Anda di halaman 1dari 4

Kaedah Komunikasi Islam

Beberapa Kaedah Komunikasi Islam: Menjamin


Produktiviti Kerja
Ahmad Sufyan Che Abdullah

Komunikasi adalah asas dalam kehidupan seseorang manusia. Dalam sesebuah


organisasi, komunikasi ibarat nadi yang menggerakkan fungsi pengurusan sesebuah
organisasi. Komunikasi menjadi medum penyebaran maklumat daripada seorang
manusia kepada manusia yang lain. Justeru, sistem pengurusan organisasi atau
masyarakat akan tergendala tanpa komunikasi. Semakin berkesan system
komunikasi di amalkan, semakin cekaplah pengurusan dan pentadbiran yang
sesebuah organisasi tersebut. Sama ada komunikasi itu melalui saluran rasmi atau
tidak rasmi, sistem komunikasi perlu melalui kaedah yang betul dengan etika yang
baik untuk memastikan keberkesanannya.

Islam sebagai cara hidup yang komprehensif telah menyediakan alternatif kepada
sistem komunikasi biasa yang sering menimbulkan masalah. Islam bukan sekadar
menyediakan etika, bahkan Islam juga menyediakan teknik-teknik komunikasi yang
berkesan untuk menjamin pelaksanan pengurusan dan pentadbiran yang efektif
melalui teladan yang ditunjukkan oleh Sunah Nabi Muhammad. Itu pun jika kita
melihat Sunah secara universal dan pandai mentafsirkannya mengikut kesesuaian
realiti semasa. Dalam Islam, sistem komunikasi bermula dengan kepastian mengenai
ketepatan maklumat, kejujuran dan ketelusan dalam komunikasi, keadah-kaedah
komunikasi, serta amalan-aman dalam komunikasi yang menjamin keberkesanan
komunikasi dan pengurusan, seterusnya meningkatkan kualiti dan produktiviti
pekerja.

Prinsip Pertama: Semakan Ketepatan Fakta

Kaedah yang pertama dalam sistem komunikasi Islam ialah prinsip ketepatan fakta
dalam penyampaian sesuatu maklumat. Dalam Islam, fakta-fakta yang diterima
hendaklah ditapis, disaring dan disahkan kebenarannya sebelum disampaikan kepada
orang lain. Amalan menerima dan terus menyebarkan fakta kepada orang lain tanpa
memeriksa dahulu ketepatan maklumat adalah jelas menyalahi ajaran Islam. Firman
Allah di dalam al-Quran ini jelas menunjukkan betapa pentingnya pengesahan
sesuatu maklumat: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu
seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan)
kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang
tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan
kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan” [al-Hujurat:6]

Fakta-fakta hendaklah disahkan daripada sumber berautoriti sebelum disebarkan


kepada orang lain. Dengan cara ini, organisasi boleh mengawal komunikasi
‘grapevine’ daripada menyebarkan spekulasi yang lebih banyak memberikan kesan
buruk berbanding kesan yang baik. Dalam kes ini juga, maklumat-maklumat yang
masih spekulatif atau semata-mata sangkaan wajar dielakkan daripada disebarkan.
Firman Allah: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari
maklumat berupa sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang
dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa” [al-
Hujurat: 12]. Dengan ini, hanya maklumat-maklumat yang benar sahaja yang
tersebar dan keadaan ini akan memantapkan lagi operasi sesebuah organisasi.

Pilih Maklumat Yang Sesuai Dengan Penerima Yang Sesuai

Kaedah kedua dalam komunikasi ialah pemilihan terhadap maklumat yang ada
sebelum disebarkan kepada orang lain. Jika anda seorang pengurus, tidak semua
maklumat yang anda terima perlu disebarkan, tetapi ketepatan memilih maklumat
berasaskan fungsi yang boleh dilakukan oleh penerima maklumat. Maklumat yang
tepat, jika diberikan kepada penerima yang tidak sepatutnya, boleh menyebabkan
kesilapan berlaku. Jika dilihat dalam sejarah Rasulullah, bagaimana baginda
berkomunikasi dengan pelbagai jenis dan darjat manusia, adakalanya baginda
memperincikan perkara yang sama dengan maklumat yang berbeza-beza, sesuai
dengan fungsi yang dapat diamalkan oleh penerima tersebut. Dalam suatu keadaan
Rasulullah menyatakan sebaik-baik amalan ialah beriman kepada Allah [Sahih
Bukhari, Kitab al-Iman, no 26] dan dalam situasi yang lain Rasulullah menyatakan
sebaik-baik amalan ialah mengerjakan sembahyang dalam waktunya dan berbuat
baik kepada ibu bapa [Sahih Bukhari, Kitab Mawaqit al-Solah, 396]. Menurut seorang
penulis pengurusan, Stephen P. Robbin, kesilapan dalam memilih saluran dan
maklumat yang tepat boleh menjadi antara halangan dalam komunikasi efektif dan
membantutkan perjalanan organisasi. Seseorang pengurus perlu memilih maklumat
yang sesuai, atau memilih penerima yang sesuai untuk menerima sesuatu
maklumat.

Kekuatan Bahasa dan Kepetahan Berbicara

Penggunaan bahasa yang jelas dengan kepetahan berkata-kata juga penting dalam
komunikasi yang berbesan. Ini merupakan salah satu daripada kaedah komunikasi
yang ditunjukkan oleh al-Quran dan Sunah. Dalam kisah dakwah Nabi Musa yang
dijelaskan oleh al-Quran, Nabi Musa pernah meminta kepada Allah, “Dan lepaskanlah
simpulan dari lidahku, supaya mereka faham perkataanku; dan jadikanlah bagiku,
seorang penyokong dari keluargaku. Iaitu Harun saudaraku” [Ta Ha: 27-30] Daripada
kisah ini, menurut Dr Iqbal Yunus, dapatlah difahami bahawa komunikasi efektif
memerlukan kepada kemahiran berkata-kata untuk menyampaikan mesej dengan
jelas kepada penerima. Justeru, jika anda ingin menjadi pengurus yang baik, anda
wajar melatih diri supaya petah berkata-kata, atau melantik juru cakap yang petah
berkata-kata, sebagaimana Nabi Musa meminta Harun membantu baginda
berdakwah kepada Firaun.

Prinsip Hikmah Dalam Komunikasi

Islam juga meletakkan prinsip hikmah dalam berkomunikasi. Firman Allah di dalam
al-Quran: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan penuh hikmah
kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka
(yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik” [al-Nahl: 125] Dr. Yusuf al-
Qaradawi dalam kuliah Ramadan beliau tahun lalu menghuraikan bahawa ayat ini
memberi panduan dalam berkomunikasi dengan mereka yang sealiran dan yang
tidak sealiran. Dalam mana-mana organisasi sering terjadi konflik dua pihak. Maka
Allah menyeru agar kita berbicara dengan penuh hikmah dengan memberi
pengajaran yang baik kepada mereka yang sealiran dengan kita, manakala
berbincang dan berbahas dengan cara terbaik dengan mereka yang berkonflik
dengan kita. Konflik tidak boleh dibiarkan berlalu tetapi perlu diselesaikan dengan
cara komunikasi dengan cara-cara yang difikirkan terbaik.

Prinsip Taqwa

Dalam organisasi, sistem komunikasi yang berjaya ialah dengan menggunakan


pelbagai saluran, saluran rasmi dan saluran tidak rasmi. Krisis sering terjadi apabila
saluran komunikasi tidak rasmi tidak dikawal dengan nilai dan etika. Sebab itu Islam
meletakkan taqwa sebagai salah satu kaedah penting berkomunikasi. Hal ini kerana
Dalam organisasi sudah tentu terdapat pelbagai bangsa, kaum, budaya dan ragam
manusia. Dengan adanya taqwa, manusia akan menjaga batas-batas komunikasi
mereka secara lebih berkesan. Firman Allah: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya
Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan
kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan
beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu
di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih
keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha
Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” [al-Hujurat: 13]
Takwa bererti sentiasa mengambil langkah berhati-hati dalam melalukan sesuatu
perkara dengan mengelakkan diri daripada dosa dan sifat tercela. Islam mencela
sifat memburuk-burukkan kaum dan puak lain [al-Hujurat: 11], juga mengumpat
dan membuka aib orang lain kepada umum. [al-Hujurat: 12]. Saluran komunikasi
tidak rasmi di dalam sesebuah organisasi sudah tentu beroperasi dengan licin tanpa
ada masa mengumpat dan memburuk-burukkan pekerja lain. Takwa juga
menjadikan seseorang itu sentiasa manjauhi sifat buruk sangka terhadap orang lain.
Stephen P. Robbin juga pernah menyeraikan sifat buruk sangka ini sering
menimbulkan suasana tidak selesa dalam organisasi. Keadaan boleh terjadi andainya
pengurus memuji seseorang pekerja di hadapan pekerja lain, maka orang yang
buruk sangka akan menganggap pekerja yang dipuji itu suka membodek pengurus
sedangkan alangkah baiknya jika dia bersangka baik dan mahu berusaha pula untuk
menjadikan dirinya yang terbaik juga.

Orang yang bertakwa dalam berkomunikasi sentiasa menjaga batas suara ketika
berbicara, mengelakkan diri daripada menipu dan berdusta, menggunakan perkataan
yang manis dan menjaga adab-adab dalam berkomunikasi sesama manusia.
Rasulullah bersabda dalam memberikan adab-adab komunikasi: “Tidak beriman
seseorang itu sepenuhnya selagi dia berdusta ketika bergurau dan bertengkar
dengan orang lain sekalipun ia benar” [Musnad Ahmad, no 8276] Dalam hadis lain
Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka dia
hendaklah mengucapkan yang baik-baik atau pun dia hanya diam” [Sahih Muslim,
Kitab al-Iman, no 67].

Firman Allah: “Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; Kecuali
orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan
dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” [al-Asr: 1-3] Ayat ini
menjelaskan tentang adab-adab yang perlu diamalkan dalam komunikasi oleh
seorang perkerja yang beriman dan produktif. Pekerja yang produktif tidak
menghabiskan masanya dengan berbual-bual kosong di kafe atau gerai-gerai minum,
tetapi sentiasa melakukan kerja yang produktif. Dia juga sentiasa menjaga
komunikasinya daripada menyampaikan berita-berita yang tersasar daripada
kebenaran juga mengingatkan tentang hari akhirat pada waktu senang. Pada waktu
susah, pekerja ini sentiasa berpesan supaya bersabar menghadapi ujian dan
kesukaran dalam pekerjaan. Etika, adab, dan prinsip dalam komunikasi Islam
bukanlah untuk mengehadkan kebebasan manusia, tetapi menjamin keberkesanan
organisasi sekali gus meningkatkan produktiviti negara.

http://ideologi.muamalat.net
Kemahiran Komunikasi Dalam Islam

Kemahiran Komunikasi

Apabila suatu maksud telah berjaya disampaikan antara seseorang kepada seorang
yang lain, atau sekumpulan manusia, itu dinamakan komunikasi telah berlaku.
Secara teorinya, komunikasi berlaku dengan pelbagai medium sama ada secara
kunonya simbol-simbol, bahasa isyarat, komunikasi lisan, kod-kod, atau apa jua
bentuk yang sesuai digunakan sebagai menyampaikan maklumat dengan berkesan.
Komunikasi dianggap berkesan sekiranya maklumat atau maksud yang ingin
disampaikan oleh pihak yang menyampaikan maklumat telah diterima dan difahami,
serupa dengan apa yang ingin disampaikan.

Namun sering terjadi masalah dalam organisasi, kumpulan, masyarakat, bahkan


rumah tangga, banyak masalah yang diakibatkan oleh masalah komunikasi. Antara
punca masalah yang tidak lagi menjadi rahsia kepada kita ialah seperti
penyelewengan fakta atau tidak amanah dalam komunikasi, menyimpan maklumat
yang patut disampaikan, atau mendedahkan maklumat yang tidak patut
disampaikan, menyampaikan maklumat yang salah, tidak tepat, fitnah,
pembohongan, mengumpat, mencela, dan pelbagai lagi bentuk kepincangan
komunikasi. Hasilnya, organisasi akan bercelaru, masyarakat porak peranda dan
rumah pun boleh tercabut tangga!!

Begitulah parahnya jika komunikasi tidak dijaga dengan baik. Impak negatif
komunikasi tanpa sistem sudah tentu merosakkan organisasi. Sebaliknya, sekiranya
komunikasi dilakukan dengan cara yang baik, pelbagai impak positif pula boleh
dilihat. Komunikasi boleh memotivasikan manusia, boleh mendidik masyarakat,
boleh membina jiwa dan boleh melancarkan kerja. Biasanya jika maklumat itu tepat,
wajar disampaikan serta dilakukan dengan cara yang betul dan cepat.

Bagaimana Islam mengemukakan teorinya?