Anda di halaman 1dari 9

PENGENALAN Guru merupakan satu profesion yang mulia.

Adalah menjadi pioriti bagi seorang guru untuk melengkapkan dirinya dengan nilai-nilai hidup yang positif, beretika mulia dan berfikiran positif yang sudah tentu untuk diteladani oleh murid di sekolah. Guru sebagai role model bukan sesuatu yang retorik semata-mata tetapi mempunyai kesignifikannya dalam mempamerkan imej diri seorang pendidik dalam keseluruhan kehidupannya. Ini kerana kerjaya seorang guru bukan sahaja terhad di sekolah malahan guru turut berperanan penting meskipun berada di luar waktu kerja. Seorang guru sentiasa membawa imej pendidik ke mana sahaja tempat yang dituju. Amalan etika keguruan dan profesionalisme keguruan di Malaysia dibangunkan berdasarkan kepada falsafah, misi dan objektif yang

ingindicapai oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Pembangunan etika guru ini adalah sebagai salah satu pendokong kepada sistem perkhidmatan awam, yang diterajui bersama oleh pihak pemimpin negara dan ia turut menjadi panduan kepada pembentukan nilai-nilai dalam diri seseorang guru. Namun, isu etika guru bukanlah cerita baru yang melanda pendidikan pada masa kini. Dalam Kamus Dewan (1995), etika bermaksud satu sistem dasar akhlak, adat atau tingkah laku kesusilaan. Etika dari sudut Islam pula bererti akhlak. Manakala dalam konteks pekerjaan merujuk kepada tingkah laku baik sewaktu menjalankan setiap amanah yang dituntut oleh syarak. Disebabkan terdapat segelintir guru-guru yang menyalahi etika perguruan, guru-guru yang lain terkena tempiasnya ibarat kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Isuisu yang melibatkan etika guru menyebabkan profesion guru hari ini dilihat semakin goyah dari semasa ke semasa. Isu etika guru sering dipaparkan melalui media elektronik seperti televisyen ataupun di dada-dada akhbar. Jika masalah ini tidak dibendung oleh pihak berwajib, maka lama kelamaan profesion perguruan tidak lagi dihormati dan dipandang rendah. Salah satu isu etika guru yang dianggap semakin menular dalam kalangan guru ialah isu guru ponteng. Isu ini telah melanggar peraturan dan boleh dikenakan tindakan tatatertib. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (2002), ponteng dari segi bahasa boleh didefinisikan sebagai kecoh, tipu, lari

daripada tugas yakni tanggungjawab dan lain-lain. Ponteng dari segi istilah merujuk kepada tidak hadir bertugas tanpa sebarang surat akauan sakit mahupun apa-apa sebab yang munasabah. Ketidakhadiran boleh diertikan sebagai apa-apa sahaja kegagalan seseorang pekerja daripada melaporkan diri atau tidak berada di tempat kerja mengikut masa yang telah ditetapkan atas apa alasan sekalipun. Ketidakhadiran bertugas tanpa cutI atau tanpa sebab yang munasabah boleh dikenakan tindakan tatatertib. Terdapat juga segelintir guru yang hadir pada waktu pagi dan tidak berada di sekolah pada waktu yang yang ditetapkan dan hanya hadir semula pada sebelah petang untuk mengemaskini kehadiran sama ada melalui punch card atau secara manual. Ini juga boleh dianggap sebagai ponteng kerja. Di sini dapat dirumuskan secara umum bahawa guru ponteng bermaksud guru yang lari daripada melakukan tugas yang diamanahkan oleh mereka sama ada dalam tugas mengajar atau tugas-tugas sampingan seperti tidak hadir mesyuarat, melaksanakan program dan sebagainya. Selalunya, faktor utama yang menyebabkan masalah guru ponteng berpunca daripada sikap guru itu sendiri.

ISU : GURU PONTENG SEKOLAH Isu yang dipilih ialah mengenai Guru Ponteng Sebelum Cuti Dikenal Pasti. Artikel ini diambil menerusi akhbar Utusan Malaysia yang bertarikh 1 Jun 2010. Menurut artikel yang ditulis, Jabatan Pelajaran Sabah telah mengenal pasti terdapat segelintir guru yang mengajar di sekolah di negeri Dibawah Bayu tersebut ponteng sekolah untuk pulang ke kampung masingmasing sebelum cuti sekolah bermula. Perkara itu dikenalpasti hasil lawatan jemaah nazir sekolah dari Kementerian Pelajaran ke sekolah-sekolah yang terlibat. Isu guru ponteng sekolah ini berlaku di daerah Kota Belud di mana guru-guru yang bertindak ponteng ini khususnya yang berkhidmat di pulaupulau dan aduan ini dibuat oleh pihak ibu bapa sendiri dimana kebanyakkan guru-gurunya telah pulang 11 hari lebih awal sebelum cuti penggal bermula. Ponteng sekolah memberi kesan yang sangat besar kepada pembangunan dan pencapaian sesebuah sekolah dan muridnya. Antara alasan yang digunakan oleh guru-guru yang ponteng sekolah ialah seperti guru kurang sihat, anak kurang sihat, pulang ke kampung lebih awal dan sebagainya. Apabila guru-guru yang melakukan ponteng sekolah ini melakukan kesalahan yang sama berulang kali, ia menyebabkan tanda tanya kepada pihak pentadbiran mengenai alasan yang diberikan. Justeru, alasan ini sudah lapuk dan tidak diguna pakai lagi oleh guru-guru. Keadaan ini berlaku kerana faktor jarak sekolah dan keadaan persekitaran di mana bagi guru-guru mengajar di sekolah pedalaman mereka lebih terdedah kepada ponteng kerana mereka mengambil cuti awal dari masa yang ditetapkan untuk tujuan tertentu sepeti pulang untuk sambutan perayaan dan cuti persekolahan. Hal ini `turut berkait dengan artikel yang bertajuk Amaran Keras Kepada Guru Ponteng: Muhyiddin yang bertarikh 27 Jun 2010. Artikel ini menyatakan bahawa guru yang ponteng sekolah memberikan alasan yang sama seperti artikel yang sebelumnya. Artikel ini juga menyebut bahawa pihak ibu bapa yang melaporkan guru-guru kerap ponteng mengajar kerana hendak pulang ke kampung masing-masing sebelum hujung minggu dan sebelum cuti sekolah bermula. Hal ini juga berlaku di mana kadang-kadang ada segelintir guru-guru yang mengajar cuma tiga dan empat hari seminggu kerana ingin pulang lebih awal. Isu guru ponteng sudah lama berlaku dan ia

merupakan masalah yang harus dipandang serius. Artikel ini juga mengulas bahawa Kementerian Pelajaran akan mengambil tindakan tegas kepada guru yang ponteng sekolah. Kes seperti ini bukan sahaja boleh berlaku pada Sekolah Kebangsaan (SK) namun turut berlaku di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK). Ini kerana pada artikel ini, seorang guru di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Perak akan dikenakan tindakan kerana ponteng dan bercuti tanpa alasan yang munasabah. Guru tersebut dikenakan tindakan kerana tidak hadir ke sekolah selama 30 hari sejak awal Januari dan hanya memaklumkan kepada pihak sekolah melalui khidmat pesanan ringkas. Ekoran daripada isu tersebut, pihak kementerian mengambil inisiatif dengan memberi amaran untuk mengambil tindakan tegas terhadap manamana guru yang ponteng mengajar atau menyerahkan tugas mengajar kepada orang lain. Hal ini menunjukkan bahawa kerajaan mengambil berat akan isu tersebut jika terdapat guru yang ponteng dan menyerahkan tugas mengajar kepada orang lain. Selin daripada itu, Setiausaha Agung Persatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan, Loke Yim Peng berkata hak guru mencari pendatan tambahan tidak boleh disekat namun biarlah mereka boleh mengimbangi kedua-duanya. Guru tidak salah untuk membuat kerja sampingan namun, ianya tidak boleh menjejaskan kerjaya profesion sehingga menyebabkan ponteng untuk mengajar. Walaupun kes guru mengutamakan kerja luar agak terpencil, namun jika dibiarkan ia boleh menjadi semakin serius bak kata pepatah ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua membawa maksud jika perkara ini dibiarkan, lama-kelamaan ia akan semakin menular dan yang lain juga terkena tempiasnya. Salah satu faktor yang menyebabkan berlakunya isu guru ponteng ialah faktor kurang minat untuk mengajar di mana faktor ini merupakan sifat dalaman dalam diri guru dan lebih sinonim dikaitkan dengan sifat ikhlas. Apabila sesebuah kerja dianggap sebagai ibadah, maka inti pati terasnya haruslah ikhlas. Jika seseorang guru tidak ikhlas, maka amat sukar baginya menumpukan sepenuh perhatian terhadap pekerjaan utama di sekolah sehingga menyebabkan gejala ponteng mengajar berlaku dalam kalangan guru-guru. Terdapat segelintir guru tidak berminat menjadi guru

menyebabkan mereka tidak ikhlas untuk mengajar dan tidak masuk kelas.

Apabila mereka tiada minat, mereka ini hanya mengajar ala kadar dan kadangkala tidak mahu ke kelas untuk mengajar. Situasi guru ponteng juga boleh dipengaruhi oleh tekanan di tempat kerja. Apabila guru menghadapi tekanan, guru tidak dapat mengawal emosi mereka terhadap perubahan budaya pendidikan yang bukan sahaja untuk memberi ilmu pengetahuan tetapi perlu mendidik manusia menjadi modal insan yang berguna kepada masyarakat. Menurut Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan guru menghadapi tekanan di tempat kerja seperti faktor fizikal. Faktor fizikal seperti situasi pekerjaan guru di sekolah, tanggungjawab dan peranan yang diamanahkan kepada mereka dan tuntutan masa. Apabila guru ponteng kelas, murid akan tercicir dalam pelajaran. Ini kerana pelajaran yang sepatutnya dikuasai oleh murid tidak dapat diaplikasikan terutamanya dalam menjawab soalan-soalan peperiksaan. Secara tidak langsung, ia akan menyebabkan murid-murid mengalami masalah pembelajaran terutamanya bagi murid yang mempunyai tahap pembelajaran yang rendah. Seterusnya, jika situasi guru ponteng semakin menular ia akan menyebabkan berlakunya masalah disiplin kepada murid pula. Guru merupakan role model kepada murid-murid di sekolah, maka tidak hairanlah jika ada murid yang mengikut sahsiah guru yang negatif juga seperti murid-murid ponteng sekolah. Murid akan beranggapan bahawa jika guru boleh ponteng mengapa mereka tidak boleh mengikut guru tersebut sedangkan guru adalah cerminan kemenjadian murid di sekolah. Implikasi gejala guru ponteng bukan sahaja memberi impak besar kepada murid, bahkan ia juga memberi kesan kepada guru juga. Walaupun hanya segelintir mereka yang melakukan ponteng, namun yang lain turut merasa tempiasnya. Kesan daripada tindakan segelintir guru inilah akan merosak dan mencemarkan imej profesion perguruan. Guru yang ponteng akan dikenakan tindakan disiplin kerana perbuatan ponteng bercanggah dengan peraturan sekolah. Mana-mana kakitangan yang melanggar etika juga wajar dikenakan tindakan disiplin seperti dibuang kerja bagi mereka yang benar-benar bersalah kerana ia melibatkan disiplin pekerja-pekerja. Jika disabitkan kesalahan berat seperti mengenakan sijil cuti sakit palsu, mereka boleh dikenakan tindakan tatatertib seperti turun pangkat ataupun dipecat.

Isu etika guru ponteng juga memberi kesan kepada sekolah juga di mana jika terdapat ramai guru yang ponteng di sesebuah sekolah, maka pihak pentadbiran akan ditanya oleh pihak atasan sebab mengapa perkara ini boleh berlaku. Ini akan memberikan kesan yang besar kepada sekolah iaitu sekolah tersebut akan dikenali oleh ramai orang dengan isu guru ponteng. Seterusnya, pihak sekolah yang mempunyai masalah ponteng akan dibebani dengan pelbagai program untuk membaiki dan memulihkan imej sekolah yang tercalar. Seterusnya etika guru ponteng turut memberi kesan negatif kepada ibu bapa murid. Mereka semestinya akan merasa kecewa dengan sekiranya anak mereka gagal di dalam pembelajaran dan akan meletakkan kesalahan kepada pihak sekolah. Ibu bapa akan lebih mempercayai guru-guru luar seperti guru tuisyen berbanding guru-guru sekolah. Wahananya, ibu bapa akan meletakkan pandangan yang negatif iaitu guru-guru tidak boleh memberikan pendidikan yang sempurna kepada anak-anak mereka dan menyebabkan pandangan ibu bapa terhadap profesion perguruan adalah tidak semulia seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini. Pelbagai langkah yang boleh diambil oleh pihak pentadbir bagi mengelakkan masalah ponteng dalam kalangan guru ini dari terus berlarutan dan menjadi ikutan kepada guru-guru lain. Pihak pentadbir perlu mengadakan perbincangan dengan guru yang bermasalah iaitu guru yang sering ponteng. Hal ini demikan bagi mengetahui sebab dan munasabab mengapa guru tersebut mengambil tindakan sedemikian sehingga mengabaikan tugas utama mereka. Pihak pentadbir pelu bersemuka dan mendekatkan diri kepada guruguru ini bagi mengetahui punca masalah ini berlaku. Nasihat dan motivasi diperlukan agar perkara seperti ini tidak akan berulang pada masa akan datang. Jika perbincangan telah pun dijalankan dan perkara ini masih tetap berulang, pihak pentadbir akan mengeluarkan surat tunjuk sebab dan surat amaran bagi memberi amaran kepada guru-guru tersebut memandangkan mereka telah melakukan kesalahan melanggar etika dengan ponteng kerja. Ini menunjukkan langkah yang tegas perlu diambil dalam menangani masalah tersebut selaras dengan usaha kerajaan yang mahu memastikan profesion perguruan terus dipandang tinggi oleh masyarakat. Namun demikian, jika

perkara ini masih berlanjutan, pihak pentadbir mempunyai kuasa merujuk guru bermasalah ponteng ini kepada lembaga tatatertib bagi tindakan yang selanjutnya. Tambahan lagi, pihak atasan juga boleh melakukan lawatan mengejut ke sekolah-sekolah dari masa ke semasa bagi memastikan guru sentiasa mematuhi tugas dan tanggungjawab masing-masing agar guru sentiasa peka dan tidak boleh ponteng dari melaksanakan amanah yang diberikan. Guru Besar juga boleh membuat pemantuan mengejut beliau merupakan pemimpin bagi sesebuah organisasi dan boleh memantau dari kelas ke kelas untuk mengetahui adakah terdapat guru yang ponteng mahupun tidak ponteng sewaktu mengajar. Ini untuk mengelakkan masalah in berlaku dan mengingatkan guru-guru supaya sentiasa amanah dengan tugas yang diberikan. Pihak ibu bapa juga boleh membantu untuk menangani masalah guru ponteng seperti meminta jasa baik ibu bapa untuk memaklumkan salah laku guru kepada pengurusan sekolah bagi

membendung masalah tersebut kerana berkemungkinan pihak sekolah tidak mengetahui bahawa guru tidak masuk mengajar di kelas. Aada segelintir anak-anak menceritakan masalah ini kepada ibu bapa, maka mereka boleh melaporkan kepada pihak sekolah masalah tersebut dan guru yang ponteng ini boleh dikenakan tindakan yang sewajarnya. Berdasarkan kepada huraian yang dikemukakan, jelaslah bahawa isu guru ponteng merupakan masalah yang harus dipandang serius oleh pihak yang bertanggungjawab. Pada pandangan kami, walaupun masalah isu guru ponteng agak terpencil, namun ia boleh menular dengan cepat jika tidak dibendung dengan tegas oleh pihak bertanggungjawab iaitu pihak sekolah dan pihak Kementerian Pendidikan. Masalah guru ponteng ini boleh diibarat masalah kecil yang boleh membahayakan kepada semua pihak tambahan pula profesion perguruan merupakan kerjaya yang disanjung tinggi oleh semua pihak. Isu guru ponteng semasa bertugas juga haruslah dikenakan tindakan yang tegas seperti memberi amaran kepada guru-guru yang lain agar tidak meniru perbuatan yang tidak bermoral tersebut.

Ringkasnya, isu ponteng bukan sahaja melanggar etika profesion perguruan, malah kesannya boleh mempengaruhi banyak pihak seperti murid, sekolah, ibu bapa dan masyarakat sekeliling. Tindakan tegas dan pantas daripada pihak pentadbir diharap dapat menyelesaikan masalah ini. Oleh yang demikian perlu ada pemantauan daripada pihak pentadbir dan pihak jabatan untuk memastikan masalah ponteng dalam kalangan guru dapat disekat. Ini kerana guru perlu sentiasa berusaha meningkatkan kebolehan diri dan melaksanakan tanggungjawab mendidik generasi muda agar golongan itu bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran tetapi juga cemerlang dari segi akhlak. Guru menjadi role model kepada murid-murid untuk menjadi manusia yang berguna pada masa hadapan. Jika guru sendiri tidak menunjukkan contoh yang tidak baik, maka murid tersebut akan hilang rasa hormat kepada guru ibarat seperti ketam mengajar anaknya berjalan. Oleh yang demikian, setiap pihak perlulah sentiasa peka dan cakna dengan isu ini agar ianya tidak menjadi satu isu yang semakin parah.

http://groupmimi.blogspot.com/2012/09/masalah-guru-ponteng-disekolah.html http://kamiprofesional.blogspot.com/2012/09/isu-guru-ponteng.html http://kamigurumalay.blogspot.com/2012/08/guru-ponteng-sebulan-bolehdiberhentikan.html

Anda mungkin juga menyukai