Anda di halaman 1dari 11

KAJIAN KES 1

1.0 SUBJEK

Nama : Fais (bukan nama sebenar)


Jantina : Lelaki
Asal : Kampung Dew, Selinsing, Perak.
Umur : 17 tahun
Bangsa : Melayu
Agama : Islam
Bilangan adik- beradik : 4 orang (anak ke-3)
Pekerjaan bapa : Pemandu lori
Tinggal bersama : Ayah, ibu tiri dan seorang adik
Pencapaian akademik : Sederhana

2.0 KES

Nama Kes
Perlanggaran Displin di Sekolah

Perihal Kes
Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (2002), perlanggaran adalah perihal
melanggar atau perihal menentang perbuatan dan sebagainya atau tidak mematuhi.
Displin pula bermaksud latihan terutamanya pemikiran dan kelakuan supaya boleh
mengawal diri sendiri, tatatertib atau peraturan-peraturan yang ditetapkan untuk melatih
seseorang supaya berkelakuan baik. Manakala sekolah pula menurut Kamus Dewan Edisi
Ketiga (2002) juga ialah tempat untuk belajar dan mengajar, tempat menerima dan
memberi pelajaran.

Konsep permasalahan perlanggaran displin di sekolah umumnya melibatkan


pelajar yang tidak mematuhi peraturan-peraturan di sekolah atau tempat mereka belajar.
Institusi persekolahan adalah tempat mereka menimba ilmu, namun mereka telah
merosakkan latihan kognitif dan tingkah laku mereka dengan melakukan tingkah laku-
tingkah laku delikuen yang merosakkan minat belajar, diri sendiri, harapan keluarga dan
institusi persekolahan. Kebiasaannya permasalahan perlanggaran displin di sekolah
berlaku di dalam sekolah dan sewaktu masa persekolahan. Namun, kemungkinan besar
juga ia dipengaruhi dan melarat di luar kawasan dan waktu persekolahan.

Kajian Kes
Fais (bukan nama sebenar) berasal daripada Kg. Dew, Selinsing, Perak. Fais
merupakan anak ketiga daripada empat orang adik beradiknya yang terdiri daripada lelaki
semuanya. Abang sulung Fais telah pun mendirikan rumah tangga dan tinggal di Kuala
Lumpur manakala abang kedua Fais pula sudah bekerja dan tinggal di Penang. Ibu
kandung Fais telah pun meninggal dunia sewaktu Fais berusia 14 tahun. Maka Fais
tinggal di rumah bersama dengan ayah dan adik lelakinya yang kini berusia 14 tahun.
Ayah pula bekerja sebagai pemandu lori yang menganggkut kelapa sawit dari ladang
menuju ke kilang. Sejak kematian ibu, Fais dan adiknya berdikari dalam menguruskan
hal rumah tangga. Tidak lama kemudian, ayah telah berkahwin dengan seorang
perempuan dan kini dia adalah ibu tiri Fais.

Pada permulaan perkahwinan ayahnya, Fais dan keluarga hidup bahagia namun
setelah 5 bulan berlalu, ibu tiri mula menunjukkan sikap-sikap yang tidak sepatutnya
dilakukan sebagai seorang ibu di mana ibu tirinya telah memukul adik Fais tanpa sebab
yang munasabah. Fais mula berasa tertekan dengan perubahan sikap ibu tirinya yang
selalu memaki hamun dan memukul Fais dan adiknya. Perkara ini Fais diamkan dan tidak
memberitahu kepada ayah mahupun abang. Pada suatu hari, Fais dan adik yang sedang
makan ditendang oleh ibu tirinya secara tiba-tiba kerana tidak mengangkat kain jemuran.
Fais menjadi berang dan terus menampar ibu tirinya kemudian lari bersama adik ke
rumah Tok.

Selama kejadian yang tidak disangka-sangka ini, Fais selalu menumpang manja
dengan Toknya yang sudah tua. Tok pula faham dengan keadaan yang dilalui oleh Fais
dan adiknya. Ibu tiri pula tidak berani datang ke rumah Tok kerana Tok tahu akan
keadaan sebenar. Selepas lari ke rumah Tok yang hanya selang beberapan rumah, Fais
dan adiknya terus tidak pulang ke rumah sehingga pada malam itu ayahnya datang dan
menjemput mereka. Sampai di rumah Fais dan adiknya dipukul oleh ayah kerana berani
menampar ibu tirinya. Ibu tiri pula berlakon di depan ayah dengan menangis kononnya
tidak sangka akan dilayan begini oleh anak-anak.

Fais cuba menyatakan keadaan sebenar tetapi ayah pula tidak percaya dan
menuduh Fais suka menabur fitnah kepada ibu tirinya. Selepas kejadian itu, Fais berasa
sangat geram dan tidak mahu lagi bercakap dengan ayahnya. Fais amat kecewa kerana
ayahnya lebih mempercayai ibu tirinya daripada anak sendiri. Fais sentiasa merindui
ibunya dan keadaan ini menyebabkan Fais berasa sangat sedih dan tertekan kerana
dirinya seperti tidak diperlukan oleh ayah lagi. Selain itu, Fais juga telah mengetahui
ayahnya mengedar dadah sejak akhir-akhir ini kerana Fais sering terdengar ayah dan ibu
tirinya berkelahi kerana ayah mengedar dadah. Ibu tirinya juga pernah meninggalkan
rumah selama sebulan kerana lari bersama dengan lelaki lain.

Baru-baru ini pula Tok yang disayangi telah pergi mengadap Illahi kerana terlibat
dengan kemalangan langgar lari. Fais seakan-akan hilang tempat untuk bermanja namun
meredhakan pemergian Tok. Selang seminggu ayahnya pula ditangkap oleh polis setelah
menjumpai dadah di rumahnya. Fais bertambah tertekan lagi kerana ayah yang
sepatutnya menjaga Fais sekeluarga ditangkap pula oleh polis atas kesalahannya sendiri.
Fais semakin tertekan dan hilang arah tujuan. Di manakah dia mahu menumpang kasih
dan tempat untuk dia meluahkan perasaannya. Abang-abang Fais pula seakan-akan tidak
mempedulikan dirinya dan adik kerana masing-masing malu untuk pulang ke kampung.

Di sekolah, Fais diejek oleh rakan-rakan dan ada rakan-rakan mengata tentang
keburukan ayahnya. Fais semakin tertekan dan malu dengan rakan-rakan yang tahu
perihal keluarganya. Sejak kejadian itu, Fais mula memberontak dengan melakukan
pelbagai masalah displin seperti ponteng kelas, mengganggu rakan-rakan di kelas,
merosakkan harta benda sekolah, berpakaian selekeh, tidak mengikut peraturan
pemakaian sekolah, tidak menyiapkan tugasan sekolah dan sebagainya. Guru-guru pula
sering memandang Fais secara negatif dan paling Fais sedih apabila ada suara-suara yang
mengatakan Fais mengambil dadah seperti ayah sedangkan dia tidak pernah menyentuh
pun benda haram itu. Keadaan ini telah mengeruhkan lagi keadaan Fais. Fais berjumpa
dengan kaunselor sekolah atas kesedarannya dan dia berasa perlu berkongsi masalahnya
dengan seseorang yang boleh dipercayai.

3.0 ANALISIS KES SECARA TEORITIKAL

Teori Yang Dipilih


Teori Gestalt

Rasional Teori Dipilih


Teori ini dipilih adalah kerana teori ini memberi penekanan terhadap isu-isu yang
berkaitan dengan manusia secara holistik. Manusia dilihat mempunyai satu kompasisi
yang terdiri daripada bahagian-bahagian yang saling berhubungkait di antara satu sama
lain seperti perasaan, fikiran dan tingkah laku yang saling berinteraksi dan bergerak
secara aktif, bukan secara berasingan dan compartmental. Teori ini berpendapat bahawa
manusia sebenarnya lengkap dan berkemampuan untuk menyesuaikan diri dengan apa
yang berlaku pada mereka. Apa yang mereka alami adalah akibat daripada matlamat dan
tujuan diri sendiri. Dengan itu manusia boleh mengendalikan tanggungjawab peribadinya
sebagai manusia yang berguna, personaliti yang sihat yang lahir daripada pengalaman
hidup yang bermakna. Pendekatan ini telah menekankan kepada situasi semasa dan
menikmati sepenuhnya apa yang ada.

Kaunselor Gestalt berpendapat manusia sebenarnya lengkap dan berkemampuan


menyesuaikan diri dengan apa yang berlaku kepadanya. Manusia boleh mengendalikan
tanggungjawab peribadinya dan hidup sebagai manusia yang berguna. Antara perkara-
perkara penting ialah:
• Hidup sekarang, fokus pada sekarang.
• Nyatakan dan bukan cuba beri alasan.
• Cuba alami perasaan yang menyakitkan seperti juga apabila kita
mengalami keseronokkan.
• Pikullah tanggungjawab terhadap tindakan perasaan dan pemikiran
sendiri.
• Terima diri anda yang sebenar.

Melalui terapi Gestalt, seseorang individu boleh mengalami dengan sebenar-


benarnya perasaan dan tidak sekadar bercakap mengenainya sahaja. Terapi ini
mempunyai pelbagai teknik untuk mencapai matlamat bagi menambahkan kesedaran
mengenai diri individu. Terapi Gestalt juga mengkaji masa lampau individu dengan cara
yang menarik dan mengiktirafkan kepentingannya. Dengan cara ini seseorang individu
akan menjadi lebih sedar akan perasaannya dan berupaya untuk hidup sepenuhnya
dengan cara mengatasi semua perasaan masa lampau yang telah menghalang
kemajuannya.

Bagaimana Kes Timbul Berdasarkan Teori


Seperti di dalam kajian kes ini, Fais sangat tertekan dengan keadaan dan
pengalaman hidupnya yang dirasakan sangat tidak membantu dirinya untuk berjalan.
Malah Fais telah memilih untuk bertindak agresif untuk menunjukkan keadaan
pergolakkan yang dihadapinya. Fais yang telah memilih untuk bertingkah laku delikuen
dan melakukan pelbagai masalah displin. Di dalam teori Gestalt telah dinyatakan manusia
sebenarnya lengkap dan berkemampuan untuk menyesuaikan diri dengan apa yang
berlaku pada mereka. Oleh itu, Fais boleh menyesuaikan diri dengan keadaan yang
dihadapinya dan Fais juga mampu membantu dirinya serta mengambil peluang yang ada
dengan sebaik yang mungkin. Fais juga boleh mengendalikan masalah dirinya sendiri
dengan berkesan sekiranya Fais sedar apa yang berlaku di sekelilingnya.
Matlamat Terapi
Matlamat Teori Gestalt adalah bertujuan untuk mewujudkan kesedaran yang
tinggi dalam diri individu kepada realiti dunia hari ini yang bersifat di sini dan sekarang
(here and now). Secara umumnya, terapi Gestalt ini memberi kesedaran kepada individu
bahawa mereka mempunyai tanggungjawab yang tersendiri. Teori ini juga membuat
individu supaya akan lebih berdikari, tidak bergantung kepada orang lain dan
menyedarkan mereka bahawa mereka mampu melakukan perkara-perkara yang jauh lebih
baik daripada apa yang disangkakan mereka sendiri. Ianya juga membantu individu lebih
mengenali diri sendiri dengan lebih mendalam tanpa perlu berusaha untuk menyesuaikan
diri dengan persekitaran atau dengan kata lain perkataan tidak perlu mengikut atau
menyesuaikan diri mereka dengan masyarakat tersebut.

Perls pula berpendapat bahawa setiap manusia mempunyai banyak potensi tetapi
disebabkan halangan yang banyak dalam hidupnya maka ia tidak berjaya mengalami
hidupnya dengan sempurna. Oleh itu melalui terapi ini, individu akan cuba dibantu agar
dia dapat mengalami dan merasai nikmat hidupnya dengan lebih sempurna. Terapi ini
juga membantu individu agar dapat merasai dan menyedari segala perasaan dan
pengalaman mereka masing-masing. Hanya dengan merasa dan menyedari perasaan dan
pengalamannya maka seseorang itu akan berusaha ke arah mengubah personaliti dan diri
mereka.

Teknik Yang Digunakan


• Kerusi Kosong
Terapi Gestalt membuat andaian bahawa sesuatu konflik yang wujud di dalam
diri seseorang individu itu adalah hasil daripada pertikaian di antara Top Dog
dengan Under Dog iaitu dua bentuk fungsi yang wujud dalam personaliti.

Top Dog merupakan unsur yang menekankan kedudukan autoritarian,


moralistik, mendesak dan sebagainya. Ia mengandungi unsur ibu bapa yang sering
mengkritik dan yang selalu menekan perkataan ‘patut’ dan ‘harus’.
Under Dog pula merupakan unsur yang meyoal mangsa di dalam sesuatu
keadaan dan kerana peranan yang dimainkannya, ia sering bersikap membela diri,
selalu meminta maaf, tidak berdaya dan lemah. Ia sering memberi alasan-alasan
bagi kelemahan-kelemahan dirinya dan peranannya. Bagi menyelesaikan masalah
Fais, teknik berdialog dengan menggunakan pendekatan kerusi kosong telah
digunakan.

Fais sering merasakan dirinya tidak mendapat kasih sayang daripada


ayahnya dan Fais juga enggan bercakap dengan ayahnya setelah sekian lama.
Oleh itu saya meminta Fais cuba bayangkan saya menjadi ayah dan meminta Fais
bercakap dengan ayahnya. Apa sahaja yang ingin diluahkan oleh Fais, Fais boleh
luahkan melalui pendekatan ini. Pada permulaan, saya membiarkan Fais bercakap
dengan kerusi kosong yang diletakkan di hadapannya. Kemudian setelah Fais
bercakap dengan lancar, saya duduk di kerusi kosong tersebut dan meminta Fais
supaya menganggap saya adalah ayah yang akan mendengar luahan Fais. Fais
kemudiannya meluahkan isi hatinya yang terbuku sepuas-puasnya. Saya akan
menjawab segala persoalan Fais dengan jawapan positif.

4.0 TINDAKAN KAUNSELOR

Saya telah meneroka Fais sebaik mungkin bagi mengenalpasti masalah sebenar
Fais. Masalah Fais ini berpunca daripada persekitarannya iaitu faktor keluarga, rakan-
rakan dan juga sikap sesetengah pihak yang melabel Fais dengan label yang tidak
membina. Namun dalam kes ini saya memfokuskan Fais kepada faktor keluarganya di
mana Fais mempunyai masalah perhubungan dengan ayahnya yang kini berada di
penjara.

Sewaktu penerokaan saya telah mengaplikasikan pelbagai kemahiran dalam


menggunakan teknik kerusi kosong seperti kemahiran soalan terbuka dan soalan tertutup,
dorongan minima, parafrasa, refleksi, merumus, konfrantasi, mentafsir mendengar,
memimpin dan memfokus. Kesemua kemahiran ini saya aplikasikan sebaik yang
mungkin bagi memahami diri dan situasinya, mengenalpasti keperluannya termasuk
harapan, cita-cita serta matlamat hidupnya, membuat rancangan untuk tindakan dan
menjadi individu yang berfungsi dengan sepenuhnya.

Saya juga memfokuskan kepada pergerakan badannya atau non verbal klien.
komunikasi non verbal merupakan sistem komunikasi secara menyeluruh yang
bergantung kepad alisan dan tanpa lisan. Komunikasi non verbal dapat memberi lebih
banyak maklumat berbanding dengan komunikasi verbal di mana pergerakan badan
adalah lebih tulen maklumatnya. Saya memfokuskan kepada pergerakan badan, aktiviti
tangan, kaki dan juga kedudukan badan. Saya dapat melihat Fais meluahkan perasaan
kecewanya apabila nafasnya pendek, menghuraikan rambutnya sambil menunduk dan
menggosok belakang leher. Oleh kerana itu saya lebih memfokuskan kepada komunikasi
non verbal Fais. Saya akan bertanya kepada dia jika dia tidak nampak selesa dan apabila
luahannya tidak selaras dengan pergerakan yang dilakukannya. Melalui pemerhatian ini
saya akan dapat menilai sejauh mana luahan itu telus dari Fais sendiri.

5.0 IMPLIKASI

Sesi ini berjaya membawa Fais kepada mengetahui apakah matlamat hidupnya
dan bagaimana Fais harus bertindak. Setelah melalui sebanyak empat sesi, Fais berasa
tahu ke mana dan di manakah arah tujuannya. Fais juga tahu apakah tanggungjawabnya
sebagai seorang pelajar dan apakah tanggungjawabnya sebagai seorang anak dan juga
abang kepada adik. Sebagai seorang pelajar Fais seharusnya mematuhi undang-undang
sekolah dan tidak wajar melepaskan tekanan yang dihadapinya kepada sekolah.
Tambahan pula Fais bakal menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini. Tindakan tanpa
berfikir yang dilakukannya hanya akan mendatangkan kesan buruk ke atas diri dan juga
orang lain. Fais juga perlu menunjukkan teladan yang baik kepada adiknya yang kini baru
sahaja berada di tingkatan 2. Fais juga menyatakan bahawa dia tidak wajar melawan ibu
tirinya dan juga tidak bercakap dengan ayah kerana apabila dia tidak bercakap dengan
ayah, segala masalahnya tidak akan selesai dan ayah juga tidak akan tahu apakah masalah
sebenar Fais.

Melalui teknik kerusi kosong, Fais telah berpeluang belajar bagaimana untuk
meluahkan perasaannya kepada ayah memandangkan selama ini Fais tidak pernah
memberitahu kepada ayah akan masalahnya. Apabila Fais menjalani teknik kerusi
kosong, sekurang-kurangnya Fais sudah dapat merasai apakah reaksi yang akan
diterimanya nanti dan adakah ucapannya itu sesuai untuk diluahkan kepada ayah. Teknik
kerusi kosong ini sekurang-kurangnya dapat membantu Fais meluahkan perasaannya.

Masalah Fais ini boleh diatasi dengan menggunakan kesemua kemahiran


kaunseling yang telah dipelajari. Kemahiran mendengar secara aktif amat penting bagi
seorang kaunselor yang mahu menyelami perasaan klien. Selain itu dengan adanya
dorongan minima, reflrksi, parafrasa, rumusan dan soalan-soalan terbuka dan tertutup
yang diaplikasikan akan melancarkan lagi perjalanan sesebuah sesi kaunseling itu.

6.0 REFLEKSI

Kekuatan
Terapi Gestalt ini merupakan suatu pendekatan yang bertujuan untuk membantu
klien bagi membentuk personaliti baru yang lebih baik dan bertanggungjawab terhadap
dirinya. Contohnya Fais sendiri disedarkan akan tanggungjawabnya sebagai seorang
pelajar dan Fais juga bersetuju untuk merubah personalitinya kepada yang lebih baik.
Fais juga sedar akan tanggungjawabnya memberikan contoh yang terbaik kepada adiknya
agar perkara yang terjadi kepada ayahnya tidak berulang lagi.

Terapi ini memberikan penekanan terhadap penggunaan pendekatan eksistensial


atau fenomenologi yang meletakkan bahawa manusia perlu mencari jalan dalam
hidupnya dan bertanggungjawab pada dirinya sendiri sekiranya dia mahu mencapai
kematangan. Melalui kesedaran manusia memperolehi kefahaman diri dan pengetahuan
untuk membantunya berubah.

Kelemahan
Semasa melakukan sesi kaunseling menggunakan teori ini, saya dapat
mengenalpasti beberapa kekuatan dan kelemahan di dalam mengaplikasikannya. Antara
kelemahan yang terdapat di dalam mengaplikasikan teori ini ialah kecenderungan
kaunselor untuk lebih bersifat manipulasi dan mengawal adalah tinggi di mana saya
sebagai kaunselor akan banyak mengarah Fais untuk melakukan sesuatu seperti apabila
Fais enggan bercakap dengan kerusi kosong saya terpaksa meminta Fais melakukannya
juga dan merasai kesannya. Teori ini mempunyai kecenderungan mengenepikan unsur
logikal, kognitif dan merendahkan faktor intelektual dalam personaliti. Ini berlaku
apabila Fais merasakan dirinya seakan-akan orang gila apabila bercakap dengan kerusi
kosong.

Apabila Fais enggan bercakap dengan kerusi kosong saya terpaksa menyatakan
sesuatu bagi membuatkan Fais percaya bercakap dengan kerusi kosong dia akan dapat
merasai situasi yang sebenar. Keadaan ini membuatkan saya sebagai seorang kaunselor
terpaksa bersedia berhadapan dengan pelbagai soalan-soalan yang menguji saya untuk
menjawab soalannya dengan baik.

7.0 CADANGAN

Saya mencadangkan supaya ilmu kaunseling ini diterapkan kepada semua pelajar
dan guru-guru di sekolah agar mereka semua dapat memahami diri sendiri dan manusia
di sekelilingnya dengan lebih baik. Selain itu agar warga sekolah dapat memperbaiki
kelemahan dan mengasah lagi kekuatan diri yang ada. Melalui ilmu kaunseling juga
mereka akan dapat ilmu bagaimana untuk mengatasi masalah mereka sendiri dengan
lebih baik dan tidak memudaratkan individu yang signifikan. Ini amat penting sebagai
asas dalam menjalani kehidupan seharian.
Unit Bimbingan dan Kaunseling pula berperanan mengukuhkan lagi ilmu yang
ada dengan mengadakan seminar, lawatan, bengkel, Latihan Dalam Kumpulan (LDK),
sesi kelompok, sesi individu, kem, program dan ceramah kepada semua warga sekolah.
Dengan itu semua akan mendapat manfaat dan dapat berkongsi ilmu kaunseling secara
bersama-sama dan mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian dengan lebih baik.

Cadangan ini diutarakan kerana melalui pengalaman saya menjalani praktikum


dan Rancangan Orientasi Sekolah (ROS) sebanyak dua kali, majoriti warga sekolah tidak
tahu akan kepentingan ilmu kaunseling dan juga timbul salah faham antara guru-guru
dengan guru pembimbing sekolah. Guru-guru menganggap guru pembimbing sekolah
umpama malaikat yang ‘sepatutnya’ dapat menyelesaikan masalah pelajar-pelajar di
sekolah. Untuk melahirkan sekolah yang cemerlang bukanlah bergantung semata-mata
kepada guru pembimbing tetapi adalah di atas peranan semua pihak. Jika semua warga
sekolah menjalankan tanggungjawan mereka dengan cekal dan amanah, pastinya sekolah
cemerlang akan dapat dilahirkan dengan banyak. Dengan itu, untuk menjayakan dan
memantapkan sesebuah sekolah, bukanlah perlu diusahakan oleh guru pembimbing
sekolah sahaja tetapi atas kesedaran semua pihak.

8.0 PENUTUP

Sebagai penutup, saya merasakan kes seperti ini boleh di atasi dengan baik melalui
tindakan bijak kaunselor. Kaunselor yang memainkan peranannya dengan baik dan
mengaplikasikan segala kemahirannya dengan baik akan dapat menjalankan sebuah sesi
kaunseling yang baik dan berjaya.

Tandatangan,

.............................................................
(NUR LIYANA BINTI MOHAMED JOHAN)
(D20021010330)