Pakar Perunding Pediatrik dan Kaji Saraf, Hospital Selayang, Dr. T. Malinee berkata, masalah ini
yang lebih dikenali sebagai cerebral palsy menyebabkan pergerakan (motor) otot-otot gagal
berfungsi secara normal. Menurut beliau, CP menyukarkan kanak-kanak terbabit melakukan
aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan oleh kanak-kanak seusianya seperti berjalan, merangkak
atau mengambil sesuatu objek. ``Kekejangan otot yang berlaku ini menyebabkan cara mereka
berjalan tidak normal seperti menjingkit, otot-otot tangan yang lembik, tidak dapat berdiri dengan
seimbang dan sebagainya,'' katanya. Bagaimanapun, sebahagian besar kanak-kanak spastik ini
mempunyai tahap perkembangan mental yang cukup baik.
PUNCA
Dr. Malinee memberitahu, meskipun punca sebenar CP tidak diketahui, namun ia dikaitkan
dengan kecederaan pada otak yang berlaku sama ada dalam proses kehamilan, semasa dan
selepas bayi dilahirkan. ``Pakar-pakar perubatan masih dalam proses kajian untuk mencari
punca sebenar CP,'' katanya.
Puncanya terbahagi kepada tiga kategori iaitu:
A. Semasa dalam kandungan
- Jangkitan kuman seperti rubella, toxoplasmosis, chicken pox, cytomegalovirus (CMV) dan AIDS
boleh menjejaskan pembentukan otak janin dalam tempoh empat bulan pertama kehamilan.
- Pendedahan kepada bahan-bahan toksik seperti minuman keras, tabiat merokok dan
penyalahgunaan dadah. Bahan-bahan kimia yang terkandung dalam kesemua elemen itu boleh
merencatkan pertumbuhan organ-organ penting janin seperti otak, buah pinggang, jantung dan
sebagainya.
- Kekurangan zat pemakanan. Ibu yang kurang mengambil makanan yang seimbang seperti asid
folik dan vitamin boleh menjejaskan pertumbuhan janin.
- Faktor genetik. Masalah terlebih kromosom Trisomi 13 dan Trisomi 18 boleh mengakibatkan
muka, jantung, otak, kaki dan tangan janin mengalami kecacatan.
- Ibu-ibu yang menghidap penyakit-penyakit yang serius seperti diabetes, jantung, buah
pinggang, tiroid dan epilepsi.
- Kehamilan kembar
- Bayi yang songsang
B. Semasa kelahiran
Dengan kecanggihan dan kepakaran dalam bidang obstetrik pada masa kini, risiko untuk bayi
mengalami kecederaan pada otak semasa dilahirkan terlalu rendah.
Kriteria yang meningkatkan risiko seseorang bayi mendapat CP semasa dilahirkan ialah:
- Bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan (premature). Bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan
mempunyai risiko mendapat CP yang cukup tinggi berbanding bayi yang normal.
- Bayi yang dilahirkan dengan berat badan yang kurang daripada 2.5 kilogram. Dianggarkan
risiko bayi yang dilahirkan dengan berat badan yang kurang daripada 1.5 kilogram mendapat CP
ialah antara lima hingga lapan peratus.
Malah, bayi-bayi ini juga mempunyai risiko 25 kali ganda lebih tinggi untuk mendapat CP
berbanding bayi yang dilahirkan normal.
- Bayi yang lemas dan tertelan najis semasa dalam kandungan (meconium aspiration).
- Penyakit kuning (jaundis). Ia berpunca daripada kekurangan G6PD, masalah rhesus darah yang
tidak sesuai antara ibu dan bayi dan kelahiran tidak cukup bulan.
Kandungan billirubin yang tinggi boleh merosakkan otak.
C. Selepas dilahirkan
- Asphyxia. Masalah kesukaran bernafas seperti penyakit asma menyebabkan oksigen tidak
sampai ke otak.
- Shaken Baby Syndrome. Bayi yang digoncang dengan kuat supaya berhenti menangis boleh
menggegarkan bahagian otak.
- Keracunan ubat-ubatan seperti panadol, minyak tanah dan sebagainya.
- Tertelan benda asing.
- Kemalangan jalan raya yang mencederakan kepala dan otak.
Jenis-jenis CP
- Spastik. Kekejangan pada bahagian sebelah kanan tubuh. Jika tangan dan kaki kanan terbabit
ia dipanggil hemiplegia.
Jika spastik ini membabitkan kedua-dua belah bahagian kaki ia dipanggil diplegia.
Jika ia membabitkan seluruh tangan dan kaki dinamakan quadriplegia.
- Diskinetik. Pergerakan abnormal yang tidak boleh dikawal.
- Ataxic. Otot-otot tangan atau kaki yang lembik. Bagaimanapun, kategori ini paling jarang
berlaku.
- Campuran kesemuanya.