Anda di halaman 1dari 2

6.

1 PENGENALAN

alaupun Hikayat Raja Pasai diperkirakan ditulis pada tahun 1452 M dan Taj us-Salatin pada tahun 1603 M, masih ditemui bukti persuratan yang tidak diketahui tarikh penulisannya yang asal seperti Hang Tuah. Cerita yang lain juga kebanyakannya bukan ditulis oleh penulis asal melainkan daripada satu pencerita kepada pencerita yang lain atau daripada satu penulis kepada penulis yang lain. Ada juga di antaranya yang disadur daripada cerita asing dan nama penulis asalnya tidak dinyatakan. Beberapa kitab dan hikayat yang agak penting sehingga penghujung abad ke-19 ialah: Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayukarya Tun Sri Lanang (1612 M), Hikayat Inderaputera (1634 M), Bustanus Salatin atau Taman segala Raja-raja karya Nuruddin al-Raniri (1638), Kitab seribu masaalah (1726), Hikayat Ghulam (1736), Hikayat Acheh (1736), Hikayat Bayan Budiman (1736), Syair Emop (1740), Misa Melayu (1742), Hikayat Pancatanderan (1835), Hikayat Patani (1838), Kisah pelayaran Abdullah karya Abdullah bin Abdul Kadir Munshi (1838), Tuhfat al-Nafis karya Raja Ali Haji (1865), Pelayaran Muhammad Ibrahim Munshi karya Muhammad Ibrahim Munshi (1872), Hikayat Gul Bakawali karya Syed Mahmud Ali (1875), dan Hikayat Ganja Mara (1897). Beberapa buah karya akan dipetik seperlunya untuk melihat bagaimanakah bahasa Melayu terus diperkaya oleh para penulis atau cendekiawan pada masa tersebut.

6.9 ABDULLAH BIN ABDUL KADIR MUNSHI


Abdullah Abdul Kadir Munshi atau lebih dikenali sebagai Abdullah Munshi (1796-1854 M) telah menghasilkan karya pertamanya pada tahun 1830 M bertajuk Syair Singapura Terbakar. Abdullah Munshi bukan sekadar memperlihatkan perkembangan bahasa Melayu tersebut melalui karya kesusasteraan malahan juga ia menyedari betapa pentingnya buku nahu bahasa Melayu. Baginya, nahu sesebuah bahasa bukanlah dapat menyelesaikan seratus peratus masalah bahasa. Hal ini lebih nyata lagi apabila nahu sesuatu bahasa dikaji oleh orang asing yang bahasa ibundanya bukan bahasa Melayu dan tujuan membuat kajian tersebut bukanlah berdasarkan kajian ilmiah melainkan kerana kepentingan tertentu. Ia melihat bahawa nahu bahasa Melayu yang ditulis oleh orang asing itu hanyalah merupakan pengubahsuaian nahu bahasa mereka sendiri yang cuba dipaksakan ke dalam bahasa Melayu. Itulah sebabnya ia mengatakan: Sebermula hendaklah engkau ketahui, janganlah tersalah faham. Maka jikalau ada nahu bahasa Melayu itu niscaya meringankan pekerjaan sahaja gunanya, jangan engkau sangkakan boleh menjadi pandai dalam pekerjaan karang-mengarang. Maka sungguhpun diletakkan hukumnya maka ada juga lagi beberapa perkataan yang tiada menurut hukum itu. Umpamanya jikalau seratus hukum itu barangkali tujuh puluh sahaja yang masuk dalam hukum itu, dan yang tiga puluh itu di luarnya. Di samping itu, jika kita bandingkan bahasa Melayu sebelum Abdullah dan bahasa yang digunakan oleh Abdullah nyatalah ada perkembangannya. Perhatikan bahasa yang terdapat dalam petikan yang berikut ini: Bahawa ini Kisah Pelayaran Abdullah Abdul Kadir Munshi kepada tarikh sanat 1253 tahun. Maka bahawa sesungguhnya kepada tahun itu adalah barang saudagar-saudagar orang China dan orang Yahudi yang duduk dalam negeri Singapura, kira-kira sepuluh dan dua belas orang, telah memberi sambutan dagangan kepada China sampan pukat empat buah, kira-kira empat lima puluh ribu ringgit banyaknya, akan dibawanya ke negeri Pahang dan Trengganu dan Kelantan, Patani dan Senggora. Perkembangan bahasa Melayu yang diperlihatkan Abdullah dinyatakan oleh Li Chuan Siu sebagai "Menciptakan perkataan-perkataan atau ungkapan baru dalam bahasa Melayu untuk mempercakapkan hal-hal atau benda-benda baru yang timbul kerana pertemuan antara kebudayaan Timur dan Barat". Perkembangan bahasa yang dibawa oleh Abdullah tidaklah menghairankan kerana ia mendapat pendidikan Inggeris manakala sasterawan sebelumnya ramai yang mendapat pendidikan Arab.

etakat ini bahasa yang memiliki cara pembinaan kata dan pembinaan ayat yang serupa dengan bahasa Melayu hanya terdapat di kawasan Nusantara. Bahasa yang seiras dengannya ialah bahasa yang terdapat di pulau yang terdapat di Lautan Hindi seperti di Pulau Madagaskar di sebelah Barat dan bahasa yang terdapat di beberapa buah pulau yang terdapat di Lautan Pasifik, iaitu bahasa Austronesia, Mikronesia, Melanesia, dan Polinesia. Bahasa seperti ini tidak ditemui di Asia Tengah. Kekeluargaan bahasa ini memperlihatkan bahawa bahasa Melayu tumbuh dan berkembang di kawasan Nusantara atau alam Melayu, dan beberapa bukti menunjukkan bahawa pertumbuhan tersebut bermula di kawasan Jambi dan Palembang di Sumatera Selatan. Buku ini lebih berkecenderungan mengatakan bahawa asal bangsa yang mendiami Palembang tersebut pada awalnya datang daripada Asia Barat tempat lahirnya para nabi. Tulisan asal orang Melayu ialah tulisan/aksara Rencong (tulisan yang terdapat di Sumatera Selatan) yang dicipta oleh orang Melayu berdasarkan benda yang ada di alam sekitar mereka seperti ranting kayu, akar, rotan, dan sungai. Hal ini dapat dikaitkan pada penciptaan susastera Melayu yang asal, iaitu pantun yang menggunakan pengisi alam sebagai pembayang maksud atau sampiran sebelum menyatakan isi pantunnya. Semasa pertumbuhan awal bahasa Melayu ini, ia sesungguhnya telah memiliki aturan pengimbuhan dan penyusunan ayatnya sendiri. Walaupun sebahagian besar perkataan asing dapat dimelayukan oleh bahasa Melayu sendiri, namun kerana desakan yang kuat serta kehadiran bahasa asing yang begitu sangat diperlukan bagi keperluan perhubungan masyarakat, maka aturan tadi menjadi bercampur-baur. Walaupun pelbagai aturan bahasa asing datang mendesaknya, pelbagai perkataan baru daripada bahasa asing datang menambahnya, namun aturannya sendiri berjalan terus daripada bahasa Melayu Purba hinggalah bahasa Melayu Tinggi sekarang ini. Gambaran perjalanan bahasa Melayu Purba hingga bahasa Melayu Tinggi diperlihatkan di dalam rajah 7.1. Bahasa Melayu Purba ialah bahasa Melayu sebelum ditemui bukti sejarahnya. Sumatera Selatan telah ada penduduknya sebelum orang India mendirikan Kerajaan Sriwijaya. Sebelum itu juga mereka telah mengembara sebagai pelaut ke mana-mana di kawasan Nusantara ini dan menggunakan bahasa mereka di tempat yang baru serta membawa pulang bahasa yang mereka temui bagi yang kembali ke tempat asalnya. Ini bermakna, perkataan yang terdapat pada Batu Bersurat Palembang yang tidak berasal daripada bahasa Sanskrit dapat dianggap sebagai bahasa Melayu Purba, kerana tidak ditemui bahasa asing lain yang mempengaruhi bahasa Melayu tersebut. Bahasa lain yang terdapat di Nusantara ini selain daripada bahasa Melayu dianggap sebagai dialek pada masa itu. Bahasa yang terdapat pada beberapa Batu Bersurat Palembang tersebut dikatakan sebagai bahasa Melayu Kuno, iaitu campuran bahasa Melayu dan dialeknya dengan bahasa Sanskrit. Oleh kerana penulis Batu Bersurat tersebut merupakan ahli pahat yang didatangkan dari India dan juga menggunakan tulisan Sanskrit, kemungkinan penyebutan bahasa Melayu tersebut telah diubah suai sesuai dengan keadaan bentuk aksara Sanskrit tersebut.

Anda mungkin juga menyukai