Oleh: DR. MOHD. HANAFI KAMAL (Naib Presiden Persatuan
Pendidikan Malaysia) PROFESION keguruan yang merupakan profesion tertua di dunia, kini memasuki satu lagi era baru. Dulu peranan utama guru ialah sebagai penyampai pengetahuan. Gurulah yang banyak bercakap dan menyoal. Bagaimanapun kini, peranan guru lebih penting sebagai pemudah cara dalam proses pembelajaran. Sebagai pemudah cara, guru perlu lebih sedia dan peka melahir dan menggunakan situasi-situasi pembelajaran secara cekap dan berkesan. Murid perlu selalu digerak untuk berfikir secara kreatif dan kritikal. Malahan, murid dijangka dapat menyoal guru serta membantu guru membuka luas pintu pembelajarannya. Dahulu, punca pengetahuan adalah dalam bentuk bertulis. Sekarang, lebih banyak bilik darjah ditukar menjadi bilik darjah bestari yang membolehkan pelajar menggunakan komputer untuk mencari lebih banyak pengetahuan dan maklumat. Bagaimanapun, kehadiran guru penting untuk membimbing pelajar membuat pilihan ilmu dan maklumat yang betul. Satu lagi peranan penting guru ialah sebagai seorang pembangun negara. Ini kerana di bawah jagaannya adalah sekumpulan manusia muda yang akan diasuh dan dididik supaya menjadi anggota masyarakat yang bertanggungjawab dan berguna. Justeru, fokus guru adalah lebih daripada pembelajaran. Ia melibatkan pendidikan meliputi segala aspek meliputi pembangunan mental, fizikal, emosi, sosial dan psikologi. Guru harus berperanan untuk mengenal pasti dan membangunkan potensi diri pelajar. Peranan guru ini amat penting dalam menentukan corak pembangunan sesebuah negara. Kita perlu sedar, kejayaan negara sehingga kini, sebahagian besar adalah hasil sumbangan kerjaya keguruan. Ini kerana persediaan bagi pengeluaran tenaga kerja negara di semua sektor bermula dari sekolah yang sudah pastinya memerlukan khidmat dan jasa guru. Guru juga adalah model manusia berkelakuan baik. Guru mesti bebas daripada bersikap negatif dan sempit daripada aspek bangsa, kelas, sosial, kedaerahan dan politik. Guru yang berpendirian profesional dalam tingkah lakunya dengan memegang kepada nilai-nilai akhlak dan etika yang positif berkemungkinan mampu mempengaruhi pelajarnya daripada ibu bapa mereka sendiri. Bagi memantapkan profesionalismenya, adalah penting guru menjalani latihan sebelum perkhidmatan. Pendedahan awal ini mendedahkan guru dengan pelbagai kaedah dan kemahiran pengajaran yang perlu seorang guru miliki. Bagaimanapun, latihan tidak terhad kepada sebelum perkhidmatan semata-mata. Dalam semua aspek keguruan, ilmu pengetahuan adalah lebih luas dan mendalam hasil usaha penyelidikan dan diskusi guru-guru pengetahuan. Selain itu, kelayakan akademik juga adalah satu lagi perkara yang perlu ditimbangkan. Ini kerana profesionalisme guru itu adalah berpusatkan kepada pengetahuan. Maka, adalah wajar diramalkan, seiringan dengan kejayaan Malaysia meningkatkan kadar pembangunannya, guru-guru ijazah akan bertugas sehingga ke sekolah rendah. Memandangkan guru memainkan peranan penting dalam pembangunan negara, sifat kerja guru yang begitu khusus memerlukan guru mempunyai kelayakan akademik minimum dan menghadiri program-program latihan sebelum dan semasa perkhidmatan. Guru juga perlu mempunyai dan mengamalkan sifat-sifat tingkah laku yang positif. Di samping memperakui akan kepentingan guru, penganugerahan status ini akan dapat menarik calon-calon yang lebih terpelajar dan lebih berkelayakan memohon menjadi guru dan seterusnya akan membantu negara memperoleh kejayaan yang lebih besar.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0423&pub=Utusa n_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_04.htm#ixzz30befrwwd Utusan Melayu (M) Bhd Peranan guru menjadi semakin penting, lebih-lebih lagi dalam era globalisasi yang banyak diperkatakan sekarang. Tanggungjawab guru kini bukan terhad seperti dulu malah semakin bertambah. Ia merupakan satu cabaran baru kepada guru bagi menentukan bahawa dalam zaman ledakan maklumat , murid lebih pandai daripada guru. Justeru itu, guru perlu menimba lebih banyak ilmu pengetahuan melalui penggunaan teknologi maklumat dan kaedah pengajaran terkini. Antara cara-cara untuk meningkatkan profesionalnya ialah yang pertama seseorang guru itu perlu memahami dan melaksanakan etika perguruan dengan mencintai profesion perguruan itu sendiri, yakni bukan bekerja untuk dapat gaji pada hujung bulan semata- mata. Martabat profesion perguruan harus dilihat bukan sahaja dari segi pendapatan tetapi juga dari peranan dan sumbangannya. Kedua, guru harus mempunyai sikap ingin belajar sepanjang hayat kerana ia amat penting untuk guru itu sendiri. Ini adalah kerana dengan mengikuti latihan ikhtisas selama beberapa tahun sahaja, tidak boleh menjamin bahawa seseorang guru itu sudah terlatih untuk selama-lamanya. Sebaliknya, jika guru tidak mempunyai sikap untuk belajar dan menambah ilmu pengetahuan selepas dilatih, guru itu akan ketinggalan dan profesion keguruan mungkin akan kehilangan martabatnya. Ketiga, guru perlu mempunyai komitmen yang tinggi untuk memastikan murid-murid mendapat pendidikan yang berkualiti. Salah satu cara guru boleh meningkatkan martabat profesion keguruan ialah melalui kecemerlangan keputusan peperiksaan awam di mana masyarakat setempat membuat penilaian kepada pengajaran guru. Justeru itu, guru perlu memberikan pendidikan yang berkualiti kepada murid-murid. Akhir sekali, guru perlu mengambil peluang untuk meningkatkan diri dengan menerima lebih banyak pendedahan kepada perkembangan terkini dalam bidang pendidikan melalui latihan supaya maklumat yang diperolehi boleh disampaikan kepada lebih ramai guru yang lain. Ini adalah kerana tanggungjawab sebagai seorang guru adalah kompleks, iaitu guru bukan sahaja perlu mempertingkatkan pencapaian akademik murid tetapi juga perlu menaikkan martabat profesion perguruan.
Pendidikan sebagai asas pembinaan masa depan bangsa dan negara bergantung kepada profesion perguruan yang berkembang secara dinamik dan progresif. Profesion perguruan yang dinamis perlu melahirkan kepimpinan guru yang berkualiti, sentiasa memperbaiki dan mempertahankan etika profesionalisme pendidikan, berbanding dengan tugas yang mengabdikan diri sebagai golongan pendidikan yang berwibawa dan dapat menjadikan diri sendiri lebih berketrampilan dengan mendokong belajar seumur hidup (life long learning), belajar untuk mengubah dan belajar untuk berubah. Sejajar dengan itu, perubahan yang hendak dibuat mestilah sesuai dengan tuntutan semasa. Perubahan dan pembaharuan adalah berdasarkan kepada hakikat bahawa tanpa sistem pendidikan yang bertaraf dunia, impian untuk mentransformasikan Malaysia menjadi negara maju tidak mungkin dapat dicapai. Lantas profesion perguruan harus berkembang dengan lebih pantas dan progresif bagi mencorakkan perkembangan individu, masyarakat dan negara. Dari satu segi yang lain, profesion perguruan yang menjadi agen perubahan sosial harus menjadi penyelamat kepada krisis kemelut sosial yang dihadapi oleh masyarakat yang sedang bergelut dengan tuntutan kemajuan dan perubahan. Pendidikan yang maju juga tidak akan terlepas daripada peranan guru sebagai kunci kepada keberhasilan kemajuan pendidikan sesebuah institusi. Guru bukan sahaja mengajar subjek tertentu di dalam kelas bahkan mereka merupakan ejen kepada perubahan minda masyarakat. Mereka juga merupakan fasilitator yang melayan, membimbing, membina dan mengusung murid sebagai klien mereka bagi menuju ke gerbang kejayaan. Kemuliaan institusi pendidikan dan kemenjadian pelajar bergantung kepada guru itu sendiri. Justeru itulah guru dituntut agar bersikap profesional dalam menjalankan amanah mereka sebagai seorang pendidik.
Peranan guru dalam membentuk satu generasi yang berilmu dan berakhlak tinggi akan dapat melahirkan satu bangsa yang bertamadun. Untuk itu peranan guru sebagai perancang masa depan murid-murid dan sentiasa mempunyai cita-cita unggul untuk membina sebuah masyarakat yang bertamadun tinggi amat diharapkan. Guru juga sedar bahawa peranan mereka sebenarnya memikul satu tanggungjawab yang amat berat. Di sekolah, guru perlu mencurahkan ilmu bukan saja kepada para pelajarnya malah berkongsi kemahiran dan pengalaman bersama rakan sekerja yang lain. Di samping itu, guru juga harus peka dengan perubahan semasa dan menyesuaikannya secara bijak bagi menangani masalah dalam pengajaran dan pembelajaran semasa. Guru itu perlu pakar atau profesional dalam segala bidang. Untuk menjadi seorang guru yang profesional, guru itu harus menekankan kepada tiga aspek penting dalam dirinya iaitu kepakaran, pengetahuan dan pembentukan sahsiah. Cabaran seorang guru pada hari ini bukan lagi seperti cabaran guru-guru terdahulu. Guru pada masa dahulu tugasnya hanya sekadar mengajar subjek tertentu sahaja di dalam kelas. Sebaliknya kini, tugas guru memikul tugas dan tanggungjawab yang berat dengan hasrat kementerian yang tinggi. Guru kini bukan hanya sekadar mengajar subjek tertentu di dalam kelas, bahkan mereka juga merupakan operator kepada sebuah kurikulum pendidikan. Pendidik memainkan peranan yang dominan dan sangat penting dalam merealisasikan aspirasi negara untuk mewujudkan perpaduan kaum. Guru juga membuktikan bahawa mereka mampu mengimbangkan kewujudan integrasi nasional yang menjamin keamanan dan kesejahteraan negara. Selain itu seorang guru merupakan ejen keberkesanan pendidikan. Kejayaan dan keberhasilan guru terhadap tanggungjawab, kelengkapan, keilmuan dan keluhuran peribadi disifatkan sebagai cabaran yang harus didepani dengan profesional. Tugas guru pada masa kini memerlukan komitmen dan iltizam yang amat tinggi dan memerlukan pengorbanan. Bukan sahaja kerana sistem pendidikan yang berubah, malahan suasana persekitaran juga turut berubah akibat daripada arus modenisasi bagi mendepani zaman ini. Ibu bapa semakin tangkas, anak- anak pula ada yang ganas. Kalau dulu, pelajar ditampar, didenda dan pelbagai hukuman diterima tanpa ada bantahan atau perasaan dendam terhadap guru. Jika mengadu kepada ibu bapa, mereka pula meminta pula yang meminta hukuman itu ditambah. Sebaliknya hari ini, guru merotan agar anak menjadi lebih sopan, dicemuh hingga ke muka pengadilan (mahkamah) . Seperti profesion yang lain, bidang keguruan yang juga terkandung dalam Dasar Pelajaran Kebangsaan tidak terkecuali mendepani cabaran yang cukup besar. Perkembangan bidang sains dan teknologi turut menjadikan bidang pendidikan semakin mencabar. Dunia pendidikan berubah dengan penekanan diberikan terhadap penggunaan teknologi maklumat yang selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara. Keadaan ini seterusnya menyebabkan pengurusan di sekolah menjadi semakin kompleks. David Ryans dalam bukunya Characteristics Of TeachersTheir Description, Comparison and Appraisal berpendapat bahawa guru yang berkesan dalam menangani cabaran ialah guru yang mempunyai sifat adil, demokratik, responsif, bertimbang rasa, baik hati, jujur, cergas, menarik, bertanggungjawab, stabil, tenang dan berkeyakinan. Guru dalam konteks pendidikan sebenarnya berperanan sebagai ejen penyalur budaya dan ilmu. Selain itu, guru berperanan sebagai institusi kedua selepas keluarga. [1] Proses pembelajaran mungkin berlaku secara spontan dan personaliti berubah secara tidak disedari. Guru harus mendepani cabaran secara profesional dan sedar tentang hakikat bahawa guru ialah pembimbing dan pendidik dalam masyarakat yang berbudaya. Banyak persepsi yang mengenai profesion keguruan yang menjadi keraguan masyarakat, antaranya tanggapan yang menyatakan bahawa profesion keguruan sebagai mudah dan tidak memeningkan kepala, namun menjanjikan gaji yang memuaskan. Apapun tanggapan itu mungkin ada kebenarannya namun hanya segelintir guru sahaja yang melakukan kesalahan telah menjadi satu anggapan bahawa semua guru seperti yang mereka saksikan. Bagaimanapun sebagai seorang guru semua persepsi yang dilemparkan ini memerlukan kekuatan mental dan semangat yang jitu bagi menghadapi cabaran guru sebagai seorang pendidik . [1] Dipetik dari Dewan Masyarakat Mei 2012