Anda di halaman 1dari 4

Kebaikan Amalan Gotong-Royong

Gotong royong adalah aktiviti berkumpulan atau bersama-sama secara sukarela.


Amalan ini telah diprakltikan dan di warisi sejak zaman berzaman. Tetapi amalan ini
kian dilupakan oleh generasi alaf baru yang hanyut dengan keseronokan dan
keselesaan yang tiada batasan. Berapa peratus golongan muda yang mengetahui
maksud gotong royong dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian.
Menyedari akan hakikat budaya tersebut makin dilupakan dari hari ke sehari, YAB Dato
Seri Mohd Najib bin Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia telah menilhamkan
Program My Beautiful Malaysia di bawah inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan 8
(National Blue Ocean Strategy 8). Program My Beautiful Malaysia melibatkan 1juta
sukarelawan yang dijadikan satu pelantar dan titik permulaan untuk menyatu dan
menggerakkan seluruh tenaga belia yang lebih prihatin dan ikhlas melalui aktiviti
gotong-royong secara sukarela dalam usaha mengindahkan dan membersihkan
kawasan yang tidak terpelihara seperti pusat pelancongan, kawasan perumahan, taman
rekreasi dan sebagainya.
Aktiviti gotong royong ini sebenarnya dapat menjalinkan dan memperkukuhkan
semangat kejiranan. Kehidupan masyarakat sekarang kebanyakannya bertunjangkan
meterialistik dan individualistik sehingga tidak mempunyai masa untuk mengenali dan
berbual-bual dengan jiran masing-masing. Melalui aktiviti gotong-royong, jiran-jiran
tanpa mengira perbezaan bangsa dan agama akan bersama-sama menjalankan aktiviti
yang sama.
Bergotong royong juga boleh memperindahkan tempat tinggal dan kawasan
persekitaran menjadi bersih. Dengan amalan kemasyarakatan ini, tempat tinggal kita
tidak akan menjadi sekadar indah khabar daripada rupa. Amalan gotong royong juga
dapat membersihkan kawasan kediaman daripada menjadi sarang pelbagai penyakit
seperti aedes.
Kegiatan ini amat berfaedah dan mesti diamalkan dan dipupuk sejak kecil
keranameluntur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan menjadikan amalan ini sebagai
aktiviti penting dalam kehidupan, kita dapat banyak memperoleh pengalaman dan
pengetahuan daripada amalan tersebut. Kita juga dapat mengetahui betapa senangnya
untuk menyelesaikan sesuatu kerja dengan tenaga kerja yang ramai. Oleh itu, amalan
ini harus diingati dari satu generasi kepada satu generasi. Amalan ini juga boleh
dipraktikkan untuk mengekalkan kesihatan dan keadaan yang selesa di kawasan
tempat tinggal .



Kebaikan Amalan Gotong-Royong
Mengikut Kamus Dewan, gotong-royong bermaksud tolong-menolong atau
kerja bersama-sama. Aktiviti gotong-royong masih banyak dilakukan di kampung-
kampung dan kurang dilakukan di bandar pada masa ini. Pada pendapat saya, aktiviti
gotong-royong ini perlu dihidupkan kembali dalam masyarakat di negara kita. Terdapat
beberapa kebaikan amalan gotong-royong jika diamalkan dalam kehidupan seharian.
Kebaikan pertama amalan gotong-royong ialah dapat memudahkan kerja
yang kita lakukan. Dengan membuat kerja secara gotong-royong, kerja yang kita
lakukan akan lebih senang. Di kampung, majlis yang diadakan biasanya dibuat secara
gotong-royong seperti majlis perkahwinan. Dalam sesuatu majlis yang diadakan itu,,
penduduk kampung akan membantu tuan rumah khususnya dalam kerja memasak dan
mendirikan khemah.
Selain itu, amalan gotong-royong juga dapat menjimatkan masa dan tenaga.
Kerja yang dilakukan akan mengambil masa yang lebih singkat jika dilakukan secara
gotong-royong. Contohnya, gotong-royong dalam membersihkan kawasan balai raya
atau sekolah. Apabila kerja yang kita lakukan cepat siap, secara tidak langsung kita
dapat menjimatkan masa dan tenaga.
Amalan gotong-royong juga membolehkan kita menjimatkan belanja. Dalam
sesetengah keadaan, kita boleh menjimatkan perbelanjaan sehingga lima puluh
peratus. Sebagai contoh, jika sesebuah majlis perkahwinan dibuat secara gotong-
royong, kita tidak perlu membayar upah pekerja dan kos penyediaan makanan. Selain
itu, kita juga boleh menjimatkan perbelanjaan membina tempat menunggu bas, jika
dibuat secara gotong-royong.
Di samping itu, aktiviti gotong-royong juga dapat memupuk nilai-nilai murni
dalam kehidupan kita. Amalan nilai-nilai murni ini amat penting dalam mewujudkan
sebuah masyarakat yang bertanggungjawab. Antara nilai-nilai murni yang dapat
dipupuk dalam aktiviti gotong-royong ialah bekerjasama, bertolak ansur dan kerajinan.
Selain itu, amalan bergotong-royong juga dapat memupuk sikap berjimat cermat dalam
masyarakat.
Aktiviti gotong-royong juga dapat mewujudkan perpaduan kaum. Perpaduan
kaum amat penting di kalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum
dan agama. Contohnya, dengan mengadakan gotong-royong bagi menjayakan
Program Sambutan Bulan Kemerdekaan, perpaduan masyarakat akan terjalin secara
langsung atau secara tidak langsung. Sesungguhnya, dengan wujudnya perpaduan
kaum di kalangan rakyat, negara kita akan terus aman dan maju.
Sebagai kesimpulan, aktiviti gotong-royong mempunyai beberapa faedah
kepada masyarakat dan negara. Hal ini bersesuaian dengan peribahasa Melayu
Maufakat Membawa Berkat. Pada pendapat saya, pihak kerajaan boleh juga memupuk
amalan gotong-royong melalui kempen yang diadakan di televisyen dan surat khabar
secara berterusan. Aktiviti gotong-royong ini wajar diamalkan semula. Oleh itu, semua
pihak mestilah memainkan peranan dengan mengamalkan budaya hidup bergotong-
royong ini dalam kehidupan seharian.




















Kebaikan Gotong-royong dalam Masyarakat

Gotong-royong bermaksud sesuatu aktiviti masyarakat yang dijayakan dengan konsep
kerjasama, tolong-menolong dan bermuafakat.

Amalan bergotong-royong dapat meringankan kerja-kerja yang hendak dilakukan.
Sesuatu kerja yang berat seperti mengadakan majlis kenduri-kendara, mengurus
kematian dan membina jambatan dapat dilakukan dengan mudah.

Gotong-royong ini juga dapat menjimatkan masa wang. Apabila sekumpulan
anggota masyarakat melakukan sesuatu kerja,kerja itu dapat diselesaikan dalam masa
yang singkat.

Semangat gotong-royong juga dapat menyemai benih-benih perpaduan dalam
kalangan masyarakat.Pada zaman moden ini, penduduk Bandar sibuk dengan tugas
seharian sehingga jiran di sebelah rumah pun tidak dikenali.Tetapi, semangat gotong-
royong dapat mengelakkan keadaan ini.

Kehidupan masyarakat akan bertambah sejahtera melalui amalan gotong-royong
ini.Ini adalah kerana sikap bertanggungjawab dan tolak ansur dapat dipupuk melalui
aktiviti ini.

Berat sama dipikul,ringan sama dijinjing adalah dasar gotong-royong.Justeru itu,
semangat bergotong-royong ini harus dipupuk sejak kecil lagi dalam diri setiap insan.Ini
akan mewujudkan masyarakat yang lebih bertanggungjawab di hari muka.