Anda di halaman 1dari 2

Membanteras Barangan Tiruan Dalam Pasaran Tempatan

Memiliki barangan berjenama menjadi citarasa kebanyakan orang yang mengutamakan lambang
prestij. Antara barangan yang menjadi idaman ialah pakaian, beg tangan, kasut, jam tangan, cermin
mata hinggalah kepada perisian komputer. Namun tidak semua yang mampu memilikinya kerana
harga yang mahal. Untuk memenuhi tuntutan itu mereka sanggup membeli barangan tiruan yang
hampir serupa dengan jenama asli. Walaupun penguatkuasaan sering dilakukan, namun untuk
membanteras kegiatan tersebut mestilah bermula daripada pengguna sendiri."Jika tidak ada
permintaan, tidak akan ada sindiket-sindiket tersebut untuk terus beroperasi," kata Timbalan Ketua
Pengarah Operasi Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal
Pengguna (KPDN&HEP) Iskandar Halim Sulaiman.



BARANGAN TIRUAN MUDAH MEMASUKI PASARAN

Pasaran globalisasi hari ini juga menyebabkan barangan tiruan mudah memasuki ke dalam negara.
Dengan kemudahan logistik, barangan yang dikeluarkan di negara lain dapat dihantar dalam masa
yang singkat dan mudah. Pertambahan kontena barangan yang sampai di pelabuhan dan lapangan
terbang merupakan satu cabaran dan bebanan kepada pihak berkuasa untuk mengenalpasti
kandungannya. Keadaan itu bertambah rumit apabila pemilik barangan membuat pengisytiharan
palsu terhadap kandungan kontena yang dibawa masuk. Kaedah lain yang sering digunakan ialah
melalui penghantaran cepat, bas ekspres dan keretapi. Malah kecanggihan teknologi masa kini
membolehkan pesanan dan bayaran barangan dibuat melalui 'online' menerusi laman web
perniagaan yang boleh dilayari pengguna. Produknya boleh dimuat terus termasuk produk seperti
karya filem, karya muzik, karya seni dan karya terbitan. Beliau berkata barang-barang tiruan ini
kebiasaannya dibawa masuk melalui pintu-pintu sempadan dan pelabuhan-pelabuhan sama ada
secara sah ataupun haram melalui dua bentuk iaitu separuh siap atau siap sepenuhnya. Bagi
barangan yang separuh siap, ia akan menjalankan proses pembungkusan dan pelabelan sebelum
diedarkan di pasaran. Modus operandi kegiatan pengedaran dan penjualan barangan tiruan ini
biasanya dengan tidak menggunakan sebarang resit penjualan dan pembayaran hanya dibuat secara
tunai.



MEMBEZAKAN BARANG TIRUAN DENGAN ASLI

Bukannya mudah untuk membezakan barangan tiruan dengan asli. Perkembangan teknologi dengan
penggunaan mesin yang canggih dapat menghasilkan barangan tiruan yang hampir serupa dengan
barangan asli, membuatkan orang ramai sukar membezakannya. Ciri-ciri perbezaan kadangkala
sukar dilihat dengan mata kasar dan perlu menggunakan peralatan tertentu untuk melihat ciri-ciri
khas yang digunakan oleh empunya cap dagangan. Bagi pengguna pula, katanya secara kasar mereka
boleh mengesyaki barangan tersebut sebagai tiruan berdasarkan harga, kualiti, jaminan pembelian,
tempat penjualan sama ada di kaki lima, pasar malam, pasar raya ataupun kedai wakil penjual yang
sah. Pembeli juga sebaik-baiknya membeli suatu barangan yang berjenama dan asli daripada
pengedar sah yang mempunyai jaminan kualiti dan bukan berdasarkan kepada barangan yang
murah. Antara jenis-jenis barangan tiruan yang banyak terdapat di pasaran ialah pakaian, makanan,
ubat-ubatan, alat ganti kereta, jam tangan, alat tulis, bahan petroleum, barangan kulit, rokok, arak,
kasut, cermin mata, barangan elektrik, alat komunikasi, perkakasan komputer, cakera optik dan pita
video.



KEJAYAAN PENGUATKUASAAN

Pada tahun 2012 sebanyak 2,720 kes berjaya ditumpaskan dengan nilai rampasan sebanyak RM13.3
juta. Jumlah itu katanya menurun berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak 3,914 kes dengan
nilai rampasan sebanyak RM78.1 juta. Penurunan ini hasil penguatkuasaan yang berterusan dengan
kerjasama agensi-agensi penguatkuasaan lain, pihak industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan
juga media yang membantu memberi pendidikan pengguna. Daripada jumlah itu, cakera optik
merupakan rampasan tertinggi dengan RM3.148 (1,122 kes) diikuti barangan elektrik RM2.54 juta
(23 kes), minuman keras RM2.01 juta (dua kes), pakaian RM1.234 juta (517 kes) manakala rampasan
paling sedikit ialah alat tulis sebanyak RM29,386 dengan 13 kes. Penjualan barangan tiruan ini sukar
dihapuskan kerana dipayungi oleh sindiket besar dengan modal yang banyak.



KESEDARAN PENGGUNA MASIH RENDAH

Kesedaran masyarakat Malaysia mengenai barangan tiruan masih terlalu rendah terutama di
kalangan mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah termasuk remaja. Kita tidak dapat
dinafikan pengaruh iklan yang berbentuk global dan eksklusif menjadi ikutan atau dorongan kepada
pembeli yang mampu, namun yang tidak mampu mereka akan mencari barangan tiruan. Tambahan
terdapat barangan berjenama tiruan yang hampir-hampir menyerupai barangan yang asli yang boleh
dibeli dengan harga yang berpatutan dengan kemampuan mereka. Usaha itu akan terus
dipertingkatkan dan kita berharap suatu hari nanti kesedaran rakyat Malaysia terhadap barangan
tiruan akan terus meningkat Masyarakat diingatkan agar berfikiran jauh sebelum membeli kerana
lambakan barangan tiruan boleh memberi kesan kepada ekonomi negara. Pembeli harus menjadi
pengguna yang bijak, jangan terlalu taksub dengan jenama dan bersikap "ukur baju di badan
sendiri".

Anda mungkin juga menyukai