Untuk pengetahuan umum dalam era moden ini, pemerdagangan manusia adalah satu bentuk
perhambaan. Ini berlaku ekoran daripada permintaan terhadap tenaga buruh, perkhidmatan seksual,
jeratan hutang dan kemiskinan.
Pada kebiasaannya, jenayah pemerdagangan manusia ini merentasi sempadan dan menjatuhkan
maruah serta martabat sehingga mereka diperdagangkan, mangsa yang terlibat biasanya tidak diberi
sebarang pilihan dan tidak dapat melaporkan penderitaan mereka akibat daripada kawalan ketat oleh
sindiket.
Hasil kajian dari badan-badan bebas dan beberapa kes didapati, Malaysia khususnya Sabah adalah
destinasi persinggahan untuk wanita dan kanak-kanak diperdagangkan untuk eksploitasi seks secara
komersial manakala lelaki dijadikan sebagai buruh paksa.
Mengapakah pemerdagangan manusia ini berlaku? Menurut Kajian Kesatuan Eropah dan Jabatan
Negara Amerika, pemerdagangan manusia ini dapat menjana keuntungan yang lumayan dan
dianggarkan sebanyak US 33 bilion setahun ( angka tidak rasmi ). Pemerdagangan manusia bukan saja
berlaku di Negara-negara mundur tetapi juga di Negara-negara maju. Persoalannya kini siapakah dalang
di sebalik semua ini? Dan bagaimanakah pemerdagangan manusia ini berlaku? Semua ini bakal terjawab
di akhir perbincangan nanti. Sebelum itu perlulah kita selami dahulu definisi sebenar pemerdagangan
manusia itu sendiri.
Menurut Artikel 3 Protokol Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam mencegah, menyekat dan menghukum
Pemerdagangan manusia terutamanya dalam kalangan wanita dan juga kanak-kanak telah
mendefinisikan Pemerdagangan Manusia sebagai perekrutan, pengangkutan, pemindahan,
penampungan atau penerimaan orang dengan cara ancaman atau penggunaan kekerasan atau bentuk
paksaan lain, penculikan, penipuan, penyalahgunaan kuasa atau kedudukan kerentanan, atau memberi
atau menerima bayaran atau pemanfaatan untuk mencapai persetujuan seseorang yang mempunyai
kawalan keatas orang lain, untuk tujuan eksploitasi iaitu pelacuran, buruh paksa atau perhambaan dan
pemindahan organ-organ.
antara yang terlibat..
Memang tidak dapat dinafikan, pemerdagangan manusia adalah suatu peristiwa yang menakutkan dan
tidak dapat dilupakan bagi sesiapa yang terlibat dalam kejadian tersebut samada mangsa itu sendiri
ataupun ahli keluarganya. Pada kebiasaannya, mangsa yang terlibat terdiri daripada golongan wanita,
pemuda dan kanak-kanak.
Kanak-kanak merupakan mangsa utama bagi pelaku pemerdagangan manusia. Ini disebabkan kanak-
kanak dianggap senang dikawal dan tidak berupaya untuk melakukan sebarang tindakan di luar
jangkaan. Ini boleh dikaitkan juga dengan fikiran mereka yang belum matang, yang tidak dapat
membezakan apa yang betul dan apa yang salah. Ini adalah kelebihan yang digunakan oleh penjenayah
untuk menjalankan kegiatan mereka. Kanak-kanak biasanya dijual kepada orang kaya dengan tidak
mengikut prosedur yang ditetapkan. Di samping itu, mereka juga dimanfaatkan untuk kegiatan
pengagihan dadah.
Selain daripada golongan kanak-kanak, golongan wanita juga menjadi tumpuan bagi penjenayah.
Golongan wanita yang lemah dan tidak dapat melindungi diri sendiri selalunya dipaksa membuat
sesuatu yang tidak diingini seperti menjadi pembantu rumah yang tidak sah di sisi undang-undang,
penjaga bayi yang tidak berlesen, GRO ataupun pelacur. Kehidupan yang dialami oleh mereka sangat
dahsyat. Maruah wanita diabaikan dan hak-hak kaum wanita langsung tidak dihormati.
Manakala bagi golongan pemuda, mereka selalunya ditipu dengan muslihat yang diberikan oleh
penjenayah. Penjenayah mungkin merancang satu penipuan seperti kerja di luar Negara yang dapat
mengaut keuntungan yang besar dengan cepat. Pemuda-pemuda yang terpengaruh dengan tipu
muslihat tersebut akan dipergunakan untuk melakukan perbuatan yang melanggar undang-undang.
Pada kebiasaannya, tugasan yang diberi ialah menjual pil estacy atau mengedar heroin di tempat awam
seperti disko atau pub. Pemuda tersebut akan terperangkap dengan penipuan dan akhirnya tidak dapat
melepaskan diri.
PENYEBAB PERMASALAHAN
Mengapakah manusia mudah dijadikan mangsa pemerdagangan ini???
-kekurangan peluang pekerjaan di daerah asal.
-kelemahan penguatkuasaan undang-undang di dalam suatu kerajaan.
-kekurangan pekerjaan yang formal khususnya bagi wanita .
-peluang pendidikan yang rendah yang tidak sama rata antara kanak-kanak perempuan dan lelaki di
kawasan bandar dan luar bandar. Pada kebiasaannya, di kawasan kampung taraf pendidikannya adalah
rendah jika dibandingkan dengan bandar-bandar yang maju.
-ramai kanak-kanak tidak mempunyai dokumen atau sijil kelahiran yang sah lebih mudah menjadi
mangsa.
-budaya yang tidak menyebelahi kepentingan kaum wanita dan kanak-kanak.sebagai contoh,lelaki lebih
mempunyai keutamaan menjawat jawatan dalam pekerjaan polis jika dibandingkan dengan wanita.
-Konflik dan bencana yang menyebabkan ramai wanita dan kanak-kanak menjadi mangsa dan mudah
terperangkap dalam kegiatan pemerdagangan manusia.
-Kerajaan kurang memberi perhatian terhadap perlindungan pekerja migrant.
-pertumbuhan ekonomi yang tinggi di daerah atau tempat yang dituju.
-peningkatan permintaan dari segi tenaga kerja dari luar daerah atau wilayah.
-tawaran gaji yang lebih lumayan di daerah yang ingin dituju berbanding dengan daerah asalnya.
-peningkatan sektor industri yang membawa kepada kewujudan tempat-tempat hiburan dan industri
seks komersil.
SEJAUH MANA KEBENARANNYA?
Rekod daripada International Organization of Imigrant (IOI) melaporkan bahawa kira-kira 1 bilion
manusia bergerak ke seluruh dunia setiap hari. Namun sukar dikenalpasti jumlah sebenar mereka yang
diperdagangkan dengan pelbagai tujuan yang tidak baik, sama ada dieksploitasi sebagai buruh,
pengemis, pelacur, pengedar dadah dan sebagainya terutama membabitkan golongan emas, wanita dan
juga kanak-kanak.
Isu ini menjadi semakin serius apabila sindiket antarabangsa terbabit cuba mengaut keuntungan dengan
menjadikan manusia sebagai bahan dagangan. Paling menyedihkan ada di antara mereka yang
dieksploitasi ini di bunuh semata-mata untuk mendapatkan organ bagi tujuan dagangan pasaran gelap.
Namun, dalam hal ini, yang kita mahu berkas bukan mangsa tetapi anggota sindiket atau dalang
utamanya. Antara negara-negara yang diletakkan dibawah senarai pemerhatian oleh Amerika Syarikat
ialah Thailand dan Singapura kerana gagal mencegah wanita dari terlibat dalam sindiket pelacuran.
Berlainan pula di Indonesia, golongan emas dan kanak-kanak lebih kerap dieksploitasikan bagi tujuan
sindiket pengemis dan perhambaan.
Dikenalpasti bahawa kelembapan sistem perundangan dan penghakiman merupakan antara punca
utama berleluasanya kes pemerdagangan manusia di negara ini. Daripada 308 kes yang dilaporkan sejak
tahun 2008, hanya 27 kes sahaja berjaya diselesaikan setakat ini. Manakala selebihnya masih di
peringkat perbicaraan, termasuk proses pertuduhan. Salah satu kes yang menjadi bualan hangat
sehingga kini ialah kes penangkapan seorang wanita warga tempatan di India kerana terlibat dalam
kegiatan antarabangsa perdagangan manusia pada akhir tahun 2009.
Perkaitan permasalahan
Kita tahu bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai hubungan yang baik dengan
negara negara luar seperti Indonesia, Vietnam, Filipina, Amerika Syarikat dan sebagainya. Apabila dilihat
dari segi sudut kepentingan negara Malaysia maka kerjasama antara negara- negara luar ini sangat
penting terutamanya kepada sektor ekonomi negara ini. Namun hubungan negara ini dengan negara
luar juga telah menyumbang kepada satu masalah sosial yang amat ketara iaitu pemerdagangan
manusia.
Kerjasama antara negara ini dengan negara luar telah menyebabkan warganegara luar diambil bekerja di
sini dalam pelbagai sektor seperti sektor pembinaan, perindustrian dan sebagainya. Lambakan pekerja
asing semakin menjadi-jadi ekoran daripada bayaran gaji mereka lebih rendah jika dibandingkan dengan
pekerja negara ini. Keadaan ini paling ketara jika kita lihat dalam sektor pembinaan,ramai buruh-buruh
kasar adalah warganegara asing. Terdapat segelintir warganegara asing mempunyai niat yang tidak baik
terhadap masyarakat di negara ini terutamanya terhadap golongan wanita dan kanak-kanak. Mereka
gemar mengambil kesempatan terhadap golongan tersebut kerana mereka mudah untuk dipujuk rayu,
ditipu dan mereka juga adalah golongan lemah.
Warganegara luar akan memerangkap golongan ini terlebih dahulu, seperti berpura-pura berbuat baik
terhadap wanita dan kanak-kanak. Contohnya kita lihat golongan wanita, mereka mudah diperdaya
dengan janji-janji manis yang ditabur oleh rakyat asing tersebut. Bukan sahaja golongan wanita menjadi
sasaran tetapi golongan kanak-kanak juga turut menjadi mangsa. Biasanya individu tidak
bertanggungjawab ini akan menumpu perhatian di kawasan seperti sekolah, taman permainan, pasar
malam dan sebagainya untuk menculik kanak-kanak dan seterusnya menjual mereka. Di negara ini
sudah banyak kes di mana kanak-kanak yang hilang masih belum dijumpai sehinga ke hari ini.
Kemungkinan kes-kes tersebut mempunyai kaitan dengan pemerdagangan manusia.
Kerjasama antara Negara Malaysia dengan Negara luar bukan sahaja memberi kesan negatif tetapi juga
memberi kesan positif untuk mengatasi isu pemerdagangan manusia. Kerajaan Malaysia telah
bekerjasama dengan Amerika Syarikat untuk membendung gejala pemerdagangan manusia yang
semakin berleluasa. Malaysia dan AS bersepakat mengatakan bahawa kegiatan itu mesti di bendung
dengan segera. Usaha ke arah pembanterasan pemerdagangan manusia perlu dilakukan dengan segera
kerana ia memberi implikasi teruk kepada soal keselamatan negara. Jabatan Negara Amerika Syarikat
(AS) telah menggesa Malaysia untuk menyusun tindakan undang-undang awal penguatkuasaan di
bawah Akta Pemerdagangan Manusia, khasnya berkaitan pemerdagangan buruh.
AS mencadangkan agar Malaysia melaksanakan hukuman jenayah yang lebih ketat terhadap mereka
yang terbabit dalam mengambil buruh atau mengeksploitasi buruh paksaan. Mereka juga menggesa
Malaysia untuk meningkatkan usaha bagi mendakwa dan menyabitkan kesalahan pegawai awam yang
mengambil keuntungan daripada aktiviti ini atau terbabit dalam pemerdagangan atau mengeksploitasi
mangsa. Malaysia juga dicadangkan untuk membangun dan melaksanakan prosedur untuk mengenal
pasti mangsa pemerdagangan buruh di kalangan kumpulan yang sering terdedah dengan aktiviti ini
seperti pekerja migran dan merujuk mereka kepada perkhidmatan perlindungan yang ada.
Malaysia perlu meningkatkan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memperbaiki
usaha-usaha perlindungan terhadap mangsa termasuk tempat untuk menempatkan mangsa
pemerdagangan. Latihan kepada para pegawai mengenai pengendalian pemerdagangan kes seks dan
buruh, dengan penekanan terhadap perlindungan mangsa dan menerus dan memperluaskan kempen
yang komprehensif dan jelas mengenai kesedaran anti-pemerdagangan bagi kedua-dua pemerdagangan
buruh dan seks haruslah ditingkat dan diperluaskan. Kerajaan Malaysia telah menunjukkan komitmen
besar dalam menangani pemerdagangan manusia yang dijangka mendahului peningkatan penyiasatan
dan pendakwaan kesalahan pemerdagangan buruh dan mengenal pasti mangsa pemerdagangan buruh
oleh pegawai kerajaan dan bekerjasama rapat dengan NGO dan pertubuhan antarabangsa untuk
memperbaiki perkhidmatan mangsa dalam penempatan kerajaan.
IMPAK
MANGSA:
Aktiviti pemerdagangan manusia akan menyebabkan mangsa yang terlibat dalam perdagangan manusia
akan mengalami gangguan mental dan fizikal. Hal ini boleh dilihat apabila mangsa-mangsa ini berada
dalam keadaan tertekan serta ketakutan kerana mereka terpaksa melakukan pekerjaan secara terpaksa
dan bukan secara suka rela. Sekiranya mereka tidak mengikuti perintah pihak terbabit, mereka mungkin
didera dan dihukum dengan lebih berat dan teruk. Ini menyebabkan terdapat segelintir mangsa
perdagangan manusia ini mengalami kecederaan fizikal seperti lebam-lebam akibat dipukul oleh pihak
majikannya.
Mangsa pemerdagangan manusia juga mengalami gangguan mental dan trauma akibat daripada
pekerjaan yang terpaksa dilakukan. Contohnya kanak-kanak dijadikan sebagai pengemis, tentera paksa
atau bagi tujuan aktiviti keagamaan. Manakala bagi wanita pula dijadikan sebagai pelacur, hamba dan
buruh paksa. Aktiviti seumpama ini kadang kala dilakukan tanpa bayaran kerana mangsa tidak diberikan
bayaran/gaji tetapi mereka hanya diberikan tempat tinggal serta makan dan minum sebagai saraan
hidup. Perkhidmatan mereka seolah-olah dipergunakan oleh pihak yang tak berwajib.
Selain itu, mangsa pemerdagangan manusia mungkin mengalami jangkitan penyakit. Aktiviti-aktiviti
yang dilakukan oleh mangsa-mangsa ini sememangnya terdedah kepada wabak penyakit seperti AIDS,
HIV, filis, jangkitan kuman, dan sebagainya. Penyakit seperti ini mudah merebak terutama bagi wanita
yang memperdagang diri mereka untuk aktiviti pelacuran. Bagi golongan kanak-kanak juga tidak
ketinggalan apabila mereka dijadikan pengemis jalanan, mereka turut terdedah kepada wabak penyakit
seperti SARS, jangkitan kuman dan lain-lain.
Akibat daripada aktiviti pemerdagangan orang juga, mangsa menanggung malu seumur hidup. Ini
menyebabkan mangsa tidak suka berhadapan dengan khalayak umum kerana mangsa mungkin dikeji
atau dihina kerana pernah melakukan aktiviti terkutuk seperti melacur atau mengemis. Lantaran itu
mangsa-mangsa aktiviti perdagangan manusia lebih suka memencilkan diri daripada bergaul dengan
orang ramai kerana mereka mungkin bimbang akan terjerumus dengan aktiviti itu lagi dan turut
bimbang akan perspektif masyarakat terhadap pekerjaan yang telah dilakukan oleh mereka sebelumnya.
MASYARAKAT DAN NEGARA:
Pemerdagangan manusia menimbulkan kesan yang besar terhadap masyarakat dan negara. Umumnya,
kita akan kehilangan sumber tenaga atau kepakaran sekiranya aktiviti pemerdagangan manusia terus
berleluasa. Kepakaran untuk perkembangan negara dari segi politik, ekonomi dan sosial mungkin
terbatas kerana kepakaran tersebut telah disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab
untuk melakukan aktiviti yang tidak bermoral tersebut. Sekiranya aktiviti pemerdagangan manusia tidak
dibendung, negara tidak berupaya untuk beroleh kepakaran yang maksimum kerana sumber idea yang
kurang daripada pelapis-pelapis baru iaitu kanak-kanak dan wanita.
Aktiviti pemerdagangan manusia menyebabkan sistem pemerintahan negara menjadi lemah di mata
dunia. Hal ini kerana negara-negara maju seperti US, UK, Russia dan lain-lain mungkin beranggapan
bahawa sistem pemerintahan negara lemah dan tidak sistematik kerana tidak dapat membendung
masalah pemerdagangan manusia yang berleluasa. Ini menyebabkan imej negara dimata dunia jatuh.
Tidak mustahil perkara ini menjadi penyebab kepada kejatuhan sosioekonomi negara pada masa
hadapan.
Selain itu, wabak penyakit turut merebak ke dalam negara. Pemerdagangan manusia yang semakin
menjadi-jadi memudahkan wabak penyakit menular di Malaysia. Wabak penyakit seperti HIV, AIDS,
H1N1, tibi dan sebagainya mudah merebak sekiranya aktiviti pemerdagangan manusia tidak dikawal
oleh pihak berwajib. Penyakit berjangkit ini bukan sahaja mudah merebak malah boleh membawa maut
kepada masyarakat. Jadi, aktiviti pemerdagangan manusia ini perlu dibendung agar masyarakat tidak
berasa bimbang akan penyakit berbahaya disekeliling mereka.
Antara kesan lain kepada masyarakat dan negara ialah pembangunan ekonomi terjejas. Pelancongan
ekonomi mungkin mengalami kemerosotan kerana orang luar takut untuk datang melancong ke dalam
negara. Hal ini mungkin kerana faktor kebimbangan terhadap aktiviti pemerdagangan manusia yang
berleluasa. Kebimbangan tersebut menyebabkan pelancong asing tidak memilih Malaysia sebagai
destinasi pelancongan mereka. Ini menyebabkan Malaysia mengalami kerugian kerana pelancongan
merupakan salah satu sumber pendapatan dan penjana ekonomi negara.
BAGAIMANA CARA MENANGANINYA?
Mahkamah khas dan mahkamah malam diwujudkan bagi mempercepatkan proses pertuduhan serta
bicara kes yang berkaitan dengannya. Oleh itu, mangsa-mangsa yang terlibat tidak terlalu menderita
dengan gangguan emosi dan fizikal yang telah dialami mangsa sebelum ini.
Penguatkuasaan undang-undang telah diperketatkan oleh kerajaan. Pihak Polis Diraja Malaysia, Kastam,
Imigresan dan Maritim Malaysia (APMM) telah beusaha kuat mengembleng tenaga untuk membanteras
jenayah penyeludupan manusia ini.
Kewujudan Pelan Tindakan Nasional (NAP) di bawah Majlis Anti Perdagangan Orang (MAPO) serba
sedikit telah dapat mengurangkan aktiviti ini. Sejak 2 tahun yang lalu, pihak kerajaan telah mengambil
inisiatif untuk melatih lebih 3000 orang pegawai yang merangkumi bidang penguatkuasaan,
pendakwaan dan kehakiman untuk menangani isu ini.
Kerajaan telah berusaha keras untuk membanteras jenayah ini dengan turut bekerjasama dengan
International Organization of Imigrant (IOI), Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi
Pelarian (UNHCR) dan Amnesty International Malaysia. Malaysia juga berkongsi kepakaran yang
melibatkan penyeludupan manusia dengan Amerika Syarikat, Australia, United Kingdom dan Belanda.
Selain itu, kempen untuk meningkatkan kefahaman dan profesionaslisme jentera kerajaan dalam
penguatkuasaan Akta Pemerdagangan Orang 2007. Hal ini demikian kerana masih terdapat segelintir
kakitangan kerajaan yang mengambil kesempatan terhadap isu sosial ini dengan menjadi orang tengah
dan menerima rasuah.
Jenayah Pemerdagangan Orang ini masih baru dalam masyarakat kita pada hari ini. Oleh itu, tanpa kita
sedari kita telah terjerumus dalam kancah hina dengan menjadi mangsa kepada sindiket haram ini.
Pengetahuan mengenai jenayah ini mestilah diperluaskan kepada golongan majikan serta orang ramai.
Kerjasama antara orang ramai dengan kerajaan amat diperlukan untuk menangani jenayah ini.