Anda di halaman 1dari 11

6.

1 TEORI-TEORI KEPIMPINAN

Umumnya organisasi boleh dibahagikan kepada tiga model iaitu model pertama dinamakan pendekatan
klasik atau pendekatan mekanistik, kedua adalah pendekatan neo-klasik dan ketiga adalah pendekatan
sistem. Model pendekatan klasik mempunyai ciri-ciri seperti menganggap manusia setaraf dengan mesin
dan peralatan lain dalam organisasi, mengganggap manusia sebagai sejenis makhluk ekonomi yang
rasional dan hanya berminat kepada wang, mempunyai struktur organisasi yang bersifat birokrasi
dengan hierarki yang jelas, mempunyai komunikasi sehala (dari atas ke bawah) dan juga mempunyai
pembahagian kerja yang jelas dengan penekanan pada tugas. Semua tugas ini dirumuskan secara
saintifik hingga model ini digelar sebagai pengurusan saintifik yang mempercayai bahawa hanya
terdapat satu sahaja cara bekerja yang terbaik dan berkesan. Gaya kepimpinan ini adalah bersifat
autokratik atau dipanggil juga teori X.

Model organisasi yang kedua adalah pendekatan neo-klasik (hubungan manusia). Model ini memberi
penekanan kepada peranan pengurus pemimpin organisasi dengan andaian bahawa manusia bukan
hanya semata-mata mahkluk ekonomi, tetapi juga mahkluk sosial yang mempunyai peranan, nilai,
sentimen dan rasa setia kawan. Model ini menekankan peranan pengurus dalam organisasi yang
memberi implikasi yang penting pada komunikasi dan gaya kepimpinan. Corak kepimpinan bersifat
demokratik dan bersikap positif terhadap pekerja. Dalam model ini komunikasi adalah bersifat dua hala
dan pekerja diberi sedikit kebebasan untuk membuat keputusan. Keadaan ini merupakan teori Y.

Model organisasi yang ketiga ialah pendekatan sistem. Model ini memberi tumpuan pada organisasi
secara keseluruhan, secara sepadu sebagai suatu sistem terbuka yang mempunyai dua jenis
persekitaran iaitu dalaman dan juga luaran. Kedua-duanya saling mempengaruhi antara satu sama lain.
Oleh itu organisasi adalah satu subsistem dan sistem yang lebih besar yang di dalamnya mengandungi
subsistem yang lain pula.

Keberkesanan sesebuah organisasi dapat diukur melalui keuntungan dan produktiviti serta kepuasan
dikalangan pekerja. Namun kedua-dua faktor ini adalah bertentangan. Produktiviti boleh dicapai tanpa
kepuasan bekerja dan sering kali pula kepuasan bekerja tercapai tanpa produktivitinya yang tinggi. Oleh
sebab itu ada induvidu yang menganjurkan supaya keberkesanan itu diukur daripada keupayaan
sesebuah organisasi mendapatkan dan menggunakan sumber dengan cekap untuk mencapai matlamat
organisasi. Kesimpulannya sesebuah organisasi dikatakan berkesan apabila pekerjanya melakukan tugas
dengan baik ( doing the right thing right) dan melakukan tugas yang betul (doing thing right). Kedua-dua
sikap dan amalan ini memerlukan pemikiran yang strategik dan latihan yang sesuai dengan jenis kerja
yang hendak dilakukan. Andainya kedua-dua faktor ini diutamakan, sesebuah organisasi akan berjaya.

Organisasi yang produktif dan berjaya tahu mengimbangkan keperluan fizikal dan manusia. Namun
dalam operasinya ia memberi fokus pada aspek manusia secara sedar dan teratur oleh pemimpin
organisasi. Organisasi juga perlu peka pada standard yang tinggi yang dapat di capai, bukan sekadar
berbangga dengan slogan kosong. Organisasi yang berjaya juga memiliki ahli-ahli yang iltizam terhadap
peranan dan tugas masing-masing berasaskan sikap saling percaya-mempercayai antara pihak
pengurusan dengan pekerja tanpa sebarang motif untuk menipu (dari pihak pengurusan) atau sabotaj
(daripada pihak pekerja), iltizam ini berasaskan kejujuran dan keikhlasan yang harus dimulakan oleh
pemimpin yang sentiasa memberi bimbingan kepada pekerjanya. Organisasi yang produktif dan berjaya
tidak terikat kepada model atau struktur yang tertentu tetapi terikat pada standard, etos organisasi dan
kebajikan para pekerja.

6.1.1 Teori Latar
Teori dan kajian kepimpinan sebagai satu cabang psikologi sosial mengambil begitu banyak konsep dan
model yang berasal daripada ahli-ahli falsafah Eropah, ahli-ahli Psikologi dan ahli sisiologi. Kepimpinan
kini didekati melalui empat perspektif yang berbeza iaitu perspektif dinamik kelompok , perspektif
konflik, perspektif keperluan dipelajari dan perspektif penghakikian diri. (Aminuddin Mohd. Yusof 1994:
57).

a) Pendekatan-pendekatan teori
i. Pendekatan Tret
Usaha mendekati fenomena kepimpinan bermula dengan pendekatan tret. Terdapat kepercayaan yang
meluas pada abad ke-20 bahawa pemimpin adalah semula jadi bukan dibentuk. Pemimpin dianggap
lebih tinggi kedudukannya daripada anggota-anggota lain dalam kelompok dan diberi sifat-sifat
ketuhanan. Pemimpin juga diistilahkan sebagai orang kenamaan yang mana seseorang pemimpin itu
mempunyai sifat-sifat yang tinggi untuk orang lain mengikutinya (Aminuddin Mohd. Yusof 1994: 57).

Kajian Teori tret selalunya mengambil bentuk pembandingan sifat-sifat fizikal, intelek dan personaliti
antara pemimpin dengan pengikut. Mengikut kajian Cartwright dan Zander menyatakan pemimpin
adalah lebih besar saiz fizikalnya dan lebih cerdas daripada anggota-anggotan lain. Pemimpin yang
diterima dengan baik menunjukkan penyesuaian yang lebih baik dalam pelbagai ujian personaliti.
Manakala kajian yang berpusatkan kemahiran pemimpin lebih cenderung kepada memberi maklumat
dan lebih kerap membuat penjelasan tentang sesuatu situasi berbanding dengan lain-lain anggota.
Kepercayaan terhadap peranan tret ini jugalah yang melahirkan pandangan tentang sifat karisma
(Aminuddin Mohd. Yusof 1994: 57).

ii Pendekatan Fungsi
Kajian-kajian ini tidak lagi cuba mencari tret-tret pemimpin tetapi cuba menjawab soalan apakah
tindakan yang dikehendaki oleh kumpulan kalau mereka ingin mencapai tugas yang dikehendaki, dan
bagaimana anggota-anggota kumpulan yang berbeza mengambil bahagian dalam tindakan-tindakan
tersebut. Kepimpinan dianggap sebagai melaksanakan fungsi kumpulan. Oleh sebab itu ia mengandungi
tindakan anggota-angota yang membantu menetapkan matlamat kumpulan, menggerakan kumpulan ke
arah mencapai matlamat, memperbaiki kualiti interaksi antara anggota-anggota dan memastikan
adanya sumber-sumber bagi kumpulan (Aminuddin Mohd. Yusof 1994: 59).

Matlamat utama pendekatan ini ialah untuk mencari ciri-ciri tingkah laku yang perlu untuk terus hidup
dan mencapai matlamat. Menurut Cartwright dan Zander, kebanyakan objektif kumpulan boleh
disimpulkan dibawah satu daripada dua perkara, pertama pencapaian matlamat kumpulan tertentu dan
kedua penyelenggaraan atau pengukuhan kumpulan itu sendiri. Ini bermakna setiap tingkah laku dalam
kumpulan mestilah dapat menyumbang kepada pencapaian tugas dan penyelenggaraan kumpulan
sungguhpun kedua-dua peranan ini boleh dimainkan oleh mana-mana anggota dalam kumpulan
(Aminuddin Mohd. Yusof 1994: 59).

iii Pendekatan Tingkah Laku
Daripada pendekatan tret juga telah melahirkan teori tingkah laku yang cuba menerangkan fenomena
kepimpinan berasaskan pola tingkah laku yang didefinisikan sebagai tindakan atau gaya pemimpin.
Banyak teori tingkah laku yang telah diuji, kesemuanya mengandungi unsur-unsur dimiliki (gaya
kepimpinan). (Aminuddin Mohd. Yusof 1994: 60).



b) Contoh Tokoh Pemimpin Teori Latar

Tokoh yang dapat disesuaikan dengan teori ini ialah Sidharta Gautama Budha. Beliau dilahirkan pada
563 SM di Taman Lumbini Kapilawastu, dari keturunan keluarga Shakya. Bapanya adalah seorang Raja
yang bernama Sudhadana dan ibunya bernama Maya. Beliau tinggal di sebuah istana yang lengkap
dengan segala kemewahan. Kepimpinan yang dimilikinya bukan dibentuk, tetapi secara semulajadi.
Ketika beliau di dalam kandungan, seorang ahli nujum memberitahu bapanya bahawa anak yang akan
dilahirkan ini akan menjadi seorang pengasas agama. Mendengar berita tersebut bapanya bimbang
kerana beliau adalah satu-satunya pewaris yang bakal menduduki takhta bagi menggantikannya kelak.
Bapanya berusaha sedaya upaya untuk mengelak beliau daripada menjadi pengasas agama dengan
menyediakan segala kemewahan. Walau bagaimanapun, semua itu tidak dapat mengubah pendiriannya.

Dalam agama yang telah diasaskan oleh beliau ini terkandung ajaran-ajaran yang menyuruh manusia ke
arah kebaikan. Sifat-sifat kepimpinan yang dimilikinya mendorong pengikut-pengikutnya menganggap
beliau sebagai Tuhan.

6.1.2 Teori Kontingensi Fiedler

Teori ini mengandaikan bahawa tidak munasabah untuk menjangkakan bahawa seorang pemimpin
boleh melakukan segala-galanya pada setiap masa lebih baik daripada orang lain. Setiap pemimpin yang
mempunyai ciri yang baik akan berbeza daripada kelompok dengan kelompok yang lain dan situasi
dengan situasi yang lain (Aminuddin Mohd. Yusof 1994: 62).

Istilah Kontingensi bermula apabila Fiedler mengemukan model Kontingensinya berasaskan andaian
bahawa jenis sikap dan tingkah laku kepimpinan yang paling berkesan adalah bergantung kepada situasi
tugas kelompok. Teori ini bermula sebagai pendekatan tret kerana Fiedler menumpukan perhatian
kepada aspek sikap pemimpin. Fiedler pada mulanya menghipotesiskan bahawa persepsi pemimpin
terhadap rakan-rakan sekerjanya mencerminkan sikap penting yang releven dengan tugas dan ini akan
mempengaruhi interaksi dan prestasi kelompok. Untuk menarik makna psikologi daripada penemuan-
penemuan yang signifikan, Fiedler mengembangkan teorinya menjadikan teori Kontingensi (Aminuddin
Mohd. Yusof 1994: 63).

a) Situasi Kepimpinan
Model ini menetapkan jenis situasi tempat yang tinggi LPC-nya lebih berkesan daripada pemimpin yang
rendah LPC-nya. Hubungan antara kedua-dua hirarki motif (LPC tinggi dan LPC rendah) ini dengan
kriteria kebekersanan bergantung kepada pemboleh ubah situasi yang kompleks iaitu hubungan
pemimpin pengikut, struktur tugas dan kuasa jawatan. Hubungan pemimpin pengikut melibatkan
sejauhmana pemimpin diterima dan disukai iaitu hormat dan taat setia anggota-anggota kepada
pemimpin itu. Bagi Fiedler ini adalah unsur terpenting dalam menentukan pengaruh pemimpin dalam
kelompok kecil. Pemimpin yang diterima dengan sepenuh hati akan membuatkan orang bawahannya
menjalankan kerja dengan lebih baik. Hubungan ini bagi Fiedler mungkin menjadi kuat seperti hubungan
bapa anak dalam proses psiko analisis Frued. Ini juga berlaku dalam kelompok-kelompok yang
anggotanya bergantung kepada kemahiran dan kebaikan pemimpin seperti dalam kelompok bilik darjah
dimana guru ada kuasa kepakaran dalam mata pelajaran berkenaan (Aminuddin Mohd. Yusof 1994: 63).

Dimensi kedua dalam membentuk situasi ini ialah struktur tugas. Tugas kelompok adalah diberi oleh
organisasi yang memiliki kelompok itu untuk mencapai matlamatnya. Bila struktur tugas tinggi maka
organisasi melalui ketua kelompok boleh mengawal sejauhmana tugas yang akan dilaksanakan. Sesiapa
yang melakukan kesalahan akan mudah dapat dilihat. Tugas seperti ini tentulah meletakkan pemimpin
dalam keadaan yang sukar berbanding dengan tugas yang boleh diprogram dengan teratur dan
terkawal. Dimensi ketiga dalam situasi kepimpinan ialah kuasa jawatan iaitu sejauhmana jawatan itu
membolehkan pemimpin membuat anggota-anggota kelompoknya mematuhi dan menerima arahan
kepimpinannya. Fiedler menyarankan ketiga-tiga dimensi ini bergabung untuk membentuk
keberuntungan situasi (Aminuddin Mohd. Yusof 1994: 64).
b) Contoh Pemimpin Teori Kontingensi Fiedler

Pemimpin Teori Kontingensi Fiedler ini boleh dilihat dalam kepimpinan Jemaah al-Arqam iaitu Ustaz
Asaari Muhammad yang dianggap oleh semua pengikutnya sebagai pemimpin agung. Pengikut-pengikut
al-Arqam ini terkenal dengan taat setia mereka terhadap pemimpin sehingga mereka menerima apa
sahaja ajaran tanpa menafikannya. Sebelum ini, Jemaah al-Arqam adalah satu badan dakwah yang aktif
dan gigih menyebarkan ajaran Islam yang bercirikan ajaran tasawwuf. Hasil daripada kegigihan jemaah
ini, akhirnya mereka berjaya menarik sebahagian masyarakat Islam di Nusantara amnya dan Malaysia
khasnya untuk menyertai kumpulan mereka.

Kebanyakkan masyarakat tertarik dengan jemaah ini disebabkan oleh imej kepimpinan yang ditunjukkan
oleh Asaari. Sifat beliau yang cukup bijak dalam setiap strategi dakwahnya, mendorongnya mengambil
kira setiap aspek. Contohnya, beliau akan memahami dahulu suasana masyarakat yang disasarka seperti
budaya, agama, amalan dan geografi. Beliau bijak meyesuaikan kumpulan yang dipimpin olehnya
dengan masyarakat dan mudah mesra. Jikalau beliau pergi kepada masyarakat Kristian di luar negara,
imej yang dibawa lebih kepada orang korporat yang datang untuk mencari rakan perniagaan, bukan
sebagai pendakwah. Ini kerana orang Kristian cukup anti-Islam. Dalam pada masa yang sama, beliau
menyelitkan dakwah secara berhemah dan kasih sayang. Strategi-strategi ini menarik ramai masyarakat
menjadi pengikutnya.

6.1.3 Teori Laluan Matlamat
Kepimpinan memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan kejayaan sesebuah organisasi.
Teori Kepimpinan Laluan Matlamat (Path Goal Theory) yang diperkenalkan oleh Robert House
mencadangkan bahawa tingkah laku pemimpin seharusnya dilihat sebagai suatu tindakan yang boleh
memotivasikan pekerja (http://www.johordt.gov.my/pmbj/v2/index [24.5.07]).
Seorang pemimpin perlu menguatkan hubungan di antara gaya kepimpinannya dengan perwatakan
pekerja dan agenda tugas sesebuah organisasi. Dengan ini, pemimpin akan memahami bahawa pekerja
akan termotivasi sama ada dalam keadaan merasa berkemampuan untuk mencapai sesuatu tugas yang
diberikan ataupun mereka dapat menjangkakan hasil kerja yang akan disiapkan ataupun
berkepercayaan tentang aspek penghargaan yang akan diberikan berkaitan dengan hasilnya
(http://www.johordtgov.my/%20pmbj/v2/%20index [24.5.07]).
Justeru, adalah menjadi cabaran kepada seseorang pemimpin untuk menggunakan gaya kepimpinan
terbaik bagi menemukan titik keperluan motivasi pekerja. Pemimpin perlu menyediakan elemen-elemen
yang difikirkan dapat mengisi keperluan pekerja bagi mencapai matlamat organisasi
(http://www.johordt.gov.my/pmbj/v2/index [24.5.07]).
Teori Laluan Matlamat menggariskan tentang empat gaya kepimpinan yang boleh dimanfaatkan untuk
memotivasikan pekerja iaitu:
a) Kepimpinan berorientasikan arahan (Directive Leadership)
Ia dikaitkan dengan gaya menyampaikan atau memberi penjelaskan kepada pekerja. Pemimpin
memberikan arahan mengenai sesuatu tugas. Dengan menyertakan mengenai apakah harapannya
berkaitan tugas tersebut. Pemimpin juga turut memberikan klu mengenai bagaimana tugas itu boleh
disempurnakan dan juga penetapan waktu yang diperuntukkan untuk menyelesaikannya. Arahan yang
baik disampaikan kepada pekerja secara spesifik supaya pekerja mendapat gambaran awal dan
kefahaman yang jelas untuk memulakan sesuatu tugasan yang diberikan
(http://www.johordt.gov.my/pmbj/v2/index [24.5.07]).
b) Kepimpinan berorientasikan sokongan (Supportive Leadership)
Ia merujuk kepada tingkah laku memberi pertimbangan kepada pekerja. Iaitu dengan gaya beramah
mesra dan prihatin sebagai seorang pemimpin. Tingkah laku ini bertujuan untuk mewujudkan suasana
kerja yang menyenangkan kepada pekerja. Di samping itu, seorang pemimpin melayan pekerja tanpa
berdasarkan mobiliti sosial dan turut menghormati status kedudukan mereka. Gaya kepimpinan ini
mampu mewujudkan suasana mesra agar pekerja termotivasi dengan penuh rela hati bagi
melaksanakan sesuatu tugasan (http://www.johordt.gov.my/pmbj/v2/index [24.5.07]).
c) Kepimpinan berorientasikan penyertaan (Participative Leadership)
Gaya ini pula merujuk kepada pemimpin yang mengalu-alukan penyertaan pekerja untuk mereka
berkongsi menetapkan sesuatu keputusan. Pemimpin membuka ruang untuk rundingan kepada pekerja
agar mereka dapat menyumbang idea serta pandangan. Begitu juga dengan peluang untuk
meningkatkan cadangan dalam sesuatu keputusan berdasarkan persetujuan organisasi
(http://www.johordt.gov.my/pmbj/v2/index[24.5.07]).
d) Kepimpinan berorientasikan pencapaian (Achievement-Oriented Leadership)
Kepimpinan dengan gaya ini memberikan cabaran kepada pekerja untuk melaksanakan tugasan pada
peringkat tertinggi kemampuan mereka. Pemimpin akan sentiasa mencari peningkatan dan pencapaian
yang berkesinambungan. Ini melalui langkah menyatakan keyakinan yang tinggi bahawa pekerja
mempunyai kemampuan untuk mencapai matlamat bagi cabaran tersebut
(http://www.johordt.gov.my/pmbj/v2/index [24.5.07]).
Teori Laluan Matlamat tidak mengongkong seseorang pemimpin untuk menggunakan hanya satu gaya
kepimpinan sahaja. Sebaliknya terbuka kepada penggunaan pelbagai gaya mengikut kesesuaian situasi.
Cuma ia lebih tertumpu kepada pemberian motivasi kepada pekerja agar mereka lebih bersemangat
untuk melaksanakan tugas dengan sempurna (http://www.johordt.gov.my/pmbj/v2/index [24.5.07]).
e) Contoh Negeri yang Mengamalkan Laluan Matlamat
Bagi merealisasikan agenda pembangunan negeri Johor melalui program Kerajaan Cekap, aspek
kepimpinan adalah elemen yang sangat penting dalam menentukan kejayaan sesebuah organisasi atau
jabatan. Pemimpin berperanan membentuk organisasi yang berkesan dari pelbagai sudut, terutamanya
dalam memotivasikan pekerja. Motivasi pekerja perlu diperbaharui dari semasa ke semasa agar
pencapaian tugasan dalam organisasi terus meningkat dan berkesinambungan. Kecemerlangan dalam
pembangunan negeri adalah terhasil melalui kecemerlangan modal insan dalam setiap organisasi
(http://www.johordt.gov.my/pmbj/v2/index [24.5.07]).
Setiap organisasi terutamanya jabatan-jabatan kerajaan perlu diperlengkapkan dengan pengetahuan
mengenai gaya kepimpinan. Demikian agar persekitaran kerja yang kondusif dapat diwujudkan.
Pencapaian dalam tugasan sesebuah organisasi juga akan lebih meningkat dengan pemantauan serta
keprihatinan para pemimpin yang terdapat di dalam sesebuah organisasi
(http://www.johordt.gov.my/pmbj/v2/index [24.5.07]).
Kesimpulannya, pemimpin perlu mengarah (directive) jika sesuatu tugasan yang dihadapi adalah
kompleks; sekiranya tugasan bersifat kurang mendesak, gaya menyertai (participative) pula boleh
digunakan; jika pekerja mempunyai keinginan ke arah kecekapan berganda, gaya berorientasikan
pencapaian (achievement oriented) boleh dimanipulasikan; manakala gaya berasaskan penyertaan
(participative) pula digunakan bagi pekerja yang memerlukan kawalan
(http://www.johordt.gov.my/pmbj/v2/index [24.5.07]
6.1.4 Teori sumber Kongnitif

Teori ini menyatakan bahawa kebolehan intelek pemimpin merupakan sumber utama kepada
rancangan, keputusan dan strategi yang memandu tindakan kelompok, rancangan, keputusan dan
strategi ini dikomunikasikan kepada kelompok dalam bentuk tingkah laku yang mengarah dan akan
dilaksanakan jika kelompok menyokong pemimpin dan matlamat organisasi (Aminuddin Mohd. Yusof
1994: 75).

Teori sumber Kognitif membawa dua andaian dan tujuh hipotesis. Salah satu hipotesis ini
menghubungkan teori baru dengan teori asal. Hipotesis ini menyatakan bahawa unsur kontingensi iaitu
LPC dan kawalan situasi yang terbentuk daripada struktur tugas, hubungan pemimpin pengikut dan
kuasa jawatan. Ia meramalkan bukan sahaja prestasi kepimpinan tetapi juga tingkah laku pemimpin.
Tingkah laku pemimpin ini pula menentukan bagaimana kebolehan intelek memberi sumbangan kepada
tugas. Hipotesis inilah yang memberi saranan kepada kemungkinan menggabungkan pembolehubah-
pembolehubah daripada teori asal Fiedler dengan teori laluan matlamat (Aminuddin Mohd. Yusof 1994:
75).

a) Contoh Pemimpin Teori sumber Kongnitif

Tokoh yang dapat disesuaikan dalam teori ini adalah Tun Dr. Mahathir bin Mohamad. Di Malaysia, Tun
Dr. Mahathir bin Mohamad dilihat sebagai seorang pemimpin berintelektual tinggi. Ini dapat dilihat
apabila beliau telah mengemukakan wawasan 2020, walaupun jangka masa itu jauh lagi. Beliau hadir
sewaktu Malaya diliha memerlukan seseorang intelektual yang mampu berfungsi sebagai seorang
pemikir dan beliau sesungguhnya adalah seorang thinking politician yang lebih terserlah berbanding
dengan tokoh sezaman dengannya (Sivamurugan 2005: 32).

Edward Shils menganggap sekadar mempunyai prasarana masih belum berupaya memastikan
berubahnya daya intelektual. Tun Dr. Mahathir dilihat mengeksploitasi suasana dan menggunakan krisis
semasa untuk mengetengahkan daya intelektualnya. Golongan intelektual lazimnya terserlah dalam
suasana krisis dan krisis 13 Mei 1969 boleh dianggap sebagai sebahagian daripada modern intellectual
culture kerana it carries with it a partial transformation of the self and a changed relationship to the
authority of the dead and the living. Ciri-ciri yang telah digariskan oleh Edward ini kebetulannya terdapat
pada Tun Dr. Mahathir dari aspek pekerjaan iaitu sebagai seorang professional, sementara menggunkan
politik sebagai arena yang menyerlah keberkesanan dan kebolehannya sebagai pemikir dan intelektual.
Beliau merupakan seorang pemikir intelektual yang meneroka alam pemikiran dan melihat sesuatu
secara radikal dalam usaha untuk membangunkan orang Melayu (ibid).

Tun Dr. Mahathir merupakan seorang pemimpin yang unik berbanding dengan kepimpinan sebelum ini.
Hal ini kerana sejak beliau mengambil alih kepimpinan Negara pada tahun 1981, rakyat mengharap
perubahan memandangkan beliau merupakan tokoh yang berwawasan, berjiwa rakyat, radikal dan
dahagakan kemajuan untuk menjadi Malaysia sebagai sebuah negara berdaya saing. Keintelektualan
beliau ini jelas boleh dilihat daripada penulisan beliau sehingga kini yang telah dimuatkan dalam akhbar-
akhbar seperti The Straits Times dan The Sunday Times,The Malay Dilemma, The Challenge, Way
Forward dan A New Deal For Asia untuk mengupas idea-idea beliau.
6.1.5 Teori Bidang Daya Penggerak
Teori ini dikemukakan oleh Kurt Lewin (1952). Mengikut teori ini sebarang tingkah laku adalah akibat
keseimbangan antara daya penggerak tolakan dan daya penggerak penghalang. Daya penggerak tolakan
mendorong ke satu arah, manakala daya penggerak penghalang mendorong ke arah yang lain. Prestasi
yang muncul merupakan penyesuaian bagi kedua-dua set daya penggerak itu. Peningkatan daya
penggerak tolakan mungkin akan meningkatkan prestasi atau sebaliknya, iaitu berlaku peningkatan daya
penggerak menghalang. Contohnya apabila Pengetua meminta guru-guru bertugas di luar kemampuan
dengan andaian akan meningkatkan kualiti kerja. Tindakan ini mungkin boleh menyebabkan kebencian
dan sikap memberontak yang boleh mengurangkan tahap kerajinan dan kreativiti seseorang guru.
Mungkin melalui pendekatan yang betul dan terancang boleh mengubah kepercayaan dalaman, guru-
guru akan sukarela melaksanakan perubahan dengan lebih efisyen. Jadual 1 boleh menjelaskan Teori
Bidang Daya Penggerak oleh Kurt Lewin.

Daya Penggerak Bagi Perubahan
Daya Penggerak Bagi Mengekalkan Status
(Daya Penggerak Tolakan)
(Daya Penggerak Menghalang)
Teknologi Baru
Norma-norma Prestasi Kumpulan
Input Yang Lebih
Kebimbangan Terhadap Perubahan
Persaingan Dari Kumpulan Lain
Rasa Kepuasan Anggota
Tekanan Penyelia
Kemahiran Yang Dikuasai
Tingkat Prestasi Semasa
Tingkat Prestasi Yang Lebih Tinggi
Jadual 1.
Teori ini menjelaskan perubahan organisasi boleh dipengaruhi oleh perubahan manusia, teknologi,
perubahan struktur organisasi, proses dan keadaan. Proses perubahan dianggap sebagai satu sistem di
mana jika salah satu faktor tersebut berubah, maka faktor lain juga turut berubah. Ia menjelaskan
perubahan perlakuan berlaku hasil dari tiga peringkat perubahan iaitu :
Peringkat pencarian.
Perubahan baru.
Pembentukan semula.
Peringkat pencairan melibatkan tindakan menjadikan keperluan bagi perubahan begitu ketara
sehinggakan individu, kumpulan atau organisasi dapat melihat atau menerimanya dengan baik.
Perubahan baru memerlukan seorang agen perubahan yang terlatih untuk memupuk nilai, sikap dan
perilaku yang baru melalui peroses-proses pengenalpastian dan penjiwaan. Para anggota organisasi
mengenalpasti nilai, sikap dan perilaku yang dibawa oleh agen perubahan dan menjiwainya apabila
mereka telah melihat keberkesanannya. Peringkat terakhir iaitu pembentukan semula bererti
memantapkan pola perilaku yang baru itu dengan bantuan alat-alat sokongan, supaya ia menjadi norma
yang baru (http://www.geocities.com/padeat68/%20jurnal_Institut%20Pengetua%20.htm [24.5.07]).

6.1.6 Teori Kepimpinan Karismatik
Teori Kepimpinan Karismatik dirujuk kepada kepimpinan yang berwibawa dan mampu mempertahankan
kepimpinannya kerana pemimpin tersebut dilihat seolah-olah sebagai saviors of the nations. Pemimpin
yang mengamalkan teori ini dianggap sebagai agen perubahan, mereka cepat melihat kekurangan dalam
apa-apa keadaan sekalipun dan mampu bertindak secara drastik dan professional. Pemimpin seperti ini
tidak merasa puas dan sentiasa mencari kesempatan untuk membuat perubahan. Pemimpin seperti ini
juga tidak mengambil masa yang lama untuk berfikir serta ingin melihat hasil perubahan dengan cepat
(Jay A. Conger 1996: 34-35).
a) Contoh tokoh Teori Kepimpinan Karismatik

Tokoh yang dapat disesuaikan dengan teori ini adalah seperti Archie McGill. Beliau merupakan seorang
tokoh yang berani dan penuh wawasan. Beliau terkenal dengan sifat yang tidak pernah duduk berdiam
diri, ciri-ciri ini menggambarkan bahawa beliau adalah seorang yang berkarismatik. Ketokohan beliau
dilihat sewaktu American Telephone and Telegraph (AT&T) mengambil beliau bekerja sebagai pengarah
pemasaran di syarikat itu pada awal tahun 1970. Sewaktu menjawat jawatan tersebut, beliau bijak
menangani masalah-masalah yang timbul dalam syarikat. Ini dapat dilihat pada waktu itu, pemasaran
telah dibanjiri oleh produk pesaing dari seluruh dunia. Keadaan ini menyebabkan pasaran pemasarannya
merosot sama sekali. Bagi menghindari daripada berulang lagi,beliau telah berpaling kepada pasaran
luar. Bagi beliau, tanggapan cepat terhadap jualan lebih penting daripada infisiensi intern (Jay A. Conger
1996: 21-23).

Selain Archie McGill, terdapat tokoh lain juga yang boleh dikaitkan dengan teori kepimpinan ini seperti
Mahatma Gandhi, John F. Kennedy, Peron, Sukarno, Tito, Castro, Mao Tze Tung, Nelson Mandela dan
Ayatollah Khomeini (Sivamurugan 2005: 11).
7.1 PENUTUP
Setiap organisasi memerlukan pemimpin. Tanpa pemimpin sesebuah organisasi tidak dapat berfungsi
dengan sempurna. Ini kerana jatuh bangunnya sesebuah organisasi bergantung kepada pemimpin.
Seseorang pemimpin dikatakan berjaya sekiranya dia berjaya menerapkan kepemimpinan yang tepat di
dalam organisasinya. Kejayaan sesebuah organisasi bergantung kepada sokongan dan sanjungan semua
ahli. Untuk menjadi pemimpin yang berwibawa, seseorang bukan sahaja perlu mempunyai pengetahuan
dan pengalaman, tetapi juga perlu bekerja untuk membina kuasa dalaman lebih dari kekuatan fizikal.
Daya kekuatan yang dimaksudkan ialah kekuatan untuk mengawal, mempengaruhi, memujuk, daya
memaksa, mengesahkan dan daya membuat rujukan. Terdapat beberapa teori kepimpinan di dalam
menguruskan organisasi antaranya ialah teori latar, teori kontigensi Fiedler, teori laluan matlamat, teori
sumber kongnitif, teori Karismatik dan juga teori bidang daya penggerak. Teori latar mengambil kira
kajian kepimpinan sebagai salah satu cabang psikologi sosial iaitu dengan melihat beberapa perspektif
yang berbeza iaitu perspektif kelompok, perspektif konflik perspektif keperluan di pelajari dan perspektif
penghakikian diri. Perspektif-perspektif ini pula boleh dilihat melalui tiga pendekatan iaitu pendekatan
tret, pendekatan fungsi dan juga pendekatan tingkah laku. Teori kontigensi Fiedler pula mengandaikan
tidak munasabah untuk menjangkakan bahawa seorang pemimpin boleh melakukan segala-galanya
pada setiap masa lebih baik daripada orang lain. Teori kontigensi dapat dilihat malalui situasi
kepimpinan, situasi ini merupakan hubungan yang dijalinkan diantara pemimpin dan juga pengikut serta
dimensi kedua dalam membentuk situasi iaitu struktur tugas. Manakala teori laluan matlamat pula ialah
peranan kepimpinan dalam menentukan kejayaan sesebuah organisasi. Teori ini menggariskan empat
gaya kepimpinan yang boleh di manfaatkan untuk memotivasikan pekerja iaitu kepimpinan
berorentasikan arahan, kepimpinan berorentasikan sokongan, kepimpinan berorentasikan penyertaan
dan juga kepimpinan berorentasikan kepimpinan. Teori sumber kongnitif pula menyatakan bahawa
kebolehan intelek pemimpin merupakan sumber utama kepada rancangan, keputusan dan strategi yang
memandu tindakan kelompok, rancangan, keputusan dan strategi ini dikomunikasikan kepada kelompok
dalam bentuk tingkah laku yang mengarah dan akan dilaksanakan jika kelompok menyokong pemimpin
dan matlamat organisasi. Teori terakhir iaitu teori bidang daya penggerak dimana sebarang tingkah laku
adalah akibat keseimbangan antara daya penggerak tolakan dan daya penggerak penghalang.