Anda di halaman 1dari 3

KEMAHIRAN PENYELESAIAN MASALAH DALAM MATEMATIK

Matematik ialah satu bidang pengetahuan yang sentiasa berubah dari segi kandungan, kegunaan dan
cara mempelajarinya. Matematik yang diajar di sekolah perlu turut berubah. Desakan-desakan untuk
perubahan mungkin muncul dari perkembangan dalam ilmu matematik sendiri, kegunaan matematik
dalam masyarakat umum yang kian bertambah ataupun penemuan-penemuan psikologi mengenai
pembelajaran matematik.
Kepada ahli matematik, matematik adalah satu bahasa yang unik di mana ia
melibatkan komunikasi konsep-konsep melalui simbol.
"Mathematics is a language - a way of describing, recording in mathematical
sentences and interpretating the symbols used to
relationship" (Inder, 1982)
Pelajar yang mahir dalam matematik biasanya dikaitkan dengan kebolehan mereka
memahami sesuatu konsep, teorem, keupayaan menguasai kemahiran-kemahiran
tertentu serta kebolehan menyelesaikan masalah dengan menggunakan strategi-
strategi heuristik yang tertentu. Mengapakah ramai pelajar tidak mampu
mengaplikasikan kemahiran dan konsep matematik yang telah dipelajari ? Kenapa
matematik dikatakan sukar? Matematik dianggap sukar kerana pada dasarnya ia
adalah berbentuk hiraki. Pemahaman tentang satu konsep adalah perlu untuk
mempelajari suatu konsep yang lain. Kegagalan pelajar untuk memahami sesuatu
konsep asas boleh menjejaskan pembelajaran matematiknya. Apakah kriteria yang
digunakan oleh seorang pelajar dalam mempelajari matematik? Bagi seorang pelajar,
mendapat maklumat dalam matematik adalah satu prosedur yang sukar kerana ia
melibatkan cara memikir dan membuat. Tiga aktiviti utama yang terlibat adalah
penerokaan/penyiasatan, penyelesaian masalah dan pembuktian.
Kemahiran penyelesaian masalah adalah penting dalam matematik. Pelajar
digalakkan menggunakan pengetahuan sedia ada dan kemahiran untuk mencari
jawapan kepada masalah matematik, contohnya hubungan nombor dengan pola
nombor. Penyelesaian masalah yang efektif bergantung kepada imaginasi, kreativiti,
pemikiran logik serta kesungguhan pelajar. Kegagalan pelajar dalam matematik
mencerminkan kegagalan mereka dalam penyelesaian masalah. Selain daripada
mengajar konsep dan kemahiran kepada pelajar, guru harus menekankan kemahiran
penyelesaian masalah dengan mengaplikasikan konsep dan kemahiran yang diajar.
Penggunaan masalah matematik yang praktikal dan benar akan lebih bermakna
kepada pelajar.
Suatu masalah dianggap sebagai masalah jika ia memenuhi tiga kriteria iaitu mesti
ada penerimaan, halangan dan penerokaan. Suatu masalah yang merupakan masalah
kepada seorang individu tidak semestinya menjadi masalah kepada sorang individu
yang lain. Dalam suatu masalah mesti terdapat tujuan yang jelas untuk dicapai oleh
individu itu dan mesti terdapat halangan terhadap jalan kepada pencapaian tujuan
itu. Penyelesaian masalah pula boleh ditakrifkan sebagai suatu proses yang terancang
untuk mencapai tujuan yang dikehendaki dalam suatu masalah dengan menggunakan
pengetahuan dan pengalaman yang diperolehi. Ia adalah cara seorang individu
menggunakan pengetahuan yang diperolehi dahulu, kemahiran serta kefahaman
untuk memenuhi tuntutan suatu situasi yang tidak lazim. Individu itu dikehendaki
mensintesis apa yang dipelajari dan mengaplikasikannya kepada situasi yang baru
dan berlainan itu.
Ramai ahli pendidik telah mengemukakan pelbagai model untuk kemahiran
penyelesaian masalah. Polya (1957), telah mengemukakan satu model yang terdiri
daripada empat langkah utama iaitu memahami masalah, memperolehi rancangan
penyelesaian, menjalankan rancangan penyelesaian dan menyemak semula.
Berdasarkan model Polya ini, pengkaji-pengkaji matematik lain telah mencadangkan
banyak lagi model lain untuk menyelesaikan masalah. Model yang digunakan oleh
Zambo (1994) dalam kajiannya meliputi langkah-langkah berikut:
1. senaraikan (cari) fakta-fakta yang diberi
2. senaraikan (tentukan) apa yang perlu dicari
3. lukiskan satu gambarajah (untuk mewakili masalah)
4. pilih operasi-operasi yang akan digunakan untuk menyelesaikan masalah
5. tulis satu ayat terbuka
6. anggarkan jawapan
7. lakukan komputasi
8. nyatakan jawapan
9. mengesahkan jawapan dengan menilai samada jawapan yang diperolehi itu
munasabah dan hampir dengan anggaran yang dibuat.
Dalam kajiannya ke atas pelajar kolej, Webb (1979) pula dapati langkah pertama
yang dilakukan oleh pelajar semasa menyelesaikan masalah ialah membaca soalan
yang diberi. Ini diikuti dengan strategi-strategi lain seperti melukis gambarajah,
menulis persamaan, menggunakan algotrima dan mengesahkan jawapan.
Kajian yang dijalankan oleh Berinderjeet (1997) pula mendapati pelajar gagal
dalam penyelesaian masalah disebabkan oleh beberapa faktor seperti:
1. kurang pemahaman terhadap masalah yang dikemukakan
2. kurang pengetahuan untuk merancang strategi penyelesaian
3. ketidakupayaan pelajar untuk menterjemah masalah ke dalam bentuk matematik
4. mengaplikasi strategi yang tidak sesuai
5. melakukan kesilapan ketika menukar masalah ke bentuk matematik
6. kesilapan komputasi
7. pengetahuan matematik yang kurang
8. salah dalam menafsir maklumat yang diberi
Namun tidak boleh dinafikan bahawa sikap guru terhadap penyelesaian masalah
sedikit sebanyak akan menpengaruhi pelajarnya. Pengalaman guru sendiri dalam
mempelajari matematik di sekolah kurang menekan kepada penyelesaian masalah,
kaedah pengajaran yang kurang menarik serta terlalu bergantung kepada buku teks.
Guru yang kurang kemahiran penyelesaian masalah gagal membimbing pelajarnya
dalam menyelesaikan masalah. Bagi setengah guru yang inovatif dan ingin mencuba
kaedah lain biasanya menghadapi tekanan dan kurang sokongan daripada pentadbir
dan rakan sejawat sehingga sukar baginya untuk melakukan sesuatu pembaharuan.
Bagi mereka yang berjaya melakukan pengajaran yang berasaskan aktiviti, mereka
juga menghadapi halangan di mana mereka sendiri kurang berkemampuan dalam
kemahiran penyelesaian masalah.
Penyelesaian masalah kini merupakan fokus pendidikan di peringkat sekolah
rendah dan menengah. Guru merupakan komponen yang paling penting untuk
menjayakan sesuatu kurikulum matematik di dalam bilik darjah. Kualiti pendidikan
matematik sangat bergantung kepada usaha guru dalam bilik darjah. Oleh itu guru
harus bersedia berubah untuk membolehkan perubahan dalam pengajaran dan
pembelajaran matematik.
Penekanan kemahiran penyelesaian masalah matematik dalam bilik darjah adalah
satu langkah ke arah mengubah cara pelajar belajar matematik. Guru boleh
membantu dengan mengemukakan masalah yang bermakna dan bernas kepada
pelajar mengikut tahap mereka. Masalah yang diberi seharusnya mencabar,
memerlukan pelbagai kemahiran dan prosedur yang dapat diperkukuhkan lagi
semasa proses penyelesaian masalah. Masalah yang diberi juga perlu berkeupayaan
untuk dikembang samada kepada masalah yang berkaitan atau untuk dibuat
generalisasi.
Kemahiran dan prosedur dalam penyelesaian masalah melibatkan kemahiran dalam
pemahaman, transformasi dan komunikasi. Iklim dalam bilik darjah dan kaedah
mengajar adalah sangat penting dalam menghasilkan satu pengajaran dan
pembelajaran penyelesaian masalah yang berjaya. Walaupun bukan semua
matematik boleh diajar dengan cara penyelesaian masalah, namun adalah diharap
pendekatan penyelesaian masalah ini diamalkan dalam pengajaran matematik agar
sikap dan minat pelajar dalam mempelajari matematik dapat dipertingkatkan.
Apabila guru dapat melihat perubahan dan kepuasan pelajar dalam menyelesaikan
masalah, diharap mereka juga akan digalakkan untuk mencuba sendiri, mengkaji dan
mengubah kaedah dan pendekatan mereka dalam mengajar matematik.