Anda di halaman 1dari 14

NOTA PENGURUSAN MAKMAL SAINS

KONSEP MAKMAL SAINS


Makmal Sains adalah salah satu bilik mata pelajaran khas yang
dibina untuk pengajaran-pembelajaran amali Sains.
Ia dibina dengan tujuan untuk melakukan aktiviti dan eksperimen Sains di
bawah keadaan yang terkawal.
Melalui aktiviti penyiasatan dan penemuan secara amali dalam makmal
Sains, pelajar dapat mengamalkan ilmu dan kemahiran Sains dengan lebih
berkesan.


PENGURUSAN MAKMAL SAINS
Komponen pengurusan makmal sains meliputi:


1. Kemudahan dan susunan fizikal makmal sains.
2. Anggota struktur organisasi
3. Stok yang merangkumi pengurusan buku-buku stok, bahan dan
peralatan, dan proses pemerolehan, pembelian, penyelengaraan dan
penyimpanan.
Carta di bawah mengilustrasikan secara amnya komponen-komponen pengurusan
makmal Sains di peringkat sekolah, institut perguruan dan kolej matrikulasi.






STRUKTUR ORGANISASI MAKMAL SAINS
Pengurusan makmal sains dengan cekap bergantung kepada sikap proaktif dan
kerjasama yang erat di antara guru-guru Sains dan pembantu makmal.
Aspek-aspek utama dalam pengurusan makmal Sains ialah:

1. Keceriaan makmal Sains

2. Penyelenggaraan dan penyimpanan peralatan dan bahan.

3. Penggunaan dan penyimpanan peralatan dan bahan
4. Keselamatan Makmal Sains



KESELAMATAN DALAM MAKMAL SAINS
Komponen-komponen keselamatan dalam makmal Sains meliputi:

1. Persediaan peraturan penggunaan makmal Sains
termasuk peralatan dan bahan sains.
2. Penyediaan alat pemadam api dan senarai cara
menggunakannya.
3. Persediaan pelan laluan kecemasan dan latihan kebakaran.
4. Persediaan peti pertolongan cemas dan panduan kemahiran
pertolongan cemas seperti: luka, pengsan, selar dan lecur, kejutan
elektrik, mata terkena bahan kimia atau benda asing, sengatan
serangga, terkena asid atau alkali, terhidu gas, tertelan kimia dan
sebagainya.








`
PERANAN GURU SAINS DAN KAKITANGAN MAKMAL
SAINS

Semua anggota di bawah organisasi Bidang Sains adalah terlibat secara langsung dalam
pengurusan dan pentadbiran makmal dan bilik sains di sekolah. Pengetua dan Guru
Besar sekolah bertanggungjawab atas keseluruhan pengurusan makmal dan bilik sains
dalam pengendalian program kurikulum dan kokurikulum sains di sekolah dari segi perancangan,
pelaksanaan, penyelarasan, penilaian dan pemantauan. Pengetua dan Guru Besar merupakan
pemimpin kurikulum yang bertanggungjawab ke atas guru-guru dan kakitangan makmal dan bilik sains
dalam aspek profesional dan pengurusan
Penolong Kanan Pentadbiran / Akademik, Penolong Kanan Hal Ehwal
Murid, Penolong Kanan Kokurikulum, Penolong Kanan Petang dan Ketua Bidang Sains dan
Matematik bertanggungjawab membantu Pengetua dan Guru Besar dalam keseluruhan
pengurusan makmal dan bilik sainsberkaitan pengendalian program kurikulum dan
.
kokurikulum
sains di sekolah dari segi perancangan, perlaksanaan, penyelarasan, penilaian danpemantauan.
Setiap anggota mestilah mempunyai komitmen dan berkemahiran untuk memastikan Bidang Sains
berjalan dengan lancar.
4.1 Ketua Bidang Sains dan Matematik
Bidang Sains dianggotai oleh semua guru sains dan kakitangan makmal sains yang diketuai
oleh Ketua Bidang Sains dan Matematik.
4.1.1 Syarat Kelayakan Perlantikan Ketua Bidang Sains dan Matematik
a. Dilantik dalam kalangan guru sains / matematik yang berpengalaman.
b. Mempunyai pengkhususan dalam bidang sains / matematik.
c. Gred jawatan DG 44.

4.1.2 Latihan yang diperlukan

a. Pengurusan stok.
b. Pengendalian peralatan sains.
c. Prosedur pelupusan bahan kimia dan peralatan sains.
d. Pengendalian peralatan ICT.
e. Pengurusan dan keselamatan makmal sains.

4.1.4 Tugas dan Tanggungjawab Ketua Bidang Sains dan Matematik

Ketua Bidang Sains dan Matematik bertanggungjawab kepada Pengetua
dalam pengendalian program kurikulum dan kokurikulum semua mata
pelajaran sains dan matematik di sekolah dari segi perancangan,
pelaksanaan, penyelarasan, penilaian dan pemantauan. Ketua Bidang Sains
dan Matematik juga bertanggungjawab dalam memberi bimbingan profesional
kepada guru-guru sains dan kakitangan makmal sains. Bimbingan ini adalah
untuk memastikan peningkatan kemahiran mereka, khususnya dalam bidang
pengajaran dan pembelajaran serta pengurusan makmal melalui program
perkembangan staf.

Tugas dan tanggungjawab Ketua Bidang Sains dan Matematik dalam pengurusan
makmal sains adalah seperti :

a. Menyelia dan memastikan segala kemudahan fizikal seperti sistem bekalan
elektrik, gas, air, kerusi dan meja secukupnya, berfungsi dan menepati ciri-ciri
keselamatan.
b. Memastikan segala kelengkapan makmal sentiasa berada dalam keadaan
bersih dan selamat digunakan.
c. Merancang dan menyediakan :
i. Pelan tindakan keselamatan semasa kecemasan
ii. Peraturan keselamatan
iii. Latihan kecemasan dan kebakaran
iv. Kelengkapan pencegahan kebakaran dan jadual penyelenggaraan
v. Kit pertolongan cemas yang lengkap dan tidak luput tarikh
penggunaannya
d. Menyelia dan memastikan guru, murid dan kakitangan makmal sains
mematuhi sepenuhnya peraturan makmal.
e. Merancang serta menyediakan senarai tugas dan waktu kerja kakitangan
makmal sains serta memastikan senarai dan waktu kerja tersebut dipatuhi.
f. Mengurus dan memastikan penyemakan stok makmal sains dibuat sekurang-
kurangnya enam bulan sekali.
g. Memastikan kerja hapus kira dan pelupusan peralatan serta bahan sains
dijalankan mengikut peraturan yang ditetapkan.
h. Merancang dan menyediakan anggaran perbelanjaan tahunan bagi
pengajaran dan pembelajaran sains serta keperluan makmal sains.
i. Mengenal pasti dan menguruskan perolehan peralatan dan bahan sains
mengikut Arahan Perbendaharaan dan Surat Pekeliling yang berkuatkuasa.
j. Menguruskan dan memeriksa peralatan dan bahan sains yang baru dibeli dan
yang baru diterima mengikut bilangan dan spesifikasinya.
k. Mengurus dan mengelola persediaan dan pelaksanaan Pentaksiran Kerja
Amali Sains (PEKA Sains).
l. Merancang jadual waktu penggunaan makmal sains.
m. Merancang, mengenal pasti dan melaksanakan program atau aktiviti
perkembangan staf yang melibatkan guru sains dan kakitangan makmal.
n. Memastikan tugas penyelenggaraan komputer dalam makmal sains dijalankan
mengikut jadual yang ditetapkan.
o. Menyelia dan menyelenggara semua kemudahan fizikal dan peralatan supaya
menepati ciri-ciri keselamatan.
p. Menjalankan tugas lain yang diarahkan oleh Pengetua dari masa ke semasa.


4.2 Ketua Panitia Sains

Panitia bertanggungjawab membantu Pengetua dan Guru Besar serta Ketua Bidang Sains
dan Matematik dalam perancangan, perlaksanaan, penyelarasan dan penilaian daripada
aspek pengajaran dan pembelajaran serta pengurusan makmal dan bilik sains sekolah.
Panitia sains yangdiketuai oleh Ketua Panitia Sains terdiri daripada guru-guru yang
bertanggungjawab mengajar mata pelajaran sains seperti Sains, Sains Tambahan, Fizik,Kimia
dan Biologi.
Panitia Sains yang diketuai oleh Ketua Panitia Sains yang dilantik oleh Pengetua dan
Guru Besar secara rasmi untuk memimpin guru-guru mata pelajaran sains di bawah
tanggungjawabnya. Ketua Panitia Sains secara automatik menjadi Ahli Jawatankuasa Kurikulum
Sekolah. Bagi memastikan semua tugas dapat dilaksanakan oleh panitia, Ketua Panitia
bertanggungjawab untuk memastikan tugas panitia dilaksanakan dengan berkesan.
4.2.1 Tugas dan Tanggungjawab Ketua Panitia Sains
Tugas Ketua Panitia Sains dalam pengurusan makmal dan bilik sains adalah seperti
berikut :

a. Membantu merancang perbelanjaan tahunan bagi perolehan peralatan dan
bahan sains.
b. Menyemak dan mengemas kini stok makmal dan bilik sains dari segi keperluan
peralatan dan bahan sains sepanjang tahun.
c. Merekod peralatan dan bahan sains yang rosak dan hilang untuk tujuan hapus
kira dan pelupusan.
d. Memastikan kaedah penyimpanan peralatan, bahan sains dan manual operasi
peralatan sains mengikut prosedur dan bersistem.

e. Menyemak dan mengemas kini rekod pengurusan makmal dan bilik sains
seperti berikut :
i. Pesanan peralatan dan bahan sains
ii. Stok makmal sains
iii. Pinjaman atau pemindahan peralatan dan bahan sains
iv. Kerosakan dan kehilangan
v. Penyelenggaraan dan pemeriksaan
vi. Kemalangan
vii. Rekod penggunaan makmal sains
f. Menyelenggara peralatan dan bahan eksperimen dengan sempurna.
g. Memastikan fizikal makmal dan bilik sains, sistem bekalan elektrik, air, gas,
perabot dan kemudahan lain berfungsi dan menepati ciri-ciri keselamatan.
h. Memastikan peraturan keselamatan makmal dan bilik sains dipatuhi dan
diamalkan oleh semua pihak yang menggunakan makmal dan bilik sains.
i. Memberi bimbingan dan menyelia kerja kakitangan makmal dan bilik sains.
j. Memastikan makmal dan bilik sains sentiasa bersih, ceria dan selamat.
k. Memberi bimbingan profesional kepada guru-guru dalam panitianya dan
kakitangan makmal dan bilik sains.
l. Membantu merancang anggaran perbelanjaan tahunan bagi panitianya.
m. Membantu menyediakan jadual waktu penggunaan makmal dan bilik sains.
n. Merekod dan mengemaskinikan stok makmal dan bilik sains.
o. Menyelaras penggunaan makmal dan bilik sains serta peralatan dan bahan
sains di bawah jagaannya.
p. Membantu dalam penyelenggaraan makmal dan bilik sains.
q. Merancang dan melaksanakan program perkembangan staf untuk guru sains
dan kakitangan makmal dan bilik sains berkaitan dengan :
i. Pengurusan makmal dan bilik sains
ii. Pengendalian dan penyelenggaraan peralatan
iii. Pengendalian dan penyimpanan bahan toksik, radioaktif
dan bahan berbahaya yang lain
r. Membantu merancang dan melaksanakan arahan dan peraturan yang
berkaitan dengan makmal dan bilik sains.
s. Membantu merancang dan melaksanakan penyemakan stok tahunan.
t. Merancang dan mengendalikan PEKA Sains.
u. Menjalankan tugas lain yang diarahkan oleh Pengetua dan Guru Besar dari
masa ke semasa.


4.3 Guru Sains

Guru sains secara automatik menjadi anggota Panitia Sains. Tugas guru sains dalam pengurusan
makmal dan bilik sains adalah seperti berikut :

a. Mematuhi jadual penggunaan makmal dan bilik sains.
b. Melaksanakan PEKA Sains.
c. Memastikan murid mematuhi dan mengamalkan peraturan keselamatan makmal dan
bilik sains.
d. Memastikan makmal dan bilik sains sentiasa bersih, ceria dan selamat.
e. Mengenal pasti keperluan peralatan dan bahan sains yang akan digunakan dalam kerja
amali serta mengisi borang atau buku pesanan untuk tindakan kakitangan makmal dan
bilik sains.
f. Mengawasi penggunaan peralatan dan bahan sains supaya digunakan dengan betul,
cermat, jimat dan mematuhi langkah keselamatan.
g. Membantu Ketua Bidang Sains dan Matematik atau Ketua Panitia merekod, menyemak
dan mengemas kini stok.
h. Mengendalikan sistem maklumat bagi senarai dan bahan sains.
i. Menjalankan tugas-tugas lain yang diarahkan oleh Pengetua dan Guru Besar dari
masa ke semasa.


4.4 Pembantu Makmal

4.4.1 Syarat Kelayakan Lantikan Pembantu Makmal

a. Mempunyai sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia.
b. Lulus dalam mata pelajaran matematik atau salah satu daripada mata pelajaran
sains.
c. Lulus Bahasa Melayu.

4.4.2 Keperluan Latihan Pembantu Makmal

a. Kemahiran melabel bahan kimia dan kepekatan larutan (kemolaran).
b. Kemahiran menyediakan larutan piawai.
c. Kemahiran mengendalikan bahan kimia terutamanya bahan toksik.
d. Kemahiran mengendalikan eksperimen yang berkaitan dengan
mikroorganisma.
e. Kemahiran mengendalikan bahan mudah berkulat, berkarat dan mudah
teroksida.
f. Kemahiran mengendalikan keadaan kecemasan, seperti tumpahan bahan
organik, bahan mengkakis, rejatan elektrik dan seumpamanya.
g. Kemahiran mengendalikan stok dan penyimpanan alat atau bahan sains yang
sistematik.
h. Kemahiran mengendalikan komputer.
i. Kemahiran membaiki kerosakan kecil sistem pendawaian dan sistem paip air.
j. Kemahiran menguruskan stok.
k. Kemahiran mengendalikan peralatan sains terutama yang memerlukan kejituan
seperti dalam pengukuran dan timbangan.
l. Kemahiran menyelenggarakan peralatan sains mengikut prosedur.
m. Kemahiran melupuskan bahan-bahan kimia dan peralatan sains.

4.4.3 Tugas-tugas Pembantu Makmal

4.4.3.1 Tugas Harian

a. Membuka pintu makmal dan pintu bilik persediaan makmal sains
sebelum waktu sesi pembelajaran bermula dan mengunci pintu makmal
apabila sesi pembelajaran makmal berakhir.
b. Memastikan kerja-kerja pembersihan makmal sains agar sentiasa
dalam keadaan bersih.
c. Memastikan makmal dalam keadaan ceria dan selamat.
d. Menyediakan alat, radas dan bahan sains seperti yang dipesan oleh
guru sains dalam buku penyediaan alat / radas atau borang pesanan.
e. Memastikan semua peralatan dan bahan sains berfungsi sebelum
kerja amali dijalankan.
f. Memelihara dan menjaga tumbuhan dan haiwan yang diperlukan
untuk kerja amali.
g. Melaksanakan semua langkah keselamatan dalam mengendalikan
peralatan dan bahan sains.
h. Mengambil tindakan yang sewajarnya jika berlaku sebarang
kecemasan seperti kebakaran dan kecederaan.
i. Membersih dan menyimpan peralatan dan bahan sains ke tempat asal
yang telah ditetapkan setelah selesai kerja amali.
j. Membersih meja makmal, sinki dan menutup paip gas, air, kipas dan
lampu setelah selesai setiap kerja amali.
k. Memeriksa dan menyelenggara kemudahan makmal sains termasuk
perabot, bekalan elektrik, air dan gas.
l. Membantu guru sains, mengawas dan membantu murid mendapatkan
peralatan dan bahan sains semasa amali.
m. Memastikan tindakan berikut diambil selepas kerja amali yang terakhir
pada setiap hari :
i. Membersih bekas dan sisa bahan sains
yang telah digunakan
ii. Menutup bekalan gas, air dan elektrik

iii. Menutup tingkap, mengunci pintu bilik
persediaan dan pintu makmal sains
iv. Menyimpan kunci bilik makmal sains
mengikut arahan pengetua
n. Mengambil tindakan sewajarnya serta melapor dengan segera
sebarang kehilangan, kerosakan dan kebocoran kepada guru sains,
Ketua Panitia, Ketua Bidang Sains dan Matematik atau Pengetua.
o. Membantu mengendalikan sistem maklumat makmal sains seperti
mengemaskini stok dan sebagainya.
p. Mencuci peralatan sains yang kotor.
q. Membantu membuat pesanan untuk pembelian dan menerima bahan-
bahan serta radas daripada pihak pembekal.
r. Menjalankan tugas-tugas lain yang diarahkan oleh Pengetua dari masa
ke semasa.

4.4.3.2 Tugas Semasa Cuti sekolah

a. Membantu Ketua Bidang Sains dan Matematik dan guru sains
mengemas kini rekod stok.
b. Menyediakan reagen kimia, larutan penunjuk dan sebagainya seperti
yang diperlukan untuk kerja amali.
c. Menokoktambahkan kandungan botol reagen dengan larutan kimia
yang berkenaan dan mengganti label pada botol reagen jika perlu.
d. Mengubah suai dan membuat inovasi daripada bahan terpakai supaya
boleh digunakan di makmal sains.
e. Menghasilkan air suling.
f. Membantu membaik pulih kerosakan kecil peralatan sains.
g. Mengecas dan discas akumulator.
h. Menyelenggarakan mikroskop, kanta, neraca, slaid, carta, model, alat
timbang dan sebagainya.
i. Menyusun peralatan dan bahan sains dengan selamat dan bersistem.
j. Menyemak dan memastikan bahan beracun dan bahan berbahaya
disimpan mengikut peraturan yang ditetapkan.
k. Memeriksa dan memastikan kit pertolongan cemas serta alat
mencegah kebakaran sentiasa lengkap, berfungsi dan tidak luput tarikh.

l. Mengecat permukaan meja makmal sains dan peralatan sains jika
perlu.
m. Menyemak dan melaporkan bahan-bahan sains yang telah luput tarikh
kepada guru sains untuk tindakan seterusnya.
n. Mengemaskinikan butir-butir dalam kad stok berdasarkan rekod invois
bagi peralatan sains, bahan kimia dan bahan biologi yang baru diterima.
o. Membantu Ketua Bidang Sains dan Matematik dalam kerja hapus kira
dan pelupusan.
p. Menyelia dan membantu kerja membaik pulih perabot makmal sains.
q. Memastikan bahawa semua peralatan sains, bahan kimia dan bahan
biologi disusun dengan teratur.
r. Memeriksa, menyelenggara kemudahan makmal termasuk perabot,
bekalan elektrik, air dan gas. Jika berlaku sebarang kerosakan atau
kebakaran, laporkan perkara ini dengan segera kepada pihak sekolah.
s. Menyemak semula dan memastikan bahan yang beracun serta
berbahaya disimpan mengikut peraturan yang ditetapkan.
t. Membantu Ketua Bidang Sains dan Matematik membuat anggaran
belanjawan.

4.4.3.3 Tugas-tugas Lain

a. Menyediakan senarai barang yang diperlukan oleh guru sains dan
meminta sebut harga dari syarikat-syarikat yang tertentu pada awal
tahun (sebelum penggal persekolahan).
b. Membantu menulis pesanan dalam borang pesanan. Semua pesanan
mestilah dibuat melalui Pengetua / Ketua Bidang Sains dan Matematik /
Ketua Panitia.
c. Memeriksa alat-alat dan bahan-bahan pesanan supaya semua
berkeadaan baik dan mengikut kehendak guru sains sebaik sahaja
diterima daripada pembekal.
d. Menyimpan baucer pesanan dalam fail khas.
e. Menyediakan carta-carta, model, slaid mikroskop, CD dan alat bantu
mengajar lain yang diperlukan untuk pengajaran sains.
f. Membantu mengurus buku stok / inventori.
g. Menerima dan menyemak radas dan bahan kimia yang baru dibeli
serta memasukkan ke stor dan mencatat dalam buku stok utama dan
kad stok.
h. Menyenaraikan radas dan bahan utama yang kurang dalam borang
pesanan.
i. Memasang klip buaya pada dawai.
j. Menyediakan radas dan bahan kimia untuk pameran sains, kem sains
dan sebagainya.
k. Menajamkan alat-alat pemotong.
l. Merekod radas rosak atau pecah semasa amali.
m. Mencuci kit sejuk, akuarium dan tempat-tempat pemeliharaan binatang
jika ada
n. Membantu melakukan pembelian runcit bahan untuk amali.
o. Membantu mengadakan kursus dalaman kepada kakitangan baru.
p. Membuat catatan dalam buku kerosakan atau pecah, kemalangan,
pinjaman dan lain-lain yang berkaitan.
q. Berada dalam bilik makmal atau bilik persediaan supaya dapat
dihubungi oleh guru sains apabila pertolongan diperlukan.
Bibliografi

1. Kementerian Pelajaran Malaysia (1999). Pengurusan Dan Keselamatan
Makmal Sains Sekolah. Pusat Perkembangan Kurikulum. Kuala
Lumpur

2. Surat Siaran Jabatan Perkhidmatan Awam JPA(S)NP.134/1/Klt.19/s.k 2
bertarikh 14 Mei 2009

3. Surat Siaran Jabatan Perkhidmatan Awam JPA(S)(BPO)253/2/11-6
Klt.27(36) bertarikh 30 Disember 2008