Anda di halaman 1dari 12

1.

1 Konsep Integriti
Integriti ditakrifkan sebagai kualiti unggul yang wujud secara keseluruhan
dan padu. Ia berlandaskan etika dan pencerminan etika dalam tindakan sehari-
hari (Pelan Integriti Nasional, m/s 18). Integriti secara umumnya bermaksud
kualiti unggul yang wujud dalam kalangan individu dan kualiti ini berteraskan
kepada prinsip berpegang teguh kepada kejujuran dan amalan bermoral tinggi
(Yusof, 2010). Di peringkat individu, integriti ialah keselarasan di antara apa yang
dikatakan dengan apa yang dilakukan; keselarasan di antara tindakan dengan
prinsip moral, etika dan undang-undang; serta keselarasan di antara kepentingan
diri dengan kepentingan umum. Integriti juga bermaksud keihklasan, ketelusan,
amanah, benar dan berpegang kepada prinsip. Integriti yang diamalkan oleh
seseorang individu akan melahirkan insan yang jujur, beretika serta memiliki
nilai-nilai keagamaan dan kerohanian yang kukuh. Selain itu, integriti juga
penting dalam membentuk pelapis kepimpinan yang berkaliber.

Sebagai penjawat awam, individu yang berintegriti akan melaksanakan
amanah dan kuasa yang dipertanggungjawabkan menurut kepentingan umum
dan bukannya kepentingan diri sendiri. Mereka tidak boleh menyalahgunakan
kuasanya untuk kepentingan diri mahupun keluarga. Apabila berlaku konflik
kepentingan, mereka haruslah memberi keutamaan terhadap kepentingan
awam. Dengan demikian, penjawat awam perlu telus serta harus memikul
tanggungjawab yang diamanahkan (Sulaiman Mahbob, 2005).

Integriti selalunya dikaitkan dengan etika. Integriti merupakan konsep
penting dalam pentaakulan etika (Widang & Fridlund, 2004) kerana integriti
berkait rapat dengan pembentukan dan pengukuhan etika yang baik serta
melaksanakan perkara yang betul (Musatafar Ali, 2004). Sekiranya
perbincangan berkaitan integriti dibahaskan, maka ianya tidak lengkap selagi
takrifan etika diabaikan (Yusof, 2005). Hal ini kerana takrifan konsep integriti
individu dalam Pelan Integriti Nasional itu sendiri menyatakan bahawa integriti
individu ialah keselarasan antara apa yang dikata dan dikota, antara tindakan
dengan prinsip moral, etika dan undang-undang, kepentingan diri dengan
kepentingan umum. Etika adalah himpunan nilai dan moral yang menjadi piawai
bagi tingkah laku individu, organisasi dan profesion. Etika ialah not only what is
legal but what is right. Menurut Yusof lagi, etika merupakan suatu
tanggungjawab dan akibat daripada tingkah laku seseorang atau profesion
terhadap masyarakat.

1.2 Kepentingan Integriti
Nilai integriti dalam masyarakat kini semakin rapuh dan masalah ini kian
berleluasa. Kehakisan nilai dalam masyarakat yang dicerminkan oleh kakitangan
awam dengan wujudnya jenayah kolar putih, gejala sosial, rasuah, diskriminasi,
penindasan dan penyalahgunaan kuasa semakin parah (Mustafar Ali,2006). Oleh
yang demikian, kerajaan sedar betapa pentingnya menerapkan nilai-nilai integriti
secara holistik dalam kalangan kakitangan awam negara terutamanya guru.
Hanya guru yang sentiasa mengamalkan nilai-nilai integriti mampu menyediakan
generasi modal insan kelas pertama (Ismail, 2009). Oleh itu, penerapan nilai-nilai
integriti dalam jiwa pendidik amat penting untuk memastikan warga pendidik
sentiasa menjalankan tugas dengan bersistematik, berintegriti dan membina
kerja cemerlang yang luhur (Hamidah Sulaiman et.al, 2006).

Sebagai seorang guru, integriti amatlah penting untuk diamalkan. Hal ini
kerana, sekiranya seseorang guru atau penjawat awam tiada ketelusan dan sifat
tanggungjawab, ialah boleh menjejaskan kepercayaan umum terhadap penjawat
awam. Seorang guru yang berintegriti akan melaksanakan amanah dan kuasa
yang diberi untuk kepentingan umum dan tidak menyalahgunakannya untuk
kepentingan diri mahupun keluarga. Integriti dalam diri akan memacu individu ke
arah hidup yang lebih baik di samping dapat mengelakkan seseorang individu itu
daripada terlibat dalam gejala yang tidak bermoral.

Fenomena ini membuktikan bahawa guru sekolah rendah perlu dinilai dan
dipantau untuk memperkukuhkan jati diri kerana dapatan kajian Hamidah et.al.
(2006) mendapati bahawa guru yang berintegriti sahaja yang akan dapat
memacu sesebuah organisasi ke arah perkhidmatan yang berkualiti yang
menyumbang ke arah pembangunan negara dengan lebih berkesan. Dapat
difahami bahawa corak didikan yang disemai oleh guru dalam diri pelajar akan
menentukan masa depan pelajar dan juga masa depan bangsa dan negara.
Integriti yang dimiliki oleh seseorang guru akan mendorongnya memajukan diri di
samping menyumbang kepada pencapaian negara untuk menjadi negara maju
bukan sahaja dari aspek pembangunan ekonomi tetapi juga pembangunan diri
dan sahsiah penduduknya. Secara idealnya, integriti yang bermaksud 'code of
behavior, jika dilaksanakan kod ini dengan baik mengikut lunas-lunas yang
ditetapkan oleh agama dan masyarakat bertamadun, nescaya sebuah
masyarakat atau negara itu akan maju dan bertamadun.

Integriti juga penting kerana ianya dapat meningkatkan kesedaran
seseorang supaya menghindarkan diri daripada melakukan perkara-perkara
negatif. Sebagai guru, contoh tauladan yang ditunjukkan oleh guru akan menjadi
ikutan para pelajar. Sekiranya seseorang guru tidak jujur, tidak
bertanggungjawab dan tidak mempunyai budi pekerti, para pelajar juga akan
terdorong untuk melakukan perkara yang sama. Integriti yang terdapat dalam diri
seseorang guru akan dapat membawa guru tersebut ke arah pencapaian nilai-
nilai murni dalam dirinya yang merangkumi keikhlasan, keterbukaan, ketelusan,
amanah, benar, keutuhan, ketulusan, jujur, berbudi pekerti, berpegang kepada
prinsip, tidak mudah dipengaruhi, boleh dipercayai dan sebagainya. Nilai-nilai
seperti inilah yang akan dicontohi oleh para pelajar di sekolah.
Integriti dalam kalangan guru juga penting bagi mengurangkan gejala
rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa secara berkesan. Hal ini kerana
dalam konteks pendidikan juga boleh berlakunya kejadian rasuah dan
penyelewengan. Ketika di sekolah, guru akan terlibat dengan urusan jual beli
buku dan kutipan yuran. Setiap urusan haruslah dilakukan secara telus supaya
tiada ruang untuk membolehkan berlakunya penyelewengan dan membabitkan
unsur rasuah.

Selain itu, integriti dapat meningkatkan kecekapan dalam sistem
penyampaian perkhidmatan awam dan mengatasi masalah birokrasi. Menurut
Syed Ismail dan Ahmad Subki (2010), organisasi pendidikan merupakan antara
organisasi yang melibatkan pelbagai peringkat pentadbiran dan pengurusan.
Terdapat peringkat, hierarki dan prosedur yang perlu dipatuhi ketika berurusan
dengan pihak pengurusan. Bagi meningkatkan meningkatkan kecekapan dalam
pengurusan, guru haruslah cuba mengurangkan karenah birokrasi dan
menyampaikan maklumat kepada pelanggan dengan cekap dan memberikan
kesan yang maksimum.

Guru yang berintegriti dan berakauntabiliti akan melahirkan insan yang
memiliki nilai-nilai positif dalam diri mereka. Hubungan antara guru dan murid
yang berteraskan rasa tanggungjawab, kasih sayang dan keikhlasan akan
memberikan impak yang baik kepada murid-murid. Hal ini kerana guru adalah
contoh teladan yang terdekat dengan murid-murid selain ahli keluarga mereka.
Wajarlah dikatakan bahawa integriti amat penting dalam diri seseorang guru.
Integriti memacu guru ke arah pembentukan sahsiah yang baik di samping
melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi demi melahirkan anak
bangsa yang turut berintegriti.

2.0 Contoh Isu Integriti
Pelbagai isu yang melibatkan integriti guru sering berlaku di sekolah.
Antara isu integriti yang sering berlaku ialah guru tidak menyiapkan Rancangan
Pengajaran Harian (RPH). Perkara ini sering berlaku tertutamanya dalam
kalangan guru lelaki. Walaupun penulisan rancangan pengajaran merupakan
perkara wajib, namun masih terdapat guru yang memandang remeh akan
perkara tersebut. Pada pemerhatian kami semasa menjalankan praktikum di
sekolah, guru-guru hanya menyiapkan rancangan pengajaran apabila diminta
oleh guru besar untuk disemak. Hal ini menunjukkan bahawa integriti dalam
kalangan guru masih di tahap yang rendah. Bagi menggalakkan guru menulis
Rancangan Pengajaran Harian, pihak sekolah harus memastikan buku RPH
dihantar setiap hujung minggu. Seterusnya, pihak pentadbir sekolah membuat
sistem ganjaran kepada guru yang dapat menghantar buku RPH terawal
diberikan nombor bertuah. Bila ada majlis sambutan hari guru, nombor yang
terpilih akan mendapat ganjaran. Program seperti ini bukan sahaja dapat
merapatkan hubungan sesama guru malah memberikan semangat untuk guru
menyiap dan menghantar buku RPH.

Isu integriti yang kedua ialah guru tidak menjaga kerahsiaan guru-guru
dan kerahsiaan murid walaupun menjaga kerahsiaan adalah salah satu etika
keguruan. Kerahsiaan guru dan murid didedahkan apabila guru berbual dengan
guru yang lain atau kata lainnya mengumpat. Terdapat juga guru yang
menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap rakan guru dan pentadbiran sekolah
secara terbuka di bilik guru. Perbuatan ini menunjukkan bahawa guru tidak
prihatin dan tidak bertanggungjawab dalam menjaga hal-hal kerahsiaan orang
lain. Telah dinyatakan di dalam kod etika keguruan di mana guru harus
menghormati maklumat sulit murid dan guru lain dan tidak memberitahu perkara
tersebut kepada orang lain. Namun, masih terdapat guru yang tidak mematuhi
kod etika tersebut. Hal ini jelas menunjukkan guru tersebut tidak mempunyai
integriti sebagai seorang guru dan juga sebagai pendidik. Hal kerahsiaan guru ini
merupakan hal yang begitu besar. Oleh yang demikian, guru yang ditangkap
membocorkan rahsia guru yang lain haruslah dikenakan tindakan yang
sewajarnya. Tambahan pula, guru harus menunjukan perwatakan yang boleh
dicontoh oleh murid-murid bukannya yang boleh menjatuhkan maruah orang lain
di hadapan murid.

Isu yang seterusnya ialah guru-guru berniaga di sekolah. Perbuatan
berniaga barangan di sekolah adalah perbuatan yang dilarang. Namun begitu,
masih terdapat guru yang berniaga secara curi-curi di bilik guru. Sekiranya guru
mahu berniaga, mereka hendaklah meminta kebenaran pentadbir. Tambahan
pula, perniagaan boleh dijalankan selepas tamat waktu persekolahan. Ini
memastikan kerja guru dapat disiapkan semasa waktu persekolahan dan tidak
dibaziri dengan aktiviti jual beli. Selain itu, terdapat juga guru yang menjalankan
penyelewengan semasa berurus niaga untuk pembelian buku dan sebagainya.
Penyelewengan bukan sahaja dilakukan dalam urusan jual beli buku, malah
dalam pengurusan wang yuran murid-murid juga. Perkara ini jika tidak ditangani
akan menyebabkan kejatuhan integriti seseorang guru. Isu pecah amanah dalam
pengurusan kewangan amatlah serius sehingga telah tercatat di dalam kod etika
keguruan di mana telah dinyatakan bahawa guru tidak harus bertingkah laku
begitu rupa yang boleh membawa kepada jatuhnya maruah diri dan kehilangan
amanah berhubungan dengan kewangan. Perkara ini bukan perkara yang baru
malah perkara ini sering terjadi di sekolah. Bagi mengelakkan berlakunya
penyelewengan, pihak pentadbiran harus memberikan tugasan ini kepada
seorang yang boleh dipercayai. Guru tidak seharusnya dibebankan dengan kerja
selain mengajar. Oleh itu, seorang kerani wajar dilantik bagi menguruskan hal-
hal berkaitan yuran dan juga pembelian barangan sekolah. Guru yang berintegriti
sepatutnya mematuhi kod etika keguruan dan berusaha mengelakkan diri
daripada terjerumus dengan isu penyelewengan dan pecah amanah.

Di sekolah, terdapat juga guru yang tidak menjalankan tanggungjawab
dengan sepenuh hati. Tanggungjawab merupakan salah satu daripada cabang
integriti selain kejujuran, ketelusan dan amanah. Sebagai contoh, guru tidak
masuk ke kelas pada masa pengajarannya, tidak mengajar walaupun masuk ke
dalam kelas, tidak menyemak tugasan murid-murid, tidak berpengetahuan dan
sebagainya. Sikap tidak bertanggungjawab ini akan menimbulkan masalah
kepada murid-murid yang datang ke sekolah untuk menuntut ilmu tetapi tidak
memperoleh apa-apa kerana guru tidak masuk ke kelas dan tidak mengajar.
Perbuatan ini menunjukkan bahawa guru tidak berintegriti dalam profesionnya
sebagai seorang pendidik yang sepatutnya berperanan menyampaikan ilmu
pengetahuan kepada anak-anak didiknya yakni murid-murid. Bagi mengatasi
masalah ini, wajarlah sebuah sekolah menetapkan sistem keluar masuk di dalam
kelas. Sistem seperti ini dapat membantu pihak pentadbir untuk menangkap
guru-guru yang tidak masuk ke kelas.

Di samping itu, terdapat juga pelbagai inisiatif lain yang boleh
dilaksanakan oleh guru dalam usaha memantapkan integriti dalam kehidupan
masing-masing. Integriti dalam kalangan guru dapat dilihat dalam dua kategori
yang berbeza yakni integriti berkaitan dengan peribadi guru dan integriti yang
melibatkan organisasi atau sekolah. Bagi membudayakan amalan integriti dalam
kalangan guru, nilai tersebut boleh disemai melalui dua aspek tersebut.

Antara amalan yang boleh diamalkan oleh guru untuk memantapkan nilai
integriti dalam diri ialah guru haruslah sentiasa memikirkan masa depan murid.
Guru berakauntabiliti akan sentiasa mendidik murid dengan niat untuk
menyediakan mereka ke arah kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan.
Kejayaan dan kegagalan seseorang murid bergantung kepada perkara tersebut.
Bagi menjayakan hasrat tersebut, guru haruslah sentiasa mempersiapkan diri
dengan ilmu dan kemahiran mengikut perkembangan semasa supaya
pengetahuan tersebut boleh disampaikan kepada mereka dan seterusnya
menjadi bekalan mereka sehingga dewasa. Jelaslah, hal ini secara tidak
langsung akan meningkatkan nilai integriti dalam kehidupan sebagai seorang
guru.

Seterusnya, guru juga haruslah memiliki tahap kesabaran yang tinggi
sewaktu menjalankan tugasnya sebagai seorang pendidik. Personaliti guru
semasa berinteraksi dengan muridmemainkan peranan yang penting kerana
sikap tersebut akan turut mempengaruhi suasana pengajaran dan pembelajaran.
Personaliti guru juga sering menjadi perhatian murid. Guru yang mempunyai
tahap kesabaran yang tinggi akan mencerminkan personaliti guru tersebut
sebagai seorang pendidik yang sejati. Guru yang sabar tidak akan membeza-
bezakan murid beliau dan hanya menyayangi murid yang berkelakuan baik
sahaja. Setiap murid dilayan dengan adil supaya integriti guru tersebut sebagai
seorang pendidik tidak akan dipertikaikan.

Pada masa dahulu, personaliti guru sentiasa menjadi ikutan dan mereka
turut dijadikan idola oleh masyarakat setempat. Status sebagai seorang
pembentuk generasi yang akan datang sememangnya dipandang tinggi dan
dianggap mulia oleh mereka. Namun, situasi pada masa kini telah berubah sama
sekali disebabkan oleh sikap sesetengah guru yang mengambil sikap sambil
lewa tentang perkara tersebut. Lama-kelamaan, sifat-sifat tersebut semakin
pupus dalam diri seorang guru memandangkan golongan guru sendiri yang tidak
menjiwai tugas sebenar mereka sebagai seorang pendidik. Perkara ini tidak
seharusnya berlaku memandangkan ia mempunyai perkaitan yang sangat kuat
dengan integriti sebagai seorang guru.

Selain itu, guru juga haruslah sentiasa memastikan bahawa sesi
pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan menarik dan penuh dengan
informasi yang berguna. Guru seharusnya mempunyai kebolehan untuk
mewujudkan suasana yang menyeronokkan semasa proses pembelajaran
sedang berlangsung. Contohnya, guru mengunakan media dalam pengajaran
untuk menarik perhatian murid-murid. Melalui penggunaan media, guru akan
dilihat sebagai seorang yang proaktif dan sentiasa menitikberatkan hasil akhir
pengajaran. Penggunaan media juga akan membantu murid untuk memahami
dan mengingati sesuatu fakta dan ilmu dengan lebih baik.

Seterusnya, guru juga haruslah berkebolehan untuk memberi
pengharapan baru kepada murid-murid yang gagal dalam pembelajaran. Guru
yang berintegriti tidak akan mengkritik anak-anak muridnya yang tidak berjaya
dan menyebarkan perkara yang tidak elok tentang anak-anak murid mereka
kepada guru-guru yang lain. Hal ini sememangnya bertentangan dengan etika
sebagai seorang guru yang profesional. Guru seharusnya memberi kesedaran
kepada murid-murid bahawa kegagalan bukanlah penamat kepada kehidupan
mereka. Guru yang berintegriti akan menggunakan pendekatan yang halus tetapi
berkesan untuk menaikkan semula semangat murid untuk belajar dan
memperbaiki kelemahan mereka dalam pembelajaran.

Di samping itu, guru juga mestilah mempunyai kemahiran untuk
membentuk nilai dan sahsiah terpuji dalam diri anak didikan mereka. Menurut
Ragbir Kour (2007), guru bertanggungjawab untuk membentuk murid memiliki
akhlak yang mulia dan nilai-nilai murni yang tinggi.Bagi merealisasikan hasrat
tersebut, guru terlebih dahulu haruslah memiliki sifat-sifat terpuji dalam diri
supaya ia boleh menjadi tauladan kepada murid-murid di sekolah. Sebagai ibu
bapa kedua kepada murid-murid, segala nilai yang dipaparkan oleh guru di
sekolah akan menjadi ikutan mereka. Guru haruslah sentiasa memastikan nilai-
nilai yang ditonjolkan di sekolah adalah berbentuk positif supaya nilai tersebut
dapat dibentuk dan diterapkan dalam jiwa murid-murid.
Amanah dalam menjalankan tanggungjawab juga termasuk dalam skop
integriti sebagai seorang guru. Penghayatan terhadap nilai tersebut sedikit
sebanyak akan membantu dalam memantapkan lagi nilai integriti dalam diri.
Guru seharusnya bersikap amanah dalam mendidik murid-murid dengan
memastikan ilmu yang disampaikan adalah bertepatan dengan garis panduan
yang telah ditetapkan. Di samping itu, guru juga tidak seharusnya menggunakan
pendekatan secara langsung sahaj untuk membentuk sahsiah murid. Pengajaran
secara tidak langsung juga boleh diaplikasikan dalam memastikan proses
pengajaran memberi impak kepada murid-murid di sekolah.

Refleksi

Tugasan ini diberikan oleh pensyarah penyelaras iaitu Encik Azmi. Kami
diberikan taklimat di Dewan Kuliah C mengenai skop yang diperlukan untuk
menyiapkan tugasan ini. Tugasan ini hendaklah dilakukan secara berpasangan.
Saya menyiapkan tugasan ini bersama rakan sekelas saya iaitu Nurul Ezzaty.
Semasa mendapat tugasan, kami telah merancang untuk membahagikan
tugasan. Hal ini kerana kami tidak tinggal bersama dan ini menyukarkan proses
perbincangan dilaksanakan bersama-sama. Oleh yang demikian, saya
ditugaskan untuk membuat soalan yang kedua manakala Ezzaty membuat
soalan yang pertama. Pada awalnya, agak sukar untuk melaksanakan tugasan
ini kerana tugasan ini memerlukan saya berfikir mengenai masalah-masalah
yang timbul yang menyebabkan adanya guru yang tidak berintegriti di sekolah.
Namun begitu, setelah diberikan penerangan oleh Cik Guan mengenai tugasan
ini, saya merasakan tugasan ini mudah dilaksanakan dan tidak membebankan
kami.
Pencarian bahan seperti buku-buku mahupun nota-nota mengenai integriti
telah dilaksanakan bagi memastikan saya tidak tersasar dalam membuat
penulisan mengenai tugasan ini. Tugasan ini turut membuatkan saya sebagai
guru pelatih tidak sabar untuk menjadi guru yang lebih berintegriti demi
memajukan masyarakat yang berada di Malaysia. Tambahan pula, tugasan ini
dapat membentuk saya agar menjadi guru yang berintegriti dan dapat memikul
akauntabiliti. Tugasan seperti ini wajar dilaksanakan kepada kesemua guru
pelatih.