Anda di halaman 1dari 27

APA ITU KRITIKAN SASTERA?

Catatan awal perkembangan Sejarah kritikan sastera telah bermula sekitar tahun 300 sebelum Masehi sejajar dengan perkembangan tradisi penciptaan karya seni sastera dalam zaman Yunani. Kritikan menjadi asas yang mengkonsepikan tindak balas khalayak secara kritis terhadap fenomena-fenomena dan gejala-gejala sastera yang terdapat dalam karya atau kesannya ke atas pihak yang lain. Jelasnya, kritikan sastera tidak muncul dengan seadanya, tetapi sangat bertalian dengan sikap kritis dan analitis manusia itu sendiri yang cenderung untuk melakukan pertimbangan dan penilaian terhadap sesuatu. Tradisi kritikan yang bermula sejak era Yunani itu kemudiannya menjadi tradisi dalam sastera Eropah, apabila teori-teori era klasik dihidupkan dan digunakan semula dalam nafas baharu. Teori-teori ini kemudiannya menjadi tiruan dan model pembinaan teori dan tradisi kritikan sastera di seluruh dunia hingga ke hari ini. Sepanjang perkembangannya yang bermula sejak zaman Yunani hingga ke hari ini, teori dan kritikan sastera telah menempuh pelbagai perubahan, penyimpangan dan pembaharuan. Prinsip dan dasar yang membina teori terdedah kepada kritikan dan pandangan-pandangan baharu yang menampilkan sifat teori dan kritikan yang dinamik dan fleksibal dengan pandangan-pandangan baharu. Definisi kritikan Kritikan berasal daripada kata dasar kritik, dan kata kritik berasal dari kata krinein dalam bahasa Yunani yang membawa maksud menghakimi, membanding dan menimbang. Kata krinein menjadi pangkal atau asal kata kreterion yang bererti dasar, pertimbangan, penghakiman. Oleh yang demikian, orang yang melakukan pertimbangan dan penghakiman terhadap sesuatu perkara di zaman Yunani disebut sebagai krites. Istilah krites ini kemudiannya menjadi asas bagi menerangkan kegiatan atau sifat orang yang memberi penghakiman terhadap karya seni sastera. Dalam sastera Inggeris, perkataan `critic` digunakan bagi menerangkan sifat orang yang melakukan kritikan atau pun kegiatan kritik itu sendiri. Pada tahun 1677, John Dryden mempopularkan istilah criticism. Istilah ini menjadi lebih mantap dan dilazimi

dalam perbincangan-perbincangan terhadap karya sastera, terutama setelah John Dennis menulis buku berjudul The Grounds of Criticism in Poetry (Atas Semi,1989:8). Daripada perkataan criticism inilah pelbagai tafsiran tentang kritikan sastera diberikan oleh para sarjana dan pemikir. Terdapat banyak definisi yang diberikan oleh para pemikir dan sarjana sastera. Matthew Arnold memberi definisi kritikan sebagai satu usaha yang bukan hendak mencari untung tetapi mempelajari dan menyebarkan sesuatu fikiran dan sesuatu yang telah diketahui sebagai yang terbaik dalam dunia (Hashim Awang,1997:6). Mana Sikana,(1983:3) pula menyebutkan, kritikan adalah satu disiplin ilmu yang sistematik, yang membicarakan soal penghayatan, penganalisisan dan penilaian sesebuah karya kreatif. Pengertian kritikan boleh juga dirujuk kepada Encyclopaedia Britannica (1966:780). Dalam ensiklopedia ini, kritikan diberi makna perbincangan kesenian-kesenian yang beralasan dan bersistem untuk menghurai atau menilai teknik dan hasilnya. Hashim Awang, seorang pemikir dan sarjana sastera Melayu pula memberi makna kritikan sebagai suatu usaha untuk menilai hasil-hasil ciptaan seseorang sasterawan dengan cara yang beralasan serta bersistem dan bertujuan untuk mengembangkan sesuatu yang difikirkan baik lagi indah (Hashim Awang,1988:5). Dalam Ensiklopedia Indonesia, kritik bermaksud penilaian (penghargaan) terutama mengenai hasil-hasil seni dan ciptaan seni(dlm. Henry Guntur Tarigan,1984:187). Daripada pengetian-pengertian yang diberikan oleh para sarjana di atas, dapat disimpulkan bahawa, kritikan bermaksud memberi penilaian terhadap sesuatu hasil seni menerusi proses pengamatan dan perbandingan, menganalisis dan menghayati dengan kaedah-kaedah yang sistematik dan beralasan dengan maksud mengembangkan tanggapan-tanggapan yang terbit darinya. Proses menghayati teks adalah langkah pertama dan penting untuk mendekati sesuatu karya yang akan dikritik. Penghayatan bermakna pengkritik mendalami isi cerita dengan cara membaca dan memahami segala ungkapan, istilah dan frasa ayat yang mengangkat persoalan penting cerita. Dengan perkakas teoretikal yang dimiliki oleh pengkiritk, maka, teks berkenaan boleh saja dibedah (operate) dan dianalisis mengikut sudut mana dan tujuan kritikan itu dibuat. Perkakas teoretikal itu tentulah terdiri sebuah teori atau pendekatan yang sesuai dengan tujuan kritikan itu tadi.

Pemilihan teori dan pendekatan yang sesuai itu tadi sangat penting, agar penilaian dan hasil yang ingin diketengahkan menepati kriteria-krietria yang menjadi dasar teori berkenaan. Proses menganalisis ini seharusnya bersifat sistematik, yakni, tindakan penerimaan, penolakan, penghakiman yang dibuat terhadap sesuatu karya itu adalah berdasarkan kaedah yang khusus dengan penyertaan data-data, bukti, sandaran ilmu, kajian literasi, risensi kepustakaan dan sebagainya. Oleh itu, hasil kritikan mempunyai daya legitimasi yang tinggi dan sangat dapat dipertahankan. Seperti yang disebutkan tadi bahawa, kritikan juga bermakna krtikiawan melaksanakan proses mengembangkan sesuatu tanggapan yang terbit daripada kritikan itu. Sesuatu teks tidak terhad kritikannya dengan hanya satu teori atau satu pendekatan. Teks biasa terdedah kepada kritikan pelbagai dimensi, mengikut selera dan minat dari dimensi mana teks itu mahu didekati atau dikritik. Kegiatan kritikan yang sihat akan merancakan lagi proses perkembangan sastera. Ambil saja novel Salina karya A.Samad Said. Meskipun karya itu sudah hampir tiga puluh tahun usianya, namun ia terus hidup dan berwacana dalam kesusasteraan Melayu hari ini. Malah secara interteksnya, karya itu telah memunculkan beberapa karya lain seperti, drama Lantai T.Pinkie dan Mencari Salina.

Catatan awal perkembangan Sejarah kritikan sastera telah bermula sekitar tahun 300 sebelum Masehi sejajar dengan perkembangan tradisi penciptaan karya seni sastera dalam zaman Yunani. Kritikan menjadi asas yang mengkonsepikan tindak balas khalayak secara kritis terhadap fenomena-fenomena dan gejala-gejala sastera yang terdapat dalam karya atau kesannya ke atas pihak yang lain. Jelasnya, kritikan sastera tidak muncul dengan seadanya, tetapi sangat bertalian dengan sikap kritis dan analitis manusia itu sendiri yang cenderung untuk melakukan pertimbangan dan penilaian terhadap sesuatu. Tradisi kritikan yang bermula sejak era Yunani itu kemudiannya menjadi tradisi dalam sastera Eropah, apabila teori-teori era klasik dihidupkan dan digunakan semula dalam nafas baharu. Teori-teori ini kemudiannya menjadi tiruan dan model pembinaan teori dan tradisi kritikan sastera di seluruh dunia hingga ke hari ini. Sepanjang perkembangannya yang bermula sejak zaman Yunani hingga ke hari ini, teori dan kritikan sastera telah menempuh pelbagai perubahan, penyimpangan dan pembaharuan. Prinsip dan dasar yang membina teori terdedah kepada kritikan dan pandangan-pandangan baharu yang menampilkan sifat teori dan kritikan yang dinamik dan fleksibal dengan pandangan-pandangan baharu.

TEORI KESUSASTERAAN MARXISME Marxisme adalah fahaman atau ideologi tentang kehidupan dengan kepercayaan bahawa sosio ekonomi adalah penentunya. Teori ini memberi penekanan kepada kehidupan manusia yang sangat bergantung dan ditentukan oleh sistem sosio ekonomi yang ada di dalamnya. Oleh itu, Marxis melihat sejarah dan budaya serta kegiatan ekonomi masyarakat adalah sangat relevan untuk memahami sesuatu masyarakat. Marxisme lebih cenderung memahami perilaku masyarakat khususnya yang berkait dengan politik, ekonomi, budaya dan sejarah. Marxisme tumbuh sebagai kumpulan pemikiran yang hidup dalam realiti politik sebenar. Tokoh penting yang mempelopori teori Marxisme ialah Karl Marx dan Federick Engles. Oleh kerana teori Marxisme banyak membincangkan persoalan sosial dan masyarakat, ideologi dan struktur sosial, teori ini dilihat sangat relevan bagi menjelaskan kemunculan fenomena sastera. Sebagai satu produk sosial, karya kesusasteraan terikat secara langsung dengan sistem sosial, persekitaran masyarakat dan pemikiran pengarang yang menghasilkan karya tersebut. Di sinilah letaknya kesignifikanan teori Marxisme yang pada asalnya sebuah teori ekonomi bagi menjelaskan hubungan kesusasteraan dengan elemen sosial. Teori sastera Marxisme yang dikenali pada hari ini banyaknya berbuah dari hasil usaha ahli falsafah Perancis, Louis Althusser dan ahli kritik Pierre Macherey. Pengaruh penting dalam teori kesusasteraan Marxisme tertumpu kepada konsep ideologi sebagaimana yang ditanggapi oleh Louis Althusser menerusi ideanya tentang `ideological state apparatus`. Dasar pemikirannya bersifat umum. Kesusasteraan akan dapat difahami dengan betul dan tepat hanya dalam ruang lingkup pemahaman terhadap realiti sosial. Realiti adalah satu konsep yang luas. Marx menganggapkan, mengkaji untuk memahami kesusasteraan, tidak akan sempurna jika ianya dipisahkan dari realiti masyarakat. Realiti mempunyai latar yang jelas dan berstruktur.Struktur ini pula mempunyai bentuk yang khusus. Bentuk ini wujud dalam sejarah yang disifatkan oleh Marx dan Engels sebagai kesan daripada perjuangan kelas sosial dengan jenis pengeluasan ekonominya. Realiti di dalam teks adalah cerminan realiti dalam masyarakat. Struktur masyarakat bersifat dialektikal. Masyarakat yang dinamik dan salin bertentangan. Perjuangan kelas sosial yang bersifat antagonis.Untuk

memahami maka, teks kesusasteraan harus dikaji dengan memberi pemerhatian yang tinggi terhadap aspek dialektikal itu. Sosio ekonomi sebagai penentu mutlak. Sesebuah masyarakat ditentukan secara mutlak oleh unsur sosio ekonomi. Sosio ekonomi dapat dirujuk kepada perhubungan dan perkaitan pelebagai jenis pengeluaran ekonomi. Asas sosio ekonomi yang menentukan karya. Karya kesusasteraan pula adalah gambaran (cerminan) tentang apa yang ada dalam sosio ekonomi. Masyarakat dilihat sebagai berstruktur. Asas sosio ekonomi yang membentuk struktur. Struktur yang paling tinggi ialah struktur agung. Struktur agung yang mempengaruhi perubahan sejarah dan masyarakat. Kesusasteraan diletakkan dalam struktur agung. Struktur agung inilah yang mencerminkan asas kaitan dengan kesusasteraan.

Konsep ideologi

Marx dan Engels telah menggunakan istilah ideology dalam tahun 1840 menerusi karyanya yang berjudul `The German Ideology.Istilah ini pada asalnya dicetuskan oleh seorang ahli falsafah Rasionalis Perancis Destutt de Tracy (1790-an) yang merujuk kepada `Science of Ideas` sebagai menentang pemikiran metafizik. Kritikan ideologi ini memainkan peranan yang sangat penting dalam kajian kesusasteraan sejak pengaruh Kritikan Baharu menjadi lemah. Marx memahami idelogi sebagai sesuatu yang berlawanan dengan jenis pengetahuan yang bersifat objektif. Marx menempatkan kesusasteraan dalam struktur agung idelogi yang setaraf dengan agama, falsafah, politik dan sistem perundangan. Kritikan berasaskan idelogi telah dimajukan oleh Louis Althussers tetapi tidak sependapat dengan Marx.

Memahami kesusasteraan dari pandangan Marxis

Untuk memudahkan kefahaman terhadap kesusasteraan maka dibina lima model pendekatannya iaitu Model pencerminan, Model Penerbitan, Model Genetik, Model Pengetahuan Negatif dan model Berpusatkan Bahasa.

Model Pencerminan

Juga dikenali sebagai Model peniruan. Marx menganggap kesusasteraan/karya sastera sebagai cerminan realiti dalam masyarakat (demikian sebaliknya).Pemikiran ini berakar umbi dari idea Plato dan Aristotle tentang `peniruan`. George Lukacs memantapkan model ini dengan beberapa perbezaanya dengan idea Marx. Cerminan tidak bermakna kesusasteraan sebagai mencerminkan realiti. Tetapi realiti yang dimaksudkannya ialah realiti yang mempunyai bentuk. Realiti ini tergambar daripada keseluruhan dialetik.Untuk menjadikan realiti ini tercermin dalam kesusasteraan, maka ianya harus melalui proses kreatif dan pengarang memainkan peranannya untuk menghasilkan bentuk karya yang mencerminkan bentuk dunia sebenar. Bentuk inilah yang membezakan karya yang realis dan karya yang kreatif.

Model Penerbitan

Model produksi sastera. Ia dikemukakan oleh Piere Macherey (ahli Marxis Perancis). Menghubungkan karya dengan realiti, tetapi tidak sama dengan konsep pencerminan Lukacs. Menekankan kepada perhubungan di antara pengarang dengan karya dan ideologi dengan realisme.Karya beliau yang penting dalam menjelaskan model ini ialah A Theory of Literary Production. Kesusasteraan sebagai tenaga pengeluar yang produktif.Apa-apa yang dimasukkan ke dalam teks biasanya akan ditukar menjadi sesuatu yang lain Ideologi sebagai pementasan tentang dunia nyata.Teks dilihat sebagai tidak pernah sempurna. Oleh itu, ada kekosongan dan ketakseimbangan dalam teks. Pembacalah yang bertanggungjawab melengkapkannya.

Model Genetik

Model ini dikemukakan oleh Lucien Goldmann. Goldman menganggapkan kesusasteraan terhasil kerana ada sebab akibat, asal usulnya dan penentupenentuan tertentu. Karya beliau yang berjudul The Hidden God (1955) yang melihat salin kaitan yang wujud dalam kelompok sosial. Dan dalam kelompok itu terdapat manusia istimewa yang mempunyai hak-hak tertentu. Karya kesusasteraan adalah merupakan satu pandangan dunia kelompok tertentu. Pengarang sebenarnya merupakan wakil kelompok kelas sosial tertentu yang menulis karya bagi pihak kelas sosialnya itu. Oleh itu, teks kesusasteraan yang dihasilkan menjadi bersama sosialnya, bukan milik pengarang secara peribadi.

Model Pengetahuan Negatif

Model ini dikemukakan oleh Theodor W.Adorno. Kritikan terhadap model Pencerminan Lukacs. Seni dan realiti berada pada satu jarak yang tertentu yang membolehkan karya sastera pada satu sudut yang baik untuk mengkritik kebenaran.Realiti adalah keseluruhan dialektikal.Seni adalah pengetahuan negatif tentang dunia sebenar. Seni boleh mempengaruhi dan menidakkan kepalsuan.

Model Berpusatkan bahasa

Model ini dimajukan oleh kumpulan Bakhtin. Masyarakat dan bahasa tiada garis sempadan. Ideologi adalah bahasa dalam bentuk lambang-lambang bahasa. Bahasa sebagai kegiatan sosial. Menolak model pencerminan yang menyatakan karya kesusasteraan sebagai cerminan sosial. Karya sastera adalah cerminan ideologi.

NOVEL PILIHAN TAJUK : Kasut Kelopak Jantung WATAK : Cikgu Harun, Ahmad, Sinopsis : Cikgu Harun menerima sebuah bungkusan lagi ketika balik dari surau pada malam itu. Hadiah seperti itu sering diterimanya setiap kali menjelang 16 Mei. Hadiah itu telah membuatkan Cikgu Harun mengimbas kembali kenangan silamnya sebagai pendidik di kawasan pedalaman tiga dekad yang lalu. Ketika Cikgu Harun di dalam kelas darjah tiga, beliau pernah menanyakan Ahmad, mantan muridnya sama ada beliau sudah membeli kasut atau belum. Pertanyaan yang sama juga diulangi saban minggu kerana Ahmad tidak mampu untuk membeli sepasang kasut. Cikgu Harun terus mendesak Ahmad sehingga menimbulkan kemarahan kepada Cikgu Harun. Pada suatu hari, ketika aktiviti senaman dijalankan Ahmad didenda memakai kasut yang diperbuat daripada kelopak jantung pisang kerana Ahmad tidak berpakaian lengkap seperti murid-murid lain. Peristiwa itu telah menyebabkan Ahmad berasa malu dan terus ponteng sekolah hampir seminggu lamanya. Cikgu Harun terpaksa ke rumah Ahmad untuk mengetahui sebab Ahmad tidak datang ke sekolah. Setelah menunggu beberapa ketika Ahmad pulang dari kebun dan masih memakai kasut kelopak jantung yang diberikan oleh Cikgu Harun. Kepatuhan muridnya ini dan ketidakmampuannya untuk membeli sepasang kasut menyebabkan Cikgu Harun tidak dapat menahan kesedihannya. Lantas, beliau terus ke pekan untuk membelikan pakaian sekolah dan kasut untuk Ahmad. Sebenarnya, segala memori indah yang dipaparkan antara Cikgu Harun dan Ahmad sudah pun berlalu tiga dekad lamanya. Kini, Cikgu Harun sudah pun bersara dan setiap tahun sempena Hari Guru, beliau akan dihadiahi Ahmad dengan sepasang kasut baharu dan berjenama. Hal ini demikian sebagai mengenang jasa Cikgu Harun kerana Ahmad kini sudah berjawatan pengurus besar di sebuah syarikat pengeluar kasut terkemuka di bandar. Peristiwa memakai kasut kelopak jantung telah menyedarkan Ahmad betapa pentingnya kasut kepada manusia.

Olahan aplikasi teori terhadap kritikan teks Berdasarkan teori kritikan markxisme, cerpen ini memang ditulis mengikut teori tersebut. Berdasarkan cerita ini, kewujudan sosio budaya yang berbeza mencerminkan kehidupan seseorang individu seperti Ahmad yang miskin dan tinggal di kampung. Penggunaan perkataan seperti baju sekolah yang lusuh, tidak berkasut dan tidak mempunyai baju sukan menunjukkan bahawa sosio ekonomi Ahmad dan keluarganya sangat miskin. Cerpen ini juga menunjukkan bahawa perbezaan sosiobudaya antara Cikgu Harun dan anak muridnya kerana Cikgu harun berasal dari bandar dan beliau tidak boleh melihat pelajarnya tidak mempunyai kelengkapan yang cukup untuk ke sekolah. Ini secara tidak langsung menyokong teori marxisme yang mementingkan sosioekonomi dalam menentukan kehidupan seharian. Cerita ini juga menceritakan kehidupan yang realiti dan tidak ditambah dengan fiksyen atau rekaan semata mata. Ini menguatkan lagi penekanan teori ke dalam cerpen ini yang hanya menyokong kepada kenyataan hidup semata mata. Penulis juga secara terangnya menyatakan sosial ekonomi Ahmad yang agak menyedihkan dengan tidak berkasut dan hanya memakai kelopak jantung yang telah diubah suai menjadi kasut. Ini selaras dengan kenyataan teori ini yang mementingkan sosioekonomi dalam menentukan ideologi dan struktur kehidupan masyarakat sekitarnya. Selain daripada itu, cerpen ini juga menceritakan cabaran yang dihadapi oleh cikgu harun dalam mengajar anak muridnya yang duduk di kampung. Latar belakang yang berbeza menyebabkan Cikgu Harun sukar menerima kenyataan yang anak muridnya serba kekurangan yang menyebabkan beliau cepat marah ketika mengajar. Kenyataan yang saya baca dan tulis ini memang berkaitan dengan teori markxisme yang kebendaan dan pandangan fizikal adalah sangat penting dalam menilai kehidupan seseorang atau masyarakat sekitarnya. Kesimpulannya , jika teori ini diterapkan dalam cerpen ini, maka boleh saya katakan bahawa cerita yang dibawa adalah berdasarkan keadaan sebenar kehidupan manusia tanpa ada tokok tambah yang boleh merosakkan jalan cerita dan menyebabkannya menjadi fantasi dan realiti. Teori ini juga mengajar penulis cerpen supaya sentiasa menceritakan aspek fizikal dalam kehidupan supaya pembaca boleh menilai sendiri sosioekonomi, ideologi dan struktur sosial masyarakat sekitarnya.

REFLEKSI
Melalui kerja kursus ini saya dapat memahami tentang kritikan sastera. Secara tidak langsung ianya dapat mengajar saya dengan lebih mendalam serta terperinci mengenai bagaimana kritikan sastera ini mempengaruhi cara tulisan dan penyampaian seseorang penulis dalam menghasilkan sesuatu karya. Saya juga dapat berfikir dengan lebih kreatif dan kritis selepas menyiapkan kerja kursus ini. Berlatar belakangkan aliran sains tulen ketika sekolah dan maktab, adalah satu cabaran bagi saya untuk memahami kepentingan kritikan sastera ini dalam sesuatu penulisan. Saya juga baru tahu bnyak teori yang dihasilkan dan diperjuangkan dalam kritikan sastera yang bertujuan unutk mengangkat karya penulisan tersebut. Secara tidak langsung perjuangan dan keinginan untuk memperoleh sesuatu dapat diterjemahkan ke dalam penulisan yang berpandukan teori yang ada dalam kritikan satera. Saya juga baru dapat mengenali pelgai novel sastera yang menarik dan cerpen yang boleh membantu meningkatkan motivasi diri dan menambahkan semangat saya sebagai seorang pendidik. Saya juga tidak segan bertanya dengan pensyarah pembimbing saya iaitu PN Che Zainon Omar untuk mendapatkan maklumat dengan lebih lanjut dan berbincang mengenai tugasan ini agar apa yang saya hasilkan nanti bertepatan dengan kehendak soalan. Setelah semua maklumat dipecahkan kepada bahagian-bahagian tertentu, saya membuat kerja dengan begitu tekun dan sabar. Saya saling merujuk antara satu sama lain untuk memantapkan lagi kerja kursus saya ini. Dengan kerjasama pelbagai pihak, akhirnya siaplah kerja kursus ini dengan jayanya.

Akhir sekali, proses terakhir ialah menyemak semua hasil yang disiapkan dengan teliti sebelum membukukan kerja kursus saya ini. Saya begitu berpuas hati dengan hasil ini kerana berjaya menyiapkannya dengan lengkap walaupun menghadapi berbagai masalah sehingga menyebabkan kelewatan penghantaran kerja kursus ini. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak dalam proses menyiapkan kerja kursus saya ini. Semoga dengan bantuan anda-anda semua diberkati oleh Tuhan yang maha esa. Sekian, terima kasih.

KRITIKAN SASTERA
Oleh Othman Puteh KRITIKAN sastera merangkumi tiga aktiviti yang berikut: Berkaitan dengan tulisan kritikan deskriptif yang menilai multigenre hasil karya sastera yang diterbitkan. Berhubungan dengan tulisan kritikan legislatif yang menekankan pelbagai peraturan, kaedah,dan langgam penulisan yang baik, betul,dan bermutu. Segala bentuk tulisan kritikan teori dalam usaha memperoleh sesuatu teori sastera. Bidang kritikan sastera berkembang cukup jimbam, masih remaja, akar tradisi tidak mantap, dan tidak banyak penulis yang memasukinya secara bertanggungjawab. Pernyataan ini menunjukkan bahawa penulisan kreatif terkedepan berbanding dengan penulisan kritikan sastera. Walaupun begitu kritikan sastera amat diperlukan, demi kesempurnaan hasil karya sastera. Kegiatan kritikan sastera yang jimbam itu bagaimana pun tetap menyumbang ke arah kemantapan dan kematangan walaupun bermusim. Kritikan sastera merupakan cabang dan disiplin sastera yang mewujudkan analisis, pentafsiran dan penilaian terhadap sesuatu wacana sastera. Dengan kata lain, kritikan sastera merupakan usaha murni untuk mempertimbangkan dan menilai karya sastera secara jujur dan ceria. Oleh itu kritikan harus dilaksanakan dengan menerapkan kaedah yang tertentu dan bersistematik. Menyedari hakikat dan fungsi kritikan sastera menganalisis, mentafsir dan menilai sesuatu karya, maka ketiga-tiga fungsi yang disenaraikan di atas wajar mempertimbangkan baik-buruk, kuat-lemah, dan keistimewaan-kekurangan sesuatu karya. Pertimbangan yang saksama harus ditunjangi dengan alasan yang kukuh dan munasabah. Secara dasarnya, kritikan sastera dilaksanakan secara internal dan eksternal. Kajian secara internal bermakna menganalisis teks dengan meneliti hal strukturnya, diksi, makna cerita, dan kemungkinan ketaksaan atau ambiguiti. Sementara itu kritikan secara eksternal menekankan konteks atau dominasi kepada faktor di luar teks. Justeru itu, kritikan dihubungkaitkan dengan pengarangnya (pendidikan, profesion, ideologi, kepercayaan beragama, budaya, dan aliran), era tertentu, dan pengaruh persekitaran. Mengkritik karya sastera tidak mudah. Karya sastera bersifat subjektif, sedang pengkritik bersifat objektif. Untuk menyatakan sesuatu karya sastera itu baik atau buruk, haruslah dimanfaatkan kriteria yang objektif dan memiliki ketrampilan tertentu untuk mengungkap kembali pengalaman estetik karya yang ditelaah. Kritikan sastera adalah disiplin ilmu. Sebagai disiplin ilmu, aktiviti kritikan sastera ada matlamat. Yang ketara, antara pencipta (pengarang) karya sastera dengan pengkritik (dikenali juga sebagai kritikus atau kritikawan) sastera, wujud situasi yang tidak seimbang, malah semacam wujud jurang. Bagaimanapun, kritikan sastera memiliki tujuan yang pelbagai dalam usaha memajukan kesusasteraan. Kritikan sastera membantu khalayak pembaca memahami sesuatu karya sastera, di samping mentafsirkan dan menilai karya. Penilaian tentang berjaya atau tidak karya sastera harus dibuktikan secara objektif -- di mana dan mengapa karya itu kuat atau gagal. Dengan hujah yang tepat dan konkrit, maka pembaca akan maklum kebaikan atau kekurangan karya itu. Sasaran kritikan sastera bukan sahaja pembaca tertentu malah pengarang (lebihlebih lagi pengarang baru) dan masyarakat/peminat sastera. Dengan adanya kritikan

sastera, maka terhindar jurang pemisah antara teks sastera dengan pembaca, atau antara penikmat sastera dengan pengarang. Kesemua ini berfungsi mengelakkan kerancuan dan memungkinkan karya sastera lebih mudah dimasyarakatkan. Jelaslah, betapa kritikan sastera amat diperlukan; mempunyai signifikan bagi menentukan kelangsungan jalur perkembangan sastera. Untuk lebih rinci, Hashim Awang (1984: 80) menyenaraikan sembilan fungsi kritikan sastera seperti yang berikut ini: Menyumbang dan mengembangkan pengetahuan. Memberi bantuan besar kepada pembaca menikmati karya sastera dengan menerangkan tentang teks sastera dan pengarangnya dengan jelas. Membezakan antara teks sastera yang baik dengan teks sastera yang tidak baik. Menolong pengarang mendidik masyarakat setelah pengarang mengetahui kegemaran dan kemahuan pembaca, iaitu jenis atau bentuk karya sastera yang mereka minati dan ingin. Memberi keterangan kepada pengarang cara menyesuaikan karya sasteranya dengan pembaca. Memberi perangsang di samping mendidik orang ramai supaya giat membaca. Menghapuskan prasangka buruk terhadap karya sastera dan juga kesusasteraan. Memperkenalkan karya sastera yang baru kepada mereka yang tidak sempat membaca. Memperbetul salah faham yang timbul antara pengarang dengan pembaca dan menjadi seperti pihak yang menyelesaikan masalah. Untuk lebih memahami fungsi atau matlamat kritikan sastera itu, dapat kita telusuri beberapa buah buku yang berkaitan; Novel-novel Malaysia dalam Kritikan (DBP: 1982) selenggaraan Hamzah Hamdani, termuat 28 tulisan kritikan sastera, menganalisis, mentafsir dan menilai novel Melayu yang terpenting dengan menelitinya daripada multiaspek dan memanfaatkan multipendekatan antara lainnya seperti formalistik, sosiologi, psikologi, tipainduk, dan perlembagaan. Riak dan Gelombang Sastera Melayu: Kumpulan Esei/Kritikan Ramli Isin (DBP: 1987) selenggaraan Othman Puteh yang memuatkan enam kritikan sastera yang dilihat daripada perspektif sosiologi terhadap antologi cerpen Destini, novel Ombak Bukan Biru, Seluang Menodak Baung dan puisi Warna Maya. Penciptaan dan Kemanusiaan dalam Cerpen dan Novel (PFB: 1998) karya Hashim Awang yang membicarakan karya Shaharom Hussain, Abdullah Hussain, A. Samad Ismail, Arena Wati, dan Usman Awang daripada pelbagai aspek dan pendekatan. Pengisian Dunia Sastera (DBP: 1995) oleh Othman Puteh yang menelaah genre cerpen dan novel, antaranya Langit Petang A. Samad Said, Saga dan Warisan karya Abdul Talib Mohd. Hassan, Warna Sebuah Lembah karya Osman Ayub, Empangan karya Zakaria Ali, Tikus Rahmat karya Hassan Ibrahim, dan Perlumbaan Kedua karya Marwilis Haji Yusoff. Secara tidak formal dikatakan kritikan sastera bermula pada tahun 1930-an. Menurut kajian Hashim Awang (1988: 102-103) ini tahap pertama bagi mengisi era dari tahun 1930-an hingga tercetusnya Perang Dunia Kedua pada tahun 1941, dikenal sebagai Era Sebelum Perang Dunia II. Pada era ini, kritikan sastera dikatakan baru membentuk tradisinya sejajar dengan perkembangan cerpen yang pesat dalam media cetak. Sesuai dengan bentuknya yang baru lahir dan terlaksana tidak secara serius, maka kritikan itu dipenuhi penilaian yang dangkal, agak emosional (tanpa pendekatan yang tertentu), dan agak subjektif. Antara tulisan kritikan sastera itu ialah "Tun Seri Lanang dan Munsyi Abdullah" oleh Keris Melayu (Majalah Guru, 1 Julai 1935); "Kita dengan Munsyi Abdullah," oleh Mohd. Yusof Ahmad (Majlis, 22 Ogos 1935) dan "Anak Negeri dengan Musnyi Abdullah" oleh Kabha (Majlis, 2 September 1935). Wong Seng Tong yang mengkaji "Kritikan Sastera dalam Kesusasteraan Melayu Moden 1935-1955" (Universiti Malaya: 1977) menyatakan bahawa tulisan kritikan sastera itu adalah: Segala pandangan, fikiran,

cita-cita dan perasaan yang ada kena-mengena dengan seni sastera Melayu serta reaksi-reaksi terhadapnya yang hampir-hampir keseluruhannya dimanifestasikan melalui berbagai-bagai makalah sastera yang termuat dalam berbagai jenis majalah dan surat khabar Melayu. Pernyataan ini, bagi Rahman Shaari menandakan betapa Wong Seng Tong beranggapan tulisan tersebut bukanlah kritikan sastera yang sebenarnya (1994: 2). Hal ini wajar kerana pengkritik sastera pada era itu terdiri daripada guru dan wartawan yang tidak terdedah kepada pendidikan Barat. Apatah lagi tradisi kritikan sastera itu bukanlah hak milik bangsa kita, sebaliknya merupakan sebahagian daripada tradisi Barat. Kritikan sastera secara formal, lebih moden, dan tepat menyerlah pada era pasca Perang Dunia Kedua iaitu pada tahun 1950-an yang dipelopori oleh Angkatan Sastera 50 (ASAS 50). Hal ini dimulai oleh tulisan Aminuddin Baki yang bertajuk "Pandangan Seorang Penuntut Tinggi Tentang Sebuah Buku Melayu" yang mengkritik novel Keris Mas berjudul Korban Kesucian (1949), yang tersiar dalam Utusan Zaman 12 Jun 1949. Menurut Wong Seng Tong: Makalah Aminuddin Baki adalah satu-satunya tulisan kritikan praktis (practical criticism) yang amat baik - diusahakan untuk memperkatakan satu-satu karya sastera, dengan sengaja, dengan langsung dan sedar, bukan untuk membicarakan sesuatu di luar latar sastera. (Rahman Shaari, 994: 2) Kritikan Aminuddin Baki itu menekankan dua sisi penting yang membangunkan karya sastera novel Korban Kesucian, iaitu isi dan teknik (bentuk). Kritikan yang menerapkan pendekatan formalistik itu menyerlahkan indeks menarik, ilmiah, dan kritis walaupun kurang mendalam. Aminuddin Baki yang memiliki pengetahuan menulis kritikan sastera tidak meneruskannya dan berhenti di situ sahaja. Pengkritik lain pun tidak berusaha melanjutkannya. Bagaimanapun, polemik di kalangan anggota ASAS 50, khususnya antara Asraf dengan Hamzah, serta beberapa penulis lain merancakkan, memperjelas, dan memantapkan lagi dunia kritikan sastera. Tulisan Asraf dan Hamzah agak bersifat teoritis. Asraf, umpamanya, begitu yakin dengan konsep "Seni untuk Masyarakat" yang menjadi slogan/ perjuangan/ ASAS 50 . Dalam tulisannya "Mencari Pembaharuan dalam Kesusasteraan Melayu" (Mastika, Mei 1950), Asraf menyatakan: Hanya falsafah yang berurat tunjang atas dasar rakyat yang dapat diakui sebagai falsafah yang membangun. Falsafah inilah yang harus ada pada sasterawan kita dalam mengadakan pembaharuan dalam seni sastera Melayu. Sementara itu Hamzah, dalam tulisannya melandasi fikirannya dengan konsep "Seni untuk Seni". Hamzah ternyata amat mengutamakan bentuk @ teknik di samping isi. Menurut Hamzah: Sastera mempunyai bentuk, bentuk itu mengambil rupa sajak, cerita pendek, rencana dan lain-lainnya. Apabila mempunyai bentuk, bentuk itu berkehendakkan atau berhajat pada irama. Umpamanya irama sajak karangan yang romantik berlainan pada irama cerita-cerita realisme dan lain-lain lagi. Tokoh-tokoh ASAS 50 menghasilkan 501 buah esei kritikan sastera, dan hampir 75 peratus daripadanya mempersoalkan fungsi seni sastera dan sedikit tentang perubahan, pembaharuan, dan arah perkembangan sastera Melayu masa hadapan. Terbukti bahawa Hamzah tidak mempunyai pengikut yang mantap, oleh sebab itu tulisannya yang membincangkan soal estetika tidak mendapat perhatian yang sewajarnya. Hamzah keluar daripada ASAS 50 tetapi gagal membentuk generasi yang memperjuangkan konsep "Seni untuk Seni". Daripada hakikat yang tersebut, semacam ada peminggiran terhadap Hamzah dan kritikan teori yang mengutamakan

soal keindahan sastera. Ini merupakan tragedi dalam jagat kritikan tanah air. Bagaimanapun, harus disedari, sekadar mencuplik pendapat Rahman Shaari (1994: 4) bahawa "perbincangan dalam tahun 1950-an tentang konsep-konsep ini tidak memuaskan kerana masing-masing tidak bersedia dengan ilmu bantu yang secukupnya." Apatah lagi, kadang-kadang tulisan mereka berbaur emosi, dan peribadi sifatnya. Bagaimanapun, itulah senario kritikan sastera Melayu hingga menjelang kemerdekaan tanah air. Rujukan Hashim Awang. 1984. Kesusasteraan Melayu dalam Kritikan dan Sejarah. Petaling Jaya: Fajar Bakti. Hashim Awang. 1984. Teman Pelajar Kesusasteraan. Petaling Jaya: Fajar Bakti. Hashim Awang. 1988. Kritikan Kesusasteraan: Teori dan Penulisan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hashim Awang. 1998. Penciptaan dan Kemanusiaan dalam Cerpen dan Novel. Shah Alam: Fajar Bakti. Hamzah Hamdani (peny.) 1982. Novel-novel Malaysia dalam Kritikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Mana Sikana (peny.) 1988. Kritikan Sastera: Masalah dan Peningkatan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Othman Puteh. 1995. Pengisian Dunia Sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Othman Puteh (Peny.) 1987. Riak dan Gelombang Sastera Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Rahman Shaari. 1994. Kritikan Sastera Melayu: Pendekatan dan Pemikiran. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 1982. Warisan Asas 50. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

KRITIKAN SASTERA

Fungsi Kritikan Sastera


Oleh OTHMAN PUTEH

DALAM artikel yang berjudul "Menelusuri Jagat Kritikan Sastera Melayu: Bahagian Pertama" (Dewan Sastera, Ogos 1998: 87-89) telah disenaraikan lapan fungsi kritikan sastera. Kesemua fungsi itu, sesungguhnya ada kaitannya dengan proses penciptaan sesebuah karya sastera dan apresiasi atau penghayatan terhadap karya sastera itu sendiri. Apabila menyebut tentang proses berkarya bermakna kita merujuk kepada insan atau individu yang menghasilkan karya sastera dalam apa genre pun, yang dikenali sebagai pengarang atau penyair atau dramatis. Insan pengarang itu menghasilkan karya sastera dengan motif tertentu, umpamanya untuk menghantar mesej atau kritikannya terhadap masyarakat dengan memanipulasikan bahasa secara kreatif, tentunya dengan ketrampilan yang menyerlahkan jatidirinya dan membina komposisi ceritanya, dengan teknik penceritaan yang dikuasainya atau disenanginya. Sementara penghayatan karya pula, cenderung merujuk kepada khalayak pembaca yang membaca dan menikmati sesebuah cipta sastera. Apakala berhadapan dengan karya sastera yang multi-genre, yang ditulis oleh pelbagai pengarang, tentu sahaja pembaca akan berhadapan dengan multi-masalah kerana wujudnya perbezaan atau jurang dalam kehidupan dari berbagai-bagai aspek seperti usia, pengalaman, pendidikan, kecerdasan, latar tempat dan seumpamanya. Perbezaan atau jurang ini menyebabkan wujudnya kesan positif-negatif,

menimbulkan sikap menolak-menerima sesuatu karya dengan amat mudah, tanpa sebarang hujah yang rasional dan jelas dikuasai oleh emosi. Atau, mungkin pembaca itu dapat atau berupaya mengemukakan sikapnya terhadap karya yang dibaca dengan memberikan petikan contoh. Akan tetapi itu bukanlah kaedah yang jitu dan tepat untuk menyatakan mengapa seseorang pembaca itu pro dan kon; menerima atau menolak sesuatu karya. Ia seharusnya lebih daripada itu. Bukan itu cuma, sebenarnya. Pada tahap inilah perlunya kehadiran pengkritik sebagai penghubung antara teks atau karya pada suatu pihak; dan pembaca pada suatu pihak yang lain. Sebagai pengkritik, seseorang itu mempunyai tanggungjawab yang besar, berat dan ditangannya terletak status karya sastera itu, terutama tentang buruk baik atau bermutu tidaknya karya itu. Menurut Andre Hardjana, (1981: 25)

pengkritik harus memiliki sikap terbuka dan tepu kewajaran; harus berupaya secara rasional memberikan akibat-akibat yang dialami sesudah menghayati karya sastera itu. Justeru, dia perlu berfikir secara kritis, merenung dengan tajam, menimbang dengan adil dan bijaksana terhadap karya dan terhadap diri peribadinya juga. Dengan cara itu, barulah dia benar-benar telah menghayati dan memahami karya sastera secara adil, saksama dan matang. Dari huraian ini, dapat ditelusuri tugas setiap individu pengarang, pembaca dan pengkritik. Bagaimanapun, tugas pengkritik yang paling afdal ialah mentafsir, menilai di samping membaca karya secara kritis. Jadi, pengkritik harus mempunyai persiapan diri yang relatif banyak dan besar saiznya berbanding pembaca biasa. Dibandingkan dengan pengarang pula, maka pengkritik sewajarnya mengetahui berbagai-bagai teknik penulisan yang

berhubungan dengan aspek-aspek penciptaan, di samping memahami konsep, definisi, dan aliran dalam jagat kesusasteraan itu sendiri. Lebih daripada itu, pengkritik seharusnya tidak menafikan hubungan pengarang dengan karyanya dan wajar mengetahui proses penciptaan itu terlaksana. Segalanya ini merupakan wahana yang amat berguna bagi pengkritik itu memahami segala sesuatu yang berkaitan dengan karya. Dengan kata-kata lain, pengkritik seharusnya tekun, serius dan komited dengan lapangannya. Jadi, membaca haruslah menjadi kewajipan baginya, terutama yang berkaitan dengan teori sastera, teori praktis dan teori teknikal tentang penulisan. Hal ini ditekankan bagi memungkinkan lahirnya pengkritik yang adil, saksama dan dihormati. Sekaligus cuba menghindarkan dirinya daripada dipengaruhi emosi, tidak subjektif, prejudis, dan berprasangka. Apatah lagi, sekarang ini banyak transformasi yang terlaksana dalam jagat kesusasteraan bangsa kita. Umpamanya, dengan pengarang-pengarangnya yang semakin terdidik, banyak kemajuan yang berlaku dalam bidang politik, ekonomi, multimedia dan teknologi; di samping bentuk dan aliran karya, yang konvensional dan baru -- eksperimental sifatnya. Kesemuanya menuntut ketajaman mata fikir pengkritik, kepekaan dan kesaksamaan juga. Berikut ini dibincangkan tentang fungsi kritikan sastera itu. Pertama dan utama kritikan sastera ialah menentukan teks sastera yang baik bermutu dengan teks sastera yang tidak baik dan tidak bermutu. Untuk berlaku adil, saksama terhadap karya dan pengarangnya, pengkritik harus bersikap kritis bagi membuktikan dia telah membaca teks sastera itu berulang kali, memahami makna tersirat dan tersurat yang terkandung dalam teks dan berupaya menikmatinya. Justeru itu, pengkritik harus berupaya memberikan hujah-hujahnya dengan contoh-

contoh konkrit bagi membuktikan sesebuah teks karya sastera berjaya mencapai mutu tinggi dari multi aspek atau unsur atau aliran. Sekiranya keterbalikan yang berlaku, maka wajar pula ditunjukkan kelemahan, kekurangan, kerendahan pencapaian mutu seninya lalu dikelompokkan sebagai karya sastera yang gagal. Pada tahap inilah pengkritik itu dituntut kepakaran dan ketrampilan serta melaksanakan penghayatan, memahami, menilai dan akhirnya menentukan baik buruk atau bermutu tidaknya sesebuah hasil karya itu. Di sinilah relevannya hujah Andre. Hadrjana (1981: 24) menegaskan betapa kritikan sastera itu berfungsi memelihara dan menyelamatkan pengalaman manusiawi serta menjalinkan menjadi hubungan suatu proses perkembangan susunan atau struktur yang signifikan. Kedua, kritikan sastera sesungguhnya menghulur bantuan besar dan menyediakan prasarana atau jambatan kepada pembaca menikmati karya sastera dengan menerangkan tentang teks sastera dan pengarangnya dengan jelas. Dalam berkarya, lazimnya pengarang mempunyai motif tertentu mengapa sesebuah karya itu diciptanya. Tidak mustahil ada sesuatu yang ingin dihantarnya atau dikritik atau dikongsi bersama. Semasa perlaksanaan menghantar itu, mungkin pengarang memiliki kaedahnya yang tersendiri atau jati dirinya. Di sinilah pengarang akan memilih diksi yang tertentu, simbol tertentu yang harus diasosiasikan atau ditafsirkan sesuai dengan isu yang ditampilkan dalam karya. Terkadang-kadang, atas sebabsebab tertentu, pengarang mengjungkirbalikkan sesuatu isu bagi melontarkan kritikannya. Malah, tidak mustahil pula pengarang menghasilkan karya dalam bentuk satira, dan parodi bagi mencapai sesuatu matlamat. Pengkritik yang sensitif dan tajam mata fikirnya tentu sahaja berupaya menyuluh atau memberi sinar kepada karya-karya yang sedemikian untuk memungkinkan pembacanya masuk menikmati atau melihat sesuatu, yang kelihatan kelam suram. Pengkritik juga sewajarnya membantu pembaca menghuraikan segala makna atau citra yang tersembunyi dalam simbol-simbol dan mengasosiasikan kemungkinan-kemungkinan antara teks dan konteks. Keupayaan dan kekritisan pengkritik dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya ini, bermakna dia telah memberikan sumbangan dan

mengembangkan pengetahuan baru kepada khalayak pembacanya. Maka secara tidak langsung dia telah melakukan fungsi yang ketiga. Keempat, tulisan-tulisan kritikan sastera bukan sahaja berfungsi kepada pengarang dan pembaca seperti yang dibicarakan di atas, malah; ikut berfungsi kepada individu pengkritik. Kritikan sastera sedemikian, titik tolak atau premisnya terlaksana apabila seseorang

pengkritik mengkritik sesebuah karya, kemudiannya; tampil seorang pengkritik lain membalas atau menilai kritikan yang pernah dilaksanakannya. Dari hasil tulisan itu maka wujudlah istilah kritikan atas kritikan. Ini dilakukan bagi mencari dan menemukan sesuatu yang lebih adil dan saksama, diharapkan tidak mencetuskan prasangka, berfungsi memperbaiki salah faham dan menyelesaikan masalah dengan lebih bijaksana serta meyakinkan. Mengapakah isu kritikan atas kritikan ini timbul? Kita seharusnya melihat dari jurus positif demi kebaikan dan kehidupan kesusasteraan itu sendiri. Wujud dua faktor utama maka terjadinya kritikan sedemikian. Pertama, dapat ditelusuri pada diri peribadi pengkritik itu sendiri, dan ini bermakna pengkritik itu melakukan kesilapan, ketidakupayaan memahami atau menguasai teori dan atau gagal mentafsiri karya itu dengan wajar dan saksama. Kedua, pengarang beranggapan pengkritik tidak berlaku adil atau gagal menghayati muatan tersirat dalam karya lalu menghuraikan hujah-hujahnya. Dari aspek ini, pengkritik yang bersikap terbuka, tidak egoistik akan memperoleh sesuatu yang baik dan ini pasti sahaja merupakan aset yang amat berharga dalam kehidupan kritikan praktikal yang membantu pengarang dan pengkritik juga., Kelima, kritikan sastera merupakan suatu aktiviti yang mendorong ke arah terbinanya teori kritikan dan teori sastera baru. Dalam kelangsungan hayat kesusasteraan, teori sastera dan teori kritikan itu amat penting dimiliki atau wujud dalam sesuatu tamaddun bangsa. Apatah lagi mengingatkan bangsa kita mempunyai nilai-nilai yang tersendiri sesuai dengan budaya setempat dan saling bertentangan pula dengan norma-norma atau nilai kehidupan Barat, termasuk kepercayaan beragama. Dari perbincangan tentang pengkritik dan fungsi kritikan ini, dapat dirumuskan dua landasan yang penting yang berhubungan dengan jagat kritikan sastera. Pertama, kritikan sastera yang baik, bertanggungjawab, adil saksama dan dilaksanakan tanpa sebarang prejudis dan rasional, ternyata banyak membantu pengarang dalam proses penciptaan pada masa hadapan. Pengarang bukan sahaja mengetahui kelemahan dan kekuatannya dalam berkarya, malah membantu mengkaji semula kerelevanan karyanya dalam usaha memakmur dan membahagiakan minat atau citarasa pembacanya. Kedua, kritikan sastera yang baik dan bermutu sewajarnya membantu memberikan sinar kefahaman, kenikmatan kepada pembacanya. Pembaca harus memperoleh sesuatu yang bermanfaat hasil daripada pembacaannya. Justeru itu, kritikan sastera wajar dan berupaya mendekatkan pembaca kepada karya, menimbulkan rasa hormat dan sanjungan terhadap teks dan sekaligus idea bernas daripada pengarangnya. Hanya

dengan cara ini, akan mengangkat atau meletakkan insan ke suatu tahap yang dihormati. Rujukan Andre Hardjana. 1981. Kritikan Sastera: Sebuah Pengantar. Jakarta: Gramedia. A. Teeuw. 1984. Sastera dan Ilmu Sastera: Penghantar Teori Sastera. Jakarta: Pustaka Jaya. Hashim Awang. 1988. Kritikan Kesusasteraan: Teori dan Penulisan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hashim Awang. 1998. Penciptaan dan Kemanusiaan dalam Cerpen dan Novel. Shah Alam: Fajar Bakti. Mana Sikana. 1998. Kritikan Sastera Moden: Teori dan Pendekatan. Shah Alam: Fajar Bakti. Rahman Shaari. 1994. Kritikan Sastera Melayu: Pendekatan dan Pemikiran. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Rahman Shaari. 1998. Kesusasteraan dalam Pendidikan Sastera. Shah Alam: Fajar Bakti.

RUJUKAN : DEWAN SASTERA EDISI INTERNET

MENELUSURI CIRI-CIRI KRITIKAN SASTERA


Oleh OTHMAN PUTEH

MEMAHAMI kritikan sastera merupakan hasil pentafsiran pembaca (pengkritik) terhadap karya sastera tertentu yang dihayatinya dengan teliti dan rapi. Pengkritik bertanggungjawab menghuraikan pengalaman pembacanya sesudah menghayati dan memahami sesuatu karya sastera. Tulisan kritikan sastera menampilkan pengalaman dan pengetahuan pengkritik yang berusaha secara objektik menghuraikan, mentafsir dan memperjelaskan nilai teks atau karya sastera. Pengkritik yang baik dan berwibawa, dalam usaha meletakkan nilai sesuatu karya itu, seharusnya mengetahui poetika pengarang. Apatah lagi, sastera dan kritikan sastera itu saling memerlukan dan saling melengkapi dalam upaya meningkatkan dan memartabatkan kesusasteran bangsa. Di Malaysia, terdapat enam ciri kritikan sastera iaitu sanjungan, terguran, saranan, pendekatan, penganalisisan, dan penilaian (STSPPP). Berikut ini, dibincangkan setiap satu ciri kritikan sastera itu. 1.Kritikan Sanjungan ISTILAH sanjungan bermaksud pernyataan rasa kagum atau senang terhadap orang lain. Jadi, kritikan sanjugan bermaksud memuji karya dan pengarangnya yang menyerlahkan pemikiran bernas, di samping menampilkan

elemen dalaman karya yang baik dan menarik. Kritikan sastera berciri sanjungan ini ketara, seawal sebelum tercetusnya Perang Dunia Kedua dan selepas itu, terutamanya pada era pascaperang dan pra-ASAS '50. Pengkritik pada era tersebut terdiri daripada pengarang kreatif seperti Keris Melayu (Muhammad Yassin Maamor) dan Anak Negeri (Mohd. Yusof Ahmad). Kritikan mereka tertumpu pada Sejarah Melayu karya Tun Seri Lanang dan Hikayat Abdullah oleh Abdullah Munsyi. Keduadua buah karya itu merupakan ciptaan sastera yang penting, malah sebagai magnum opus atau karya agung. Kerus Melayu umpamanya, dalam tulisannya. "Tun Seri Lanang dan Abdullah Munsyi" (Majalah Guru, 1 Julai 1935) berusaha mengangkat atau menyanjung Sejarah Melayu kerana memberikan fokus kepada ketokohan, kebijaksanaan dan kepahlawanan watak-watak seperti Tun Perak, Bendahara Seri Maharaja dan Hang Tuan lima bersaudara. Watak-watak itu dikagumi dan disanjungi sebagai kebanggaan bangsa. Dari aspek gaya bahasa, Keris Melayu juga menyatakan bahawa "bahasa Melayu yang digunakan oleh Tun Seri Lanang asli, jelas serta sedap pula didengar kalau dibacakan" (Sejarah Kesusasteraan Melayu Jilid II, 1990: 402). Di samping berusaha mentafsir makna tersirat beberapa pantun dalam Sejarah Melayu, sikap memuji dan mengagumi hasil karya Tun Seri Lanang itu dibauri sentimen. Namun hal itu bukan aneh kerana ia sinambungan ciri tradisional masyarakat Melayu zaman-berzaman. Kritikan sanjungan ditujukan juga kepada pengarang kerana memiliki daya intelektual, ketajaman, dan kebernasan pemikiran. Abdullah Munsyi umpamanya diiktiraf pelopor atau Bapa Kesusasteraan Melayu Moden, terutama dilihat dari perspektif gaya bahasanya, iaitu penulisan berbentuk autobiografi yang bersifat kewartawanan. 2. Kritikan Teguran TEGURAN bermaksud mengkritik dan memberi peringatan secara ikhlas. Oleh itu kritikan teguran praktikal kerana pengkritik melaksanakan tulisannya dengan lebih berimbang -- menyatakan keistimewaan, kekuatan sesebuah teks dan serentak menunjukkan kekurangan. Tokoh terawal dan penting dalam kritikan teguran ialah Aminuddin Baki apabila beliau menulis artikel yang berjudul "Pandangan Seorang Penuntut Tinggi Kita Tentang Sebuah Buku Melayu" (Utusan Zaman, 12 Jun 1949). Aminuddin Baki melaksanakannya sewaktu mengulas novel Korban Kesucian oleh Keris Mas, terbitan Utusan Melayu. Antara lain beliau menegur. plotnya yang dikatakan bergerak seperti aliran sungai yang tidak dapat menentukan letak kedudukan serta pendirian watak-watak gaya bahasa Keris Mas yang terlalu dipengaruhi oleh bahasa Inggeris (Sejaran Kesusasteraan Melayu

Jilid II. 1990: 408) Yang agak ketara dalam kritikan Aminuddin Baki adalah sikap intelektualnya dan jika dibandingkan dengan kritikan Keris Melayu pada 1935 itu, ternyata beliau tidak dipengaruhi emosi dan sentimen serta tidak mengecam pengarang seperti kritikan Anak Negeri terhadap Abdullah Munsyi. Banyak sarjana setempat bersetuju dan mengklafikasikan kritikan Aminuddin Baki itu menepati konsep kritikan kesusasteraan. Malah, Wong Seng Tong menganggapnya Muhammad Yassin Maamor sebagai kritikan praktikal terbaik yang pernah dihasilkan. Daripada tulisan Aminuddin Baki itu, jagat kritikan tanah air memperoleh landasan yang lebih kukuh dan mantap setelah melalui suatu era yang agak sarat dengan tulisan kritikan yang ekstrem menyanjung atau mengecam. 3. Kritikan Saranan ISTILAH saranan bermakna anjuran atau sesuatu yang disarankan. Bagaimanapun, istilah ini membawa konotasi lain iaitu sebagai propaganda. Oleh itu, kritikan saranan merupakan kritikan yang cenderung menganjurkan sesuatu untuk memperbaiki kekurangan atau memantapkan lagi unsur-unsur yang membina sesebuah karya atau memberi alternatif dari sisi teknik umpamanya. Jelas, kritikan saranan mengalirkan nilai positif dan amat signifikan kepada khalayak pembaca, pengarang dan ujana kritikan sastera ;itu sendiri. Kita menyedari betapa teks sastera itu bersifat subjektif sifatnya. Dalam melaksanakan kerja kritikan sastera pula pengkritikan sewajarnya bertindak secara objektif dan prihatin serta profesional. Dalam konteks ini, kritikan Aminuddin Baki terhadap novel Korban Kesucian, karya Keris Mas menepati kehendak atau konsep kritikan saranan. Malah, ketika menegur, Aminuddin Baki memberi saranan positif tentang unsur kreatif seperti gaya bahasa, plot, teknik, dan watak sserta perwatakan dalam karya Keris Mas. Kesemuanya itu dilaksanakan bertujuan untuk pembaikan bagi menghasilkan cereka novel yang berkesan, bermutu dan berjaya. Kritikan saranan ini banyak dihasilkan oleh pengkritik di tanah air sehingga akhir abad ini. Ramli Isin, Abdullah Hussain, Kala Dewata, dan Hashim Awang pernah menghasilkan kritikan saranan ini dalam media cetak sejak tahun 1960-an, di samping memberi kritikan penilaian dan menerapkan pendekatan tertentu pula. Kritikan saranan yang cenderung kepada propaganda agak dominan lantang dan jelas pada era kegemilangan ASAS '50. Ini berlaku kerana tercetusnya polemik dalam memperjuangkan falsafah berkarya antara konsep "Seni untuk Masyarakat" yang dipelopori oleh Asraf dengan konsep "Seni untuk Seni" yang dianuti oleh Hamzah.

Golongan "Seni untuk Masyarakat" mementingkan perutusan, pengajaran, dan berfungsi memberi kesedaran kepada masyarakat. Jelas bahawa fungsi sosial itu menjadi matlamat berkarya. Jika tidak, karya dianggap gagal. Hamzah dan pengikutnya tidak menyetujui konsep itu. Karya sastera seharusnya memiliki dwifungsi - menghibur dan mendidik. Faktor keindahan seharusnya tidak terabai untuk mengelakkan karya daripada terjerumus ke kekancah propaganda. Polemik yang berkisar pada tahun 1950 - 1951 itu mencetuskan pergeseran yang seru dan hebat. Asraf dan pengikutnya dalam kelompok "Seni untuk Masyarakat" amat cenderung kepada sastera komited atau literature engage yang ada ketika itu popular di Perancis. Sementara di Indonesia pula, Lembaga Kebudayaan Rakyat (LEKRA) ditubuhkan dengan konsep seiras dengan "Seni untuk Masyarakat". malah, LEKRA lebih berani, lantang, dan agresif mengangkat karya sastera sebagai medium propaganda membentuk kehidupan rakyat yang menjurus kepada ideologi politik. Pada ghalibnya, kritikan saranan itu memperlihatkan nilai positif bagi memperbaiki dan memenatapkan karya pengarang selagi ia tidak mendorong atau memaksa sesuatu anutan kepada pengarang dan selagi ia bersikap terbuka tanpa sebarang kekangan yang membelenggu.

PENGHAYATAN SASTERA STPM Menelusuri Ciri-ciri Kritikan Sastera


Oleh OTHMAN PUTEH

4. Kritikan Pendekatan PENDEKATAN bermakna suatu proses atau cara mendekati sesuatu. Ia merupakan usaha yang dirangka dalam aktiviti pengkajian ataupun kaedah untuk mencapai pengertian tentang masalah penelitian. Dalam bidang kritikan kesusasteraan, pertimbangan dan penilaian yang dilaksanakan pengkritik lazimnya menggunakan sesuatu aspek atau landas tinjauan yang tertentu. Landas atau dasar tinjauan itu mungkin merupakan ilmu atau teori tertentu pula. Terdapat pelbagai pendekatan kritikan kesusasteraan yang berkembang di tanah air kita. Antara pendekatan itu adalah: * Pendekatan intrinsik yang merupakan pendekatan terhadap karya sastera dengan menerapkan teori dan kaedah sastera yang penelitiannya berpremiskan karya sastera itu sendiri, terutamanya menelusuri unsur-unsur dalaman yang membina karya itu seperti plot, watak dan perwatakan, latar, sudut pandangan, dan gaya

bahasa. * Pendekatan ekstrinsik, iaitu pendekatan karya sastera dengan memanfaatkan ilmu bantu bukan sastera seperti sejarah, agama, psikologi, politik, dan sosiologi. Pendekatan intrinsik dan ekstrinsik ini sering dikaitkan dengan pendekatan struktur atau pendekatan formalistik yang menilai aspek formal yang terungkap dalam sesebuah teks karya, termasuklah aspek tema. Pendekatan ini membicarakan bentuk dan isu secara dominan. Oleh itu, ia sering membincangkan bagaimana muatan cerita atau isi dihantar dalam satu bentuk yang indah (berestetika) dan berkesan. * Pendekatan moral, yang merupakan penelitian terhadap nilai-nilai moral dan agama. Justeru itu, kajian ini terfokus kepada perilaku watak yang ditampilkan pengarang. * Pendekatan psikologi yang dikenali juga sebagai pendekatan kemanusiaan. Pendekatan psikologi memperkatakan empat aspek yang saling berkaitan dan melibatkan pengarang, watak dan pengguna (pembaca). Empat aspek yang difokuskan dalam pendekatan psikologi ialah: i. Pengalaman kehidupan peribadi pengarang dan gejolak jiwa yang ada perkaitan dengan sejarah hayat pengarang. ii. Proses penulisan teks karya itu yang melalui pelbagai proses, bermula daripada mencari idea atau persediaan, pengeraman; iluminasi dan verifikasi. Proses penciptaan itu, tidak sahaja berkaitan dengan proses dalaman malah proses luaran. Justeru, tentulah banyak konflik, tekanan, hambatan dan fenomena yang timbul dalam proses penulisan itu. iii. Perilaku zahir batin watak dalam karya. Bermakna kritikan psikologi akan menelusuri perwatakan protagonis dan antagonis dalam menghadapi pelbagai persoalan, konflik, dan cabaran serta bagaimana mereka memantaunya. iv. Impak karya sastera itu terhadap pembaca. Ia tentu sahaja diasosiasikan dengan emosi atau psikologi dan rasional hasil daripada tanggapan serta pengalaman pengguna. *Pendekatan sosiologi yang cenderung memberi tumpuan perbincangan kepada tiga jurus yang berkaitan dengan individu pengarang, konteks atau masyarakat di persekitaran hidup pengarang. * Pendekatan arkitaip ataupun tipa induk. Memanfaatkan pendekatan ini bermakna pengkritik membincangkan kepercayaan atau pegangan hidup umum sesebuah masyarakat atau etnik. Ia bagaikan suatu liet motif yang sering dikaitkan dengan adat istiadat, kepercayaan, mitos yang berulang-ulang yang terdapat dalam teks sastera. Wujudnya pelbagai pendekatan ini memungkinkan teks sastera dalam apa-apa genre sekali pun dikaji daripada beberapa aspek dengan lebih bervariasi, lebih wajar dan memudahkan difahami pengguna. Untuk memungkinkan pemahaman yang lebih berkesan, disarankan pembaca meneliti tulisan kritikan pelbagai pendekatan ini dengan membaca buku Novel-novel Malaysia dalam Kritikan (DBP: 1982) selenggaraan Hamzah Hamdani. Sementara itu, bagi memperdalamkan pemahaman secara praktis, maka senarai bibliografi dalam siri artikel ini amat membantu. 5. Kritikan Penganalisisan Penganalisisan bermakna menyelidik sesuatu karya untuk mengetahui keadaan yang sebenarnya, termasuklah menentukan kedudukan, prestasi atau pencapaian. Dalam konteks ini, apabila seseorang pengkaji atau pengkritik melakukan penelitian terhadap sesuatu genre sastera, maka bererti peneliti itu sedang melaksanakan kerja penghuraian atau penganalisisan. Ketika menganalisis pengkritik melihat sesuatu aspek secara rinci dan atau mendalam tentang bahasa figuratif, permulaan dan pengakhiran sesebuah cereka, motif, citra, watak, pemikiran, perlambangan, nilai, sudut pandangan, aliran dan ideologi yang menyerlah dalam karya sastera. Pendekatan ini juga boleh dilaksanakan dengan

melihat teknik penulisan sesebuah teks daripada genre tertentu ataupun meninjau kepengarangan seseorang pengarang mapan/generasi baru dan meneliti kecenderungan karya konvensional serta karya eksperimental. Kerja penganalisisan itu memanfaatkan pendekatan ilmiah dengan menggunakan ilmu atau teori tertentu bagi mencapai matlamat analisis itu. Kritikan penganalisisan menuntut pengkritik menguasai bidangnya, menguasai teori yang ingin diaplikasikan, dan memiliki ilmu bantu yang relevan mantap agar analisis yang dilakukannya benar-benar menepati dan mencapai matlamat atau konsep pendekatan yang dipilih. 6. Kritikan Penilaian Penilaian bermakna melakukan pemberian nilai tertentu kepada sesuatu teks sastera yang menyangkut tentang mutu. Antara tugas penting yang harus dilaksanakan pengkritik yang menerapkan kritikan penilaian adalah menentukan sesuatu teks karya sastera itu bermutu atau tidak, mempunyai kekuatan atau keistimewaan atau sebaliknya. Pengkritik harus bijaksana, adil dan saksama serta memberikan hujah yang relevan dan konkrit sebelum memberikan justifikasinya. Justeru itu, pengkritik dituntut mengetahui dan memahami banyak aspek tentang pengarang yang menghasilkan karya, subjek yang dibincangkan, persekitaran, ras dan waktu yang dipaparkan. Pengkritik tidak boleh bersikap bias, emosional dan memihak. Sebaik-baiknya, apatah lagi bagi membuktikan kewibawaannya, pengkritik harus jujur dengan menunjukkan kekuatan karya @ pengarang dan sekiranya ada kekurangan, maka wajarlah dikemukakan saranan. Di tanah air kita, beberapa orang pengkritik yang melaksanakan tugasnya dengan baik dan penuh hemah ialah Mohd. Yusof Hassan, Yahaya Ismail, Hashim Awang, Ramli Isin, dan Shahnon Ahmad. Sementara Mana Sikana, Kassim Ahmad, Mohd. Affandi Hassan agak lantang, berani akan tetapi tetap berada rel ilmu yang diyakini.