Anda di halaman 1dari 6

Ulasan artikel jurnal Permainan Bahasa Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran.

Artikel yang dipetik daripada jurnal ini merupakan hasil penulisan oleh Siti Hajar binti Haji Abdul Aziz iaitu seorang pensyarah Bahasa Melayu dari Jabatan Bahasa Melayu Institut Perguruan Bahasa-Bahasa Antarabangsa. Pada pendapat saya, berdasarkan pada tajuk yang diberi, penulisan artikel oleh penulis ini ditujukan khas kepada pelatih-pelatih guru yang masih belajar di Institut Pendidikan Guru Malaysia serta guru-guru Bahasa Melayu yang sedang mengajar di sekolah bagi menyedarkan para pendidik bahawa permainan bahasa merupakan salah satu teknik yang sesuai digunakan untuk semua peringkat pembelajaran bahasa dari peringkat sekolah rendah sehingga ke peringkat sekolah menengah. Secara keseluruhannya, penulisan ini adalah mengenai kebolehan permainan bahasa dalam mempelajari bahasa melalui permainan. Penulis juga telah memberikan hujah-hujah dengan melihat kepada impak-impak yang diperoleh sekiranya para pendidik mengamalkan teknik permainan bahasa dalam sesi pengajaran Bahasa Melayu. Hujah-hujah penulis juga disokong oleh contoh permainan bahasa yang disediakan oleh penulis pada akhir penulisan artikel jurnal ini. Selain itu, pelbagai rasional yang telah dikemukakan oleh penulis mengenai objektif permainan bahasa dalam pengajaran, unsur-unsur yang terkandung dalam permainan bahasa, pengelolaan permainan bahasa, bentuk interaksi dalam permainan bahasa, ciri-ciri permainan bahasa yang baik dan cara pengendalian aktiviti permainan bahasa. Dalam mengintegrasikan permainan bahasa dalam pengajaran, penulis telah menggariskan beberapa objektif bertepatan dengan aspirasi Falsafah Pendidikan negara. Antaranya ialah dapat merangsang interaksi verbal pelajar. Selain itu, permainan bahasa boleh menambahkan kefasihan dan keyakinan pelajar semasa berinteraksi. Lain daripada itu, berguna sebagai penyediaan konteks pembelajaran dalam kelas. Di samping itu, permainan bahasa dijadikan alat mengikis rasa bosan semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Permainan bahasa juga boleh dijadikan sebagai alat pemulihan, pengukuhan dan pengayaan. Walau bagaimanapun, aspek yang paling mendapat perhatian saya daripada pembacaan artikel ini ialah kelebihan penggunaan permainan bahasa sebagai satu teknik pengajaran. Sebagai seorang bakal guru saya perlulah menyiapkan diri

dengan teknik pengajaran yang pelbagai supaya saya tidak menghadapi masalah sewaktu keluar mengajar kelak. Menurut penulis lagi, penggunaan permainan bahasa sebagai satu teknik pengajaran dan pembelajaran bahasa bukan lagi merupakan satu perkara baru dalam dunia pendidikan. Permainan bahasa adalah satu jenis kegiatan pembelajaran bahasa yang amat digemari dan sangat berkesan (Koh Boh Boon, 1990). Permainan bahasa merupakan satu aktiviti yang menarik dan memikat. Guru boleh menggunakan teknik permainan bahasa sebagai satu cara untuk mendekatkan murid dengan pembelajaran positif. Salah satu kelebihan permainan bahasa yang telah dinyatakan oleh penulis di dalam artikelnya ialah permainan bahasa membolehkan murid-murid membiasakan diri menyebut sesuatu sama ada perkataan, frasa atau ayat dengan jelas, betul dan tepat. Selain itu, mereka juga boleh berlatih mengucapkan ayat dengan sebutan, intonasi tekanan, jeda dan gaya yang betul. Melalui teknik ini, murid-murid mungkin tidak menyedari bahawa kemahiran berbahasa mereka semakin baik kerana ini murid-murid tidak tahu bahawa mereka telah mempraktikkan kemahiran kemahiran bahasa dengan cara yang lebih menarik iaitu melalui permainan. Selain daripada itu, permainan bahasa juga boleh dijadikan sebagai bahan rangsangan yang dapat menarik minat dan perhatian murid-murid sama ada semasa memulakan sesuatu pelajaran, pada pertengahan atau akhir pembelajaran. Sebagai contoh, permainan amat efektif terutamanya pada waktu puncak iaitu pada waktu tengah hari apabila murid-murid mula berasa mengantuk, cuaca semakin panas dan sesetengahnya berasa dahaga dan lapar, permainan bahasa secara tidak langsung dapat mengalih perhatian mereka untuk menumpu kepada sesi pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Murid-murid juga berpeluang melibatkan diri secara aktif dalam suasana pembelajaran yang menyeronokkan. Permainan bahasa juga mempunyai kelebihan sebagai satu teknik

mengulang kaji dan pengukuhan. Aktiviti permainan bahasa sangat berguna bagi murid-murid pada semua peringkat kerana aktiviti ini memberi peluang kepada

murid-murid untuk mengingat semula pelajaran dengan mengaitkannya dengan situasi sewaktu mereka bermain. Ini bermaksud, perkara yang dipelajari oleh muridmurid diulang-ulang sehingga kekal dalam ingatan jangka panjang murid-murid. Teknik mengulang kaji ini juga dapat membantu murid-murid untuk meningkatkan

kefahaman mereka terhadap satu-satu isi pengajaran. Cara permainan bahasa ini adalah lebih baik daripada menyuruh murid-murid membaca kembali buku teks pada ketika itu juga. Selain daripada itu, permainan bahasa juga mempunyai kelebihan di mana masa yang diperuntukkan untuk aktiviti permainan bahasa ini dianggap sebagai masa istirahat yang berfaedah. Permainan bahasa merupakan satu teknik pengajaran dan pembelajaran yang baik yang boleh digunakan oleh guru kepada pelajar-pelajar bagi menghidupkan suasana pembelajaran yang kondusif

menyeronokkan di dalam kelas. Permainan bahasa juga boleh mewujudkan komunikasi yang positif dalam bilik darjah di samping dapat mengeratkan lagi hubungan dan kerjasama antara murid-murid dengan guru serta murid sesama murid khususnya kepada murid yang bersifat pemalu dan pasif di dalam kelas. Kelebihan permainan bahasa juga boleh dilihat apabila murid-murid berpeluang untuk mengaplikasikan kemahiran bahasa yang ada pada mereka dalam konteks dan situasi sebenar yang bermakna. Perkara ini terbukti apabila murid-murid akan memberikan respons secara spontan sama ada dengan cara bertanya, memberikan arahan, meneka dan membaca sewaktu menjalankan aktiviti permainan bahasa. Keseronokan bermain seperti ini akan menghidupkan dan mencambahkan lagi minat murid-murid untuk belajar, berkongsi pendapat dan berfikir secara berkesan. Untuk itu, guru mestilah peka dalam menyediakan aktiviti permainan bahasa yang mencabar tetapi masih sesuai dengan kebolehan dan kemampuan murid-muridnya supaya objektif pengajaran yang dikehendaki oleh guru tersebut tercapai. Berdasarkan penulisan yang telah ditulis dapat disimpulkan bahawa teknik permainan bahasa digunakan oleh guru dalam menambah baik proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Teknik pembelajaran secara permainan bahasa sememangnya amat menarik dan sesuai untuk dipraktikkan kerana ia merupakan salah satu cara untuk kita mempelbagaikan kaedah pengajaran kita. Selain itu, teknik permainan bahasa ini memang terbukti menarik minat murid-murid kerana dapat mengkis rasa bosan mereka. Justeru, artikel ini memberikan input yang dapat membantu saya dan para guru dalam merancang dan mengelolakan aktiviti permainan bahasa dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa.

Refleksi. Dalam pelaksanaan tugasan kali ini, dapat saya rasakan tekanan yang menghimpit diri saya dan ahli kumpulan sewaktu proses mencari bahan. Mana tidaknya, saya dapati rakan-rakan lain berjaya menjumpai bahan ilmu yang

diperlukan untuk menyiapkan tugasan ini dengan jayanya . Setelah berpenat lelah mencari bahan bacaan akhirnya kami berjaya mencari bahan bacaan yang kami inginkan. Di sini, saya percaya bahawa seorang bakal guru harus mempunyai sikap penyabar sekiranya ingin memperoleh kejayaan. Sepanjang mempelajari kursus BMM 3117, Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu, saya mendapati subjek ini sangat berguna dan berkesan kerana subjek ini mendedahkan pelbagai perkara yang berkaitan dengan strategi, pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran dalam pengkaedahan pengajaran Bahasa Melayu. Sebagai seorang bakal guru, saya perlulah mengetahui perkara-perkara yang berkaitan dengan strategi, pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran supaya proses pengajaran yang saya jalankan di dalam kelas akan menjadi menarik dan berkesan apabila menjadi guru kelak. Selain daripada itu, melalui subjek ini saya sedar bahawa untuk memastikan isi pengajaran yang ingin saya sampaikan kepada murid-murid berjaya, saya mestilah memilih strategi,

pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran yang sesuai supaya sesi pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar. Pada mulanya, saya menyangkakan subjek Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu ini merupakan subjek yang hanya perlu saya faham dan hafal sahaja isi kandungannya. Ternyata tanggapan saya meleset sama sekali kerana subjek ini turut memerlukan saya dan rakan-rakan saya membina rancangan pengajaran harian untuk dipersembahkan dan diaplikasikan semasa sesi pengajaran mikro di dalam kelas. Selain daripada itu, saya menyedari bahawa subjek ini merupakan satu subjek yang sangat penting dan seronok untuk diikuti. Sebagai contoh, setiap aktiviti pengajaran mikro yang dijalankan di dalam kelas sangat menarik dan sepanjang kelas berlangsung saya sedikitpun tidak berasa tertekan malah saya juga terkejut saya mampu melibatkan diri secara aktif dalam setiap aktiviti yang dijalankan. Selain itu, saya juga amat berpuas hati dengan prestasi saya

sewaktu mengendalikan sesi pengajaran mikro kerana saya berjaya mengatasi perasaan gugup saya untuk bercakap di hadapan orang ramai secara formal. Sepanjang menjalankan tugasan ini juga, saya menyedari pelbagai perubahan positif berlaku ke atas diri saya. Sebelum ini saya merupakan pelajar yang agak malas membaca artikel-artikel jurnal yang dikeluarkan di dalam majalahmajalah pendidikan, tetapi kali ini saya sanggup berhempas pulas mencari bahan bacaan daripada jurnal dan laman sesawang kerana saya akui saya sedikit gerun dengan pensyarah subjek Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu saya, Encik Abu Zaki bin Romli kerana dia merupakan seorang pensyarah yang tegas dan sangat peka dengan. Di sini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih pensyarah saya yang telah membawa perubahan yang positif kepada saya. Lantaran daripada itu, saya dapat belajar bagi memperbaiki diri untuk menjadi seorang guru yang baik dan berguna pada masa hadapan. Kesimpulannya, saya sebagai bakal guru akan berusaha sebaik mungkin untuk mempunyai pemahaman dan kemahiran untuk mentafsir dan menyemat kandungan Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu dengan baik supaya saya boleh menjadi seorang guru bahasa yang berilmu pengetahuan, berkebolehan, kreatif, hebat, disegani dan diingati oleh semua pihak. Dengan mempelajari subjek ini, saya yakin dan percaya bahawa saya dapat menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas secara terancang dan sekali gus menyumbang bakti ke arah menjayakan hasrat kerajaan untuk membasmi golongan buta huruf dan melahirkan murid-murid yang berilmu pengetahuan dengan izin Tuhan.

Rujukan Essam Hanna Wahba, Microteaching. Diakses melalui

exchanges.state.gov/englishteaching/forum/archieve/docs/99-37-4/pdf Gurney P. (2007). Five Factors for Effective Teaching, New Zealand journal of Teachers Work 1(2) : 89-98 Koh Boh Boon, (1990). Pengajaran Tatabahasa Bahasa Malaysia: Prinsip dan Teknik. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. Marzukhi Nyak Abdullah, (1993). Teori-teori Pemerolehan Bahasa, Jurnal Dewan Bahasa: Keluaran September 1993: 839-845 N Ananthakrishnan, (1993). Microteaching As a Vehicles of Teacher TrainingIts Advantages and Disadvantages. Sharifah Nor Puteh, Aliza Ali, (2011). Pendekatan Bermain Dalam Pengajaran Bahasa dan Literasi Bagi Pendidikan Prasekolah, Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu 1 (2) : 1-15 Siti Hajar Hj. Abdul Aziz (tahun tidak dinyatakan). Permainan Bahasa Dalam Pengajaran dan Pembelajaran. Jurnal IPBA: Jilid 3: bil 3