Anda di halaman 1dari 3

CADANGAN PENAMBAHBAIKAN PERKHIDMATAN PUSAT PEMULIHAN DALAM

KOMUNITI YANG IDEAL.



Walaupun negara kita telah menuju status negara maju, golongan kurang upaya (OKU) tidak
harus dipinggirkan. Mereka perlu diberi hak sama rata menjalankan pemulihan bagi
mengurangkan ketidakupayaan yang dialami. Oleh demikian, segala Akta, polisi, undang-
undang mahupun perkhidmatan terhadap golongan orang kurang upaya (OKU) ini amatlah
dititik berat selaras dengan wawasan 2020. Dengan kelebihan dan kekuatan yang ada di Pusat
Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), perkhidmatan yang disediakan perlu ditambah baik dari
semasa ke semasa selaras dengan keperluan golongan orang kurang upaya (OKU) yang
mempunyai pelbagai kategori. Di antara cadangan penambahbaikan yang perlu dilaksanakan
bagi meningkatkan perkhidmatan di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti adalah :

1) Menyediakan lebih ramai tenaga profesionalisme (tenaga pengajar) sesuai
dengan bilangan pelatih di PDK.

Berdasarkan tinjauan dan temu bual saya semasa lawatan di PDK, masalah yang dihadapi
adalah kekurangan tenaga pengajar. Pusat ini menerima ramai pelatih dan bilangan pelatih
semakin bertambah dari semasa ke semasa. Ada kalanya, guru-guru atau tenaga pengajar
mengalami masalah untuk menjalankan pemulihan secara individu (bagi pelatih yang
menghadapi masalah berat). Oleh yang demikian, sebagai cadangan penambahbaikan
bilangan tenaga pengajar di tambah dari semasa ke semasa mengikut bilangan pelatih yang
mendaftar masuk ke PDK.

2) Penyebaran maklumat berkaitan perkhidmatan PDK di dalam masyarakat.

Pihak kerajaan, badan NGO mahupun media amatlah memainkan peranan dalam penyebaran
maklumat tentang perkhidmatan yang disediakan oleh PDK. Pihak kerajaan, NGO dan media
hendaklah berganding bahu memikul tanggung jawab sosial ini untuk memberi kesedaran
kepada masyarakat. Walau bagaimanapun, pihak pengendali PDK memainkan peranan yang
lebih berat di dalam mempromosikan perkhidmatan yang disediakan di PDK. Berdasarkan temu
bual juga, masih terdapat keluarga yang tidak tahu berkaitan perkhidmatan yang disediakan
oleh PDK kepada golongan orang kurang upaya (OKU) menyebabkan berlakunya keciciran
atau golongan ini terus dipinggirkan dan menghabiskan sisa hidup tanpa adanya usaha atau
rawatan yang sewajarnya. Penyebaran maklumat ini adalah sangat penting dan di dalam
memikul tanggungjawab ini, setiap PDK perlu mewar-warkan perkhidmatan di dalam
masyarakat. Tenaga pengajar juga selaku pengendali PDK, perlu menyebarkan maklumat
dengan mengadakan lawatan ke kawasan-kawasan terpencil serta mengenal pasti golongan
OKU yang terdapat di kawasan tersebut. Tugas ini mungkin agak remeh, tetapi pada hemat
saya alternatif begini adalah salah satu cara yang ideal untuk memperluaskan perkhidmatan
dan penyebaran maklumat di dalam masyarakat. Gandingan bahu bersama badan-badan NGO
juga adalah satu langkah yang baik bagi mencapai matlamat ini.


3) Peningkatan Infrakstruktur sedia ada (Prasarana dan Alatan terapi)

Kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat perlu memainkan peranan penting bagi
meningkatkan insfrastruktur di PDK. Pelatih-pelatih yang terdapat di PDK berkembang seiringin
dengan usia, oleh itu penyediaan kemudahan infrastruktur yang sesuai dengan peringkat umur
pelatih adalah sangat perlu. Tenaga pengajar menjalankan pemulihan secara berkala, masalah
yang dihadapi adalah kemudahan alatan yang digunakan tidak sesuai dengan keperluan
pelatih. Oleh yang demikian, pihak bertanggungjawab perlu membuat tinjauan dari semasa ke
semasa di PDK dan memastikan dengan peruntukan yang diterima dari kerajaan digunakan
untuk meningkatkan prasarana dan keperluan alatan terapi yang terdapat di PDK. Dengan
kelengkapan yang ada, secara tidak langsung akan memudahkan tugas guru menjalankan
pemulihan dan memberi manfaat kepada pelatih.

4) Menggalakkan pertukaran maklumat dan perkhidmatan antarabangsa

Semasa lawatan saya ke PDK Bukit Baru, pusat tersebut menerima kunjungan daripada Badan
NGO antarabangsa. Berdasarkan temu bual, terdapat perbezaan dari aspek perkhidmatan yang
disediakan di antara PDK di sini dan juga pusat pemulihan OKU antarabangsa (luar negara).
Proses pertukaran maklumat dalam masa yang singkat ini memberikan saya banyak input baru
berkaitan penambahbaikan yang boleh dilakukan di pusat PDK di sini. Cadangan saya, lawatan
daripada pihak NGO antarabangsa ini perlu digalakkan bagi proses pertukaran maklumat, idea
dan cara rawatan alternatif lain bagi membantu golongan OKU ini.


5) Penempatan Pakar Terapi di PDK

Melalui maklumat yang diperolehi, PDK menerima kunjungan daripada pakar terapi secara tidak
tetap. Lawatan dilakukan ke PDK dan pakar akan menjalankan terapi atau pemulihan kepada
pelatih yang terlibat. Cadangan saya, jika pakar terapi ini ditempatkan secara terus di PDK
adalah lebih baik. Ini kerana mereka mempunyai kepakaran untuk melaksanakan langkah atau
latihan pemulihan kepada pelatih yang menghadapi masalah khususnya kecacatan fizikal.
Terapi cara kerja yang konsisten akan membolehkan individu menguruskan kehidupan seharian
dengan baik di samping memulihkan anggota yang lemah supaya dapat berfungsi dengan baik.
Selain itu, melalui terapi juga membolehkan individu berdikari dalam melakukan kerja seharian.
Terapi cara kerja dilakukan untuk membantu pelatih menguasai kemahiran motor halus dengan
lebih baik selain meningkatkan kemampuan melakukan sesuatu dengan otot-otot kecil yang
ada. Latihan atau terapi yang dijalankan secara berkala akan meningkatkan tahap kefungsian
seharian dan mencegah ketidakupayaan ke atas individu yang mempunyai masalah mental dan
fizikal pada semua peringkat umur. Penempatan secara kekal Pakar Terapi Cara Kerja di PDK
adalah sangat wajar kerana aktiviti terapi cara kerja perlu dilakukan oleh ahli terapi cara kerja
yang berkemahiran sahaja.