Anda di halaman 1dari 7

PENGERTIAN KHURAFAT

Khurafat adalah perkataan Arab yang di asaskan dari akar kata:


‫خرف خرافة خرافات‬
Dalam kamus al-Marbawi khurafat itu diberi makna cerita karut atau karut marut.
Di dalam al-Munjid disebut:
‫خرف قسد اخرفة افسده‬
‫الخر افة حديث الخرف المضحك‬
Al-khurafat juga disebut sebagai ‫ الحديث الباطل مطلقا‬percakapan yang tidak betul sama sekali.
Istilah khurafat telah diterima pakai di dalam masyarakat Melayu dan pada umumnya
diketahui maksudnya kerana ianya semacam menjadi bahasa Melayu. Khurafat maksudnya
kepercayaan karut yang direka-reka dan diadakan untuk membentuk suatu keyakinan tentang
akan berlakunya baik atau buruk terhadap sesuatu kerja berpandukan kepada perbuatan dan
kejadian-kejadian alam yang berlaku dengan mentafsirkan kejadian itu akan membawa bala
bencana atau membawa tuah keberuntungan.

Di dalam kitab Addarul Nadid, halaman 179 ada disebut:

Yang bermaksud:
“Adapun apa yang diiktiqadkan oleh manusia dari dahulu hingga sekarang tentang
adanya bagi seekor burung atau ada hari-hari atau bulan-bulan yang boleh memberi
kesan pada kebahagiaan atau kecelakaan manusia. Semuanya itu adalah khurafat. Islam
membatalkannya kerana jelas bertentanagn dengan tauhid”.

KHURAFAT SEBAGAI BUDAYA JAHILIAH

Masyarakat jahiliah adalah sebuah masyarakat yang banyak menghayati budaya khurafat. Di
antara khurafat mereka, mereka mempercayai kepada arah burung yang berterbangan
memberi kesan kepada nasib mereka. Orang-orang Arab jahiliah apabila hendak mengerjakan
sesuatu kerja atau sedang di perjalanan menuju sesuatu maksud tiba-tiba kedapatan burung
yang melintasi mereka, maka dikaitkan dengan suatu kepercayaan-kepercayaan tertentu.
Malah mereka meletak nama khusus pada keadaan burung yang melintasi mereka.

Yang melintasi dari arah kanan ke kiri dinamakan : As Sawaeh


Yang melintasi dari arah kiri ke kanan dinamakan : Al Bawareh
Yang datang kepada mereka dari arah hadapan dinamakan : An Nateh
Yang datang dari arah belakang ke hadapan dinamakan : Al Qaid
Dari nama-nama tersebut lahirlah tafsiran-tafsiran yang khusus, ada bala bencana akan
menimpa, ada tuah, ada keberuntungan yang akan berlaku dan sebagainya yang mereka
menggantungkan hal-hal tersebut sepenuhnya kepada keadaan burung tersebut.

Masyarakat jahiliah juga percaya jika burung hantu (al-Bumah) menghinggapi dan berbunyi
di atas sesuatu rumah maka ertinya salah seorang dari penghuni rumah itu akan meninggal
dunia. Kepercayaan sebegini mengakibatkan penghuni rumah akan bermurung durja,
dukacita yang tidak terkira kerana kematian yang akan menimpa.
Kepercayaan sedemikian terdapat juga di dalam masyarakat melayu di Tenggara Asia yang
terbawa-bawa dengan budaya jahiliah hingga sekarang ini. Padahal semua itu adalah khurafat
belaka.

KHURAFAT MENODAI IBADAT HAJI


Ibadat haji adalah suatu ibadat yang semestinya dilakukan dengan sempurna, tidak dicampur
dengan batil. Apatah lagi khurafat hendaklah dijauhi sama sekali. Khurafat boleh mencemar
ibadat haji dan menjadikannya ibadat yang sia-sia kerana perbuatan khurafat menjejaskan
akidah dan kadang-kadang merosakkannya. Perlu diingat bahawa khurafat boleh membawa
kepada syirik kerana ianya menyentuh persoalan iktikad. Jikalau sudah iktikad rosak kerana
khurafat, maka orang yang rosak akidahnya tidak akan mendapat apa-apa kebaikan dari
ibadatnya.

Namun demikian, masih terdapat bakal-bakal haji yang seolah-olahnya tidak menyedari
bahawa mereka melakukan perkara-perkara khurafat ketika hendak menunai haji dan ada
pula yang melakukannya ketika mereka di dalam ihram dan sedang bertungkus lumus
mengerjakan haji itu sendiri. Kepada golongan ini seboleh-bolehnya apa yang diajarkan
kepada mereka oleh Tok-tok Guru yang mentadbir atau oleh pengkursus-pengkursus haji
adalah tidak lengkap dan tidak sempurna. Mereka masih hendak menambah-nambah dan
mengada-adakan berbagai-bagai perbuatan yang tidak diajar oleh orang-orang tadi lalu
mereka menerima pakai fatwa-fatwa dari orang yang tidak bertanggungjawab.

Khurafat bukan perkara kecil yang boleh dipermudah-mudahkan. Khurafat adalah perkara
besar yang mesti difahami dan diberi perhatian untuk menjauhinya. Umat Islam jangan
mudah menerima pakai sesuatu perbuatan yang disebutkan kepadanya bagi menambah-
nambah amalan di dalam haji yang dipelajarinya secara terbuka dan ada sandarannya, itulah
yang patut diamalkan. Adapun yang diajar secara sembunyi-sembunyi dan dilakukan secara
sembunyi-sembunyi patutlah diambil perhatian dan dipastikan dahulu boleh tidak
mengamalkannya barulah diamalkan yang boleh dan menjauhi yang khurafat.

PANDANGAN ISLAM TERHADAP KHURAFAT

Di dalam al-Quran al-Karim terdapat beberapa ayat yang menyeru kepada pergantungan
dengan Alllah sepenuhnya dan menolak kepercayaan terhadap yang selain-lainnya bagi
mendapat kebaikan dan menolak keburukan. Yang memberi segala kenikmatan dan kebaikan
hanya Allah. Yang menolak segala kejahatan hanya Allah. Kepadanya seluruh makhluk
bergantung. Firman Allah, surah al-Zumar, ayat 38: Yang bermaksud:

“Katakanlah apakah kamu tidak melihat kepada apa yang kamu memohon kepadanya selain
dari Allah bahawa jika sekiranya Allah menghendaki ke atasku sesuatu kemudaratan, adakah
mereka itu boleh menghindari dari kemudaratan itu atau jika Allah menghendaki sesuatu
rahmat itu dianugerahkan kepadaku, apakah mereka itu boleh menahan rahmat itu.
Katakanlah adalah memadai Allah itu bagiku untuk segala-galanya. Kepadanya bertawakal
semua orang yang bertawakal”.

Ayat di atas memperlihatkan konsep tawakal kepada Allah dalam semua keadaan. Kebaikan
dan kejahatan adalah dari Allah. Dia yang menyebabkan segala-galanya. Dia yang berkuasa
atas segala sesuatu, bukannya lintasan burung atau sebagainya yang terdapat dalam amalan-
amalan khurafat.

Yang bermaksud:
“Dari Abu Hurairah R.H. bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “tidak ada jangkitan
(yang berlaku tanpa izin Allah), tidak ada buruk sangka pada sesuatu kejadian, tidak ada
malang pada burung hantu dan tidak ada bala pada bulan Safar (seperti yang
dipercayai)”.
Yang bermaksud:
“Dari Ibnu Mas’ud R.H. bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Buruk sangka (dalam
amalan khurafat) adalah syirik (dua kali) akan tetapi Allah menghapuskannya dengan
bertawakkal kepada Allah”.

Yang bermaksud:
“Dari Anas R.H. bahawasanya Rasulullah SAW pernah bersabda: “Jangan ada buruk
sangka (kerana khurafat) dan alfa’lu adalah jauh lebih baik. Ditanya Rasulullah, apakah
dia alfa’lu itu: sebut-sebutan yang baik (baik sangka) yang boleh didengari oleh
seseorang”.

Yang bermaksud:
“Dari Ibnu Umar R.H. katanya: Nabi SAW pernah bersabda: “sesiapa yang kerana buruk
sangkanya terhadap sesuatu (khurafatnya) sehingga boleh memesongkan diri menerusi
hajatnya, maka sesungguhnya ia telah syirik (kepada Allah). Mereka bertanya apakah
kifarat bagi yang demikian itu? Sabdanya: hendaklah ia berkata: Ya Allah, tidak ada
kebaikan melainkan kebaikanmu. Tidak ada yang buruk (jahat) melainkan kejahatan
yang datang darimu dan tiada tuhan yang berhak disembah melainkan engkau”.

Dari semua urutan ayat al-Quran dan hadith-hadith Rasulullah SAW yang tersebut, jelas
memperlihatkan konsep baik buruk hanya dari Allah S.W.T. Allah yang mengatur segala-
galanya, bukannya ada kaitan dengan kejadian-kejadian yang berlaku di dalam hidup ini yang
boleh memberi kesan kepada kebahagiaan dan kecelakaan manusia.
Khurafat adalah karut marut yang tidak benar sama sekali. Tidak sepatutnya kepercayaan-
kepercayaan sedemikian menghantui umat Islam sehingga menghindarkan perjalanan hidup
mereka kerana kongkongan khurafat itu. Umat Islam perlu bersih niat dan pergantungan
mereka hanya kepada Allah SWT sahaja. Apabila kamu cekal bercita-cita, maka teruskan dan
bertawakkal kepada Allah.

KHURAFAT DI KALANGAN JEMAAH HAJI ASIA TENGGARA

Pengaruh khurafat ternyata masih kuat. Di dalam masyarakat Islam Asia Tenggara masih
kehadapan amalan-amalan khurafat di dalam berbagai-bagai lapangan kehidupan. Di dalam
perniagaan masih percaya kepada FONG SUAI. Dalam pertanian masih percaya kepada
semangat padi. Dalam mencari rezeki di lautan masih ada yang percaya kepada gamala ikan
dan berbagai-bagai lagi. Bukan sahaja di dalam mencari rezeki ada berbagai-bagai khurafat,
ketika hendak melakukan ibadat kepada Allah pun masih diresapi berbagai-bagai khurafat.
Antara yang ketara ialah khurafat-khurafat di dalam ibadat haji.

KHURAFAT DI TANAH AIR SENDIRI SEBELUM TIBA DI TANAH SUCI

a) Tidak boleh memijak bendul rumah. Kalau dipijak alamat tidak akan balik semula.
b) Sesudah bertolak dari rumah, tidak boleh memandang ke belakang melihat rumah. Kalau
dipandang, pekerjaan hajinya tidak sempurna kerana hatinya teringat-ingat ke rumah
c) Membawa uri, rambut dan kuku bayi untuk ditanam di Tanah Haram supaya anak tersebut
menjadi orang ternama dan disukai ramai.
d) Setelah balik nanti mesri berkurung diri di rumah selama 40 hari yang disebut idah haji.
Barulah haji itu berkat dan melekat di hati, kalau melanggar, sia-sialah haji.

KHURAFAT DI TANAH SUCI


a) Mesti mencari tiang Jin di dalam Masjidil Haram. Peluk kuat-kuat boleh memanjangkan
umur.
b) Boleh mendapat toyol dengan bersembahyang sunat sebanyak-banyaknya secara
mengadap tiang tersebut untuk dibawa balik toyol itu sebagai khadam.
c) Jin yang dibawa balik dari Mekah adalah Jin yang baik kerana mereka adalah Islam.
d) Menampal duit syiling yang siap bergam di bawah pintu Baitullah dan dibawa balik untuk
dibuat ibu duit bagi tujuan melariskan perniagaan, mendapat jodoh dan memurahkan rezeki.
e) Memungut anak-anak batu di Arafah untuk dibawa balik bagi tujuan, jika dicampak di
dalam perigi ikan, maka ikan akan menjadi banyak. Jika ditabur di kebun tanaman, maka
buah-buahan akan menjadi. Jika diletak di dalam kedai, maka akan laris.
f) Mencuri tali-tali khemah di Padang Arafah dan Mina untuk dijadikan tangkal bagi tujuan
pelarisan untuk jualan dan memperbanyakkan tangkapan ikan.
g) Membawa balik Tanah Arafah untuk upacara “Memijak Tanah” buat pertama kali bayi
untuk menghindarkannya dari sebarang penyakit dan gagah berani.
h) Tidak boleh melihat cermin semasa di dalam Ihram. Jika dilihat muka akan menjadi hodoh
dan orang tidak suka melihatnya.
i) Menyapu-nyapu tiang masjid dan diusap ke muka untuk menambah seri wajah.
j) Mengetuk-ngetuk pintu dan gelang kuncinya di kawasan Saei sebagai simbolik kepada
mengetuk pintu rezeki. Jika tidak membuatnya, rezeki akan tertutup selama-lamanya.
k) Bersetubuh dengan isteri di dalam Masjid al-Haram boleh mendapat anak yang mudah
masuk syurga.
l) Orang yang mandul boleh segera mendapat anak jika bersetubuh dengan suaminya di
dalam Masjid dua kali dari arah pancur emas sekali kerana kepercayaan pancur emas itu
melambangkan kemaluan Nabi Adam dan sekali lagi dari arah yang menghala ke Hajar
Aswad kerana Hajar al-Aswad melambangkan kemaluan Siti Hawa.
m) Kain ihram perlu dibawa balik dan diwasiatkan bila mati nanti hendaklah dikafan dengan
kain itu bagi menghindar diri dari siksa kubur.
n) Beli khusus kain putih yang hendak dijadikan kafan dan basuh dahulu dengan air zam-zam
di Mekah, disimpan dan diwasiatkan untuk dijadikan kain kafan. Dengannya Munkar dan
Nakir tidak berani memukul badan yang dibalut dengan kain tersebut.
o) Kalau berlaku hujan, maka mandilah di bawah curahan air dari pancur emas agar sembuh
segala penyakit dan tidak akan terkena penyakit hawar.
p) Tiang-tiang masjid boleh dibeli untuk diwakafkan. Sekiranya ada orang yang
menawarkannya, maka jangan disoal banyak, beli sahaja akan menjaminkan masuk syurga.
q) Mandi bertelanjang di telaga Ja’aranah boleh memikat suami dan cepat mendapat jodoh
bagi yang belum bersuami.
Dan berbagai-bagai khurafat lagi yang masih diamalkan oleh masyarakat Islam Asia
Tenggara.

AMALAN KHURAFAT DAN KAITANNYA DENGAN HUKUM SYARAK

Mengamalkan perkara-perkara khurafat atau kepercayaan karut adalah ditegah oleh syarak
kerana di samping ketiadaan manfaatnya ia boleh merosakkan akidah seseorang dan ia juga
menambahkan amalan-amalan bid’ah yang buruk sepertimana tersebut dalam hadith
Rasulullah SAW yang bermaksud:
“…………Setiap yang bid’ah itu sesat dan setiap yang sesat akan ditempatkan di dalam
neraka”.
Mengamalkan amalan khurafat dengan tidak disedari boleh menjauhkan diri daripada Allah
SWT, walhal kedatangan jemaah haji ke Tanah Suci ialah untuk menghampirkan diri kepada
Allah serta menyuci diri dari segala dosa dengan tujuan mandapat haji mabrur.
PUNCA AMALAN-AMALAN TERCELA DAN TERPAUTNYA SESEORANG
KEPADA AMALAN KHURAFAT

Di antara punca-puncanya adalah seperti berikut:


- Tidak mempunyai asas yang kukuh di dalam pengetahuan agama di mana mudah menerima
perkara-perkara yang dianggap menarik baginya.
- Mempelajari dari guru-guru atau ketua-ketua yang tidak bertanggungjawab.
- Terikut-ikut dengan amalan jemaah haji lain kerana menyangka amalan itu adalah amalan
yang betul.
- Sudah terbiasa melayani nafsu ammarah.

CARA-CARA MENGHINDARINYA

Bakal-bakal haji hendaklah mengikuti dan mempelajari hukum-hukum agama sebelum


menunaikan haji. Penceramah-penceramah hendaklah dipilih dari kalangan mereka yang
benar-benar berkelayakan. Tajuk siri khurafat perlu dimasukkan ke dalam kurikulum ibadat
haji dengan ditekankan keburukannya.

Jangan mudah terikut-ikut dengan amalan jemaah haji lain yang tidak diketahui puncanya.
Dalam kursus haji ditekankan bahawa Tanah Suci Mekah bukanlah tempat berehat atau
tempat melepaskan kemarahan atau komplen sewenang-wenangnya. Perlu ditekankan
bahawa di dalam pekerjaan haji mesti akan ditemui berbagai-bagai dugaan Allah yang perlu
diterima dengan sabar.

Sebarang amalan yang dipetuakan kepadanya oleh orang yang diragui keilmuannya
hendaklah dipastikan terlebih dahulu dari orang lain yang lebih berwibawa. Bertawakalah
kepada Allah dengan sebenar-benar takwa. Tunaikanlah haji semata-mata kerana Allah.

TINGKAH LAKU BURUK SEBAHAGIAN JEMAAH HAJI

Selain dari khurafat yang tersebut di atas, ditambah pula dengan adanya tingkah laku buruk
yang sering kedapatan di kalangan jemaah haji umumnya termasuk jemaah haji Asia
Tenggara, menjadikan ibadat haji ibadat yang seolah-olahnya tanpa roh dan tanpa hikmah.

Sebagai contoh yang ketara, berlakunya peristiwa terowong al-Muassim pada tahun 1990 dan
peristiwa pijak memijak di atas Jambatan Mina pada tahun 1994 yang semuanya memakan
korban nyawa yang begitu banyak, mencerminkan masalah utamanya tingkah laku buruk
jemaah haji.

Tingkah laku dan tuturkata manusia itu adalah sebagai cermin peribadinya. Jika elok tingkah
laku, berbudi bahasa dan manis kata-kata, maka tinggilah nilai dirinya, mulialah pekertinya.
Kalaulah itu benar-benar menjadi cermin diri, maka alangkah buruknya keadaan umat Islam
ini kerana apa yang berlaku di musim haji menjadi ukuran yang utama pada nilai diri kita.

Di Mekah umat Islam kelihatan seperti seolah-olah tidak tahu disiplin diri dan disiplin
kehidupan. Ada yang tidak bertolak ansur, bertengkar, bergaduh, tengking menengking,
herdik mengherdik, menolak, melanggar, memukul, memijak, menghimpit, mengambil hak
orang lain, menyusahkan kawan, memijak kepala, menyepak muka orang yang beribadah,
mengganggu yang bersembahyang, menyepak al-Quran, meletak al-Quran di atas lantai,
mengubah (mengalih) al-Quran dengan kaki, berebut-rebut dengan segala kekuatan untuk
mencium batu hitam (al-Hajarul Aswad). Memegang tangan berangkai kuat untuk merempuh
orang yang sedang solat dan tawaf. Perbuatan yang sama berlaku dengan dasyatnya ketika di
Mina untuk melontar. Segala selipar dan kasut serta pakaian tertanggal dari badan. Yang sakit
tidak diberi simpati. Yang tua uzur tidak dihirau dan pelbagai perangai lagi yang boleh
dilihat.

Mengenai tutur kata, umat Islam tidak hendak menjaga tutur katanya. Walaupun ketika
sedang tawaf dan saei, masih bercakap-cakap dengan hal-hal yang terkeluar dari erti ibadah
yang sebenar, bergelak ketawa berdekah-dekah kerana kelucuan yang sengaja diada-adakan
dalam perbualan-perbualan, seolah-olah mereka bukan di hadapan Allah di dalam ibadat yang
shahdu.

Kata mengata, caci mencaci sering kedengaran di sepanjang masa berada di Mekah dan
Madinah seolah-olah tidak berbeza dari tempat-tempat lain. Mengumpat, mencerca terus
berlaku tanpa sebarang takut kepada dosa yang perbuatan di Tanah Haram.

Semua tingkah laku buruk itu adalah sebahagian dari masalah yang sebenar yang berlaku di
kalangan jemaah haji kita yang sudah sewajibnya kita menyedari perihal tersebut dan cuba
menghindarnya.

BAGAIMANA MENGATASI PERMASALAHAN TERSEBUT

Masalah akhlak adalah masalah pokok untuk membina masyarakat yang mulia. Akhlak yang
terpuji menjadi tunjang kekuatan umat. Rasulullah SAW diutuskan Allah adalah untuk
menyempurnakan akhlak yang mulia. Baginda menjadi teladan untuk kemuliaan akhlak,
mengasuh umatnya agar berakhlak mulia.
Bagi mengatasi masalah yang disebutkan tadi, pendidikan kerohanian yang menekankan
kepada kemuliaan akhlak perlu dititik beratkan dalam latihan dan syarahan-syarahan. Bakal-
bakal haji hendaklah dipupuk dengan budi pekerti yang mulia untuk dihayati sepanjang masa
hidupnya, lebih-lebih lagi ketika menunaikan haji.

Rasulullah SAW pernah bersabda:


Yang bermaksud:
“Barang siapa yang ingin sangat hendak menjadi manusia yang terkuat, maka
bertawakkallah kepada Allah. Barang siapa yang ingin sangat hendak menjadi manusia
yang terkaya, maka hendaklah meyakini bahawa apa yang ada di sisi Allah Azawajallla
lebih baik dari apa yang ada di dalam tangannya. Dan siapa yang ingin sangat menjadi
manusia yang termulia, maka hendaklah takut kepada Allah Azawajallla”.

Hadith ini mengingatkan kita tentang berakhlak dengan Allah. Bertawakkal kepada Allah,
takut kepada Allah. Apabila manusia sudah mentaati perintah Allah dan amat mengharapkan
keredaan, maka akan lahirlah budi pekerti yang mulia untuk mereka di alam manusia.

Mengunjungi Baitullah untuk menunaikan ibadat haji adalah suatu tuntutan syarak. Dari
ibadat itu akan lahirlah pengajaran-pengajaran yang amat berguna untuk manusia. Fadhilat
haji amatlah banyak. Salah satunya untuk mengingati Allah. Oleh itu, perbanyakkan takbir
dan tahmid kepada Allah, berzikir kepada Allah di dalam masa kerja haji dan sesudahnya
khususnya di Arafah dan Mina.

Salah satu rahisa Allah mewajibkan haji ialah untuk membersihkan diri mereka dari segala
dosa, dari segala perangai keji dan perbuatan-perbuatan munkar. Kalaulah umat Islam
memahami dan menghayati tujuan tersebut dengan sebaik-baiknya, maka tentulah tidak akan
berlaku pekara-perkara munkar di tanah suci.
Semua orang yang menunaikan haji akan menjadi orang yang amat baik pekertinya. Tidak
ada khurafat berlaku dan tidak ada perkara-perkara negetif berlaku kerana semuanya itu akan
menyebabkan haji seseorang itu sia-sia.

Rasulullah SAW pernah bersabda:

Yang bermaksud:
“sesiapa yang mengerjakan haji dan tidak melakukan perkara-perkara jahat dan fasik,
maka kembalinya ke tanah airnya nanti ia menjadi seperti anak yang baru lahir”.

PENUTUP

Usaha untuk mempertingkatkan kualiti ilmu ke dalam masyarakat Islam perlu diteruskan
dengan bersungguh-sungguh untuk menjadi perisai umat Islam dari diresapi gejala-gejala
tidak sihat seperti khurafat dan sebagainya.

Pengetahuan tentang ibadat haji adalah pengetahuan fardu ain yang sepatutnya diketahui oleh
masyarakat umum. Perlu diajar dengan cara yang berkesan di dalam kurikulum-kurikulum
sekolah menengah dan di peringkat universiti agar dengan ilmu yang manfaat itu setiap yang
pergi menunai haji benar-benar mengetahui mengapa ibadat itu diwajibkan.

Ibadat-ibadat dalam Islam adalah alat untuk mendidik manusia. Jika dipergunakan ibadat itu
sebagai alat mengajar, maka yang mempelajari bersungguh-sungguh daripadanya akan
mendapat pengajaran yang amat berkesan. Rasulullah SAW telahpun mempergunakan untuk
mendidik umat Islam di zamannya. Dengannya mereka menjadi sebaik-baik umat yang Allah
ciptakan untuk menjadi contoh kepada manusia. Akhlak yang terpuji akan lahir dari
keikhlasan beribadat kepada Allah, apabila difahami maksud dan tujuannya. Dari akhlak yang
terpuji lahirlah peribadi unggul untuk memimpin manusia ke jalan yang diredhai Allah.

Semoga Allah memelihara kita dari terjatuh ke dalam khurafat dan semoga Allah memberi
hidayah kepada kita untuk mencontohi akhlak mulia Rasulullah SAW.

Wallahu ‘Alam