1.0 Pengenalan
Bertujuan memantapkan latihan perguruan, semua maktab perguruan telah dinaik taraf
menjadi IPG. Hal ini membolehkan IPG menawarkan program pada peringkat sarjana
muda pendidikan. Latihan perguruan dimantapkan dengan memberi elemen baru dalam
kurikulum pendidikan guru. Usaha ini dilaksanakan dengan tujuan memberi latihan
profesional dalam pedagogi, kurikulum, ICT dan penyelidikan kepada bakal-bakal
guru.
Adalah dipercayai langkah ini mampu merealisasikan sasaran 100 peratus
tenaga pengajar di sekolah menengah terdiri daripada guru siswazah dan 50 peratus
guru berijazah di sekolah rendah menjelang 2020.
Skim Perkhidmatan Pendidikan telah ditambah baik lagi dengan penambahan peluang
kenaikan pangkat ke gred Jusa C dan gred Khas C bagi pengetua dan guru terbilang
yang mahu kekal di sekolah kerana minat mengajar mereka yang mendalam. Pertambahan
jawatan dan perluasan kenaikan pangkat dibuat untuk kategori perjawatan PPS di
KPM, JPM dan PPD.
Sebagai peningkatan pula, konsep Pengetua Cemerlang Jusa C serta Guru
Cemerlang Gred Khas C di institut pendidikan guru (IPG) dan Kolej Matrikulasi
diperluaskan, selain menetapkan sekurang-kurang seorang Guru Cemerlang bagi setiap
sekolah menengah pada Gred DG44. Menerusi strategi pelaksanaan penambahbaikan
perjawatan guru di bawah fokus sama pula, pelan tindakan yang digariskan ialah
menambah kuota bagi gred kenaikan pangkat Pengetua Cemerlang dari Gred DG48 hingga
Gred Jusa C dan Guru Cemerlang dari Gred DG44 hingga Gred Khas.
Bertujuan menjaga kebajikan guru, mulai tahun 2005, KPM melaksanakan dasar
pemberian Skim Pinjaman Buku Teks kepada semua anak guru dan Pegawai Perkhidmatan
Pendidikan termasuk yang telah bersara atau meninggal dunia. Antara langkah lain
ialah;
i. menyediakan kemudahan tempat tinggal yang mencukupi di kawasan bandar dan
luar bandar.
ii. mewujudkan tambahan jawatan kumpulan sokongan.
iii. mensifarkan guru sandaran tidak terlatih
iv. menempatkan guru mengikut opsyen dan keperluan
v. ratio guru dengan kelas juga dinaikkan dari 1.5 kepada 1.70
Di samping mewujudkan pelan pembangunan staf, guru cemerlang dan staf
sokongan, pelan tindakan lain ialah menambah baik norma perjawatan guru, elaun
kepada guru tugas khas serta mengkaji cuti rehat dan juga waktu
bekerja guru.
Bertujuan memantapkan mekanisme bekalan guru, KPM bekerjasama dengan IPT berkaitan
latihan perguruan bertujuan menjangka unjuran keperluan guru. PIPP turut
menetapkan Standard Guru Malaysia (SGM) bagi dijadikan rujukan berhubung piawaian
kualiti guru di seluruh negara bermula di sekolah sekitar Lembah Klang.
SGM adalah sistem amaran awal supaya guru sendiri peka terhadap keperluan
untuk melaksanakan usaha pengukuhan, peningkatan dan pemantapan ilmu, kemahiran
serta personaliti. Standard ini merangkumi dua komponen khusus iaitu komponen
standard membabitkan elemen nilai dan amalan profesional keguruan, pengetahuan
dan kefahaman berkaitan bidang keguruan serta kemahiran pengajaran dan
pembelajaran.
2.0 Bincangkan bagaimana anda sebagai seorang pendidik berperanan untuk
memastikan hasrat tersebut dapat dilaksanakan dalam organisasi anda.
2.1 Pendahuluan
Meningkatkan kualiti guru, kerjaya guru, dan kebajikan guru merupakan antara
langkah-langkah dalam memartabatkan profesion perguruan. Apa yang dimaksudkan
guru berkualiti? Secara ringkas pengertian kualiti boleh dimaksudkan dan meliputi
ciri-ciri berikut:
• memenuhi kehendak pelanggan
• keadaan yang terbaik tanpa kecacatan
• sentiasa menepati piawaian
• jaminan kepuasan dan kebolehpercayaan dari segi penggunaan/perkhidmatan
• tidak statik malah sentiasa dipertingkatkan dari masa ke semasa (R&D);
(contohnya: piring hitam kepada pita kaset; kemudian pita video; seterusnya CD;
DVD; HDTV )
Dalam pendidikan, guru dianggap berkualiti apabila melaksanakan perkara-perkara
berikut;
• pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dan bermutu.
• Proses P&P yang mengembangkan potensi insan dari segi psikomotor, kognitif
dan afektif ke tahap yang optimum.
• Kadar celik huruf yang tinggi.
• Pencapaian akademik tinggi dan cemerlang.
• Penyertaan kokurikulum yang aktif dan bermakna.
• Pengurusan hal ehwal murid, kebersihan dan keceriaan mewujudkan suasana yang
kondusif bagi membina budaya ilmu dan budaya sekolah yang tinggi.
• Pengurusan keseluruhan yang telus dan cekap lagi berkesan.
• Mempunyai EQ yang tinggi dan mahir dalam komunikasi interpersonal.
Bagi memastikan hasrat tersebut dicapai dalam organisasi saya, saya perlu
melaksanakan lima elemen penting dalam meningkatkan kualiti kerjaya saya. Elemen
tersebut ialah melaksanakan kajian tindakan, mengetahui implikasi undang-undang
dalam pendidikan, mengetahui peruntukan kebajikan yang diperuntukkan kepada
penjawat awam, memantapkan EQ (Emotion Quotient), menjalankan refleksi dan
mengikuti kursus-kursus dalam perkhidmatan. Adalah dipercayai dengan amalan
perkara di atas akan dapat memartabatkan profesion perguruan sekali gus
meningkatkan kualiti guru, kerjaya guru, dan kebajikan guru dalam organisasi saya.
Kesan momentumnya menyebabkan profesion keguruan dihormati dan dipandang tinggi
sesuai dengan amanah yang dipikul dalam pembinaan generasi masa hadapan negara.
Satu cara saya meningkatkan kualiti diri dan tahap profesionalisme saya ialah
menjalankan penyelidikan tindakan tentang semua aspek yang berkaitan dengan
pengajaran. Budaya penyelidikan, penulisan dan pembacaan perlu saya pupuk dalam
kalangan bertujuan meningkatkan kualiti guru dan profesionalisme guru dalam
organisasi saya.
Kajian tindakan didefinisikan sebagai satu kajian mengenai situasi sosial
(situasi pendidikan) yang melibatkan penyertaan guru sebagai pengkaji dengan
tujuan untuk menambahbaik kualiti tindakan di dalamnya ke arah menambahbaik amalan
kendiri. Sifat utama dalam kajian tindakan ialah perubahan / kolaborasi antara
pengkaji dan kajian yang akhirnya memberi sumbangan kepada pengetahuan dan
maklumat berkaitan.
Kajian tindakan dijalankan bertujuan untuk:
a) Memperkembang dan memperbaiki amalan-amalan kendiri melalui kajian
berasaskan minat.
b) Membolehkan saya membuat refleksi berdasarkan bukti dan penyampaian dapatan
yang diperolehi kepada guru-guru dan pendidik yang lain.
c) Dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran saya dalam membuat
penyelidikan.
d) Membantu memperkembang pengetahuan professional saya dengan cara mengenal
pasti dan menjelaskan ketidakseimbangan antara aspirasi dan amalan melalui
refleksi untuk membolehkan saya mengubahsuai amalan-amalan sedia ada kepada yang
lebih releven.
e) Memperkembang dan menambahbaik sistem pendidikan sebagai suatu disiplin
dengan melibatkan guru dalam proses menjana dan menguji bentuk-bentuk tindakan
yang baru.
Terdapat enam peringkat dalam kajian tindakan yang perlu saya lakukan iaitu:
I. Mengenal pasti situasi.
II. Merancang tindakan.
III. Melaksanakan tindakan.
IV. Memerhati tindakan.
V. Refleksi ke atas tindakan.
VI. Mengubahsuai tindakan.
Akta Pelajaran 1961 merupakan sistem perundangan awal dalam pendidikan yang
sebelum itu dasar pendidikan berasaskan Penyata Razak (1956) dan Penyata Rahman
Talib (1960). Pada tahun Ordinan Pelajaran (1957) dibentuk bagi menubuhkan satu
sistem pelajaran yang dapat memenuhi keperluan negara dan menggalakkan
perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi dan politiknya. Dasar Pelajaran
Kebangsaan (1970) dan Akta Pendidikan (1996) digubal bagi memenuhi keperluan
sumber manusia pada masa itu.
Banyak guru dan pentadbir sekolah tidak peka tentang peraturan yang sedia ada yang
dikeluarkan oleh KPM melalui pekeliling-pekeliling ikhtisas. Kajian Rosow L.F,
(1990) mendapati kesedaran undang-undang dalam kalangan guru amat rendah dan hal
ini mendorong ibu bapa mendakwa guru dan sekolah di mahkamah. Tindakan guru
mengenakan hukuman korporal, kawalan disiplin yang lemah menjadikan sekolah tidak
selamat, kemalangan dan kecederaan di sekolah turut mendedahkan sekolah kepada
tindakan mahkamah.
Konsep in loco parentis bermaksud semua guru dengan sendirinya menjadi pengganti
kepada ibu bapa selama murid tersebut berada di kawasan sekolah. Oleh itu saya
perlulah memastikan supaya murid-murid sentiasa diberi penjagaan rapi dan
dilindungi daripada sebarang risiko yang boleh mendatangkan bahaya kepada mereka.
Namun demikian tanggungjawab saya menjaga keselamatan pelajar bergantung kepada
bilangan pelajar di sekolah, umur, jenis aktiiviti, kelengkapan yang ada di
sekolah, keadaan fizikal sekolah dan kelas itu sendiri.
Doktrin tradisional ‘in loco parentis’ bermakna bahawa guru dikehendaki bertindak
secara munasabah untuk melindungi pelajar daripada kecederaan fizikal. Guru
dianggap cuai dan bertanggungjawab terhadap kecederaan yang dialami oleh pelajar.
Berdasarkan doktrin ini saya perlu menjaga kebajikan pelajar dan keselamatan
pelajar mengikut peruntukan-peruntukan daripada pekeliling-pekeliling ikhtisas.
Saya berasa dilindungi apabila setiap tindakan berpandukan kepada pekeliling
ikhtisas tersebut.
Saya berkemampuan untuk menjelaskan konsep ini dalam organisasi saya dengan
tujuan memastikan semua guru dalam organisasi saya mempunyai kefahaman mendalam
tentangnya. Pemahaman yang tinggi sudah tentu menjadikan guru di organisasi saya
lebih berkualiti dan mempunyai tahap profesionalisme yang tinggi. Pengetahuan ini
digunakan dalam melahirkan modal insan berkualiti seperti yang dikehendaki oleh
KPM
Dalam hal ini terdapat dua perkara yang saya perlu lakukan iaitu refleksi semasa
tindakan dan refleksi ke atas tindakan akan dapat membantu saya mengembangkan
kualiti profesion keguruan saya. Refleksi semasa tindakan ialah melihat semula
dan memikirkan permasalahan yang wujud dalam memahami sesuatu fenomena. Manakala
refleksi ke atas tindakan ialah guru merenung kembali proses pemikirannya dan
menganalisis situasi sebelum merancang sesuatu tindakan. Penulisan reflektif
menggambarkan keseluruhan pola pemikiran yang beralih daripada refleksi teknikal
ke tahap refleksi kritikal. (Schon, 1983, 1987).
Penulisan reflektif merupakan cara saya meninjau pelaksanaan teori-teori
pengajaran dan perkembangan profesionalisme. Dengan cara ini saya akan dapat
merangsang perbincangan dengan rakan sekerja, menerapkan teori-teori pembelajaran
dan menjawab permasalahan dalam pembelajaran dan pengajaran yang selanjutnya
meningkatkan komitmen saya dalam kerjaya. Adalah dipercayai refleksi menyediakan
satu asas yang kaya dan komprehensif mengenai pengajaran dan pembelajaran. Amalan
refleksi ini bukan sahaja membolehkan saya memperoleh pengertian mengenai bidang
tugas saya malah saya memperoleh pengertian mengenai tugas dengan lebih mendalam
yang boleh dicontohi dan dipelajari oleh guru-guru lain (Boon, 2002). Amalan ini
juga memberi kepuasan instrinsik apabila saya dapat menganalisis sesuatu situasi
dengan baik dan membentuk satu pendapat secara logik.
Sebagai kesimpulan, amalan reflektif mampu meningkatkan kemahiran saya
dalam membuat keputusan dan meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran saya
di dalam kelas.
b. Merancang tindakan
Langkah kedua ialah merancang tindakan awal seperti mengadakan pembelajaran
mikro.
c. Pelaksanaan tindakan
Saya melaksanakan pembelajaran mikro di kelas
d. Penilaian tindakan
Menilai kekuatan dan kelemahan pelajar (guru pelatih) dan tahap kualiti pengajaran
dan pembelajaran saya.
e. Refleksi
Mengkaji tahap penguasaan pelajar dan menyenarai penambahbaikan.
f Kefahaman baharu
Merancang tindakan susulan dan pemulihan serta penyesuaian.
Melaksanakan satu lingkaran refleksi
Dengan pelaksanaan kajian tindakan ini saya akan mempunyai kesedaran menjadi
guru reflektif yang seterusnya meningkatkan martabat profesionalisme guru
berkualiti seperti yang dikehendaki oleh organisasi saya dan KPM.
Dalam era teknologi moden, perkembangan ilmu pengetahuan dan kemahiran baru dalam
mata pelajaran pengkhususan, inovasi dalam pedagogi menuntut saya dilatih semula
semasa dalam perkhidmatan. Latihan dalam perkhidmatan ini dapat mempertingkat dan
memperkukuh profesionalisme saya selain mengembangkan potensi diri ke tahap yang
diingini oleh organisasi saya. Sebagai guru, saya mampu memantapkan kapasiti untuk
membaiki pedagogi pembelajaran pelajar dengan melanjutkan pengetahuan
profesional saya dalam menguasai serta mengembangkan kemahiran pembelajaran dan
pengajaran. Hal ini dapat meningkatkan tahap kualiti pedagogi saya.
Atas alasan itulah KPM memberi kebenaran guru melanjutkan pelajaran ke
peringkat yang lebih tinggi bagi meningkatkan kualiti dan profesionalisme. Banyak
kemudahan seperti biasiswa, dan cuti bergaji penuh diberikan kepada guru
melanjutkan pelajaran dalam bidang pendidikan sama ada di dalam atau di luar
negera. Bagi yang tidak dapat melanjutkan pelajaran secara sepenuh masa, program
pendidikan jarak jauh (PJJ) boleh dikuti.
Bagi meningkatkan kualiti diri, saya perlu mengikuti kursus-kursus dalam
perkhidmatan anjuran pihak institut dan Bahagian Pendidikan Guru (BPG) atau INTAN
(Institut Tadbir Awam Negara) secara berkala. Saya perlu bersikap proaktif dalam
memperkaya diri dengan pengetahuan baru, kemahiran dan trenda-trenda baru
pengajaran dan pembelajaran melalui kursus-kursus tersebut. Seterusnya saya wajar
menyampaikan pengetahuan baru tersebut kepada guru-guru lain dalam organisasi
saya supaya semua guru juga memperoleh pengetahuan dan kemahiran baru dalam
bidang-bidang tertentu. Sebarang input baru seperti pembelajaran bestari,
teknologi maklumat dan komunikasi, bimbingan dan kaunseling, isu-isu pendidikan
masa kini dan penemuan baru dalam pedagogi, penyelidikan tindakan mampu
meningkatkan kualiti guru dan seterusnya mampu meningkatkan martabat guru dalam
pandangan masyarakat.
Kesimpulan.
Dalam memartabatkan profesion perguruan supaya dihormati dan dipandang tinggi
oleh masyarakat dalam melahirkan modal insan, guru perlulah mempunyai kualiti
seperti bersikap empati dan komited dengan tugas serta menghargai maruah orang
lain (iaitu anak didik, ibu bapa dan rakan sejawat) dalam mencapai objektif dari
segi afektif dan juga kognitif. Guru juga mampu menghubungkan 'mata pelajaran'
dengan kehidupan murid-murid. Guru bukan sahaja mengajar subjek tetapi juga
mengajar murid-murid cara-cara hendak belajar, menganalisa dan berfikir secara
kritis. Hal ini sudah pasti dapat menjana idea-idea baru dan menarik bagi murid-
murid berfikir mengenainya Guru juga perlu hadir dalam aktiviti-aktiviti murid
seperti sukan, persembahan musikal dan kebudayaan.
Guru dianggap berkualiti dan dipandang tinggi dalam masyarakat jika
melakukan refleksi atau kritik-kendiri, dalam meningkatkan profesionalisme
mereka. Guru juga perlu fleksibel dalam pendekatan-pendekatan pengajaran dan
pembelajaran. Selain itu guru harus bersemangat dalam mengajar murid-murid dalam
sesuatu mata pelajaran, menjadi seorang komunikator yang cemerlang; mampu
menjadikan idea-idea yang kompleks mudah difahami dan dengan itu murid-murid
dapat memahami dan menghargainya. Mempunyai kematangan emosi yang tinggi atau
kemahiran interpersonal yang baik juga dapat meningkatkan tahap profesionalisme
guru. Guru perlu sentiasa peka akan perubahan pedagogi dan merancang pengajaran
terlebih dahulu untuk pembelajaran yang lebih kondusif. Jelaslah di sini, guru
berkualiti akan melahirkan pelajar berkualiti.
BIBLIOGRAFI
Abdul Shukor Abdullah (1994). Penilaian Semula Situasi Pengurusan Sekolah. Jurnal
Pengurusan Pendidikan IAB, Kementerian Pendidikan Malaysia. Jilid 04, Bil. 01
m.s. 1 - 6.
Bolin, F.S. (1988) Helping student teachers think about teaching, Journal of
Teachers Education.
De Potter, Bobbi & Hernacki, Mike (1992). Quantum Learning Unleashing The Genius
In You, New York : Dell Publishing
Mohd Ismail Othman. (2003) Undang-Undang untuk Pengetua dan Guru Besar.
Bentong : PTS Publications & Distributor Sdn Bhd.
Tie Fatt Hee. (2004) Liabiliti Dalam Pengurusan Pendidikan.Kuala Lumpur : Utusan
Publications & Distributor Sdn Bhd.