Anda di halaman 1dari 5

BM- SPM Karangan Rangsangan

Pelancongan di Malaysia

Sejak 1990-an lagi, Malaysia sudah pun berjaya menganjurkan kempen Tahun
Melawat Malaysia. Kejayaan ini diteruskan sekali demi sekali sehingga kini. Tahun
2007 sekali lagi dikenali sebagai Tahun Melawat Malaysia dengan slogan "Malaysia
Truly Asia" Keaslian Malaysia sebagai negara Asia yang termaktub dalam lagu tema
kempen ini sekali gus membuka mata dan mindaseantero dunia. Walau bagaimanapun,
banyak pihak berpendapat bahawa langkah yang diambil untuk memajukan industri
pelancongan sebelum ini belum sampai tahap berprestij dan kurang efektif. Oleh
hal yang demikian, alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai lengan.


Kempen dan usaha mempromosikan Malaysia di persada dunia merupakan
rencah utama yang dapat meningkatkan imej negara Malaysia sebagai destinasi
pelancongan utama di rantau ini. Hal ini demikian kerana promosi dan kempen dapat
mempercepat langkah kerajaan menguar-uarkan aktiviti Tahun melawat Malaysia ke
seluruh pelosok jagatraya. Melalui media massa dan jerayawara (aktiviti "road
show"), saya yakin Malaysia dapat menarik perhatian dari segenap sudut dunia. Hal
ini memang mirip dengan lirik lagu "Malaysia Asia Sebenar" yang dimainkan di
corong-corong radio. Justifikasinya, saya yakin bahawa kempen Tahun Melawat
Malaysia akan sukses.


Mengikut kajian yang dijalankan oleh pihak bertanggungjawab, sistem
pengangkutan yang efisien di sesebuah negara memainkan peranan penting untuk
menjana perkembangan industri pelancongan. Malaysia yang masih kekurangan dari
segi kemudahan pengangkutan yang sistematik perlu ukur baju di badan
sendiri sekali gus membuat anjakan paradigma dalam soal pengangkutan awam.
Rungutan dan luahan ketidakpuasan hati pelancong mestilah diambil kira. Oleh sebab
itu, kerajaan mestilah menyusun strategi pembangunan dengan menyediakan
kemudahan pengangkutan bertaraf lima bintang sebagai pemangkin usaha
menjadikan Malaysia sebagai destinasi persinggahan pelancong dari seluruh dunia
yang mendambakan keunikan alam semula jadinya.

Malaysia sememangnya nusa bertuah kerana iklimnya yang panas dan lembap
sepanjang tahun. Kehidupan flora dan fauna yang terpulihara menjadikan Malaysia
kaya dengan destinasi ekopelancongan utama dunia. Penaiktarafan kawasan
pelancongan di seluruh negara dengan chalet, hotel dan kemudahan penginapan lain
dapat memberi bonus kepada Malaysia untuk menjadi destinasi pilihan pelancong.
Aspek kebersihan di kawasan pelancongan janganlah dipandang enteng kerana
industri pelancongan menyediakan pelbagai peluang perniagaan dan pekerjaan
kepada penduduk tempatan. Oleh itu, hendak seribu daya, tak hendak seribu
dalih. Malaysia pasti boleh!


Kesimpulannya, Malaysia mempunyai potensi yang besar dalam usaha
memperkembangkan industri pelancongannya. Yang paling penting, rakyat dan
kerajaan perlulah mengamalkan prinsip berat sama dipikul, ringan sama
dijinjing dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai pilihan utama pelancong. Saya
berharap pihak berkenaan dapat mengambil langkah yang sesuai seperti dinyatakan
di atas untuk merealisasikan aspirasi negara untuk mencapai pembangunan dalam
bidang pelancongan yang bertaraf dunia. Sebenarnya, genggam bara api, biarlah
sampai jadi abu. Kita mestilah berusaha sehingga nama Malaysia tersohor di
seluruh dunia.







BM- SPM Karangan Respons Terbuka

Pelancongan

Malaysia merupakan sebuah negara yang istimewa. Ramai pelancong memilih negara kita sebagai
destinasi pelancongan. Apakah sebab-sebab rakyat Malaysia memilih untuk melancong di negara
sendiri? Malaysia sebenarnya mempunyai pelbagai jenis industri pelancongan yang boleh
dikomersialkan. Antaranya termasuklah destinasi pelancongan berasaskan Kebudayaan, Industri
Kraftangan, Makanan Tradisi, Tempat-tempat Menarik, Sukan dan Agrotourism. Klasifikasi ini
penting kerana pelancong mempunyai minat yang berbeza dan memudahkan mereka membuat pilihan
untuk melancong ke tempat-tempat tersebut. Kebiasaannya, tempat tersebut wujud kerana keunikan
identiti dan keistimewaan tersendiri. Contohnya, destinasi pelancongan berasaskan tempat-tempat
menarik seperti Pulau Pangkor, Pulau Tioman, Pulau Redang dan Taman Negara Bako. Selain itu,
destinasi pelancongan berasaskan Sukan dapat direalisasikan melalui penganjuran Sukan
Antarabangsa seperti Formula 1 di Sepang dan Le Tour De Langkawi yang menjadi acara tahunan di
Pulau Langkawi. Jelaslah sektor pelancongan yang mempunyai identiti tersendiri dapat menarik minat
pelancong.

Antara sebabnya ialah keindahan alam sekitar yang menarik terdapat di negara ini. Malaysia
mempunyai hutan yang menarik. Tempat-tempat ini boleh menenangkan fikiran kita contohnya,
Taman Negara Endau, Rompin, Gua Niah di Sarawak dan lain-lain. Promosi ini keunikan dan keindahan
alam semula jadi telah diwara-warakan melalui iklan-iklan di media cetak dan media elektronik
termasuklah di laman-laman web. pameran di tempat-tempat awam seperti pasar raya, pertandingan-
pertandingan dan pesta jualan. Contohnya pertandingan memancing Joran anjuran Berita Harian
yang diadakan saban tahun secara tidak langsung turut mempromosikan tempat-tempat menarik di
Malaysia seperti Pulau Tioman, Tasik Kenyir dan Empangan Temenggor. Ringkasnya,
Promosi destinasi pelancongan yang giat dilakukan dalam usaha memperkenalkan destinasi menarik di
Malaysia merupakan pemangkin Malaysia menjadi lokasi tarikan utama pelancong kerana tak kenal
maka tak cinta.

Pada masa yang sama, kemajuan industri pelancongan tanah air dibantu oleh wujudnya keunikan
budaya di negara kita. Memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara yang memiliki masyarakat
majmuk maka pelbagai budaya menarik terdapat di sini. Gabungan budaya masyarakat Melayu, Cina
dan India telah berjaya meningkatkan kunjungan pelancong asing ke Malaysia. Kaum Melayu
umpamanya terkenal dengan tarian inang dan zapin manakala kaum Cina pula terkenal dengan tarian
naga. Selain itu, Malaysia juga kaya dengan pelbagai makanan tradisional yang dapat dinikmati oleh
para pelancong. Masyarakat Melayu misalnya terkenal dengan makanan seperti sate, ketupat dan
rendang manakala kaum India pula terkenal dengan masakan kari, tosei, idali dan lain-lain. Justeru
keunikan budaya masyarakat di Malaysia telah berjaya menjadi daya tarikan kepada para pelancong
untuk berkunjung ke negara kita yang menjadi faktor serampang dua mata dalam menjana ekonomi
negara. .

Malaysia juga mempunyai pantai-pantai yang menarik. Apabila melancong di pantai, pulau, dan
kawasan tanah tinggi, kita dapat menghilangkan tekanan dan mendapat hiburan. Rakyat Malaysia
yang melancong bersama-sama keluarga boleh mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga. Sebagai
contoh Pulau Pinang, Pulau Tioman, Pulau Langkawi, Port Dickson, Desaru Kota Tinggi, Tanah Tinggi
Cameron, Tanah Tinggi Genting dan lokasi lain yang boleh dijadikan destinasi pelancongan
keluarga. Sebagai contohnya, Malaysia memiliki kawasan rekreasi di tanah tinggi yang mempunyai
suhu sejuk seperti Cameron Highlands dan Genting Highlands. Di kawasan ini, para pelancong dapat
menikmati keindahan alam semula jadi yang unik di samping melihat pelbagai tanaman hawa sederhana
iaitu sayur-sayuran serta buah-buahan tropika. Malaysia juga mempunyai hutan semula jadi iaitu
hutan hujan Khatulistiwa yang berusia lebih dua juta tahun. Di kawasan hutan semula jadi ini
pelancong dapat menjalankan aktiviti riadah sambil menikmati keindahannya mahupun menjalankan
kajian tentang flora dan fauna yang terdapat di situ. Justeru, kewujudan kawasan reakrasi seperti
ini menjadi faktor dominan menarik pelancong dari dalam dan dari luar negara.

Malaysia juga popular dengan pusat-pusat beli-belah yang terkenal. Contohnya, Mega Mall di
Kuala Lumpur, Mahkota Parade di Melaka, The Summit. Alamanda, Mid-Valley dan lain-lain. Barangan
yang dijual di negara kita setanding dengan negara di luar negara. Selain itu, terdapat juga pelbagai
kraftangan yang boleh dijadikan cenderamata. Pelancong sangat suka barangan kraftangan Malaysia
kerana menarik dan terdapat pelbagai tawaran harga murah oleh pelbagai pihak. Pada setiap tahun
juga, diadakan promosi harga barangan dan jualan mega. Contohnya seperti yang telah dilakukan oleh
First World Hotel. Agensi tersebut telah menyediakan pakej yang murah, serendah RM 88.00 untuk
satu malam meliputi penginapan, makan malam, sarapan, makan tengah hari dan lawatan ke taman
tema. Jelasnya, melalui tawaran pakej istimewa tersebut, sudah pasti pelbagai golongan masyarakat
dapat memenuhi hasrat kerajaan untuk memajukan sektor pelancongan di negara kita. Oleh itu,
rakyat Malaysia tidak perlu melancong luar negara kerana Malaysia mempunyai segala-galanya.

Tuntasnya, jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya, jika usaha yang dilakukan
amat kurang dan terbatas, bagaimanakah hasrat untuk melihat sektor pelancongan di negara kita
merentasi benua dan dunia akan menjadi nyata. Segala usaha yang dirancang dan direncana
memerlukan bantuan dan kerjasama daripada semua pihak. Semoga melalui keprihatinan dan rasa
bertanggungjawab serta cinta akan negara , nama Malaysia akan menjadi sebutan dan pilihan utama
seluruh penduduk dunia sebagai destinasi merehatkan minda.

Anda mungkin juga menyukai