Anda di halaman 1dari 6

3,0 Ulasan Terhadap Perancangan Rancangan Pengajaran Harian

Seni dalam pendidikan atau lebih dikenali sebagai SDP diwujudkan bagi
membantu perkembangan yang seimbang individu itu sama ada dari aspek jasmani,
emosi, rohani, intelek dan juga sosial selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan
(FPK). Seni Dalam Pendidikan (SDP) memainkan peranan yang penting ke arah
perkembangan kanak-kanak melalui peningkatan daya persepsi estetika dan
kreativitinya. Matlamatnya adalah untuk melahirkan individu yang berbudaya dengan
mengamalkan pertimbangan kesenian, berjiwa kreatif, inovatif, inventif dan mempunyai
jati diri yang tinggi. Selain itu, ianya juga bermatlamat untuk menyediakan guru
permulaan dengan pengetahuan dan juga kemahiran untuk mengintegrasikan aktiviti
seni visual, seni pergerakan dan juga seni muzik dalam proses pengajaran dan
pembelajaran dalam mata pelajaran yang lain. Seni dalam pendidikan merupakan
sesuatu yang baru dan ianya menggabungkan tiga elemen penting. Elemen-elemen
tersebut ialah seni visual, seni pergerakan dan juga seni muzik. Dalam seni visual ianya
lebih melibatkan lukisan, manakala seni pergerakan melibatkan penggunaan ruang
dalam sesuatu aktiviti. Seni muzik pula lebih kepada interpretasi seseorang terhadap
muzik yang didengari.

3.1 Penggunaan Kaedah Nyanyian Seni Muzik
Terdapat beberapa peranan SDP yang boleh dikaitkan dengan mana-mana mata
pelajaran lain yang diajar di sekolah rendah. Antaranya adalah SDP berperanan untuk
menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah menjadi lebih
seronok, menarik dan berkesan. Hal ini sangat penting dalam mewujudkan interaksi
positif dalam kalangan murid dan guru serta murid dan murid. Antara aktiviti yang boleh
dijalankan oleh guru dalam memastikan pengintegrasian seni dalam pendidikan ini
semasa pengajaran dan pembelajaran Dunia Sains Dan Teknologi, guru bolehlah
menggunakan kaedah nyanyian.. Unsur seni muzik terdapat dalam aktiviti nyanyian
yang dijalankan berikutan adanya irama yang dialunkan oleh murid-murid dan guru.
Misalnya, semasa set induksi, guru menayangkan sebuah video lagu Bangau Oh
Bangau. Lagu Bangau Oh Bangau merupakan lagu tradisional kegemaran kanak-
kanak. Melalui set induksi, unsur muzik dan pergerakan telah diterapkan. Murid boleh
bernyanyi bersama-sama mengikut iringan muzik lagu sambil membuat pergerakan
haiwan yang terdapat dalam lagu Bangau Oh Bangau. Kemudian, guru bersoal jawab
dengan murid berkaitan video yang ditayangkan sambil menerapkan nilai murni
kesyukuran kepada murid-murid. Selepas itu, guru mengaitkan jawapan murid dengan
isi pelajaran pada hari ini iaitu Tempat Perlindungan Haiwan.
Kaedah nyanyian ini adalah salah satu aktiviti yang menyeronokkan bagi kanak-
kanak. Penggunaan kaedah nyanyian terbukti berkesan dalam meningkatkan minat
murid untuk belajar, mengurangkan tingkah laku pasif, menggalakkan penglibatan aktif
murid sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran serta dapat meminimumkan
masalah disiplin dalam kalangan murid. Melalui lagu yang berunsurkan haiwan seperti
lagu Bangau Oh Bangau, ia dapat merangsang minat murid untuk menumpukan
perhatian kepada pengajaran yang ingin disampaikan dan murid-murid akan berasa
seronok menyanyi bersama-sama atau dalam kumpulan yang besar. Oleh yang
demikian, jelas menunjukkan penggabungjalinan kaedah nyanyian dalam pengajaran
dan pembelajaran Dunia Sains dan Teknologi, dapat mewjudkan sesi pengajaran dan
pembelajaran yang lebih menarik, seronok serta berkesan jika dibandingkan dengan
murid-murid yang menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran menggunakan
kaedah konvensional iaitu hanya menggunakan kapur dan papan tulis sebagai media
dalam penyampaian maklumat. Ini selaras dengan kenyataan Hj. Abd. Fatah (1994)
yang mengutarakan bahawa jika seseorang murid itu mengintegrasikan kedua fungsi
otak dengan cara yang harmoni, belajar akan menjadi seronok, daya pemusatan akan
bertambah kuat, penggambaran cara dan imaginasi akan bertambah baik untuk
menyelesaikan masalah dan pemikiran akan menjadi lebih aktif.

3.2 Penggunaan Teknik Mewarna dan Membina Sarang Burung --- Seni Visual
Di samping itu, seni dalam pendidikan juga berperanan untuk menghargai
keindahan ciptaan Tuhan. Warna merupakan elemen yang penting dalam kehidupan.
Warna juga turut digunakan dalam seni dalam pendidikan iaitu dalam komponen
Pendidikan Seni Visual. Pendidikan Seni Visual bertujuan memberi peluang kepada
murid memupuk minat, memperkembang keperibadian, memberi kesedaran dan
kepekaan terhadap nilai-nilai kesenian dan alam sekitar serta kaitannya dengan mata
pelajaran lain. Murid di sekolah rendah pada keseluruhannya adalah kreatif, ekspresif
dan aktif. Pendidikan Seni Visual juga memainkan peranan memperkembang sifat ini
melalui persepsi visual, imaginasi dan daya pemikiran. Kegiatan pemikiran, penerokaan
dan reka bentuk dalam pelbagai jenis seni visual akan membolehkan mereka
menyatakan idea dan ekspresi diri. Pengalaman ini penting kerana ia membantu murid
membina keyakinan diri, membuat penilaian dan mengenali cita rasanya sendiri. Jika
dikaitkan dengan mata pelajaran Dunia Sains dan Teknologi, guru bolehlah
mengintegrasikan unsur seni visual dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam
kelas. Sebagai contoh, selepas guru mengajar murid tentang tempat perlindungan
haiwan misalnya, guru bolehlah meminta murid mewarnakan gambar binatang tersebut
mengikut kreativiti masing-masing. Di sini, guru boleh menyelitkan nilai mensyukuri
ciptaan Tuhan yang indah lagi menakjubkan itu kepada diri murid-murid. Di samping
dapat mengintegrasikan unsur seni visual dalam pengajaran dan pembelajaran, guru
juga dapat menerapkan nilai-nilai murni dalam diri murid-murid.
Selain itu, setelah mengajar murid tentang jenis-jenis tempat perlindungan
haiwan, guru juga boleh memberikan murid-murid rumput kering dan pelepah kelapa
dan meminta murid menggunakan bahan-bahan tersebut untuk membina sebuah sarang
burung. Aktiviti kerja kumpulan membuat sarang burung mengintegrasikan aktiviti seni
visual dan pergerakan. Melalui aktiviti ini, ianya akan dapat mendorong murid-murid
menggunakan imaginasi, inkuiri dan kecerdasan pelbagai dalam menghasilkan sarang
burung. Murid-murid juga akan bekerjasama dengan ahli kumpulan yang lain dengan
menggunakan kreativiti dan inovasi mereka untuk mereka cipta sebuah sarang burung
yang tersendiri. Hal ini secara tidak langsung memberi peluang kepada murid-murid
meneroka alam sekeliling mereka, yakni apa yang mereka lihat, sentuh, bergerak dan
berfikir dalam setiap aktiviti pembelajaran yang dilakukan oleh mereka. Melalui cara ini,
secara tidak langsung, ia mengajar murid untuk menangani dan menguruskan sumber
imaginasi, kreativiti, pemikiran, serta emosi dengan lebih efektif dan proaktif. Selain itu,
murid-murid yang melibatkan diri secara aktif dan berkoperatif dalam kumpulan dapat
dilatih dengan akauntabiliti diri dan tanggungjawab berkongsi. Melalui interaksi sosial
dalam menyumbangkan idea masing-masing, sudah pasti pelbagai ciptaan seni sarang
burung dapat dihasilkan oleh murid-murid.
Pendidikan Seni Visual sekolah rendah menyarankan strategi pembelajaran
yang bersepadu dalam mata pelajaran ini dan antara mata pelajaran lain. Pengajaran
dan pembelajaran akan lebih berkesan dengan aktiviti kemahiran berfikir secara kritis
dan kreatif (KBKK). Murid digalakkan menyimpan rekod pengalaman pembelajaran dan
hasil kerja sendiri. Amalan ini akan melatih murid membuat analisis, sintesis dan refleksi
terhadap pembelajarannya untuk faedah sendiri. Setiap murid mempunyai pelbagai
kecerdasan seperti ruang visual, kinestetik, interpersonel dan intrapersonel. Sifat ini
amat penting untuk membantu murid berkarya, berkomunikasi dan mengukuh koordinasi
pancaindera secara seimbang. Proses ini menjadikan pembelajaran lebih berkesan dan
bermakna. Pendidikan seni visual mampu melahirkan insan yang harmonis, kritis, kreatif
dan produktif menerusi pemupukan asas seni visual. Kandungan kurikulum berupaya
membantu murid meningkatkan rasa kesyukuran terhadap Tuhan, menghargai
keindahan alam persekitaran, keindahan seni dan warisan bangsa serta dapat
menyumbang ke arah pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan negara, selaras
dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

3.3 Penggunaan Kaedah Lakonan --- Seni Pergerakan
Seni dalam pendidikan juga berperanan dalam memupuk budaya pengamatan,
persepsi dan ekspresi dalam proses penghasilan. Ketiga-tiga budaya ini dapat
diterapkan dalam pengintegrasikan unsur seni pergerakan dalam sesi pengajaran dan
pembelajaran di dalam kelas. Jika dikaitkan dengan sesi pengajaran dan pembelajaran
mata pelajaran Dunia Sains dan Teknologi, guru boleh menjalankan aktiviti seperti
aktiviti lakonan. Suka bergerak dan berlakon serta meniru bunyi haiwan memang
merupakan naluri semula jadi bagi kanak-kanak. Melalui lakonan cerita si haiwan yang
sesat bukan sahaja dapat mencetuskan idea tentang tajuk pembelajaran hari ini malah
pada masa yang sama dapat membantu murid-murid melibatkan diri secara aktif dalam
pembelajaran dan dapat mewujudkan suasana bilik darjah yang menyeronokkan.
Topeng muka haiwan yang disediakan oleh guru semasa aktiviti lakonan membolehkan
murid-murid berlakon seolah-olah dalam suasana yang sebenar. Murid-murid yang lain
pula sudah pasti akan terhibur dengan tajuk pembelajaran pada hari ini.
Lakonan ialah salah satu aktiviti manusia yang bertujuan untuk menggembirakan
hati dengan cara meniru watak yang berlainan dengan dirinya yang sebenar. Walau
bagaimanapun, dalam sistem pengajaran dan pembelajaran, lakonan memainkan
peranan yang peting dalam memberi gambaran dan maklumat kepada murid dalam
memahami dan menguasai kemahiran terutama kemahiran membaca. Teknik lakonan
sesuai digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas kerana ia
mempunyai kekuatan yang dapat menarik perhatian murid dalam menyertai aktiviti
pembelajaran. Di samping itu, lakonan dapat melatih murid dalam aktiviti membaca yang
melibatkan watak-watak yang dilakonkan. Apabila teknik lakonan digunakan dalam
proses pengajaran dan pembelajaran, murid akan mendapat pelbagai kemahiran dari
aspek mental dan emosi. Lakonan juga ialah pengendalian suatu perancangan untuk
menyampaikan bahan-bahan pengajaran yang telah dipilih untuk mencapai sesuatu
objektif. Teknik lakonan yang digunakan di sekolah dapat dikendalikan dengan
perancangan yang baik dalam proses penyampaian ilmu pengetahuan. Antara tujuan
teknik lakonan digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah untuk mengekalkan
perhatian murid dalam kelas, membangkitkan rasa ingin tahu murid, memudahkan
proses penyampaian ilmu dan memberi kefahaman dengan lebih jelas kepada murid
dalam aktiviti bacaan dan penulisan Oleh yang demikian, jelas menunjukkan
pengintegrasian SDP dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dapat mewujudkan budaya
pengamatan, persepsi dan ekspresi dalam kalangan murid.
Kesimpulannya, Seni dalam pendidikan ialah suatu proses menggunakan aktiviti
yang berkaitan dengan seni seperti lakonan, nyanyian, sajak, pantun, syair, dan
sebagainya dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu, seseorang guru boleh
mengajar pelajarnya menggunakan pelbagai elemen seni mengikut kretiviti seseorang
itu. Hal ini demikian kerana aplikasi seni dalam pendidikan dapat digunakan bagi
menarik minat para pelajar mengikuti proses pembelajaran di samping dapat
merangsang minat pelajar untuk memberikan fokus yang sepenuhnya kepada isi
pelajaran. Aplikasi seni di dalam pendidikan juga dapat memperkembangkan kemahiran
meneroka dan pengalaman yang tersediri kepada setiap pelajar. Di samping itu, Teori
Kecerdasan Pelbagai oleh Howard Gardner juga telah menyokong agar seni diberi
peranan yang lebih penting dalam kurikulum kerana menurutnya, manusia memperolehi
pengetahuan melalui kecerdasan yang pelbagai antaranya kecerdasan logikmatematik,
kecerdasan verbal-linguistik, kinestetik badan, muzik, ruang visual, interpersonal, intra
personal, naturalis, dan eksistensialis.

Anda mungkin juga menyukai