Anda di halaman 1dari 8

Tajuk : Kesan Kemasukan Pendatang Asing dan Langkah-langkah Mengawal Kemasukan Pendatang

Asing. Karangan Bahagian A. SPM



Saban hari kedatangan pekerja asing ke negara kita semakin meningkat bagaikan
cendawan yang tumbuh selepas hujan. Merujuk kamus, pekerja asing bermaksud tenaga
kerja yang datang dari negara lain seperti Indonesia, Bangladesh, Filipina, Thailand, dan
sebagainya. Negara kita dianggap sebagai lombong emas kerana negara kita mempunyai
banyak peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor pekerjaan seperti sektor pertanian,
perkilangan, pembinaan dan perladangan. Dasar kerajaan yang membuka lebih luas peluang
pelaburan dan memberi layanan serta kemudahan kepada pelabur asing untuk membina
kilang mereka di negara ini turut merancakkan kedatangan mereka lagi. Walupun kehadiran
mereka dapat membantu membangunkan ekonomi negara, namun terdapat beberapa kesan
negatif apabila pekerja asing masuk ke negara kita secara tidak terkawal. Oleh yang
demikian, langkah-langkah pengawalan harus diambil secara berkesan seperti menarik
rambut dalam tepung, rambut tidak terputus manakala tepung tidak berserak memandangkan
hal ini melibatkan hubungan diplomatik antara negara.

Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa kemasukan pekerja asing
menyebabkan peluang pekerjaan penduduk tempatan tersekat berikutan dengan sikap
majikan di negara ini yang gemar mengupah pekerja asing kerana kadar upah mereka jauh
lebih murah berbanding mengupah pekerja-pekerja tempatan yang lebih mahal. Sikap tidak
memilih pekerja haruslah wujud dalam peribadi pekerja tempatan. Jika mentaliti sedemikian
diteruskan tanpa mengubah sebarang persepsi, hidup penduduk tempatan tersepit. Sikap
majikan yang ibarat peribahasa kera di hutan disusui, anak di rumah mati kelaparan akan
memberi impak negatif kepada rakyat tempatan. Buktinya, hampir 2.1 juta rakyat tempatan
hilang peluang pekerjaan dan kadar pengangguran semakin meningkat dalam kalangan
pekerja tempatan.

Sudah terang lagi bersuluh, kemasukan pekerja asing tanpa kawalan menyebabkan
peningkatan kadar jenayah di negara ini. Pelbagai jenayah akan dilakukan oleh pekerja
tempatan berikutan tidak mempunyai gaji yang mencukupi dan tidak mempunyai pekerjaan.
Tambahan pula, kos sara hidup pada era globalisasi ini semakin meningkat sebagai akibat
kemelut ekonomi global. Kejadian pecah rumah, kecurian, rogol, rusuhan, dan lain-lain
mungkin akan berlaku jika tiada sebarang usaha diimplementasikan oleh pihak kerajaan.
Peningkatan kadar jenayah ini juga melibatkan pekerja asing yang masuk ke Malaysia tetapi
tidak mendapat pekerjaan seperti yang diharapkan sedangkan mereka memerlukan wang
untuk meneruskan kelangsungan hidup. Buktinya, mantan Ketua polis Negara ( KPN) Tan
Sri Musa Hassan mengakui pendatang asing yang melebihi 2.4 juta orang di negara ini
menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah.

Di samping itu, kemasukan pekerja asing ini juga turut memberi kesan terhadap
ekonomi negara kita. Pengaliran keluar mata wang negara pada kadar yang banyak pada
setiap bulan bakal merugikan negara dari segi tukaran wang asing dan menguntungkan
negara asal pekerja asing ini. Sistem transaksi canggih di bank-bank negara kita
menyumbang kepada proses pertukaran wang dapat dilakukan dengan mudah dan cepat serta
perkhidmatan yang murah. Menurut statistik, sebanyak RM 9.124 juta telah dihantar ke
negara asal pekerja asing antara bulan Januari hingga Jun setiap tahun. Hal ini akan
membebankan kewangan negara. Bukan itu sahaja, sebanyak RM1.169 juta digunakan sehari
oleh kerajaan sebagai kos untuk penahanan pendatang asing tanpa izin (PATI ) amat
merugikan negara sekali gus mengganggu gugat kerancakan ekonomi di negara kita.

Setiap penyakit ada penawarnya, begitu jugalah setiap masalah mempunyai jalan
penyelesaiannya yang tersendiri. Jika masalah kemasukan pendatang asing ini ditangani
secara efektif, pastinya kadar kemasukan pendatang asing ini mampu dikurangkan. Terdapat
beberapa langkah yang dapat diimplementasikan oleh pihak kerajaan serta majikan. Pihak
majikan khasnya, perlu mengehadkan kebergantungan kepada buruh asing kerana mampu
menimbulkan pelbagai masalah sosial dan keselamatan. Pengambilan pekerja asing dalam
sektor-sektor tertentu hendaklah mengikut sumber negara yang diluluskan kerajaan. Pihak
berkuasa akan mampu memantau kehadiran dan pergerakan warga asing di negara ini.
Dengan mengehadkan penyertaan pekerja asing dalam sektor perladangan dan pembantu
rumah, mudahlah rakyat serta pihak berkuasa mempersoal dan mengambil tindakan segera
ke atas kehadiran rakyat asing yang tiada permit kerja dalam sektor-sektor yang ditetapkan
oleh kerajaan. Jelasnya, pihak ejen dan majikan yang mengambil pekerja asing perlu
memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan sekali gus membuka peluang
pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Seterusnya, penguatkuasaan undang-undang haruslah dilakukan dengan lebih
tegas. Sikap seperti melepaskan batuk di tangga tidak seharusnya diamalkan oleh pihak yang
bertanggungjawab. Hal ini kerana banyak pekerja asing terdiri daripada pendatang haram
yang menyusup masuk dengan menggunakan dokumen palsu. Akta imigresen perlulah lebih
tegas agar pendatang haram ini tidak berani bertindak lebih jauh. Perairan negara juga
haruslah dikawal sepanjang masa untuk mengelakkan mereka menyusup melalui jalan
laut. Jika semua pihak yang berkenaan memainkan tanggungjawab secara berkesan, tidak
mustahil masalah kemasukan pendatang asing dapat diatasi dari akar umbinya.

Tuntas bicara, walaupun kedatangan pekerja asing ini ada kebaikannya namun, pihak
kerajaan haruslah mengkaji segala aspek dari segi ekonomi, politik, dan sosial demi
kesejahteraan dan pembangunan negara kita selaras dengan wawasan 2020. Tanggungjawab
ini bukan sahaja terletak pada bahu pihak kerajaan semata-mata sebaliknya menuntut
kerjasama dan sokongan semua pihak. Sesungguhnya, peribahasa bukit sama didaki, lurah
sama dituruni wajar diamalkan oleh semua pihak waima pihak kerajaan, majikan mahupun
rakyat negara ini yang mempunyai peranannya yang tersendiri. Hal ini sangat penting bagi
memastikan implikasi negatif akibat kemasukan pekerjaan asing secara berleluasa ke negara
kita dapat diatasi melalui pelbagai langkah yang dirancang dan diimplementasikan secara
bijak dan berkesan sekali gus dapat mencapai matlamatnya.

Usaha-usaha mewujudkan perpaduan kaum di Malaysia. Karangan Bahagian B. SPM

Isu perpaduan kaum merupakan satu usaha berterusan yang perlu dipikul dan dijunjung
bersama-sama oleh semua pihak. Sekiranya terlerai ikatan silaturahim dan musnah perpaduan
dalam masyarakat, nescaya pelbagai impak negatif akan menimpa masyarakat khususnya dan
negara amnya. Oleh sebab itu, pelbagai usaha perlu diambil bagi memupuk dan membaja agar
perpaduan terus subur dan mewangi dalam kehidupan masyarakat sekali gus mengelakkan
peristiwa hitam 13 Mei 1969 daripada berulang kembali.

Antara usaha yang boleh dilakukan dalam untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan
masyarakat adalah dengan mengadakan aktiviti gotong-royong. Aktiviti gotong-royong
merupakan saluran dan peluang kepada masyarakat di sesuatu kawasan perumahan untuk
bertemu dan mengenali antara satu sama lain. Di samping itu, aktiviti ini dapat memupuk
semangat bekerjasama untuk membersihkan dan mengindahkan kawasan persekitaran tempat
kediaman mereka sesuai dengan slogan Negara Bersih Rakyat Sihat. Sebagai contoh, aktiviti
gotong-royong yang boleh dijalankan ialah kerja-kerja membersihkan kawasan perumahan,
taman permainan, tanah perkuburan dan sebagainya. Seterusnya, aktiviti gotong-royong dapat
meringankan serta memudahkan kerja yang sukar dilakukan ibarat kata peribahasa yang berat
sama dipikul, yang ringan sama dijinjing serta ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni.

Selain itu itu, perpaduan kaum di Malaysia boleh dicapai dengan meraikan sambutan
perayaan kaum-kaum di Malaysia secara bersama-sama. Melalui amalan kunjung-mengunjung
yang dilakukan akan dapat mengeratkan ikatan silaturahim antara jiran serta rakan daripada
pelbagai kaum. Sebagai contohnya, sambutan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali,
Hari Gawai dan Hari Krismas merupakan perayaan utama yang boleh diraikan oleh seluruh
masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum. Melalui kunjungan sambutan perayaan sesuatu
kaum dapat menerbitkan perasaan hormat-menghormati terhadap adat dan kepercayaan kaum
lain. Di samping itu, budaya ini dapat mengukuhkan perpaduan apabila kurangnya syak
wasangka antara kaum di Malaysia. Sekiranya perkara ini dapat dipraktikkan nescaya
masyarakat Malaysia akan mampu menghadapi apa-apa sahaja cabaran yang datang dari luar
atau masyarakat antarabangsa, ibarat kata peribahasa bulat air kerana pembetung, bulat manusia
kerana muafakat serta bersatu kita teguh, bercerai kita roboh

Seterusnya, aktiviti sukan dan permainan yang dijalankan juga boleh mewujudkan
perpaduan kaum di Malaysia. Sukan dan permainan yang dijalankan dapat dijadikan tali
penghubung atau gelanggang pertemuan pelbagai kaum di Malaysia. Dalam hal ini, satu perkara
yang perlu diselesaikan adalah dengan memecahkan monopoli sukan dan permainan yang
dikuasai oleh sesuatu kaum sahaja seperti permaian bola keranjang, ping pong, sepak takraw dan
sebagainya. Kita berharap pada suatu masa nanti pasukan bola keranjang negara misalnya,
mampu diwakili pelbagai kaum di Malaysia dan bukan sahaja dimonopoli oleh kaum Cina
sahaja. Dalam konteks ini, sukan bola sepak, badminton, hoki dapat dijadikan contoh dan
teladan. Dengan bermain bersama-sama dalam sesuatu sukan dan permainan serta seterusnya
mewakili pasukan kebangsaan di peringkat antarabangsa, akan dapat menanamkan semangat
cinta akan negara. Usaha ini tentu dapat mengharumkan nama negara sekali gus meningkatkan
imej negara di peringkat antarabangsa.

Sebagaimana yang semua telah ketahui tanggal 31 Ogos 1957 merupakan tarikh keramat
kemerdekaan negara. Sambutan Hari Kebangsaan sesungguhnya membuka satu lagi jalan dalam
usaha memupuk perpaduan di Malaysia. Pada kebiasaannya, pelbagai kaum akan menyertai
upacara sambutan tersebut pada setiap tahun. Melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan nescaya
dapat menambahkan ukhwah dan permuafakatan antara masyarakat pelbagai kaum di
Malaysia. Di samping itu, penghayatan tema sambutan Hari Kebangsaan, misalnya Keranamu
Malaysia diharap dapat menanam semangat cinta akan negara sekali gus mengukuhkan amalan
peribahasa di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Sesungguhnya, semua kaum di
Malaysia perlu memahami bahawa kemerdekaan yang digapai pada hari ini perlu dijaga kerana
Malaysia hanya satu, dan tiadak ada duanya. Peribahasa hujan emas di negeri orang, hujan batu
di negeri sendiri, baiklah di negeri sendiri perlu direnungi oleh setiap warganegara Malaysia
agar perpaduan bukanlah menjadi duri dalam daging dalam usaha negara mencapai Wawasan
2020.

Intihanya, semua pihak perlu sedar akan pentingnya memupuk dan menjaga perpaduan
masyarakat di negara kita. Sesungguhnya, sekali kita leka dan lali serta memandang enteng akan
perpaduan kaum, nescaya kita akan menyesal untuk selama-lamanya kerana terlajak perahu
boleh diundur, terlajak kata dan tindakan buruk padahnya. Kini, kita berada dalam era
globalisasi dan liberalisasi. Pelbagai usaha dijalankan adalah demi menuju ke arah membentuk
sebuah masyarakat majmuk yang bersatu padu. Walaupun terdapat beberapa cabaran, tetapi
dengan adanya perancangan yang teliti, usaha yang gigih dan strategi yang lebih berkesan dan
dilaksanakan pula dengan penuh tanggungjawab dan bersifat proaktif oleh semua pihak sudah
pasti keharmonian, perpaduan kaum dan integrasi nasional akan tercapai.
Punca dan langkah mengatasi pembuangan bayi. Karangan Bahagian B. SPM.

Pada zaman era ini, negara kita yang semakin berkembang pesat sama ada dari segi ekonomi ,
politik ataupun sosial yang hendak menuju ke arah wawasan 2020. Namun begitu, di sebalik
kegemilangan ini, masyarakat Malaysia masih dihantui satu penyakit sosial yang sudah menjadi buah
mulut rakyat malaysia iaitu gejala pembuangan bayi.Kes ini boleh dikatakan hampir setiap hari berlaku
dan boleh kita ketahui melalui akhbar harian,majalah,media massa dan radio. Tindakan manusia yang
tidak bertanggungjawab yang telah membuang bayi adalah untuk menyembunyikan perbuatan jahat
mereka. Persoalannya, apakah punca yang telah menyebabkan masalah gejala pembuangan bayi ini
semakin meningkat?

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa kekurangan didikan agama merupakan punca utama dalam
masalah pembuangan bayi ini. Biasanya golongan remaja yang kurang didikan agama merupakan
golongan yang paling banyak menyumbang kepada masalah ini.Tambahan pula,remaja yang kurang
didikan agama akan menyebabkan mereka tiada mempunyai perasaan tentang sikap bertanggungjawab
dan akhirnya sanggup mengorbankan anak yang baru dilahirkan. Selain itu,didikan agama dalam
sahsiah remaja amat penting kerana dapat mengawal sebarang tingkah laku mereka.Dengan adanya
didikan agama, maka remaja akan bertindak secara rasional sebelum melakukan sesuatu malah mereka
akan dapat membezakan sama ada perbuatan itu adalah baik atau buruk. Oleh itu, semua pihak perlulah
bersikap menjaga tepi kain orang di sekeliling dan mengambil berat tentang isu ini supaya negara kita
tidak dianggap sebagai masyarakat yang lemah dari segi agama.

Di samping itu,kepincangan institusi kekeluargaan juga menjadi punca dalam masalah ini. Sikap
ibu bapa yang terlalu materalistik sehingga mengabaikan anak-anak telah menyebabkan anak-anak
mereka berasa kurang kasih sayang dan perhatian daripada ibu bapa mereka.Ibu bapa tidak harus
bersikap bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing dalam mengejar kemewahan
harta malah mereka perlu lebih prihatinkan keadaan anak-anak. Mereka harus meluangkan masa pada
setiap hari untuk berkomunikasi dengan anak-anak agar mereka tidak kehilangan tempat untuk
mengadu.Selain itu,ruang kebebasan yang diberikan terlalu banyak boleh membuka ruang kepada anak-
anak terpengaruh dengan pelbagai gejala sosial di luar rumah. Jadi, ibu bapa memainkan peranan
penting dalam mengatasi gejala pembuangan bayi yang berpunca daripada anak-anak sendiri.

Lain daripada itu, pengaruh rakan sebaya turut menjadi punca membarahnya masalah ini di
negara kita. Hal ini demikian kerana pada usia yang muda, remaja amat mudah dipengaruhi oleh rakan
sebaya mereka. Hal ini bertambah teruk apabila mereka yang darah setampuk pinang usia setahun
jagung ini mula bergaul dengan rakan sebaya yang negatif. Ghalibnya, rakan-rakan yang negatif ini
akan mengajak remaja untuk melakukan perkara di luar batasan agama dan norma maysarakat, misalnya
pergi ke tempat hiburan seperti disko, menghisap dadah dan melakukan pergaulan bebas. Remaja yang
terjerumus dalam gejal-gejala negatif tersebut akan melakukan seks rambang dan akhirnya menemui
jalan buntu apabila mendapati bahawa dirinya mengandung. Dalam keadaan yang terdesak, mereka
terpaksa membuangkan bayi mereka .Hal yang demikian kerana mereka akan berperasaan malu
terhadap masyarakat yang mencaci mereka atas perbuatan mereka.

Sesungguhnya, tiada penyakit yang tiad penawarnya. Oleh yang demikian, langkah yang drastik
dan efisien perlulah diambil untuk mengatasi masalah gejala ini daripada semakin meningkat. Langkah
yang utama hendaklah diambil oleh ibu bapa. Pendidikan agama dan moral harus dititikberatkan oleh
ibu bapa untuk menyedarkan anak-anak tentang dosa dan pahala. Oleh itu, didikan keagamaan
hendaklah dididik dalam jiwa mereka pada setiap masa sebagai panduan yang berguna agar mereka
tidak hidup bertuhankan nafsu. Umumnya, anak-anak ibarat kain putih. Ibu bapalah yang mencorakkan
mereka. Memandangkan ibu bapa merupakan orang yang paling hampir dengan anak-anak, setiap
perlakuan mereka akan mempengaruhi anak-anak mereka. Selain itu, ibu bapa juga hendaklah menjadi
suri teladan kepada anak-anak kerana bapa borek anak rintik. Ibu bapa mestilah memberi didikan agama
yang sempurna kepada anak-anak seawal dan sentiasa mengawasi pergaulan anak-anak mereka. Hal ini
demikian kerana hendak mengelakkan mereka daripada terjebak dengan pergaulan bebas yang
seterusnya boleh membawa mereka terjerumus ke lembah penzinaan.

Bukan sahaja ibu bapa, tanggungjawab untuk mengatasi masalah pembuangan bayi turut
melibatkan pihak kerajaan dan media massa serta masyarakat di negara ini. Pihak berkuasa mestilah
mengadakan kempen-kempen kesedaran untuk membangkitkan kesedaran remaja terhadap isu ini dan
seterusnya dapat menangani masalah ini. Sebagai contoh, kempen Kami Prihatin. Dalam konteks ini,
inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan haruslah berterusan bukannya sekadar melepaskan batuk di
tangga. Di samping itu, peranan media massa dan media cetak amatlah penting bagi menjayakan
kempen-kempen yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa. Peranan media ini penting dalam
menghebahkan dan membuat liputan secara besar-besaran tentang kempen yang dilaksanakan.
Masyarakat juga harus menyokong semua aktiviti yang telah diadakan untuk rakyat Malaysia.

Tuntas bicara, masalah pembuangan bayi tidak seharusnya dipandang enteng. Dalam hal ini
semua pihak haruslah memberikan komitmen yang sepenuhnya. Kita tidak seharusnya meletakkan
tanggungjawab ini kepada satu pihak sahaja sebaliknya kita hendaklah berganding bahu bagai aur
dengan tebing bagi membenteras masalah ini persis mutiara kata, bukit sama didaki, lurah sama
dituruni. Dengan adanya kerjasama yang utuh seikat bagai serai, serumpun bagai sirih, pasti masalah
ini akan dapat ditangani dari akar umbinya sekali gus misi Wawasan Perdana 2057 mampu
direalisasikan mengikut landasan yang betul.

Karangan A : Cara-Cara Untuk Mengelakkan Diri Daripada Masalah Obesiti. SPM.

Belakangan ini, masalah obesiti semakin meningkat dalam kalangan rakyat negara kita. Mengikut
laporan akbar, peratusan rakyat Malaysia yang mempunyai berat badan yang berlebihan ini adalah lebih
tinggi berbanding dengan negara-negara Asia yang lain. Umumnya, obesiti ini mendatangkan pelbagai
keburukan khususnya penampilan diri yang tidak menarik. Bukan itu sahaja, mereka yang mengalami
masalah ini mudah diserang penyakit. Antara penyakit yang sering dikaitkan dengan obesiti ialah
diabetes, darah tinggi dan juga serangan jantung. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang boleh
diambil bagi mengelakkan diri kita daripada masalah ini?

Antara langkah yang boleh diambil bagi mengelakkan diri kita daripada masalah ini adalah dengan
mengamalkan pemakanan seimbang. Kita haruslah mengambil kira keperluan karbohidrat, lemak dan
zat-zat pemakanan yang sesuai dengan peringkat umur. Oleh yang demikian, kita haruslah menjadikan
piramid makanan sebagai panduan dalam pemilihan menu atau jenis makanan agar hidup lebih sihat.
Selain itu, kita juga mestilah makan mengikut waktu secara teratur terutamanya tiga waktu makan yang
utama iaitu sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam. Tambahan pula, Kementerian Kesihatan
Malaysia (KKM) turut menguar-uarkan slogan makan secara sihat, sihat sepanjang hayat bagi
memastikan rakyat mengamalkan pemakanan yang sihat. Hal ini kerana, kita bukan sahaja sihat malah
kehidupan lebih bahagia dan terjamin tanpa penyakit berbahaya sekiranya kita bijak dalam memilih
makanan yang sihat dan seimbang setiap hari.

Langkah yang seterusnya adalah dengan melakukan senaman secara teratur. Kita
perlulah mendisiplinkan diri dan melakukan senaman sekurang-kurangnya selama dua puluh minit
dalam tiga kali seminggu. Aktiviti senaman ini haruslah dijadikan rutin dalam kehidupan kita. Kita tidak
seharusnya menjadikan kesibukan bekerja sebagai alasan untuk tidak bersenam. Tambahan pula, kini
banyak alatan senaman yang mampu dimiliki dan dapat digunakan di rumah. Dengan itu, kita tetap
berpeluang untuk bersenam dan kekal hidup sihat. Jadi, jelaslah bahawa melalui senaman yang teratur
akan dapat membantu kita mengekalkan berat badan yang sihat sekali gus mencegah daripada masalah
kegemukan,malahan kita seperti menyelam sambil minum air kerana dengan bersenam bukan sahaja
badan kita sihat tetapi otak juga lebih cerdas.

Selain daripada menjaga pemakanan dan melakukan senaman yang teratur, kita juga tidak
seharusnya terpedaya dengan produk pelangsingan badan yang kian berlambak dalam pasaran. Pelbagai
produk pelangsingan badan dijual dan diiklankan yang boleh mengaburi mata pengguna. Pengguna
haruslah berhati-hati kerana biasanya kandungan bahan-bahan dalam produk pelangsingan badan boleh
membahayakan kesihatan malah, kebanyakan produk tiada jaminan keselamatan daripada pihak
Kementerian Kesihatan Malaysia. Oleh yang demikian, penggunaan produk ini tidak selamat dan boleh
menimbulkan pelbagai kesan negatif yang boleh menjejaskan kesihatan. Penggunaan produk tersebut
bukannya dapat menguruskan badan sebaliknya mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan. Oleh itu,
kita haruslah mendapatkan nasihat dan pandangan daripada pakar perubatan yang bertauliah sebelum
menggunakan sesuatu produk pelangsingan badan yang ada dalam pasaran.

Konklusinya, kita haruslah sedar bahawa tiada jalan mudah untuk menguruskan dan mengawal berat
badan. Sebaliknya kita perlu mengamalkan gaya hidup sihat, pemakanan seimbang dan senaman dan
melakukan aktiviti fizikal secara aktif. Hal ini kerana, masalah obesiti hanya dapat dielakkan jika setiap
orang berusaha bersungguh-sungguh untuk menjaga kesihatan dan mencapai berat badan yang ideal.
Kita haruslah berpegang kepada falsafah peribahasa mencegah lebih baik daripada mengubati
khususnya dalam memastikan kehidupan yang sihat dan terjamin sepanjang masa.
Kepentingan mempelajari mata pelajaran Sejarah dalam kalangan generasi muda. Karangan
bahagian A. SPM

Pada masa ini, mata pelajaran Sejarah bukanlah suatu mata pelajaran yang asing kepada para
pelajar. Sejak dari tingkatan satu, pelajar sudah mula berkenalan dengan mata pelajaran ini. Tambahan
pula mata pelajaran Sejarah telah diwajibkan lulus bagi semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
mulai tahun 2013. Walau bagaimanapun, terdapat murid yang menunjukkan perasaan tidak puas hati
terhadap pelaksanaan tersebut kerana beranggapan bahawa Sejarah merupakan suatu mata pelajaran
yang susah dan membosankan walhal banyak faedah yang dapat diperoleh melalui pembelajaran mata
pelajaran ini. Persoalannya, apakah kepentingan mempelajari mata pelajaran Sejarah khususnya dalam
kalangan generasi muda?

Dengan mempelajari mata pelajaran Sejarah, generasi muda dapat memperoleh banyak pengajaran.
Hal ini demikian kerana dalam peristiwa-peristiwa sejarah yang dinyatakan mengandungi pelbagai
pengajaran yang tersirat. Sebagai contoh, peristiwa Tanah Melayu dijajah dan ditindas oleh penjajah
British memberi pengajaran kepada generasi muda supaya jangan terlalu mudah mempercayai orang
asing. Orang British digambarkan dengan licik dan jahat pada masa itu kerana sanggup menggunakan
tipu muslihat atau taktik kotor untuk meluaskan kawasan jajahan mereka di tanah air kita. Justeru,
generasi muda perlulah sentiasa ingat akan pengajaran tersebut dan tidak mengulanginya pada masa
akan datang bagi mengelakkan peristiwa yang sama berulang lagi.

Dalam pada itu, perpaduan antara kaum akan dapat dicapai melalui pembelajaran mata pelajaran
Sejarah dalam kalangan generasi muda. Tamsilnya, semasa Tingkatan 3, para pelajar akan mempelajari
peristiwa Tanah Melayu mendapatkan kemerdekaan. Dalam perjuangan tersebut, penduduk Tanah
Melayu yang terdiri daripada pelbagai kaum tanpa mengira warna kulit sanggup mengetepikan
semangat kenegerian demi mendapatkan kemerdekaan bagi tanah air yang tercinta. Mereka telah
bekerjasama bagai aur dengan tebing dan tidak mudah menyerah kalah. Perkara ini cukup membuktikan
bahawa betapa pentingnya semangat perpaduan dalam kalangan rakyat dalam kemajuan negara sekali
gus dalam usaha merealisasikan Wawasan 2020.

Pada masa yang sama, semangat cinta akan negara turut dapat dipupuk dalam diri generasi muda.
Generasi muda seharusnya mengingati jasa dan sumbangan tokoh-tokoh tanah air seperti Tunku Abdul
Rahman. Jasa beliau patut dikenang oleh semua rakyat Malaysia kerana tanpa beliau, tidak mungkin
kita dapat menikmati kemakmuran dan kedamaian di negara kita sendiri. Oleh itu, semangat
nasionalisme dapat dipupuk dalam jiwa generasi muda malah mereka akan sentiasa bersyukur dan
memberi penghargaan terhadap pengorbanan pejuang tanah air terdahulu seterusnya menghindarkan
generasi muda daripada bersikap seperti kacang lupakan kulit.

Secara tuntas, mata pelajaran Sejarah sangat penting bagi generasi muda. Selain itu, banyak faedah
boleh diperoleh melalui mata pelajaran Sejarah. Generasi muda tidak sepatutnya mempunyai anggapan
bahawa Sejarah sesuatu yang sudah lapuk dan ketinggalan zaman. Ibu bapa memainkan peranan penting
dalam memupuk minat anak dalam mata pelajaran Sejarah. Minat tersebut harus dipupuk sejak mereka
kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Namun, kerjasama semua pihak dituntut dalam
usaha memastikan pelaksanaannya mencapai matlamat yang telah ditetapkan kerana sikap seperti enau
dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing hanya mendatangkan kerugian sebaliknya peribahasa
bukit sama didaki lurah sama dituruni wajar dijadikan panduan.