Anda di halaman 1dari 3

Nurul Ain Fathihah Bt Mohd Roshidan

D20081032381
AT16 Pendidikan Sains (Biologi)

Sila dapatkan journal ini melalui e-Journal upsi.

The Influence of Parenting Styles, Achievement Motivation, and Self-Efficacy on


Academic Performance in College Students
Erlanger A Turner, Megan Chandler, Robert W Heffer. Journal of College Student
Development. Washington: May/Jun 2009. Vol. 50, Iss. 3; p. 337 (10 pages)

Sila bincang tentang parenting style dan kesan kepada remaja- Dua halaman sahaja.

Moderator : Mahani binti Razali

Menurut Baumrind (1966), terdapat tiga variasi gaya keibubapaan yang wujud dalam
mendidik anak-anak. Baumrind mengelaskan variasi ini kepada tiga gaya ; berwibawa
(authoritative), kuku besi (authoritarian) dan kebebasan (permissive). Selain faktor baka dan
persekitaran, kepelbagaian variasi ini bakal membentuk insan yang unik personalitinya.

Gaya didikan yang pertama adalah ibubapa yang berwibawa (authoritative) dalam mendidik
anak-anak bersikap tegas dan mampu mengawal situasi dua hala antara anak-anak dan
ibubapa. Walaupun ibubapa bersikap tegas, namun mereka masih bersedia untuk mendengar
pandangan anak-anak. Jika mereka merasakan pandangan anak-anak boleh diterima pakai,
ibubapa ini mampu bertolak-ansur dan memenuhi kehendak anak-anak selagi tidak
keterlaluan dan melampai batas. Interaksi dua hala kerap berlaku dalam mencari penyelesaian
dalam masalah yang berlaku. Ibubapa yang mengamalkan gaya keibubapaan jenis ini mudah
dibawa berbincang dan boleh bergurau dengan anak-anak mereka. Ibubapa juga tidak kekok
menjadi rakan kepada anak-anak apabila anak mengadu masalah kepada ibubapa. Hubungan
mesra dapat diwujudkan antara ibubapa dan anak-anak apabila banyak interaksi dan
komunikasi yang berlaku.
Hasil daripada didikan ibubapa yang berwibawa ini, anak-anak akan membesar sebagai
individu yang memiliki keyakinan diri yang tinggi serta mempunyai emosi dalaman yang
stabil. Seterusnya, remaja ini akan memiliki nilai disiplin yang membanggakan dan
bertingkah laku yang baik. Selain itu, pemikiran remaja akan lebih cepat matang dan mampu
membezakan antara baik dan buruk dalam membuat keputusan. Apabila remaja berfikiran
matang, mereka mampu mengawal diri daripada melakukan perkara-perkara yang tidak
sepatutnya. Sikap remaja juga adalah terkawal walaupun tanpa pemantauan yang ketat
daripada ibubapa. Remaja ini mampu menumpukan perhatian terhadap pelajaran seterusnya
dapat mencapai prestasi akademik yang bagus.

Gaya didikan yang kedua adalah gaya keibubapaan yang bersifat kuku besi (authoritarian).
Gaya keibubapaan ini lebih berorientasikan kepada ibubapa dalam setiap perkara. Sering
terjadi komunikasi yang berlaku adalah secara satu hala sahaja. Ibubapa sering beranggapan
mereka selalunya betul kerana ‘aku lebih dahulu makan garam’ dan ‘aku bapa kau, maka aku
betul’. Ibubapa jenis ini cenderung mengawal setiap pergerakan anak-anak mereka secara
keterlaluan. Anak-anak tidak dapat tidak harus patuh dalam setiap keputusan ibubapa. Mereka
sama sekali dilarang membantah atau menyuarakan pendapat. Ibubapa langsung tidak mahu
bertolak-ansur dengan anak-anak kerana beranggapan anaknya masih mentah dan tidak tahu
apa-apa. Selain itu, ibubapa jenis ini juga mengamalkan cara memberi hukuman demi
mendisiplinkan anak-anak tanpa menerangkan sebab mereka melakukan demikian. Ibubapa
yang mengamalkan sikap kuku besi ini juga seringkali meletakkan harapan yang terlalu tinggi
dan tidak munasabah terhadap anak-anak tanpa memikirkan kemampuan anaknya. Akibat
gaya keibubapaan ini, hubungan yang mesra dalam keluarga tidak wujud dan komunikasi dua
hala tidak dapat dilakukan.

Natijah daripada gaya didikan kuku besi ini, remaja akan membesar sebagai individu yang
pasif dalam menyuarakan pendapat dan tidak memiliki keyakinan diri. Mereka juga
merasakan mereka tidak memiliki harga diri. Selain itu, remaja yang dibentuk melalui gaya
didikan ini akan membesar sebagai individu yang tidak matang pemikirannya dan kurang rasa
tanggungjawab dalam diri. Emosi dalaman remaja sangat tidak stabil dan memiliki perasaan
ingin memberontak dan memprotes ibubapanya dalam diam. Remaja ini akan mempamerkan
emosinya melalui tingkahlaku yang tidak baik serta kasar dalam perbuatan dan
percakapannya. Hasilnya, remaja ini tidak akan menumpukan perhatiannya kepada pelajaran
dan menunjukkan prestasi akademik yang kurang memberangsangkan.
Seterusnya, gaya didikan yang ketiga adalah ibubapa yang memberikan kebebasan
(permissive) kepada anak-anak dalam menentukan hala tuju hidup masing-masing. Wujud
ibubapa yang memanjakan (indulgent) anak-anak secara keterlaluan. Ibubapa ini hanya
menurut kehendak dan tuntutan anak-anak tanpa menimbangkan perkara baik buruknya
kepada anak mereka. Ibubapa ini tidak menetapkan batasan terhadap anak-anak dan
beranggapan anak-anak bebas memilih apa yang mereka mahu. Sementara itu, wujud pula
sebahagian ibubapa yang mengabaikan dan cuai (neglecting) dalam menjaga anak. Ibubapa
jenis ini tidak begitu ambil peduli di mana anak mereka berada, dan apa aktiviti yang sedang
dilakukan anaknya. Mereka juga tidak ambil kisah siapa kawan anak mereka dan tidak
mengambil tahu hal ehwal pelajaran serta suasana persekitaran sosial anak mereka. Ibubapa
ini lebih mementingkan kerjayanya dan beranggapan pemberian wang sudah memadai
sebagai menggantikan kasih sayang dan perhatian mereka.

Hasil daripada gaya didikan yang memberikan kebebasan mutlak kepada anak-anak ini,
mereka akan membesar sebagai individu yang tidak dapat membezakan baik buruk dalam
kehidupan. Remaja hasil gaya didikan ini juga kurang matang pemikiran dan tingkahlakunya.
Mereka akan berpendapat mereka bebas untuk melakukan apa saja tanpa mahu patuh pada
batasan dan peraturan. Selain itu, emosi dalaman remaja ini juga tidak stabil dan mudah
mengalah apabila kehendaknya tidak tercapai. Mereka juga akan berputus asa dengan mudah
dan tidak mahu berusaha untuk mencapai yang lebih baik. Seterusnya, remaja ini tidak mahu
berusaha bangkit semula apabila mendapat kegagalan. Mereka tidak begitu mementingkan
pelajaran dan tidak memberi tumpuan pada hal yang sepatutnya. Makanya, prestasi akademik
tidak menentu dan merosot jika tidak diberi perhatian.

Tuntasnya, gaya keibubapaan yang diamalkan oleh ibubapa pada hari ini sangat memberi
impak kepada personaliti individu dewasa pada masa akan datang. Ibubapa seharusnya
mempertimbangkan gaya didikan terbaik demi melahirkan individu yang harmonis dan
seimbang emosi, rohani, jasmani dan inteleknya.

Anda mungkin juga menyukai