menjalankan keputusan hakim di atas, jadi siapakah yang patut dipertanggungjawabkan?. Atau dengan

lain perkataan siapakah yang wajib dihukum qisas , hakim yang memutuskan hukuman mati atau pegawai yang melaksanakan hukuman tersebut? Jika pegawai yang melaksanakan hukuman mati itu tidak mengetahui orang yang dihukum bunuh sebenar tidak bersalah, maka orang yang menjalankan kewajipan itu tidak boleh dihukum qisas. Sebaliknya yang boleh dihukum qisas ialah orang yang mengeluarkan arahan untuk membunuh. Ini kerana orang yang menerima arahan dan perintah, tidak boleh dipersalahkan kerana dia wajib mentaati pemerintah selagi tidak disuruh melakukan kemaksiatan kepada Allah. Akan tetapi jika pegawai yang ditugaskan itu tahu bahawa orang yang dijatuhkan hukuman bunuh itu tidak bersalah dan dia teruskan juga hukuman mati itu maka pegawai petugas wajib dikenakan hukuman qisas. Kedua : Menggunakan Hak Syariat Islam memberi hak kepada seseorang untuk menuntut haknya ; walaupun sehingga kepada tuntutan hukuman bunuh. Apabila dia menggunakan haknya dengan membunuh seseorang, maka dia tidak boleh dipersalahkan dan juga boleh dijatuhkan hukuman qisas. Seperti seorang bapa membunuh orang yang telah membunuh anaknya setelah si bapa itu mendapat kebenaran dari pihak pemerintah ataupun seorang bapa yang memukul anaknya untuk mendisiplinkannya. Ada dua kes untuk dibincangkan di sini : 1. Membunuh penjenayah bunuh Pada dasarnya penjenayah bunuh tidak akan terlepas dari hukuman bunuh balas(qisas). Tetapi persoalannya adakah Islam membenarkan kepada sesiapa sahaja untuk membunuh balik penjenayah berkenaan. Menurut pandangan majority ulamak, orang yang bukan waris mangsa bunuh, tidak berhak untuk membunuh balik penjenayahnya. Oleh itu orang yang tidak ada pertalian darah dengan mangsa itu akan dihukum qisas jika dia membunuh balas penjenayah tersebut. Lantaran orang yang bukan waris mangsa bunuh, tidak boleh membunuh balas penjenayah berkenaan. Adapun jika wali mangsa bunuh itu sendiri membunuh balas orang yang membunuh warisnya, tidak diwajibkan hukum qisas ke atasnya, tetapi boleh dikenakan hukuman takzir; kerana wali tersebut tidak mengikut peraturan am yang mana sepatutnya tugas untuk menjalankan hukuman bunuh telah ditugaskan kepada pegawai yang tertentu dan bukan ditugaskan kepada semua orang. 2. Membunuh orang yang berzina Sebagaimana maklum zina adalah jenayah yang paling keji dan terkutuk. Jika maksiat ini tidak dikawal, bukan sahaja akan merosakkan akhlak seseorang tetapi boleh meruntuhkan sistem kekeluargaan dan kemasyarakatan. Oleh sebab itulah Islam memerintahkan satu hukuman yang berat, setimpal dengan kesalahan yang dilakukan iaitu hukuman rejam dengan batu sampai mati kepada penzina yang sudah berumahtangga dan hukuman sebat 100 kali dan buang daerah kepada penzina yang masih teruna atau dara. Tetapi apakah hukumannya jika seseorang itu bertindak sendiri dengan membunuh pesalah zina. Ulamak mempunyai pandangan yang berbeza-beza. Ada yang berpendapat bahawa orang yang membunuh penzina yang muhsan itu tidak boleh dihukum qisas kerana penzina tersebut adalah halal darahnya dan wajib dikenakan hukuman bunuh. Sungguhpun demikian orang yang membunuh penzina itu boleh dikenakan hukuman takzir kerana melanggar peraturan pemerintah. Manakala sesetengah ulamak pula menyatakan bahawa wajib dihukum bunuh (qisas) ke atas orang yang membunuh penzina kerana yang bertanggungjawab untuk menjalankan hukuman bunuh ialah pihak pemerintah dan bukannya tugas perseorangan. Begitu juga ulamak tidak sekata mengenai hukum orang yang membunuh penzina yang masih teruna dan dara. Ada ulamak yang mengatakan bahawa orang yang membunuh penzina tersebut wajib dihukum qisas kerana penzina yang bukan muhsan tidak boleh dikenakan hukuman bunuh. Ada juga

setengah ulamak yang menyatakan bahawa orang yang membunuh penzina tidak boleh dihukum bunuh kerana dia melakukannya untuk mencegah kemungkaran. Walau bagaimanapun jika yang membunuh penzina itu suami atau bapa atau adik-beradik kepada mangsa penzina, maka tidak wajib dihukum qisas sama ada penzina itu sudah berkahwin atau belum. Imam Ali bin Abi Talib telah membuat satu keputusan mengenai satu kes di mana seorang isteri di malam perkahwinannya telah membawa masuk teman lelakinya ke dalam biliknya. Apabila si suami itu masuk biliknya tiba-tiba si lelaki itu bangun dan bergelut dengan si suami. Akhirnya si suami itu membunuh lelaki tersebut dan si isteri itu bangun dan membunuh suaminya. Ali memerintahkan kepada isteri itu membayar diyat kepada keluarga teman lelakinya kerana dialah yang menyebabkan suaminya membunuh lelaki berkenaan. Ketiga : Mempertahankan Diri Menurut syariat Islam mempertahankan diri terbahagi kepada dua jenis : Pertama : mempertahankan diri secara khusus Keduanya : mempertahankan diri secara umum a. Mempertahankan diri secara khusus Adalah menjadi kewajipan setiap orang untuk mempertahankan dirinya dengan menggunakan kekuatan yang perlu bagi mengelakkan diri dari pencerobohan tersebut. Sama ada ianya sebagai satu tanggungjawab atau hak, tujuannya ialah untuk mengelakkan permusuhan. Oleh itu orang yang mempertahankan dirinya tidak boleh dipersalahkan dan tidak boleh dihukum berdasarkan kepada firman Allah S.W.T. Maksudnya : Barangsiapa yang menyerang kamu maka seranglah dia seimbang dengan serangannya terhadapmu Hadis yang diriwayatkan Imam Muslim bahawa Yula Ibn Umayyah berbalah dengan seorang lelaki lalu salah seorang menggigit tangan yang seorang lagi. Apabila direntap tangannya maka tercabutlah gigi hadapannya, lalu diapun mengadu kepada Rasulullah s.a.w. Tetapi Rasulullah tidak mengenakan diyat ke atas orang yang menggigit. Begitu juga sabda Rasulullah yang bermaksud : Andainya ada seorang mengintai kamu tanpa izin maka kamu baling dia dengan batu tepat kena matanya dan menjadi buta, maka tidak ada dosa ke atas kamu Bukan sahaja seseorang itu dibenarkan untuk mempertahankan dirinya, malahan juga wajib mempertahankan harta benda dan kehormatannya, bahkan juga diri orang lain, harta benda mereka dan kehormatan mereka. Ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w. : Maksudnya : Bantu saudara kamu sama ada yang zalim atau yang kena aniaya Iaitu jika dia adalah seorang yang zalim, cara membantunya ialah dengan menghalangnya dari terus melakukan kezaliman. Sebaliknya jika dia adalah yangkena aniaya ialah dengan menjauhkan kezaliman daripadanya. Apakah hukum mempertahankan nyawa, tubuh badan, kehormatan dan harta benda ? Adakah ianya sebagai hak atau tanggungjawab? Semua ulamak bersetuju bahawa jika kehormatan seseorang itu dicerobohi, maka wajiblah dia mempertahankan dirinya. Umpamanya kalau ada seorang lelaki hendak mencabul kehormatan seorang wanita, sedangkan wanita tersebut tidak mampu melawannya melainkan dengan membunuhnya ; maka wajiblah dia membunuh penyerang itu semata-mata untuk mempertahankan dirinya. Lantaran kalau ia

tidak mempertahankan diri bererti ianya telah membolehkan penceroboh melakukan jenayahnya. Begitu juga seorang yang melihat orang lain hendak merogol seorang perempuan dan lelaki itu tidak boleh melawannya kecuali dengan membunuh perogol tersebut, maka wajiblah dia membunuh penjenayah berkenaan jika mampu. Mengenai mempertahankan jiwa pula, ulamak tidak sependapat. Ada yang mengatakan hukumnya wajib untuk mempertahankan nyawa dari pencerobohan. Manakala sebahagian yang lain menyatakan harus bagi seorang itu mempertahankan nyawanya dari serangan penceroboh. Mengenai mempertahankan harta pula menurut kebanyakan ulamak bukan suatu kewajipan, ianya hanya suatu yang diharuskan atau dibenarkan untuk mempertahankannya. Dengan kata lain orang yang dirampas hartanya boleh mempertahankannya dan boleh membiarkannya sahaja. Syarat-Syarat Untuk Mempertahankan Diri Dari Penyerang Supaya orang yang mempertahankan diri itu tidak dipersalahkan, walaupun sampai membunuh penyerangnya ; maka perlulah ia mematuhi syarat-syarat berikut : Syarat Pertama : Menghadapi permusuhan / serangan. Seseorang itu boleh mempertahankan diri jika ada serangan dan permusuhan. Sebaliknya jika tidak menerima serangan dan ancaman, tidak harus baginya untuk mempertahankan diri atau menolak serangan tersebut. Seperti seorang bapa yang memukul anak untuk memberi pengajaran ataupun suami memukul isterinya yang tidak taat supaya isteri itu insaf, maka tidak diharuskan bagi anak atau isteri melawan balik atau mempertahankan dirinya dengan memukul bapanya atau suaminya. Apatah lagi si bapa dan suami memukul anak dan isteri bukan kerana berlaku permusuhan, tetapi semata-mata untuk menggunakan haknya atau menunaikan kewajipannya. Begitu juga tiap-tiap tindakan atau perbuatan yang diwajibkan atau yang dibenarkan oleh syarak tidak dianggap sebagai pencerobohan dan permusuhan, jika orang yang mempunyai hak atau yang diwajibkan itu menjalankan tugasnya seperti menangkap, memeriksa, memukul dan sebagainya. Syarat Kedua : Serangan itu benar-benar berlaku (bukan secara sangkaan atau anggapan). Kalau serangan itu tidak berlaku, tiba-tiba orang yang menyangka kena serang itu pula menyerang balik, maka dia bukanlah mempertahankan diri tetapi sebaliknya dialah penyerang. Kerana seseorang itu boleh mempertahankan diri hanya jika berlaku serangan dan pencerobohan ke atasnya. Jika baru kena ugut terus menyerang orang yang mengugut belum masanya untuk menolak serangan kerana bahaya dari ugutan belum dirasai sepenuhnya. Oleh itu tidak boleh menyerang sebelum ianya kena diserang. Syarat Ketiga : Tidak ada cara lain untuk melawan pencerobohan. Orang yang mempertahankan diri itu dibenarkan untuk menyerang musuhnya jika tidak ada jalan lain untuk melepaskan diri. Jadi kalau dia ada jalan lain untuk mengelakkan dari serangan penjenayah, wajiblah menggunakan cara itu. Kalau seseorang itu mampu melawan penjenayah itu dengan menjerit meminta tolong kepada jiran-jirannya, maka tidak perlu dia memukul atau mencederakan penjenayah itu. Begitu juga kalau dia boleh melawan penjenayah tanpa menggunakan senjata dan kekerasan, maka tidak perlulah menggunakan kekerasan. Kalau dia melakukannya juga maka perbuatannya itu dianggap sebagai melakukan jenayah. Malahan jika orang yang diserang itu boleh lari sebagai satu cara untuk mengelakkan dari serangan, perlulah dia lari dan tidak perlu melawan dengan kekerasan. Syarat Keempat : Boleh menggunakan kekuatan sekadar yang perlu sahaja. Jika melebihi dari yang diperlukan bukan lagi dikira sebagai mempertahankan diri, tetapi sebagai pencerobohan ke atas orang lain. Orang yang kena serang sentiasa mengimbangi antara pertahanan yang hendak dilakukan dengan serangan yang diterima. Oleh itu dia hendaklah sentiasa memikirkan untuk mempertahankan dirinya dengan cara yang lebih ringan dari serangan yang diterimanya. Sebagai

contohnya; pencuri itu tidak boleh terus dibunuhnya kalau dia ingin memulangkan barang curinya tanpa menggunakan kekuatan dan kekerasan. Begitu juga jika ada orang mengingati dari celah lubang sebuah rumah ; pertama kalinya hendaklah dilarang. Kalau tidak mahu pergi maka halaulah dia dengan cara yang paling ringan. Tetapi kalau dia tidak pergi juga kecuali jika dibaling matanya dengan batu, maka orang yang membaling batu itu tidak boleh dipersalahkan mengikut pendapat kebanyakan ulama. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w. : Andainya ada seorang mengintai kamu tanpa izin kamu lalu dia baling dengan batu dan mengenai matanya sampai buta, maka orang yang membaling itu tidak ada apa-apa dosa ke atasmu. b. Mempertahankan diri secara umum Semua ulamak sepakat bahawa mempertahankan diri secara umum atau menyeru kepada amr maruf dan nahi munkar bukan hanya sebagai hak setiap orang yang boleh dilakukan atau boleh ditinggalkan mengikut sesuka hati mereka, dan bukan juga sebagai suatu yang digalakkan. Tetapi ianya suatu kewajipan yang tidak boleh tidak mesti dilakukan sama ada oleh kerajaan, masyarakat dan individu-individu Muslim. Cuma mereka berselisih pendapat dari segi sama ada kewajipan itu sebagai fardhu ain yang mesti dilakukan oleh setiap orang yang Islam atau hanya fardhu Kifayah. Iaitu apabila ada satu golongan atau seseorang menjalankan tugas itu maka terlepaslah tanggungjawab orang lain. Kebanyakkan ulamak berpendapat bahawa amr maruf dan nahi mungkar adalah fardhu kifayah seperti jihad berdasarkan kepada firman Allah : Maksudnya : Dan hendaklah sebahagian dari kamu satu golongan yang mengajak kepada kebajikan, menyuruh maruf dan menengah kemungkaran Mereka beralasan bahawa perkataan bererti sebahagian. Oleh itu kewajipan hanya kepada setengah orang dan tidak diwajibkan kepada semua. Manakala setengah ulama pula mengatakan bahawa wajib ke atas tiap-tiap orang Islam untuk menunaikan amr maruf dan nahi mungkar mengikut kemampuan masing-masing, walaupun ada orang yang lebih layak daripadanya. Sambil menyifatkan tugas tersebut seperti kewajipan haji ke atas orang yang mampu; malahan ianya lebih daripada kewajipan haji kerana amr maruf dan nahi mungkar tidak disyaratkan adanya kemampuan seperti fardhu haji. Lagipun kemampuan dalam amr maruf dan nahi mungkar boleh di dapati pada semua orang mengikut kepada taraf masing-masing. Orang jahil mampu menunaikan tugas ini seperti menunaikan salat dan puasa dan boleh menegah kemungkaran seperti kecurian, kezaliman dan lain-lain. Manakala orang alim pula mampu amr maruf dan nahi munkar sama ada yang zahir mahupun yang tersembunyi. SYARAT KETIGA

Pertanggungjawaban Penjenayah Bagi membolehkan hukuman qisas dikenakan kepada penjenayah, maka penjenayah itu hendaklah dari orang yang sudah boleh memikul tanggungjawab. Sebaliknya jika jenayah itu dilakukan oleh orang yang belum / tidak boleh memikul tanggungjawab kerana belum cukup umur, gila, kerana paksaan dan sebagainya, maka terlepaslah mereka daripada menerima hukuman qisas. Oleh yang demikian penjenayah bunuh yang boleh dijatuhkan hukuman qisas mesti memenuhi syarat-syarat di bawah ini : 1. Seorang yang sudah baligh. Ini bermakna jika pembunuhan itu masih kanak-kanak, hukum qisas tidak boleh dikenakan ke atasnya walaupun kanak-kanak itu sudah mumayyiz, kerana mereka belum sampai masanya untuk memikul tanggungjawab. Lagipun qisas adalah satu hukuman yang berat

yang tidak boleh dikenakan kecuali ke atas penjenayah yang sudah mempunyai penuh tanggungjawab. Ini berdasarkan kepada hadis Nabi Muhammad s.a.w. : Maksudnya : Diangkat qalam daripada tiga (golongan manusia), dari kanak-kanak sehingga dia baligh, daripada orang tidur sehingga dia bangun dan daripada orang gila sehingga dia sembuh Had baligh boleh diketahui sama ada melalui tanda-tanda atau umur seseorang itu. Antara tanda-tanda baligh bagi kanak-kanak lelaki ialah bermimpi, berkhayal dengan perempuan dan keluar mani. Manakala kanak-kanak perempuan tanda-tanda baligh mereka bermimpi, keluar haid dan mengandung. Jika tidak ada tanda-tanda di atas maka bolehlah dianggap telah baligh apabila telah mencapai umur 15 tahun mengikut setengah pendapat. Walaupun kanak-kanak yang belum baligh itu tidak dikenakan hukuman qisas, bukanlah bererti mereka terus terlepas dari sebarang hukuman. Bahkan mereka boleh dikenakan hukuman takzir, jika mereka sudah mumayyiz, dan yang sudah hampir kepada had umur baligh kerana jenayah yang dilakukannya itu tetap dilarang Islam. Tetapi mereka tidak dihukum dengan hukuman qisas sebagai satu keringan syarak kerana tidak cukup tanggungjawab dan niat mereka. 2. Seorang yang waras akal fikirannya, tidak gila, mabuk, pitam dan sedang tidur kerana keadaan di atas menunjukkan mereka tidak sedar dan hilang fikirannya. Oleh kerana semua perintahperintah syarak dan larangannya ditujukan hanya kepada orang yang waras akal fikirannya, maka pembunuh yang gila tidakj boleh dihukum qisas sama ada gila yang berterusan atau yang datang sekali sekala. Bagi orang yang gila sekali-sekala jika membunuh orang ketika dia sedang gila, terlepaslah dia dari hukuman qisas. Tetapi jika dia membunuh itu ketika dia waras, tidak gila; maka penjenayah itu boleh dikenakan hukuman qisas. Jika pembunuhan itu menjadi gila setelah melakukan jenayah tersebut maka menurun mazhab Shafie dan Hanbali, penjenayah tersebut boleh dikenakan hukuman qisas. Imam Malik pula berpendapat penjenayah itu boleh dihukum qisas tetapi hendaklah ditunggu sehingga dia sembuh. Kalau tidak sembuh juga hendaklah membayar diyat dari harta penjenayah tersebut. Manakala menurut mazhab Hanafi, jika setelah dihukum qisas diapun menjadi gila sebelum diserahkan kepada wali maka hukuman qisas ditukarkan kepada diyat. Tetapi kalau selepas diserahkan kepaa wali, penjenayah itu gila maka wajiblah dikenakan hukuman qisas. Mengenai mabuk disebabkan minum arak dan sebagainya; jika orang yang minum itu tidak tahu benda itu adalah arak ataupun dia tidak tahu yang arak itu adalah haram, ataupun dia minum arak kerana dipaksa, selepas itu dia mabuk lalu membunuh orang, dalam keadaan seperti ini tidak wajib qisas ke atasnya. Akan tetapi jika mabuk dari hasil minum arak dengan sengaja dan dengan kehendaknya sendiri, maka ulamak mempunyai pandangan yang berbeza, sama ada pembunuh yang mabuk hasil dari minum arak secara sengaja itu wajib dihukum qisas atau tidak. Menurut Imam al-Shafie dan Hanbali pembunuh yang sedang mabuk kerana minum arak itu wajib dihukum bunuh (qisas) berdasarkan satu riwayat yang menyatakan bahawa Abu Wabarah alKalbi diutus oleh Khalid bin al-Walid kepada Sayyidina Umar al-Khattab yang berada di masjid bersamasama Sayyidina Uthman, Ali, Abdul Rahman, Talhah dan Al-Zubair (r.a.); Khalid berkata : Ramai orang yang minum arak, tetapi mereka meringan-ringankan hukumannya. Kemudian Umar (r.a.) bertanya sahabat-sahabat yang berada di sisinya, maka Imam Ali pun menjawab : Sya berpendapat apabila seseorang itu mabuk dia akan bercakap keji dan jika dia bercakap keji dan kotor dia akan berbohong dan bagi pendusta hukumanya ialah lapan puluh kali sebat. Begitulah sahabat-sahabat menjatuhkan hukuman kepada orang yang mabuk sama seperti kepada orang yang sedar.

Menurut satu lagi riwayat daripada Imam Ahmad dan sebahagian ulama Syafiyyah bahawa pembunuh yang mabuk tidak diwajibkan qisas tetapi diwajibkan membayar diyat, kerana mabuk itu seperti orang gila juga. Manakala Imam Ibn Hazm pula berpendapat pembunuh yang dalam keadaan mabuk itu tidak wajib dihukum qisas atau diyat berdasarkan kepada hadis: yang tersebut di atas. Lagipun orang yang sedang mabuk minum arak itu tidak sedar seperti orang gila juga. Begitu juga orang yang sedang mabuk itu jika murtad tidak dikira riddahnya; maka apatah lagi dalam masalah pembunuhan kerana masalah riddah adalah lebih besar daripada pembunuhan. Kita berpendapat bahawa pembunuh yang sedang mabuk itu wajib dijatuhkan hukuman qisas jika telah sabit kesalahannya. Ianya tidak boleh disamakan dengan pembunuhan yang gila kerana orang gila memang tidak sedar apa yang telah dilakukan. Sedangkan orang yang mabuk telah melakukan maksiat dengan melanggar larangan syarak. Oleh yang demikian adalah tidak rasional jika orang yang melakukan maksiat terhadap Allah dapat dilepaskan dari hukuman qisas kerana kesalahan membunuh. Adalah dikhuatiri sekiranya pembunuh yang sedang mabuk dari minum arak itu dilepaskan dari hukuman qisas, nescaya akan menggalakkan orang yang hendak membunuh itu supaya minum minuman yang memabukkan untuk dijadikan alas an bagi melepaskan diri dari tanggungjawab jenayah yang dilakukan. 3. Pembunuh itu melakukan jenayah dengan kehendaknya sendiri, bukan dengan paksaan, sepertimana menurut pendapat Imam Abu Hanifah dan satu pendapat Imam Syafie. Oleh itu diwajibkan qisas ke atas orang yang memaksa dan bukan kepada yang dipaksa. Ada dua tahap paksaan; satu paksaan yang keras dan yang satu lagi ialah paksaan yang lembut. Paksaan yang boleh melepaskan hukuman qisas mengikut ulamak yang berpendapat begitu ialah paksaan yang benar-benar menakutkan hingga hilang pilihan dan yang memenuhi syarat-syarat berikut : (a) Paksaan yang boleh mendatangkan kerosakan pada nyawa dan tubuh badan. Adapun paksaan yang kurang dari itu, tidak dikecualikan dari tanggungjawab. (b) Yang melakukan jenayah itu tidak mahu mengikut paksaannya. (c) Orang yang memaksa mampu melaksanakana paksaannya. Paksaan yang seperti ini hanya datang dari pihak pemerintah, menurut Imam Abu Hanifah. (d) Pada anggapan orang yang dipaksa itu, bahawa jika tidak dilakukan paksaannya nescaya dilakukan ugutannya. Paksaan yang tidak ada syarat-syarat di atas tidak dapat melepaskan dari hukuman qisas. Ulama tidak sependapat mengenai kedudukan pembunuh yang dipaksa. Imam Abu Hanafi dan salah satu pendapat Imam Shafie menyatakan bahawa hukuman qisas tidak boleh dikenakan kepada orang yang dipaksa membunuh, sebaliknya diwajibkan kepada orang yang memaksa, berdasarkan kepada hadis Nabi. Maksudnya : Diangkat qalam (untuk mencatit) dari umatku kerana tersilap, terlupa dan keras paksaan ke atasnya Imam Malik, Ahmad, Ahl al-Zahr dan sebahagian ulamak Shafie berpendapat bahawa qisas boleh dikeluarkan kepada kedua-duanya; sama ada yang memaksa atau yang dipaksa membunuh. Ulamak sependapat mengenai masalah di mana seorang yang hampir hendak mati disebabkan kebuluran, tidak dibenarkan membunuh orang lain untuk dimakan dagingnya dan juga untuk mengekalkan hidupnya, maka orang dipaksa terpaksa membunuh orang lain. Manakala orang yang memaksa pula menyebabkan pada kebiasaannya kepada pembunuhan.

Pendapat yang pertama lebih kuat kerana orang yang dipaksa hilang ikhtiarnya dan diumpamakan seperti alat untuk membunuh, sedangkan qisas tidak diwajibkan ke atas alat pembunuh tetapi diwajibkan qisas ke atas orang yang menggunakan alat untuk membunuh. Lagipun yang dipaksa itu terpaksa membunuh mangsanya untuk mempertahankan dirinya kerana kalau dia tidak membunuh dia akan dibunuh orang yang memaksanya. Oleh itu pembunuh yang dipaksa itu tidak wajib dikenakan hukuman qisas 4. Pembunuh itu mestilah mengetahui hukum haramnya membunuh orang. Oleh itu jika dia jahil tentang larangannya membunuh itu maka dia tidak boleh dihukum qisas. Lagi pula tujuan qisas disyariatkan adalah untuk mencegah dan menghalang penjenayah daripada mengulangi jenayahnya. Sedangkan orang yang jahil mengenai larangan tersebut tidak perlu dikenakan siksaan. Selain dari itu apabila seseorang itu tidak tahu mengenai pengharaman membunuh, bermakna dia menganggap bahawa membunuh itu dihalalkan. Jika demikian akan menimbulkan kesamaran yang boleh melepaskan dari hukuman qisas . 5. Hendaklah pembunuh itu seorang yang dipelihar darahnya sama ada disebabkan oleh keimanannya atau perjanjian damai. Ertinya pembunuh yang wajib dihukum qisas itu mestilah seorang Muslim atau kafir zimmi. Oleh sebab itu jika seorang kafir harbi yang telah membunuh orang pada masa dia kafir, selepas itu dia memeluk agama Islam, dia tidak wajib dihukum qisas kerana pada masa kafir dia tidak dipertanggungjawabkan ke atas jenayah yang dilakukannya. Ini berdasarkan kepada firman Allah Taala. Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka yang kafir, sekiranya mereka berhenti nescaya diampunkan kepada mereka dosa-dosa yang lalu Dan juga sabda Nabi Muhammad s.a.w. : Maksudnya : Iman itu menutupi (dosa) yang sebelumnya Selain dari itu Nabi Muhammad s.a.w. tidak menghukum bunuh kepada Washi iaitu orang yang membunuh bapa saudaranya yang bernama Hamzah dan tidak menuntut bayaran diyat daripadanya pembunuhnya. Andainya kafir harbi juga diwajibkan hukuman qisas kerana membunuh seorang Muslim sudah tentu Nabi menghukum qisas kepada penjenayahnya. Tidak wajib hukuman qisas ke atas kafir harbi kerana kesalahan membunuh adalah selaras dengan dasar Islam yang memperjuangkan keadilan kepada orang Islam dan bukan Islam. Oleh yang demikian syariat Islam menghalalkan darah dan harta benda orang kafir dalam masa peperangan, maka begitulah sebaliknya darah dan harta benda orang Islampun dihalalkan kepada orang bukan Islam. Samalah kedudukan kafir harbi yang membunuh itu tidak diwajibkan hukuman qisas ke atasnya. 6. Penjenayah itu melakukan pembunuhan secara langsung. Ini bermakna jika penjenayah itu tidak melakukannya secara langsung seperti saksi yang dusta sehingga menyebabkan orang yang dituduh membunuh itu dijatuhkan hukuman bunuh qisas, maka saksi-saksi tersebut tidak boleh dihukum qisas. Begitu juga orang yang menggali lubang, tiba-tiba ada seorang yang terjatuh ke dalam lubang itu mati, maka pengali lubang yang menyebabkan orang terjatuh itu mati, tidak boleh dikenakan hukuman bunuh qisas. Ini adalah pendapat ulamak mazhab Hanafi yang menyatakan bahawa pembunuhan yang berlaku dengan adanya sebab-musabab itu tidak sama dengan pembunuhan secara langsung; kerana membunuh secara tidak langsung hanya merupakan pembunuhan dari segi maknawi dan bukan haqiqi. Manakala pembunuhan secara langsung pula adalah pembunuhan dari segi maknawi dan haqiqi. Sedangkan qisas diwajibkan kepada penjenayah kerana kesalahan membunuh secara langsung.

Kebanyakkan ulamak tidak meletakkan membunuh secara langsung sebagai syarat yang membolehkan pembunuh itu dihukum qisas. Menurut riwayat daripada Al-Qassim bin Abdul Rahman bahawa ada dua orang lelaki menjadi saksi ke atas seorang pencuri sehingga menyebabkan pencuri itu dikenakan hukuman potong tangan. Selepas itu kedua saksi berkenaan membawa seorang lain dengan menyatakan inilah dia pencurinya dan kami telah tersalah anggap pada orang yang mula -mula dituduh tadi. Oleh kerana persaksian mereka tidak diterima untuk orang yang kedua, maka kedua-dua saksi itu dikenakan membayar diyat kerana menyebabkan orang yang dituduh pertama itu dipotong tangannya. Lalu Imam Ali bin Abi Talib berkata: Andainya aku tahu kamu telah sengaja berbohong nescaya aku potong kedua tangan kamu. Kata-kata Imam Ali menunjukkan dengan jelas bahawa orang yang menyebabkan seorang itu dihukum bunuh boleh dihukum qisas kerana saksi-saksi di atas tidak memotong secara langsung tangan orang yang disaksikan. Bahkan mereka hanya menyebabkan orang yang dituduh mencuri itu dipotong tangannya . Oleh yang demikian jika perkara yang menyebabkan itu boleh mewajibkan hukuman qisas dalam kes-kes anggota tubuh badan, maka begitulah juga hukuman qisas boleh dikenakan ke atas orang yang menyebabkan kematian seseorang atau orang yang membunuh secara tidak langsung itu boleh dikenakan hukuman qisas. SYARAT KEEMPAT Persamaan Antara Penjenayah Dengan Mangsanya Bagi membolehkan penjenayah bunuh itu dihukum qisas, hendaklah mangsanya itu menyamai kedudukan pembunuhannya. Ini bermakna jika mangsa bunuh tidak menyamai (sekufu) dengan pembunuhannya, maka hukuman qisas tidak wajib dikenakan ke atas penjenayah. Perkara-perkara yang menidakkan persamaan (kufu) antara mangsa jenayah bunuh dan pembunuhnya ialah disebabkan berlainan jantina agama, bilangan, perhambaan dan kemerdekaan. Walau bagaimanapun tidak semua ulamak sependapat dalam soal ini, bahkan ada yang berpendapat bahawa berlainan dalam perkara-perkara di atas tidak menghalang hukuman qisas dikenakan kepada penjenayah bunuh. Untuk lebih terperinci lagi, di bawah ini dibincangkan satu persatu mengenai perbezaan-perbezaan di atasm: 1. Berlainan Jantina Lelaki dan Perempuan Tidak ada perbezaan pendapat dalam masalah jika seorang lelaki membunuh seorang lelaki atau seorang perempuan membunuh seorang perempuan. Semua ulamak sependapat mengatakan bahawa pembunuh berkenaan wajib dikenakan hukuman bunuh (qisas). Yang menjadi perselisihan pendapat ulamak ialah jika seorang itu membunuh orang yang bukan sejenisnya, umpamanya seorang lelaki membunuh seorang perempuan ataupun seorang perempuan membunuh seorang lelaki. Perbezaan pendapat itu berpunca dari pemahaman ayat al-Quran dalam Surah Al-Baqarah ayat 178 yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu qisas berkenaan dengan orang-orang yang kena bunuh, orang yang merdeka dengan orang merdeka, hamba dengan hamba dan wanita dengan wanita Dalam ayat di atas Allah menjelaskan hukuman qisas ke atas orang yang membunuh sesama jenisnya iaitu orang merdeka dengan orang merdeka, hamba dengan hamba dan wanita dan wanita dengan wanita. Sebaliknya Allah tidak menjelaskan hukuman ke atas pembunuh yang membunuh orang yang berlainan jenisnya. Lagipun nilai diyat wanita tidak sama dengan diyat untuk orang lelaki. Ada tiga pendapat dalam masalah ini :

Pertama : jumhur ulamak berpendapat bahawa jika seorang lelaki membunuh seorang wanita atau seorang wanita membunuh seorang lelaki, maka wajib dihukum bunuh qisas berdasarkan kepada dalil-dalil berikut : 1. Firman Allah Taala : Maksudnya : Dan telah Kami wajibkan ke atas mereka (Bani Israel) di dalam (Taurat) bahaw a jiwa dibalas dengan jiwa Dalam ayat ini Allaah menjelaskan secara umum bahawa satu jiwa dibalas dengan satu jiwa, tanpa membezakan antara seorang lelaki dengan seorang perempuan. Oleh itu hukuman kerana membunuh seorang lelaki dan perempuan sama sahaja iaitu dibunuh balas bunuh qisas. 2. Diriwayatkan oleh Anas bin Malik bahawa seorang hamba perempuan dijumpai kepalanya terhimpit di celah-celah batu. Apabila ditanya, siapa yang melakukannya? dijawabnya, si pulan bin si pulan, sehingga mereka menyebut nama seorang lelaki Yahudi, perempuan itupun menganggurkan kepalanya. Apabila dibawa ke hadapan Rasulullah s.a.w. Yahudi itu mengakui Rasulullah pun memerintahkan supaya kepada Yahudi itu dihempapkan di celah-celah batu tersebut. Perintah Nabi s.a.w. supaya kepala lelaki Yahudi itu dihempap adalah bukti jelas bahawa seorang lelaki boleh dihukum bunuh balas qisas kerana membunuh seorang perempuan. 3. Menurut satu riwayat bahawa Rasulullah s.a.w. ada mengirimkan kepada penduduk Yaman sebuah kitab yang mengandungi perkara-perkara yang fardu dan sunat. Antaranya menyebutkan, bahawa seorang lelaki dihukum bunuh balas kerana membunuh seorang perempuan 4. Menurut satu riwayat daripada Imam Ali dan Abdullah berkata : Jika seorang lelaki membunuh seorang perempuan dengan sengaja maka baginya hukuman qisas. Selain dari telah diijmakan bahawa jika salah seorang daripada lelaki atau perempuan melakukan kesalahan qazaf kepada pihak yang lain, dikenakan hukuman had, kerana kesalahan qazaf. Oleh sebab itu adalah munasabah jika lelaki membunuh perempuan atau sebaliknya dikenakan hukuman qisas kerana tidak ada sebab untuk membezakan hukumhad, qazaf, qisas antara penjenayah lelaki dengan perempuan. Kedua Al-Hasan Al-Basri,Akramah, Ata dan salah satu pendapat Imam Shafie menyatakan bahawa seorang lelaki yang membunuh seorang perempuan tidak diwajibkan hukuman qisas berdasarkan kepada firman Allah: Maksudnya : Diwajibkan ke atas kamu qisas dalam kes orang yang kena bunuh, seorang merdeka dengan seorang merdeka, seorang hamba dengan seorang hamba, seorang perempuan dengan seorang perempuan Dan ayat di atas dengan jelas menyebutkan setiap jenis iaitu merdeka, hamba dan wanita serta disebutkan bersetentangan dengan jenisnya: adalah satu bukti bahawa setiap jenis itu tidak wajib dihukum bunuh qisas, kecuali jika pembunuhnya sama tarafnya. Lagipun kerana perempuan tidak menyamai lelaki dari segi mejadi saksi, bahagian pusaka dan bayaran diyat. Ketiga : Satu pendapat daripada Imam Malik bahawa seorang lelaki yang membunuh seorang wanita boleh dikenakan hukuman bunuh qisas, tetapi wali kepada perempuan mangsa bunuh itu kena membayar setengah diyat kepada wali pembunuh. Ini berdasarkan kepada satu riwayat daripada Imam Ali bin Abi Talib yang berkata: Jika seorang lelaki membunuh perempuan, maka wali perempuan itu diberi pilihan; jika mereka mahu mereka boleh membunuh lelaki yang menjadi penjenayah itu dan membayar setengah diyat

kepada wali lelaki pembunuh. Juga jika mereka (wali-wali perempuan) mahu, mereka boleh meminta supaya lelaki tidak dihukum qisas, tetapi meminta bayaran diyat untuk wanita yang dibunuh itu. Sebaliknya jika perempuan itu membunuh seorang lelaki, maka wali kepada lelaki mangsa bunuh itu diberi pilian sama ada untuk meminta supaya pembunuh itu dihukum qisas dan mengambil setengah diyat, atau tidak meminta hukuman qisas dan mengambil sepenuh diyat dari perempuan yang membunuh itu Selain dari itu kerana perempuan pada umumnya tidak menyamai kaum lelaki. Bahkan dalam banyak hal wanita hanya dianggap separuh dari kaum lelaki dalam pembahagian pusaka, pembayaran diyat dan persaksian. Pendapat jumhur ulamak selain dari mempunyai dalil yang kukuh ia adalah lebih menepati tujuan disyariatkan qisas dan roh Islam itu sendiri, yang memperjuangkan persamaan antara lelaki dan wanita. Selain dari itu Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya :Darah (nyawa) orang-orang Islam adalah setaraf. Hadis ini menjelaskan secara umum bahawa setiap orang Islam adalah sama tarafnya, sama ada lelaki atau wanita. Jika kita telitikan dari segi hikmah disyariatkan qisas adalah untuk memelihara supaya nyawa atau darah tidak tumpah secara sia-sia seperti firman Allah yang bermaksud : Dan bagi kamu dalam perlaksanaan qisas itu (memberi) satu penghidupan wahai orang-orang yang mempunyai akal Jadi kalaulah orang lelaki yang membunuh perempuan itu tidak dihukum bunuh, maka ini boleh diertikan sebagai mensia-siakan nyawa perempuan, tanpa pembelaan dan akan mendorong orang lelaki membunuh wanita dengan sewenang-wenangnya kerana mereka mengetahui pembunuhnya tidak akan dihukum bunuh. Tidak ada bezanya antara nyawa lelaki dengan nyawa wanita. Ianya tidak boleh diukur atau ditimbang, walaupun saksi wanita dianggap separuh dari saksi orang lelaki, tetapi ini tidak bermakna bahawa nyawa wanita hanya setengah dari nyawa orang lelaki. Mengenai Al-Quran yang menyebutkan perkataan ( wanita dengan wanita) bukannya bermakna hanya wanita yang membunuh itu akan dibunuh kerana membunuh wanita, tetapi tujuannya disebutkan di atas itu ialah untuk membatalkan amalan-amalan yang berlaku pada zaman Jahiliah di mana waris mangsa jenayah bunuh akan membunuh sesiapa sahaja; bukan sahaja kepada pembunuh, malahan kepada orang lain yang tidak ada kena mengena dengan kes bunuh berkenaan . Seterusnya ulamak telah sepakat menyatakan bahawa hukuman qisas tidak boleh dicampurkan dengan diyat. Oleh yang demikian kita tidak dapat menerima hukuman qisas dicampurkan dengan hukuman membayar diyat. Mengenai perbezaan diyat antara lelaki dan wanita itu tidak boleh dijadikan alasan ketidaksamaan antara nyawa lelaki dan wanita. Justeru andainya berlainan diyat untuk lelaki dan wanita diterima, nescaya tidak wajib qisas kepada hamba-hamba kerana hamba-hamba mempunyai harga dan nilai yang berbeza antara satu dengan yang lainnya. Juga nescaya pembunuh secara beramai-ramai itu tidak akan dihukum qisas kerana perbezaan bilangan dengan mangsa yang dibunuh. Sedangkan semua ulamak bersetuju bahawa seorang hamba dihukum bunuh kerana membunuh hamba dan orang ramai yang membunuh seseorang akan dikenakan bunuh sebagai qisas. b. Perbezaan Agama dan Kepercayaan Soal yang juga menarik untuk dibincangkan di sini ialah adakan dengan sebab agama yang dianuti oleh pembunuh itu berbeza dengan agama yang dianuti oleh mangsa bunuh ; boleh mempengaruhi atau memberi kesan kepada hukuman qisas atau tidak ? Oleh kerana semua umat Islam mempercayai bahawa Islam adalah satu agama yang paling tinggi dan mulia, maka sebab itu setengah ulamak berpendapat bahawa perbezaan agama antara mangsa

bunuh dan pembunuh boleh mempengaruhi terhadap hukumanqisas. Oleh sebab itu ada setengah ulamak berpendapat bahawa seorang Islam yang membunuh seorang kafir tidak diwajibkan hukum bunuh qisas, kerana ketiadaan persaman di antara kedua-duanya. Atau dengan lain-lain perkataan kerana agama yang dianuti oleh pembunuh iaitu agama Islam adalah lebih tinggi dari agama kafir yang dianuti oleh mangsa jenayah tersebut. Sebaliknya jika agama yang dianuti oleh kedua-dua penjenayah dan mangsanya itu sama, maka pembunuh itu wajib dikenakan hukuman bunuh qisas, seperti jika seorang Muslim membunuh seorang Muslim atau seorang zimmi membunuh seorangzimmi, maka wajiblah dikenakan hukuman qisas. Imam-imam Mazhab Shafie Hanbali, Maliki dan Zahiri dan Syiah Imamiyyah berpendapat bahawa orang Islam yang membunuh orang kafir zimmi tidak diwajibkan hukuman qisas kerana orang kafir zimmi tidak menyamai orang Islam dari segi agamanya, kerana agama yang dianuti oleh kafir zimmi itu lebih rendah dari agama yang dianuti orang Islam. Sedangkan syarat diwajibkan qisas ialah adanya persamaan antara mangsa bunuh dengan pembunuhnya. Mereka juga berhujah dengan ayat-ayat AlQuran, antaranya seperti berikut : Firman Allah : Maksudnya : Apakah patut Kami jadikan orang-orang Islam itu sama dengan orang-orang yang berdosa (orangorang kafir). Mengapa kamu (berbuat demikian) bagaimanakah kamu mengambil keputusan Firman Allah : Maksudnya : Maka apakah orang yang beriman seperti orang yang fasiq (kafir) tidak sama Dan firman Allah lagi: Maksudnya : Dan Allah sekali-sekali tidak akan memberi jalan kepada orang-orang kafir (untuk memusnahkah) orang yang beriman. Ayat-ayat di atas menjelaskan bahawa kafir zimmi tidak menyamai orang Islam. Apabila tidak sama maka tidak wajib menjatuhkan hukuman qisas ke atas seorang Muslim yang membunuh seorang kafir zimmi kerana persamaan adalah menjadi syarat wajib qisas. Sabda Rasulullah s.a.w. : Maksudnya : Orang-orang Islam darah (nyawa) mereka serupa. Dia berusaha dengan perjanjian damai dengan mereka yang lebih rendah. Mereka berkuasa ke atas orang yang selain daripada mereka. Orang Islam tidak (dihukum) bunuh kerana membunuh seorang kafir dan orang yang mempunyai perjanjian dengan zimmi

Difahamkan daripada hadis di atas bahawa darah orang bukan Islam tidak menyamai darah orang Islam. Apabila tidak ada persamaan maka tidak wajib dihukum qisas. Ditambah lagi dengan sabda Nabi s.a.w. : Maksudnya : Orang yang beriman tidak dihukum bunuh kerana kesalahan membunuh orang kafir Perkataan kafir yang disebut dalam hadis di atas adalah umum, termasuk kafir zimmidan kafir harbi.

Manakala Abu Hanifah, NakhaI, Sufian al-Thawri dan lain-lain berpendapat bahawa orang Islam yang membunuh seseorang kafir zimmi wajib dihukum qisas berdasarkan kepada dalil-dalil berikut : 1. Firman Allah : Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu qisas dalam kes orang yang kena bunuh, mereka dengan merdeka, hamba dengan hamba dan wanita dengan wanita Ayat ini menjelaskan kewajipan qisas kepada pembunuh dengan tidak membezakan antara seorang Muslim dan bukan Muslim, dan termasuk di dalam zimmi dan lainnya. 2. Firman Allah : Maksudnya : Dan telah Kami wajibkan ke atas mereka (Bani Israel) bahawa jiwa dibalas dengan jiwa Ayat ini juga tidak membezakan antara seorang dengan seorang yang lain. Bahkan siapa juga yang bersalah membunuh boleh dihukum qisas. 3. Firman Allah : Maksudnya : Dan jika kamu memberi balasan, maka balaslah dengan balasan yang sama dengan siksaan yang ditimpakan kepadamu 4. Firman Allah : Maksudnya : Barangsiapa yang menyerang kamu, maka seranglah ia seimbang dengan serangannya terhadapmu Ayat-ayat Al-Quran di atas membuktikan wajibkan hukuman qisas ke atas pembunuhan dengan tidak membezakan antara orang Islam dengan bukan Islam. Selain daripada itu menurut satu riwayat menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah menghukum qisas ke atas seorang Muslim yang bersalah membunuh seorang zimmi lalu bersabda : Maksudnya : Aku lebih berhak ke atas orang yang menyempurnakan tanggungjawabnya (zimmi) Rasulullah s.a.w. menyuruh berlaku adil kepada penduduk bukan Islam dengan sabdanya : Maksudnya : Barangsiapa yang menyakiti kafir zimmi maka akulah pembelanya di hari kiamat Hadis di atas menjelaskan bahawa orang yang menyakiti seorang zimmi yang dianiayai akan mendapat pembelaan Rasulullah s.a.w. di hari akhirat. Maka apatah lagi jika seorang zimmi itu dibunuh, sudah tentulah dibalas dengan menghukum bunuh qisas ke atas pembunuhnya. Pandangan kebanyakan ulamak yang menyatakan bahawa seorang Islam yang membunuh seorang kafir zimmi tidak diwajibkan hukuman qisas adalah pendapat yang kuat berdasarkan kepada dalil-dalil yang kuat. Bagaimanapun setelah meneliti kedua-dua pandangan di atas, maka pendapat yang menyatakan bahawa orang Islam yang membunuh seorang kafir zimmi tetap dikenakan hukuman bunuh balas (qisas) adalah lebih menepati dengan dasar keadilan yang diperjuangkan Islam yang tidak membezakan warna kulit, keturunan, agama dan bangsa. Malahan bersesuaian dengan konsep persamaan bahawa manusia itu semuanya sama, dan dasar qisas dalam kes nyawapun adalah persamaan. Selain dari itu Islam memberi perlindungan (protection ismah) kepada seseorang itu berdasarkan kepada keimanan atau keamanan. Oleh sebab itu orang-orang zimmi wajib dilindungi

nyawa, tubuh badan, harta benda dan keluarga mereka kerana mereka memberikan janji taat setia kepada negara Islam. Jadi kalaulah orang Islam yang membunuh orang kafir zimmi itu telah dihukum bunuh, seolah-olah Islam tidak memberi perlindungan kepada rakannya yang bukan Islam. Dan ini bertentangan dengan jaminan ismah (protection) yang sepatutnya diberi kepada orang-orang zimmi. Lagi pula dalam kes di mana jika orang Islam mencuri harta orang kafir, semua ulamak sependapat bahawa orang Islam itu wajib dihukum had potong tangan kerana mencuri harta orang zimmi. Dalam kes ini menunjukkan harta orang-orang zimmidilindungi oleh Islam. Oleh itu sepatutnya nyawa mereka lebih utama dilindungi dengan menghukum bunuh balas (qisas) kepada orang Islam yang membunuh orang kafir zimmi Maksudnya : Tidak dihukum bunuh orang Mukmin kerana membunuh orang kafir Maksud perkataan kafir dalam hadis ini ialah kafir harbi (yang memerangi Islam) yang bukan kafir zimmi. Ianya bermaksud jika orang Islam membunuh kafir harbi tidak dikenakan hukuman bunuh balas qisas. Tetapi jika orang Islam itu membunuh orang kafir zimmi wajib dikenakan hukuman qisas kerana biasanya kalau maksud kafir iatu ialah orangzimmi. Nabi Muhammad s.a.w. menyebutkan dengan perkataan zimmi dan jika Baginda menyebut perkataan kafir sahaja maksudnya kafir harbi. Mengenai alasan yang mengatakan bahawa nyawa orang kafir tidak dilindungi secara mutlak, tetapi tertakluk kepada komitmen mereka terhadap perjanjian taat setia. Maka begitu juga orang orang Islam diberi protection (ismah) pun tidak mutlak. Bahkan perlindungan (ismah) itu diberikan selama mereka berada dalam agama Islam dan tidak melanggar larangan-larangan syarak. Sebaliknya jika mereka keluar Islam atau membunuh atau berzina mereka tidak diberi perlindungan lagi; bahkan wajib dikenakan hukuman bunuh kerana melakukan kesalahan-kesalahan yang tersebut. c. Perbezaan Bilangan Jika seseorang membunuh seorang ataupun seseorang membunuh dua orang atau lebih, maka semua ulamak bersetuju bahawa pembunuh itu wajib dihukum qisas. Tetapi jika sekumpulan orang ramai bersama-sama membunuh seseorang maka ulamak mempunyai pendapat yang berbeza-beza. Kebanyakkan ulamak termasuk Iman Abu Hanifah, Malik dan Al-Shafie berpendapat orang ramai yang berpakat membunuh seseorang, semuanya diwajibkan hukuman qisas dengan syarat tiap-tiap seorang dari mereka itu melakukan perbuatan yang menyebabkan kematiannya. Di antara alasan-alasan mereka berpendapat demikian ialah firman Allah Taala dalam Surah AlBaqarah ayat 178 yang bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu qisas dalam kes orang yang kena bunuh. Orang merdeka dengan orang mereka, hamba dengan hamba yang mana ayat di atas ini menunjukkan wajib menghukum bunuh ke atas pembunuhnya secara umum; sama ada pembunuhnya itu seorang atau terdiri dari beberapa orang. Begitu juga menurut satu riwayat daripada Ibn Umar bahawa Sayyidina Umar dalam kes seorang kanak-kanak yang dibunuh secara kejam berkata, Andainya semua penduduk Sana berpakat membunuh seseorang nescaya aku bunuh mereka. Dan menurut riwayat Imam Malik menyebutkan bahawa Sayyidina Umar ibn al-Khattab telah menghukum bunuh seramai lima dan enam orang yang membunuh orang secara tipu daya, sambil berkata,Andainya semua penduduk sana bersama-sama membunuh seseorang nescaya aku bunuh mereka semua. Selain dari itu dari riwayat menyatakan bahawa Sayyidina Ali menghukum bunuh ke atas orang-orang Khawarij kerana mereka membunuh Abdullah bin Khubub. Pada mulanya Sayyidna Ali tidak mahu menghukum mereka, akan tetapi apabila Sayyidina Ali memanggil mereka yang membunuhnya dan mereka mengaku sebanyak tiga kali , lalu Sayyidina Ali dan sahabatnya menghukum bunuh mereka yang membunuh Abdullah bin Khubab.

Manakala satu pendapat daripada Imam Ahmad berpendapat bahawa orang ramai yang berpakat membunuh seseorang tidak diwajibkan hukuman qisas, bahkan diwajibkan membayar diyat berdasarkan kepada firman Allah Taala dalam Surah Al-Baqarah, ayat 178 bermaksud:Diwajibkan ke atas kamu qisas dalam kes orang yang kena bunuh, seorang merdeka dengan seorang merdeka, hamba dengan hamba. Ayat ini menetapkan persamaan antara pembunuh dari mangsanya sebagai syarat kewajipan hukuman qisas. Sedangkan tidak ada persamaan di antara seorang mangsa yang kena bunuh dengan pembunuh yang ramai itu. Oleh itu tidak wajib qisas apabila tidak ada syaratnya. Begitu juga ayat 45 Surah Al-Majidah bermaksud: Dan Kami telah wajibkan ke atas mereka di dalam (Taurat) bahawasanya jiwa (dibalas) dengan jiwa, mata dengan mata. Ayat ini menunjukkan bahawa satu itu menyamai satu dan juga kerana qisas hanya diwajibkan di antara satu nyawa dengan satu nyawa. Sedangkan menghukum qisas kepada orang ramai yang membunuh seseorang itu bertentangan dengan maksud ayat di atas tadi. Selain dari itu disebabkan berlawanan sifatpun boleh menghalang hukuman qisas seperti seorang hamba yang membunuh seorang yang merdeka, atau seorang Muslim yang membunuh seorang kafir. Semuanya tidak diwajibkan hukuman qisas, maka apatah lagi jika berlainan bilangan seperti orang ramai membunuh seseorang, tentunya tidak dikenakan hukuman qisas. Pendapat majority ulamak adalah lebih menepati dengan kehendak dan matlamat undangundang qisas yang menekankan persamaan antara jenayah dan hukumannya. Begitu juga kerana Ijma para sahabat Nabi s.a.w. seperti yang diriwayatkan oleh Said bin al-Musayyib bahawa Umar bin al-Khattab telah menghukum bunuh ke atas tujuh orang penduduk Sana yang membunuh seorang lelaki dan menurut satu riwayat menyatakan bahawa Sayyidina Ali telah menghukum bunuh ke atas tiga orang yang didapati membunuh seseorang. Satu lagi riwayat menyatakan bahawa Ali bin Abi Talib telah menghukum bunuh ke atas sekumpulan orang ramai kerana kesalahan membunuh seseorang sahaja. Oleh kerana tidak ada yang menentang pendapat sahabat di atas, maka ianya dianggap sebagai pendapat yang disetujui. Selain dari itu jika hukuman qisas tidak diwajibkan ke atas orang ramai yang berpakat membunuh seseorang itu; nescaya akan menggalakkan penjenayah-penjenayah itu untuk tolong-menolong dalam perkara kejahatan dan permusuhan. Mungkin juga mereka akan membunuh siapa yang mereka kehendaki atas alasan kononnya mereka akan terlepas dari hukuman qisas. Sebaliknya jika mereka mengetahui bahawa mereka akan dihukum qisasandainya melakukan perbuatan membunuh secara beramai-ramai, nescaya mereka akan berfikir dua tiga kali dan akhirnya mereka tidak meneruskan niat buruknya itu.