Anda di halaman 1dari 8

JEMPUTAN VIP HAK

TEKS UCAPAN VIP BERSEMPENA HARI ANUGERAH KECEMERLANGAN



Yang Berusaha Saudari Pengacara Majlis,
Pengetua-pengetua, Guru-guru Besar
Yang Dipertua PIBG serta ahli jawatankuasa
Penolong-penolong Kanan, guru-guru
Dan seterusnya ibu bapa serta para hadirin yang saya muliakan.

Pertama-tamanya izinkan saya melafaz dan menzahirkan rasa kesyukuran ke
hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan inayahNya maka kita dapat
berkumpul dalam dewan yang indah ini bagi melaksanakan satu lagi agenda
pendidikan yang diatur oleh pihak pengurusan sekolah dan juga jawatankuasa
PIBG Sek. Keb. Taman Bersatu. Ucapan syabas dan tahniah kepada
J awatankuasa Pengelola majlis ini yang tentunya telah berusaha dengan gigih
supaya majlis ini berjalan lancar dan teratur. Terima kasih tidak terhingga kepada
Yang Dipertua PIBG serta ahli jawatankuasanya kerana memberi komitmen yang
tinggi sehingga majlis ini berjaya dilaksanakan. Ucapan penghargaan dan terima
kasih yang tidak terhingga kepada seluruh warga kerja atas inisiatif dan
kesungguhan yang ditunjukkan bagi menjayakan majlis anugerah cemerlang ini.
Kita sedar, majlis seumpama ini amat perlu dijalankan untuk memberi makna
kepada kehidupan anak-anak yang bakal mewarisi masa depan Negara.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Saban tahun, pihak sekolah dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)
tidak pernah lupa mengadakan majlis untuk meraikan kejayaan cemerlang murid-murid
dalam bidang kurikulum mahupun kokurikulum. Malahan bagi saya, majlis ini diadakan
khusus untuk meraikan para waris yang sentiasa meletakkan kecemerlangan dan
kejayaan anak-anak menjadi agenda pertama dalam kehidupan mereka. Jadi pada
kesempatan ini saya bagi pihak sekolah ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas
bukan sahaja kepada para murid yang bakal menerima anugerah malahan ibu bapa
juga para guru yang menjadi nadi atau tulang belakang sehingga membuahkan
kejayaan untuk mereka.


Sebenarnya tuan-tuan dan puan-puan, kejayaan seorang pelajar tidak hanya terletak
pada usaha dan kesungguhan yang dimainkan oleh guru semata-mata. Kita sedar,
bahawa guru-guru di peringkat sekolah rendah perlu harus memberi, agar para pelajar
bersedia untuk menerima. Selain insan yang sering memberi cahaya itu, ibu bapa juga
perlu sentiasa memainkan peranan penting untuk mencorakkan masa depan anak-anak
mereka. Malahan tuan-tuan dan puan-puan, pada saya yang paling utama kejayaan
adalah terletak pada diri para murid itu sendiri, agar sentiasa mempunyai komitmen dan
motivasi diri yang tinggi sekiranya ingin mengecapi kecemerlangan. Sesungguhnya kita
harus sedar bahawa dalam usaha menuju ke puncak, banyak laluan sukar yang perlu
ditempuhi. Dato Azhar Mansor, Datuk Sharifah Mazlina dan Dato Syeikh Muzzaffar
sendiri melalui pelbagai kesukaran dalam usaha menjelajah dunia dan meneroka
angkasa! Pepatah Melayu selalu mengingatkan kita, Di mana ada kemahuan, di situ
ada jalan, Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih, Kalau tidak dipecahkan
ruyung, manakan dapat sagunya. Oleh itu, tuan-tuan dan puan-puan, marilah kita
sama-sama berganding bahu untuk mencipta kejayaan demi kejayaan buat anak-anak
kita. Pada saya, kejayaan anak-anak tuan-tuan dan puan-puan merupakan satu
anugerah kepada pihak sekolah dan ganjaran buat tuan-tuan sebagai waris.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas
kepada semua penerima anugerah pada hari ini. Saya sangat berharap agar
kecemerlangan yang ditunjukkan oleh para penerima akan menjadi pemangkin
untuk para pelajar mempertingkatkan mutu pencapaian mereka dalam bidang
akademik dan bukan akademik pada masa hadapan. Anugerah yang diberikan
pada hari ini merupakan penghargaan pihak sekolah kepada para murid yang
telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam pembelajaran pada tahun ini. Tahap
pencapaian yang ditunjukkan sudah tentu boleh menjadi contoh serta ikutan
kepada para murid lain untuk meningkatkan pencapaian akademik mereka pada
masa akan datang.



Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian,
Saya pasti bahawa seluruh warga dewan pada hari ini sedar, bahawa pelajar-
pelajar yang kita raikan hari ini merupakan waris yang bakal mendukung impian
dan harapan Negara. Untuk itu, saya menyeru kepada saudara dan saudari
sekalian agar dapat sama-sama berganding bahu meningkatkan kualiti hidup
sihat dalam kalangan anak-anak. Sihat yang dimaksudkan bukan hanya tertumpu
kepada kesihatan tubuh badan malahan kesihatan minda supaya harapan dan
impian tuan-tuan dan puan-puan akan direalisasikan sama seperti harapan dan
impian seperti mana yang telah termaktub dalam Falsafah Pendidikan Negara.
Maka saya ingin menyeru kepada diri saya dan tuan/puan sekalian, marilah kita
saling bergandingan bagi memastikan para penerima anugerah ini bakal menjadi
sebahagian warna-warna kegembiraan Negara pada masa hadapan dan bukan
merupakan secalit warna kehancuran atas kealpaan dan kelekaan kita.
InsyaAllah.

Akhir kata, sekali lagi saya merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada
semua penerima anugerah dan juga syabas kepada semua warga kerja yang
bertungkus-lumus menjayakan Hari Anugerah Cemerlang Sekolah Kebangsaan
Taman Bersatu pada hari ini.

Sekian, terima kasih.

UCAPAN YDP PIBG
TEKS UCAPAN YDP PIBG BERSEMPENA HARI ANUGERAH KECEMERLANGAN

Yang Dihormati Saudari Pengerusi Majlis,
Yang Berusaha Puan Siti Noor bt. Iberahim,
Yang Berbahagia Dato-Dato dan Datin-Datin,
Seterusnya tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
ASSALAMUALAIKUM WARAH MATULLAH ..

Saya amat bersyukur ke hadrat Allah S.W.T di mana dengan limpah taufik-Nya
dapat kita bertemu dan bersua muka di majlis Mesyuarat Agung Kali ke-6 ini. Di sini
juga saya ingin mengucapkan ucapan terima kasih kerana diberi peluang untuk saya
menyampaikan sepatah dua kata dalam majlis ini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Perjumpaan kita dalam mesyuarat Agung ini adalah satu peristiwa penting yang
diadakan oleh pihak sekolah bertujuan untuk mengadakan perjumpaan antara pihak
sekolah dan para waris. Perjumpaan ini di samping untuk merapatkan hubungan
antara pihak sekolah dengan ibu bapa, kedua-dua pihak boleh sama-sama berbincang
untuk mengetahui kebolehan, kelemahan dan sebarang unsure-unsur yang dapat
membantu memajukan prestasi sekolah ini.

Dalam mesyuarat ini juga diharapkan dapat membuka peluang kepada kedua-
dua pihak memberikan pemikiran dan tenaga bagi kemajuan pendidikan anak-anak kita.
Adalah menjadi harapan saya selaku YDP PIBG sekolah ini agar SK Taman Bersatu
meningkat maju dari semasa ke semasa dan dapat menempa nama sebagai salah
sebuah sekolah yang terbaik di pesisiran pantai ini.

Di kesempatan ini juga saya ingin meminta kerjasama kepada para waris agar
sentiasa peka dengan persekitaran kawasan sekolah. Jika hendak berurusan dengan
pihak sekolah sentiasalah memakai pakaian sopan dan sesuai . Begitu juga minta
kerjasama para waris agar mengehadkan penghantaran anak-anak khususnya anak-
anak kita di tahun satu sehingga pintu masuk pagar sekolah sahaja. Tidak perlu
menghantar anak-anak hingga pintu kelas. Biar kita pupuk sikap berdikari anak-anak
kita sedari tahun satu lagi. Begitu juga rungutan yang kedengaran daripada pihak ibu
bapa yang bimbang dengan keperihatinan guru-guru terhadap murid-murid yang
ditempatkan di kelas-kelas akhir, percayalah guru-guru di sini sentiasa memberikan
pendidikan yang sama rata tetapi dengan kaedah yang berbeza mengikut kemampuan
anak-anak kita. Biarlah kita di pihak ibu bapa memberi sepenuh kepercayaan kepada
pihak sekolah yang perlu mengendalikan pelbagai karenah anak-anak kita.

Tuan-tuan dan puan-puan ,

Bagi mencapai kejayaan seperti yang kita impikan bukan mudah, pastinya
memerlukan pengorbanan dan komitmen kedua-kedua pihak. Ibu bapa tidak boleh
bergantung harap kepada pihak sekolah semata-mata, malahan perlu juga
menyumbangkan tenaga dan sumbangan demi perkembangan anak-anak kita.
Kejayaan sekolah ini pasti dapat direalisasikan sekiranya kedua-dua pihak memainkan
peranan masing-masing.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Sebelum saya mengundur diri, saya memohon kemaafan kepada tuan-tuan dan
puan-puan sekalian sekiranya di sepanjang ucapan saya ini terdapat kata-kata yang
kurang menyenangkan. Sekian.







TEKS UCAPAN PERASMIAN
TUNKU PUTERI

HARI ANUGERAH CEMERLANG
SEKOLAH MENENGAH SAINS POKOK SENA
KALI KE- 12
30 JUN 2009






Bismillahhir-rahmanir-rahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

YANG BERBAHAGIA
PUAN ASHAH BT SAMAH
PENGARAH BAHAGIAN SEKOLAH BERASRAMA PENUH DAN KLUSTER
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA,

YANG BERBAHAGIA
PENGARAH JABATAN PELAJARAN NEGERI KEDAH

YANG BERUSAHA
PEGAWAI PELAJARAN DAERAH KOTA SETAR

YANG BERUSAHA
PEGAWAI DAERAH POKOK SENA

YANG BERUSAHA
TN HJ. JAMALUDDIN BIN ARIFFIN
PENGETUA KANAN SEKOLAH MENENGAH SAINS POKOK SENA

YANG BERUSAHA
TN HJ. SAADIN BIN ABDULLAH
YDP PIBG SEKOLAH MENENGAH SAINS POKOK SENA

PENGETUA PENGETUA, GURU GURU BESAR, IBU BAPA, GURU-GURU, DAN PELAJAR YANG DIRAHMATI
ALLAH SEKALIAN.



Terlebih dahulu marilah kita sama-sama melafazkan rasa syukur kehadrat Allah S.W.T kerana dengan
limpah izin dan rahmat-Nya maka kita dapat berhimpun untuk menjayakan Hari Anugerah Cemerlang
Sekolah Menengah Sains Pokok Sena kali ke-12 tahun 2009. Saya sungguh gembira kerana berpeluang
bertemu dengan ibu bapa, guru-guru dan para pelajar di sekolah yang tersohor di negeri Kedah Darul
Aman. Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada warga
Sekolah Menengah Sains Pokok Sena kerana telah berjaya mangadakan majlis yang gilang-gemilang dan
amat bermakna ini.

Pada kesempatan ini, saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada para pelajar yang
akan menerima anugerah cemerlang pada pagi ini. Sekalung tahniah juga diucapkan kepada ibu bapa
dan para guru yang telah berusaha gigih mendidik dan membimbing para pelajar sehingga mereka
menjadi seorang pelajar yang cemerlang dalam akademik dan juga kokurikulum. Saya mengakui, bukan
satu perkara yang mudah bagi ibu bapa dan juga guru mendidik anak-anak zaman era globalisasi dan
liberalisasi yang penuh cabaran, kerana generasi muda kini mempunyai paradigma mereka sendiri dalam
melayari kehidupan remaja mereka.





Hadirin dan pelajar yang dihormati sekalian,

Tahap pendidikan masyarakat akan menentukan pertumbuhan ekonomi negara. Pertumbuhan ekonomi
yang seimbang pula dapat mengurang dan membasmi kemiskinan. Terdapat bukti kukuh yang
mengaitkan pendidikan dengan pertumbuhan ekonomi dan produktiviti. Hasil kajian lepas yang dilakukan
ke atas 50 negara menunjukkan bahawa tambahan satu tahun persekolahan dapat meningkatkan kadar
KNK sebanyak 0.37% dan apabila digabung dengan penambahbaikan kemahiran kognitif ia meningkat
kepada 1%. Kajian lain pula mendapati tambahan satu tahun persekolahan akan meningkatkan
pendapatan individu sebanyak 10%.

Oleh itu, pelajar-pelajar sekalian, tingkatkanlah usaha untuk memajukan diri sendiri kerana hasilnya
adalah kemajuan yang luar biasa bagi pembangunan negara. Dalam hal ini, marilah kita bersama
menggembeling tenaga menyokong usaha supaya para pelajar kita mempunyai daya saing untuk maju
dan berjaya dalam pelajaran.






Tuan-tuan dan puan-puan para hadirin sekelian,
Matlamat kerajaan untuk membina sebuah Negara Bangsa adalah selaras dengan gagasan 1 Malaysia;
rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan yang dihasratkan oleh YAB Dato Sri Mohd Najib bin Tun
Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia. Hasrat 1 Malaysia ialah membina sebuah negara yang
bersatu padu serta menyanjung masa hadapan yang dikongsi bersama, menikmati kehidupan bersama
yang sepenuhnya berasaskan keadilan. Tidak ada sesiapapun akan terpinggir untuk merebut peluang
yang disediakan bagi menyerlahkan segala keupayaan dan potensi masing-masing.

Jika nilai-nilai ini dapat diterapkan melalui proses pendidikan yang terancang, saya yakin dan percaya
perpaduan dalam kalangan rakyat akan dapat diperkukuhkan. Dengan demikian,marilah kita bersama
menyokong pembinaan Negara Bangsa bagi memperkukuhkan perpaduan, membina identiti nasional dan
semangat kebangsaan serta membangunkan sumber manusia bersesuaian dengan keperluan negara kita
dalam menghadapi cabaran globalisasi. Saya menaruh penuh keyakinan dan berharap guru
dapat memainkan peranan yang penting ini. Selain bertanggungjawab mengajar dan mendidik, guru
turut berada di saf hadapan untuk menyemai dan memupuk perpaduan, semangat patriotisme,
menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran; serta membentuk akhlak dan jati diri murid bagi
melahirkan modal insan cemerlang.

Hadirin sekelian,
Saya juga berasa sungguh gembira kerana sekolah Menengah Sains Pokok Sena terus melakar
kegemilangan dalam bidang akademik mahupun kokurikulum selari dengan visi sekolah Kegemilangan
Semua Bidang sepertimana yang telah diumumkan oleh tuan pengetua sebentar tadi. Saya berharap
agar kejayaan yang ditunjukkan oleh warga Sekolah Menengah Sains Pokok Sena akan menyemarakkan
semangat belajar kepada semua pelajar di negeri Kedah khususnya.

Saya percaya , barisan pelajar yang ada di hadapan saya kini bakal menjadi seorang pemimpin yang
mempunyai karisma tinggi dan mampu menerajui negara pada masa akan datang . Oleh yang demikian ,
Saya ingin menekankan betapa pentingnya peranan ibu bapa dan pihak sekolah untuk menerapkan
elemen kepimpinan kepada pelajar melalui kepelbagaian aktiviti kokurikulum yang dijalankan samada di
sekolah.ataupun di luar dalam usaha melahirkan pemimpin kelas pertama.

Sempena dengan majlis ini, saya menyeru kepada para pendidik, ibu bapa dan pelajar-pelajar agar
menyeimbangkan kegemilangan dalam pencapaian akademik dan kokurikulum. Saya sentiasa berpegang
kepada kepercayaan bahawa jika sesuatu bangsa itu mahu berubah dan mengatasi segala cabaran, maka
aset yang paling penting untuk bangsa itu berjaya adalah sumber manusia yang berilmu pengetahuan.
Saya yakin Sekolah Berasrama Penuh mampu menjadi peneraju utama sumber modal insan yang akan
merealisasikan hasrat pemimpin negara kearah menjadikan Malaysia sebagai negara maju menjelang
2020.

Para guru dan hadirin sekalian ,

Saya ingin memetik kata-kata daripada Saidina Ali bin Abi Talib;- Orang yang berilmu lebih utama
daripada orang yang selalu berpuasa, bersolat dan berjihad. Apabila mati orang yang berilmu, maka
terdapat suatu kekosongan selain oleh penggantinya (yang berilmu juga) Sehubungan dengan itu, saya
amat berharap, para guru memahami akan tanggungjawab yang begitu besar kerana disitulah lahirnya
modal insan yang akan memenuhi aspirasi negara. Saya amat berharap para guru tidak akan mudah
mengaku kalah atau lemah apabila berhadapan dengan pelbagai situasi dan permasalahan yang
membabitkan pewaris negara kita ini. Hasrat negara untuk melahirkan modal insan yang gemilang dan
terbilang akan hanya dapat direalisasikan dengan adanya komitmen dan kesungguhan para guru dalam
mendidik anak bangsa Malaysia.




Pelajar-pelajar sekelian,

Saya berharap dan memanjatkan doa agar semua pelajar yang bakal menduduki peperiksaan PMR dan
SPM pada tahun 2009 akan beroleh kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan kelak dan apa yang
lebih penting adalah kesediaan kalian untuk menjulang nama Malaysia di persada antarabangsa dalam
apa jua bidang yang diceburi. Sesungguhnya, pendidikan mampu membina negara bangsa.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Bagi mengakhiri ucapan ini, saya sekali lagi ingin mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang akan
menerima anugerah pada hari ini. Saya berharap agar Sekolah Menengah Sains Pokok Sena akan terus
meningkatkan kecemerlangan dan menjadi antara sekolah yang terbilang di Malaysia.

Akhir kata, dengan lafaz Bismillahhi-rahmanir-rahim saya dengan sukacita merasmikan Hari Anugerah
Cemerlang Sekolah Menengah Sains Pokok Sena kali ke-12 bagi tahun 2009.
Wabillahi taufik wal hidayah Wassalamualaikum warah matullahi wabarakatuh.