Anda di halaman 1dari 3

CABARAN SEORANG GURU MASA KINI

Kejayaan dan keberkesanan pendidikan banyak berkait rapat dengan kesedaran, keinsafan
dan tanggungjawab guru sebagai pendidik, di samping mempunyai kelengkapan
keilmuan yang cukup dan sahsiah luhur. Segala panduan dan kemahiran disertai
keluhuran budi serta peribadi tidak terpisah daripada seseorang guru. Begitulah
sewajarnya guru sebagai pendidik yang berkesan. Mereka adalah contoh dan teladan
untuk murid, pelajar dan masyarakat.

Kini, zaman semakin mencabar. Bebanan guru makin besar yang menuntut kesabaran
serta ketanggungjawaban yang amat hebat. Kalau dulu guru sering diagung-agungkan
dan disanjungi sebagai insan yang terhormat oleh para pelajar, ibu bapa dan masyarakat
seluruhnya. Namun hari ini sering kita dengar sebahagian besar pelajar sekolah tidak
menghormati guru mereka. Guru-guru diperlekehkan oleh ibu bapa pelajar yang
mempunyai taraf hidup yang agak baik. Guru-guru disaman atas kesalahan yang tidak
setimpal dengan pengorbanan yang diberi. Rasa hormat murid semakin pudar bersama
keangkuhan ibu bapa yang tidak menitikberatkan pelajaran dan menunding jari kepada
guru di atas kesalahan, kealpaan dan ketidakprihatinan mereka sendiri dalam mendidik
anak-anak.

Sewajarnya ibu bapa akur tugas guru bukan hanya mengajar mata pelajaran untuk lulus
peperiksaan, tetapi turut mendidik pelajar menerusi penerapan nilai-nilai murni, selain
jati diri, disiplin serta sahsiah terpuji. Namun begitu, kebanyakan ibu bapa
mengutamakan kecemerlangan akademik semata-mata dan bukan sahsiah yang baik
menyebabkan anak mereka tidak boleh ditegur walaupun melakukan kesalahan.

Kedapatan juga ibu bapa yang tidak dapat menerima hakikat bahawa anak mereka
bersalah dan tidak mengaku kesilapan dilakukan. Mereka perlu berbincang terlebih
dahulu dan jangan terburu-buru menyerang pihak sekolah atau membuat pendedahan
pada media. Mendidik anak perlu mengikut peredaran masa dan guru perlu menghukum
pelajar yang melakukan kesalahan dengan bijaksana.
Hukuman yang dikenakan adalah proses mendidik dan bukan memalukan pelajar, sekali
gus memberi keinsafan dan kesedaran terhadap salah laku yang dilakukan.

Sesungguhnya profesion keguruan yang merupakan profesion tertua di dunia, kini


memasuki satu lagi era baru. Dulu peranan utama guru ialah sebagai penyampai
pengetahuan. Gurulah yang banyak bercakap dan menyoal. Bagaimanapun kini, peranan
guru lebih penting sebagai pemudah cara dalam proses pembelajaran. Sebagai pemudah
cara, guru perlu lebih sedia dan peka melahir dan menggunakan situasi-situasi
pembelajaran secara cekap dan berkesan. Murid perlu selalu digerak untuk berfikir
secara kreatif dan kritikal. Malahan, murid dijangka dapat menyoal guru serta membantu
guru membuka luas pintu pembelajarannya. Dahulu, punca pengetahuan adalah dalam
bentuk bertulis. Sekarang, lebih banyak bilik darjah ditukar menjadi bilik darjah bestari
yang membolehkan pelajar menggunakan komputer untuk mencari lebih banyak
pengetahuan dan maklumat. Bagaimanapun, kehadiran guru penting untuk membimbing
pelajar membuat pilihan ilmu dan maklumat yang betul.

Guru harus berperanan untuk mengenal pasti dan membangunkan potensi diri pelajar.
Peranan guru ini amat penting dalam menentukan corak pembangunan sesebuah negara.
Kita perlu sedar, kejayaan negara sehingga kini, sebahagian besar adalah hasil
sumbangan kerjaya keguruan. Ini kerana persediaan bagi pengeluaran tenaga kerja
negara di semua sektor bermula dari sekolah yang sudah pastinya memerlukan khidmat
dan jasa guru. Guru juga adalah model manusia berkelakuan baik. Guru mesti bebas
daripada bersikap negatif dan sempit daripada aspek bangsa, kelas, sosial dan
kedaerahan.

Selain itu, kelayakan akademik juga adalah satu lagi perkara yang perlu di timbangkan.
Ini kerana profesionalisme guru itu adalah berpusatkan kepada pengetahuan. Maka,
adalah wajar diramalkan, seiringan dengan kejayaan Malaysia meningkatkan kadar
pembangunannya, guru-guru ijazah akan bertugas sehingga ke sekolah rendah.
Memandangkan guru memainkan peranan penting dalam pembangunan negara, sifat
kerja guru yang begitu khusus memerlukan guru mempunyai kelayakan akademik
minimum dan menghadiri program-program latihan sebelum dan semasa berkhidmat.
Justeru, langkah Kementerian Pelajaran Malaysia menggalakkan guru meningkatkan
kelayakan akademik melalui pelbagai program dan galakan termasuklah kursus dalam
perkhidmatan, galakan guru bukan siswazah melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah,
pensiswazahan Guru Besar, anugerah biasiswa melanjutkan pelajaran di peringkat
sarjana dan ijazah kedoktoran merupakan manifestasi untuk membangunkan kerjaya
guru.