Anda di halaman 1dari 5

Analisis Meniti Kaca

Soalan 1:

Berdasarkan novel yang telah anda kaji, huraikan sinopsis novel tersebut. [ 10 markah ]

Jawapan
Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Kaca, karya Raja Sabarudin Raja Abdullah. Novel ini mengisahkan Nazar,
seorang anak tunggal dan masih dalam usia remaja. Oleh sebab ibunya nanar dan ayahnya selalu sakit, hidupnya
tidak terurus. Begitu juga dengan makan minumnya. Jiran tetangga banyak membantu Nazar sekeluarga. Setelah
ibunya meninggal dunia, Nazar terus gigih mengharungi hidup. Dia rajin belajar dengan rakan sekampung dan
setingkatan. Tidak lama kemudian, ayahnya pula meninggal dunia. Nazar kehilangan kasih sayang ayah dan ibu.
Dia bergantung harap kepada ibu saudaranya, rakan-rakan dan jiran tetangga. Berkat kesungguhan, kesabaran,
ketabahan, dan keyakinan, akhirnya Nazar berjaya dalam menempuhi dugaan hidup. Dia bercita-cita untuk
menjadi seorang doktor.

Soalan 2:

Berdasarkan novel yang anda kaji, huraikan tema dan persoalan yang terkandung dalam novel tersebut.[ 10
markah ]

Jawapan
Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Kaca, karya Raja Sabarudin Raja Abdullah. Tema novel ini ialah kegigihan
dan ketabahan seorang anak remaja mengharungi hidup. Nazar, seorang remaja yang gigih berusaha untuk
mencapai kejayaan dan tabah menghadapi dugaan.
Persoalan pertama ialah semangat perpaduan. Semangat ini tergambar pada keluarga Ah Seong yang sentiasa
memberi sokongan moral kepada Nazar agar tabah menghadapi dugaan hidup.
Persoalan kedua ialah kemanusiaan dan kemasyarakatan. Sikap gotong-royong dan bekerjasama amat ketara pada
masyarakat desa. Atas rasa simpati dan tanggungjawab bersama, orang kampung sanggup bekerjasama mencari
Mahyun yang hilang, sehingga mayat Mahyun ditemui dan menguruskan jenazah sehingga selamat dikebumikan
secara bekerjasama.
Persoalan ketiga ialah keluhuran budi dan baik hati. Selain Ah Seong, Kim Moi, dan Ah Leong yang memiliki sifat
belas kasihan, bertimbang rasa, murah hati, dan saling memahami, Mak Miah, Pak Sehak, Pak Sahar, dan Zainab
turut memiliki sifat sedemikian. Mereka mengambil berat tentang masalah yang dihadapi oleh Nazar dan
menunjukkan simpati terhadap nasib yang menimpa keluarga Nazar.
Persoalan keempat ialah buruk sangka dan memfitnah. Buktinya, penduduk kampung terutamanya Sidang Seman
sentiasa bersangka buruk dan membuat tohmahan terhadap Nazar dan Zainab apabila mereka ternampak Zainab
belajar bersama-sama Nazar dan apabila mereka terserempak dengan Zainab dan Nazar di tepi sungai.

Soalan 3:
Huraikan Watak dan perwatakan bagi watak utama berdasarkan novel yang telah anda kaji.
[ 10 markah ]

Jawapan
Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Kaca, karya Raja Sabarudin Raja Abdullah. Watak utama dalam novel ini
ialah Nazar. Nazar seorang yang tabah. Buktinya, dia menghadapi penyakit ibunya yang nanar dengan tabah.
Selain itu, Nazar digambarkan seorang remaja yang bijak dan pandai. Hal ini demikian kerana dia mendapat lima
unit dalam peperiksaan PMR. Hal ini menyebabkan dia diterima masuk ke sekolah berasrama penuh.
Tambahan pula, Nazar seorang yang penyayang. Dia amat menyayangi ibu bapanya. Dia tidak sanggup berpisah
dengan ibunya yang dimasukkan ke hospital. Dia juga berasa cemas apabila ibunya hilang.
Namun demikian, Nazar juga digambarkan sebagai seorang yang berfikiran matang. Pelbagai tohmahan dan fitnah
yang melanda dirinya telah diterima dengan penuh kesabaran. Dia menganggap semua yang berlaku itu ujian
Tuhan. Demikianlah perwatakan Nazar sebagai watak utama.
Soalan 4 :
Huraikan watak dan perwatakan bagi empat watak sampingan berdasarkan novel yang telah anda kaji. [ 10
markah ]

Jawapan
Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Kaca, karya Raja Sabarudin Raja Abdullah. Watak sampingan pertama
dalam novel ini ialah Pak Sahar. Pak Sahar merupakan bapa kepada Nazar. Dia bekerja sebagai pegawai luar di
Lumut. Beliau seorang ayah yang penyayang. Buktinya, dia amat menyayangi dan mengambil berat akan pelajaran
Nazar. Dia juga amat menyayangi isterinya, Mahyun. Dia berikhtiar untuk menyembuhkan penyakit isterinya. Oleh
sebab sakit, dia meninggal dunia semasa Nazar berada dalam tingkatan 4.
Mahyun merupakan salah seorang watak sampingan yang memainkan peranan penting dalam novel ini. Dia ialah
ibu kepada Nazar dan isteri kepada Pak Sahar. Dia berpenyakit nanar sejak melahirkan anak keduanya. Dia seorang
wanita yang berkulit langsat, rambutnya mencecah bahu serta berlesung pipit. Mahyun suka bernyanyi. Oleh sebab
mempunyai suara yang merdu, Nazar pernah mendengar ibunya menyanyi dengan suara yang merdu. Dia juga
seorang yang suka merayau. Dia selalu bertandang ke rumah jiran dan berleter di anak tangga. Dia meninggal
dunia semasa cerita mencapai klimaksnya.
Watak sampingan seterusnya ialah Zainab. Zainab merupakan anak kepada Pak Sehak, dia mempunyai seorang adik
bernama Fauzi. Dia seorang gadis remaja sebaya Nazar dan memiliki paras rupa yang cantik kerana mempunyai
lesung pipit. Zainab seorang yang rajin. Dia rajin menghantar makanan kepada Nazar dan rajin mengulang kaji
pelajaran. Zainab seorang yang mudah bersimpati dan penyayang. Dia menyayangi, bersimpati dengan nasib
malang yang dialami oleh Nazar.
Ah Seong juga merupakan salah satu watak sampingan. Dia merupakan jiran Nazar. Ibunya bernama Kim Moi dan
ayahnya, Ah Leong. Dia mempunyai dua orang adik iaitu Ah Meng dan Ah Leng. Dia seorang yang baik hati
terhadap rakan dan jiran. Dia membantu rakan sebayanya, Nazar setelah Mahyun didapati hilang dari rumah. Dia
memberitahu Sidang Seman mengenai perkara itu. Dia juga seorang yang rajin. Dia selalu belajar bersama-sama
Nazar dan Zainab. Ah Seong seorang yang mudah bersimpati. Dia amat bersimpati atas dugaan yang menimpa
Nazar. Dia sentiasa menasihati Nazar agar bersabar.

Soalan 5 :

Plot memainkan peranan yang penting dalam sesebuah karya. Huraikan plot berdasarkan novel yang telah anda
kaji. [ 10 markah ]
Jawapan
Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Kaca, karya Raja Sabarudin Raja Abdullah. Eksposisi ialah permulaan
cerita. Dalam bahagian ini, biasanya pengarang memperkenalkan watak. Buktinya, pengarang memperkenalkan
watak Nazar yang pulang dari sekolah dan mencari ibunya Mahyun yang tiada di rumah ketika itu. Mahyun
menghidap penyakit nanar dan sering merayau ke rumah orang.
Cerita berkembang dalam plot perkembangan apabila Pak Sahar mengambil tindakan menghantar Mahyun ke
Hospital Bahagia Tanjung Rambutan bagi mengubati penyakit Mahyun. Penyakit Mahyun tidak juga sembuh dan dia
dibawa pulang ke rumah. Suatu hari, Mahyun didapati hilang dan akhirnya dia ditemui mati.
Perumitan ialah konflik yang berlaku dalam sesebuah karya. Dalam novel ini, pelbagai masalah dihadapi oleh
Nazar. Ketiadaan ibu dalam keadaan dia hampir menduduki peperiksaan PMR, dia mendengar desas-desus ayahnya
akan berkahwin lagi. Sementara itu, hubungannya dengan Zainab telah disalah anggap oleh penduduk kampung
sehingga dia dilarang oleh ayahnya belajar bersama-sama dengan Zainab. Ayahnya pula sering sakit dan penyakit
ayahnya semakin teruk dari sehari ke sehari.
Puncak ialah klimaks sesebuah cerita. Pada bahagian yang paling penting ini, Nazar yang sedang belajar di sekolah
berasrama penuh telah dijemput oleh Pak Sehak dan beberapa orang lagi yang memberitahu bahawa ayahnya
dimasukkan ke hospital. Bagaimanapun, Pak Sahar meninggal dunia semasa Nazar dalam perjalanan ke hospital.
Pada bahagian peleraian atau pengakhiran novel ini, jenazah Pak Sahar selamat dikebumikan. Nazar terus belajar
di sekolah berasrama penuh dengan bercita-cita untuk menjadi seorang doktor.
Soalan 6:

Teknik Plot memainkan peranan yang penting dalam sesebuah karya. Huraikan teknik plot berdasarkan novel
yang telah anda kaji. [ 10 markah ]

Jawapan
Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Kaca, karya Raja Sabarudin Raja Abdullah. Dalam novel ini, terdapat
beberapa teknik penceritaan yang penting. Teknik penceritaan pertama ialah dialog. Pengarang banyak
menyelitkan perbualan antara Nazar dengan ayahnya, Pak Sahar.
Teknik plot kedua ialah monolog. Monolog ialah teknik bercakap sendirian. Buktinya, Nazar membisikkan kepada
dirinya bahawa emak tidak mengalami sakit jiwa seperti yang dianggap oleh kawan-kawannya.
Teknik ketiga ialah teknik monolog dalaman. Monolog dalaman ialah kata-kata yang hanya terbit dalam hati
seseorang watak. Buktinya, hati Nazar berbisik apabila mendapati ibunya tiada di rumah dan hatinya tertanya-
tanya ke mana emaknya pergi.
Teknik keempat ialah imbas kembali. Imbas kembali bermaksud pengarang memasukkan unsur ingat semula
kejadian atau peristiwa yang pernah berlaku. Contohnya, apabila berjauhan daripada ibunya, Nazar teringat akan
ibunya yang pandai menyanyi.
Teknik seterusnya ialah teknik imbas muka. Teknik ini juga dikenali sebagai ramalan pengarang dalam sesebuah
penceritaan. Biasanya pengarang memasukkan perkataan seperti “akan” dalam petikan cerita. Buktinya, Nazar
memberitahu ayahnya bahawa dia akan mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan PMR. Dia mungkin akan
mendapat sepuluh atau lima belas unit.

Soalan 7:
Huraikan latar tempat berdasarkan novel yang telah anda kaji berserta peristiwa yang berlaku di tempat-
tempat yang anda nyatakan tersebut. [ 10 markah ]

Jawapan
Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Kaca, karya Raja Sabarudin Raja Abdullah. Latar tempat pertama ialah
Hospital Bahagia Tanjung Rambutan. Buktinya, Mahyun dirawat di situ.
Latar tempat kedua ialah rumah Nazar yang terletak di Kampung Kota. Buktinya, Nazar yang baru pulang ke
rumah mendapati bahawa ibunya telah hilang entah merayau ke mana. Selepas itu, dia pergi ke rumah Kim Moi
untuk bertanya tentang tempat yang ditujui oleh ibunya sejak pagi tadi.
Latar tempat ketiga ialah di sungai. Ibunya meninggal dunia di kawasan sungai kerana tersepit di celah-celah
pokok kelapa. Tempat ini telah meninggalkan sejarah hitam dalam hidup Nazar.
Latar tempat keempat ialah rumah Mak Miah. Rumah Mak Miah berdekatan dengan rumah Nazar. Biasanya Zainab
menghantar makanan dari rumahnya ke rumah Nazar dengan berjalan kaki sahaja.
Latar tempat kelima ialah Sekolah Menengah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh. Di sinilah Nazar meneruskan
persekolahannya dalam peringkat menengah tinggi. Sekolah ini ialah sebuah sekolah yang berasrama penuh dan
Nazar tinggal di asrama.

Soalan 8 :
Huraikan latar masa berdasarkan novel yang telah anda kaji berserta peristiwa yang berlaku pada masa yang
anda nyatakan tersebut. [ 10 markah ]

Jawapan
Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Kaca, karya Raja Sabarudin Raja Abdullah. Jarak masa novel ini
berlangsung adalah lebih kurang dua tahun. Cerita bermula semasa Nazar berada dalam tingkatan dua dan
berakhir ketika Nazar memasuki tingkatan 4 di Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh.
Latar masa siang banyak digunakan oleh pengarang. Buktinya, Zainab menghadiahi Nazar sebuah kotak muzik
sebelum Nazar bertolak ke sekolah berasrama penuh di Ipoh.
Latar waktu senja juga digunakan oleh pengarang. Buktinya, selepas gagal mencari Mahyun seharian, Sidang
Seman mengarahkan anak-anak buahnya bergerak mencari Mahyun yang hilang.
Latar masa malam juga berlaku dalam perjalanan cerita novel ini. Buktinya, pada waktu malam, Mak Miah dan Pak
Sehak mengunjungi rumah Pak Sahar dan mencadangkan agar Pak Sahar berkahwin lagi selepas kematian Mahyun.

Soalan 9:

Huraikan latar masyarakat atau citra masyarakat yang digunakan oleh pengarang dalam novel yang telah anda
kaji. [ 10 markah ]

Jawapan
Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Kaca, karya Raja Sabarudin Raja Abdullah. Latar masyarakat pertama ialah
masyarakat kampung. Masyarakat ini diwakili oleh penduduk Kampung Kota yang terdiri daripada Mahyun, Nazar,
Pak Sehak, Mak Miah dan banyak lagi. Penduduk kampung ini tinggal dalam keadaan damai dan sejahtera. Mereka
diketuai oleh Sidang Seman.
Latar masyarakat kedua ialah masyarakat Cina. Masyarakat ini diwakili oleh Kim Moi dan Ah Leong yang
mempunyai anak-anak yang bernama Ah Seong, Ah Meng, dan Ah Leng.
Latar masyarakat ketiga ialah masyarakat yang bekerjasama. Buktinya, selepas gagal mencari Mahyun seharian,
Sidang Seman mengarahkan anak-anak buahnya bekerjasama mencari Mahyun yang hilang.
Latar masyarakat keempat ialah masyarakat pelajar. Buktinya, Nazar, Zainab, dan Ah Seong merupakan golongan
pelajar yang rajin berusaha dan sering mengulang kaji pelajaran bersama-sama untuk menghadapi peperiksaan
PMR.
Latar masyarakat seterusnya ialah masyarakat yang suka memfitnah. Buktinya, penduduk kampung terutamanya
Sidang Seman sentiasa bersangka buruk dan membuat tohmahan terhadap Nazar dan Zainab apabila mereka
ternampak Zainab belajar bersama-sama Nazar dan apabila mereka terserempak dengan Zainab dan Nazar di tepi
sungai.

Soalan 10:
Huraikan nilai-nilai murni yang terdapat dalam novel yang telah anda kaji. [ 10 markah ]

Jawapan
Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Kaca, karya Raja Sabarudin Raja Abdullah. Nilai pertama ialah kegigihan.
Buktinya, Nazar gigih menempuh cabaran demi cabaran dalam hidupnya. Apabila ibunya sakit, dia terpaksa
berpisah dengan ibunya. Apabila ibunya meninggal dunia, dia juga gigih menghadapi dugaan tersebut.
Nilai kedua ialah bekerjasama. Buktinya, penduduk kampung bekerjasama mencari Mahyun yang hilang. Akhirnya,
mereka berjaya mencari Mahyun.
Nilai ketiga ialah keyakinan. Buktinya, Nazar yakin bahawa dia akan mendapat keputusan yang cemerlang dalam
peperiksaan PMR. Apabila ditanya oleh Pak Sahar, dia berkeyakinan akan mendapat sepuluh atau lima belas unit
dalam peperiksaan tersebut.
Nilai keempat ialah kasih sayang. Buktinya, Nazar amat menyayangi ibunya kerana dia keberatan untuk berpisah
dengan ibunya. Pak Sahar pula menyayangi Nazar dengan memberi nasihat agar Nazar belajar rajin-rajin.
Nilai seterusnya ialah hormat-menghormati. Dalam novel ini, Nazar menghormati bapanya. Zainab menghormati
ibu bapanya dan Ah Seong menghormati ibu bapanya. Selain itu, perasaan hormat-menghormati wujud dalam
masyarakat kampung. Hal ini dapat dilihat daripada hubungan yang terjalin antara keluarga Pak Sahar dengan Pak
Sehak.

Soalan 11:

Huraikan pengajaran atau mesej yang terdapat dalam novel yang telah anda kaji. [ 10 markah ]
Jawapan
Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Kaca, karya Raja Sabarudin Raja Abdullah. Pengajaran pertama ialah kita
mesti gigih berusaha untuk menghadapi pelbagai rintangan dalam kehidupan. Buktinya, Nazar gigih menempuh
cabaran demi cabaran dalam hidupnya. Apabila ibunya sakit, dia terpaksa berpisah dengan ibunya. Apabila ibunya
meninggal dunia, dia juga gigih menghadapi dugaan tersebut.
Pengajaran kedua ialah kita harus mengamalkan sikap bekerjasama terutama apabila menghadapi sesuatu
masalah. Buktinya, penduduk kampung bekerjasama mencari Mahyun yang hilang. Akhirnya, mereka berjaya
mencari Mahyun.
Pengajaran ketiga ialah kita patut mempunyai keyakinan dalam semua hal yang kita buat. Buktinya, Nazar yakin
bahawa dia akan mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan PMR. Apabila ditanya oleh Pak Sahar,
dia berkeyakinan akan mendapat sepuluh atau lima belas unit dalam peperiksaan tersebut.
Pengajaran keempat ialah kita harus saling menyayangi antara satu sama yang lain. Buktinya, Nazar amat
menyayangi ibunya kerana dia keberatan untuk berpisah dengan ibunya. Pak Sahar pula menyayangi Nazar dengan
memberi nasihat agar Nazar belajar rajin-rajin.
Pengajaran seterusnya ialah kita mesti hormat-menghormati terutama dalam masyarakat yang berbilang kaum di
Malaysia. Dalam novel ini, Nazar menghormati bapanya. Zainab menghormati ibu bapanya dan Ah Seong
menghormati ibu bapanya. Selain itu, perasaan hormat-menghormati wujud dalam masyarakat kampung. Hal ini
dapat dilihat daripada hubungan yang terjalin antara keluarga Pak Sahar dengan Pak Sehak.

Soalan 12:

Huraikan gaya bahasa yang terdapat dalam novel yang telah anda kaji. [ 10 markah ]

Jawapan
Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Kaca, karya Raja Sabarudin Raja Abdullah. Gaya bahasa memainkan
peranan yang amat penting dalam sesuatu karya. Gaya bahasa pertama ialah simile. Antara contoh simile yang
terdapat dalam novel ini ialah Lama-kelamaan wajah-wajah itu hilang bagaikan ketulan air batu yang mencair.
Contoh kedua ialah Istana sepi bagaikan gua.

Gaya bahasa kedua ialah metafora. Buktinya Api kemarahan rupanya masih lagi membara di lubuk hati Pak Sehak.
Api ialah unsur konkrit manakala kemarahan ialah unsur abstrak.

Gaya bahasa ketiga ialah perulangan. Buktinya:


Apakah ayah akan berkahwin lagi?
Apakah ayah sudah tidak sayangkan ibu lagi?

Gaya bahasa keempat ialah personifikasi atau unsur perorangan. Contohnya, Perasaan cemas mula bergayut di
wajah Kim Moi dan angin bulan Oktober yang lembap itu terasa menampar-nampar muka Ah Seong. Dalam contoh
tersebut, angin mempunyai sifat manusia yang boleh menampar.

Gaya bahasa seterusnya ialah peribahasa. Antara peribahasa yang digunakan dalam novel ini ialah “berat mata
memandang, berat lagi bahu memikul” dan “tepuk air di dulang, sedikit sebanyak terpercik juga ke muka sendiri”.

Anda mungkin juga menyukai