Anda di halaman 1dari 15

MUQADDIMAH

Wakaf merupakan salah satu cara ibadah atau cara menghampiri diri kepada Allah(taqarrub ilallah)menerusi harta kekayaan. Wakaf juga merupakan salah satu ibadah yang awal di dalam Islam yang diizinkan oleh syarak. Dengan itu amalan wakaf telah menjadi satu tradisi kepada para pemerintah dan hartawan-hartawan muslimin di abad-abad dan pertengahan Islam yang dilakukan secara meluas khususnya di negara-negara Arab dan Asia Tengah. Sehingga dikebanyakan negara Arab ditubuhkan satu kementerian khas untuk mengendalikan urusan harta wakaf disebabkan harta wakaf yang terlalu banyak dan tidak terurus. PENGERTIAN WAKAF

Bahasa: Berhenti, Menahan, Menghalang

Istilah/Syara: Wakaf ialah apa-apa harta yang ditahan hak pewakaf ke atas harta tersebut daripada sebarang urusan jual beli, pewarisan, hibah dan wasiat di samping mengekalkan sumber fizikalnya, untuk kebajikan dengan niat untuk mendekatkan diri pewakaf kepada Allah S .W.T

Beberapa pengertian/definisi lain:

1) Definisi wakaf di sisi Abi Hanifah:

Iaitu menahan sesuatu asset atau harta yang sah pemiliknya pewakaf dan bersedekah manfaatnya ke jalan kabajikan.

2) Definisi wakaf di sisi Jumhur Ulama:

Iaitu menahan barangan harta yang boleh dimanfaatkan serta kekal asetnya dengan memutuskan guna pakai ke atas asset itu dari pihak pewakaf atau lainya -ke arah kegunaan yang harus atau diguna pakai penghasilannya ke arah kebaikan dan kebajikan kerana mendamping diri kepada Allah.

3) Definisi wakaf di sisi Mazhab Maliki:

Iaitu pemilik menjadikan manfaat yang dimilikinya sekalipun dimilikinya dengan menyewa ataupun dijadikan penghasilan seumpama wang kepada yang memerlukan dengan jalan berlafaz- untuk jangka masa yang ditetapkan oleh pewakaf. Dengan itu wakaf di sisi Mazhab Maliki ialah tidak memutuskan hak pemiliknya pada asset yang diwakafkan -hanya memutuskan hak mengguna pakai sahaja. DALIL PENSYARIATAN

a) AL-QURAN

Surah Al-Baqarah, ayat 261:

Bermaksud:

Bandingan orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah (perbelanjaan derma) ialah seperti sebiji benih yang tumbuh dan menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala (ganjaran) bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya lagi Maha Mengetahui.

Surah Ali Imran, ayat 92:

Bermaksud:

Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sehahagian harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu nafkahkan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.

b) HADITH NABAWIYAH

Dari Abu Hurairah, r.a, Rasulullah S.A.W bersabda:

Bermaksud:

Apabila mati anak Adam, akan terhentilah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah (harta yang diwakafkan), ilmu yang dimanfaatkannya dan anak yang soleh yang mendoakannya

Hadith Riwayat Muslim

Hadith dari Ibni Umar r.a.

Hadith dari Ibni Umar r.a. dia berkata: Umar telah mendapat sebidang tanah di Khaibar lalu dia datang kepada Nabi s.a.w untuk minta pandangan tentang tanah itu, maka katanya yang bermaksud:

Wahai Rasulullah sesungguhnya aku mendapat sebidang tanah di Khaibar, di mana aku tidak mendapat harta yang lebih berharga bagiku selain daripadanya, (walhal aku bercita-cita untuk mendampingkan diri kepada Allah Azzawajalla) apakah yang hendak engkau perintahkan kepadaku dengannya?

Maka sabda Rasulullah s.a.w kepadanya yang bermaksud:

Jika engkau hendak tahanlah (bekukan) tanah itu, dan sedekahkan manfaatnya.

Maka Umar pun sedekahkan manfaatnya dengan syarat tanah (maukuf) itu tidak boleh dijualbeli, tidak dihibahkan (beri) dan tidak diwariskan (dipusakai). Tanah itu diwakafkan ke atas fakir miskin, kaum kerabat, memerdekakan hamba sahaya, sabilillah, ibnissabil dan tetamu. Dan tidak ada halangan bagi orang yang menguruskan (yang diberi kuasa menjaganya yakni Nazir) untuk mengambil upah sebahagian darinya dengan cara yang wajar dan mengambil upahnya tanpa menganggap bahawa tanah itu miliknya sendiri.

c) IJMA

Imam Al-Qurthuby berkata: Sesungguhnya permasalahan wakaf adalah ijma (sudah disepakati) di antara para sahabat Nabi; yang demikian kerana Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Aisyah, Fathimah, Amr ibn Al-Ash, Ibnu Zubair, dan Jabir, seluruhnya mengamalkan syariat wakaf, dan wakaf-wakaf mereka, baik di Makkah mahupun di Madinah, sudah dikenal masyhur oleh khalayak ramai. (Rujuk: Tafsir AlQurthuby: 6/339, Al-Mustadrah 4/200). Jabir berkata: Tiada seorangpun dari sahabat Nabi yang memiliki kemampuan dan kelapangan rezeki, kecuali pasti pernah mewakafkannya. (Rujuk: Al-Mughni 8/185, Al-Zarkasyi 4/269). Imam Tirmidzi menyatakan: Wakaf telah diamalkan oleh para ulama, baik dari kalangan sahabat Nabi mahupun yang lainnya, saya tidak melihat ada perbezaan pendapat di kalangan ulama mutaqaddimin tentang bolehnya wakaf, baik wakaf tanah mahupun wakaf yang lain.? (Rujuk: Sunan Tirmidzi 5/13 setelah hadits no. 1375).

RUKUN WAKAF

a) Wakif (pewakaf).

Di antara syarat-syarat pewakaf adalah:

Mestilah memiliki secara penuh harta yang ingin diwakafkan, bermakna ia merdeka untuk mewakafkan harta itu kepada sesiapa yang ia kehendaki. Berakal (sempurna akal fikiran) dan waras pemikirannya. Baligh. Pilihan sendiri untuk berwakaf dan tidak dipaksa (ikhtiar bi nafsih).

b) Mawquf (harta yang diwakafkan).

Harta itu mestilah benda yang dapat diambil manfaatnya. Harta yang diwakafkan mempunyai nilai harga (mutaqawwim). Harta yang diwakafkan itu adalah milik sempurna oleh orang yang berwakaf (waqif). Diwakafkan untuk tujuan yang baik sahaja dan tidak menyalahi syarak.

c) Mawquf Alaih (penerima wakaf).

Orang yang boleh untuk memiliki harta (ahlan li al-tamlik) orang Islam, merdeka dan kafir zimmi boleh memiliki dan menerima manfaat harta wakaf. Manakala orang yang tidak sempurna akalnya, hamba sahaya, dan orang gila tidak sah menerima wakaf. Penerima wakaf mampu menjadikan manfaat wakaf sebagai hal taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah S.W.T) dan perkara ini hanya ditujukan untuk kepentingan Islam sahaja.

d) Sighah (penyataan wakaf).

Pernyataan wakaf yang dibuat sama ada secara lisan, tulisan bersama lafaz ataupun isyarat. Melalui lafaz sama ada secara soreh atau kinayah.

Lafaz soreh: lafaz yang jelas membawa maksud yang tertentu sahaja seperti Saya mewakafkan rumah saya untuk orang-orang fakir.

Lafaz kinayah: lafaz yang membawa banyak maksud seperti Hartaku adalah sedekah kepada fakir miskin. INSTITUSI wakaf sepatutnya berperanan dalam mengangkat syiar, martabat dan keagungan Islam.

Ia bukan sahaja daripada aspek kerohanian dan ketuhanan tetapi juga aspek lain seperti ekonomi, politik, geopolitik, kemasyarakatan, pendidikan dan sosial.

Institusi ini wajib diuruskan secara profesional, terbaik dan kontemporari sehingga dapat menyerlahkan kegemilangan Islam.

Ironinya penjajahan Barat telah menyebabkan sistem ekonomi Islam sedikit demi sedikit terhakis sehinggalah umat Islam di dunia termasuk Malaysia sendiri akhirnya tidak lagi dapat melihat keupayaan wakaf menggembleng sosioekonomi dan tamadun Islam.

Sudah sampai masanya pengurusan wakaf perlu melalui proses transformasi supaya menjadikannya lebih cekap dan berkesan.

Sebenarnya daripada kacamata pengamal wakaf (waqf practicioner), wakaf mempunyai banyak masalah terkumpul.

Masalah wakaf bermula daripada Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) mula mewarisi harta wakaf, tiada inventori harta, pentadbiran wakaf di bawah muttawali atau nazir tidak bertauliah.

Selain itu, tanah wakaf diurus orang bukan Islam, tanah wakaf semak, terbiar dan terjual hingga kepada isu harta diwakaf secara lisan, wakaf tidak didaftarkan dan tiada dokumen wakaf sehingga kepada isu-isu untuk membangun dan memajukan harta wakaf.

Itu belum lagi isu mengenai harta-harta wakaf yang tidak dapat dikawal sehingga menimbulkan pelbagai masalah lain seperti cukai tanah tertunggak, cukai pintu premis wakaf tinggi, tanah wakaf dirampas oleh pejabat tanah dan premis wakaf disita oleh pihak berkuasa tempatan.

Ia juga meliputi pendapatan wakaf tidak dapat menampung perbelanjaannya, wakaf tidak produktif dan self generating, pengambilan tanah wakaf yang belum dibayar pampasan, wakaf belum diistibdal (dibeli tanah ganti) dan manfaat wakaf tidak sampai kepada maukuf alaih (penerimanya).

Boleh dikatakan isu wakaf sangat banyak, kronik dan memerlukan perhatian penuh dan berfokus. Dari segi peruntukan Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Negeri, tugas untuk menguruskan wakaf berada di tangan MAIN yang dilantik sebagai pemegang amanah tunggal.

Jika begitu kenapa isu wakaf masih berbangkit? Rata-rata kerana MAIN sendiri mempunyai pelbagai masalah sehingga mengekang perkembangan dan pembangunan wakaf.

MAIN tidak mempunyai kakitangan mencukupi untuk menguruskan wakaf sedangkan masalah wakaf banyak. Maka fokus untuk menyelesaikan masalah wakaf tidak ada, tambahan pula pada masa sama wujudnya tuntutan kerja di bidang lain seperti baitulmal, zakat, sumber am dan pembangunan Islam. Jika begitu, hendak ke mana wakaf?

Apakah tindakan yang boleh dilakukan oleh MAIN? Sesuatu pembaharuan yang konkrit mesti dilakukan.

Kaedah yang boleh dilaksanakan ialah transformasi pengurusan wakaf. Ia bermaksud anjakan pengurusan wakaf kepada suatu kaedah pengurusan bentuk baru yang dapat membantu meningkatkan imejnya.

Kaedah baru perlu dicari untuk memperbaiki permasalahan wakaf. Terdapat tiga pilihan kaedah yang boleh dilaksanakan iaitu penambahan kakitangan di bahagian wakaf, outsourcing aktiviti wakaf dan strategi pengkorporatan wakaf. Perkara ini mudah untuk dicadangkan tetapi sebenarnya sukar untuk dilaksanakan.

Penambahan kakitangan baru hanya boleh dilakukan jika MAIN mempunyai sumber kewangan mencukupi. Penambahan kakitangan juga melibatkan banyak prosedur dan proses birokrasi walaupun untuk melantik kakitangan kontrak.

Jadi ia lambat untuk menjadi kenyataan. Jika begitu, apakah peranan wakaf patut diketepikan atau perlu menunggu lebih lama sebelum mendapat perhatian?

Strategi kedua ialah outsourcing sesetengah aktiviti wakaf. Ini bermakna sebahagian aktiviti terpilih wakaf boleh diswastakan atau ditenderkan kepada pihak lain atau perunding yang mempunyai kepakaran. Di antaranya ialah seperti aktiviti pembersihan kubur atau masjid, pembaikan kecil dan penyelenggaraan aset.

Pengurusan pungutan sewa aset wakaf juga boleh diswastakan tetapi ini akan membawa impak lain terutama dari segi kemampuan mengutip dan bidang kuasa undang-undang. Bagaimanapun sesetengah MAIN tidak berminat menswastakan kutipan sewa kerana ini akan mendedahkan banyak rahsia dan strategi MAIN kepada pihak luar.

Penswastaan juga memerlukan MAIN mempunyai kedudukan kewangan yang mencukupi. Bagaimana pula dengan pengkorporatan wakaf ?

Ini adalah satu isu baru dan sangat menarik jika dapat menjadi kenyataan. Ketika ini isu ini masih belum dapat diterima oleh pembuat dasar dan pengurusan tertinggi MAIN.

Walaupun ada bukti kejayaan mengkorporatkan zakat tetapi hanya enam negeri (Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Selangor, Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan) sahaja telah mengkorporatkan pengurusan zakat manakala negeri-negeri lain belum melaksanakannya.

Bagi sesetengah negeri pengkorporatan institusi wakaf dirasakan belum diperlukan. Ini kerana mengkorporatkan wakaf bermakna menyerahkan pengurusan wakaf kepada pihak lain.

Walaupun demikian masalah ini ada jalan keluarnya dengan penubuhan anak syarikat MAIN sendiri di bawah Akta Syarikat 1965. Untuk tujuan kawalan dan pemantauan, MAIN boleh memegang 100 peratus saham anak syarikat ini. Kaedah pengkorporatan lain ialah penubuhan Yayasan Wakaf Negeri (YWN), sebuah pertubuhan yang berorientasikan kebajikan.

Status ini melayakkan YWN untuk mendapat pengecualian cukai korporat dan zakat perniagaan. Kesimpulannya, terpulanglah kepada MAIN sendiri untuk memilih mana-mana kaedah yang sesuai.

MAIN mempunyai 3 pilihan, samada untuk menambah jumlah kakitangan wakaf, menswastakan sebahagian aktiviti wakaf yang strategik atau melaksanakan strategi pengkorporatan wakaf.

Apa pun pilihan yang dibuat oleh MAIN, paling tidak wakaf mestilah kembali berperanan sebagai wadah untuk memajukan pembangunan sosio ekonomi umat Islam di Malaysia.

Dan untuk mencapai hasrat tersebut, wakaf perlulah melalui proses transformasi pengurusan agar sumbangan wakaf kepada ummah akan menjadi lebih signifikan dan releven. Untuk berubah, wakaf perlukan transformer.

PENULIS ialah Penyelidik Bersekutu

Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia

WAKAF DAN PERANANNYA DALAM PEMBANGUNAN UMMAH Oleh: Hj. Mohd Nazri Chik Institusi wakaf semakin diberi perhatian dewasa ini lantaran kesedaran tentang kepentingannya sebagai salah satu pemangkin pembangunan ekonomi umat Islam. KONSEP WAKAF Terminologi wakaf berasal daripada perkataan Arab waqafa yang bermaksud berhenti, menegah dan menahan. Dari segi istilah, wakaf telah diberikan beberapa takrif seperti: 1. Syed Sabiq (Fiqh al-Sunnah) Wakaf ialah menahan harta dan memberikan manfaatnya pada jalan Allah. 2. Sahiban Abu Hanifah; Abu Yusuf dan Muhammad bin Hassan Wakaf ialah menahan ain mawquf (benda) sebagai milik Allah atau pada hukum milik Allah dan mensedekahkan manfaatnya ke arah kebajikan dari mula hingga akhirnya. 3. Dr. Muhammad Al-Ahmad Abu Al-Nur, bekas Menteri Wakaf Mesir Wakaf ialah harta atau hartanah yang ditahan oleh pemiliknya sekira-kira dapat menghalang penggunaannya dengan dijual atau dibeli ataupun diberikan sebagai pemberian dengan syarat dibelanjakan faedahnya atau keuntungannya atau hasil mahsulnya kepada orang yang ditentukan oleh pewakaf. Takrif-takrif di atas telah menunjukkan kedudukan wakaf sebagai sebahagian daripada amalan yang dianjurkan oleh Syariah sebagaimana firman Allah SWT:

Bandingan (pahala) orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, dan pada tiap-tiap tangkai itu pula terdapat seratus biji. Allah melipatgandakan (pahala) bagi setiap yang Dia kehendaki dan Allah Maha Luas (Kurniaannya) lagi Maha Mengetahui. (Surah al-Baqarah: Ayat 261) Daripada Abu Hurairah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Apabila mati anak Adam, terputus amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah (wakaf), ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan kepadanya. (Hadith Riwayat Muslim) Istilah wakaf adalah berkait dengan infaq, zakat dan sedeqah. Ia adalah termasuk dalam mafhum infaq yang disebut oleh Allah sebanyak 60 kali dalam al-Quran. Ketiga-tiga perkara ini bermaksud memindahkan sebahagian daripada segolongan umat Islam kepada mereka yang memerlukan. Namun, berbanding zakat yang diwajibkan ke atas umat Islam yang memenuhi syarat-syarat tertentu dan sedeqah yang menjadi sunat yang umum ke atas umat Islam; wakaf lebih bersifat pelengkap (complement) kepada kedua-dua perkara tersebut. Disamping itu, apa yang disumbangkan melalui zakat adalah tidak kekal dimana sumbangannya akan digunakan dalam bentuk hangus, sedangkan harta wakaf adalah berbentuk produktif iaitu kekal dan boleh dilaburkan dalam pelbagai bentuk untuk faedah masa hadapan. SEJARAH PERLAKSANAAN WAKAF Rasulullah SAW merupakan perintis kepada amalan wakaf berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Umar bin Syaibah daripada Amr bin Saad bin Muaz yang bermaksud: Kami bertanya tentang wakaf yang terawal dalam Islam? Orang-orang Ansar mengatakan adalah wakaf Rasulullah SAW. (Hadith Riwayat Al-Syaukani)

Orang Jahiliyyah tidak mengenali akad wakaf yang merupakan sebahagian daripada akad-akad tabarru, lalu Rasulullah SAW memperkenalkannya kerana beberapa ciri istimewa yang tidak wujud pada akad-akad sedekah yang lain. Institusi terawal yang diwakafkan oleh Rasulullah SAW ialah Masjid Quba yang diasaskan sendiri oleh Baginda SAW apabila tiba di Madinah pada 622M atas dasar ketaqwaan kepada Allah SWT. Ini diikuti pula dengan wakaf Masjid Nabawi enam bulan selepas pembinaan Masjid Quba. Diriwayatkan bahawa Baginda SAW membeli tanah bagi pembinaan masjid tersebut daripada dua saudara yatim piatu iaitu Sahl dan Suhail dengan harga 100 dirham. Pandangan masyhur menyatakan individu pertama yang mengeluarkan harta untuk diwakafkan adalah Saidina Umar RA dengan mewakafkan 100 bahagian daripada tanah Khaibar kepada

umat Islam. Anaknya Abdullah bin Umar RA menyatakan bahawa ayahnya telah mendapat sebidang tanah di Khaibar lalu dia datang kepada Rasulullah SAW untuk meminta pandangan tentang tanah itu, maka katanya: Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mendapat sebidang tanah di Khaibar, dimana aku tidak mendapat harta yang lebih berharga bagiku selain daripadanya, (walhal aku bercita-cita untuk mendampingkan diri kepada Allah) apakah yang engkau perintahkan kepadaku dengannya?. Maka sabda Rasulullah SAW: Jika engkau hendak, tahanlah (bekukan) tanah itu, dan sedekahkan manfaatnya. Maka Umar telah mewakafkan hasil tanahnya itu, sesungguhnya tanah itu tidak boleh dijual, tidak boleh dihibah (diberi) dan diwarisi kepada sesiapa. Katanya lagi: Umar telah menyedekahkannya kepada orang-orang fakir, kaum kerabat, hamba yang baru merdeka, pejuang-pejuang di jalan Allah, ibn Sabil dan para tetamu. Tidaklah berdosa sesiapa yang menyelia tanah wakaf itu memakan sebahagian hasilnya sekadar yang patut, boleh juga ia memberi makan kawan-kawannya, tetapi tidaklah boleh ia memilikinya. Sejak itu amalan wakaf berkembang sehingga menjadi tulang belakang kepada menjadi teras kepada pembangunan umat Islam terdahulu dan berkekalan sehingga ke hari ini. Banyak institusi pendidikan seperti Universiti Cordova di Andalus, Al-Azhar al-Syarif di Mesir, Madrasah Nizamiyyah di Baghdad, al-Qurawiyyin di Fez, Maghribi, Al-Jamiah al-Islamiyyah di Madinah, Pondok Pesantren Darunnajah di Indonesia, Madrasah Al-Juneid di Singapura dan banyak institusi pondok dan sekolah agama di Malaysia adalah berkembang berasaskan harta wakaf. Universiti Al-Azhar contohnya telah membangun dan terus maju hasil sumbangan harta wakaf. Sehingga kini pembiayaan Univesiti Al-Azhar yang dibina sejak 1000 tahun lalu telah memberikan khidmat percuma pengajian kepada ribuam pelajar Islam dari seluruh dunia. Merekalah yang menjadi duta Al-Azhar untuk membimbing umat Islam kearah penghayatan Islam di seluruh pelusuk dunia. CIRI-CIRI KEISTIMEWAAN HARTA WAKAF Harta wakaf dalam dioperasikan sebagai pemangkin pembangunan ekonomi umat Islam kerana ia memiliki beberapa ciri berikut: 1. Keunikan wakaf pada konsep pemisahan diantara hak pemilikan dan faedah penggunaannya. Pewakafan harta menyebabkan kuasa pemilikan hartanya akan terhapus daripada harta tersebut. Wakaf secara prinsipnya adalah satu kontrak berkekalan dan pewakaf tidak boleh lagi memiliki harta itu dengan apa jua sekalipun, kecuali sebagai pengurus harta wakaf. Secara majazinya harta wakaf adalah menjadi milik Allah Taala. 2. Wakaf adalah sedekah berterusan iaitu bukan sahaja membolehkan pewakaf mendapat pahala berterusan, tetapi penerima mendapat faedah berterusan. Dengan itu pihak yang bergantung wakaf boleh mengatur perancangan kewangan institusinya dengan berkesan untuk jangka panjang. Disamping itu pihak pewakaf tidak perlu bimbang mungkin berlaku sabotaj seperti pengubahan status wakaf tanahnya oleh pemerintah kerana kaedah fiqh menyatakan: Syarat pewakaf adalah seperti nas Syara.

3. Penggunaan harta wakaf adalah untuk kebajikan dan perkara-perkara yang diharuskan oleh Syara. Oleh tidak diwajibkan menentukan golongan yang mendapat manfaat daripada wakaf dan memadai menyebutkan: Saya wakafkan harta ini kerana Allah. Ciri ini membolehkan pengembangan harta wakaf kepada pelbagai bentuk moden selagimana ia menepati objektif wakaf. WAKAF DI MALAYSIA Perkembangan wakaf sejak zaman Rasulullah SAW juga mempengaruhi kehidupan umat Islam di Malaysia sejak zaman pengIslamannya. Perkembangan tersebut bolehlah digambarkan melalui fakta-fakta berikut: 1. Malaysia memiliki tanah wakaf yang amat besar dan jika dibangunkan boleh memberi impak kepada pembangunan ekonomi umat Islam khasnya dan Negara amnya. Keluasan tanah wakaf di Malaysia ialah sebanyak 20,735.61 ekar dimana sebanyak 14,815.787 ekar adalah wakaf khas dan 5,919.83. Negeri Johor adalah negeri yang paling banyak memiliki tanah wakaf diikuti oleh Perak dan Pahang. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mencatatkan jumlah tanah wakaf di Malaysia seperti berikut:

2. Selain daripada wakaf tanah, terdapat banyak institusi pendidikan di Malaysia yang terus memberi bakti di atas asas wakaf seperti Madrasah al-Attas di Pekan, Madrasah al-Attas di Johor, Sekolah Agama Arab Al-Masriyah di Bukit Mertajam, Madrasah Khairiah Islamiah di

Kepala Batas, Madrasah Masyhor al-Islamiyyah di Pulau Pinang, Maahad al-Yahyawiah di Padang Rengas, Perak, Maahad al-Ihya al-Syarif di Gunung Semanggol, Maahad Mahmud di Alor Setar, Kolej Islam Sultan Alam Shah di Kelang dan lain-lain lagi. 3. Di sebalik fakta-fakta di atas, masih terdapat banyak masalah dalam membangunkan harta wakaf di Malaysia. Antara lainnya ialah: 1. Masalah perundangan iaitu ketidakseragaman undang-undang wakaf antara negeri-negeri yang mewujudkan perbezaan dalam pemahaman, tafsiran, tatacara pengeluaran fatwa dan hukum. Ini berpunca daripada kedudukan harta wakaf sepertimana perkara-perkara agama lain terletak di bawah bidangkuasa negeri (Perlembagaan Persekutuan, Jadual Kesembilan, Senarai 2 (1)) dan tiada enakmen khusus berkaitan pengurusan dan pentadbiran wakaf di negeri-negeri kecuali Selangor (Enakmen Wakaf (Negeri Selangor) 7/1999). 2. Kebanyakan tanah wakaf di kawasan bandar terletak di lokasi yang kurang strategik dan tidak berpotensi untuk dibangunkan. Manakala tanah wakaf di kawasan pedalaman tidak digunakan secara optima kerana kerana ketiadaan keperluan untuk dibangunkan. 3. Terdapat juga kes pencerobohan tanah wakaf secara haram di beberapa negeri bukan sahaja untuk tujuan penempatan, malah digunakan untuk membina premis-premis perniagaan. 4. Terdapat tanah wakaf yang belum didaftarkan di bawah pentadbiran pihak berkuasa agama menyebabkan ia tidak boleh dibangunkan. 5. Ketiadaan pengkalan data yang lengkap tentang tanah-tanah wakaf. 4. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa perkembangan positif yang menggambarkan kesedaran yang tinggi dikalangan pelbagai pihak terhadap potensi harta wakaf iaitu: 1. Penubuhan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji pada 27 Mac 2004 oleh Kerajaan Malaysia. Objektif jabatan in tentang wakaf ialah untuk mewujudkan institusi wakaf yang kemas, teratur, seragam, telus dan berkesan menurut lunas-lunas Syarak yang dapat membantu meningkatkan taraf sosiekonomi masyarakat Islam di Malaysia. 2. Pengemukakaan cadangan pensekuritian harta wakaf melalui instrumen sukuk untuk mengembangkan lagi manfaat harta wakaf dalam cadangan 68, Pelan Induk Pasaran Modal Malaysia yang diterbitkan oleh Suruhanjaya Sekuriti pada Februari 2001. 3. Penerbitan Saham Wakaf oleh beberapa negeri seperti Johor, Melaka dan Selangor. Cadangan ini adalah menepati keputusan Majma Fiqh Islamiy pada 24 November 2005 bahawa: Adalah harus mewaqafkan bahagian-bahagian dan saham-saham syarikat kewangan yang diperniagakan dalam dagangan yang diharuskan oleh Syarak dengan syarat saham-saham ini beserta keuntungannya diagihkan sejajar serta mengikut syarat-syarat yang telah ditentukan oleh pewaqaf dimana ia adalah seperti nas Syarak iaitu satu kaedah yang telah disepakati oleh Ulama.

Saham Wakaf Johor telah membolehkan pembinaan Bangunan Saham Wakaf Johor di Skudai dengan kos RM 4 juta, pembangunan projek wakaf pertanian seluas 3800 hektar di Mersing, pembelian bangunan asrama 6 tingkat untuk pelajar di Kaherah, Mesir dan pemberian bantuan kepada umat Islam hasil sewaan bangunan wakaf dan lain-lain projek Wakaf. 4. Penerbitan Pelan Takaful Wakaf oleh Syarikat Takaful Malaysia Berhad yang menggabungkan produk Takaful di bawah kontrak Mudharabah dengan wakaf tunai sejak tahun 1997. Produk ini telah memberi manfaat kepada golongan petani, nelayan dan orang kurang upaya (OKU) melalui penerima wakaf dinamakan iaitu Yayasan Di Raja Sultan Mizan Zainal Abidin, anak yatim dan orang tua di beberapa rumah anak yatim dan orang tua, pelajar-pelajar kurang bernasib baik di beberapa buah institusi pendidikan dan lain-lain lagi. 5. Pengenalan Sistem Maklumat Wakaf Berasaskan Sistem Maklumat Geografi (GISWAQF) iaitu mengambil manfaat daripada Geographic Information System (GIS) sebagaimana dicadangkan oleh sekumpulan penyelidik daripada Pusat Kajian Harta Tanah (CRES), Universiti Teknologi Malaysia. Usaha ini adalah untuk membolehkan tanah-tanah wakaf diuruskan dengan lebih efisien oleh pihak-pihak berkuasa berkaitan. KESIMPULAN Kesimpulannya institusi wakaf dan harta wakaf sebagai sumber ekonomi terpendam umat Islam yang perlu dieksploitasi dengan sebaiknya bagi mendapatkan manfaat yang sebaiknya bagi umat Islam. Memandangkan menyimpan modal tanpa digunakan, keep the capital idle suatu yang dilarang oleh Islam, maka usaha-usaha di bawah adalah perlu digiatkan untuk mengembalikan fungsi wakaf: 1. Memperkemaskan pentadbiran harta wakaf, 2. Menyelaraskan perundangan berkaitan dengan hal ehwal wakaf, 3. Memantapkan kaedah dan prosedur mewakafkan tanah, 4. Membangunkan sistem maklumat tanah berasaskan GIS, 5. Melibatkan pembangunan tanah wakaf dalam perancangan dan pembangunan negeri, wilayah dan kerajaan tempatan, 6. Membangunkan harta wakaf dengan kaedah inovatif istibdal; dan 7. Menyedarkan masyarakat tentang wakaf dan potensinya. Dengan perancangan, pengurusan dan perlaksanaan saranan-saranan ini, tidak mustahil wakaf akan menjadi sumber baru kepada kekuatan ekonomi umat Islam. . Hj Mohd Nazri Chik sekarang bertugas di Unit Pengurusan Risiko Pematuhan Syariah, Bahagian Pengurusan Risiko, Bank Islam Malaysia Berhad. Antara tugas-tugas penting beliau adalah untuk membantu mengenal pasti isu-isu operasi, produk dan servis perbankan yang berkaitan dengan pengurusan risiko pematuhan Syariah dan membantu pihak pengurusan bank untuk memastikan supaya segala aktiviti perbankan Bank adalah mematuhi kehendak-kehendak Syariah. Beliau boleh dihubungi di mnazric@bankislam.com.my