Anda di halaman 1dari 4

SITI AISHAH BINTI ABDUL LATIFF (D20081032348)

TAJUK: Bincangkan masalah remaja masa kini berkenaan masalah jenayah membunuh. Sila
sertakan bukti-bukti terkini berdasarkan data statistik.

Remaja merupakan satu tempoh peralihan dari zaman kanak-kanak ke alam dewasa
yang berlangsung dalam usia sekitar 13 tahun hingga 20 tahun. Pada peringkat ini, seseorang
individu mengalami perubahan yang pesat dari segi biologi, fizikal, mental dan emosi di
samping perubahan tanggungjawab dan peranan. Justeru, bagi mengimbangi perubahan-
perubahan ini, golongan remaja sering berhadapan dengan masalah dan konflik dalam
mencari identiti sendiri. Akibatnya, berlakulah ketegangan dan tekanan emosi dalam diri
remaja yang membawa kepada masalah jenayah dalam kalangan mereka. Pada hari ini,
seringkali kita mendengar tentang gejala sosial sama ada yang dilakukan oleh dewasa
mahupun remaja. Namun, gejala sosial yang melibatkan remaja lebih hangat diperkatakan
sama ada di media massa mahupun sembang-sembang di kedai kopi. Hal ini demikian kerana
golongan remaja dan pelajar merupakan bakal pewaris negara dan menjadi satu
tanggungjawab yang penting bagi kita dalam usaha pembentukan jati diri remaja yang baik
dan positif.

Kenakalan remaja (Juvenile Delinquence) adalah merujuk kepada perbuatan dan


aktiviti remaja yang berlawanan daripada norma-norma masyarakat, undang-undang negara
dan agama seperti mencuri, merompak, merogol, berzina, membunuh, menagih dadah,
menderhaka kepada ibu bapa dan seumpamanya. Perbuatan remaja dikatakan nakal kerana
remaja dianggap masih belum matang, belum dewasa dan perbuatan jenayah yang mereka
lakukan tidak dikenakan hukuman yang berat. Mereka bukan sekadar nakal dengan
menghisap rokok, bergaduh sesama sendiri atau berkelakuan tidak senonoh malah gejala
seperti ponteng sekolah, membuang bayi, lari dari rumah serta seks bebas kini tidak lagi
mengejutkan kita. Malahan, remaja kini semakin berani melakukan perbuatan jenayah seperti
menganggotai kumpulan samseng, membunuh, samun tanpa senjata api, pelacuran, judi,
vandalisme, penyalahgunaan dadah, minum arak, terbabit video lucah dan sebagainya.
Keadaan sepeti ini bukan hanya berlaku di sekolah bandar dan pinggir bandar, malahan turut
melibatkan pelajar di sekolah-sekolah luar bandar. Perbuatan jenayah ini boleh dianggap
semakin sinonim dengan kehidupan mereka seharian.

Pelajar yang pada asasnya menjadi harapan sebagai generasi pelapis dan sepatutnya
bergelut memperlengkapkan diri dengan ilmu dan menjadi insan yang serba boleh demi masa
depan, sebaliknya mencurah tumpuan dan masa muda yang berharga dengan melakukan
pelbagai jenayah seperti mereka yang bertaraf profesional. Adalah satu kesilapan bagi mereka
yang menganggap masalah sosial remaja hari ini merupakan satu trend semasa yang bersifat
sementara dan hanyalah gejolak jiwa muda remaja yang lebih suka mencuba sesuatu yang
baru. Sebagai bukti, statistik serta kajian pihak berkuasa, badan buka kerajaan (NGO) serta
institusi pengajian tinggi tempatan menunjukkan betapa jenayah pelajar di dalam mahupun di
luar sekolah, bukan lagi sesuatu yang boleh dipandang ringan. Menurut Ketua Polis Negara,
Tan Sri Musa Hassan, statistik menunjukkan peningkatan kes jenayah bunuh, rogol, samun,
merusuh, mencuri dan kesalahan lain yang melibatkan golongan remaja. Malahan, jumlah
tangkapan pelajar berumur antara 13 hingga 18 tahun juga turut mencatatkan peningkatan
berbanding tahun sebelumnya (Berita Harian,16 April 2009).

Sepanjang tahun 2007, sejumlah 1,836 kes jenayah dilaporkan dengan 3,383 pelajar
ditahan. Angka itu meningkat sebanyak 382 kes kepada 2,218 kes tahun lalu yang
menyaksikan seramai 3,725 pelajar ditahan. Selain itu, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan
Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye pula mendedahkan, dalam tempoh dua bulan
pertama tahun ini saja, seramai 295 pelajar berusia antara 13 hingga 18 tahun terbabit
pelbagai kes jenayah termasuk membunuh (Berita Harian,16 April 2009). Bagi kes jenayah
membunuh melibatkan remaja yang telah dilaporkan dalam tempoh 10 tahun dari tahun 1989
hingga 1998, kadar jenayah yang melibatkan remaja lelaki meningkat sebanyak 35% dan 25%
bagi pelajar perempuan. Angka ini bukanlah sedikit dan menunjukkan betapa gejala ini sangat
membimbangkan dan tidak boleh dianggap mudah memandangkan gejala ini mampu menjadi
‘seperti api dalam sekam’ kerana kesan yang timbul mampu mengganggu sistem keamanan
negara.

Selain itu, menurut Penguasa Perhubungan Awam Ibu Pejabat Polis Bukit Aman,
Deputi Supritenden Rasdi Ramli, beliau berkata, sebanyak 3,936 kes jenayah dilapor
membabitkan juvenil sepanjang tahun lepas dengan 3,008 daripadanya melibatkan kes-kes
jenayah kekerasan dan harta benda. Manakala, 26 remaja ditahan sepanjang tahun lepas di
seluruh negara kerana disyaki terlibat dalam kes bunuh sementara dua lagi ditahan atas
kesalahan cubaan membunuh dan seramai 104 remaja pula ditahan atas kesalahan rogol dan
111 pula ditahan kerana kesalahan mendatangkan kecederaan (Utusan Malaysia, 8 Februari
2006).
Terdapat beberapa faktor yang membawa kepada berlakunya gejala tidak sihat ini
dalam diri remaja, antaranya ialah faktor keluarga, persekitaran, media massa, rakan sebaya
dan juga diri sendiri. Ramai pelajar dan remaja kini mula terdedah dengan dunia tanpa
sempadan yang secara tidak langsung mampu memberikan kesan yang negatif kepada mereka
sekiranya tidak dibendung dan dikawal dengan baik. Mereka bukan sahaja mudah terpengaruh
dengan media yang sering memberikan ganjaran kesoronokan malahan ramai dalam kalangan
mereka yang mula tersesat dengan meniru apa yang dilihat dan dibaca. Kewujudan media
berteknologi tinggi mendedahkan remaja kepada dunia luar yang kebanyakannya merosakkan
pemikiran mereka.

Di samping itu, ikatan kekeluargaan yang porak peranda dan persekitaran yang tidak
sihat juga turut menyumbang ke arah kelakuan tidak baik dalam diri remaja. Keadaan ini
menyebabkan remaja mula mengambil jalan mudah untuk menenangkan diri mereka
sekaligus cuba untuk keluar dari masalah yang berada di sekeliling mereka dengan melakukan
perkara yang tidak sihat seperti merokok, bergaul bebas dan menghisap dadah. Malahan, apa
yang lebih teruk lagi, terdapat sebahagian mereka yang memberontak dan mula bersifat
agresif sehingga membawa kepada keinginan untuk membunuh supaya kemarahan atau
kesedihan yang dipendam dapat dikurangkan.

Selain itu, pengaruh rakan sebaya turut membawa kesan besar terhadap sikap
seseorang remaja. Pada diri remaja, pengaruh lingkungan diakui memberikan pengaruh yang
cukup kuat dalam pembentukan perilaku mereka. Rakan sebaya juga memainkan peranan
yang penting bagi membentuk konsep diri, sikap dan pandangan seseorang pada dirinya
sendiri sama ada dirinya dihargai atau sebaliknya. Malahan, remaja juga sanggup melakukan
sesuatu yang di luar kemampuannya sekadar untuk membolehkan mereka diterima oleh rakan
sebaya supaya mereka tidak merasa disisihkan dan merasa diri dihargai. Walau
bagaimanapun, pada asasnya, faktor yang membawa kepada masalah sosial ini ialah diri
sendiri iaitu akibat perasaan ingin tahu dan ingin mencuba sesuatu yang baru tanpa
mengetahui baik dan buruk yang bakal timbul akibat daripada perbuatan yang dilakukan.

Kesimpulannya, terdapat pelbagai faktor yang boleh membawa kepada berlakunya


jenayah dalam kalangan remaja sama ada keluarga, persekitaran, rakan sebaya atau diri
sendiri. Justeru, apabila seseorang guru mengenal pasti pelajar yang dianggap bermasalah
perlu segera mengambil tindakan susulan. Ibu bapa juga seharusnya mengambil berat dan
prihatin dengan anak-anak kerana mereka sepatutnya berada pada hierarki atas sistem
sokongan remaja dan menjadi tempat utama remaja mengadu masalah mereka.

Anda mungkin juga menyukai