Anda di halaman 1dari 4

Kerangka Karangan - Faedah Berkebun/Bercucuk tanam di Rumah

Pendahuluan
berkebun - bertani mengusahakan tanah - banyak faedah/kebaikan

Isi-isi
Tanah atau kawasan lapang di sekitar rumah boleh dimanfaatkan untuk berkebun.
Dengan itu, kawasan tersebut tidak akan terbiar begitu sahaja.
Berkebun boleh dijadikan aktiviti mengisi masa lapang atau terluang - hobi yang
bermanfaat - masa digunakan sebaiknya.
Berkebun dapat menjimatkan perbelanjaan harian kerana hasil tanaman seperti sayur-
sayuran tidak perlu dibeli - seisi keluarga akan dapat menikmati hasil tanaman yang segar
dan berkhasiat bebas dari bahan kimia berlebihan yang boleh menjejaskan kesihatan.
Sekiranya berkebun dilakukan bersama ahli keluarga, ini dapat mengeratkan lagi
hubungan kekeluargaan - meluangkan masa berkualiti bersama keluarga - dekat dengan
alam sekitar
Berkebun mengeluarkan peluh dan boleh dianggap sebagai aktiviti senaman yang boleh
menyihatkan badan.
Menanam tumbuhan hiasan seperti pokok bunga dapat mencantikkan lagi kawasan
persekitaran rumah.

Penutup
berbakti pada tanah - boleh mendatangkan hasil yang lumayan - kita sendiri yang akan
menikmati ganjarannya




Beri pendapat anda tentang faedah bercucuk tanam di sekitar kawasan rumah.

Isu kekurangan bekalan makanan dan kenaikan harga barang kini menjadi isu yang hangat
dibincangkan dalam kalangan masyarakat. Salah satu jalan penyelesaian terhadap masalah ini adalah
dengan menjalankan aktiviti bercucuk tanam. Kerajaan sentiasa menggalakkan masyarakat bercucuk
tanam di sekitar kawasan rumah. Antara tanaman yang boleh diusahakan termasuklah cili, serai dan
sayur-sayuran seperti kacang panjang, terung dan sawi. Hakikatnya, banyak faedah yang diperoleh
daripada aktiviti sedemikian.
Salah satu faedah bercucuk tanam ialah penjimatan kos perbelanjaan keluarga. Jika sesebuah rumah
terletak jauh dari pasar atau dari kedai runcit, pasti kos perbelanjaan terpaksa ditambah kerana perlu
mengira kos perjalanan. Harga barang keperluan yang sentiasa meningkat turut membebankan keluarga
yang berpendapatan rendah. Apabila bercucuk tanam di sekitar kawasan rumah, suri rumah tidak perlu
kerap ke pasar untuk membeli sayur-sayuran. Pada waktu yang sama, langkah berjimat cermat dalam
perbelanjaan dapat diambil bagi menjamin kesejahteraan hidup. Hal ini bertepatan dengan peribahasa,
beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis.
Selain itu, aktiviti bercucuk tanam dapat mengelakkan tanah daripada terbiar. Seperti yang
dimaklumi, tanah yang terbiar selalunya didiami oleh haiwan berbisa seperti ular dan kala jengking.
Dengan bercucuk tanam, haiwan berkenaan tidak berpeluang berkeliaran atau membiak, sekali gus
keselamatan ahli keluarga tidak terancam. Apabila sekitar kawasan rumah dibersihkan dan ditanam
dengan pelbagai tanaman hijau, sudah semestinya menyegarkan setiap mata yang memandang. Hal ini
menggambarkan kerajinan tuan rumah dan akan mendorong orang lain supaya bercucuk tanam.
Bercucuk tanam di sekitar kawasan rumah juga dapat dijadikan aktiviti berfaedah bagi mengisi masa
senggang. Pada waktu yang sama, aktiviti ini dapat menyihatkan tubuh badan seseorang. Ibu bapa yang
bercucuk tanam bersama-sama dengan anak-anak dapat menambahkan kemesraan sesama ahli
keluarga dan dapat mengelakkan anak-anak daripada terlibat dengan aktiviti yang tidak sihat seperti
melepak tanpa arah, vandalisme dan lumba haram. Ibu bapa juga dapat mengawasi pergerakan anak-
anak mereka.
Amalan kerjasama dalam kalangan ahli keluarga juga dapat diterapkan melalui aktiviti bercucuk tanam
ini. Jika aktiviti dilakukan bersama-sama dengan anak-anak, pengagihan kerja biasanya dilakukan agar
tanaman hidup subur dan mengeluarkan hasil yang banyak. Mereka juga perlu memastikan tanaman
tidak dirosakkan oleh serangga perosak. Lebih bermakna lagi, persefahaman antara ahli keluarga dapat
dibentuk dan nilai kekeluargaan bertambah kukuh.
Sebagai kesimpulan, sudah terang lagi bersuluh bahawa aktiviti bercucuk tanam di sekitar kawasan
rumah banyak mendatangkan faedah. Oleh hal yang demikian, jika saranan ini diaksanakan oleh setiap
anggota masyarakat, maka masalah kekurangan bekalan makanan dapat diatasi. Sesungguhnya, benar
kata orang tua-tua dahulu, berbudi kepada tanah, lambat-laun akan mendatangkan kebaikan kepada
kita.


KEPENTINGAN SEKTOR PERTANIAN KEPADA NEGARA
Berdasarkan rajah di bawah, berikan pendapat anda tentang kepentingan sektor pertanian
kepada negara. Panjangnya karangan anda antara 200 hingga 250 patah perkataan.


KEPENTI NGAN SEKTOR PERTANI AN


1. Memastikan bekalan makanan mencukupi

2. Menyediakan peluang pekerjaan

3. Menjana pendapatan negara dan masyarakat


...........Sektor pertanian pernah menjana pendapatan penting kepada negara sebelum kebangkitan
era kegemilangan perindustrian yang dibawa oleh arus pemerintahan Tun Dr Mahadhir
Mohamed melalui Dasar Perindustrian. Sebelum tampuk pemerintahan bertukar tangan,
Malaysia mengerjakan pelbagai tanaman komersial seperti padi sawah, kelapa sawit, lada hitam
dan nanas. Walaupun begitu, kepentingannya tidaklah diabaikan sepenuhnya kerana beliau telah
melancarkan Dasar Pertanian Negara yang sebenarnya menjadi garis panduan kepada
pembangunan sektor ini. Persoalannya, apakah kepentingan sektor pertanian kepada negara
sehingga mendesak kerajaan memajukannya?


...........Kepentingan perdana sektor ini adalah untuk menjadi sekuriti bekalan makanan yang
cukup kepada masyarakat. Malaysia antara negara yang menjadikan beras sebagai makanan ruji.
Oleh hal yang demikian, kerajaan berusaha menghasilkan padi dua kali setahun untuk
menampung permintaan masyarakat, selain berusaha mengurangkan import beras dari Thailand.
Realitinya, kerajaan mahu mengurangkan kebergantungan kepada negara luar, memandangkan
padi sawah boleh ditanam di negara ini. Maka, tidak menghairankan apabila kerajaan telah
berusaha bagai air mencari jenisnya supaya padi dapat ditanam lima kali setahun sejak tahun ini.
Tambahan pula, kadar pertumbuhan penduduk negara kita yang semakin pesat mendesak sektor
ini tidak boleh dipandang enteng.


...........Selain itu, sektor ini mampu menyediakan peluang pekerjaan yang cukup besar kepada
rakyat di negara kita. Sejak zaman nenek moyang kita, pertanian merupakan pekerjaan warisan
yang menjana ekonomi keluarga, khususnya. Di negara membangun seperti Malaysia, sektor
pertanian menyumbang 50 peratus peluang pekerjaan. Perlu diingat bahawa definisi pekerjaan
dalam sektor pertanian bukan sahaja bekerja di ladang, malahan meliputi pemprosesan dan
pemasaran. Realitinya, masyarakat desa sememangnya bergantung harap kepada sektor ini
memandangkan mereka mempunyai tanah yang luas untuk dikerjakan dan tenaga buruh yang
mudah didapati. Lagi pula, pekerjaan ini tidak memerlukan kelulusan yang tinggi berbanding
kerja profesional dan separuh profesional. Tegasnya, sektor ini boleh diibaratkan bulan jatuh ke
riba kepada golongan kurang terpelajar untuk tidak bergelar penganggur.


...........Bukan itu sahaja, yang lebih penting lagi ialah sektor ini mampu menjana pendapatan
yang besar kepada negara dan petani. Seperti yang kita sedia maklum, iklim dan tanih yang
sesuai mampu memberikan pulangan yang lumayan. Hasil tani yang dituai oleh petani kecil-
kecilan dapatlah dijual kepada pemborong dengan harga yang berpatutan untuk dijadikan
penyambung rezeki. Bagi tanaman komersial pula, negara akan menambahkan Keluaran Dalam
Negara Kasar (KDNK) melalui pengeskportan tanaman seperti kelapa sawit dan lada hitam.
Secara tidak langsung, pengaliran wang ke luar negara dapat dikurangkan, di samping
menimbangi imbangan pembayaran negara melalui hasil eskport yang semakin bertambah.
Ringkasnya, dengan adanya sinergi yang hebat, industri ini mampu menjadi penyumbang
terbesar seperti suatu ketika dahulu.


...........Konklusinya, sektor pertanian perlulah digerakkan kembali dengan menaruh beberapa
strategi yang mampan supaya segala kemaslahatannya dapat dinikmati masyarakat Malaysia
keseluruhannya. Saya begitu optimistik dengan segala kelebihan yang kita ada, industri pertanian
pasti mampu memberi sumbangan yang besar terhadap pembangunan negara. Realitinya,
dijangkan pada tahun 2050 sekiranya telaga minyak yang baharu tidak dijumpai, maka hasil
petroleum akan kehabisan seterusnya menganggu pengeluaran dalam sektor perindustrian. Akhir
kata, slogan Pertanian Satu Perniagaan perlulah diselami maknanya dengan lebih mendalam.
Posted by Roslan Daud at 9:34 PM