Anda di halaman 1dari 4

REFLEKSI PENGAJARAN MIKRO

Setelah melalui sepuluh minit pengajaran mikro Bahasa Melayu dengan topik Akuarium Ciptaanku kepada sepuluh orang murid kelas 5 Jaya, saya telah dapat mengenalpasti beberapa kekuatan dan kelemahan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran saya.

2.1

Kekuatan

Antara kekuatan yang dapat saya kesan dalam sesi pengajaran mikro yang telah saya jalankan setelah mendapat maklum balas daripada rakan sejawat dan murid-murid ialah tentang penampilan guru yang sesuai termasuklah pakaian yang sopan, tampil dengan yakin dan bersemangat, suara jelas dan lantang dapat menarik perhatian murid dan meningkatkan kefahaman murid tentang isi pelajaran yang ingin disampaikan. Guru prihatin kerana memberi perhatian kepada semua murid. Guru menegur kesalahan murid secara spontan sewaktu sesi pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Bahan bantu mengajar (BBM) yang digunakan iaitu kertas lukisan memang sesuai kerana murid dapat melukis menggunakan idea dan pemahamannya sendiri berpandukan arahan yang diberikan oleh guru. Guru juga telah memberi penerangan terlebih dahulu pada papan tulis kepada murid-murid sebelum menjalankan aktiviti ini. Masa yang diambil untuk menjalankan aktiviti sama mengikut perancangan yang dibuat. Murid memberi kerjasama yang sepenuhnya semasa sesi pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan. Murid menjawab setiap soalan yang dikemukakan dengan baik dan jelas. Penglibtan murid aktif. Guru membantu murid yang teragakagak untuk menjawab soalan yang dikemukakan dan membetulkan kesalahan murid secara langsung. Tindakan susulan oleh murid yang tepat menunjukkan kefahaman murid terhadap penyampaian guru tentang isi pelajaran yang disampaikan. Secara keseluruhan pengurusan kelas adalah teratur dan dapat dilaksanakan mengikut perancangan.

2.2

Kelemahan

Terdapat juga Kelemahan yang dikenalpasti dalam pelaksanaan tugasan mikro

pengajaran iaitu guru tidak menggunakan Bahasa Melayu standard sepenuhnya. Adakala guru menggunakan dialek Kelantan. Guru juga memberi arahan kepada murid dalam keadaan guru berjalan. Ini akan mengganggu tumpuan murid dan arahan menjadi kurang jelas. Guru bercakap agak laju seolah-olah mengejar masa menyebabkan murid rasa agak tertekan. Guru sepatutnya berbincang dan

menerangkan terlebih dahulu tentang akuarium serta kegunaannya. Ini akan dapat meningkatkan kefahaman murid seterusnya akan berlaku percambahan idea murid, barulah hasilnya lukisan murid memuaskan. Guru terlalu banyak bercakap ketika murid sedang melukis, ini menyebabkan konsentrasi murid terganggu. Bahan bantu mengajar (BBM) tidak mencukupi dan perlu ditambah. Ini jelas dapat dilihat sewaktu murid melukis. Apabila guru menyuruh murid melukis akuarium, mereka agak keliru untuk melukis sebuah akuarium idaman mereka menyebabkan guru terpaksa membuat lakaran ringkas akuarium pada papan tulis di hadapan kelas. Masa yang diperuntukkan enam minit untuk melukis terlalu singkat dan tidak mencukupi ini menyebabkan hasil lukisan murid kurang memuaskan. Murid kurang memberi tumpuan kepada penerangan guru kerana asyik memikirkan lukisan akuarium yang ingin dihasilkan. Murid tidak mempunyai alat tulis yang mencukupi menyebabkan terpaksa meminjam daripada kawan. Keadaan ini telah menyebabkan sesi pengajaran dan pembelajaran terganggu. Guru tidak memberi peluang kepada murid untuk bercerita secara ringkas tentang lukisan yang mereka hasilkan. Peluang untuk murid-murid memberi komen tentang lukisan rakan-rakan juga tiada. Ini menyebabkan tidak berlaku perkongsian idea dan pendapat dalam sesi pengajaran dan pembelajaran tersebut.

2.3

Cadangan Cara Mengatasi Masalah

Segala kelemahan yang dikesan memerlukan penambahbaikan bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran pada masa akan datang. Berdasarkan kelemahan dalam tugasan pengajaran mikro yang dijalankan, guru perlu meningkatkan keyakinan diri dan lebih berhati-hati bila berinteraksi dan memberi penerangan kepada murid agar dapat menggunakan Bahasa Melayu standard atau Bahasa Melayu baku dengan betul tanpa mencampuradukkan dengan dialek negeri Kelantan. Semasa memberi arahan

dan penerangan, guru perlu berdiri di hadapan kelas tanpa perlu berjalan terlalu kerap kerana ini akan mengganggu tumpuan murid-murid. Percakapan guru seharusnya tidak terlalu laju dan terlalu perlahan agar murid dapat mendengar dengan jelas. Sebelum menjalankan sesuatu aktiviti atau latihan kendiri, guru haruslah memastikan muridmurid telah dapat menguasai dan memahami isi pelajaran yang disampaikan, barulah berlaku perkembangan idea daripada murid-murid. Sewaktu murid membuat latihan atau melakukan aktiviti kendiri guru seharusnya kurang bercakap dan memberi tumpuan serta teguran kepada murid secara individu. Guru harus memantau kerja-kerja murid secara menyeluruh bagi mengelak murid meniru atau curi tulang. Bahan bantu mengajar (BBM) haruslah menarik minat murid. Guru perlu menunjukkan beberapa contoh akuarium melalui gambar atau tayangan slaid bagi meningkatkan kefahaman dan idea murid-murid untuk mencipta dan melukis akuarium mereka sendiri. Masa yang diberikan haruslah mencukupi antara sepuluh hingga lima belas minit untuk melukis. Guru harus memastikan alat tulis murid sentiasa mencukupi sebelum sesi pengajaran dan pembelajaran bermula. Ini akan memudahkan guru untuk menjalankan aktiviti pembelajaran. Guru juga boleh menyediakan peralatan yang perlu sebagai persediaan awal bagi membantu murid-murid yang tidak mempunyai alatan yang diperlukan. Selepas aktiviti melukis dan mempamerkan hasil kerja murid, guru sepatutnya mengambil sedikit masa untuk memberi peluang kepada murid bercerita tentang lukisan yang dihasilkan dan memberi rakan-rakan komen tentang lukisan tersebut. Ini juga dapat dijadikan pertandingan lukisan tercantik. Sebagai penghargaan guru boleh menampal hasil lukisan pada sudut Bahasa Melayu di dalam kelas tersebut. Guru juga boleh memberikan hadiah seperti alat tulis, buku cerita dan sebagainya. Ini akan membuatkan murid berasa bangga dan dihargai seterusnya mereka akan seronok untuk meneruskan pembelajaran selanjutnya. Semoga refleksi ini dapat membantu saya untuk memperbaiki dan membuat penambahbaikan terhadap sesi pengajaran dan pembelajaran saya pada masa akan datang.