Anda di halaman 1dari 8

PENILAIAN KEBERKESANAN PELAKSANAAN KURIKULUM MATA PELAJARAN

SEJARAH BERDASARKAN MODEL PENILAIAN CIPP


1.0 PENGENALAN
Mengikut Laporan Jawatankuasa Kabinet (1979), kurikulum perlulah mengandungi
segala rancangan yang dikendalikan oleh sesebuah sekolah bagi mencapai
matlamat pendidikan. Oleh itu, kurikulum yang dirancang memainkan peranan
penting dalam memperkembangkan potensi pelajar terutama dari segi intelek,
rohani, jasmani dan emosi secara menyeluruh dan seimbang ke arah melahirkan
masyarakat yang berguna dan memberikan sumbangan kepada Negara.
Pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan akan berkesan sekiranya input
pendidikan seperti pengetahuan dan kemahiran guru, kelengkapan peralatan yang
mencukupi dan strategi pembelajaran sesuai pada sasaran, Setelah proses
pembelajaran dilaksanakan amatlah penting penilaian dilakukan ke atas produk yang
dihasilkan. Produk yang baik merupakan satu indicator kepada keberkesanan input
dan proses yang dijalankan dengan mengukur pencapaian pelajar dari aspek
pengetahuan dan kemahiran yang dikuasai mereka di akhir pembelajaran.
Penilaian adalah satu proses berterusan untuk menentukan kaedah yang disyorkan
digunakan dalam pengajaran oleh guru-guru dan di samping itu penyelia boleh
memberi bimbingan dan panduan kepada mereka untuk mengatasi kekurangan yang
wujud. Penilain berbentuk soal selidik dan temu bual juga harus digunakan supaya
maklum balas yang diperoleh memberi gambaran yang sebenar. Hasil maklum balas
ini boleh diambil perhatian semasa menjalankan program lain pada masa lain.
Bagi melahirkan masyarakat yang seimbang dan harmoni pelajar harus menghayati
serta mempelajari sejarah negara. Justeru kurikulum bagi matapelajaran Sejarah
akan dibuat penilaian berdasarkan model penilaian CIPP.

2.0 DEFINISI
2.1 KURIKULUM
Kurikulum boleh diertikan sebagai semua pengalaman pembelajaran yang
diorganisasikan untuk pelajar-pelajar pada setiap peringkat pendidikan dalam
institusi pendidikan. Ini termasuk semua mata pelajaran yang disediakan di
institusi tersebut serta aktiviti luar darjah yang diluluskan khas oleh pihak
berkuasa.
Pada masa ini, istilah atau perkataan kurikulum semakin mendapat perhatian
yang meluas khususnya di kalangan ahli pendidikan jika dibandingkan
semasa tiga puluh tahun yang lalu. Kalau dilihat dan dikaji mengenai
pengertian kurikulum yang terdapat pada literatur pendidikan amnya, kita
akan mendapati terdapat berbagai-bagai definisi yang diberikan oleh
golongan pendidikan.
Nicholls, S. H. dan Nivholls, A. (1981) mentakrifkan kurikulum sebagai semua
peluang pembelajaran yang dirancang oleh guru-guru untuk pelajar-pelajar di
sekolah. Elizabeth Maccia dari Universiti Ohio, Amerika Syarikat
menerangkan kurikulum sebagai suatu reka bentuk kelompok sosial untuk
pengalaman-pengalaman pendidikan bagi pelajar-pelajar di sekolah. Kerr J.
K. pula mendefinisikan kurikulum sebagai semua pembelajaran yang
dirancang dan dibimbing oleh sekolah sama ada dilaksanakan secara
kelompok atau individu, di dalam atau di luar sekolah. David Warwick
mentakrifkan kurikulum sebagai struktur terancang ideal-ideal sesebuah
sekolah yang bersesuaian dengan keperluan-keperluan psikologi pelajar-
pelajar, kemudahan-kemudahan yang sedia ada serta keperluan-keperluan
budaya semasa.
Setelah meneliti pelbagai jenis definisi yang diberikan seperti di atas,
kurikulum bolehlah didefinisikan sebagai satu perancangan pengalaman yang
teratur yang disediakan oleh pihak sekolah mengikut sukatan pelajaran yang
disediakan oleh Kementerian Pendidikan bagi membentuk manusia yang
baik, serta mempunyai falsafah dan matlamat yang hendak dituju. Dengan
itu, kurikulum haruslah dibina secara sistematik dan teliti serta sesuai dengan
keupayaan kumpulan tertentu.
Pembinaan kurikulum ini juga haruslah seimbang dalam aspek intelek, emosi,
rohani dan jasmani (J. E. R. I). Tumpuan sesuatu kurikulum bukan sahaja
untuk memupuk dan mengembangkan peribadi dan potensi pelajar masa kini
tetapi juga untuk keperluan masa hadapan. Pemikiran pemimpin kurikulum
khususnya di Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK), Kementerian
Pendidikan, perlu diarahkan ke masa hadapan dan bukan setakat masa kini
kerana mereka harus memikirkan jenis generasi muda yang bakal dilahirkan.
Walaupun Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) mempunyai
tumpuan terhadap membina insan yang seimbang untuk masa hadapan, kita
masih tertanya-tanya sama ada ia dapat bertahan dengan arus
perkembangan zaman moden atau tidak.

2.2 KURIKULUM MATAPELAJARAN SEJARAH
Sejarah adalah mata pelajaran teras dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah
Menengah (KBSM) yang wajib dipelajari oleh semua pelajar secara
berterusan selama lima tahun. Oleh itu kurikulum Pendidikan sejarah pada
peringkat Sekolah Menengah Rendah (SMR) mestilah mempunyai
kesinambungan dengan peringkat Sekolah Menengah Atas (SMA), supaya
asas-asas pengetahuan, nilai-nilai murni, kemahiran belajar dan pengalaman
yang diperolehi dapat diperkukuh dan diperkembangkan lagi.

Pada peringkat SMR, kandungan kurikulum menumpukan pemahaman yang
menyeluruh dan memberi gambaran yang jelas tentang sejarah negara. Oleh
itu, kandungan kurikulum Pendidikan Sejarah lebih berbentuk rentetan
peristiwa yang membincangkan tentang aspek kehidupan masyarakat dan
negara dari segi politik, ekonomi dan social. Rentetan peristiwa ini disusun
secara kronologi supaya pelajar boleh memahami proses perkembangan
masyarakat dan negara serta unsur-unsur kesinambungan dan perubahan
yang berlaku. Dalam rentetan peristiwa ini dimasukkan pula sejarah negara
luar yang mempunyai kaitan dengan sejarah negara kita. Sejarah negara luar
ini merupakan asas bagi pelajar untuk mengetahui dan memahami hubungan
dan kaitannya dengan sejarah Malaysia.

Peringkat SMA pula kurikulum Sejarah dirancang dengan tujuan murid
mendapat perspektif yang lebih luas tentang proses perkembangan
masyarakat dan negara. Sejarah perkembangan dan dan proses evolusi
peradaban dunia akan dikaji bagi melengkapkan perspektif pendidikan
Sejarah. Pengetahuan dan pemahaman tersebut membolehkan pelajar
melihat secara perbandingan peradaban yang dicapai oleh negara luar dan
menghubungkaitkannya dengan masyarakat negara kita. Dengan ini murid
dapat memahami kedudukan negara sebagai sebahagian daripada
peradaban dunia.


2.3 PERKEMBANGAN KURIKULUM MATAPELAJARAN SEJARAH
Kurikulum Sejarah mula diperkenalkan di sekolah-sekolah aliran Inggeris
pada tahun 1863 di peringkat Menengah Rendah (Omar Hashim, 1992).
Kurikulum Sejarah ketika ini ditentukan oleh Universiti Cambridge, London.
Namun pada tahun 1891 buat pertama kalinya pelajar di Tanah Melayu
mengambil peperiksaan Sejarah dalam Cambridge Local Examinations. Di
sekolah-sekolah aliran melayu, kurikulum sejarah hanyalah diajar agar pelajar
dapat memahami budaya melayu melalui pengalaman kesusasteraan
khususnya berbentuk hikayat seperti Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah
(Khoo Kay Kim, 1992)
Menurut Suffean Husin (1996), pihak British tidak menekankan kurikulum
Sejarah tempatan kerana bimbang kedudukan politik dan ekonomi mereka
akan tergugat. Pembelajaran sejarah hanya dibuat oleh R.J. Wilkinson. Oleh
itu, pada tahun 1918 matapelajaran Tawarikh telah diperkenalkan dalam
kursus latihan perguruan di Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka
bagi memenuhi keperluan guru-guru Sejarah terlatih untuk mengajar mata
pelajaran tersebut di sekolah-sekolah Melayu. Pada tahun 1930an barulah
matapelajaran Sejarah diajar di sekolah-sekolah aliran Melayu. Walau
bagaimana pun kaedah pengajaran dan pembelajaran Sejarah di bilik darjah
lebih tertumpu kepada aktiviti-aktiviti membaca dan menghafal fakta-fakta
yang terdapat dalam buku teks Sejarah saja.

Oleh itu perkembangan kurikulum Sejarah di Tanah Melayu telah wujud sejak
zaman sebelum merdeka lagi seperti yang ditegaskan oleh Philip Loh (1975)
dan Aini Hassan (2008). Namun perkembangan kurikulum Sejarah di zaman
pra kemerdekaan agak perlahan dan kurang diberi perhatian. Selepas
Perang Dunia ke 2, kurikulum Sejarah mulai mengalami perubahan. Namun
masih terikat dengan persepsi barat. Menurut Abdul Razaq dan Ramli (2007),
kurikulum Sejarah ketika itu lebih banyak menceritakan latar belakang
masyarakat Eropah atau Sejarah negara England itu sendiri. Justeru
perkembangan kurikulum Sejarah ketika itu tidak mempunyai matlamat
nasional yang jelas. Kurikulum Sejarah yang diguna ketika itu dilihat berbeza-
beza mengikut sekolah vernakular. Ini turut diperakui oleh Norrizan (2003)
yang menjelaskan kurikulum Sejarah ketika itu mencerminkan kepentingan
dan propaganda penjajah yang sangat berkesan. Kelemahan pelaksanaan
kurikulum Sejarah ketika itu turut diperakaui oleh Aini Hassan (2008).

Di sekitar tahun 1950an, perbincangan kurikulum Sejarah mula mendapat
perhatian dalam kalangan sejarawan tempatan. Wujud desakan untuk
Kurikulum Sejarah ditulis dari kaca mata tempatan. Kandungan kurikulum
Sejarah yang banyak dilihat dari perspektif barat mewujudkan ketidakpuasan
hati sejarawan. Oleh itu, satu perbincangan telah dilakukan bagi melihat
semula kurikulum sejarah sekitar tahun 1970an. Antaranya ialah Seminar
Sejarah Malaysia I dan II pada tahun 1973 dan 1974 (Siti Zainun Mat, 1988).
Hasilnya lahir cadangan agar Kementerian Pelajaran mewujudkan Kurikulum
Sejarah yang lebih bersifat Malaysian Centric . Pada pertengahan tahun
1986 matapelajaran Sejarah telah dijadikan mata pelajaran wajib dan
dijadikan sebagai salah satu subjek teras dalam pelaksanaan Kurikulum
Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Menerusi KBSM kandungan
kurikulum Sejarah disampaikan sebagai satu kumpulan maklumat dan juga
sebagai satu pendekatan terhadap ilmu (Kementerian Pendidikan Malaysia
1990).

Namun pada tahun 2000, Kurikulum Sejarah kembali menjadi polemic dalam
kalangan guru. Kurikulum Sejarah Dunia dilihat terlalu luas merangkumi
jangka masa 6000 tahun. Manakala komponen Sejarah Malaysia pula banyak
mengulang tajuk yang sama. Semakan terhadap Kurikulum Sejarah telah
dilakukan. Kira-kira 30 peratus isi kandungan Kurikulum Sejarah telah
dibuang. Menerusi semakan ini, penekanan kurikulum lebih tertumpu kepada
aspek kesepaduan ilmu (kandungan), kemahiran (struktur disiplin sejarah:
pemikiran Sejarah) dan penerapan nilai patriotism. Kesemua eleman ini
berjalan serentak dalam pengajaran dan pembelajaran (KPM 2000).

Kini perkembangan Kurikulum Sejarah terus menrik untuk diperbincangkan.
Pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam
Perhimpunan Agung UMNO 2010 yang berlangsung di Dewan Merdeka,
Pusat Dagangan Dunia Putra bahawa Sejarah akan dijadikan mata pelajaran
wajib lulus dalam peperiksaan peringkat SPM pada tahun 2013 dan
matapelajaran teras dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR),
telah menjadi sejarah baru dalam perkembangan pendidikan di negara ini.
Perkembangan ini dilihat telah meletakkan status mata pelajaran ini setara
dengan mata pelajaran teras yang lain. Langkah proaktif pihak KPM yang
mewujudkan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kurikulum Sejarah di sekolah
menengah dilihat kena pada waktunya. Ini bagi memastikan kurikulum yang
digubal benar-benar memberi impak kepada pemahaman dan penghayatan
Sejarah secara lebih menyeluruh dalam kalangan pelajar.

2.4 KEPENTINGAN MATA PELAJARAN SEJARAH
Pendidikan Sejarah adalah bertujuan untuk memupuk dan memperkukuh
semangat setia negara dan jati diri sebagai warganegara Malaysia dan warga
dunia. Selain itu, ia dapat memupuk perasaan bangga sebagai rakyat
Malaysia melalui pengetahuan dan penghayatan sejarah negara tanah air.
Usaha ini bertujuan mewujudkan semangat perpaduan dan kekitaan bangsa
dan negara Malaysia atau patriotisme.

Patriotisme adalah perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air. Perasaan ini
perlu wujud di hati setiap individu rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
Sehubungan itu, semangat patriotic dapat membentuk rakyat Malaysia yang
bersatu padu dan harmoni. Justeru berdasarkan pengetahuan dan
pemahaman aspek-aspek sejarah negara, murid dibimbing untuk
menganalisis dan menilai fakta-fakta sejarah secara rasional. Natijah
daripada pemahaman dan dan penghayatan sejarah negara, murid dapat
membina kekuatan semangat cinta akan negara.

Selain itu pendidikan Sejarah perlu menjurus kepada pemupukan kemahiran
berfikir dan kemahiran penilaian sejarah di kalangan murid di samping nilai-
nilai murni dan semangat patriotic. Ia bertujuan untuk melahirkan generasi
yang dapat memenuhi matlamat dan aspirasi negara iaitu kesepaduan unsur
pengetahuan, peningkatan daya intelek, pemupukan nilai murni dan
perkembangan kemahiran belajar. Malah pendidikan Sejarah juga dapat
mewujudkan ingatan bersama tehadap Sejarah sebagai rangka rujukan
kesedaran kebangsaan dan persefahaman antarabangsa.

3.0 PENILAIAN KURIKULUM
Penilaian ialah satu proses mengumpul data terhadap sesuatu program bagi
menentukan samada ia harus diterima, dibuang atau penambahbaikan. Sesuatu
program dinilai bagi menjawab persoalan oleh pelbagai pihak. Pihak awam biasanya
ingin mengetahui samada kurikulum yang dilaksanakan mencapai matlamat dan
objektifnya. Guru pula biasanya ingin mengetahui samada pengajaran dan
pembelajaran yang dilakukan di dalam kelas adalah efektif atau tidak. Manakala
pihak perancang atau pembina program pula ingin mengetahui perkembangan
kurikulum tersebut.

Ornstein dan Hunkins (1998) mendefinisikan penilaian kurikulum sebagai satu
proses atau cluster proses bagi mendapatkan data untuk membolehkan pembuatan
keputusan samada menerima, mengubah atau menghapuskan sesuatu; secara
umumnya kurikulum atau bahagian tertentu dalam buku teks. Manakala Worthen dan
Sanders (1987) pula menyatakan penilaian kurikulum ialah satu penentuan secara
formal tentang kualiti, keberkesanan atau nilai sesuatu program, produk, projek,
proses, objektif atau kurikulum. Gay (1985) menyatakan bahawa penilaian kurikulum
bukan saja untuk mengenalpasti kelemahan dan kekuatan semasa pelaksanaan
sesuatu program; sebaliknya untuk meningkatkan proses pembangunan kurikulum
serta menentukan keberkesanan kurikulum tersebut dan pulangan terhadap
pembiayaan yang telah diberikan dalam program tersebut.

Secara amnya terdapat empat fasa dalam penilaian kurikulum ini. Antaranya ialah:
i. Aspek kurikulum yang akan dinilai.
Penilai akan menentukan apakah yang akan dinilai samada seluruh system
sekolah, pentadbiran, tahap pencapaian atau subjek tertentu. Objektif bagi
aktiviti penilaian dinyatakan secara jelas.

ii. Pengumpulan Data
Mengenalpasti maklumat yang akan dikumpul serta alat-alat yang akan
digunakan dalam pengumpulan data. Ia mungkin melibatkan temubual, soal
selidik, ujian, pengumpulan dokumen dan sebagainya. Penilai juga akan
mengenalpasti individu yang akan memberikan maklumat tersebut.

iii. Analisis Maklumat
Data yang dikumpulkan akan dianalisis dan dipersembahkan dalam bentuk
jadual dan graf. Alat statistic biasanya digunakan untuk membandingkan
sesuatu perbezaan yang penting atau membina perkaitan hubungan antara
pembolehubah.

iv. Pelaporan Maklumat
Laporan yang ditulis menghuraikan dapatan dan tafsiran terhadap sesuatu data.
Berdasarkan dapatan, kesimpulan dibuat terhadap keberkesanan pelaksanaan
sesuatu kurikulum. Cadangan dibuat bagi mempertimbangkan aspek tertentu
dalam kurikulum.

MODEL-MODEL PENILAIAN
MODEL PENILAIAN RASIONAL TYLER (1950)
MODEL PENILAIAN RESPONSIF ROBERT STAKE
MODEL PENILAIAN KIRKPATRIC

4.0 KEKUATAN MODEL PENILAIAN CIPP
5.0 KELEMAHAN MODEL PENILAIAN CIPP
6.0 BAGAIMANA MODEL KIPP BOLEH DIGUNAKAN DALAM MATA PELAJARAN
SEJARAH
6.1 PENILAIAN DIMENSI INPUT
6.2 PENILAIAN DIMENSI KONTEKS
6.3 PENILAIAN DIMENSI PROSES
6.4 PENILAIAN DIMENSI PRODUK
ANALISIS
KESESUAIAN DARI SEGI MEMENUHI KEPERLUAN PEMBELAJARAN DI SEKOLAH
KEKUATAN DAN KELEMAHAN KANDUNGAN PELAJARAN DALAM MATA PELAJARAN
SEJARAH

RUMUSAN
CADANGAN
BIBLIOGRAFI
http://www.moe.gov.my/bpk/sp_hsp/sej/hsp_sej_f3.pdf