Anda di halaman 1dari 1

4. Bincangkan sebab-sebab murid sekolah perlu mematuhi peraturan.

Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang lembu menguak, bertepatan


dengan pernyataan bahawa seseorang itu terutamanya seorang pelajar hendaklah sentiasa
mematuhi peraturan walau di mana berada. Mematuhi peraturan sememangnya dapat
membentuk generasi yang lebih sihat dalam kalangan masyarakat. Sekiranya murid-murid
tidak mematuhi peraturan, banyak kesan negatif yang akan berlaku. Antaranya ialah kes
gaduh, mencuri, tidak berpakaian kemas dan sebagainya. Gejala ini akan menular kepada
murid-murid lain dan seterusnya akan melahirkan generasi yang tidak berakhlak.

Peraturan diadakan bukannya untuk menyusahkan murid-murid tetapi bertujuan
untuk memastikan segala aktiviti dan kegiatan harian dapat berjalan lancar tanpa gangguan.
Jika peraturan yang disediakan tidak dipatuhi, maka segala-galanya akan menjadi kelam-
kabut dan seterusnya suasana yang tidak tenteram akan wujud. Akhirnya masyarakat akan
berdepan dengan golongan yang membawakan kerosakan kepada mereka.

Murid-murid yang mematuhi peraturan dapat memantapkan disiplin mereka,
sekaligus kejadian-kejadian yang tidak diingini tidak akan berlaku. Mereka yang mematuhi
peraturan akan lebih mudah memberikan tumpuan dalam pelajaran kerana mampu belajar
dalam suasana yang lebih selesa. Kesannya, mereka akan berjaya dalam peperiksaan dan
membentuk insan yang berilmu. Para pelajar hendaklah mengamalkan nilai mematuhi
peraturan dan undang-undang untuk melahirkan golongan pelajar yang cemerlang pada masa
yang akan datang. Contohnya, seorang pelajar yang menerima peraturan yang ditetapkan
mampu mengelakkan diri daripada melakukan jenayah.


Nilai harga diri boleh disemai dalam diri pelajar jika mereka mematuhi peraturan.
Umpamanya, peraturan boleh memupuk sikap mulia dalam kalangan pelajar. Selain itu,
peraturan dapat mewujudkan sikap sayang-menyayangi, bertolak ansur serta dapat
menghindarkan sikap negatif dalam diri pelajar dan menjaga maruah diri pelajar. Dengan ini,
para pelajar mampu memuliakan maruah diri mereka.

Malahan peraturan sekolah juga dapat memupuk keinginan untuk bersaing secara
sihat serta mematangkan pelajar itu sendiri. Peningkatan imej sekolah sebagai sekolah yang
berdisiplin juga mampu tercapai jika para pelajar mematuhi peraturan sekolah yang
ditetapkan. Setiap murid mestilah mempunyai sikap bertanggungjawab terhadap imej sekolah.
Oleh itu, nilai amanah hendaklah dipupuk dalam diri pelajar agar boleh menimbulkan
keyakinan warga sekolah terhadap para pelajar dalam usaha meningkatkan disiplin sekolah.

Jelaslah bahawa pelajar perlu mematuhi peraturan sekolah bagi mewujudkan
masyarakat yang seimbang dari segi jasmani, emosi , rohani, intelek dan hubungan sosial
mereka. Justeru, setiap murid perlulah mematuhi yang ditetapkan agar dapat menjadi insan
yang berguna dan lebih berdisiplin.