Anda di halaman 1dari 3

AHLI POLITIK MESTI BIJAK DALAM MEDIA SOSIAL

Oleh IBDILILLAH ISHAK APABILA video seorang kakitangan awam memukul isterinya di dalam lif tersebar, ia mengambil masa hanya 1 jam untuk video itu dikongsi oleh 5,000 pemilik akaun facebook. Dianggarkan tidak sampai 24 jam, 6.7 juta orang menyaksikan video tersebut di laman-laman sosial. Angka itu tidaklah mustahil apabila pada Mei tahun lalu sahaja dilaporkan terdapat hampir 15 juta akaun Facebook dan Twitter' dari Malaysia yang mana 64 peratus ialah pengguna di bawah usia 35 tahun. Ini menjadikan sejumlah 9 juta belia dan golongan muda terdedah kepada pelbagai jenis informasi di dalam laman media sosial tersebut. Maka, tidak hairanlah apabila golongan muda ini antara yang paling aktif memberikan komentar terhadap 'post' ataupun 'tweet' ahli-ahli politik di dalam media sosial. Dek kerana kepesatan penggunaan media sosial dalam kalangan generasi muda maka sistem berpolitik serta cara mendekati kelompok ini perlulah diberi nafas baru. Ray Ponter dalam bukunya The Handbook of Online and Social Media Research menyatakan kaedah komunikasi dalam media sosial lebih bersifat dinamik serta responsif berbanding media konvensional yang hanya terarah kepada penyebaran massa. Figura-figura politik perlu sentiasa peka terhadap sebarang interaksi antara pengundi dan mereka. Akan tetapi kaedah reaktif yang dilaksanakan haruslah bertepatan dengan budaya dan norma masyarakat. Ini kerana, sifat dan entiti masyarakat turut dibawa sama oleh pengguna media sosial sewaktu mereka berinteraksi dalam alam maya tersebut. Bukti paling jelas apabila sebilangan warga media sosial membantah malah mencela tindakan beberapa figura politik menggunakan kata-kata kesat sewaktu berinteraksi dengan mereka. Tindakan sebegini hanya akan memburukkan peribadi malah menjatuhkan ethos atau pengaruh ahli politik tersebut. Adalah lebih baik untuk ahli politik mempamerkan santun mereka sewaktu berinteraksi. Benar, akan ada pihak yang tetap mengeji dan mencela, namun dek kerana budaya dan amalan masyarakat Malaysia sebahagian besar akan masih menghargai kesantunan yang dipamerkan. Cabaran paling sukar ahli politik dalam mendepani tekanan media sosial adalah pengurusan masa. Jadual yang padat menyebabkan ahli politik sukar untuk berinteraksi bersama pengguna media sosial. Kegagalan untuk berinteraksi akan menyebabkan nama baik mereka tercemar.

Dalam aspek ini, mahu tidak mahu, ahli politik perlu memperuntukkan 1 hingga 2 jam sehari untuk membalas maklum balas yang diterima mereka di media sosial. Lebih utama, jika permasalahan atau aduan itu datang dari akar-umbi mereka sendiri. Interaksi adalah amat penting walaupun hanya sekadar di laman maya. Ia memberi gambaran bahawa sebarang post, komen atau tweet pengguna media sosial dihargai oleh ahli politik. Konsistensi dalam berinteraksi akan meningkatkan imej politikus tersebut. Lebih menarik apabila, ahli politik akan dapat mengetahui apa isu terkini yang sentiasa dibawa oleh penguna-pengguna media sosial. Menjadi satu keutamaan untuk ahli politik mempunyai pendirian dan pegangan yang tidak lari daripada pendirian pemimpin parti dan parti itu sendiri. Dalam dunia media sosial yang responsif, aktif dan dinamik ini, sebarang tersilap kata, komen atau 'tweet' boleh mendatangkan masalah besar kepada ahli politik dan juga parti. Dalam karya Dr. Daniel Kahenman bertajuk Thinking Fast and Slow, ahli psikologi ini menyatakan bahawa seseorang yang rasional tidak akan terburu-buru dalam menjawab tohmahan, tuduhan ataupun isu yang dibangkitkan oleh pihak lain. Justeru, ahli politik perlu mempamerkan kebijaksanaan dalam menenangkan masyarakat serta pengguna media sosial sebelum jawapan ataupun maklum balas diberikan oleh pemimpin parti. Mendekati golongan muda dan beliau adalah sukar terutama kepada ahli politik yang berasal daripada generasi yang berbeza. Walaupun generasi Y ini lahir dalam zaman teknologi, sifat dan kelakuan mereka adalah sama seperti generasi sebelumnya. Sebagai anak muda, mereka penuh dengan idea dan semangat untuk melakukan perubahan demi penambahbaikan serta kesenangan mereka. Adalah menjadi tanggungjawab ahli politik untuk mengetahui cara dan kelakuan mereka ini agar mereka lebih mudah didekati dan didedahkan dengan perjuangan parti. Keprihatinan ahli politik dengan mengambil kira pandangan mereka akan membuatkan mereka lebih dihargai dan akan bersedia untuk memberikan kerjasama di masa mendatang. Ahli politik yang bijak akan turut mengambil kira pandangan golongan cerdik pandai bagi memastikan cadangan daripada generasi muda tersebut akan boleh dilaksanakan. Seterusnya menaikkan lagi imej mereka selaku ahli politik yang holistik serta matang. Menjadi tanggungjawab untuk pengamal media sosial serta blogger untuk membantu ahli politik menjayakan rancangan ini. Tiga elemen bersepadu yang perlu ada pada mereka sewaktu berinteraksi bersama masyarakat sosial media ini adalah : Komunikasi Pengamal media sosial dan blogger perlu membantu ahli politik melalui kemahiran dan pengalaman mereka dalam mencipta ruang komunikasi dua hala

antara ahli politik dan pengguna media sosial. Komunikasi yang berkesan akan menyebabkan penyampaian informasi yang lebih lancar dan jelas. Informasi Menjadi kemestian untuk menganggap pengguna media sosial selaku golongan terpelajar. Justeru komunikasi dan interaksi yang berlaku mesti mempunyai elemen pengetahuan dan pendidikan. Komen, post dan tweet perlu kaya dengan logik berbanding emosi. Ini adalah mustahak dalam memastikan keterampilan dan kredibiliti ahli politik terjaga di mata masyarakat. Kolaborasi Kolaborasi adalah elemen utama di mana, masyarakat dan pengguna media sosial diberi ruang dan peluang menyampaikan idea dan pendapat mereka. Kekerapan komunikasi antara pengamal media sosial dan blogger membolehkan mereka memberikan respons terhadap idea serta pendapatpendapat daripada pengguna media sosial. Seterusnya mewujudkan elemen penghargaan yang merupakan elemen penting dalam menarik minat mereka terhadap perjuangan parti. Rumusannya, pendekatan berpolitik dalam media sosial perlulah mempunyai elemen K.I.K (Komunikasi, Informasi dan Kolaborasi). Ini membolehkan ahli politik sentiasa berketerampilan dan dipercayai oleh pengguna media sosial. Lebih utama ia memberikan imej bahawa parti sentiasa menghargai pendapat dan pandangan mereka walaupun mereka bukanlah ahli parti. Elemen penting dalam memenangi kepercayaan rakyat. Justeru, sudah tiba masanya untuk rakan-rakan ahli politik mencetus pembaharuan dalam mendekati para pengundi melalui media sosial. Keupayaan memenangi hati pengundi-pengundi muda adalah kunci kepada keutuhan parti ini untuk bergelar kerajaan di masa mendatang. PENULIS ialah Pengerusi Biro Media Sosial Pemuda UMNO Utusan Malaysia, 13 Januari 2014

http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140113/re_06/Ahli-politik-mesti-bijakdalam-media-sosial#ixzz2qFytCaP9