Anda di halaman 1dari 22

UCAPAN PERBAHASAN BAJET

NEGERI JOHOR DARUL TA’ZIM 2010


YB. Hj Rasman Bin Hj Ithnain
ADUN KAWASAN SEDILI

1. BismillahirRahmanirRahim.

Assalamualaikum wbt. dan salam sejahtera.

2. Segala puji bagi Allah, kita memuji-Nya, memohon pertolongan dan ampunan

kepada-Nya, kita berlindung kepada Allah dari kejahatan diri kita dan

keburukan amalan-amalan kita, barangsiapa yang Allah tunjuki maka tidak ada

yang dapat menyesatkannya, dan barang siapa yang Allah sesatkan maka tidak

ada yang dapat memberinya hidayah.

3. YB Datuk Speaker, bersyukur kita kepada Allah swt, kerana dengan izinnya

dapatlah Kerajaan Negeri Johor, Kerajaan Barisan Nasional yang diterajui oleh

YAB Datuk Hj Abdul Ghani Othman, membentangkan Bajet bagi tahun 2010

pada hari Khamis yang lalu. Alhamdulillah, walaupun terpaksa berhadapan

dengan kemuraman ekonomi dunia, Bajet 2010 Negeri Johor masih lagi

berupaya meneruskan pendekatan holistik dengan empat strategi utama yang

sesungguhnya amat selari dengan konsep 1 Malaysia - “Rakyat Didahulukan –

Pencapaian Diutamakan”. Bajet 2010 yang bertemakan “Bersatu Tenaga


Sejahtera Bersama” ini juga merupakan pelengkap kepada Bajet 2010 “1

Malaysia, Kemakmuran Bersama” yang telah dibentangkan oleh YAB Perdana

Menteri di Dewan Rakyat kira-kira sebulan yang lalu. Kedua-dua Bajet 2010

ini, samada Bajet Kerajaan Persekutuan mahupun Bajet Kerajaan Negeri Johor,

sesungguhnya telah meletakkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat serta

keberkesanan jentera perlaksanaan kerajaan bagi mencapai matlamat 'Bidang

Keberhasilan Utama Negara' (NKRA) sebagai keutamaan di dalam merancang

setiap program yang akan dilaksanakan oleh kerajaan pada tahun hadapan.

Bajet 2010 ini sekali lagi telah membuktikan bahawa Kerajaan Barisan

Nasional tidak pernah membelakangkan rakyat sebaliknya Kerajaan Barisan

Nasional adalah kerajaan yang peka akan kegelisahan dan keperitan, juga

hasrat dan harapan rakyat.

4. YB Datuk Speaker, Bajet 2010 Negeri Johor adalah jauh berbeza dengan Bajet

'Selimut Pendek – tutup bawah nampak atas, tutup atas nampak bawah' seperti

yang telah dibentangkan oleh sebuah Kerajaan Negeri yang kononnya 'Negeri

Berkebajikan', dengan defisit lebih dari RM30 juta. Bajet Negeri Johor juga

adalah bajet defisit. Walaupun Bajet 2010 ini masih merupakan Bajet Defisit,

namun jumlah defisit ini adalah kecil dan telah pun berjaya dikurangkan

berbanding Bajet tahun 2009 iaitu hanya sebanyak RM1.5 juta sahaja. Adalah

sesuatu yang wajar, di dalam keadaan ekonomi yang menguncup, kerajaan

harus memberikan suntikan tambahan bagi merangsang semula ekonomi agar

ekonomi mendapatkan momentumnya untuk terus bergerak dan berkembang.


Walau bagaimana pun, dari Bajet 2010 yang telah dibentangkan ini, jelas

menunjukkan bahawa kerajaan sentiasa mengamalkan dasar yang lebih

berhemat dan mengutamakan nilai kewangan (value for money) khususnya

mulai tahun 2010 dengan menerapkan Kaedah Bajet berdasarkan 'outcome'. Ini

menunjukkan bahawa kerajaan begitu komited untuk menyusun semula

program, proses dan jentera pentadbiran Kerajaan agar lebih cekap dan

berkesan serta memenuhi keperluan dan harapan rakyat walaupun dengan

sumber yang terhad.

5. YB Datuk Speaker, Namun begitu, usaha penjimatan kerajaan ini tentunya

tidak akan berhasil sekiranya ianya tidak disambut dan dilaksanakan oleh

penjawat-penjawat awam. Para penjawat awam sebagai pelaksana kepada dasar

dan program-program kerajaan haruslah dapat memahami kekangan sumber

kewangan yang sedang dihadapi oleh Kerajaan dalam menghadapi keadaan

ekonomi yang suram ketika ini. Pada ketika yang mencabar inilah penjawat

awam seharusnya dapat membuktikan kesetiaan dan keikhlasan mereka dalam

berbakti kepada rakyat dan Negeri Johor dengan sama-sama 'Bersatu Tenaga'

membantu kerajaan dalam menjimatkan perbelanjaan dan pada masa yang

sama juga tetap komited untuk meningkatkan kecekapan untuk 'Kesejahteraan

Bersama'. 'Bersatu Tenaga – Kesejahteraan Bersama' seperti yang menjadi

tema Bajet 2010 Negeri Johor pada kali ini.

6. YB Datuk Speaker, saya juga tidak lupa untuk mengucapkan setinggi-tinggi

tahniah kepada Kerajaan Negeri khasnya YAB Dato' Menteri Besar kerana
walaupun dalam keadaan ekonomi negara dan dunia yang menguncup

sepanjang tahun 2009 ini, Negeri Johor telah berjaya mendapatkan pelaburan

yang kedua tertinggi di Malaysia iaitu sebanyak RM2.6 bilion dan yang lebih

membanggakan kita, jumlah ini merupakan peningkatan sebanyak RM45 juta

berbanding tahun sebelumnya. Malah, lebih separuh dari jumlah pelaburan ini

adalah merupakan pelaburan terus asing (FDI) sekaligus menjadikan Johor

sebagai penerima kedua tertinggi pelaburan asing di Malaysia selepas Sarawak,

bukan selepas Selangor, atau Pulau Pinang, jauh sekali Kedah mahupun

Kelantan.

7. YB Datuk Speaker, inilah bukti bahawa Kerajaan Barisan Nasional adalah

sebuah kerajaan yang bijak dan berhemah didalam menguruskan ekonomi,

lebih-lebih lagi Kerajaan Barisan Nasional Negeri Johor adalah dipimpin oleh

YAB Dato' Haji Abdul Ghani Othman, seorang pakar ekonomi yang pernah

mengajar ekonomi di Universiti Malaya. Kerajaan Barisan Nasional sentiasa

mengambil pakar yang benar-benar pakar dalam merangka dan menguruskan

ekonomi, tidak seperti di sebuah negeri di bawah pentadbiran kerajaan lain

yang telah mengambil bekas Menteri Kewangan yang telah pernah hampir

memusnahkan ekonomi negara suatu ketika dahulu. Mungkin kerana dipaksa

dan Kerajaan Negeri tersebut sebenarnya tahu bahawa orang ini tidak layak

menjadi penasihat ekonomi, maka gaji yang sanggup dibayar oleh Kerajaan

Negeri tersebut untuk khidmat nasihat sebagai Penasihat Ekonomi hanya RM1

(satu ringgit sahaja). Seperti kata YAB Tun Dr. Mahathir, “ Jika kita bayar satu
ringgit, maka nilai atau nasihat yang kita dapat juga berkualiti satu ringgit”.

Dengan jumlah gaji yang semurah RM1 ini, saya ingin mencadangkan agar

rakan-rakan mereka di Dewan Yang Mulia ini, turut mengusulkan kepada

kepimpinan mereka supaya semua negeri di bawah pentadbiran Pakatan

Pembangkang melantik Bekas Menteri Kewangan ini sebagai Penasihat

Ekonomi. Cuma saya ingin memetik sekali lagi kata-kata YAB Tun Dr

Mahathir Mohamad, “Sekiranya ingin melihat kerajaan negeri bankrup,

perlantikannya sebagai Penasihat Ekonomi memang sangat sesuai”.

8. YB Datuk Speaker, Keputusan peperiksaan UPSR yang telah diumumkan

minggu lalu telah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan bagi

Negeri Johor. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang

telah berjaya mendapatkan keputusan yang cemerlang. Tidak lupa juga ucapan

tahniah kepada warga pendidikan khasnya para guru yang sentiasa berdedikasi

dan bermotivasi tinggi di dalam mendidik anak bangsa menjadi warganegara

yang berilmu dan berguna kepada negara,pada masa depan, insyaAllah. Rakyat

Negeri Johor seharusnya merasa berbangga kerana seperti yang telah

diumumkan oleh Pengarah Pelajaran Negeri Johor, bahawa “jika dinilai

daripada prestasi mata pelajaran, hampir keseluruhan peratusan penguasaan

pelajar Negeri Johor adalah mengatasi pencapaian peringkat nasional”. Ini

sesungguhnya membuktikan bahawa program-program yang telah

dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri melalui Bajet yang lepas seperti Tuisyen

Kampung telah pun mula menunjukkan kejayaannya.


9. YB Datuk Speaker, saya percaya dengan beberapa program dan usaha baru

pihak kerajaan seperti yang dibentangkan dalam Bajet 2010, yang antaranya

penambahan kelas Pra Sekolah dan Tadika Agama Johor serta usaha kerajaan

untuk meningkatkan kualiti tenaga pengajar termasuk meningkatkan elaun

guru Tadika Agama Johor (TAJ) dan guru-guru KAFA, Negeri Johor telah

berada dilandasan yang tepat dalam usaha murni untuk membentuk masyarakat

berilmu yang sesungguhnya begitu kritikal dan menjadi asas pembangunan

modal insan yang inovatif, kreatif dan mempunyai kemahiran untuk menerajui

abad ke 21.

10.Kenaikkan elaun guru TAJ dan KAFA ini sememangnya membawa implikasi

kewangan kepada Kerajaan Negeri. Namun begitu, 'Bayar RM1 kita akan

dapat perkhidmatan yang bernilai juga RM1. Saya percaya, dengan

peningkatan elaun ini akan meningkatkan lagi motivasi dan komitmen guru-

guru ini dan yang lebih penting lagi para pelajar tentunya akan pula mendapat

tenaga pengajar yang lebih berkualiti juga seperti yang menjadi hasrat Bajet

2010 Kerajaan Negeri Johor. Namun begitu, sebagai tambahan dan untuk

memotivasikan lagi para pelajar kita, saya mencadangkan agar Kerajaan

Negeri mempertimbangkan untuk memberikan bantuan sebanyak RM500

kepada semua pelajar dari negeri Johor yang berjaya mendaftar kursus

peringkat ijazah di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Cadangan ini

selain untuk memotivasikan pelajar, ia juga adalah bertujuan untuk

mengurangkan beban kewangan yang terpaksa ditanggung oleh ibubapa dalam


keadaan kos sara hidup yang telah meningkat kesan kenaikan harga minyak

pada tahun lalu.

11.YB Datuk Speaker, Negeri Johor amat beruntung kerana dua dari koridor

ekonomi baru yang diwujudkan oleh kerajaan pusat telah melibatkan Negeri

Johor iaitu Iskandar Malaysia dan Wilayah Pembangunan Pantai Timur yang

melibatkan daerah Mersing. Tanpa menafikan bahawa tumpuan pembangunan

Negeri Johor pada ketika ini adalah kepada kedua-dua Wilayah Pembangunan

Ekonomi tersebut, dan khususnya Iskandar Malaysia, daerah-daerah yang tidak

termasuk didalam wilayah ekonomi ini tidak seharusnya dipinggirkan dari

mendapat peluang-peluang pembangunan yang baru. Bagi daerah-daerah yang

berdekatan dengan wilayah pembangunan ekonomi ini, sewajarnya kerajaan

juga harus mula membuat perancangan sebagai persediaan untuk melimpahkan

kemakmuran yang di jana dan terhasil dari wilayah pembangunan ekonomi

yang baru ini. Sebagai contoh, apabila siap sepenuhnya Lebuhraya Senai –

Desaru, maka perjalanan ke daerah sebelah Pantai Timur Johor akan semakin

singkat dan Desaru juga dijangka akan menerima lebih banyak pelaburan.

Lebih-lebih lagi apabila telah ada perancangan untuk membina jalan baru

pesisir pantai yang akan menghubungkan Sedili Besar, dalam kawasan DUN

Sedili, ke Mersing yang akan dilaksanakan menerusi Pihak Berkuasa Wilayah

Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Sedili yang secara kebetulan

berada ditengah-tengah antara Desaru dan Mersing adalah juga merupakan

kawasan yang sangat berpotensi untuk dimajukan. Dengan kedudukannya


sebagai pengeluar hasil laut antara yang terbesar di Malaysia, Sedili sesuai

untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancungan yang berkaitan dengan

nelayan dan pusat makanan laut.

12. YB Datuk Speaker, asas kekuatan ekonomi Negeri Johor yang pada ketika ini

hanya bertumpu kepada tiga sektor utama iaitu pertanian, pembuatan dan

pembinaan seharusnya ditambah menjadi empat dengan memperkasakan sektor

pelancongan dan hospitaliti. Kita lihat banyak contoh negara yang telah berjaya

dan menjadikan pelancongan sebagai asas kekuatan ekonomi negara berkenaan

seperti negara Thailand. Dengan usaha kerajaan untuk menjadikan Negeri

Johor sebagai Destinasi Pelancongan Utama Antarabangsa seperti yang tercatat

didalam pembentangan Bajet 2010 ini, saya percaya usaha membangunkan

kawasan Sedili sebagai kawasan pelancongan baru berkonsepkan pusat

makanan laut akan turut menyumbang kepada mempercepatkan lagi

pencapaian matlamat kerajaan untuk menjadikan Negeri Johor sebagai

Destinasi Pelancongan Utama Antarabangsa. Untuk itu, saya mencadangkan

agar langkah untuk membina pusat-pusat Medan Ikan Bakar di kawasan Sedili

harus dirancang dan dimulakan segera. Program Home Stay dan Inap Desa

juga sewajarnya diberikan galakan untuk dilaksanakan memandangkan Sedili

mempunyai keunikan yang boleh dieksploitasi untuk menjadi daya tarikan

semulajadi kepada para pelancong khususnya dari luar negara. Selain itu, jalan

pesisir pantai Desaru – Sedili, Mawai – Sedili dan Sungai Mas ke Mawai, yang

sempit dan daif dapat segera dinaik taraf dan diperbesarkan. Perkhidmatan Bas
dari Kota Tinggi ke Sedili juga perlu dipertingkatkan dan sebagai permulaan

dimasukkan ke dalam kategori Laluan Khidmat Sosial dengan diberikan

subsidi.

13. Saya percaya, rakyat di kawasan Sedili yang kebanyakannya bekerja sebagai

nelayan dan petani kampung termasuk dari kumpulan miskin tegar dan miskin,

akan mendapat manfaat yang besar dari usaha dan pembangunan ini. Keadaan

ekonomi penduduk Sedili juga tentunya akan dapat dipertingkatkan. Sementara

Kerajaan sedang memacu usaha transformasi ke arah 'Negeri Maju

Berpendapatan Tinggi', pada masa yang sama rakyat di kawasan pedalaman

yang mundur seperti di Sedili juga dapat merasakan peningkatan kepada

pendapatan mereka melalui pembangunan yang mempunyai rantaian nilai

tambah yag tinggi ini. Kaedah ini tentunya juga merupakan suatu usaha yang

dapat mengelakkan jurang pendapatan yang terlalu besar di antara wilayah

pembangunan baru seperti Iskandar Malaysia dan ECER di Mersing dengan

kawasan bersebelahannya seperti di Sedili. Selain itu, cadangan ini juga amat

menepati tiga dari NKRA yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri

iaitu :

# meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah. 

# memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman, dan

# menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa

sederhana.

14.Justeru itu, rakyat di kawasan Sedili juga memohon dan mencadangkan kepada
Kerajaan Negeri supaya kawasan Sedili juga turut dimasukkan ke dalam

Kajian Pelan Induk Pembangunan Ekonomi Negeri Johor 2010-2020

untuk Kawasan di Luar Koridor Ekonomi bersama-sama dengan Segamat,

Muar, Batu Pahat dan Kluang.

15.YB Datuk Speaker, Kerajaan Barisan Nasional khasnya di Negeri Johor

sememangnya adalah Kerajaan yang amat prihatin dan peka dengan masalah

perumahan untuk rakyat Negeri Johor. Laporan menunjukkan bahawa melalui

Dasar Perumahan Negeri Johor, matlamat untuk menyediakan rumah kos

rendah dan sederhana rendah untuk rakyat Negeri Johor sejak dari tahun 1996

sehingga 2008 telah hampir berjaya sepenuhnya. Di samping itu, bagi generasi

kedua FELDA yang berjaya dalam permohonan mendapatkan lot-lot kosong di

dalam kawasan Tanah Rancangan FELDA, YAB Perdana Menteri semasa

menyampaikan amanat kepada Ahli Yang Berhormat yang mewakili kawasan

Tanah Rancangan FELDA telah berjanji untuk mengarahkan Syarikat

Perumahan Negara Berhad (SPNB) untuk membina rumah-rumah bagi

generasi kedua FELDA di lot-lot yang kosong tersebut. Sebagai anak peneroka

FELDA dan Wakil Rakyat yang mewakili kawasan FELDA, sesungguhnya

saya amat bersyukur kerana langkah ini akan membantu menyelesaikan

sebahagian dari masalah perumahan bagi generasi kedua FELDA yang pada

ketika ini amat meruncing.

16.Bagi Daerah Kota Tinggi, pembinaan Perumahan Generasi Baru FELDA khas

untuk generasi kedua FELDA yang sedang giat dibina di pinggir Bandar Kota
Tinggi iaitu di FELDA Pasak juga telah membantu menyelesaikan masalah

perumahan generasi kedua FELDA ini. Namun begitu, jumlah rumah yang

dapat dibina adalah jauh dari mencukupi. Permohonan yang diterima dari

generasi kedua FELDA berjumlah lebih dari 5000 permohonan sedangkan

rumah yang akan dibina hanya sekitar 739 unit sahaja. Untuk itu, kaedah

penyelesaian yang lebih menyeluruh haruslah direka bagi menyelesaikan

permasalahan ini secara tuntas. Bagi tujuan itu, suka saya mencadangkan agar

SPNB juga dibenarkan membina rumah di tapak yang sama dengan rumah

peneroka sediada. Bagi mengelakkan masalah mengutip bayaran, kaedah

potongan bayaran melalui gaji peneroka bolehlah digunakan. Sekiranya

cadangan ini dilaksanakan, saya percaya sebahagian besar masalah perumahan

untuk generasi kedua Felda akan dapat diselesaikan. (Masa Wakil Rakyat

FELDA juga dapat diperuntukkan untuk permasalahan rakyat yang lain).

Selain itu, tindakan ini juga akan mengurangkan masalah penghijrahan

generasi kedua keluar dari kawasan FELDA sebaliknya mampu memeriahkan

semula dan membangunkan lagi ekonomi di kawasan-kawasan FELDA.

17.YB Datuk Speaker, saya juga amat bersetuju dengan langkah Kerajaan Negeri

untuk meningkatkan sumbangan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri Johor

(GLC) sebagai satu dari kaedah untuk mengurangkan kos operasi Kerajaan

Negeri. Langkah meningkatkan sumbangan GLC ini sepatutnya dilakukan

lebih awal daripada ini. Saya percaya langkah ini akan menyedarkan GLC

seperti Johor Corp bahawa ianya ditubuhkan oleh Kerajaan Johor untuk
membantu semula membangunkan negeri dan rakyat Johor. GLC seperti Johor

Corp harus sedar bahawa beribu hektar tanah kerajaan telah diberikan kepada

mereka. Bermacam-macam bantuan dan jaminan telah diberikan sehingga

Johor Corp mencapai kedudukannya seperti yang dinikmati pada hari ini. GLC

seperti Johor Corp juga harus sedar akan tanggungjawab sosial untuk

membantu rakyat dan negeri Johor sesuai dengan matlamat penubuhannya dan

sebaliknya tidak hanya menggunakan keuntungan syarikat sebagai KPInya.

Apakah sumbangan Johor Corp yang terkenal dengan Kumpulan Perubatan

Johor (KPJ) kepada rakyat Negeri Johor miskin yang ingin mendapatkan

rawatan di hospital-hospital pakar milik KPJ. Apalah salahnya memulangkan

semula jasa dan pemberian rakyat dan Kerajaan Negeri Johor selama ini

dengan memberikan diskaun istimewa untuk rakyat Johor yang memerlukan

rawatan di hospital-hospital pakar KPJ. Apalah maknanya ke sana dan ke mari

dengan melaungkan slogan 'Bisnes Jihad' tetapi sebenarnya lebih

mementingkan dan mengutamakan keuntungan dari melaksanakan

tanggungjawab sosial membantu pesakit yang sedang dalam kesusahan.

'Bisnes Jihad' yang sebenar adalah apabila Johor Corp meletakkan

tanggungjawab sosialnya untuk membantu dan meringankan beban rakyat dan

Kerajaan Negeri Johor seimbang dengan matlamat untuk membawa

keuntungan kepada syarikat.

18.YB Datuk Speaker, Rakyat Negeri Johor tidak merasa apa-apa mahupun rasa

bangga ketika makan di KFC, Pizza Hut mahu pun Ayam Mas meskipun
mereka tahu bahawa ianya adalah milik sebuah Syarikat Berkaitan Kerajaan

Negeri Johor. Dalam setiap Laporan Tahunan Perbadanan Johor, mereka

menunjukkan bagaimana syarikat begitu prihatin dalam menjaga kebajikan

pekerja mereka. Saya ingin bertanya kepada Johor Corp, berapa gaji sehari

pekerja ladang di Kompleks Pasir Panjang dan berapa pula jumlah pendapatan

yang digunakan sebagai indeks oleh kerajaan dalam kategori isirumah yang

tergolong dalam kumpulan Miskin dan Miskin Tegar. Dapatkah Johor Corp

menafikan bahawa gaji pekerja ladang di Kompleks Pasir Panjang adalah

tergolong dalam kategori Miskin Tegar. Benar pekerja ladang mendapat

perumahan (jauh di tengah ladang) melalui program Bakti Ladang. Tetapi

mengapa pula ada halangan daripada Johor Corp yang tidak mengizinkan

pekerja menambah, membesar atau membuat ubahsuai terhadap rumah mereka.

Di mana keikhlasan Johor Corp terhadap pekerja mereka yang telah berbakti

kepada ladang yang telah menguntungkan Perbadanan Johor sejak sekian lama.

19.YB Datuk Speaker, lebih buruk lagi Johor Corp sebagai sebuah Syarikat

Berkaitan Kerajaan Negeri Johor pada pilihanraya yang lalu telah

mengeluarkan arahan melarang pekerjanya di Kompleks Pasir Panjang untuk

menampal mahu pun menaikkan apa-apa poster mahu pun bendera parti politik

termasuk UMNO dan Barisan Nasional sepanjang kempen pilihanraya yang

lalu. Johor Corp seolah-olah mahu menyekat hak asasi pekerjanya untuk

terlibat dan menunjukkan sokongan mereka kepada mana-mana parti Politik.

Justeru itu, sesungguhnya saya menyokong penuh langkah Kerajaan Negeri


untuk meningkatkan sumbangan Syarikat Berkaitan Kerajaan dalam operasi

dan program-program Kerajaan Negeri. Malah, saya juga ingin mencadangkan

supaya Johor Corp dipaksa untuk segera melunaskan hutangnya sebanyak

RM66 juta kepada Kerajaan Negeri Johor seperti yang pernah di sebut oleh

Yang Berhormat dari Kempas dalam perbahasan Bajet 2009 dahulu. Kalau

Johor Corporation dapat membayar separuh dari jumlah hutang tersebut pun

tentunya Bajet 2010 kali ini akan menjadi lebih mantap dan seterusnya dapat

menyuntik semula ekonomi Negeri Johor untuk berkembang keluar dari zon

penguncupan.

20.YB Datuk Speaker, langkah Kerajaan Negeri meningkatkan penggunaan

aplikasi teknologi khususnya ICT dalam pentadbiran kerajaan sememangnya

amat diperlukan kerana selain dapat menjimatkan masa dan kos, ianya juga

akan dapat meningkatkan kecekapan sesuatu urusan di pejabat-pejabat

kerajaan. Kita boleh membayangkan apa akan berlaku sekiranya pejabat

kerajaan tidak mempunyai komputer dan kemudahan internet. Justeru usaha

membangunkan sistem di PBT dan Pejabat Tanah beberapa ketika dahulu amat

tepat pada masanya. Sebagai contoh, kini urusan pembayaran cukai tanah

sudah boleh dibuat di mana-mana kaunter Pejabat Tanah Daerah tanpa mengira

di daerah mana tanah tersebut berada. Usaha ini amat mendapat pujian dari

rakyat kerana dapat menjimatkan kos dan dipihak kerajaan juga dapat

mengurangkan masalah cukai tertunggak.

21.Walau bagaimana pun, sistem di pejabat tanah ini yang dibangunkan dengan
jumlah perbelanjaan yang bukan sedikit, pada persepsi rakyat, masih tidak

dapat menjadikan Pejabat Tanah benar-benar cekap seperti yang diharapkan

oleh rakyat. Urusan kelulusan sesuatu permohonan tanah masih mengambil

masa yang terlalu lama, bertahun-tahun malah ada yang terpaksa menunggu

sehingga lebih 30 tahun. Saya mengambil contoh dan ingin menyebut bagi kali

yang kedua di dalam Dewan Yang Mulia ini, akan permohonan tanah penduduk

kampung di beberapa kampung di kawasan Sedili seperti Kampung Belukar

Durian, Kampung Telok, Kampung Seri Paya dan Kampung Bukit Kruing yang

sejak sekian lama malah ada yang sudah mengambil masa puluhan tahun tetapi

sehingga kini masih tidak dapat diketahui apakah keputusannya. Mengapakah

perkara sebegini masih berlaku. YAB Dato' Menteri Besar sendiri pernah

berjanji untuk menyelesaikan masalah ini ketika lawatan ke Sedili lebih

sepuluh tahun yang lalu. Perkara ini juga pernah saya bangkitkan dalam Dewan

Yang Mulia ini sebelum ini tetapi tiada apa-apa tindakan yang diambil oleh

pihak yang berkenaan. Tetapi mengapakah arahan dari YAB Menteri Besar

selaku Ketua Kerajaan sendiri juga tidak diberikan perhatian. Kalaulah arahan

dari YAB Menteri Besar pun tidak dipatuhi, saya tidak tahu arahan siapa lagi

yang patut kita turuti. Justeru itu, saya mohon agar perkara ini diberikan

perhatian dan tindakan yang segera. Sementara kita masih berjawatan dan

mempunyai peluang untuk berkhidmat, inilah masanya untuk kita membantu

menyelesaikan masalah dan kesusahan rakyat. Inilah sebahagian dari ibadah

yang akan dapat membantu kita di akhirat kelak.


22.YB Datuk Speaker, Daerah Kota Tinggi adalah antara daerah yang paling luas

di Negeri johor. Selain dari terkenal sebagai Daerah Pelancongan Bersejarah,

daerah Kota Tinggi juga terkenal sebagai daerah yang sering dilanda bencana

banjir khususnya apabila tiba musim tengkujuh seperti sekarang ini. Saya

percaya semua ahli Yang Berhormat di dalam Dewan Yang Mulia ini masih

ingat bagaimana hampir seluruh Bandar Kota Tinggi lumpuh kerana telah

ditenggelami air pada penghujung tahun 2006 dan kali kedua pada awal tahun

2007 yang lalu.

23.YB Datuk Speaker, sehingga hari ini, rakyat di Kota Tinggi merasa fobia

apabila tiba musim tengkujuh. Kesengsaraan ketika menghadapi banjir besar

yang lalu tetap menjadi ingatan dan pengajaran kepada kami semua di Kota

Tinggi. Lebih memeritkan lagi apabila banjir dan hujan yang lebat telah

menyebabkan jalan-jalan perhubungan putus yang menyukarkan bekalan dan

bantuan untuk sampai ke daerah kami. Kawasan yang kerap mengalami

bencana banjir di daerah Kota Tinggi meliputi juga di : 1) kawasan Sedili dan

Bandar Kota Tinggi dalam Parlimen Kota Tinggi, 2) kawasan pekan dan

perkampungan Sungai Rengit dan Pengerang di dalam Parlimen Pengerang dan

juga 3) di kawasan Batu 25 dan Sungai Berangan dalam Parlimen Tenggara.

24.Dalam menghadapi bencana seperti banjir, peranan anggota keselamatan

seperti Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPA) amatlah diperlukan di dalam

melakukan kerja-kerja mengawal keadaan dan memberikan bantuan bencana

atau memberi perlindungan bagi menjamin keselamatan nyawa, orang atau


harta benda penduduk awam sekiranya berlaku atau akan berlaku bencana serta

memudahkan pemulihan mangsa selepas bencana tersebut. Namun apa yang

berlaku sehingga hari ini, masih belum wujud sebuah pejabat atau Pusat

Operasi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia di daerah Kota Tinggi yang luas

seperti yang saya gambarkan sebentar tadi. Sehingga hari ini, saya difahamkan

Jabatan Pertahanan Awam Malaysia hanya menubuhkan sebuah unit JPA Kota

Tinggi dan beroperasi dari ibupejabat JPA Negeri Johor yang terletak di Bandar

Baru Uda, Johor Bahru. Keadaan ini tentunya akan menyukarkan JPA Unit

Kota Tinggi untuk memainkan peranannya apabila ianya diperlukan.

Berdasarkan gambaran yang telah saya berikan ini dan selaras dengan

peruntukan sebanyak RM3.7 bilion dalam BAJET 2010 Kerajaan Persekutuan

seperti yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri, iaitu untuk

mempertingkatkan lagi kecekapan anggota keselamatan, termasuk

menyediakan kelengkapan yang moden dan canggih, saya memohon dan

mencadangkan agar Kerajaan Negeri dapat memanjangkan cadangan untuk

membina sebuah pejabat operasi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia khusus

bagi daerah Kota Tinggi. Cadangan ini juga amat bertepatan dengan langkah

kedua dalam tajuk Mencegah Jenayah dalam Bajet 2010 Kerajaan Persekutuan

iaitu untuk melatih dan meningkatkan kecekapan tiga ribu anggota RELA dan

Jabatan Pertahanan Awam Malaysia untuk turut serta melakukan rondaan

bersama PDRM untuk mengurangkan kadar jenayah. Saya percaya hanya

apabila pejabat Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dapat dibina di Kota

Tinggi, maka kesemua enam perkara yang menjadi piagam pelanggan agensi
ini termasuk perkara keempat iaitu : Tiba di lokasi kejadian dalam tempoh

kurang 10 minit akan dapat di capai.

25.Akhir sekali YB Dato' Speaker, Alhamdulillah ekonomi dunia telah mula

menunjukkan tanda-tanda pemulihannya. Dalam keadaan banyak negara yang

terjejas teruk dengan kemelesetan ekonomi, ekonomi negara kita Malaysia

amnya dan Negeri Johor khasnya tidaklah terjejas terlalu teruk. Dengan asas-

asas ekonomi yang kukuh juga permintaan dalam negara yang tinggi ditambah

dengan kebijaksanaan Kerajaan Barisan Nasional yang memang mempunyai

pengalaman yang telah terbukti sejak 50 tahun memerintah negara ini,

memperkenalkan pendekatan dan kaedah pengurusan ekonomi yang unik

termasuk melancarkan pakej rangsangan ekonomi, telah memacu negara keluar

dari krisis ekonomi dunia dalam waktu yang lebih awal berbanding negara-

negara lain. Sesuai dengan perubahan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia

yang telah dilakukan oleh Bank Dunia, kerajaan juga telah menningkatkan

jangkaan pertumbuhan ekonomi negara dari 3% kepada 5 hingga 6% bagi

tahun 2010. Penasihat Ekonomi Negeri Selangor dan pengikut-pengikutnya

sepatutnya tidak membantah unjuran ini memandangkan semua pihak tahu

bahawa beliau mempunyai hubungan yang intim dengan Bank Dunia. Bank

Dunia tentunya mempunyai alasan yang tersendiri dalam meningkatkan

unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi tahun 2010.

26.Bersesuaian dengan keadaan ekonomi yang semakin pulih, serta bagi

mengiringi usaha transformasi memacu negara ke arah ekonomi


berpendapatan tinggi, maka asas-asas perpaduan kaum yang menjadi teras

utama dalam membangunkan negara kita selama ini perlulah diperkukuh dan

diperhebatkan lagi. Konsep dan Gagasan 1 Malaysia yang telah diperkenalkan

oleh YAB Perdana Menteri yang bertujuan untuk mengukuhkan lagi perpaduan

bagi menjamin kestabilan, ke arah mencapai kemajuan dan pembangunan yang

lebih tinggi bagi rakyat dan Negara Malaysia, amatlah bertepatan dengan

masanya.

27.Gagasan 1 Malaysia ini akan menjadi pelengkap kepada Wawasan 2020 untuk

menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju sepenuhnya khususnya kepada

cabaran yang pertama Wawasan 2020 iaitu mewujudkan sebuah negara yang

bersatu yang mempunyai matlamat yang dikongsi bersama. Iaitu sebuah

negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam

harmoni, bekerjasama sepenuhnya, secara adil dan didokong oleh satu bangsa

Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara.

Gagasan 1 Malaysia juga menjadi pelengkap kepada cabaran ke tujuh

Wawasan 2020 iaitu mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya

menyayangi, iaitu satu sistem sosial yang mana kepentingan masyarakat

adalah lebih utama daripada diri sendiri, yang mana kebajikan insan tidak

akan berkisar kepada orang perseorangan tetapi disekeliling sistem

kekeluargaan yang kukuh.

28.YB Datuk Speaker, Memandangkan isu perpaduan kaum menjadi begitu

kritikal sejak akhir-akhir ini, saya mencadangkan agar nilai-nilai murni dalam
Gagasan 1 Malaysia segera dimasyarakatkan agar ianya dapat difahami,

dihayati dan diamalkan oleh setiap warganegara khasnya oleh generasi muda

kita. Untuk itu, saya ingin mencadangkan agar Kementerian Pelajaran dan

Kementerian Pengajian Tinggi mengambil langkah segera menggubal

kurikulum 1Malaysia dan segera dimasukkan di dalam kurikulum sistem

pendidikan kebangsaan di semua peringkat dari sekolah rendah termasuk SRJK

Cina dan Tamil, sekolah menengah mahupun di institusi pengajian tinggi. Di

peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, Pengajian 1 Malaysia

haruslah menjadi matapelajaran wajib kepada semua pelajar tanpa mengira

kaum sebagaimana Pengajian Tamadun Islam diwajibkan ke atas pelajar

beragama Islam di IPTA. Pusat-pusat latihan Kerajaan mahupun swasta juga

termasuk PLKN dan Pusat Latihan Belia haruslah juga memasukkan

kurikulum 1 Malaysia sebagai matapelajaran wajib di pusat-pusat latihan

tersebut. Sekiranya ini dapat dilaksanakan, saya yakin dan penuh percaya

usaha untuk membina sebuah negara bangsa Malaysia yang bersatu padu bagi

mencapai matlamat kita untuk menjadi sebuah negara maju menjelang tahun

2020 akan mampu tercapai, insyaAllah.

29.YB Datuk Speaker, marilah sama-sama kita berdoa, mudah-mudahan, Allah

yang Maha Kuasa dan Maha Pemimpin, yang memimpin dan membimbing

semua niat, yang memimpin dan membimbing semua gerak, yang memimpin

dan membimbing semua rasa, yang memimpin dan membimbing semua fikir.

Memimpin dan membimbing fikiran dan perasaan kita semua di Dewan Yang
Mulia ini, tetap di jalan yang benar, tetap dijalan yang diredhainya, dan terus

berusaha untuk mengukuhkan ukhwah dan perpaduan sesama kita. InsyaAllah

Negeri dan Rakyat Johor akan terus selamat, aman, makmur dan maju serta

segera keluar dari krisis ekonomi yang sedang melanda dunia, InsyaAllah.

30.YB Datuk Speaker, terima kasih sekali lagi kerana memberikan peluang

kepada saya untuk turut serta dalam perbahasan ini. Yang baik itu datangnya

dari Allah swt. Yang buruk itu datangnya dari kedangkalan ilmu dan

pengalaman saya sendiri. YB Datuk Speaker, saya mohon menyokong Bajet

Kerajaan Negeri Johor Tahun 2010. Terima kasih.

INTISARI UCAPAN

1. Mengharapkan agar para Penjawat Awam 'Bersatu Tenaga' membantu kerajaan

dalam menjimatkan perbelanjaan awam tetapi pada masa yang sama juga tetap

komited meningkatkan kecekapan untuk 'Kesejahteraan Bersama'.

2. Mencadangkan agar Kerajaan Negeri mempertimbangkan untuk memberikan

bantuan sebanyak RM500 kepada semua pelajar dari negeri Johor yang berjaya

mendaftar kursus peringkat ijazah di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Cadangan ini selain untuk memotivasikan pelajar, ia juga adalah bertujuan

untuk mengurangkan beban kewangan yang terpaksa ditanggung oleh ibubapa.

3. Mencadangkan agar Kerajaan membangunkan kawasan Sedili yang

bersebelahan dengan ECER sebagai destinasi pelancongan berasaskan


kehidupan nelayan dan makanan laut. Bagi tujuan itu, perlu disegerakan

pembinaan Medan Ikan Bakar, digalakkan Program Homestay dan Inap Desa

serta dinaik taraf dan diperbesarkan beberapa laluan utama ke kawasan Sedili

selain menaiktaraf sistem pengangkutan awam dengan memasukkannya dalam

Laluan Khidmat Sosial.

4. Mencadangkan supaya SPNB membina rumah-rumah untuk generasi kedua

FELDA di tapak rumah Peneroka FELDA sediada.

5. Mencadangkan Johor Corporation meningkatkan tanggungjawab sosialnya,

segera membayar hutangnya kepada Kerajaan Negeri selain meningkatkan

sumbangan GLC ini untuk membiayai program dan operasi Kerajaan Negeri.

6. Mencadangkan sistem kelulusan permohonan tanah dipercepatkan.

7. Mencadangkan supaya sebuah pejabat operasi Jabatan Pertahanan Awam

Malaysia dibina bagi daerah Kota Tinggi bagi memudahkan JPA menjalankan

fungsi dan peranannya.

8. Mencadangkan agar Kerajaan menyegerakan usaha memasyarakatkan Gagasan

1Malaysia melalui penggubalan kurikulum khas untuk diterapkan ke dalam

sistem pendidikan di seluruh peringkat termasuk di pusat-pusat latihan kerajaan

seperti PLKN, BTN dan Pusat Latihan Belia.

Anda mungkin juga menyukai