Anda di halaman 1dari 4

Pengerusi (IZZATI) : Bismillahhirahmannirrahim, AlHamdulillahi robbil alamiin, wassolatu wassalaamu

alaa asyrofil anbiyai wal mursaliin.. wa ala alihi wa sohbihi ajmaiin.


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Ukhwah, Salam Kasih Sayang dan Salam 1
Malaysia.
Warga dewan sekalian,
Bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin serta limpah kurnia daripadaNya, dapat kita
bertemu lagi dalam gelanggang Forum Remaja bersama saya Nor Izzati bt. Yahaya pada pagi yang
berbahagia ini. Sebelum mengupas tajuk ini dengan lebih mendalam, terlebih dahulu, mari kita
berkenalan dengan tiga orang ahli panel kita pada hari ini. Jangan ragu dan jangan risau kerana warga
dewan sememangnya tidak asing lagi dengan panel-panel kita pada hari ini. Baiklah di sebelah kanan
saya, ahli panel pertama, saudari Nur Nadiah Hafizah bt. Harun, dari Kelab Mencegah Kemalangan Jalan
Raya Negeri Kedah. Apa khabar saudari?
Nadya: Alhamdulillah, sihat Cik Pengerusi. Bagaimana pula dengan Cik Pengerusi?
Izzati : Alhamdulillah, sihat juga. Seterusnya, ahli panel kedua, ayu berbaju kurung, saudari Nur Fatin
Firzanah bt. Mohd Fauzi. Selamat datang saudari. Dan di hujung sana, Nampak pemalu tapi bijak berkata-
kata, saudari Nur Syamimi Aida bt. Haszuddin. Selamat datang juga buat saudari.
Sebagai pembuka kata, ingin saya perkenalkan tajuk forum remaja yang didalami dan diselami oleh
barisan panel iaitu KEMALANGAN JALAN RAYA. Dalam dekad ini, perangkaan kematian yang
disebabkan oleh kemalangan jalan raya di Malaysia sebenarnya agak tinggi. Statistik bilangan kematian
pengguna jalan raya meningkat lebih-lebih lagi pada musim perayaan apabila bilangan kenderaan yang
menggunakan jalan raya bertambah, pada suatu masa kita dapat menyaksikan kes kemalangan jalan raya
turut melonjak. Fenomena yang tidak sihat ini nescaya mengundang pelbagai akibat yang buruk kepada
negara memandangkan setiap kemalangan jalan raya membabitkan kerosakan fizikal, kecederaan atau
kematian. Untuk mengetahui kesan-kesan kemalangan jalan raya, saya mempersilakan saudari Nur
Nadiah Hafizah untuk menerangkannya.

NADYA: Terima kasih, saudari pengerusi. Kesan yang ketara akibat kemalangan jalan raya berlaku
terhadap fizikal, mental atau emosi selain sosioekonomi mangsa serta keluarga mereka. Kemalangan akan
mencacatkan fizikal mangsa sehingga ada yang kehilangan upaya dan tidak berdaya lagi untuk bekerja
menyara diri mahupun keluarga. Sesetengah mangsa lain memerlukan rawatan jangka panjang sekaligus
mereka atau keluarga menanggung beban kos perubatan. Kehidupan seseorang juga akan berubah serta
merta kerana individu yang menjadi tempat bergantung sudah tiada lagi atau tidak berupaya bekerja untuk
menyara mereka.

FATIN : Tepat sekali pendapat saudari Nadya tadi. Statistik menunjukkan mangsa kemalangan
sebahagian besar adalah golongan muda berusia 20-35 tahun. Ini adalah usia tenaga kerja yang paling
produktif dan berpotensi. Jika 55 tahun diambil sebagai usia persaraan, hakikatnya jika masih hidup,
mereka boleh menyumbang khidmat tenaga, kemahiran atau kepakaran untuk tempoh 20 hingga 35 tahun
lagi. Pada umur itu juga kebanyakan mangsa adalah ibu bapa kepada sebuah keluarga muda yang
mempunyai anak-anak masih kecil. Mereka turut menyara ibu bapa masing-masing yang sudah berusia
dan kian uzur. Justeru, kematian mereka akibat kemalangan jalan raya memberi kesan negatif sehingga
menjejaskan sosial ahli keluarga yang ditinggalkan.

SYAMIMI : Justeru, kemalangan masih boleh dielakkan jika pemandu mengambil langkah positif
termasuk mematuhi peraturan jalan raya, memandu dengan berhemah, merancang perjalanan serta
menghindari pemanduan dalam keadaan tubuh tidak sihat atau mengantuk. Di samping itu, sama
pentingnya ialah untuk sentiasa memastikan kereta dijaga dan diservis dengan baik mengikut tempoh atau
jadual yang ditetapkan.

Izzati: Seperti kata peribahasa ada angin, ada pokoknya, justeru, apakah faktor-faktor yang
menyebabkan kemalangan jalan raya yang amat membimbangkan sekarang ini. Apakah pandangan panel-
panel kita?

Nadya : Kemalangan jalan raya dikaitkan dengan tabiat pengguna jalan raya itu sendiri. Kebanyakan
pengguna tidak mematuhi arahan keselamatan jalan raya seperti tidak mematuhi papan tanda-papan tanda
jalan raya, memandu dengan laju dan melebihi had laju kebangsaan serta tidak mematuhi lampu isyarat.
Seterusnya mereka juga memandu dalam keadaan dipengaruhi alkohol dan memandu walaupun
mengantuk. Dalam hal ini, tabiat pemandu ini yang mementingkan diri sendiri menjadi penyumbang
besar kepada kes kemalangan jalan raya.

Fatin : Pengerusi, kemalangan jalan raya juga berpunca daripada keadaan jalan raya itu sendiri. Faktor
jalan raya yang berlubang, tiada bahu jalan, jalan berbengkang-bengkong dan jalan raya yang tidak
mempunyai papan tanda juga menjadi punca kepada kemalangan jalan raya.

Syamimi: Dalam hal ini juga, keadaan cuaca juga menjadi penyumbang kes kemalangan jalan raya. Hujan
yang turun menyebabkan jalan menjadi licin dan berbahaya sekiranya kenderaan melaluinya dengan
kelajuan yang tinggi. Jerebu juga menyebabkan had penglihatan menjadi kabur dan sukar menganggar
jarak kenderaan di hadapan.

Izzati: Sebagai langkah untuk menghindari nyawa pengguna jalan raya daripada terus melayang, langkah
penjagaan keselamatan mereka perlu disegerakan. Pihak berkuasa mesti memandang berat terhadap
sebarang usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Apakah langkah-langkah yang
dilakukan untuk membendung masalah ini daripada terus meningkat?

Nadya: Masyarakat iaitu kita semua amat berperanan dalam membendung masalah kemalangan jalan raya
ini memandangkankitalah pengguna jalan raya. Justeru, kita perlu memastikan keadaan kenderaan berada
dalam keadaan terbaik sebelum memulakan perjalanan. Sebelu m memulakan perjalanan yang jauh, kita
perlu mendapat rehat secukup-cukupnya. Kita perlu tidur dahulu ataupun berehat di hentian-hentian rehat
dan rawat sekiranya berasa letih atau mengantuk kerana terlelap sesaat membawa maut. Selain itu,
pemandu juga perlu mematuhi arahan had laju dan sentiasa siaga atau siap sedia dengan papan-papan
tanda di jalan raya. Pemandu juga mestilah tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan tidak
bersms ketika memandu. Pemandu juga jangan lupa memakai tali pinggang keledar sebagai langkah
keselamatan.

FATIN : Saudari pengerusi, berada di atas kenderaan beroda dua, penunggang motosikal memang mudah
terbabas apabila dilanggar oleh sebab motorsikal terpaksa berhimpit di bahu jalan dengan kenderaan
berenjin yang lebih besar, lazimnya keselamatan mereka akan terancam. Selaras dengan bahaya yang
diharungi oleh penunggang motorsikal, lorong khas patut dibina untuk kegunaan mereka sahaja. Hasilnya
kenderaan besar lain tidak akan menghampiri motorsikal semasa berada di atas jalan raya.


Syamimi : Semakin laju sebuah kenderaan, semakin sukar kenderaan tersebut diberhentikan pada waktu
kecemasan. Musibah mungkin melanda pengguna jalan raya pada bila-bila masa. Di kawasan yang dilalui
oleh orang ramai umpamanya di sekitar hospital dan sekolah, had laju kenderaan mestilah dikurangkan.
Had kelajuan yang rendah nescaya akan dapat mengurangkan risiko kemalangan jalan raya. Permukaan
jalan yang berlekuk-lekuk juga membahayakan penunggang motorsikal dan basikal. Selekoh tajam di
jalan raya menggugat keselamatan pengguna jalan raya secara amnya jika mereka memandu dengan laju.
Kelemahan dan kerosakan jalan raya perlu dibaiki dengan segera supaya pengguna tidak menjadi mangsa.

Izzati: Terima kasih kepada ahli-ahli panel kita pada kali ini. Keselamatan jalan raya, tanggungjawab
bersama. Api kecil baik dipadamkan. Jika tidak, kemalangan jalan raya akan menjadi batu penghalang
kepada kemajuan negara. Kehilangan sumber manusia yang merupakan nadi penggerak pembangunan
Negara, perbelanjaan membayar kerja memabik pulih dan pampasan insuran serta tercemarnya imej
negara akan membawa padah kepada ekonomi. Lantaran itu, semua pihak hendaklah berusaha dengan
bersungguh-sungguh menangani masalah kemalangan jalan raya ini. Tindakan yang tegas dan usaha yang
gigih terutamanya daripada pihak berwajib pasti penting untuk mengurangkan nahas di jalan raya. Sekian
sahaja perbincangan pada kali ini. Assalamualaikum wbt.

Satu Malaysia Bersatu-padu,
Bersatu-padu penuh semangat,
Pesanan buat para pemandu,
Pandu cermat jiwa selamat.
Asam muda dimakan banyak,
Jambu layu dibuang dahan;
Musim raya jalan sesak,
Pandu laju hilang kawalan.

Anda mungkin juga menyukai