Anda di halaman 1dari 6

Betapa besarnya peranan manusia sebagai khalifah dalam memakmurkan bumi Allah, bukan saja lelaki tetapi wanita

turut sama berperanan mencapai misi dan visi membina kemajuan serta pembangunan ummah. Lantaran itu, wanita kini juga turut menceburi pelbagai bidang mencabar yang sebelum ini dimonopoli lelaki seperti juruterbang, polis, tentera, ahli bomba, pemandu kenderaan awam dan bidang profesional lain yang mencabar kemampuan golongan hawa. Tindakan wanita masa kini memilih kerjaya seperti itu bukan bertujuan untuk menandingi atau bersaing dengan lelaki, tetapi bersama berjuang membangunkan diri, bangsa dan negara. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: Tidaklah orang yang memuliakan wanita itu kecuali orang yang mulia dan tidaklah menghina wanita itu kecuali orang yang hina pula. (Hadis riwayat Ibnu Asyakir) Wanita turut menyumbang membangunkan ummah dan dalam perkara membabitkan pembangunan rohani, wanita tidak dikecualikan daripada memenuhi tanggungjawab diri kepada Allah, diri sendiri, keluarga dan ahli masyarakat. Islam tidak membezakan lelaki dan wanita dalam melakukan ibadat kerana apa yang wajib dan sunat bagi lelaki itulah juga hakikatnya kepada wanita. Begitulah terhadap perkara yang harus, haram dan makruh.

Dalam Pembangunan Keluarga Wanita memainkan peranan cukup besar dalam pembangunan keluarga. Kebahagiaan rumah tangga adalah berkat kesungguhan dan kekuatan ikatan terjalin antara isteri, suami serta anak sebagai amanah Allah. Selain memberi sokongan moral kepada suami meneruskan sesuatu kerjaya menjadi punca rezeki keluarga, isteri turut berperanan menjadi teman dan sahabat paling akrab kepada anak. Seorang suami tidak akan mampu memikul tugas menjaga dan mendidik anak tanpa bantuan isteri. Dan ada sebahagian besar isteri turut menjadi tulang belakang dalam menjana pendapatan keluarga. Wanita sentiasa menjadi pelengkap dalam apa juga usaha dirangka dan dilaksanakan. Ini membawa makna dalam banyak perkara memerlukan tenaga atau pembabitan lelaki, kudrat wanita sentiasa diperlukan bagi memenuhi ruang kosong supaya setiap tindakan menjadi padu. Pada zaman Rasulullah SAW, wanita terutama isteri Baginda kerap kali menjadi jurucakap atau wakil untuk menyampaikan hukum Allah sama ada kepada kaum lelaki dan wanita. Di samping itu, mereka membantu tentera di medan perang. Begitulah jugalah pada zaman kini, kaum wanita memainkan peranan sama penting dengan lelaki, melaksanakan apa juga kerja demi pembangunan diri dan bangsa seluruhnya. Orang yang terbaik di kalangan kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya Kebahagiaan sesebuah keluarga pula akan membawa kebahagiaan kepada masyarakat atau ummah itu sendiri. Keluarga yang mana di hari pertama lagi diikat dan diasaskan atas asas iman dan taqwa, akan bersinar rumahtangga ini dengan ruh Ar Rabbaniyyah semerbak harum.Dari kerajaan yang kecil ini akan lahir Rijal yang bangun untuk mempertahankan ummah. Dari kasih sayang suami isteri yang bahagia dan tolong menolong ini membentuk anak-anak bakal rijal ummah membesar dengan penuh keberkatan dari Allah s.w.t dan terhindar dari gangguan syaitan, baik akhlak , murni jiwa dan mendatangkan kedamaian kepada ayah dan ibu, walaupun mereka dipanggil pulang semasa anak masih lagi kecil.

Wanita dalam Pembangunan Ummah Islamiyah Peranan mereka amat besar sekali di dalam hal ini, rosak wanita maka rosaklah generasi akan datang dan seterusnya rosaklah ummah. Oleh itu asas untuk menjaga ummah di masa akan datang ialah dengan memperbaiki keluarga dan asas memperbaiki keluarga (usrah) ialah dengan memperbaiki wanita. Oleh itu wanita perlu tahu peranan suci mereka kerana kesannya amat mendalam dan mampu memperbaiki ummah kiranya diarahkan ke sana. Bagaimanapun wanita tidak dibebankan kecuali sekadar sesuai dengan kemampuan mereka, sebab itu mengangkat senjata tidak wajib kepada wanita seperti lelaki, kecuali jika mereka ingin berbuat demikian. Mereka diberi kerja sepadan dengan mereka seperti mengubati perajurit yang luka dan menyediakan makanan, kecuali jika negara diserang musuh, ketika itu menjadi fardhu ain terhadap kaum lelaki dan wanita. Wanita dalam Pembangunan Ummah Sebagai Isteri Perkahwinan adalah merupakan sebuah institusi untuk mendirikan keluarga dan keluarga pula adalah sebuah unit sosial yang diberi kepentingan yang cukup besar dalam masyarakat. Orang yang diberi keistimewaan untuk melaksanakan tanggungjawab ini ialah wanita yang merupakan isteri yang telah dibebankan dengan amanah yang cukup besar iaitu supaya patuh dan taat kepada suami, yang dianggap perkara yang boleh membawa ke syurga dan neraka. (Maksudnya) Dunia itu adalah barang perhiasan/bahan kesedapan dan sebaik-baik perhiasan di dunia ini ialah wanita yang soleh Isteri yang soleh adalah cahaya yang menyinari hidup berumahtangga dan kecantikannya. Dalam rangka membangunkan ummah, isteri dituntut supaya setia dan taat kepada suami agar tercapai kedamaian dan kasih sayang dan tidak berlaku perceraian, semuanya adalah dalam rangka taat dan patuh kepada Allah s.w.t disamping membantu ketahanan ummah.

Mahmud Muhammad al Jauhari dan Muhammad Abdul Hakim telah menggambarkan Kiranya dunia dan isi kandungannya diletakkan di sebelah dan wanita yang soleh berdiri di sebelah yang lain untuk dibuat pilihan, nescaya semua lelaki memilih wanita ini kerana ditangannya kunci kebahagiaan dan khazanah hidup. Bahagia suami isteri, bahagia rumahtangga seterusnya membawa kebahagiaan kepada Ummah. Wanita dalam Pembangunan Ummah Sebagai Ibu Dari ibu yang soleh akan lahirlah anak-anak bakal generasi akan datang. Oleh itu berkewajipan ke atas seorang ibu, memberi penuh pengorbanan dan penjagaan supaya anak-anak membesar, mengenali Islam dan menyintai Allah s.w.t dan Rasul Nya s.a.w, kasih kepada ayah ibu, cinta kepada orang-orang mukmin, cinta kepada kebaikan dan Ummah Muslimah, yang mana nantinya lahir satu generasi yang kuat dengan iman dan akhlak serta kuat cita-cita bagi mengembalikan kekuatan dan kemuliaan Islam. Kegagalan mereka menjalankan tugas ini akan menyebabkan mereka akan menanggung risiko yang besar dihadapan Allah s.w.t dan sesalan yang tidak bererti lagi. Anak-anak itu adalah amanah Allah di sisi ibubapanya, hatinya suci bersih, bersih dari sebarang lukisan dan ukiran, menerima apa sahaja yuang dicorakkan, condong dan tertarik terhadap apa yang ditarik kepadanya. Jika didedahkan dengan kebaikan dan diajarkannya, maka ia membesar di atas keadaan itu, berbahagialah hidupnya di dunia dan di akhirat dan berkongsilah pahala kebaikan ayah ibu, dan setiap pendidik yang mendidiknya. Kiranya didedahkan kepada perkara-perkara yang jahat (keburukan), maka binasa dan musnahlah anak itu dan dosanya di atas tanggungan pendidik dan penjaganya. Imam Ghazali r.a Ibu yang beriman amat mengambil berat tentang amanah ini dan akhirnya menyerahkan anak yang dididik dengan iman dan penuh kasih sayang itu kepada ummah sebagai Rijal yang soleh, bangun berjihad mempertahankan dan menegakkan Ummah Islamiyyah di bumi Allah ini. Allah mengasihi mereka kerana itu jasa mereka yang besar tidak pernah dilupakan. Wanita adalah ibu dan guru pertama generasi akan datang, baik didikan maka baiklah generasi Islam dan kerana itulah mereka dianggap sebagai Asatizah Al Alam. Tangan kanan yang menghayun buaian, tangan kiri dapat menggegarkan alam ini.

Ibu yang baik yang sudah terkenal di kalangan umat Islam ialah seorang sahabat yang bernama Tamadir binti Amru, pemuisi wanita yang jelita, yang telah menghabiskan sebahagian hidupnya sebelum memeluk Islam dengan meraung, meratap dan menangis kerana kematian saudaranya Muawiyyah dan Sakhar. Ia mengarang banyak syair sedih. Rasulullah s.a.w gemar akan puisinya. Tatkala tercetusnya peperangan al Qadisiyyah,Tamadir r.a telah memberi perangsang kepada anak-anaknya supaya turutsama tentera Islam, ketika mengucapkan selamat jalan kepada mereka beliau mengingatkan mereka tentang nikmat akhirat, ini melahirkan semangat baru kepada anak-anaknya, akhirnya keempat-empat anaknya gugur syahid. Beliau mengucap syukur kepada Allah s.w.t kerana kurniaan Allah terhadap anaknya. Ini sebagai salah satu dari contoh-contoh yang dimainkan oleh wanita didalam sejarah membangun dan mempertahankan ummah. Imam As Syahid Hasan al-Banna r.a Wanita dalam Pembangunan Ummah dalam Peranan Jihad Jihad bukanlah dengan mengangkat senjata di medan peperangan menentang musuh sahaja. Wanita berjihad untuk mengajak wanita lain di sekelilingnya untuk beriman dengan Allah dan hari kiamat, berpegang kuat dengan Islam , berbuat makruf dan mencegah mungkar, memahamkan golongannya dengan deennya, fardhu, hak-hak wanita, asas-asas keadilan dan kemerdekaan, kebebasan siasah di dalam Islam, memberi kesedaran Islam semula dan lain-lain. Menjadi contoh yang baik sebagai Mukmin Solehah di dalam menunaikan amanah Allah s.w.t bagi membangun dan mempertahankan ummah. Nasibah binti Kaab r.a adalah wanita Ansar yang telah berbaiah dengan Rasulullah s.a.w bersama golongan lelaki di dalam Perjanjian Aqabah Kedua,merawat mereka yang cedera dan memberi minum kepada mereka yang dahaga di medan Uhud, malah beliau mengangkat senjata mempertahankan Rasulullah s.a.w dan beliau juga luka parah. Di medan perang lain, beliau telah mendapat sepuluh luka-luka dan telah kehilangan sebelah tangannya untuk bangun menegakkan ummah pertama.

Wanita dalam Pembangunan Ummah dan Kerjaya Wanita mempunyai potensi untuk membantu dan meningkatkan pengeluaran dan menambah kekayaan bangsa dan kemakmuran negara. Ini kerana wanita adalah antara sumber manusia yang diperlukan didalam beberapa sektor utama negara. Syara telah memberi peluang dan kebolehan kepada wanita untuk bekerjaya tetapi mestilah dibatasi dengan syarat-syarat yang tertentu dan kewajipan-kewajipan yang perlu dilaksanakan terlebih dahulu. Kebanyakkan wanita bekerja adalah untuk membantu keluarga didalam menambahkan lagi pendapatan. Selain dari itu ramai wanita mempunyai kelulusan akademik dan pengalaman yang seharusnya tidak disia-siakan. Justeru bekerjaya adalah satu keperluan semasa supaya ilmu dan bakat yang ada boleh disalur dan dimanfaatkan. Ilmu yang dipelajari akan membawa kepada keimanan dan akhirnya melahirkan amalan-amalan yang baik bagi membentuk sebuah masyarakat madani. Ini merupakan pemangkin bagi penghijrahan bagi kaum wanita agar berjaya memikul tanggungjawab ini dalam membentuk sebuah masyarakat yang berketrampilan dan bukannya membentuk sebuah masyarakat yang ekstrim.