Anda di halaman 1dari 1

1.

Kita sering didedahkan dengan perbuatan sumbang seperti salah laku seks, pelacuran,
rogol, pergaulan bebas serta budaya lepak dalam kalangan masyarakat kita. Apa yang
menyedihkan, salah laku seumpama ini melibatkan golangan remaja yang masih di
bangku sekolah. Pada pandangan anda, bagaimanakah golongan remaja dapat
mengelakkan diri daripada terlibat dalam masalah seumpama ini?

Saban hari, kita sering disogokkan dengan berita-berita mahupun isu-isu semasa
mengenai remaja kini yang terlibat dengan pelbagai perbuatan sumbang seperti salah laku
seks, pelacuran, rogol, pergaulan bebas serta budaya lepak. Dapat dilihat dengan jelas bahawa
kebejatan akhlak dalam kalangan remaja seolah-olah semakin sukar dibendung lagi. Oleh itu,
remaja perlulah ada kesedaran agar tidak terjebak dengan anasir-anasir yang tidak sihat.
Bagi mengelakkan golongan remaja daripada terlibat dalam masalah seumpama ini,
remaja haruslah dilengkapkan dengan ilmu keagamaan secukupnya. Setiap agama
menggariskan para penganutnya, untuk mendekati kebaikan dan menjauhi kejahatan. Remaja
perlu bertindak bijak untuk tahu apa yang dilarang dan dibenarkan dalam agama masing-
masing. Apabila golongan remaja mematuhi segala suruhan-Nya, secara automatik remaja
akan tahu membataskan diri dalam pergaulan dan gaya hidup seharian mereka. Oleh yang
demikian, para remaja haruslah mengamalkan nilai kepercayaan kepada Tuhan.
Selain itu, remaja juga hendaklah mengamalkan nilai rasional agar mampu mengelakkan
diri dalam gejala-gejala negatif remaja masa kini. Golongan remaja mestilah boleh memilih
rakan sebaya yang baik bagi manfaat bersama. Seperti yang kita sedia maklum, remaja lebih
banyak menghabiskan masa dengan rakan sebaya mereka. Keadaan ini akan turut
mempengaruhi cara hidup mereka. Oleh itu, remaja perlu dapat mengambil tindakan wajar
dengam memilih rakan sebaya yang sesuai. Sekiranya seseorang remaja tersebut memilih
untuk bergaul dengan individu yang suka melepak, maka tidak mustahillah remaja itu sendiri
akan turut terlibat sama.
Di samping itu, para remaja juga mestilah mendisiplinkan diri serta mematuhi peraturan
yang ditetapkan. Dalam erti kata lain, remaja perlulah mengamalkan nilai amanah dalam diri
masing-masing. Memang tidak dapat dinafikan, bahawa remaja kini memang penuh dengan
naluri ingin mencuba. Jiwa remaja juga cepat mahu memberontak jika mereka sering kali
dikongkong. Hal ini mampu diatasi jika para remaja mempunyai sikap bertanggungjawab
untuk mendisiplinkan diri dan belajar mematuhi setiap peraturan atau larangan yang telah
ditetapkan sama ada di sekolah, di asrama, mahupun di rumah. Jika remaja mampu
megendalikan amanah tersebut dengan baik, maka mereka mampu membentuk diri supaya
boleh menimbulkan keyakinan orang lain terhadap diri remaja kini.
Kesimpulannya, remaja itu sendiri yang harus bertanggungjawab ke atas dirinya. Bak
kata perpatah, tepuk dada, tanya selera. Remaja perlu bijak berfikir untuk masa depan
mereka dan bukan sekadar menginginkan keseronokan sementara semata-mata.