Anda di halaman 1dari 14

1.

0 Pendahuluan

Pembelajaran ialah proses pemerolehan maklumat dan pengetahuan, penguasaan
kemahiran dan tabiat serta pembentukan sikap dan kepercayaan. Proses pembelajaran
berlaku sepanjang hayat seseorang manusia. Proses pembelajaran berlaku di mana-mana
tempat dan pada sebarang masa. Dalam konteks pendidikan, guru biasanya berusaha
sedaya upaya mengajar supaya murid dapat belajar dan menguasai isi pelajaran bagi
mencapai sesuatu objektif yang ditentukan. Pembelajaran akan membawa kepada
perubahan pada seseorang. Walau bagaimanapun perubahan yang disebabkan oleh
kematangan seperti berjalan dan makan ataupun penyakit dan kelaparan tidaklah dianggap
sebagai pembelajaran.

Kamus Dewan mentakrifkan pembelajaran sebagai proses belajar untuk memperoleh
ilmu pengetahuan dan menjalani latihan. Menurut pandangan ahli kognitif, pembelajaran
boleh ditakrifkan sebagai satu proses dalaman yang menghasilkan perubahan tingkah laku
yang agak kekal. Manakala aliran behavioris pula berpendapat bahawa pembelajaran ialah
perubahan dalam tingkah laku, iaitu cara seseorang bertindak dalam suatu situasi. Dalam
psikologi humanis pembelajaran dianggap proses yang dapat membantu seseorang
mencapai sempurna kendiri dan nilai individu.

Oleh yang demikian pembelajaran sepanjang hayat adalah suatu usaha yang
berterusan untuk memperoleh dan memindahkan pengetahuan, nilai murni dan kemahiran.
Pengalaman pendidikan prasekolah yang mengembirakan dan bermakna akan dapat
mengekalkan minat untuk terus belajar dalam diri seseorang itu sejak kecil hinggalah ke
akhir hayat.

Salah satu isu yang sering diperkatakan oleh golongan akademik dan warga pendidik
di Malaysia ialah pembelajaran sepanjang hayat iaitu setiap rakyat Malaysia sepatutnya
sentiasa memberi keutamaan kepada peningkatan ilmu pengetahuan dalam diri masing-
masing. Apabila setiap individu mengekalkan amalan meneroka ilmu pengetahuan secara
berterusan tanpa mengira masa, tempat dan keadaan maka proses pembelajaran sepanjang
hayat telah berlaku. Pendidikan seumur hidup akan berlaku secara berterusan dalam diri
individu yang mengamalkan sikap positif terhadap ilmu pengetahuan dan kemahiran yang
baru. Sekiranya setiap individu mempunyai satu tekad untuk meletakkan pendidikan sebagai
agenda utama dalam hidupnya maka proses pembelajaran tidak akan berhenti begitu sahaja
sebaliknya berlaku dengan pesat dan konsisten dalam diri individu tersebut.
Pembelajaran sepanjang hayat membolehkan semua orang mendapatkan
pengetahuan yang sepatutnya untuk membolehkan mereka mengambil bahagian secara
cergas untuk memperolehi ilmu baru. Dalam arus persejagatan yang dialami sekarang,
kemampuan seseorang menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran baru merupakan kunci
utama untuk meningkatkan produktiviti. Paul Lengrand yang merupakan pegawai yang
bertanggungjawab ke atas Biro Pendidikan Dewasa (Adult Education Bureau), Pertubuhan
Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Di
dalam laporannya beliau menyatakan bahawa pendidikan tidak sepatutnya terhenti pada
usia kanak-kanak atau remaja. Ia perlu mengiringi seseorang itu di sepanjang hayatnya. Di
dalam masyarakat workaholic seperti bangsa Jepun, kesedaran tentang kepentingan
pembelajaran sepanjang hayat ini mencetuskan satu keadaan yang dikenali
sebagai "employability fever" di mana ahli masyarakatnya bersikap tekad untuk memiliki
kelulusan atau kemahiran tertentu bagi menjamin mereka memperolehi peluang pekerjaan di
dalam bidang yang mereka minati. Dalam satu laporan lain yang juga dikeluarkan oleh
UNESCO yang bertajuk "Learning To Be" menyatakan bahawa capaian kepada pendidikan
tidak sepatutnya dihadkan kepada golongan elit atau untuk mereka yang berada dalam
lingkungan umur yang tertentu sahaja. Ia sebaliknya perlu disebatikan ke dalam keseluruhan
anggota masyarakat dan kehidupan setiap ahlinya.


2.0 Konsep Pembelajaran Sepanjang Hayat

Konsep Pembelajaran Sepanjang Hayat dan konsep penerokaan ilmu bukanlah
perkara yang baru diperkatakan, tetapi konsep tersebut telah wujud sejak zaman berzaman
yang dibuktikan melalui penciptaan pepatah petitih dalam setiap masyarakat. Ahli panel
membawa konsep Pembelajaran Sepanjang Hayat sebagai suatu pendemokrasian
pendidikan yang merangkumi program meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan
kompetensi sama ada secara formal di sekolah, pusat latihan vokasional atau secara tidak
formal berdasarkan pengalaman dan latihan di tempat kerja.

Pendidikan tidak formal merupakan proses yang berlaku sepanjang hayat dan
kaedah pembelajarannya tidak sistematik kerana ia diperolehi menerusi aktiviti harian.
Pendidikan bukan formal ialah sebarang aktiviti pendidikan yang tersusun, sistematik yang
dijalankan diluar kelas formal untuk pembelajaran khusus bagi kumpulan tertentu.
Pendidikan formal pula adalah pengajaran dan pembelajaran secara sistematik dan teratur,
berdasarkan falsafah dan sistem pendidikan sesebuah negara. Seseorang pekerja perlu
memahami keseluruhan sistem kerja. Oleh itu, proses pembelajaran tidak akan berakhir
walaupun seseorang itu meninggalkan alam persekolahan.

Pembelajaran sepanjang hayat bukan sahaja menjadi agenda penting, malahan telah
menukar cara berfikir masyarakat khususnya golongan muda yang baru keluar dari pusat
pengajian tinggi. Di Jepun misalnya, persepsi mengenai pentingnya pembelajaran sepanjang
hayat telah mewujudkan satu fenomena baru yang dikenali sebagai employability fever.
Golongan mudanya bersikap agresif untuk memiliki kelulusan dalam beberapa bidang
pengajian dan latihan bagi menjamin mereka mendapatkan lebih peluang pekerjaan yang
mereka minati.

Menurut mantan Perdana Menteri Malaysia iaitu Tun Datuk Seri Abdullah Ahmad
Badawi, konsep pembelajaran sepanjang hayat bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan
produktiviti dan peluang pekerjaan tetapi untuk memperkayakan jiwa dan minda melalui ilmu
pengetahuan. Beliau juga berkata, usaha membangunkan modal insan adalah satu daripada
pendekatan utama yang perlu ditekankan dalam konsep pembelajaran sepanjang hayat di
mana setiap warga diberi peluang untuk melanjut atau menyambung pelajaran. Peluang
pelajaran perlu dibuka seluas-luasnya untuk seluruh rakyat Malaysia bagi melahirkan
generasi yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Mereka yang bekerja pula perlu
menambah nilai terhadap pekerjaan mereka melalui tambahan ilmu pengetahuan bagi
membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan suasana pekerjaan yang sentiasa berubah
secara drastik.

Menjelang Abad Ke-21 masyarakat antarabangsa lebih prihatin berbanding pada
abad sebelumnya untuk meningkatkan ilmu pengetahuan melalui konsep Pembelajaran
sepanjang hayat. Mengikut kajian UNESCO kemajuan dan kemakmuran yang dicapai oleh
negara-negara membangun (Amerika Utara, Eropah dan Jepun) adalah hasil perancangan
strategik pembangunan sumber manusia di mana seluruh anggota masyarakatnya
mendapatkan peluang pendidikan terbuka dan pembelajaran sepanjang hayat.

Guru perlu mengaplikasikan Pembelajaran sepanjang hayat dalam meningkatkan
profesionalismenya supaya seiring dengan perkembangan dalam negara dan antarabangsa.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui UNESCO mulai pertengahan tahun
1990an telah melancarkan program bagi meningkatkan kesedaran pentingnya Pembelajaran
sepanjang hayat di kalangan negara-negara yang sedang membangun. Pandangan PBB ini
adalah berdasarkan kepada kertas dasar yang disediakan oleh Suruhanjaya Antarabangsa
Mengenai Pendidikan Bagi Abad Ke -21 bertajuk Learning: The Treasure Within. Intisari
kepada laporan tersebut mencerminkan bahawa Pembelajaran sepanjang hayat menjadi
kunci kepada pembangunan sumber manusia khususnya Malaysia dalam Abad Ke-21.
Justeru itu pembangunan profesionalisme guru menerusi PSH sangat penting sekali.

Pembangunan Profesionalisme guru ini sangat wajar kerana Kerajaan Malaysia telah
mengambil tindakan proaktif mengubal dasar di mana Pembelajaran sepanjang hayat
menjadi teras utama dalam perancangan pembangunan negara. Rangka Rancangan Jangka
Panjang Ketiga (RRJP3) bagi tempoh 2001 2010 dan Dasar Wawasan Negara (DWN)
adalah merupakan rangka pembangunan negara jangka panjang bagi menghadapi cabaran
globalisasi, liberalisasi ekonomi dan persekitaran ekonomi berasaskan pengetahuan. Dalam
erti kata yang lain, peranan guru sebagai pelaksana dasar kerajaan di peringkat akar umbi
sangat diperlukan. Guru perlu melalui proses Pembelajaran sepanjang hayat bersama
dengan murid-murid.

Keberkesanan pengajaran dan mutu penyampaian ilmu yang sempurna oleh guru-
guru merupakan nadi kejayaan pelaksanaan kurikulum dalam sesebuah sekolah.
Kemantapan penguasaan ilmu pedagogi yang ditimba di institut-institut pengajian tinggi
sangat penting bagi membolehkan setiap individu yang terlibat secara langsung dalam
pencarian ilmu mencapai kepuasan dan mengecapi cita-cita yang diimpikan (Mok Soon
Sang. 2000). Sejajar dengan harapan kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan untuk
meningkatkan kualiti pendidikan di negara ini, guru sebagai ahli masyarakat yang
bertanggungjawab mendidik dan membentuk masyarakat berilmu sangat perlu melalui
pembelajaran sepanjang hayat.

Latihan yang berterusan kepada para guru ialah pendekatan dalam
Pembelajaran Sepanjang Hayat. Antara program Pembelajaran Sepanjang Hayat adalah
menghadiri seminar dan bengkel, menyertai kursus-kursus pendek dan kursus panjang,
terlibat dalam konsultansi, budaya membaca, menjalankan penyelidikan, mengadakan
lawatan ke sekolah dan lawatan penandaarasan, turut serta dalam projek-projek yang
dikendalikan oleh komuniti dan kementerian serta aktif dalam pertubuhan dan persatuan
akademik seperti Persatuan Linguistik, Persatuan Sejarah, Persatuan Geografi dan
sebagainya.





3.0 KEPENTINGAN PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT

Menuntut ilmu merupakan suatu keperluan asas yang wajib bagi setiap individu tanpa
mengira kaum dan agama. Konsep pendidikan sepanjang hayat bukanlah suatu perkara
baharu, sebaliknya konsep ini telah lama diamalkan oleh kebanyakan masyarakat dunia.
Kemajuan sesuatu bangsa terletak kepada unsur-unsur kecemerlangan yang ada di dalam
diri individu atau modal insannya. Dalam pembangunan modal insan, perkara-perkara yang
berkaitan dengan pendidikan dan pembelajaran, baik yang bersifat ilmiah, profesional
mahupun vokasional diberi perhatian yang serius. Pembelajaran sepanjang hayat
berperanan besar dalam memastikan kemampuan yang ada dalam modal insan digilap agar
dapat menghasilkan satu tahap kecemerlangan yang diinginkan oleh seseorang individu,
masyarakat dan juga negara.

Jika dikaitkan konsep pembelajaran sepanjang hayat ini dengan ajaran agama Islam,
wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W di dalam surah Al-Alaq
adalah berupa satu suruhan supaya baginda membaca walaupun baginda seorang yang
buta huruf dan sudah berusia 40 tahun pada masa tersebut. Intipati wahyu pertama itu juga
menjelaskan kepada kita bahawa Allah S.W.T mewajibkan umat manusia supaya menuntut
ilmu pengetahuan. Batas usia mahupun kekangan-kekangan yang ada, baik yang berupa
halangan kebendaan, kewangan mahupun fizikal tidak seharusnya dijadikan sebagai suatu
halangan kepada kita untuk menuntut ilmu kerana dalam agama Islam ia merupakan satu
proses yang berterusan dan berpanjangan.

Arahan ini diperkukuhkan lagi oleh sabda nabi S.A.W di dalam satu hadis yang
diriwayatkan oleh Ibn Majah yang bermaksud : "Menuntut ilmu adalah wajib ke atas tiap-tiap
orang Islam." Tanpa menjurus kepada satu lingkungan umur yang tertentu, kefarduan yang
termaktub di dalam hadis di atas dapat difahami sebagai merangkumi semua peringkat usia
umat Islam, baik yang muda mahupun yang dewasa atau yang tua, kaya mahupun miskin.


4.0 Pembelajaran Sepanjang Hayat Tuntutan Islam

Islam sejak awal-awal lagi menyatakan bahawa belajar ilmu itu adalah wajib yang
berterusan dari buaian sampai ke liang lahad. Hal ini berkait rapat dengan sabda Rasulullah
S.A.W dalam hadisnya yang bermaksud Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad
yang membawa maksud pembelajaran sepanjang hayat. Pembelajaran bentuk ini
sebenarnya sangat tidak asing di sisi agama Islam. Kewujudan proses pembelajaran selagi
hayat masih ada berlaku seiring dengan kelahiran agama Islam itu sendiri.

Agama Islam tidak bermula dengan perintah penyembahan atau ketundukan kepada
Allah sebagai Pencipta manusia dan sekalian makhluk di atas muka bumi ini. Tetapi
sebaliknya dimulakan dengan perintah yang berkaitan dengan pendidikan iaitu suruhan
membaca sebagai salah satu wahana untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Agama Islam
juga merupakan agama yang sangat teliti dan ketelitian itu bermula dari peringkat
pengenalan lagi. Manusia perlu mengenali Tuhannya dengan ilmu. Seterusnya, manusia
harus terus mengharungi kehidupan ini dengan pembelajaran secara berterusan, supaya
manusia bukan sahaja dapat memastikan kelangsungan hidupnya tetapi kehidupan secara
bermaruah dan bermakna. Ini kerana pembelajaran begini dapat memperbaiki kehidupan
seseorang melalui peningkatan kemahiran kerja, pengislahan sahsiah diri dan bertambahnya
ilmu pengetahuan.

Itulah sebabnya Baginda Rasulullah S.A.W menjelaskan dalam hadisnya yang
diriwayatkan oleh Ibn Abd Al-Barr bahawa mencari ilmu pengetahuan itu merupakan
kewajiban ke atas setiap muslim. Kewajiban mencari ilmu itu seharusnya difahami sebagai
suatu proses sepanjang hayat dan bukan setakat pada tempoh atau umur tertentu. Melalui
periwayatan Al-Tabrani, Abu Na'im dan Ibn Abd Al-Barr, Baginda Rasulullah mengatakan
bahawa tidak ada makna bagi hari yang dilalui sekiranya tidak berlaku pertambahan ilmu
yang sifatnya boleh menambah nilai ketakwaan kepada dirinya.

Sebenarnya banyak ayat al-Quran dan Sunnah yang menggesa umat Islam untuk
mencari ilmu pengetahuan yang bermanfaat. Malah, bagi mereka yang memasuki dunia
pencarian ilmu Allah S.W.T menjanjikan banyak pahala kebajikan dan kedudukan yang baik.
Antara kedudukan mulia yang diberikan Allah SWT kepada golongan ilmuwan adalah
sebagaimana yang terkandung dalam firman Allah ayat 18 Surah Ali Imran yang
menjelaskan bahawa kesaksian tentang kewujudan Allah Azza wa Jalla adalah (melainkan)
Diri-Nya sendiri, para malaikat dan orang-orang yang berilmu pengetahuan. Imam Al-
Ghazali mengatakan ayat ini sudah cukup membuktikan betapa mulia dan utama kedudukan
yang diberikan Allah S.W.T kepada orang-orang yang berilmu.





5.0 Prinsip-Prinsip Pembelajaran Sepanjang Hayat.

Dalam proses pembelajaran sepanjang hayat laporan Delors et.al mengemukakan
empat prinsip iaitu pembelajaran untuk mengetahui, pembelajaran untuk melakukan,
pembelajaran untuk menjadi apa atau siapa dan pembelajaran untuk tinggal bersama.
Empat prinsip ini membentuk proses pembelajaran yang sempurna. Manakala menurut
Tough pula, proses pembelajaran berlaku pada setiap masa kehidupan yang dipengaruhi
oleh suasana di mana kita berada sama ada secara terancang mahupun tidak terancang.

Sebenarnya, apa yang berlaku di sekeliling kita adalah suasana serta keadaan yang
sangat radikal dari sudut transformasi sosial. Keadaan ini menyebabkan perubahan-
perubahan ketara terhadap tabiat kerja dan gaya hidup. Perubahan ini menjadi cabaran
kepada semua orang dan hanya melalui pembelajaran yang berterusan, cabaran akan dapat
diatasi. Bukan itu sahaja, apabila ia boleh bertahan dengan keadaan yang telah berubah,
ilmu yang dimiliki akan menjadikan cabaran itu dapat diolah semula sebagai sesuatu yang
memberi manfaat dan kesenangan.

Antara contohnya ialah, apabila terdapat hasil teknologi baru yang diperkenalkan
kepada golongan pekebun yang telah berumur dan teknologi tersebut boleh memberi
kesenangan kepada pekerjaan mereka. Golongan pekebun ini mempunyai pilihan untuk
membiarkan sahaja kehadiran peralatan tersebut dan meneruskan amalan secara tradisi.
Akan tetapi sekiranya mereka meraikan dan memanfaatkan teknologi tersebut, sudah pasti
produktiviti akan bertambah, masa dapat dijimatkan yang memberi tambahan masa berkualiti
untuk keluarga serta bermasyarakat, dan seterusnya kehidupan mereka akan bertambah
senang.


6.0 Pembelajaran Sepanjang Hayat Dalam Dunia Siber.

Dengan kemunculan ekonomi digital berasaskan teknologi maklumat, multimedia dan
internet, negara memerlukan pekerja berpengetahuan dan proses inovasi yang berterusan.
Ekoran daripada itu akan berlakunya penggabungan antara bekerja dan belajar. Di waktu
tersebut, kita akan terus belajar walaupun sambil bekerja, dan begitulah sebaliknya. Inilah
yang dinamakan konsep pembelajaran sepanjang hayat. Para pekerja akan perlu belajar
minit demi minit untuk melaksanakan kerja dengan lebih berkesan.

Bagi menjadikan masyarakat kita bersedia menerima perubahan zaman,
pengetahuan serta kemudahan capaian internet mestilah digunakan oleh semua golongan
masyarakat, tanpa mengira di bandar atau luar bandar. Sebuah masyarakat yang benar-
benar tidak mempunyai jurang antara golongan bermaklumat dan tidak bermaklumat akan
wujud sekiranya capaian kepada maklumat itu murah serta mudah.

Kalau kita mengimbau ke belakang dalam bentuk sistem ekonomi tradisional,
kehidupan kita dibahagikan kepada dua bahagian, pertamanya masa untuk belajar dan yang
kedua ialah masa bekerja. Kita pergi ke sekolah dan universiti untuk menimba ilmu serta
sedikit kepakaran. Habis belajar, sepanjang hayat kita selepas itu kita tumpukan kepada
bidang kerjaya yang kita ceburi. Berlainan pula dalam dunia ekonomi digital. Kita
dijangkakan akan merubah serta melaksanakam proses inovasi bagi meningkatkan
pengetahuan sepanjang hidup kita. Sukar untuk mengetahui perancangan kerjaya
seterusnya. Hanya Tuhan sahaja yang Maha Mengetahui.

Inilah perubahan zaman yang akan dilalui oleh semua manusia. Pengetahuan yang
diperoleh di masa sekarang akan menjadi semakin pudar ditelan masa. Sebab itulah aktiviti
pembelajaran sepanjang hayat patut disedari sebagai kaedah menyediakan diri di era
ekonomi digital. Medium perolehan maklumat di zaman mendatang tidak lain tidak bukan
ialah internet. Arus perubahan yang dicetuskan oleh teknologi maklumat dan internet pada
hari ini memerlukan pengendalian yang cekap dan bersistematik agar setiap lapisan
masyarakat mendapat faedah sepenuhnya. Program-program yang dirangka harus dapat
menjadi perintis perubahan dalam pendekatan pengajaran dan pembelajaran dengan
menekankan pengalaman belajar berasaskan elektronik atau dunia siber. Penggunaan
Internet membolehkan sesiapa sahaja mempelajari apa sahaja, tanpa mengira masa walau
di mana mereka berada.


7.0 Elemen Budaya Membaca

Ada pepatah Melayu mengatakan Melentur buluh biarlah dari rebungnya''. Begitulah
dengan tradisi memupuk budaya membaca. Ia harus bermula di rumah, berlanjut ke alam
persekolahan, alam pendidikan tinggi sehinggalah ke alam pekerjaan. Usaha Kementerian
Pelajaran Malaysia, khususnya Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) melalui pelaksanaan
Program Nadi Ilmu Amalan Membaca (Nilam) dalam memupuk budaya membaca
berterusan di peringkat persekolahan merupakan suatu usaha murni yang cukup bermakna
dalam konteks membina budaya ilmu masyarakat Malaysia. Pada masa kini, terlalu banyak
sumber bacaan yang ada, bacaan tidak hanya terbatas melalui buku-buku, majalah dan
akhbar semata-mata, malahan, melalui internet pelbagai bacaan dapat dilakukan. Guru-
guru di luar negara terutama di negara maju menjadikan membaca sebagai rutin dalam
kehidupan mereka sehingga mereka mampu membincangkan pelbagai isu dan perkara
tanpa teragak-agak. Keupayaan mereka melontarkan idea, mengupas isu dan menganalis
sesuatu permasiilahan mencerminkan imej seorang pendidik yang pintar, berihnu dan
berwawasan. Maka, guru di Malaysia patut bangun menggilap imej guru Malaysia melalui
pembacaan bagi memastikan guru tidak terpinggir daripada kelompok profesional yang lain.


Pada tahun 1988, Y.A.B Perdana Menteri Malaysia pada waktu itu, iaitu Dato' Seri
Dr. Mahathir Mohamed telah melancarkan Tahun Pembaca yang bertemakan 'Membaca
Jambatan Ilmu'. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa tidak ada alasan kepada
sesiapa untuk tidak menimba ilmu melalui bacaan memandangkan pelbagai kemudahan
untuk membaca telah disediakan dan kita tidak boleh menerima masyarakat jahil akibat
daripada tidak membaca. Malahan dalam ucapan tersebut, Y.A.B Perdana Menteri turut
menyeru agar guru-guru mengamalkan budaya membaca bagi memastikan mereka sentiasa
mengemaskinikan ilmu pengetahuan mereka memandangkan peranan mereka sebagai
pendidik dan rol model kepada murid di sekolah.

Dalam apa pun pelaksanaan program budaya membaca, aspek penghayatan
merupakan destinasi terakhir dalam menjayakan sebarang program `pembacaan'. Kita
mungkin dapat menganjurkan program yang tersusun, terancang bahkan canggih, namun,
aspek penghayatan tetap menjadi daya pengukur kejayaan sesuatu program. Penghayatan
pembacaan merangkumi elemen-elemen berikut:
- Budaya membaca yang tinggi.
- Kecintaan luar biasa terhadap buku dan bahan bacaan.
- Pembeli buku dan bahan bacaan yang luar biasa.
- Mempunyai koleksi buku atau perpustakaan peribadi.
- Tahu membezakan bahan bacaan bermutu dan yang sebaliknya.

Unsur-unsur intelektualisme tergambar dalam dirinya seperti pemikiran, cara berfikir,
kelancaran bahasa, wacana dan sebagainya. Meminati secara serius hal-hal yang berkaitan
buku dan dunia perbukuan (misalnya, kisah-kisah yang berkaitan biblioholisme).

Secara signifikan atau kesannya daripada penghayatan pembacaan akan melahirkan
budaya `biblioholisme' yakni `kecanduan' atau ketagihan terhadap buku yang
menggambarkan tabiat luar biasa yang berkecenderungan membaca, membeli, menyimpan,
mencintai, dan mengagumi buku. `Biblioholisme' akhirnya melahirkan pencinta buku dan
pembaca yang luar biasa. Seiringan dengan `biblioholisme', akan lahirnya secara semula
jadi budaya menulis sebagai kesan akhir daripada pembacaan.

Secara realitinya, inilah rupa dan corak masyarakat membaca yang ingin dibentuk
dan dilahirkan. Inilah juga yang sebenarnya ingin dicapai dari segala macam kempen dan
gerakan budaya membaca yang dianjurkan selama ini. Mekanisme ke arah pencapaian
tujuan yang mulia ini tentunya melibatkan peranan pelbagai pihak khususnya peranan ibu
bapa dan guru/pensyarah serta institusi berkaitan yang dapat dilihat dalam tiga konteks; iaitu
konteks di rumah (ibu bapa, keluarga), alam persekolahan (guru, pusat sumber sekolah),
alam pendidikan tinggi (pensyarah, perpustakaan akademik) dan institusi (Perpustakaan
Awam, Perpustakaan Negara Malaysia, BTP, Pusat Sumber Pendidikan Negeri (PSPN) dan
lain-lain.)

Program Nilam yang dilaksanakan ke semua sekolah rendah dan menengah mulai
tahun 1999 tentunya bermatlamat murni supaya terbinanya tabiat budaya membaca yang
berterusan di kalangan murid dan pelajar sekolah melalui pelbagai aktiviti yang menjadikan
murid banyak membaca; dan menggalakkan sekolah terus menjana idea kreatif dan inovatif
bagi menyemai tabiat membaca.

Melalui Program Nilam, pelbagai aktiviti dan langkah yang bersesuaian telah diambil
oleh BTP; misalnya: Anugerah Nilam Kebangsaan, Khemah Membaca Kebangsaan, Kem
Penulis Muda Kebangsaan. Di samping itu, usaha yang berkaitan seperti Anugerah Pusat
Sumber Sekolah peringkat kebangsaan, Projek Pembekalan Buku Bacaan Tambahan Nilam,
Penerbitan Senarai Bahan Bacaan Pusat Sumber Sekolah, Bantuan Per Kapita untuk pusat
sumber. Penubuhan Persatuan Perpustakaan/Pusat Sumber Sekolah merupakan usaha
terpuji yang berterusan dalam memantapkan lagi pelaksanaan program Nilam dari semasa
ke semasa. Jika dilihat falsafah yang tersirat, program Nilam adalah untuk melahirkan para
pelajar yang mengamalkan budaya membaca bukan sahaja selepas tamat persekolahan
tetapi berterusan ke alam pendidikan tinggi seterusnya ke alam pekerjaan dan kekeluargaan.

Hal ini merupakan sesuatu yang menarik untuk diperhatikan kerana kita sering
mendengar keluhan bahawa para pelajar yang meninggalkan persekolahan dan pendidikan
tinggi akan `menurun' minat membacanya apabila memasuki `alam pekerjaan.' Kalau
membaca pun, hanyalah yang berkaitan dengan bidang mereka, samalah seperti mereka
membaca hanya untuk tujuan peperiksaan. Dalam kata lain, kita tidak dapat melahirkan
pembaca menyeluruh atau `holistik' yang pembacaannya merentasi pelbagai disiplin ilmu.

Bagi melahirkan `pembaca berterusan' yang `biblioholik', perlu dibentuk sikap
penghayatan dan apresiasi pembacaan yang mendalam yang melihat budaya membaca
sebagai suatu nikmat, seni, estetika atau sesuatu yang indah dan menyeronokkan dalam
kehidupan walaupun tabiat membaca sudah ada. Di samping itu, usaha menyuburkan
gerakan membaca perlu dimantapkan dengan gerakan menulis dan tahap persekolahan
merupakan usaha penyuburan yang terbaik. Membaca dan menulis merupakan aktiviti yang
tidak dapat dipisahkan, sama ada kreatif atau bukan kreatif.

Gerakan menulis tidak dimaksudkan sebagai hanya memenuhi keperluan akademik
tetapi gerakan yang merentasi landasan akademik yang sebenarnya dapat mengukur
keupayaan tahap membaca seseorang. Allahyarham Hamka pernah mengatakan jika
seseorang sudah mencapai tahap membaca yang tinggi, dia secara semula jadi akan berasa
`terpaksa' menuangkannya dalam bentuk penulisan. Sebab itulah dalam diri Hamka,
tergambar sifat seorang multidimensi, iaitu seorang ulama, sasterawan, budayawan dan
pemikir.

Bahan bacaan juga dapat mengukur tahap pembacaan seseorang. Selain terdedah
kepada bahan bacaan popular, pendedahan kepada karya besar dan karya agung dalam
pelbagai tradisi bangsa dan peradaban manusia amat penting dalam `memanusiakan'
pembaca kerana ia mewakili tradisi dan perkembangan pemikiran intelektualisme sesuatu
bangsa. Hal ini amat berkaitan dengan pemilihan bahan bacaan yang sesuai dan bermutu di
samping mengikat diri dengan nilai, akar dan sejarah sesuatu bangsa. Dalam konteks ini,
langkah BTP merumuskan Garis Panduan Pemilihan Karya-Karya Besar untuk Koleksi Pusat
Sumber Sekolah langkah yang tepat.

Rumusan ini adalah hasil saranan laporan penilaian Anugerah Nilam Kebangsaan
yang mendapati majoriti calon lebih mementingkan kuantiti buku yang dibaca daripada kualiti
buku. Hanya segelintir calon terutamanya sekolah menengah yang dikenal pasti membaca
karya-karya bacaan bermutu daripada sasterawan berwibawa.

Karya besar amat penting kerana karya ini merupakan khazanah komprehensif
tentang maklumat dan ilmu pengetahuan dalam semua lapangan bidang ilmu yang
berkembang dalam sejarah peradaban manusia. Kefahaman kepada idea dan gagasan
besar yang dilontarkan merupakan usaha manusia untuk memahami dan menghayati
kebijaksanaan yang merupakan santapan mental dan rohani yang diperlukan manusia.

Persoalan yang dibahaskan dalam karya besar ini masih relevan dengan isu semasa
walaupun ada antaranya telah ditulis berabad-abad yang lalu. Persoalan ini masih segar dan
perlu diterokai daripada pelbagai konteks dan perspektif. Atas kesedaran tersebut, maka
koleksi karya-karya besar perlu diwujudkan di Pusat Sumber Sekolah.

Bagi memastikan guru-guru mampu menguruskan masa dengan tidak mengabaikan
amalan membaca, beberapa panduan yang berikut dapat difikirkan dan diamalkan:

(i) Pastikan anda membawa buku ke mana-mana sahaja anda pergi kerana
sekiranya anda berasa bosan sewaktu menanti seseorang atau menunggu giliran
misalnya sewaktu menunggu bas, semasa dalam perjalanan sama ada di dalam
bas, komuter, kereta atau kapal terbang, sewaktu menunggu giliran di bank atau
klinik, atau sewaktu menunggu ketibaan murid ke kelas anda.

(ii) Peruntukkan masa untuk membaca pada setiap hari sekurang- kurangnya 10
minit pada satu-satu waktu yang terluang dan boleh jadikan amalan tersebut
pada waktu bersarapan atau minum petang. Sekiranya anda mampu
memperuntukkan empat kali sehari dengan menggunakan 10 minit pada setiap
kali, ini bererti anda telah menggunakan 40 minit dalam sehari untuk membaca.
Contohnya, pagi 10 minit (semasa bersarapan), tengah hari 10 minit (selepas
makan tengah hari), petang 10 minit (sewaktu minum petang) dan malam
sebelum tidur 10 minit. Cadangan tersebut adalah paling minimum dan anda
boleh mengambil masa yang lebih panjang terutama pada sebelah malam
walaupun semasa anda berbaring di atas katil sebelum melelapkan mata.

(iii) Kurangkan aktiviti lain yang sia-sia dan isikan masa dengan aktiviti berfaedah
seperti membaca. Di samping itu, elakkan pembaziran masa dengan menonton
TV telalu lama, baring atau tidur, berborak-borak tanpa tujuan yang jelas, window
shopping atau bermain video games.





8.0 Kesimpulan.

Sebagai kesimpulannya, usaha untuk membudayakan pembelajaran sepanjang hayat
adalah merupakan sebahagian strategi pembelajaran penting bagi sesebuah organisasi.
Ianya tidak akan berlaku dengan sekelip mata. Setiap individu perlu bertanggungjawab bagi
pembelajaran diri sendiri dan dilengkapi dengan ilmu yang kental untuk menghadapi
cabaran-cabaran semasa dan akan datang.

Tentukan matlamat anda dalam pembacaan bagi memastikan semangat anda kental
dalam amalan membaca. Selain amalan harian kita membaca akhbar atau majalah ringan,
kita sepatutnya telah berubah sikap dan menjurus ke arah pembacaan bahan-bahan yang
mengandungi ilmu yang lebih tinggi. Di Malaysia, terlalu kecil bilangan guru yang membaca
jurnal-jurnal penyelidikan menyebabkan pemikiran mereka kurang berkembang dan kurang
mampu meningkatkan kualiti pengajaran dan pengurusan kerjaya. Guru hanya boleh
berbangga dengan pengalaman dan pengetahuan sedia ada semata-mata dan hal ini akan
menyebabkan murid yang kita didik hilang minat untuk belajar.

Oleh yang demikian, marilah bersama-sama untuk berusaha untuk meningkatkan lagi
kredibiliti dan akauntabiliti masing-masing dan mengamalkan budaya pembelajaran
sepanjang hayat selaras dengan keperluan dan tuntutan persekitaran dan dunia yang serba
mencabar kini.
















BIBLIOGRAFI
Mok Soon Sang. (2000). Ilmu Pendidikan Untuk KPLI (Kursus Perguruan Lepas Ijazah)
Semester 2.

Ee Ah Meng. (1999) Pendidikan Malaysia. Fajar Bakti Sdn. Bhd. Shah alam.

Dr. Asma Ahmad. Reka Bentuk Latihan . Jabatan Pemajuan Profasional dan Pendidikan
Lanjutan. Fakulti Pengajian Pendidikan. Universiti Putra Malaysia.

Mohd. Ismail Amzam. (1994). Asas Organisasi dan Kepimpinan Untuk Persatuan dan
Kelab. Fajar Bakti Sdn. Bhd.