Anda di halaman 1dari 15

Ulasan Artikel Marzuki, S., A. Ghani, M.F. (2007).

Pembentukan Model Sekolah Berkesan


Malaysia : Satu Kajian Delphi. Journal Pendidikan 2007, Jilid 27(1).

Pendahuluan :
Mengikut pengkaji-pengkaji, pada umumnya, agenda untuk memperbaiki sekolah adalah bertumpu
pada peningkatan pencapaian murid-murid. Kajian-kajian sedemikian dilaksananakan dengan
meluas pada awal 1980-an di serata dunia seperti di Britain, Holland, Israel dan Australia dengan
mengambil kira dapatan kajian dari pengkaji-pengkaji sekolah berkesan di Amerika Syarikat. Mana
kala di Malaysia, pandangan Mortimore telah menjadi asas kajian pengkaji-pengkaji tempatan.

Adalah sukar bagi sekolah di negara-negara membangun di mana taraf sosio-ekonomi yang masih
rendah melaksanakan program sekolah berkesan yang berasaskan dapatan kajian dari negara-negara
maju. Ini adalah sebab pihak sekolah memerlukan strategi yang bersesuaian dengan konteks,
permasalahan dan keperluan pembangunan setempat. Maka pengkaji-pengkaji tempatan gagal
membentuk sebuah model sekolah berkesan yang bersesuaian dengan konteks, permasalahan dan
keperluan pembangunan di Malaysia. Menurut Scheerens (2001), konteks tempatan mungkin
membentuk dan berinteraksi dengan dengan keadaan-keadaan yang dijangka mempertingkatkan
keberkesanan.

Skop Kajian :
Kajian ini bertujuan untuk membentuk satu model sekolah berkesan yang berdasarkan konteks di
Malaysia melalui pemerolehan kesepakatan pandangan sekumpulan individu tempatan yang
diiktiraf kepakaran mereka termasuk ciri-ciri utama sekolah berkesan dan strategi untuk
melaksanakan ciri-ciri utama sekolah berkesan.

Metodologi :
Kajian ini menggunakan kaedah Teknik Delphi Empat Pusingan. Pemilihan peserta kajian adalah
aspek penting yang menentukan kejayaan pelaksanaan kajian ini. Teknik ini berjaya mengenal pasti
tujuh aspek yang menyumbang dan 138 strategi untuk membentuk sekolah-sekolah yang lebih
berkesan. Selain itu, pakar-pakar yang terlibat memberi konsensus yang kesemua 138 item yang
terdapat dalam Pusingan Empat Teknik Delphi boleh digunakan sebagai kandungan Model Sekolah
Berkesan.
Peserta kajian :
Keunikan kajian ini adalah peserta-pesertanya terdiri daripada 15 orang yang diiktiraf kepakaran
mereka dalam pelbagai bidang pendidikan di mana mereka mempunyai pengalaman yang
mendalam berkenaan dengan kepimpinan sekolah.

Gelaran “pakar” kepada seseorang individu hanya berdasarkan penilaian masyarakat ke atas
kelayakan, tahap sumbangan dan pencapaian kerjaya mereka. Untuk kepentingan kajian ini,
pengkaji-pengkaji telah menetapkan beberapa kriteria sebagai asas panduan untuk memilih peserta
kajian ini. Ini termasuk pengalaman, pengetahuan dan kepakaran dalam bidang kepemimpinan
sekolah melebihi 10 tahun; pengalaman bertugas sebagai pendidik di institusi sekolah melebihi 10
tahun; dan individu berkenaan berkesanggupan untuk menyertai keempat-empat sesi pusingan
kajian Delphi.

Untuk kajian ini, pengalaman peserta kajian dalam kepemimpinan sekolah termasuk staf akademik
IPTA, nazir sekolah, pegawai pelajaran, pengetua cemerlang dan juga guru cemerlang. Di antara
ini, terdapat lima orang nazir sekolah dan ini merupakan satu pertiga daripada jumlah peserta
kajian. Nazir sekolah merupakan perujuk yang paling sesuai dalam persoalan mengenai
pembentukan model sekolah kerana ini memang merupakan bidang tugas dan juga kepakaran
mereka. 11 orang peserta kajian memiliki pengalaman berkhidmat dalam bidang kepemimpinan
sekolah melebihi 20 tahun. Apa yang penting sekali ialai pengkaji-pengkaji telah menetapkan
setiap peserta kajian mempunyai pengalaman sebagai pendidik diinstitusi sekolah melebihi 10
tahun. Ini dapat memberi kebolehpercayaan yang tinggi bagi data-data yang dikumpul.

Pernyataan Masalah :
Pengkaji-pengkaji menyatakan bahawa reputasi sesebuah sekolah adalah dikenal pasti menerusi
persepsi dan pemerhatian yang lebih luas daripada pihak yang berkepentingan dalam pendidikan,
contohnya murid, ibu bapa dan masyarakat. Mereka inginkan sekolah berjaya untuk melahirkan
murid yang mempunyai ciri-ciri modal insan. Untuk dijadikan asas panduan bagi sesebuah sekolah
mencapai kejayaan, maka perlu adanya kajian-kajian yang menyeluruh dan tidak hanya tertumpu
kepada proses pengajaran dan pembelajaran yang akan memberi kesan kepada pencapaian murid
seperti apa yang dilakukan pada permulaan kajian mengenai sekolah berkesan.
Pengkaji-pengkaji menyatakan bilangan kajian tersebut masih berkurangan di Malaysia dan sebagai
implikasinya, wujud pelbagai definisi dari pengkaji-pengkaji tempatan dan menimbulkan masalah
untuk membentuk model sekolah berkesan di Malaysia. Dengan kajian ini, dapatlah menambah
bilangan kajian sekolah berkesan dan berupaya untuk menyokong dapatan-dapatan kajian terdahulu
sama ada di dalam mahu pun di luar negara. Selanjutnya menghalusi, menghuraikan dan
memperincikan teori amalan dan model sekolah berkesan berdasarkan konteks di Malaysia.

Kutipan data
Kutipan data dibahagikan kepada dua peringkat. Peringkat pertama merupakan tinjauan bahan-
bahan literatur mengenai amalan sekolah berkesan di negara-negara barat seperti James Coleman,
et. al.(1966), Edmonds (1979) dan juga Lezotte (1980) dan juga kajian-kajian Abdul Karim Md.
Nor (1989), Shahril Marzuki (1997) dari Malaysia. Tinjauan literatur negara-negara barat dan juga
kajian-kajian tempatan adalah suatu usaha untuk mendapat titik perseimbangan agar dapatan-
dapatan daripada kajian negara-negara barat dapat diserap selepas penyesuaian dalam konteks di
Malaysia dilakukan agar konflik budaya timur dan barat tidak berlaku atau walaupun berlaku, tetapi
berada pada tahap yang minima. Protokol temubual dibentuk seterusnya dan ditentukan kesahan
kandungannya oleh pakar bidang kepemimpinan. Di sinilah pengkaji-pengkaji telah menunjukkan
kesungguhan dalam mengutip data dan setiap data yang dikutip telah menunjukkan kesahan dan
kebolehpercayaannya.

Pada peringkat kedua, kajian Delphi ini melibatkan empat pusingan. Pusingan pertama merupakan
sesi temubual berstruktur yang berpandukan kepada protokol temubual yang dibina berdasarkan
tinjauan literatur luar dan dalam negara. Dapatan temubual digunakan untuk membina item-item
dalam instrumen soal selidik dalam sesi pusingan dua. Maka, interpretasi pengkaji-pengkaji semasa
menjalankan tinjauan literatur dan juga semasa menguruskan dapatan temubual akan mempengaruhi
perjalanan dan kejayaan bagi pusingan pertama.

Pusingan kedua merupakan soal selidik berskala Likert 5 poin dan peserta-peserta kajian selain
dikehendaki menentukan tahap persetujuan bagi setiap item, mereka juga perlu mengenal pasti dan
membangunkan kandungan instrumen menerusi penambahan cadangan dan perincian pernyataan
bagi setiap item dalam instrumen soal selidik. Pusingan ini memerlukan komitmen yang tinggi
daripada setiap peserta. Pusingan ketiga adalah kesinambungan daripada sesi yang lalu dan
bertujuan untuk mendapat kesepakatan pandangan. Sekiranya tahap persetujuan menjangkaui
pandangan majoriti dalam sesi pusingan lalu, maka peserta berkenaan akan diminta memberi alasan
dan dilarang menambah sebarang item. Peserta masih berinteraksi dengan instrumen soal selidik
bagi merapatkan jurang perbezaan pandangan di kalangan peserta dalam pusingan keempat. Peserta
perlu melalui beberapa pusingan yang berulang-ulang untuk memastikan sesuatu pandangan
bolehlah dipertahankan dan juga berkekalan untuk menunjukkan peranan dan kepentingannya
dalam pembentukan model sekolah berkesan.

Prosedur Analisis Data :


Penganalisisan data berdasarkan peringkat pertama dan juga peringkat kedua yang terdiri daripada
empat pusingan. Dalam penganalisisan data peringkat pertama, tinjauan ke atas bahan-bahan
literatur adalah seperti :
i. Merumuskan dapatan kajian lalu untuk digunakan bagi membina tema dan subtema bagi
protokol temubual, iaitu :
a. Kepimpinan Pengetua Yang Profesional
Subtema : Kepimpinan Pengajaran, Kepimpinan Transformasional, Pengurus Sumber
Yang Cekap
b. Persekitaran Sekolah yang Kondusif
Subtema : Persekitaran Yang Teratur, Kemudahan Fizikal
c. Penumpuan Terhadap Pengajaran dan Pembelajaran
Subtema : Kepimpinan Guru, Kurikulum
d. Pengharapan Yang Tinggi
Subtema : Amalan Pengharapan Secara Menyeluruh, Proses Ke Arah Pengharapan
Tinggi, Mewujudkan Suasana Yang Mencabar Minda Murid
e. Pemantauan Secara Berterusan
Subtema : Penilaian Ke Atas Pencapaian Murid, Penilaian Ke Atas Pencapaian Sekolah,
Persekitaran Yang Kaya Dengan Data dan Maklumat
f. Pemuafakatan Di Antara Pihak Rumah dan Sekolah
Subtema : Hubungan Dengan Ibu Bapa, Hubungan Dengan Masyarakat
ii. Menghubungkaitkan dapatan kajian lalu dengan kajian ini dari aspek metodologi kajian.
Pengkaji perlu menghindar diri daripada tidak adil dalam membuat sesuatu keputusan
menerusi penumpuan hanya kepada satu dapatan kajian.
Bagi peringkat kedua, pusingan pertama melibatkan : (1) mereduksikan data, (2) membuat
verifikasi data, dan (3) mempersembahkan data. Dalam pusingan kedua, data soal selidik dianalisis
menggunakan kaedah statistik deskriptif iaitu min, median dan Julat Antara Kuartil (JAK). Kajian
Delphi merupakan kaedah kuantitatif mengukur kecenderungan memusat bagi setiap item. Maka
skor min digunakan bagi melihat urutan (Ranking) kepentingan item-item berdasarkan pandangan
kalangan peserta. Skor median untuk mengenal pasti item-item yang diperlukan untuk membentuk
instrumen soal selidik berdasarkan tahap persetujuan dengan menggunakan Skala Likert 5 Poin.
Skor JAK untuk mengukur tahap kesepakatan setiap peserta.

Dapatan Kajian
Dapatan kajian Delphi berjaya untuk mereka bentuk sebuah Model Sekolah Berkesan Malaysia
dalam pusingan keempat. Model ini mengandungi tujuh ciri-ciri utama sekolah berkesan dan 138
strategi untuk melaksanakan ciri-ciri utama tersebut ( Lampiran 1).

Kesimpulan
Pengkaji-pengkaji dalam bahagian kesimpulan telah menyebut pengkaji-pengkaji barat kurang
membincang tentang faktor ketuhanan sebagai faktor penyumbang kejayaan sesebuah sekolah
dengan sokongan kenyataan Saedah Siraj(1998). Dalam kajian ini, majoriti peserta juga menyetujui
faktor ketuhanan turut mempengaruhi kejayaan sesebuah sekolah. Kepercayaan kepada suasana
roh, iaitu ketuhanan di persekitaran tempat kerja memang diwarisi turun-temurun tanpa disedar
bahawa kepercayaan ini tersisip dalam pada inti pati hati oleh sebahagian orang. Dari segi Islam,
mengikut Ismail Haji Ibrahim (1993 dalam S. Kadikon, 2009), ciri-ciri bekerja dari segi konsep,
sistem dan nilai, etika dan cara-cara bekerja yang produktif dengan sikap, komitmen dan niat
bekerja sudah sepatutnya dirumus dan dijadikan formula yang konkrit oleh orang Islam sendiri. Hal
ini berdasarkan tugas bekerja adalah tugas ketuhanan dan sistem nilai kerja adalah berasaskan
sistem nilai moral kerohanian Islam. Soal ketuhanan merupakan suatu sumber ketenteraman jiwa
hati yang mendorong ke atas kejayaan.

Namun begitu, majoriti peserta menyetujui bahawa kepimpinan pengetua merupakan penggerak
utama bagi muwujudkan sebuah sekolah yang berkesan manakala pembentukan sekolah sebagai
sebuah organisasi pembelajaran amat penting untuk dijadikan kandungan model sekolah berkesan.
Sumbangan faktor penyumbang yang lain seperti kepemimpinan guru, kepemimpinan pengetua
turut dapat merealisasikan visi dan misi yang telah ditetapkan bagi mewujudkan sekolah berkesan.
Kejayaan sesebuah sekolah amat bergantung kepada keupayaan guru dalam melaksanakan
perubahan.

Rumusan :
Menurut Model Mortimore (1995), terdapat 11 ciri-ciri sekolah berkesan, iaitu Kepimpinan
professional, Perkongsian wawasan dan tujuan, Persekitaran pembelajaran, Tumpuan kepada proses
pengajaran dan pembelajaran, Pengajaran yang bertujuan, Jangkaan kejayaan yang tinggi, Galakan
yang positif, Memantau kemajuan, Hak dan tanggungjawab pelajar, Hubungan rumah dan sekolah
dan Organisasi pembelajaran.

Menurut ISERP (2002), sekolah berkesan perlu mempunyai ciri-ciri seperti : Kepimpinan Berkesan,
Pengajaran Berkesan, Tumpuan ke atas pembelajaran, Budaya sekolah yang positf, Ekspektasi
tinggi, Penekanan hak dan tanggungjawab pelajar, Pemantauan kemajuan, Perkembangan staf dan
Penglibatan ibubapa.

Manakala, dapatan kajian ini menyenaraikan tujuh ciri-ciri penting, iaitu Kepimpinan Pengetua
Yang Profesional, Persekitaran Sekolah Yang Kondusif, Penumpuan Kepada Proses Pengajaran dan
Pembelajaran, Pengharapan yang tinggi, Penilaian Secara Berterusan, Permuafakatan Antara Pihak
Rumah dan Sekolah, Sekolah Sebagai Organisasi Pembelajaran. Dapatan kajian ini telah
mengetepikan ciri-ciri seperti Perkongsian wawasan dan tujuan, Galakan yang positif dan Hak dan
tanggungjawab pelajar.

Di sini saya menyamakan “Memantau kemajuan” dalam Model Mortimore dengan “Penilaian
Secara Berterusan” dalam dapatan kajian kerana penilaian boleh dijalankan sama ada secara
pemerhatian, umpamanya pemantauan atau pencerapan proses pengajaran dan pembelajaran, atau
penilaian secara bertulis dalam pelbagai bentuk.

Untuk faktor kepemimpinan, Model Mortimore dan dapatan kajian sama-sama menekan pada
kepemimpinan yang professional manakala ISERP menekan pada kepimpinan pengetua yang
berkesan. Kepimpinan berkesan lebih menekan kepada hasil dan pencapaian hasrat tetapi
kepimpinan profesional adalah menepati kehendak-kehendak dan spesifikasi bidang-bidang
berkenaan. Reynolds (2006) dalam “World Class Schools : Some methodological and substantive
findings and implications of the International School Effectiveness Research Project (ISERP)”
menyatakan bahawa “Creating world class schools requires systems not people”. Maka adakah “
kepimpinan profesional” dan “kepimpinan berkesan” merupakan suatu perdebatan antara “sistem”
dengan “orang” ?

Dapatan kajian juga menumpu kepada persekitaran sekolah yang kondusif dan mempunyai
persamaan dengan Model Mortimore, ISERP pula memberi perhatian pada budaya sekolah yang
positif. Persekitaran lebih menjurus kepada faktor luaran yang boleh dibentuk tetapi budaya yang
positif memerlukan suatu jengka masa panjang untuk dipupuk. Persekitaran yang kondusif
mendorong kepada proses pembelajaran, tetapi budaya positif sekolah membantu dalam membentuk
sahsiah dan kemenjadian pelajar agar menuju kea rah yang lebih cemerlang.

Model Mortimore dan ISERP adalah menekan kepentingan hak dan tanggungjawab pelajar tetapi
dapatan kajian tidak menyenaraikannya. Adalah pendidik-pendidik Malaysia menganggap para
pendidik dan ibu bapa masih memainkan peranan utama dalam membentuk sahsiah seseorang
pelajar ataupun orang-orang barat lebih menjurus kepada kesedaran diri dalam proses
perkembangan sahsiah seseorang pelajar? Bolehkah ini dianggap sebagai suatu punca pelajar-
pelajar negara kita masih kurang matang walaupun sudah menjejak kaki di pendidikan tersiari ?

Model Mortimore dan dapatan kajian sama-sama menyenaraikan “organisasi pembelajaran” sebagai
salah satu ciri penting, manakala ISERP hanya menynaraikan “perkembangan staf”. Kewujudan
masyarakat pembelajaran terdapat keserasiannya dengan hasrat kerajaan membentuk masyarakat
yang mengamalkan konsep pembelajaran sepanjang hayat. Maka program perkembangan staf
secara berterusan, warga sekolah yang berkongsi ilmu pengetahuan dan sentiasa ingin belajar
merupakan tindakan-tindakan mempertingkatkan pencapaian diri.
Rujukan :
Nota-nota kuliah PLG 516
Reynolds, D. (2006). World Class Schools : Some methodological and substantive findings and
implications of the International School Effectiveness Research Project (ISERP).
Educational Research and Education, Vol.12, No.6, December 2006, pp. 535-560
Kadikon, S. (2009). Pemuliharaan Alam Sekitar. eprints.utm.my/9076/1/78119.pdf
Scheereens, J. (2001). Monitoring School Effectiveness in Developing Countries. School
Effectiveness and School Improvement. 2001, Vol. 12, No. 4, pp. 359-384
LAMPIRAN 1

Berikut merupakan ringkasan tujuh ciri-ciri utama dan 138 strategi yang terlibat:
I. Kepemimpinan Pengetua Yang Profesional
(a) Kepemimpinan Pengajaran
1. Mewujudkan visi dan misi sekolah yang jelas.
2. Berkongsi visi dan misi dengan warga sekolah.
3. Memiliki tahap keikhlasan bertugas yang tinggi dengan mempamerkan
kesungguhan bekerja.
4. Mewujudkan budaya yang mengembangkan profesionalisme staf.
5. Mencerap pengajaran guru secara formal dan informal.
6. Mempunyai pengetahuan dan kemahiran untuk menilai guru.
7. Berbincang dengan guru hasilan penilaian tersebut.
8. Menyediakan kemudahan dan kelengkapan agar proses P&P berjalan lancar.
9. Meningkatkan hubungan dengan pihak luar sekolah (seperti PIBG) bagi
mendapatkan sokongan untuk sekolah merealisasikan visi dan misi sekolah.
10. Sentiasa memotivasikan guru.
11. Mengenai pasti pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan oleh staf.
12. Menjaga kebajikan guru.
13. Mengajar dalam tempoh masa tertentu untuk dijadikan role model oleh staf.
14. Bertindak mempengerusikan setiap mesyuarat kurikulum sekolah.
(b) Kepemimpinan Transformasional
1. Menggalak, membimbing dan menggerakkan warga sekolah ke arah budaya
2. cemerlang seperti berfikiran kreatif, proaktif dan positif.
3. Mewujudkan hubungan mesra dengan warga sekolah menerusi kepelbagaian
4. aktiviti di dalam dan luar sekolah.
5. Meningkatkan kemampuan sekolah seiring dengan pelaksanaan perubahan.
6. Setiap perlantikan pengetua perlu mengambil kira peningkatan pengetahuan
dan
7. pengalaman (kekananan).
8. Mengamalkan konsep "Kepemimpinan Melalui Teladan".
9. Memiliki ketrampilan diri yang menarik.
10. Tidak mengamalkan protokol yang keterlaluan.
11. Pemula {initiator) kepada amalan transformasi.
12. Memberikan staf peluang untuk bersuara.
13. Mengurangkan penekanan birokrasi untuk memudahkan pengurusan sekolah.
14. Kepemimpinan transformasional perlu berrmila dengan kepemimpinan
birokratik
15. seperti bersikap tegas dengan warga sekolah.
(c) Pengurus Sumber Yang Cekap
1. Mengagihkan sumber dengan adil agar murid dapat menikmatinya.
2. Bijak merancang dan mengagihkan peruntukan sumber.
3. Mewujudkan Jawatankuasa Kewangan dan Perakaunan Sekolah.
4. Memiliki ilmu menguruskan sumber sekolah seperti menguruskan kewangan.
5. Bersikap terbuka terhadap pandangan warga sekolah.
6. Sentiasa berasa diri diawasi oleh Tuhan.
7. Menyediakan garis panduan yang didokumentasikan berkaitan prosedur
penggunaan kemudahan dan kelengkapan.
8. Menyediakan garis panduan yang didokumentasikan berkaitan pengurasan
kewangan.
9. Melayan staf berdasarkan tahap kematangan mereka (kepemimpinan situasi).
II. Persekitaran Sekolah Yang Kondusif
(a) Persekitaran Yang Teratur
1. Warga sekolah bekerja dalam satu pasukan ke arah pencapaian visi sekolah.
2. Warga sekolah memiliki akhlak yang mulia.
3. Kepemimpinan sekolah menyokong usaha-usaha untuk melahirkan warga
sekolah yang berakhlak mulia.
4. Pengetua saling mempercayai dengan kemampuan guru.
5. Program perkembangan staf yang berterusan berupaya untuk memantapkan
pembentukan budaya sekolah.
6. Warga sekolah mengurupul dan berkongsi pengalaman pembelajaran.
7. Setiap warga sekolah mempunyai hubungan yang mesra.
8. Penggubalan peraturan sekolah berdasarkan kesesuaian semasa.
9. Warga sekolah berasa mereka dihargai sebagai seorang insan.
10. Wujudnya peraturan yang mengawal tingkah laku warga sekolah.
11. Kepemimpinan sekolah menerima dan mengamalkan cadangan dari dalam
dan luar sekolah.
12. Budaya sekolah dibentuk oleh amalan peraturan yang berterusan.
13. Murid berkeyakinan dengan tindakan adil guru menjatuhkan hukuman ke atas
mereka kerana mereka diberi peluang membela diri.
14. Sekolah menyertai pelbagai pertandingan luar agar pihak luar berupaya untuk
menilai tahap kemampuan sekolah.
(b) Kemudahan Fizikal
1. Wujud kesedaran dalam kalangan warga sekolah untuk memelihara aset dan kebersihan sekolah.
2. Kepemimpinan sekolah sering memantau tahap kemudahan sekolah secara formal dan tidak formal.
3. Kepemimpinan sekolah berusaha untuk mendapatkan sokongan dari pihak luar bagi meningkatkan
bilangan dan kualiti kemudahan sekolah.
4. Warga sekolah berasa selesa berada di kawasan sekolah kerana tahap kebersihan yang tinggi.
5. Sekolah mempunyai kemudahan dan kelengkapan yang mencukupi dan berfungsi.
6. Sekolah memperuntukkan bajet yang lebih untuk perkembangan pencapaian murid berbanding
peruntukan untuk keceriaan sekolah.
III. Penumpuan Kepada Proses Pengajaran dan Pembelajaran
(a) Kepemimpinan Guru
1. Program perkembangan staf membantu guru meningkatkan profesionalisme.
2. Guru membimbing rakan sejawat untuk berkongsi pengetahuan dan
kemahiran.
3. Guru menguasai kandungan pengajaran.
4. Guru diberikan pengiktirafan yang adil berdasarkan pencapaian semasa.
5. Guru meyakini bahawa kerjaya keguruan merupakan profesion yang mulia.
6. Guru membentuk sebuah pasukan yang mantap untuk menyumbang
pengetahuan dan kemahiran kepada warga dalam dan luar sekolah.
7. Guru menjadi role model kepada rakan sejawat yang lain.
8. Guru mengenal pasti pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan oleh guru
di bawah kawalannya.
9. Kepemimpinan sekolah berkeyakinan dengan kewibawaan guru
melaksanakan tugas.
10. Guru melaksanakan amalan refleksi bagi tujuan penambahbaikan dalam P&P.
11. Guru menggunakan masa yang maksimum untuk mengajar.
12. Guru mempunyai hubungan yang mesra dengan murid.
13. Guru merupakan kepemimpinan kepakaran yang berupaya untuk
mempengaruhi rakan sejawatnya khususnya guru baru dan guru bermasalah.
14. Guru berupaya untuk melaksanakan kajian berkaitan sesuatu permasalahan.
(b) Kurikulum
1. Kaedah pengajaran guru menekankan tahap pengetahuan dan kemahiran
murid.
2. Guru berusaha untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran diri seiring
dengan perubahan persekitaran.
3. Kepemimpinan sekolah menilai pencapaian pengajaran guru berdasarkan
penanda aras yang piawai.
4. Guru mempelbagaikan kaedah pengajaran untuk menarik minat murid.
5. Guru mempunyai data dan maklumat berkaitan tahap pencapaian murid.
6. Guru mengajar berdasarkan sukatan pelajaran Kementerian Pelajaran
Malaysia.
7. Guru mengajar kandungan pengajaran berdasarkan kepakaran mereka.
8. Kebanyakan waktu P&P guru melibatkan murid secara aktif.
9. Sekolah menekankan kepentingan perkembangan profesionalisme staf.
10. Kepemimpinan sekolah turut menempatkan guru berpengalaman untuk
mengajar murid di peringkat awal alam persekolahan.
11. Guru menghubungjalinkan pengajaran dengan amalan seharian murid.
IV. Pengharapan yang tinggi
(a) Amalan Pengharapan Secara Menyeluruh
1. Guru seharusnya mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid.
2. Kepemimpinan sekolah sering mengingatkan guru agar melayani murid
sebagai seorang insan yang mempunyai perasaan.
3. Guru memperuntukkan masa tambahan untuk membimbing raurid.
4. Sekolah memiliki data dan maklumat berkaitan latar belakang murid.
5. Warga sekolah meyakini bahawa pertolongan Tuhan turut mempengaruhi
urusan perancangan sekolah.
6. Sekolah mengharapkan kehadiran ibu bapa dan penjaga.

(b) Proses Ke Arah Pengharapan Tinggi


1. Guru berkeyakinan bahawa setiap murid berpeluang untuk belajar dan
berjaya.
2. Pada awal penggal persekolahan pihak sekolah memberitahu murid dan ibu
bapa berkaitan visi dan misi sekolah.
3. Ketrampilan guru turut mempengaruhi minat murid.
4. Guru mempunyai visi yang jelas untuk membimbing murid.
5. Pengharapan guru tidak mudah dipengaruhi oleh sikap murid.
(c) Mewujudkan Suasana Yang Mencabar Minda Murid
1. Aktiviti ko-kurikulum sekolah menepati minat murid dan kehendak semasa.
2. Guru menilai pencapaian murid secara berterusan.
3. Guru memberikan murid tugasan dan masa yang mencukupi.
4. Kaedah P&P guru menekankan peningkataii murid dalam kemahiran-
kemahiran tertentu seperti kemahiran berfikir.
V. Penilaian Secara Berterusan
a) Penilaian Ke Atas Pencapaian Murid
1. Guru menggunakan data dan maklumat pencapaian akademik murid untuk
melaksanakan penambahbaikan khususnya ke atas P&P.
2. Guru melaksanakan pelbagai kaedah untuk menilai pencapaian murid.
3. Guru memberitahu kemajuan diri murid kepada murid dan ibu bapa mereka.
4. Guru menilai murid secara menyeluruh yang melibatkan aspek-aspek
kognitif, psikomotor dan sikap.
5. Penilaian berbentuk ujian dilaksanakan secara berterusan.
(b) Penilaian Ke Atas Pencapaian Sekolah
1. Staf bersikap terbuka untuk menerima segala pandangan.
2. Kepemimpinan sekolah menjelaskan dasar aktiviti penilaian sekolah.
3. Aktiviti penilaian dilaksanakan secara menyeluruh ke arah sekolah berkesan.
4. Sekolah mempunyai instrumen penilaian yang piawai.
5. Staf dinilai oleh kepemimpinan sekolah.
6. Kepemimpinan sekolah melaksanakan kaedah penilaian yang pelbagai untuk
mengurupulkan data dan maklumat pencapaian murid.
7. Kepemimpinan sekolah menilai pencapaian guru secara menyeluruh.
8. Murid berpeluang menilai pengajaran guru.
(c) Persekitaran Yang Kaya Dengan Data dan Maklumat
1. Terdapat jawatankuasa khas yang menguruskan data dan maklumat sekolah.
2. Data dan maklumat sekolah disimpan menggunakan teknologi yang sesuai dan relevan dengan
sekolah,
3. Data dan maklumat sekolah perlu sentiasa dikemaskini dan mudah diperolehi semula.
4. Sekolah berusaha untuk mengurupulkan data dan maklumat berikut iaitu pengurusan sekolah,
pengurusan akademik, pengurusan ko-kurikulum dan
5. pengurusan hal ehwal murid.
6. Data dan maklumat sekolah yang disimpan akan digunakan sebagai asas dan rujukan untuk sekolah
merancang dan membuat keputusan.
VI. Permuafakatan Antara Pihak Rumah dan Sekolah
(a) Hubungan Dengan Ibu Bapa
1. Sekolah mengendalikan pertemuan dengan ibu bapa untuk membincangkan
pencapaian diri murid seperti kemajuan akademik dan disiplin.
2. Sekolah berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada
murid agar ibu bapa mereka berpuas hati dan seterusnya memberikan
kerjasama kepada sekolah.
3. Sekolah prihatin dengan pandangan dan kritikan ibu bapa.
4. Sekolah lebih menggalakkan ibu bapa menyumbang dalam bentuk tenaga dan
idea berbanding kewangan.
5. Staf menjalin hubungan yang baik dengan murid untuk menarik minat
penglibatan ibu bapa dalam aktiviti sekolah.
6. Sekolah menerangkan visi dan misi kepada ibu bapa.
7. Sekolah mengendalikan majlis formal untuk masyarakat bagi menggalakkan
penglibatan ibu bapa.
8. Pembentukan Jawatankuasa PIBG seharusnya dalam kalangan individu yang
berpengaruh dan berkemampuan untuk melaksanakan aktiviti.
9. Sekolah mengedarkan berita bertulis kepada ibu bapa.
(b) Hubungan Dengan Masyarakat
1. Warga sekolah dilatih untuk memberikan khidmat sosial.
2. Sekolah berusaha untuk mendapatkan sumbangan daripada pihak luar seperti
IPTA, Wakil Rakyat dan kementerian berkaitan.
3. Persatuan Bekas Pelajar sentiasa membantu sekolah untuk mencapai visi dan
misi.
4. Pihak sekolah membenarkan masyarakat menggunakan kemudahan sekolah.
VII. Sekolah Sebagai Organisasi Pembelajaran
1. Peranan pusat sumber dipergiatkan untuk menambah ilmu dan memperbaiki
kemahiran staf.
2. Program perkembangan staf dirancang berdasarkan keperluan guru.
3. Masalah P&P dijadikan agenda utama dalam setiap mesyuarat dan dikongsi
bersama,
4. Guru sentiasa berkongsi ilmu dan pengalaman ketika menjalankan sesuatu
aktiviti.
5. Warga sekolah sentiasa mengamalkan sikap ingin belajar.
6. Guru yang menghadiri kursus dikehendaki mengadakan kursus dalaman.
7. Pengetua sentiasa mengadakan dialog profesional untuk berkongsi ilmu dan
kemahiran.
8. Pengetua sentiasa menyokong guru untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat
yang lebih tinggi.
9. Perbincangan profesional mengenai tugas harian guru sentiasa berlaku.
10. Sekolah menyediakan kemudahan melayari maklumat secara meluas dan
berkesan.
11. Warga sekolah mengamalkan dengan baik setiap program anjuran
KPM/JPN/PPD.
12. Bahan bacaan diletakkan di setiap bilik guru.