Anda di halaman 1dari 10

KELUARGA IMPIAN SAYA

"Rumahku, syurgaku". Kenyataan ini menunjukkan betapa pentingnya peranan ahli keluarga
dalam kehidupan seseorang. Keluarga impian saya ialah keluarga bahagia. Apakah ciri-ciri
yang harus ada pada sesebuah keluarga bahagia? Cuba fikirkan sejenak! Bertitik tolak
daripada manifestasi tersebut, setiap individu harus memikul dan melaksanakan kewajipannya
untuk mewujudkan keluarga bahagia.

Ibu bapa memainkan peranan yang paling penting dalam mewujudkan kebahagiaan dalam
keluarga. Ibu bapalah yang akan membentuk keperibadian dan sahsiah anak-anak. Ibu bapalah
yang akan membekalkan kehidupan sempurna kepada anak-anak. Anak diibaratkan sebagai
sehelai kain putih, ibu bapalah yang akan mencorakkannya sama ada seindah warna
pelangi atau semalap masa depannya. Ibu bapanya yang merupakan guru terdekat harus
menunjukkan teladan yang baik. Ibu bapa ialah teladan anak-anak, bak kata
pepatah ,bagaimana acuan, begitulah kuihnya.

Pendidikan bermula dari rumah. Ibu bapa hendaklah mengajar anak-anak untuk
membezakan yang mana intan, yang mana kaca. Ibu bapa harus mengawasi perlakuan
dan memantau kegiatan luar anak-anak supaya mereka yang baru berumur setahun jagung,
darah setampuk pinang tidak terjebak dalam kancah negatif. Ibu bapa harus memastikan
anak-anak tidak bergaul dengan rakan sebaya yang buruk akhlak. Selain itu, ibu bapa harus
mencurah kasih sayang sepenuhnya kepada anak-anak seperti menatang minyak yang
penuh . Didikan agama dan moral yang teguh harus disemai dalam jiwa anak-anak sejak
kecil lagi, bak kata pepatah melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Seseorang yang tidak
mempunyai pegangan agama dan moral yang teguh diibaratkan seperti kapal tanpa
nakhoda.

Tambahan pula, ibu bapa harus meluangkan masa untuk menemani anak-anak dan memahami
masalah mereka di samping berusaha menyelesaikannya. Ibu bapa hendaklah mengambil
berat terhadap anak-anak mereka. Ibu bapa janganlah begitu rakus mengejar fatamorgana
mereka dalam aspek kebendaan sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak-
anak. Hukuma-hakam Arab pernah mengatakan bahawa anak- anak yang kehilangan kasih
sayang daripada ibu bapa yang sibuk adalah yatim.

Untuk mewujudkan keluarga bahagia, anak-anak hendaklah menuruti ajaran ibu bapa. Anak-
anak harus belajar bersungguh-sungguh, mendapatkan keputusan cemerlang untuk membalas
jasa ibu bapa. Anak-anak sepatutnya memuliakan dan menjaga maruah diri dan keluarga
dengan tidak melibatkan diri dalam kegiatan yang tidak sihat seperti vandalisme, lumba
haram, menagih dadah dan sebagainya. Anak-anak yang berjaya hendaklah mengenang jasa
ibu bapa dan janganlah bersikap seperti kacang lupakan kulit. Anak-anak janganlah lupa
bahawa ibu bapalah yang mendidik, membimbing, dan menjaga mereka. Kalau bukan ibu
bapa, siapakah kita?

Anak-anak hendaklah mentaati ibu bapa. Dalam sesebuah keluarga, ahli-ahli keluarga saling
menghormati dan memahami. Ahli-ahli keluarga sepatutnya bertolak-ansur dan mengawal diri
bagi mengelakkan berlakunya pertelingkahan dan perselisihan faham. Keluarga bahagia ialah
keluarga yang harmani, aman dan damai. Ahli-ahli keluarga akan saling membantu dan
bekerjasama, bak kata pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Natijahnya, semua ahli keluarga berperanan mewujudkan keluarga bahagia. Institusi keluarga
boleh diibaratkan sebuah bangunan yang terdiri daripada berjuta-juta batu-bata. Keluarga
bahagia banyak memerlukan unsur juga. Contohnya, kasih sayang, kerjasama, toleransi dan
sebagainya. Rumahku, syurgaku. Keluarga bahagia ialah keluarga impian saya.













LANGKAH-LANGKAH MENGATASI JEREBU
Mutakhir ini, arus globalisasi yang semakin menerjah di seantero dunia telah banyak membawa
perubahan kepada kehidupan seharian manusia di tanah air kita. Dalam keghairahan mengejar arus
modenisasi ini, kita sering dikejutkan dengan situasi negara kita yang sering mengalami masalah
jerebu. Berita buruk ini yang semakin menjadi-jadi ini dipaparkan pada dada akhbar saban hari. Hal
ini telah menjadi polemik orang ramai dari kedai kopi sehinggalah ke parlimen. Persoalan yang sering
terlintas di fikiran kita ialah mengapakah Malaysia selalu dilanda dengan krisis jerebu? Banyak
jawapan yang berlegar-legar di gawang minda kita kita. Namun begitu, masalah yang semakin serius
ini perlu diatasi dengan segera kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Kerajaan merupakan penawar mujarab dalam mengatasi masalah jerebu. Pihak kerajaan memikul
kewajipan untuk menguatkuasakan undang-undang yang termaktub dalam Akta Alam Sekitar.
Individu-individu yang telah mengingkari undang-undang dengan membakar sampah sarap secara
terbuka manakala pemaju kilang yang membiarkan pelepasan asap daripada kilang tanpa ditapis
perlu dikenakan hukuman yang lebih berat. Biarlah mereka menerima pengajaran supaya lebih peka
terhadap isu jerebu yang semakin kronik ini, kerana sudah terhantuk baru tengadah. Pemaju-
pemaju kilang yang mengamalkan sikap sebegitu bukan sahaja harus dikenakan saman yang lebih
tinggi, malah premis kilang mereka harus disita. Bagi memastikan masalah jerebu terkawal, kerajaan
turut perlu mewajibkan setiap kilang perindustrian supaya memasang sistem penapisan asap dalam
kilang mereka untuk mengurangkan penyaluran habuk dan gas-gas toksik ke dalam udara. Pada masa
yang sama, Jabatan Alam Sekitar haruslah menggemblengkan tenaga dengan organisasi bukan
kerajaan untuk menjalankan kempen kesedaran yang lebih efektif secara giat. Kempen kesedaran ini
bukan sahaja dapat menyedarkan orang ramai tentang perbuatan mereka yang menyumbang kepada
masalah jerebu, malah kempen tersebut mampu membekalkan mereka dengan informasi tentang
langkah-langkah yang patut diambil oleh setiap individu untuk membantu dalam mengatasi
fenomena jerebu. Tuntasnya, kerajaan menjadi pemangkin perdana bagi memastikan masalah jerebu
dapat ditangani dengan cara yang efektif.
Selain itu, tindakan kerajaan yang lain dalam menangani masalah jerebu ialah pembenihan
awanperlu dilaksanakan demi menyekat keadaan jerebu daripada menular. Akibat daripada
fenomena El-Nino, cuaca kering dan kemarau telah melanda Malaysia. Keadaan ini memburukkan
lagi keadaan jerebu. Dengan demikian, kerja pembenihan awan terpaksa dilakukan untuk
mendapatkan hujan. Apabila cuaca kering, suhu awan menjadi tinggi, titisan air menjadi ringan,
Titisan yang sangat ringan ini tidak dapat jatuh ke bumi sebagai hujan. Oleh itu, iodin perak ataupun
ais kering akan ditabur untuk menurunkan suhu awan tersebut. Ais kristal akan terbentuk dan
semakin membesar lalu ditarik oleh graviti, air kristal akan jatuh ke bumi dan bertukar menjadi titisan
air apabila cair akibat daripada suhu bumi yang panas. Hujan boleh memainkan peranan penting
apabila keadaan jerebu menjadi sangat serius. Hujan dapat membawa bersama jerebu jatuh ke bumi,
justeru masalah jerebu dapat diatasi dengan pembenihan awan.

Tidak dapat dinafikan juga ialah peranan ibu bapa dalam menangani fenomena jerebu. Ibu bapa
dipertanggungjawabkan untuk mendidik anak mereka tentang langkah-langkah mencegah masalah
jerebu, menerusi pendidikan tidak formal. Ketika mereka masih di bangku sekolah, anak-anak
diibaratkan sebagai kain putih dan memerlukan bimbingan ibu bapa untuk membentuk jati diri
mereka yang sempurna. Sebagai memberi teladan kepada anak-anak mereka, mereka perlu memikul
tugas untuk memaparkan sikap mesra alam supaya sikap sebegitu tersemai dalam sanubari anak-
anak mereka sehingga menjadi satu kebiasaan dalam kehidupan, bak kata pepatah, alah bias tegal
biasa. Berpegang pada prinsip bagaimana acuan begitulah kuihnya, anak-anak akan mengikut
sikap ibu bapa sebagai rakyat negara yang mengutamakan kebersihan udara. Dalam membentuk
keperibadian mereka supaya menjadi individu yang mengamalkan sikap mesra alam, ibu bapa juga
diamanahkan dengan tugas menyuburkan nilai-nilai murni, seperti nilai bertanggungjawab dan nilai
peka terhadap isu-isu alam sekitar dalam jiwa anak-anak untuk menyedarkan anak-anak tentang
tanggungjawab mereka dalam memelihara kebersihan udara. Ibu bapa turut diberikan
tanggungjawab untuk membuka mata anak-anak mereka terhadap isu jerebu melalui penyertaan
dalam kempen-kempen kesedaran kerajaan. Melalui langkah tersebut, anak-anak akan didedahkan
kepada perkara serius ini sejak umur yang kecil lagi, malah hal ini membantu mereka memahami
impak jerebu terhadap negara supaya mereka dapat menghulurkan bantuan dalam usaha menangani
masalah jerebu. Maka, peranan ibu bapa dalam usaha mengatasi fenomena jerebu turut
mendatangkan impak positif kerana mereka menjadi penentu sahsiah generasi muda.

Selain kerajaan dan ibu bapa, pemimpin-pemimpin negara perlu bertemu dengan pemimpin dari
negara jiran dan berbincang tentang kesan-kesan yang disebabkan oleh pembakaran hutan serta
mencari cara penyelesaian masalah bersama-sama. Pemimpin negara Indonesia boleh memainkan
peranan dengan merancang pembakaran hutan dengan teliti dan memikirkan cara mengurangkan
implikasi negatif yang dibawa oleh pembakaran hutan. Mereka juga patut melarang pembakaran
hutan dan mengenakan hukuman yang berat terhadap mereka yang melanggar peraturan tersebut.
Dengan melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang tersebut, maka masalah jerebu dapat
diringankan.

Sebagai rakyat Malaysia kita boleh memainkan peranan kita dengan tidak membakar sampah sarap
secara terbuka. Hal ini kerana asap yang dihasilkan melalui pembakaran sampah sarap merupakan
antara penyumbang kepada jerebu dan sebagai akibatnya kesihatan manusia akan terjejas dan
membawa kepada pelbagai penyakit seperti sakit kerongkong, penyakit asma, pneumonia, barah
paru-paru dan sebagainya. Di samping itu, kita boleh melibatkan diri dalam aktiviti menyelamatkan
alam sekitar dengan menanamkan tumbuh-tumbuhan di sekitar kawasan rumah. Dengan adanya
kerjasama daripada masayarakat, masalah jerebu pasti dapat ditangani sebelumnasi menjadi bubur.

Masalah jerebu telah menjadi duri dalam daging kepada Malaysia. Bagi menyelesaikan
masalah jerebu yang merunsingkan ini, semua pihak harus bersinergi dalam mengatasi masalah
tersebut, persis kata orang-orang tua, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Pelbagai langkah
perlu diambil demi mengelakkan masalah jerebu daripada berlaku lagi. Sekiranya Malaysia bebas
daripada belenggu masalah jerebu, sudah pasti negara Malaysia dapat
berkembang maju dalam semua bidang terutamanya bidang pelancongan yang sememangnya
berpandukan cuaca dan iklim Malaysia. Marilah kita berusaha mengurangkan masalah jerebu dan
mewujudkan negara yang bebas jerebu untuk kepentingan bersama.

Contoh Karangan Banjir Kilat.

Banjir kilat sering berlaku apabila hujan lebat turun secara tiba-tiba. Banjir kilat kerap berlaku di
negara kita. Banjir kilat boleh menyusahkan manusia. Banjir kilat juga boleh mengakibatkan
kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa. Banjir kilat juga boleh mengakibatkan kesesakan jalan
raya. Terdapat beberapa punca terjadinya banjir kilat.

Banjir kilat berpunca daripada sikap manusia yang suka membuang sampah di merata-rata
tempat. Masyarakat suka membuang sampah ke dalam longkang, parit dan sungai. Sampah yang
dibuang boleh menyebabkan longkang tersumbat. Apabila hujan secara tiba-tiba, aliran air dalam
longkang, parit dan sungai akan tersekat. Contohnya seperti yang berlaku di Jalan Skudai dan Jalan
Air Molek di Johor Bahru. Oleh itu, jelaslah bahawa banjir kilat berpunca daripada sikap manusia
yang suka membuang sampah di merata-rata tempat.

Di samping itu juga, faktor penguatkuasaan yang terlalu longgar merupakan punca banjir kilat. Hal ini
kerana tiada tindakan undang-undang terhadap orang yang membuang sampah di merata-rata
tempat. Pihak Berkuasa Tempatan pula tidak memantau kawasan pembuangan sampah. Apabila
hujan, kawasan pembuangan sampah menakung air dan banjir kilat berlaku. Contoh peniaga pasar
malam sesuka hati membuang sampah berhampiran parit atau longkang tanpa dikenakan hukuman.
Oleh itu, jelaslah bahawa penguatkuasaan yang longgar merupakan punca terjadinya banjir kilat.

Selain itu, banjir kilat berpunca daripada sistem perparitan yang tidak sempurna. Parit dan longkang
yang dibina di bandar adalah sempit. Parit juga tersumbat disebabkan oleh longgokan sampah. Hal
ini menyebabkan banjir kilat berlaku apabila hujan lebat berlaku. Pengaliran air akan tersekat dan
melimpah di jalan raya. Contohnya banjir kilat yang berlaku di bandar-bandar besar seperti Kuala
Lumpur dan Johor Bahru. Jelaslah bahawa sistem perparitan yang tidak sempurna menjadi punca
banjir kilat.

Faktor iklim juga menjadi punca banjir kilat. Iklim yang tidak menentu iaitu kadang-kadang hujan dan
kadang-kadang panas boleh menyebabkan banjir kilat. Keadaan ini semakin buruk dengan
fenomena El-Nino yang menyebabkan hujan lebat berterusan. Dengan ini, jelaslah bahawa faktor
iklim menjadi punca kepada banjir kilat.

Kejadian banjir kilat juga berkaitan dengan aktiviti pemaju projek perumahan. Syarikat perumahan
mengabaikan aspek penjagaan alam sekitar. Pemaju-pemaju perumahan tidak memantau projek
pembinaan. Mereka juga membiarkan sisa-sisa binaan terbiar selepas sesuatu projek siap djalankan.
Contohnya longkang dibiarkan tertimbus dengan pasir dan sisa binaan. Hal ini menyebabkan banjir
kilat berlaku apabila hujan turun dengan lebatnya.

Terdapat banyak punca yang menyebabkan banjir kilat. Semua pihak perlulah bekerjasama bagai aur
dengan tebing bagi mengatasi masalah ini. Hal ini penting agar masalah banjir kilat dapat diatasi.
Dengan ini, segala kerugian yang dialami kerana banjir kilat dapat dikurangkan.



Contoh Karangan Sukan.

Kerajaan telah memperkenalkan dasar 1Murid 1Sukan. Hal ini bermakna setiap murid harus
melibatkan diri secara aktif dalam salah satu acara sukan yang paling diminati. Selepas diumumkan,
dasar ini telah menjadi buah mulut masyarakat, khususnya ibu bapa. Pihak media massa sama ada
media cetak mahupun media elektronik saban hari mengetengahkan perkara tersebut sebagai
isu utama. Peribahasa ada mengatakan Jikalau tiada angin , masakan pokok bergoyang. Dasar ini
perlu diperkenalkan kerana negara kita ketinggalan dalam kebanyakan acara sukan bertaraf dunia.
Jika negara kita mahu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara maju yang lain dalam
bidang sukan, kita mestilah melakukan sesuatu. Dalam hal ini, semua pihak terutamanya ibu bapa
perlu membantu pihak kerajaan bagi merealisasikan hasrat kerajaan ini. Terdapat pelbagai usaha
yang perlu dilakukan oleh ibu bapa bagimenggalakkan anak-anak menceburi bidang sukan.

Satu daripada usaha yang perlu dilakukan oleh ibu bapa ialah mereka perlu menjadi model atau
jurulatih kepada anak-anak kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Ibu bapa perlu berjinak-
jinak dalam bidang sukan. Langkah yang paling awal ialah ibu bapa hendaklah membawa anak-anak
berjoging atau beriadah. Selain dapat meningkatkan tahap kesihatan, ibu bapa dapat mendedahkan
aktiviti sukan kepada anak-anak ibarat sambil menyelam minum air. Sebagai contohnya, ibu bapa
hendaklah membawa anak-anak berjoging di kawasan padang atau stadium yang berhampiran.
Selepas itu, ibu bapa hendaklah bermain badminton atau bola sepak dengan anak-anak. Melalui
aktiviti ini, bakat anak yang terpendam dapat digilap. Jika ibu bapa merupakan jaguh sukan sebelum
ini, bakat tersebut kemungkinannya dimiliki oleh anak-anak merekabagai kuah tumpah ke nasi. Jika
usaha ini diteruskan dari masa ke masa, anak-anak tersebut akan menjadi jaguh sukan pada suatu
hari nanti setelah diasuh oleh ibu bapa mereka.

Selain itu, anak-anak amat memerlukan sokongan daripada ibu bapa sama ada secara langsung atau
tidak langsung. Dalam hal ini, ibu bapa perlu mendorong anak-anak supaya meminati bidang sukan
sejak kecil bak kata pepatah kalau hendak melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Mereka
mestilah menjadi pendorong kepada anak-anak untuk mengambil bahagian dalam pertandingan
peringkat sekolah, daerah atau sebarang pertandingan sukan. Sebagai contohnya, apabila anak-anak
tidak mencapai kemenangan dalam sesuatu pertandingan, ibu bapa perlu memberikan dorongan
dengan mengucapkan kata-kata bahawa sekali tewas tidak bermakna akan tewas buat selama-
lamanya. Ibu bapa perlu mengingatkan anak-anak bahawa di sebalik kekalahan sebenarnya kita
memperoleh sesuatu yang lebih berharga, iaitu pengalaman yang tidak dapat dibeli di mana-mana.
Oleh yang demikian, ibu bapa perlu memotivasikan anak-anak supaya mereka rajin berusaha
kerana usaha tangga kejayaan.Tegasnya, sokongan daripada ibu bapa sangat besar impaknya kepada
anak-anak untuk mencapai kejayaan yang gemilang.

Di samping itu, ibu bapa perlulah memberikan penghargaan dan galakan kepada anak-anak apabila
mereka mencapai kejayaan. Semasa anak-anak mencapai kejayaan pada kali pertama dalam acara
sukan yang disertai, ibu bapa mestilah memberikan penghargaan atau pujian kepada anak-anak.
Apabila dipuji dan penghargaan diberikan kepada mereka, semangat untuk berlatih atau menceburi
bidang tersebut dengan lebih giat akan meningkat. Sebagai contohnya, ibu bapa hendaklah
membelikan anak-anak mereka peralatan sukan yang diminati seperti pakaian, kasut atau peralatan
sukan lain sebagai hadiah. Usaha yang dilakukan oleh ibu bapa ini bukanlah memberikan peluang
kepada anak-anak untuk membuat sesuatu agar mendapat habuan tetapi membuatkan anak-anak
merasai bahawa dirinya dihargai. Melalui cara ini, mereka akan gembira dan menjadikan aktiviti
sukan tersebut menyeronokkan. Menurut ahli psikologi, minat seseorang dalam sesuatu perkara
akan meningkat jika diberi ganjaran atau penghargaan.

Bukan itu sahaja, anak-anak juga perlu didedahkan dengan bahan bacaan tentang pelbagai jenis
sukan. Melalui bahan bacaan tersebut, anak-anak akan mengetahui acara sukan yang diceburi
dengan lebih mendalam. Banyak ilmu yang akan diperoleh tentang acara sukan dari segi sejarah,
tokoh yang berjaya, aspek kejurulatihan, pemakanan, teknik, strategi, dan sebagainya. Pujangga
menyatakan, `Membaca Jambatan Ilmu. Sebagai contohnya, murid perlu membaca pelbagai majalah
yang berkaitan dengan acara sukan yang diminati seperti majalah sukan bola sepak, hoki, dan
sebagainya. Usaha ini selari dengan dasar 1 Murid 1 Sukan yang memerlukan murid bukan sahaja
mahir bermain malah memahami sesuatu permainan. Dalam hal ini, melalui Dasar 1Murid 1Sukan,
murid-murid bukan sahaja memiliki kemahiran dalam sesuatu permainan, malah mereka mampu
menjadi jurulatih atau pengadil walaupun tidak mempunyai bakat untuk bermain pada suatu hari
nanti.

Sebagai kesimpulannya, ibu bapa merupakan sumber inspirasi kepada anak-anak untuk menceburi
bidang sukan. Jika ibu bapa menyuruh anak-anak melibatkan diri dalam bidang sukan, sedangkan
mereka tidak melakukannya bersama-sama, usaha ini diibaratkanketam mengajar anaknya berjalan
dengan betul. Tindakan ibu bapa akan menjadi ikutan anak-anak ibarat bapa borek anak rintik jika
mereka turut sama aktif dalam bidang sukan. Untuk merealisasikan Dasar 1Murid 1Sukan, ibu bapa
merupakan insanyang menjadi pendorong selain guru di sekolah. Ibu bapa tidak seharusnya
mengharapkan guru-guru sahaja untuk membimbing anak-anak mereka bagi merealisasikan dasar ini.
Oleh itu, kerjasama daripada semua pihak amat penting bagi melahirkan individu yang seimbang
dalam bidang kurikulum, kokurikulum dan sahsiah. Jika ibu bapa berjaya memainkan peranannya,
sukan di negara kita akan terus gemilang selaras dengan slogan `Majulah Sukan untuk Negara



Contoh Karangan Mengawal Kenaikkan Harga Barang (Tanggungjawab Semua).

Setelah menghela nafas kemerdekaan selama 55 tahun, ibu pertiwi kita yang telah bebas daripada
cengkaman penjajah begitu pesat membangun bagaikan cendawan tumbuh selepas
hujan. Sehubungan dengan hal itu, peribahasa ada menyebut bahawa, ada bukit, ada paya, namun
kita tidak boleh mendabik dada kerana di sebalik kemajuan yang sedang dikecapi, negara kita masih
lagi terkongkong dalam gelombang inflasi yang semakin rumit. Walaupun isu ini hangat diperkatakan
dan sering meniti di bibir masyarakat, tetapi pernahkah terlintas dalam benak fikiran kita, apakah
yang dimaksudkan dengan inflasi? Mengikut penjelasan yang terdapat dalam Kamus Dewan Edisi
Keempat, inflasi didefinisikan sebagai keadaan kenaikan harga barangan yang disebabkan oleh
bertambahnya kuasa membeli. Oleh itu, masalah ini tidak boleh dipandang remeh dan formula
penyelesaian harus diimplimentasikan untuk merungkai masalah ini bak kata peribahasa, tak ada
gunung yang tak dapat didaki, tak ada lurah yang tak dapat dituruni.

Setiap penyakit ada penawarnya yang mustajab, setiap masalah ada jalan penyelesaian yang
berkesan, oleh itu,pihak kerajaan sewajarnya mengambil inisiatif dengan menganjurkan kempen
berhemat secara istiqamah dan konsisten ke seluruh pelosok negara dan bukannya
sekadar melepaskan batuk di tangga.Memetik kata-kata azimat Lootze, kehidupan membazir dan
tamak haloba mendorong manusia ke arah kebinasaan.

Lantaran itu, kempen tersebut haruslah menekankan kepentingan amalan berjimat cermat supaya
nilai murni ini dapat dijadikan amalan dalam kehidupan masyarakat Malaysia. Tindakan yang lebih
afdal, masyarakat sewajarnya diseru supaya berbelanja mengikut kemampuan sendiri ibarat
mengukur baju di badan sendiridan usahlah bersikap membesarkan kerak nasi. Cara berbelanja
dengan mengikut hawa nafsu akan membawa padah yang buruk kerana peribahasa Melayu ada
menyatakan, ikut nafsu lesu, ikut hati mati, ikut rasa binasa. Tambahan pula, pihak kerajaan juga
harus mengadakan pertandingan yang dapat menarik penyertaaan khalayak seperti sayembara puisi,
menulis esei, persembahan artis dan sebagainya dalam usaha menyebarluaskan kempen tersebut.
Jelaslah bahawa penganjuran kempen berhemat secara berterusan dan holistik merupakan perisai
yang ampuh untuk merungkai masalah kenaikan harga barangan.

Jika satu pintu tertutup, pintu lain akan terbuka untuk menyelesaikan sebarang kesulitan yang
berlaku di negara kita termasuk isu kenaikan harga barang. Namun begitu. kita tetap melihat dan
kemudiannya menyesal kerana pintu penyelesaian itu tertutup terlalu lama sehingga kita tidak dapat
melihat pintu lain yang telah terbuka. Begitulah gambaran implikasi daripada kata-kata mutiara
Alexander Graham Bell, seorang ahli sains dan matematik Barat yang menunjukkan bahawa setiap
masalah pasti ada cara yang berkesan untuk mengatasinya. Sebagai kesinambungan idea, tindakan
agensi bukan kerajaan atau NGO melindungi hak-hak pengguna daripada kenaikan harga barangan
tanpa kawalan di pasaran merupakan langkah konkrit yang patut dilaksanakan sepanjang masa.
Organisasi atau agensi yang menyokong peranan kerajaan ini seperti Gabungan Persatuan Pengguna
Malaysia atau FOMCA dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang atau CAP, telah mendukung obligasi
untuk melindungi hak para pengguna. Pihak-pihak ini berperanan untuk menerima sebarang aduan
dan menyiasat segala permasalahan yang dihadapi termasuklah masalah kenaikan harga barangan
keperluan, penjualan barangan yang telah luput tarikh, caj perkhidmatan yang melampau dan
sebagainya. Seterusnya FOMCA dan CAP haruslah mengambil tindakan yang sewajarnya untuk
memastikan hak golongan pengguna akan terpelihara dan tidak mudah dieksploitasi oleh peniaga-
peniaga yang licik dan tidak bertanggungjawab. Organisasi-organisasi ini haruslah menjalinkan
hubungan ukhuwah ibarat seikat bak sirih, serumpun bak serai dan kita juga berpegang pada falsafah
Confusius, apakah gunanya sekiranya kita tidur sebantal tetapi mimpi kita lain-lain, lebih baik kita
tidur bantal yang berlainan, tetapi mimpi kita tetap sama. Deduksinya, melindungi hak-hak pengguna
daripada kenaikan harga barangan tanpa kawalan di pasaran merupakan tindakan efektif oleh agensi
bukan kerajaan atau NGO.

Tokoh psikologi Barat pernah mengungkapkan bahawa tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan,
sebaliknya hidup tanpa dibebani masalah adalah kosong. Kata-kata ini memang ada kebenarannya
dan semua rakyat di negara ini perlu berpijak di bumi nyata kerana setiap kemelut yang kita hadapi
mesti ada uslub dan minhaj yang komprehensif. Bertitik tolak daripada manifestasi ini, pihak
berkuasa seharusnya sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-
mana pihak yang menaikkan harga barangan sesuka hati tanpa memperoleh kelulusan daripada
pihak berwajib. Pegawai kerajaan berkaitan juga haruslah memainkan peranan yang penting untuk
mengadakan pemeriksaan secara mengejut ke premis-premis perniagaan dari semasa ke semasa
untuk memastikan para peniaga mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan tidak bersikap
seperti lintah darat. Sementelahan itu, pihak kerajaan juga haruslah melunaskan tanggungjawab
yang terletak di atas pundak mereka untuk menggubal, mengkodifikasikan seterusnya
menguatkuasakan undang-undang secara serius dan telus supaya dapat memberi peringatan kepada
golongan peniaga. Mana-mana peniaga yang cuba menaikkan harga barangan atau memasang lukah
di pergentinganhendaklah didakwa di mahkamah agar kesalahan sebegini tidak berulang ibarat
pisang berbuah dua kali.Oleh itu, usaha pihak berkuasa yang sentiasa membuat pemantauan dan
mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang tidak bertanggungjawab dapat mengekang
masalah kenaikan harga barangan di pasaran.

Lampu Aladdin tidak akan bersinar sendiri, tetapi Aladdin akan menggosoknya terlebih dahulu, persis
ungkapan kata Alex Osborn telah membuktikan bahawa kejayaan semanis madu tidak akan terjana
tanpa curahan usaha yang bersungguh-sungguh kerana peribahasa Melayu ada menyebut, kalau tak
dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Hakikatnya, media massa juga menggalas kewajipan
untuk menyebarluaskan informasi berkaitan ilmu kepenggunaan merupakan prakarsa bagi
menangkis masalah kenaikan harga barang. Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa ilmu
kepenggunaan dalam kalangan masyarakat Malaysia masih kurang meluas dan berada di takuk yang
lama. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya segelintir golongan peniaga yang mengutamakan
keuntungan akan bersikap ibarat menangguk di air keruh, menindas gologan pengguna yang tidak
berdosa. Oleh hal yang sedemikian, media massa haruslah menyumbang tenaga secara optimum
dengan menerapkan pengetahuan berkaitan hak-hak pengguna kepada seluruh strata masyarakat.
Dengan komitmen pihak media massa, pengguna akan mengetahui kaedah yang efisien untuk
menuntut hak mereka daripada dimanipulasikan oleh para peniaga yang durjana. Misalnya, apabila
berlaku kenaikan harga barangan, pengguna akan dapat membuat aduan kepada pihak berwajib dan
agensi bukan kerajaan supaya hak-hak mereka dapat dipertahankan. Melalui penyebaran maklumat
oleh media cetak dan media elektronik, para pengguna termasuk suri rumah tangga akan
memperoleh ilmu kepenggunaan secara total dan bertindak berani kerana benar dalam
memperjuangkan hak mereka seterusnya mengatasi kemelut kenaikan harga barangan di negara ini.

Setelah meniti perbincangan secara panjang lebar, sudah terang lagi bersuluh, segenap lapisan
masyarakat mesti bersama-sama menggembleng tenaga untuk mengekang kenaikan harga barangan
dari peringkat akar umbinya. Sebagai manusia yang kamil dan soleh, kita tidak wajar menadah tangan
ke langit menunggu kejatuhan lampu ajaib Aladdin kerana peribahasa Melayu ada menyatakan, yang
bulat tak datang bergolek, yang pipih tak datang melayang. Oleh itu,semua anggota komuniti
haruslah mendukung semangat habis kapak berganti beliung untuk membendung masalah tersebut.